Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor peruntuk RM3 juta laksana Saringan Komuniti Covid-19

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk hampir RM3 juta untuk melaksanakan dua fasa Saringan Komuniti Covid-19 bagi memutuskan rantaian wabak, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata RM1.6 juta untuk fasa pertama yang dilaksanakan pada Mac dan April manakala RM1.36 juta untuk fasa dua bermula Ogos yang masih berterusan sehingga kini.

“Menerusi fasa pertama seramai 5,433 individu disaring dan mengesan 10 kes positif manakala seramai 912 disaring setakat ini dalam fasa kedua.

“Saringan fasa dua sedang berjalan dengan menyasarkan rakyat negeri ini yang pulang dari Sabah serta kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Dr. Siti Mariah Mahmud ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 4 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei berhubung kos Saringan Komuniti Covid-19 dan bilangan mendapat manfaat inisiatif tersebut pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan tambahan Yi Wei berhubung tindakan terkini susulan peningkatan kes, Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri memfokuskan petugas barisan hadapan.

“Kita dalam proses melakukan saringan bersasar melibatkan anggota tentera, polis, Rela, pengawal keselamatan serta pekerja pembersihan.

“Mereka merupakan golongan berisiko tinggi yang terdedah kepada jangkitan. Kita kena pastikan golongan ini bebas Covid-19 kerana tugas mereka memerlukan sentiasa berada dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Kerja ganti paip usang 150km setahun

SHAH ALAM, 2 NOV: Kerja penggantian paip usang di negeri ini hanya dapat dilakukan sepanjang 150 kilometer sahaja dalam tempoh setahun, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Jelasnya, peruntukan kewangan bukan sahaja disalurkan kepada penggantian paip tetapi turut perlu disalurkan kepada kerja penyelenggaraan loji rawatan serta pembinaan Loji Rawatan Air Labohan Dagang.

“Saya faham permintaan wakil rakyat yang berharap supaya kerja penggantian paip dilakukan lebih cepat dan baik kerana mahu mengurangkan impak kepada rakyat.

“Namun kita kena terima hakikat, untuk menggantikan paip usang sepanjang 6,000km dalam sekelip mata adalah mustahil, ini kerana kos anggaran bagi satu kilometer paip dianggarkan RM1 juta,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor sudahpun menggantikan 400km paip usang sejak 2016.

Kerja penggantian itu memfokuskan kawasan berisiko tinggi termasuk lokasi kerap mengalami tekanan air tidak stabil.

Categories
EXCO SELANGOR

Tourism Selangor hasil video, tarik pengunjung dalam negeri

SHAH ALAM, 2 NOV: Tourism Selangor mempergiat promosi video pelancongan bagi menarik pengunjung domestik ke negeri ini, kata EXCO pelancongan.

Hee Loy Sian berkata video tersebut ialah Discover Selangor, Take Me Anywhere; Virtual Travel Tour; Alami Selangor; Walking Through; Nak Bercuti Pusing Selangor Dulu! serta Pelancongan Kesihatan dan Perubatan Selangor.

“Tourism Selangor meningkatkan promosi pelancongan secara digital atau dalam talian termasuk menggunakan teknologi realiti maya bagi menarik pengunjung ke negeri ini.

“Video yang dihasilkan mesti benar-benar mampu menggamit minat pelancong di negeri ini atau negeri lain, sebab itu kita tekankan pengisian promosi yang menarik,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri  Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung langkah untuk meningkatkan kehadiran pelancong domestik pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata Tourism Selangor turut melaksanakan promosi Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu pada September dan Spice Convention Center, Pulau Pinang pada Oktober.

“Tourism Selangor juga dijemput menjadi panel sesi webinar peringkat antarabangsa anjuran Tourism Malaysia di Guangzhou, Tourism Malaysia di Chennai dan World Travel Market (WTM) London pada tahun ini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dewan Negeri Selangor beri ruang cukup ADN bahas isu rakyat

SHAH ALAM, 13 JULAI: Dewan Negeri Selangor (DNS) akan memberi masa secukupnya kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk membahaskan isu rakyat pada persidangan kali ini, kata speakernya.

“Kita tidak akan pendekkan masa untuk mereka (ADN) bercakap, Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan belanja agak besar bagi persiapan sidang DNS sejak sebulan lalu.

“Jadi, ADN tidak perlu risau, mereka ada masa secukupnya berbahas dan membawa isu rakyat setempat,” kata Ng Suee Lim kepada SelangorKini.

Pada Mac lalu, sidang DNS hanya berlangsung selama dua hari bagi mengekang penularan wabak Covid-19 namun pada sidang kali ini, beliau berkata Kerajaan Negeri mengambil pendekatan dengan melakukan saringan kepada 678 petugas.

“Hanya individu yang disaring serta disahkan negatif dibenarkan menghadirinya dan mereka akan dikenal pasti menerusi mesin pengimbas wajah sebelum masuk ke dewan,” katanya.

Pada 7 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar, pegawai dan petugas media menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan keselamatan serta kelancaran sidang DNS.

Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata Kerajaan Negeri sentiasa berwaspada dengan Covid-19 kerana angka serta fakta menunjukkan lebih separuh kes dijangkiti tidak bergejala tetapi kelompok ini sebenarnya pembawa atau penyebar virus tersebut.

 

Categories
SELANGOR

368 tanah kerajaan diceroboh – MB

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak 368 tanah milik Kerajaan Negeri dikesan diceroboh oleh individu dan kumpulan yang melakukan aktiviti perniagaan, kediaman, penternakan dan rumah ibadat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shaari berkata lokasi itu adalah di Sabak Bernam (1), Kuala Selangor (43), Klang (119), Kuala Langat (121), Hulu Langat (2), Sepang (15), Petaling (34), Gombak (4) dan 29 di Hulu Selangor.

Katanya, sejak 2008 kerajaan sentiasa mencari kaedah untuk mengesahkan kedudukannya dan proses pemilikan tanah terbabit termasuk proses pemutihan dengan memberikan hak milik sementara.

“Kita juga fleksibel…jika tidak menganggu kerja naik taraf seperti penyelenggaraan sungai dan lain. Namun akan ambil tindakan jika ada unsur keuntungan.

“Kita juga beri ruang dan berkompromi dengan masyarakat bukan bertindak zalim, malah ada kes perobohan bangunan ditangguhkan sebelum ini,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Dato Mohd Imran Tamrin (BN) berhubung jumlah tanah milik Kerajaan Negeri yang masih diduduki secara haram dan perancangan untuk menyelesaikannya.

Categories
SELANGOR

DNS lulus pelantikan ahli jawatankuasa khas pengurusan sumber air

SHAH ALAM, 17 MAC: Dewan Negeri Selangor hari ini meluluskan pelantikan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS) yang dipengerusikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shaari berkata turut dilantik Mohd Najwan Halimi (Kota Anggerik), Gunarajah R George (Sentosa), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru), Harumaini Omar (Batang Kali), Leong Tuck Chee (Pandamaran) dan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang)

“Jawatankuasa khas itu berperanan memantau hal ehwal pengurusan sumber air mentah, penyelenggaraan rawatan air, pengagihan air dan pengurusan Lembaga Urus Air Selagor (Luas), Pengurusan Air Selangor, semua agensi, badan berkanun, anak syarikat, pihak berkuasa dan pertubuhan.

“Ia juga diberi kuasa untuk memantau perkara berkaitan pelaksanaan rancangan dan polisi memberikan kesan kepada pengurusan sumber air di Selangor bagi memastikan bekalan air mentah dan terawat sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

JPK-SAS yang dahulunya dikenali Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Mentah Negeri Selangor (JPK-SAM) bertanggungjawab menyiasat sebarang masalah berkaitan pengurusan sumber air mentah di Selangor.

Categories
ADN SELANGOR

Lawatan ke DNS beri pendedahan awal kepada pelajar

SHAH ALAM, 11 NOV: Pengalaman berharga buat belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya apabila diberi peluang berkunjung ke Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi melihat secara lebih dekat perjalanan Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Kedua DNS yang Ke-14, hari ini.

Lawatan anjuran pejabat DUN itu disertai seramai 30 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ12 bersama tiga guru pengiring.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, program itu sebagai pendedahan kepada pelajar berkaitan sistem pentadbiran dan polisi di negara ini selain memberi peluang menyaksikan sesi perbahasan isu-isu semasa di DNS.

“Pada masa sama, kita mahu mereka bergaul dan mengenali kesemua ADN yang terdapat di Selangor kerana mungkin ada dalam kalangan mereka masih tidak mengenali wakil rakyat setempat.

“Kita juga mahu meningkatkan kesedaran pelajar berhubung sistem pilihan raya di negara ini memandangkan mereka yang berumur 15 tahun dibenarkan mengundi pada pilihan raya akan datang selepas had mengundi diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas Sesi Perjumpaan Bersama ADN Selangor untuk Belia DUN Subang Jaya, di Bilik Gerakan Bangunan Annex, di sini.

Categories
SELANGOR

Hormati arahan Speaker, patuhi etika pemakaian DNS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mahu semua pihak menghormati arahan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) dalam mematuhi etika pemakaian ketika berlangsung sidang dewan.

Beliau berkata, hal itu kerana arahan berkenaan jelas termaktub dalam peraturan dan undang-undang DNS sedia ada.

“Saya harap semua pihak menghormati arahan itu kerana ia dipandukan dengan peraturan bukan atas budi bicara.

“Jika tidak bersetuju, perkara itu boleh dibahaskan dalam sidang DNS,” katanya dalam sidang media di Bangunan Annex, di sini.

Terdahulu, Speaker DNS, Ng Suee Lim menegur etika pemakaian Ahli Dewan Negeri (ADN) supaya mengenakan ‘suit’ berwarna gelap dan kemas sepanjang sesi persidangan.

Katanya, peringatan itu penting bagi menjaga imej DNS supaya tidak disalah anggap oleh orang luar sebagai tempat pertunjukan fesyen.

Teguran itu didakwa kerana ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong memakai kot bewarna putih dan tidak bermaksud untuk memperkecilkan kaum wanita.

