Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pembangunan Bukit Belimbing Kuala Selangor dijangka bermula 2021

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Projek pembangunan Bukit Belimbing Kuala Selangor, di atas tanah seluas 59.98 ekar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dijangka akan bermula pada tahun 2021.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kawasan itu akan dimajukan dengan pembangunan bercampur yang membabitkan projek perumahan dan komersil.

“Kelulusan kebenaran merancang dijangka boleh diperoleh pada awal atau pertengahan 2019 dan kelulusan pelan bangunan pada 2020.

“Pembinaan dijangka dimulakan pada 2021. Bagaimanapun perancangan pembangunan di tapak bergantung kepakajian pasaran dan permintaan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menyentuh soal perbelanjaan, aset dan libialiti yang ditanggung bagi tempoh 2015 hingga 2017, PKNS masih lagi dianggap berdaya saing dan bertahan di samping pendapatan serta perbelanjaan yang disifatkan seimbang daripada hasil dibuat.

Jumlah pendapatan yang dicatatkan PKNS pada 2015 berjumlah RM609 juta, RM825 juta pada 2016 manakala RM624 juta pada 2017.

Dari segi perbelanjaan, PKNS merekodkan jumlah RM462 juta pada 2015, RM502 juta pada 2016 sementara RM508 juta pada 2017.

Aset yang dinilaikan pula berjumlah adalah RM5.4 bilion (2015), RM5.9 bilion (2016) dan RM6.6 bilion (2017)

Bagi libialiti ditanggung PKNS pula, sejumlah RM1 bilion pada 2015, RM1.15 bilion pada 2016 sementara RM1.74 bilion pada 2017.

Amirudin berkata, keluasan tanah yang belum dimajukan milik PKNS di Negeri Selangor secara kelesuruhan berkeluasan 9,016.72 ekar manakala keluasan tanah belum dimajukan milik anak syarikat PKNS pula seluas 108.413 ekar.

 

Categories
SELANGOR

Suee Lim: Etika pemakaian Dewan Negeri sejak 1959

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 DIS: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim menempelak Ahli Dewan Negeri (ADN), Datuk Mohd Imran Tamrin yang mempersoalkan etika pemakaian ADN ketika bersidang.

Sebaliknya, beliau berkata, etika pemakaian itu adalah amalan dan tradisi sejak penubuhan DNS pada 1959.

Katanya, mengikut amalan berkenaan, kod pemakaian bagi ‘nombor satu’ adalah dipakai pada sesi perasmian manakala baju Melayu pada hari pembukaan.

“Selain itu, kod pemakaian ketika bersidang adalah ‘long suit’ gelap dan dibenarkan berbaju Melayu pada hari Jumaat.

“Saya menegur ADN Taman Templer, Mohd Sany Hamzah kerana gagal mematuhi etika pemakaian supaya lebih berdispilin.

“Saya faham jika ADN yang masih baru kurang memahami peraturan DNS, namun 14 hari atau 21 hari sebelum DNS bersidang, dalam surat jemputan sudah dinyatakan dengan jelas berhubung etika pemakaian,” katanya dalam sidang media di Lobi Anexe, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Suee Lim berkata, perkara itu boleh dibahaskan sekiranya Mohd Imran merasakan ia perlu diubah bagi mengikut keperluan semasa.

“Selepas berbahas kita boleh mengambil maklum hal itu dan seterusnya boleh bersidang dalam Jawatankuasa Peraturan Tetap,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengigatkan semua ADN supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan agama serta provokasi supaya tidak menimbulkan ketegangan kaum.

“Beliau peguam, sepatutnya tahu dan mengambil maklum perkara itu dan saya tidak menyentuh langsung akan kesucian DNS, boleh dengar ‘hansard’.

“Perkara ini jelas, Dato’ Menteri Besar, Exco atau Pegawai Kerajaan tahu perkara itu, tak kan beliau tak faham,” katanya.

Terdahulu, Mohd Imran mempersoalkan tindakan Suee Lim menegur ADN Taman Templer kerana memakai baju Melayu ketika sesi persidangan DNS, Selasa lalu.

Mohd Imran mempertahankan tindakan Mohd Sany dan mengatakan baju Melayu lengkap bersongkok dan bersampin tidak melanggar peraturan DNS serta mencemarkan kemuliaan dewan.

Categories
SELANGOR

Pembukaan Sidang DNS penuh istiadat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali ke-14 Tahun 2018 berlangsung penuh istiadat, pagi tadi.

