Categories
AGENDA NASIONAL

7,258 peniaga kecil dibimbing ke arah digital

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 7,258 peniaga kecil negeri ini dibimbing untuk beralih ke arah digital setakat November bagi mengelak tertinggal dalam arus pemodenan.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata golongan itu mendapat tunjuk ajar daripada Rakan Digital Selangor (RDS) yang diterajui belia.

“RDS melantik 1,000 belia yang bersama menggembleng tenaga ke lapangan bagi membimbing dan memimpin golongan sasar agar tidak ketinggalan bagi menghadapi generasi digital.

“Duta RDS juga mengenal pasti sejumlah 20,919 golongan sasaran yang berpotensi untuk didaftarkan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan wakil rakyat Banting Lau Weng San berhubung perkembangan RDS tahun ini.

Chang Kim berkata sebanyak RM3 juta dibelanjakan setakat ini dan akan diteruskan tahun depan yang dipergiat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi membantu golongan sasar.

Belanjawan negeri yang dibentangkan Jumaat lalu menyediakan dana tambahan RM6 juta sumbangan PNSB bagi meneruskan inisiatif tersebut dan Platform Selangor (PLATS).

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kompleks rumah pekerja lindungi penduduk berdekatan kawasan kilang

SHAH ALAM, 2 DIS: Pembangunan kompleks perumahan pekerja di Selangor diyakini mampu menjamin keselamatan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan industri dan kilang.

Wakil rakyat Balakong berkata inisiatif itu merungkai kebimbangan penduduk di lokasi titik panas terutama asrama pekerja asing yang banyak merekodkan kes Covid-19.

“Hal ini membimbangkan penduduk kerana sering berlaku insiden warga asing tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) akibat tidak fasih bahasa Melayu.

“Justeru, saya amat menyokong usaha Kerajaan Negeri membangunkan kompleks ini,” kata Wong Siew Ki ketika sesi perbahasan Belanjawan Selangor 202 pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau turut berharap kompleks perumahan terbabit diurus dengan teliti dan berhati-hati selain diselia sepenuhnya oleh warga tempatan.

“Sebaliknya bukan jatuh atas tangan warga asing kerana dibimbangi kompleks ini menjadi satu kawasan di luar kawalan kita,” katanya lagi.

Belanjawan negeri yang dibentang Jumaat lalu memperuntuk RM5 juta bagi membina kompleks perumahan pekerja, yang dilaksanakan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kompleks terbabit bakal dilengkapi kemudahan seperti kedai dobi, restoran dan kedai runcit.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

10 sekolah jadi medan cungkil bakat baharu bola sepak

SHAH ALAM, 2 DIS: Sebanyak 10 buah sekolah di negeri ini dijadikan platform bagi mencari bakat baharu bola sepak bermula dari peringkat akar umbi, kata EXCO sukan.

Lima daripadanya merupakan akademi tunas meliputi Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Putra Heights 2, SK Kajang, SK Batu Sembilan 9 dan SK Taman Bunga Raya 2, Hulu Selangor.

Sementara pusat latihan daerah merangkumi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, SMK Meru, SMK Shah Alam, SMK Kuala Kubu Bahru dan SMK Tinggi, Kajang, jelas Mohd Khairuddin Othman.

“Kerajaan Negeri melalui Persatuan Bolasepak Selangor dan Majlis Sukan Negeri Selangor sentiasa peka dengan program mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman berhubung cadangan membuka klinik bola sepak dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Mohd Khairuddin berkata Kelab Bola Sepak Selangor juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri melalui program Soccer Schools dengan penyertaan 80 pelajar dari setiap 12 sekolah di dua daerah.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor teliti kaedah bantu pembeli tukar hak milik strata

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri meneliti cadangan memudahkan pembeli unit pangsapuri menukar hak milik strata selepas menduduki kediaman bagi meringankan beban mereka.

Ia berikutan ramai pembeli tidak mampu menyempurnakan pindah milik kerana kos tinggi sekali gus mengekang penubuhan badan pengurusan bersama (JMB), kata EXCO kerajaan tempatan.

“Antara cadangan ialah memasukkan kos pindah milik pada peringkat awal pembelian hartanah dan bank selaku pihak yang membiayai pinjaman mengambil kira kos tersebut,” kata Ng Sze Han.

Beliau mewakili EXCO Perumahan Rodziah Ismail menjawab soalan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Sementara itu, Sze Han berkata sebanyak 549 pangsapuri kos rendah di negeri ini belum mempunyai JMB atas alasan fizikal bangunan yang uzur dan keengganan pemaju mengadakan mesyuarat pertama.

“Kita mewujudkan program bantuan pemulihan secara tunai untuk skim strata yang uzur dan tiada JMB bagi menaikkan semangat penduduk menubuhkannya serta mempergiat kempen kesedaran,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TikTok antara platform Media Selangor promosi aktiviti ADN

SHAH ALAM, 1 DIS: Aplikasi TikTok antara medium digunakan Media Selangor bagi melaporkan aktiviti terkini wakil rakyat negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan berita disiarkan di YouTube SelangorTV turut diterbit semula dalam pelbagai format di Facebook, Instagram dan Twitter.

