Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun Kuang Bohong, Tapak Tadika Dibina Bangunan Komersil

SHAH ALAM 22 NOV : Tanah dua lot di Sekinchan dan Tanjong Karang yang dimiliki Umno dengan bayaran premium RM1 bagi membina tadika dan Dewan Serbaguna bertukar menjadi bangunan komersil lima tingkat dan dijual dengan harga lebih RM5 juta dakwa Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Semalam, dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Adun Kuang, Abdul Syukur Idrus yang juga Ketua Penerangan BN negeri itu memaklumkan tanah itu dibeli oleh Umno-BN untuk tujuan pembinaan dewan serbaguna dan tadika.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata ia merupakan satu pembohongan yang tidak boleh diterima kerana tanah itu juga sudah dijual dan dimiliki oleh syarikat swasta Bumi Utama Building Material Sdn Bhd yang beralamat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Selasa lalu, Suee Lim mendedahkan skandal 23 kes pemilikan tanah di Selangor oleh parti komponen Umno-BN.

Beliau berkata tanah tersebut melibatkan 23 kawasan di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN melibatkan harga  sebanyak RM20 juta.

Ia melibatkan parti komponen dan pemimpin Umno-BN termasuk Umno, MCA, MIC dan Gerakan di mana parti-parti tersebut hanya dikenakan bayaran premium RM 1 satu meter persegi.

Sehubungan itu, Suee Lim berkata pihaknya akan mendapatkan anggaran harga yang betul bagi kesemua 23 lot tanah itu dan akan mendedahkannya akan datang serta mengumumkan penyelesaian yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei meminta Umno-BN menyerahkan kembali hak pemilikan satu lot tanah yang diberi kepada Umno Bukit Raja di daerah Klang.

Hal itu kerana tanah itu bukan dibangunkan Pusat Belia dan Rekreasi tetapi projek perumahan mewah yang terbengkalai kini.

“Jika Umno-BN tidak mahu memulang kembali kepada Kerajaan Negeri, mereka perlu membayar semua pampasan mengikut premium semasa,” katanya dalam sidang media di Lobi Bangunan Annex.

Hadir sama beberapa pemimpin PR dari semua parti.

Tanah yang berkeluasan tujuh ekar itu dikongsi bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bagaimanapun kesemua cukai tanah dibayar oleh MBSA kerana ia dibawah satu geran.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sasar Bangun Semula Industri Koko

SHAH ALAM 22 NOV : Kerajaan Negeri mensasarkan membangunkan semula industri tanaman koko berjumlah 10,000 ekar.

Perkara ini dinyatakan Exco Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari ketika menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar pada sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Jelasnya, penanaman koko ini menjadi pemerhatian semula Kerajaan Negeri ekoran masalah yang dihadapi petani tanaman pisang nipah.

Menurutnya, setakat ini projek tanaman semula koko dibuat di Kampung Bukit Kerayong, Klang.

“Kita cuba meningkatkan koko bersama dengan Lembaga Koko Malaysia mensasarkan sekitar 10,000 ekar di Selangor ini tapi tidak boleh kerana kita tidak mempunyai tempat yang luas.

“Buat masa ini, ia ditanam dibawah pokok kelapa yang sedia ada.

“Asalnya kawasan ini untuk tanaman koko. Harga jatuh maka petani tukar kepada tanaman pisang nipah,” katanya.

Berhubung persoalan mengenai peruntukkan pula, Dr Yaakob menjelaskan dana untuk pembangunan berkenaan  disediakan di bawah Lembaga Koko Malaysia.

Categories
NASIONAL

Iltizam PR Lonjakkan Prestasi Jabatan, Agensi Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 21 NOV: Iltizam yang kuat oleh Pakatan Rakyat(PR)untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat Selangor menjadikan prestasi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri mencatatkan peningkatan mendadak selepas 2008.

Akhirnya usaha semua pihak ini membuahkan hasil apabila laporan Ketua Audit Negara membuktikan peningkatan ketara.

Demikian menurut Adun Batu Caves, Amirudin Shari ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Mengulas lanjut ketika ditemui selepas DNS untuk hari ketiga selesai bersidang, beliau berkata usaha ini boleh ditingkatkan lagi.