Istiadat diadakan di Bangunan DNS itu dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Istiadat bermula dengan Kawalan Kehormat Utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyembahkan Hormat Sedia sebaik sahaja keberangkatan tiba baginda sebelum disusuli Lagu Negeri Selangor.

Selepas itu baginda melakukan pemeriksaan perbarisan dengan diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Speaker DNS, Ng Suee Lim.

Sebaik selesai pemeriksaan perbarisan, Lagu Negeri Selangor sekali lagi berkumandang menandakan berakhirnya upacara perbarisan yang diadakan di Dataran Dewan Negeri itu.

Baginda kemudiannya berangkat masuk ke Bangunan DNS dengan melalui barisan jejawat-jejawat istana yang terdiri daripada empat jejawat berpedang, 24 jejawat pembawa 8 tombak, 16 lembing dan payung diraja.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Junjung titah nasihat Sultan, DNS mercu tanda demokrasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 JUL: Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Sue Lim dan Timbalan Speaker, Mohd Khairuddin Othman menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menjaga imej Dewan Negeri Selangor (DNS) sebagai mercu tanda demokrasi.

Sue Lim berkata, baginda sangat prihatin terhadap perkembangan DNS yang menjadi contoh kepada dewan-dewan lain di negara ini.

“Suasana mengadap berlangsung dalam suasana ceria, baginda sangat gembira dan prihatin terhadap perkembangan DNS yang selama ini menjadi mercu tanda demokrasi.

“Ia juga menjadi teladan negeri lain sejak 2008 setelah melalui proses reformasi di bawah Dato’ Speaker ketika itu, Dato’ Teng Chang Kim dan selepas itu disusuli dengan Hannah Yeoh.

“Sekarang tiba pula giliran saya dan berharap dapat meneruskan kecemerlangan ini bagi memastikan DNS lain daripada yang lain,” katanya selepas sembah mengadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Sue Lim berkata, dalam pertemuan berlangsung selama kira-kira satu jam 30 minit itu, baginda turut bertitah supaya kekecohan yang berlaku di Dewan Parlimen baru-baru ini dijadikan iktibar dan perjalanan persidangan hendaklah dikendalikan dengan mengikuti Prosedur Piawaian Operasi (SOP), tertib dan terkawal sejajar dengan kemuliaan DNS.

Katanya, baginda juga menitahkan supaya semua Ahli Dewan Negeri (ADN) mematuhi kod etika pakaian ketika berada di DNS nanti.

“Saya dan timbalan saya sangat banyak menerima nasihat dan kami terima dengan hati terbuka dalam memastikan DNS terus bertenaga, berada di hadapan sebagai peneraju dewan di seluruh negara sebagai dewan yang demokratik, terbuka, dinamik dan berinovasi,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Khairuddin pula berkata, beliau akan memegang teguh titah amanat baginda yang mahukan supaya piawaian tinggi DNS dikekalkan dan tidak membelakangkan peraturan dewan.

Katanya, baginda juga menitahkan supaya pemimpin masyarakat khasnya Ahli Dewan Negeri ADN supaya tidak melupakan fakta sejarah bagi membentuk Selangor yang lebih baik di masa hadapan.

“Ini termasuk menyuburkan lagi keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang menuntut semua ADN tanpa mengira parti harus menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat.

“Bagaimana kita mahu menunjukkan contoh teladan yang baik jika sikap kita di dalam dewan tidak menghormati kemuliaan dewan itu sendiri,” katanya.

Katanya lagi, setiap ADN harus ingat bahawa tingkah laku mereka sepanjang Persidangan DNS berlangsung dapat disaksikan rakyat secara langsung menerusi TV Selangor khasnya.

“Kita kena jaga tingkah laku kita kerana ribuan rakyat memerhatikan dan menilai setiap tingkah laku kita dalam dewan termasuklah anak-anak kita,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Delegasi DNJ kunjungi DNS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JUL: Dewan Negeri Selangor (DNS) bersedia berkongsi pengalaman dengan Dewan Negeri Johor (DNJ) dan dewan negeri-negeri lain bagi meningkatkan lagi demokrasi di negara ini.

Speaker DNS, Ng Sue Lim berkata, DNS amat berbesar hati menerima kunjungan hormat delegasi DNJ yang diketuai Speakernya, Suhaizan Kayat.