Categories
SELANGOR

DNS sebulat suara kutuk serangan di Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk serangan berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu.

Usul tersebut dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib di bawah Peraturan Tetap 17(1) dan dibahaskan hampir satu jam oleh empat wakil kerajaan dan seorang wakil pembangkang.

Antara ADN yang mengambil bahagian bagi membahaskan usul tersebut adalah Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Law Weng San (Banting).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam penggulungannya berkata, tindakan kejam dan melanggar batasan kemanusiaan itu sememangnya satu perlakuan ekstrim serta diluar pemikiran manusia.

“Semua pihak perlu sepakat untuk bersama-sama menolak dan tidak membenarkan unsur-unsur sedemikian berlaku di negeri ini.

“Saya minta agar semua pihak tidak terpengaruh dengan anasir-anasir tersebut yang memberi kesan buruk buat masyarakat,” katanya.

Setakat ini, 50 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

Dalam pada itu, Speaker DNS, Ng Suee Lim menggesa Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan dasar dan program keharmonian sesama budaya di negeri ini bagi meningkatkan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menguruskan fungsi atau peranan institusi surau, masjid dan institusi agama lain di Selangor sebagai medium menyebarkan mesej keamanan serta menghilangkan prejudis terhadap agama dan bangsa lain.

Categories
SELANGOR

Pakai kot gelap jika masuk DNS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC : Kesemua petugas Dewan Negeri Selangor (DNS) diarahkan supaya memakai kot bewarna gelap sahaja sepanjang menghadiri Sidang DNS.

Speaker DNS, Ng Suee Lim berkata, perkara itu turut termaktub kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) tanpa mengira jantina.

“Biarlah semua memakai pakaian bewarna gelap, janganlah bewarna-warni di dewan yang begitu mulia.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa DNS bukan seperti dewan-dewan lain, ini kerana kita mahu supaya DNS menjadi peneraju dalam negara dan meletakkannya pada tahap tertinggi,” katanya kepada media, di pejabatnya, hari ini.

Semalam, Suee Lim menegur ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang memakai kot bewarna putih.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, media juga tidak perlu memperbesarkan isu terbabit sebaliknya memfokuskan isu pembangunan dan kemajuan Selangor.

“Saya pun tidak sangka, teguran saya itu menjadi cerita yang begitu besar, sedangkan teguran sedemikian dibuat bukanlah kali pertama.

“Sebelum ini juga saya pernah menegur ADN lain, jadi ini bukanlah isu memperkecilkan wanita atau sebagainya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sidang DNS Selangor lulus usul kutuk serangan pengganas Christchurch

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan usul mengutuk serangan pengganas di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu sehingga mengorbankan 50 nyawa termasuk kanak-kanak.

Usul tergempar terbabit dibentangkan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.

Saari dalam pembentangan usul itu berkata, asas kepada kutukan terbabit kerana perlakuan penyerang yang tidak bertamadun sehingga sanggup menyerang individu tidak bersenjata di dalam rumah ibadat.

“Ini adalah perbuatan keji dan tidak bermaruah, golongan ekstremisme ideologi dan radikalisme agama dilihat akan merebak sekiranya ia tidak ditangani,” katanya ketika Sidang DNS, di sini, hari ini.

Saari berkata, justeru, Kerajaan Negeri diseru supaya memperkukuhkan dasar dan keharmonian hidup di antara agama, bangsa dan budaya di negeri ini terus kukuh.

“Masjid dan surau di seluruh Selangor juga boleh menjadi landasan untuk menyebarkan mesej keamanan dan persaudaraan serta menghilangkan prejudis yang menebal terhadap agama dan bangsa lain.

“Kefahaman hidup bertoleransi serta kesederhanaan dalam hubungan masyarakat perlu diperkukuhkan dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Timbalan Speaker baharu diumum sebelum Mac

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 10 DIS: Kerusi Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) akan diisi pada Persidangan DNS pertama tahun hadapan yang dijangka diadakan Mac 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau akan mendapat persetujuan dengan kepimpinan parti peringkat negeri dan pusat sebelum memutuskannya.

“Mohd Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker pada Jumaat lalu selepas menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Speaker dan akan diisi pada hari pertama persidangan dewan bulan Mac ketika dewan mula bersidang nanti.

“Lama lagi, pada masa ini mimpi (calon) belum dapat lagi tetapi kalau ikut tradisinya ini memang kerusi KEADILAN dan saya harus mendapat persetujuan kepimpinan negeri dan juga pusat terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Balairung Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Ketika mengulas pembahagian portfolio, Amirudin berkata, Mohd Khairuddin akan menyandang portfolio Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan.

Sementara itu, portfolio Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam pula akan diterajui Amirudin sendiri.

“Saya hanya menambah Agama Islam dan Pendidikan di mana saya akan melantik seorang atau dua pembantu EXCO yang akan diumumkan nanti untuk membantu melaksanakan tugas dalam institusi agama Islam di Selangor kerana ia memerlukan kerap turun ke padang,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman hari ini mengangkat sumpah sebagai EXCO yang baru bagi menggantikan Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia, pada 2 Ogos lalu.