Categories
BUDAYA RENCANA

Romantis penjenayah novel Melayu

Oleh Saiful Ghazali

 

KEGANASAN domestik merujuk kepada jenayah yang dilakukan seseorang (suami atau isteri) yang mereka kahwini atau belum kahwini kerana bersekedudukan. Profesor Madya dari John Jay College of Criminal Justice, Dr. Jayne Mooney meluaskan definisi keganasan domestik dengan merangkumkannya kepada pasangan heteroseksual, adik-beradik, ibu bapa dengan anak dan dalam kalangan pasangan homoseksual.

Malangnya, penderaan domestik atau juga dikenali sebagai keganasan rumah tangga ini menjadi tabu untuk diperkatakan dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana, pengkisahan rumah tangga yang berantakan akan memberi imej keluarga yang tidak bahagia. Kesannya, keganasan yang bermula daripada perbuatan maki hamun akhirnya akan berlanjutan kepada perbuatan yang lebih serius sehingga boleh membawa maut. Tambahan pula, jenayah yang berlaku di rumah biasanya tidak dilaporkan atau diambil tindakan kerana dianggap sebagai hal keluarga suami-isteri.

Jenayah keganasan domestik sering dianggap sebagai keganasan yang melibatkan fizikal sahaja. Namun begitu, jenayah ini sebenarnya melibatkan kekejaman mental, layanan buruk, keganasan fizikal tanpa kecederaan tubuh badan dan keganasan fizikal dengan kecederaan pada tubuh badan.

Malah, mengancam dan memaksa melakukan perbuatan seksual dalam perkahwinan juga tergolong dalam kesalahan kes keganasan rumah tangga. Sejak 2015 hingga 2018, statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mencatatkan 3,573 kes keganasan rumah tangga yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti perselisihan faham, panas baran, masalah kewangan, cemburu, penagihan dadah dan campur tangan pihak ketiga.

Maka, tidak hairanlah mengapa isu jenayah keganasan domestik telah menjadi rencah utama dalam resepi melariskan novel popular Melayu. Ia berlaku secara nyata dan realiti dalam kehidupan segelintir masyarakat seperti yang dikisahkan pengarang dalam novel. Secara sedar atau tidak, pemikiran pembaca akan dipengaruhi, diubah persepsi dan emosi oleh pengarang novel popular Melayu melalui pengkisahan babak-babak keganasan rumah tangga.

Misalnya babak keganasan rumah tangga boleh diteliti dalam novel Moga Kau Mengerti (2007) karya Lily Haslina Nasir. Melalui novel ini, pembaca dihidangkan dengan kisah seorang wanita bernama Adeena yang bernikah dengan seorang lelaki bernama Kamali. Walaupun Adeena didekati seorang doktor bernama Adib yang digambarkan “kasihnya sebening air dari pergunungan”, namun Adeena tetap memilih Kamali kerana di setiap ceruk hati perempuan itu tersemat nama Kamali. Kemuncaknya, Kamali telah melakukan jenayah keganasan rumah tangga ke atas Adeena seperti ditengking, ditampar di muka dan dilibas dengan tali pinggang ke anggota badan sehingga akhirnya Adeena dimasukkan ke wad kecemasan. Jenayah ini bukan sahaja memberi kesan fizikal namun digambarkan telah menyebabkan kesan emosi yang teruk apabila watak Adeena bermimpi ngeri dan tangis berpanjangan.

Begitu juga kisah yang menimpa watak Elisya dalam novel Jodoh Sebumbung (2016) karangan Siti Nur Dhuha. Elisya dikisahkan telah dicerca dengan tuduhan “perempuan mandul”, dijerkah, dilibas dengan tali pinggang oleh suaminya iaitu watak Aliff Badri sehingga Elisya mengalami bengkak-bengkil wajah dan tubuh. Kesan daripada jenayah itu, watak Elisya diceritakan hanya meringkuk kesakitan di suatu sudut sambil memohon doa kepada Tuhan supaya dia diselamatkan daripada bala yang tidak berpenghujung itu.