“Sebagai contoh, untuk tahap prestasi kewangan pada 2007 tiada satu pun jabatan atau agensi negeri yang berjaya mendapat penarafan ‘sangat baik’, tetapi kita dapat satu pada 2008 dan 2009, terus melonjak empat ‘sangat baik’ 2010 dan pada 2011 sebanyak lapan jabatan perolehi sangat baik.

“Bagi penarafan ‘baik’ cuma lapan pada 2007 sekarang jadi 10, dahulu ada dua jabatan cukup makan ‘memuaskan’ sekarang tak ada lagi, tetapi cuma yang ada ‘terbaik’ dan ‘baik’ sahaja,” ujar beliau.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 baru-baru ini, kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR mendapat pujian daripada Ketua Audit, Tan Sri Amrin Buang atas pelbagai pencapaian yang dibawa oleh Kerajaan PR.

Antaranya termasuklah laporan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Selangor yang meningkat sejumlah RM266.91 juta (20.2 peratus) kepada RM1,586.88 juta pada 2010.

Categories
SELANGOR

Penyata Pendengaran Awam SELCAT Diedarkan Isnin

SHAH ALAM, 21 NOV : Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Kim memaklumkan, lima laporan penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) telah dibentangkan di dalam sidang dewan kali ini.

Menurutnya, laporan tersebut berkenaan rumusan yang dibuat Jawatankuasa Selcat selepas semua pendengaran awam sepanjang tahun ini.

Beliau turut memaklumkan, laporan penuh dalam bentuk buku masih belum sempat dicetak dan hanya akan diedarkan pada Isnin hadapan.

“Untuk makluman, Jawatankuasa Selcat telah membentangkan lima penyata berkaitan pendengaran awam di dewan (DNS) (pada Isnin lalu),” katanya ketika sidang media.

Lima penyata tersebut adalah tentang Pembangunan Tanah Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kelana Jaya dan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2), dan siasatan ke atas Urusniaga Perlombongan Pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Selain itu, terdapat juga penyata mengenai pendengaran berkaitan perolehan penggunaan dan pulangan pinjaman RM 90.3 juta oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Agro Industry Sdn Bhd (PAISB) daripada Kementerian Kewangan, kejadian banjir Hulu Langat dan Klang Selatan, dan Laporan audit 2010 pengurusan kewangan Yayasan Selangor.

Categories
NASIONAL

Alasan Umno-BN Tidak Bina Jambatan Ke-Tiga Klang Tak Boleh Diterima

 

SHAH ALAM 20 NOV : Jawapan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Satim Diman tentang mengapa Kerajaan Pusat Umno-BN tidak meneruskan projek jambatan ke-tiga Klang adalah alasan dangkal yang tidak boleh diterima.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini, Satim berkata Kerajaan Pusat tidak meneruskan projek tersebut yang dijanjikan pada 2008 kerana Umno-BN kalah di Selangor pada pilihanraya umum tahun itu.

ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei berkata, projek tersebut adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya di bawah kawalan Kerajaan Pusat yang masih dikuasai Umno-BN.

“Alasan itu sama sekali tidak boleh diterima. Kalau mereka menggunakan alasan bahawa Umno-BN kalah maka mereka tidak bina jambatan, ini menunjukkan mereka keliru di antara keputusan dibuat oleh kerajaan atau pihak politik.

“Dalam isu ini jelas menunjukkan bahawa Umno-BN lebih bersikap politik di mana mereka mengatakan kalau menang baru mereka bina,” katanya kepada TVSelangor di lobi DNS di sini hari ini.

Ketika Satim membahaskan Belanjawan 2013 beliau mendakwa Pakatan Rakyat tidak menunaikan janji di dalam manifesto pilihanraya 2008 (PRU-12).

Shuhaimi mencelah dengan membangkitkan isu jambatan ketiga di Klang yang tidak dibina Umno-BN.

Satim memberi alasan projek tersebut tidak diteruskan kerana Umno-BN kalah di dalam PRU-12 dan kehilangan kuasa di Selangor.

Di luar DNS, Shuhaimi berkata jambatan tersebut tidak disiapkan bahkan rancangan membinanya juga tidak dimasukkan dalam mana-mana rancangan pembangunan persekutuan.

“Ini jelas membuktikan apa yang disebut (Menteri Kerja Raya) Samy Vellu pada masa itu sebagai satu janji politik semata-mata untuk menarik undi menyokong mereka.