“DNS menerima kunjungan hormat delegasi Speaker DNJ pertama bagi Penggal ke-14 ini yang diketuai Suhaizan Kayat bersama Timbalannya Gan Peck Cheng dan juga juru tulis Subanah.

“Terima kasih atas kunjungan ini dan memilih DNS sebagai dewan yang pertama untuk dikunjungi, ia sangat bermakna kerana DNS terkenal dengan komitmen serta usaha reform dan pembaharuan dewan berbanding semua dewan-dewan negeri lain hatta di peringkat Parlimen sekalipun,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Sue Lim berkata, antara pembaharuan DNS yang menarik perhatian delegasi terbabit seperti masa dan ruang perbahasan terbuka luas untuk penyokong kerajaan dan pembangkang.

Katanya, DNS juga mewujudkan jawatankuasa pilihan khas yang baru dan juga jawatankuasa kebertanggungjawaban dan keteleusan (SELCAT).

Katanya, kemampuan DNS memastikan doktrin pengasingan kuasa antara eksekutif, legaslatif dan perundangan berjalan lancar turut menarika perhatian banyak pihak.

Sementara itu, Timbalan Speaker DNS, Mohd Khairuddin Othman berkata, pada pertemuan itu kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai pandangan dan pendekatan perjalanan dewan masing-masing.

“DNS telah meletakan penanda aras yang tinggi dalam pengendalian perjalanan institusi legislatif di negeri.

“DNJ dan DNS akan terus bertukar idea dan pandangan pada masa hadapan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sedia hadapi kemungkinan Parlimen bubar ketika DNS bersidang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan Parlimen dibubarkan ketika Persidangan Penggal Keenam, DNS Yang Ke-13 Tahun 2018 sedang dijalankan.

Speaker DNS, Hannah Yeoh berkata, pembubaran Dewan Negeri Selangor bergantung kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sekiranya Parlimen bubar ketika persidangan DNS, kita sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Semua sudah bersedia.

“Kalau parlimen dibubarkan, di peringkat negeri pula bergantung kepada Dato’ Menteri Besar dan Sultan,” katanya kepada media selepas berlangsungnya Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam, DNS Yang Ke-13 Tahun 2018 di DNS di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika mengulas perjalanan persidangan DNS kali ini, Hannah menjangkakan persidangan kali ini tidak akan memakan masa yang panjang.

Jelasnya, walaupun beliau menjangkakan persidangan akan berakhir dalam tempoh satu minggu atau kurang daripada itu tetapi ia bergantung kepada perbahasan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor.

“Kali ini kita ada satu Rang Undang-undang Perhutanan, perbahasan untuk semua Adun dan kita ada lima penyata untuk dibentangkan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Pembukaan Persidangan Penggal Ke-6 DNS berlangsung penuh istiadat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Pembukaan Persidangan Penggal Ke-6 Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 berlangsung penuh istiadat pagi tadi.

Istiadat diadakan di Bangunan DNS itu dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Istiadat bermula dengan Kawalan Kehormat Utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyembahkan Hormat Sedia sebaik sahaja keberangkatan tiba baginda berdua sebelum disusuli Lagu Negeri Selangor.

Selepas itu baginda melakukan pemeriksaan perbarisan dengan diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Speaker DNS, Hannah Yeoh.

Sebaik selesai pemeriksaan perbarisan, Lagu Negeri Selangor sekali lagi berkumandang menandakan berakhirnya upacara perbarisan yang diadakan di Dataran Dewan Negeri itu.

Baginda kemudiannya berangkat masuk ke Bangunan DNS dengan melalui barisan jejawat-jejawat istana yang terdiri daripada empat jejawat berpedang, 24 jejawat pembawa 8 tombak, 16 lembing dan payung diraja.

Sebelum menyampaikan titah ucapan, baginda turut berkenan dalam sesi fotografi bersama ahli-ahli DNS.

Categories
SELANGOR

DNS kecoh: Pembangkang sensitif perkataan ‘dedak’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JULAI: Sesi sebelah petang persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) kecoh apabila beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang mencadangkan supaya DNS tidak membenarkan perkataan dedak digunakan di dalam dewan.

Cadangan itu dibuat apabila ADN Sekinchan, Ng Sue Lim menemplak golongan dinamakan sebagai ‘pemakan dedak’ yang dipercayai merujuk kepada pemimpin Umno-BN yang menerima imbuhan bagi mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB.