Cukup klise, watak perempuan selalu menjadi mangsa keganasan rumah tangga dalam novel popular Melayu. Watak lelaki pula hanya mendapat balasan apabila menyesal dengan keganasan rumah tangga yang dilakukan seterusnya mencuba untuk memujuk watak perempuan yang sudah dibelasah dan dideranya sebelum itu. Kisah ini akhirnya akan menjadi kisah pujuk-memujuk yang dilihat romantik di mata pembaca sedangkan ia merupakan jenayah di sisi undang-undang.

Pembaca pula berasa begitu khayal apabila pengarang dapat menggugah hati dan perasaan mereka. Pada hemat pembaca yang menjadi mangsa atau yang mempunyai hati naluri yang sama, novel popular merupakan sebuah novel yang begitu memahami rajuk dan derita yang sedang dialami. Malah babak pujuk-memujuk dan romantik watak “hero” dalam menawan semula hati watak “heroin” itulah yang menjadi idaman dalam pengakhiran kehidupan realiti pembaca.

Tidak dinafikan bahawa novel popular Melayu mempunyai fungsi dan kekuatannya yang tersendiri. Jika peminat karya “kesusasteraan budaya tinggi” menyatakan bahawa mereka dapat melarikan diri daripada kenyataan dengan menumpukan fikiran kepada bahan bacaaan tersebut (eskapisme), begitu juga dengan pembaca dan peminat novel popular Melayu. Realiti belum pernah memperlihatkan kebolehan pengarang kebelakangan ini menghasilkan sebuah karya sehingga mampu untuk meruntuhkan tembok pemisah antara dua khalayak pembaca.

Maka, sudah tiba masanya pengarang novel popular Melayu mencuba rencah lain dalam resepi melariskan bahan bacaan tersebut. Mungkin peleraian kisah dalam novel popular Melayu perlu diteliti semula. Adakah pengarang mahu mendidik pembaca supaya setia dengan kekejaman tanpa mencari jalan keluar daripada kemelut keganasan? Watak wanita dalam novel popular Melayu pada akhirnya perlu mendongakkan wajah dan maju ke hadapan. Memaafkan kejahatan orang merupakan sikap yang terpuji, tetapi jatuh dan terperangkap ke dalam gaung yang sama berkali-kali merupakan suatu malapetaka.

Pada masa yang sama, watak penjenayah juga tidak perlu lagi menjadi pemain simbol romantis untuk meleraikan cerita. Watak penjenayah harus dibawa ke muka pengadilan. Pengarang jangan lagi menjadi penyusun takdir watak mangsa dengan membuatkannya jatuh cinta kembali apabila dipujuk watak penjenayah. Cukuplah realiti telah berlaku kejam kepada mangsa jenayah keganasan rumah tangga yang sering termakan pujuk rayu. Elakkan membawa kekalahan tersebut sehingga ke dalam fantasi. Hentikan mempengaruhi pemikiran pembaca bahawa dipujuk dirayu merupakan babak-babak romantis. Kerana realitinya amat perit untuk dilalui oleh mana-mana manusia berumah tangga.

Jika membalas dendam merupakan perbuatan dosa, cukuplah dengan memberi keadilan kepada mangsa.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Cermin yang terlupa

Kenangan menjadi ranum
tika kupetik Oktober yang tumbuh
di geliat waktu
saat berbalas pandang di cermin
rembulan menjadi gempal
matahari mengejek
dari jendela yang mengecut

Kuhafal di mana bayang-bayang
pernah hinggap dan singgah
bintang-bintang bermain di tangga
mengumpan cahaya yang terjulur
dari pancuran usia yang mongel

Aku tersedar kala Oktober perlahan-lahan
menanggalkan kalendar di dinding
yang baru semalam kugantung

Saat berpaling
aku adalah cermin yang terlupa
melahirkan diriku sendiri!

