Isu Bas: Hamidzun Cuba Alih Isu Pecah Amanah Ketika Jadi Peguam Panel PKNS

SHAH ALAM, 24 OKT: Dakwaan terbaru Ketua Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin terhadap Menteri Besar Selangor merupakan cubaan untuk mengalihkan tumpuan terhadap kes pecah amanah yang membabitkan diri beliau sendiri.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata kes tersebut berlaku ketika Hamidzun menjadi peguam panel Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada suatu ketika dahulu.

Faekah berkata fitnah terbaru beliau bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan wang rakyat untuk membiayai kos sewa beli bas yang digunakan pemimpin parti untuk berkempen ke seluruh negara tidak benar sama sekali.

Abdul Khalid juga dari awal lagi dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Selangor pada bulan Ogos, mengumumkan bahawa kos bas dua tingat yang digunakan pemimpin Pakatan Rakyat untuk berkempen di seluruh negara itu ditanggungnya sendiri dan tidak melibatkan dana Kerajaan Negeri.

“Ini membuktikan bahawa sejak dari awal lagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menyembunyikan perkara ini malah mengambil sikap terbuka dan telus.

“Jika Hamidzun meragui perkara ini, beliau sepatutnya memberikan bukti kukuh bukannya membuat tuduhan sewenang-wenangnya,” menurut Faekah di dalam satu kenyataan media.

Menurut Faekah lagi, Abdul Khalid juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Hamidzun berterusan menjaja fitnah di media tanpa memberikan sebarang bukti.

Dakwaan Hamidzun telah dilaporkan di dalam sebuah akhbar dan beberapa laman web berita.

“Malah, pihak media juga sepatutnya berasa bimbang dan berfikir banyak kali sebelum menyiarkan dakwaan Hamidzun jika dakwaan itu tidak disertakan dengan bukti-bukti.

“Tan Sri Abdul Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini pernah dilemparkan pelbagai tuduhan tetapi selepas disiasat pihak berkuasa, ternyata ia tidak benar.

“Malah, seorang individu pernah diarah membuat kenyataan mohon maaf di media kerana membuat fitnah. Kejadian ini diharap boleh menjadi pengajaran kepada Hamidzun,” menurutnya lagi.

Faekah turut menganggap penubuhan GAPS semata-mata untuk menimbulkan persepsi negatif rakyat Selangor terhadap Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abdul Khalid.

Ianya dibuktikan apabila GAPS hanya mendiamkan diri berhubung isu kolam udang dan pemilikan tanah di Tanjung Karang oleh Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar dan isu sumbangan RM 40 juta kepada Umno Sabah yang merupakan antara isu hangat di media hari ini.

 

Categories
SELANGOR

SAMM Selangor Gesa Polis Siasat Hamidzun

SABAK BERNAM, 9 OKT : Polis digesa membuat siasatan segera terhadap Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin yang didakwa melakukan ‘penyelewengan’ ketika menjadi peguam kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Penyelaras Bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor, Azhar Achil berkata, walaupun kononnya Hamidzun membayar semula wang berkenaan tetapi dari segi profesionalisme guaman ia tetap merupakan kesalahan.

Justeru, pihak SAMM Selangor membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam bersama kira-kira 10 orang ahlinya menggesa tindakan segera diambil oleh polis.

“Jika benar perkara ini berlaku beliau (Hamidzun) seharusnya dilucutkan dari menjadi seorang peguam kerana jelas menipu dan dikhuatiri ramai lagi akan tertipu dengan gelaran peguamnya,” kata Azhar dalam kenyataan medianya.

Sebelum ini media melaporkan kes pecah amanah itu melibatkan wang berjumlah RM199,236.15 itu didakwa berlaku sebelum Oktober 2010, ketika Hamidzun merupakan rakan kongsi dalam firma guaman yang juga panel peguam PKNS, Zamri Ibrahim & Co.

Penyelewengan itu didakwa melibatkan kepentingan PKNS dan pembeli-pembeli projek perumahan yang dimajukan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

Setelah PKNS mengambil beberapa tindakan termasuk dua surat amaran, Hamidzun akhirnya menjelaskan bayaran duti setem pindah milik berjumlah RM46,626.15 kepada PKNS pada 6 Jun 2011.

Bayaran Duti Setem tersebut sepatutnya dibuat kepada Lembaga Hasil pada tahun 2009 lagi.

Manakala wang pemegang bernilai RM152,610 yang sepatutnya dijelaskan pada 2010 hanya dilangsaikan pada 24 Januari 2011.

Categories
SELANGOR

Nama Presiden GAPS Selangor Disebut Kes Pecah Amanah 2010

SHAH ALAM, 1 OKT: Kredibiliti Hamidzun Khairuddin sebagai Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dipertikai apabila beliau sendiri pernah didakwa terlibat dengan satu kejadian pecah amanah di Selangor.