Beliau menjelaskan media rasmi Kerajaan Negeri itu juga menyediakan kumpulan WhatsApp bagi berkongsi maklumat bersama pegawai pejabat Dewan Undangan Negeri.

“Sebagai media rasmi, Media Selangor berperanan sebagai penyambung antara Ahli Dewan Negeri (ADN) dan rakyat. Platform digital pula menyediakan liputan ADN melalui pelbagai segmen,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Balakong Wong Siew Kii yang diwakili ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung rancangan mengeratkan kerjasama antara Media Selangor dengan ADN.

Amirudin berkata berita berkait aktiviti dan usaha wakil rakyat menyelesaikan isu setempat turut dilapor setiap hari di portal empat edisi iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Misalnya, Selangorkini berbahasa Melayu memuatkan sekurang-kurangnya lapan foto ADN dan berita tujuh lagi wakil rakyat setiap minggu bergilir-gilir.

“Sementara tiga edisi lain mempunyai ruangan khas wawancara dan foto khidmat wakil rakyat di Selangor,” katanya lagi.

Categories
EXCO SELANGOR

Negeri peruntuk RM150,000 pelihara hutan bakau

SHAH ALAM, 1 DIS: Program pemuliharaan dan pemeliharaan hutan bakau diteruskan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM150,000 melalui bajet pembangunan negeri.

Dana itu digunakan bagi penanaman pokok bakau di Hutan Simpan Pulau Tonggak seluas dua hektar dan rawatan pokok bakau di Hutan Simpan Jugra, kata EXCO alam sekitar.

“Peruntukan juga bagi menyelenggara petak tanaman Rhu Pantai di Hutan Simpan Kapar Tambahan dan perolehan anak pokok bakau bagi penanaman oleh Jabatan Perhutanan Selangor,” kata Hee Loy Sian.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung status program berkenaan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang memaklumkan kerajaan persekutuan turut menyalur peruntukan berjumlah RM82,050 bagi menjayakan program sama.

Jelasnya, dana terbabit untuk melaksanakan perkhidmatan membekal dan menanam anak benih pokok bakau serta kerja lain yang berkaitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

1,076 kes dera kanak-kanak di Selangor hingga September

SHAH ALAM, 1 DIS: Sebanyak 1,076 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di Selangor antara Januari hingga September tahun ini, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Daripada jumlah itu, sebanyak 527 kes membabitkan penderaan fizikal, gangguan seksual (514) dan penderaan emosi (35), maklum Dr Siti Mariah Mahmud.

“Berdasarkan statistik polis Selangor, penderaan kanak-kanak di negeri ini dibahagikan kepada tiga kategori tanpa mengkhususkan kepada kes pedofil,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berhubung kes pedofilia dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Siti Mariah berkata Selangor memiliki 11 Pasukan Perlidungan Kanak-Kanak di setiap daerah untuk menyokong khidmat perlindungan kanak-kanak dalam komuniti.

Menurutnya, pasukan itu juga bertanggungjawab menyelaras aktiviti di 17 pusat aktiviti kanak-kanak (PAKK) di setiap daerah mengikut keperluan masyarakat.

“PAKK setiap daerah boleh berfungsi sebagai tempat rekreasi, pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis, pusat sukan dan riadah.

“Usaha ini untuk membantu mencegah kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak, ponteng sekolah, kerosakan akhlak dan lain-lain masalah sosial,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa khas bantu pengusaha inap desa dapat kebenaran merancang

SHAH ALAM, 1 DIS: Selangor bakal menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu pengusaha inap desa yang belum mendapat kebenaran merancang di premis mereka.

Tindakan itu susulan banyak inap desa beroperasi tanpa kebenaran di kawasan sungai dan tidak diiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT), kata EXCO Pelancongan Hee Loy Sian.

“Pejabat tanah dan daerah serta Tourism Selangor akan berbincang bagaimana untuk selesaikan isu ini supaya mereka dapat balik kebenaran merancang dengan syarat tertentu.

“Usaha ini secara tidak langsung membantu kelangsungan perniagaan mereka sekali gus mempromosi pelancongan inap desa,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Burong Dato’ Mohd Shamsudin Lias berhubung bentuk galakan kepada pengusaha inap desa bagi meningkatkan daya saing.

Loy Sian menambah Kerajaan Negeri sedang berusaha mempromosikan beberapa kawasan ekopelancongan bagi menggalakkan pelaburan swasta sekali gus menjadi tarikan pelancong.

Menurutnya, terdapat syarikat swasta bersetuju melabur sebanyak RM100 juta untuk menjadikan kawasan Taman Alam Kuala Selangor sebagai lokasi pelancongan antarabangsa.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor juga meluluskan cadangan itu secara dasar,” katanya menambah beberapa lokasi lain turut dicadangkan seperti Pulau Ketam, Sungai Limau dan Sungai Congkak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Nilai keperluan semasa pemohon antara penambahbaikan skim peduli sihat

SHAH ALAM, 30 NOV: Perubahan syarat dengan menilai keperluan semasa dan tanggungan pemohon tanpa terikat garis pendapatan tertentu antara penambahbaikan program Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS).