 

Siti Zaiton Ahmad
Pinggiran Tapah

Categories
BUDAYA RENCANA

Kepada Rabbi

kutunggu kesumba matahari
memercupi November ini
kerana langit bulan-bulan undur
seakan berlapis arang
udara berkelahi, hujan libas melibasi
lampu dibatasi sepi api
lilin kehabisan tubuh sendiri

barangkali doa-doaku tersembunyi
di helai angin kedinginan
atau masih meringkuk
dalam ketuban awan

kalaupun pengharapanku
tak layak didarjatkan
setidak-tidaknya, ratib saudara
dan teman, Engkau murnikan
andai tersisip nama, nasibku
meski setempias gerimis
sebelum kalendar tertutup
atau nafasku terkatup

mungkinkah Disember nanti
takkan ada warna pelangi
dan tahun gelita ini diulangi?

 

Siti Alimah

Categories
BUDAYA RENCANA

Mak Minah hilang kain kafan

Oleh Farahin W

“MAK Minah sudah pulang! Kain kafannya hilang!” Kampung Lidah Buaya gamat lagi. Kali ini Mak Minah pulang ke rumah. Penduduk kampung tak senang duduk. Takut-takut malam ini Mak Minah mengetuk pintu rumah mereka, mencari kain kafannya yang hilang. Semalam dia ke rumah Kak Senah. Menangis-nangis Kak Senah memujuk Mak Minah kembali ke kuburan. Kata Kak Senah, Mak Minah malu menghadap Tuhan telanjang bulat. Kata Mak Minah, tubuhnya tidak seperti dulu. Semua yang anjal kini tinggal kulit menggelebeh.

Warung Wak Karjo sesak dengan penduduk kampung. Ada yang berpelikat dengan baju pagoda yang tidak lagi putih warnanya. Lusuh dan kekuning-kuningan. Ada yang berkain batik dengan kurung Kedah. Anak-anak kecil berkaki ayam sambil menghisap ais krim. Kuku mereka panjang dan hitam. Wartawan dari kota juga turun memasang telinga mencari-cari cerita sensasi.

Berita Mak Minah pulang tersebar satu negara. Bomoh, dukun dan agamawan semuanya turun padang mahu menghantar Mak Minah balik ke kuburan. Ada yang berjampi dengan air kelapa. Ada yang merenjis garam sekeliling rumah. Ada yang duduk di surau membacakan ayat-ayat ruqyah di pembesar suara. Imam Sinun dan Lebai Manap pening kepala. Mereka tak tidur malam memikirkan: 1) cara menghantar Mak Minah balik, 2) takut-takut Mak Minah mengetuk pintu rumah mereka ini malam. Yang kedua lebih menakutkan.

Warung Wak Karjo sesak berhari-hari. Sudah seminggu Mak Minah pulang ke rumah. Malam tadi, Mak Minah ke rumah Haji Seman.

“Betul! Mak Minah pulang! Kain kafannya hilang!”

Haji Seman sungguh-sungguh bercerita. Habis wajah-wajah pendengar terpalit liurnya. Katanya, Mak Minah masih sugul. Kelam-kabut Mak Minah mencari kain kafannya yang hilang. Mak Minah pakai kain batik pemberian Kak Senah. Namun, dia tak mahu balik ke kuburan berkain batik. Dia mahu mencari kain kafannya!

“Tok, kenapa kita tak cari saja kain kafan Mak Minah yang hilang?“

Si Koroi, anak Siti janda muda Kampung Lidah Buaya tiba-tiba bersuara. Suaranya parau. Umur belasan dan baru mimpi. Benar juga katanya. Hari-hari Mak Minah merayu kain kafannya dipulangkan. Tak mungkin tiada satu orang pun yang bersimpati dengan Mak Minah. Mak Minah orang Islam. Sudah semestinya orang Islam sama-sama membantu orang Islam yang lain. Saudara se-Islam. Mana boleh tinggal diam.

“Mak Minah, Mak Minah! Sudah mati pun menyusahkan orang!”