Pecah amanah yang melibatkan wang berjumlah RM199,236.15 itu didakwa berlaku sebelum Oktober 2010, ketika Hamidzun merupakan rakan kongsi dalam firma guaman yang juga panel peguam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS), Zamri Ibrahim & Co.

Penyelewengan itu didakwa melibatkan kepentingan PKNS dan pembeli-pembeli projek perumahan yang dimajukan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

Demikian menurut satu sumber yang dihantar kepada TV Selangor hari ini.

Menurut sumber itu lagi, kejadian tersebut menyebabkan wang pemegang amanah berjumlah RM152, 610 yang diserah pembiaya kepada peguam untuk dibayar kepada PKNS bagi pihak pembeli rumah bagi projek rumah teres satu tingkat di Taman Permai Jaya, Cheras lesap.

Manakala wang duti setem berjumlah RM46, 626.15 yang sepatutnya dibayar kepada Lembaga Hasil sebagai pendaftaran pindah milik pangsapuri Danau Mas di seksyen 7 Shah Alam turut dilesapkan.

“Rentetan itu, para pembeli rumah terlibat membuat aduan kepada PKNS pada 28 Mac 2011 berhubung kelewatan urusan tersebut,” menurut sumber itu.

Berdasarkan aduan yang dterima PKNS, PKNS dikatakan membuat siasatan di Majlis Peguam dan di pejabat Zamri Ibrahim & Co.

Bagaimanapun menurut sumber itu lagi, pejabat firma guaman itu ditutup dan Hamidzun selepas itu didapati menubuhkan sebuah firma lain iaitu Hamidzun and Co yang beroperasi secara bersendirian dari rumah.

Setelah PKNS mengambil beberapa tindakan termasuk dua surat amaran, Hamidzun akhirnya menjelaskan bayaran duti setem pindah milik berjumlah RM46,626.15 kepada PKNS pada 6 Jun 2011.

Bayaran Duti Setem tersebut sepatutnya dibuat kepada Lembaga Hasil pada tahun 2009 lagi.

Manakala wang pemegang bernilai RM152,610 yang sepatutnya dijelaskan pada 2010 hanya dilangsaikan pada 24 Januari 2011.

“Walaupun Hamidzun membuat bayaran terhadap tuntutan di atas, namun yang nyata berlaku kejadian pecah amanah kerana beliau gagal menyempurnakan bayaran dan juga urusan pindah milik dalam tempoh yang sepatutnya.

“Kegagalan dan keengkaran beliau ini menyebabkan kesusahan kepada banyak pihak khususnya pembeli-pembeli rumah PKNS,” menurut sumber itu lagi.

Categories
NASIONAL

Siasat SUARAM Taktik Balas Dendam Umno-BN

SHAH ALAM 12 SEPT : Tindakan Umno-BN menggunakan agensi kerajaan bagi menyiasat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) adalah taktik balas dendam terhadap NGO itu yang secara aktif mendedahkan beberapa skandal melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara skandal didedahkan Suaram adalah kes pembunuhan rakyat Monggolia, Altantuya Shaariibuu serta isu pembelian kapal selam Scorpene yang kini dibicarakan di mahkamah Perancis.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata siasatan dijalankan ke atas Suaram itu adalah satu cara Umno-BN bagi menutup isu sebenar melibatkan Najib yang masa kini mendapat perhatian umum serta masyarakat antarabangsa.

“Ia tindakan terdesak Umno-BN yang mana menggunakan beberapa agensi kerajaan bagi menyiasat Suaram. Malah penafian Suaram mengenai penglibatan spekulator matawang, George Soros menyalurkan dana juga tidak diendahkan.

“Ini pendekatan Umno-BN bagi menimbulkan isu Yahudi terlibat dengan NGO tersebut,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Pengarah Suaram, Kua Kia Soong sebagai berkata, siasatan demi siasatan yang dijalankan agensi kerajaan ke atas NGO tersebut merupakan satu bentuk salahguna kuasa oleh BN ke atas badan berkenaan.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM diminta menyiasat Suaram mengenai dakwaan NGO itu menerima dana daripada Soros lebih RM558,500 dalam tempoh 2007 hingga 2010.

Fariz berkata, Umno-BN perlu menghentikan tindakan prejudis itu yang ternyata menyalahi sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Jika Suaram disiasat, kerajaan Umno-BN perlu menjalankan tindakan sama ke atas NGO lain seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Gerakan Jalur Tiga (Jati), Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS).

“Semua NGO pro Umno-BN ini tidak harus dikecualikan. Siasatan mesti dilakukan dari mana sumber kewangan diperolehi dan pihak mana yang menyalurkan dana kepada mereka semua,” katanya lagi.