EXCO kesihatan awam berkata program yang kini dinamakan ‘Iltizam Selangor Sihat’ seperti diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2022 turut menambah kuota daripada 85,000 kepada 90,000 penerima.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan Ahli Dewan Negeri diberi kuasa autonomi untuk menilai dan meluluskan permohonan manfaat berkenaan.

“Manfaat insurans sedia ada juga dikekalkan, namun pembayaran akan dibuat berdasarkan kaedah tuntutan dan penerima manfaat diperluas untuk melindungi ahli keluarga peserta skim yang diperincikan nanti.

“Selain itu, manfaat kemalangan, kematian dan penyakit kritikal akan dikekalkan namun kadar manfaat juga dimaklumkan kemudian,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Pelek Ronnie Liu Tian Khiew berhubung penambahbaikan skim berkenaan.

Mengulas baki wang di akaun Peduli Sihat yang didakwa dibekukan tahun lalu, Dr Siti Mariah menjelaskan tiada sebarang pembekuan peruntukan SIPS dibuat.

Katanya sebanyak RM21.4 juta daripada RM39.5 juta peruntukan atau 54.2 peratus digunakan sehingga 31 Oktober tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 negeri lebih terkawal jika bekalan vaksin diterima Mac

SHAH ALAM, 30 OGOS: Lonjakan jangkitan Covid-19 di Selangor lebih terkawal jika vaksin ke negeri ini dibekalkan lebih awal, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri bersedia dari semua kerangka termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Covid-10 (STFC), menjalankan saringan bersasar dan menyediakan beberapa bantuan kepada pasukan hadapan sejak penularan berlaku.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan usaha itu terjejas apabila bekalan vaksin lewat diterima kerana kerajaan persekutuan menumpu kepada Sarawak memandangkan Pilihan Raya Negeri akan dijalankan.

“Beberapa minggu lepas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah maklumkan sepatutnya Selangor terima vaksin sekitar Mac atau April kerana dah jadi kawasan epid. Sebab itu (bekalan) Sarawak tinggi.

“Bila kes (Covid-19) meledak di Selangor, EXCO kesihatan bising..Duli Yang Maha Mulia (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) dua kali keluarkan titah kadar vaksin lemah, baru kita dapat bekalan dan laksanakan (vaksinasi),” katanya ketika sesi penggulungan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin berkata lebih 70 peratus rakyat berdaftar di aplikasi MySejahtera lengkap divaksin setakat hari ini termasuk suntikan daripada Program Vaksin Selangor (Selvax).

Jelasnya program suntikan kian menunjukkan kesan positif berdasarkan bilangan kes, penggunaan katil, pesakit di unit rawatan rapi, kematian warga emas dan jumlah pesakit Covid-19 sejak Mei hingga Ogos.

“Jumlah pesakit yang memerlukan oksigen di Maeps, Serdang turut berkurang sehingga lima kali ganda berbanding sebulan lalu iaitu dariapda 525 kepada 109 individu,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama negeri, agensi persekutuan bantu PKPD tamat awal

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerjasama Kerajaan Selangor dengan pengurusan daerah membantu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan tertentu negeri ini tamat lebih awal.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata itu membuktikan penyatuan semua pihak terlibat termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) dalam mendepani Covid-19 membuahkan hasil.

“Alhamdulillah setakat ini PKPD di Selangor berjalan baik malah direkodkan tutup lebih awal daripada tempoh dua minggu yang ditetapkan, berbanding pengalaman di Sungai Lui (Hulu Langat) yang hampir sebulan.

“Sekarang PKPD di Selangor ada tutup lima hingga lapan hari lebih awal. Ini tunjukkan bagaimana kita ubah dan berjaya menyatupadukan semua pihak secara keseluruhan,” katanya menjawab soalan ADN Sentosa Dr Gunarajah George berhubung tanggungjawab pengurusan bencana daerah mendepani Covid-19.

Antara lokaliti PKPD yang ditamatkan awal daripada jadual ialah Pangsapuri Damai PJS8, Damansara (seminggu awal); Gugusan Semarak, PJU 5 Kota Damansara (lima hari awal) dan Flat Taman Samudera Timur, Gombak (tiga hari awal).

Categories
EXCO SELANGOR

Sukarelawan Selangor bantu mangsa bencana, tumpu kebajikan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Program Sukarelawan Selangor (SERVE) bukan hanya berperanan membantu mangsa bencana atau kecemasan tetapi termasuk kebajikan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata pasukan itu juga ditugaskan untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong.

“Kita menggalakkan penglibatan individu ini bukan hanya untuk membantu mangsa bencana tetapi juga memfokuskan kebajikan dan gotong-royong,” katanya ketika sesi penggulungan pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Kerajaan Negeri dijadual melancarkan platform sukarelawan tersebut untuk individu berusia 36 tahun ke atas pada 16 September dengan menyasarkan seramai 2,800 ahli di seluruh negeri.

Program itu adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.