“Pada saya mereka lari dari tanggungjawab yang sebenar kerana apa yang mereka lakukan adalah untuk menyeksa rakyat Selangor,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Selangor Buktikan Ketelusan, Beri Rakyat Akses Kertas Putih Talam, Status Penyusunan Air

SHAH ALAM, 20 NOV: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekali lagi membuktikan ketelusan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat dengan mendedahkan dua dokumen berkaitan dua isu yang menjadi bahan polemik Umno-BN.

Dokumen terbabit adalah Kertas Putih berhubung proses kutipan hutang syarikat Talam Corporation Bhd bernilai RM 392 juta yang diabaikan pentadbiran Umno-BN dahulu.

Selain itu, turut didedahkan kepada masyarakat umum, laporan status penstrukturan semula industri air Selangor.

Dua dokumen tersebut boleh diakses di laman web rasmi Kerajaan Negeri dan laman web Media Selangorku bermula esok.

Demikian menurut Abdul Khalid dalam sidang medianya di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Abdul Khalid memberitahu langkah tersebut diambil agar rakyat Selangor mengetahui situasi sebenar berkaitan dua isu itu.

“Laporan penuh (firma audit) KPMG serta dokumen berkaitan kutipan hutang yang dalam simpanan Pejabat DNS juga boleh disemak oleh orang awam tertakluk kepada prosedur di bawah Akta Kebebasan Maklumat.

“Kita (juga) menjelaskan komitmen kerajaan negeri semenjak 2008 untuk ambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi bagi memastikan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putra Jaya mendapat perkhidmatan air yang cekap pada kadar tarif yang munasabah,” kata beliau.

Abdul Khalid memberitahu antara dokumen yang didedahkan termasuklah semua surat menyurat di antara Kerajaan Negeri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkenaan usaha pengambilalihan pengurusan air oleh Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid turut menambah, menerusi dokumen tersebut, rakyat akan memahami pendirian Kerajaan Pusat yang tidak berminat menjaga kebajikan rakyat sebaliknya lebih mengutamakan syarikat konsesi yang sudah terbukti adalah kroni Umno.

Lampiran:

Kertas Putih – Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air

Categories
SELANGOR

Yaakob: Kerajaan Negeri Beri Pelbagai Inisiatif Bantu Nelayan

SHAH ALAM 20 NOV: Kerajaan Selangor telah memberikan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan nelayan negeri ini seperti bot dan peralatan menangkap ikan.

Exco Pertanian dan Pengurusan Sumber Alam, Yaakob Sapari berkata, pada tahun 2012 Kerajaan Negeri memberikan peruntukan kepada Jabatan Perikanan bernilai RM 300,000 untuk membantu nelayan di Selangor.

Katanya, bantuan yang diberikan adalah sampan ‘fibreglass’, engin serta jaring untuk menangkap ikan.

“Melalui peruntukan dana nelayan oleh Kerajaan Negeri ini yang memberikan pelbagai bantuan peralatan dan alat tangkapan ikan diharap memastikan hasil tangkapan dapat ditingkatkan,” katanya yang merupakan Adun Kota Anggerik.

Yaakob berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Dr Shafie Abu Bakar (Pas-Bangi) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sehingga kini, terdapat 7,655 orang nelayan di Selangor di dalam enam daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Purata pendapatan mereka sekitar RM 1,000 hingga RM 1,500.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menyediakan program bantuan peralatan menangkap ikan kepada nelayan di negeri ini.

Dalam pada itu, Yaakob berkata, program bantuan menaiktaraf jeti pendaratan ikan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perikanan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peruntukan RM81.8 Juta Untuk Laksana MARRIS

SHAH ALAM 20 NOV : Sehingga Oktober lalu, sejumlah RM81.8 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Program Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Jumlah ini, menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meliputi 1, 141 projek yang disenaraikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah Tanah sepanjang tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Balakong, Yap Lum Chin berkenaan Program MARRIS dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi tadi.

Mengulas lanjut, Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan Program MARRIS dapat dijalankan dengan efektif dan bermutu.

“Kerajaan Negeri menetapkan penglibatan Adun untuk mengenalpasti dan mengemukakan projek-projek penyelenggaraan jalan, dengan perbincangan diadakan bersama PBT untuk dilaksanakan.