Bagaimanapun, cadangan ketika sesi perbahasan usul ‘mengkaji impak skandal 1MDB terhadap rakyat Selangor’ itu dibantah Sue Lim berikutan dedak juga merupakan bahan penting dalam sektor penternakan.

IMG_5220“Ada dedak yang diperbuat daripada hampa padi. Ini penting dalam pertanian,” kata Sue Lim pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DNS Ke-13 Tahun 2017 di Bangunan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Tidak berpuas hati dengan bantahan Sue Lim, ADN pembangkang kemudiannya meminta supaya Sue Lim memberikan definasi sebenar perkataan ‘dedak’.

Bagaimanapun, permintaan pembangkang ditolak Speaker DNS, Hannah Yeoh berikutan Sue Lim bukanlah pihak yang mempunyai kuasa menjelaskan makna perkataan itu sebaliknya pihak bertanggungjawab dalam isu Bahasa Melayu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka atau pakar bahasa.

Susana kecoh itu akhirnya dileraikan Hannah Yeoh dengan meminta Sue Lim meneruskan perbahasan usul dengan tidak menujukan kepada ADN lain.

Categories
SELANGOR

Janji Hospital Tanjung Karang: ‘Riuh satu kampung, telur tak keluar’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Persekutuan mengambil masa terlalu lama sehingga lebih 16 tahun untuk memulakan projek pembinaan Hospital Tanjung Karang seperti dijanjikan sebelumnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Sue Lim, berkata janji dibuat Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar itu turut diberikan publisiti meluas dengan tujuan mendapatkan imej sendiri.

“Noh Omar janji 16 tahun lalu, pada masa itu kawan anak saya baru 10 tahun dan sekarang sudah 26 tahun, berkawin dan ada tiga anak.

“Bila kita asak-asak barulah kita tengok rumput-rumputnya dibersihkan. Jangan cakap gegak gempita, riuh satu kampung, telur tak keluar. Memalukan ,” katanya ketika membahaskan usul menyembah ucapan terima kasih di atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Ketika menyentuh prestasi Kerajaan Negeri sejak 2008, Sue Lim memberitahu prestasi Kerajaan Pakatan Selangor pada masa ini dicemburui Umno-BN yang mentadbir Kerajaan Negeri sebelum itu.

Sue Lim turut menyentuh beberapa isu lain seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan ADN BN.

-nR-

Categories
SELANGOR

‘Dengan izin’ di DNS wajar disertakan Bahasa Melayu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor disarankan meningkatkan lagi penggunaan Bahasa Melayu semasa berhujah dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Perkara itu dibangkitkan Pengerusi Wadah Selangor, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail, ketika menyertai sesi soal jawab pada Seminar Antara Budaya: Ilmu, Agama – Idealogi dan Bahasa anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) di Auditorium IDE di sini, semalam.

“Saya kira lebih bagus sekiranya Ahli Yang Berhormat yang mahu menggunakan ungkapan Bahasa Inggeris di dalam dewan bukan sahaja berkata ‘dengan izin’ tetapi perlu juga nyatakan dalam Bahasa Melayu dahulu dan selepas itu barulah meminta ‘dengan izin’ dan diikuti ungkapan dalam Bahasa Inggeris untuk menguatkan lagi atau memperkayakan hujahnya,” katanya.

Sementara itu, ADN Hulu Kelang, Saari Sungib ketika mengulas isu sama, menyifatkan ia cadangan yang baik untuk memperkasakan lagi penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan Ahli DNS.

“Ini cadangan yang baik dan saya akan praktikan bila dewan bersidang selain menguar-uarkan kepada rakan lain supaya mereka juga mengambil langkah sama,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada seminar sama.

Jelasnya, selain mampu memartabatkan Bahasa Malaysia, amalan itu sedikit sebanyak turut meningkatkan penguasaan ADN untuk berkomunikasi dalam bahasa Malaysia.

-nR-

MBI teliti maklum balas Kamar Penasihat Undang-undang Negeri

MBI sedang meneliti maklum balas awal Kamar Penasihat Undang-undang Negeri bagi cadangan penambahbaikan tadbir urus korporat. Laporan secara tahunan itu juga akan dipaparkan secara online.

DNS : Kebajikan rakyat dan peranan pembangkang terus diperkukuh

Pembangunan dan kebajikan rakyat terus diberi perhatian Kerajaan Negeri melalui perbahasan dan pembentangan di Dewan Negeri Selangor (DNS).