“Kaedah ini membolehkan Adun mengawal selia peruntukan di samping mengelakkan penyelewengan,” jelas beliau yang juga Adun Ijok.

Tambah beliau, perlantikan kontraktor juga dibuat secara sebutharga bagi mendapatkan nilai terbaikbagi setiap wang yang dibelanjakan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menubuhkan pasukan Audit di setiap PBT untuk menjalankan pengauditan kerja secara berterusan.

“Dengan perlaksanaan secara perolehan terbuka ini, kita boleh menyatakan kepada rakyat bahawa nilai setiap projek setimpal dengan kerja dilakukan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Selangor Minta Ketua Audit Negara Kaji Geran Selangorku

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri Selangor meminta Ketua Audit Negara membuat penyelidikan terhadap Geran Selangorku bagi membandingkannya dengan geran-geran negeri lain.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan usaha tersebut pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

“Dengan cara ini kita dapat tingkatkan lagi tatacara perlaksanaannya,” ujar Abdul Khalid.

Dalam sidang media semalam, Abdul Khalid berkata hampir RM 200 juta dari RM 300 juta jumlah keseluruhan Geran Selangorku (GSK) telah digunakan dan bakinya masih boleh digunakan pada tahun 2013 tanpa perlu kelulusan DNS.

GSK merupakan sebuah geran untuk membiayai projek infrastruktur dan kemudahan awam di seluruh Selangor seperti jalan raya dan lampu jalan kampung, baikpulih masjid dan gelanggang sukan.

Dana untuk GSK diperolehi daripada pengutipan hutang Talam Corporation RM 392 juta serta penstrukturan semula Canal City.

Semua Billboard Noh Omar, PM Akan di Roboh MDKS

SHAH ALAM, 10 JULAI : Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar didakwa melakukan promosi dengan memasang billboard secara haram di beberapa kawasan di daerah Kuala Selangor yang memaparkan wajahnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, hasil semakan dilakukan didapati terdapat tujuh billboard berkaitan yang dipasang secara haram di Tanjung Karang dan Kuala Selangor yang semuanya melanggar peraturan dan tanpa kebenaran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Beliau berkata, tindakan Noh yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani itu jelas membelakangkan peraturan dan undang-undang yang menjadikan Tanjong Karang umpama pekan koboi dengan boleh dilakukan apa saja tanpa perlu merujuk kepada pihak berkuasa.

“Mungkin Perdana Menteri tidak tahu perkara ini kerana Noh adalah orang kepercayaannya. Dengan pendedahan ini, kita pasti Najib akan merasa malu apabila gambarnya dipaparkan pada billboarad haram.

“Jika undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pun tidak boleh dipatuhi, adakah rakyat Selangor rela menerima Noh sebagai calon Menteri Besar jika Umno-BN menang pada pilihanraya akan datang? Perdana Menteri sepatutnya berfikir 10 kali tentang perkara ini,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Faekah berkata, Kerajaan Negeri telah lama memberi peluang kepada Noh tetapi tidak mengambil inisiatif untuk berbincang dengan MDKS atau merujuk terlebih dahulu sebelum membina billboard tersebut.

Sehubungan itu, katanya, arahan merobohkan semua billboard telah dikeluarkan kepada MDKS.

Menurutnya, tindakan Noh itu amat dikesali kerana sebelum ini beliau mencerca Pakatan Rakyat (Pakatan) kononnya hanya tahu memacakkan billboard yang dikatakan tindakan tidak tahu diuntung.

Tambahnya, Kerajaan Negeri menggunakan billboard di seluruh negeri ini untuk menyebarluaskan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk memberi manfaat kepada rakyat yang tidak mungkin mendapat maklumat ini menerusi media cetak arus perdana dan televisyen.

“Kita meminta kebenaran untuk meminjam billboard milik PBT di seluruh negeri. Kita juga membina 56 billboard baru iaitu satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu billboard untuk mempromosikan MES selepas mendapat cadangan dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) dan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Projek ini dibuat secara tender terbuka dan pemilihan tapak dibuat atas nasihat PBT. Kita memastikan pembinaan billboard ini mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh PBT dan mengingatkan PBT supaya mengambil tindakan sekiranya kontraktor terlibat gagal mematuhi garis panduan,” katanya.