Wak Karjo menghirup kopi O kurang manis sambil menggeleng kepala. Mak Minah jirannya. Perempuan tua itu tinggal dengan dua orang cucu. Anaknya entah ke mana. Selepas dipenjara kerana merusuh, dia hilang tiada khabar berita. Pelik juga. Macam mana kain kafan Mak Minah boleh hilang? Sebatas pengetahuannya, Mak Minah bukan pengamal ilmu hitam. Penduduk kampung sebelah juga riuh menyampai berita Mak Minah. Mak Leha menggantung Yasin di pintu rumah. Sudin menghulur sepuluh ringgit kepada bomoh untuk memagar rumah. Setakat ini, Mak Minah belum mengetuk pintu rumah mereka.

Seluruh penduduk kampung keluar mencari kain kafan Mak Minah. Wak Karjo menutup kedai dan ikut sama mencari. Mereka ke belakang rumah, semak-samun sehingga ke sungai. Si Koroi penerjun kampung tidak mensia-siakan kepakarannya, menyelam ke dasar sungai mencari kain kafan Mak Minah. Usaha mereka pada hari pertama benar-benar memenatkan. Wak Karjo, Haji Seman dan Tok Mail menyumpah-nyumpah kepenatan. Peluh mereka terbazir dan kain kafan Mak Minah masih tak ditemukan.

“Macam mana ni, Tok? Seharian kita mencari. Secebis pun kita tak jumpa!” Haji Seman mengibas-ngibas tuala ke leher.

“Malam ini, pasti Mak Minah ke rumah aku. Aku akan pujuk dia semula,”

“Tok yakin boleh pujuk Mak Minah pulang?”

Tok Mail yakin Mak Minah akan mencarinya. Ke mana lagi penduduk kampung mahu mengadu kalau bukan kepadanya, Ketua Kampung Lidah Buaya? Tok Mail berkira-kira mahu memberikan Mak Minah kain kafan baharu. Aduhai. Kain kafan bukannya murah. Dalam keadaan ekonomi sebegini, siapa yang mahu beri Mak Minah kain kafan baharu? Aduhai, Mak Minah! Hidup susah, mati pun susah!

“Assalamualaikum, Tok! Tok!”

Tok Mail tersedak kopi. Suara Lebai Manap bergema di hadapan pintu rumah. Mahu bergegar rumah kayu yang sudah 50 tahun usianya. Cepat-cepat Tok Mail membuka pintu. Lebai Manap termengah-mengah mengambil nafas. Berderau darah Tok Mail melihat lelaki tua berjanggut sehelai itu. Janggutnya tidak pernah tumbuh. Cuma sehelai – itu pun dari tahi lalatnya.

“Kain kafan Mak Minah sudah dijumpai! Semua penduduk sekarang di balai raya! Cepat, Tok! Cepat!”

Mata Tok Mail terbelalak. Lalu dia capai kain serban dan dililit di kepala. Kain pelikat diikat kemas lantas menyarung capal. Dia tidak peduli mengambil nafas. Kain kafan Mak Minah sudah ditemui!

Balai Raya Kampung Lidah Buaya riuh dengan cakap-cakap orang kampung. Rustam (ketua pasukan mengupas bawang) tak henti-henti menyampai berita. Semua mendengar dengan tekun. Ada yang mengusap dada. Ada yang ternganga mulut. Rustam yang menemukan kain kafan Mak Minah! Sampai malam Rustam mencari. Mujur Tuhan bersama-samanya. Hasil pencarian Rustam membawa berita gembira kepada penduduk kampung. Bukan sahaja penduduk Kampung Lidah Buaya, kampung sebelah pun berasa senang. Mereka sudah boleh tidur lena dan mimpi yang indah-indah. Mak Minah tak mungkin mengetuk pintu rumah mereka lagi.

“Jadi, Rustam. Mana kain kafan Mak Minah?”

Kisahnya, selepas Maghrib, semua pulang ke rumah. Rustam sahaja yang tidak putus asa mencari kain kafan Mak Minah. Dia tidak mahu terserempak dengan Mak Minah. Takut-takut dia pula yang diheret ke kuburan. Perjalanan mencari kain kafan Mak Minah terasa sangat panjang. Sempat juga Rustam berfikir mahu berputus asa. Namun fikiran Rustam berubah apabila sampai ke rumah Mak Minah. Lampu rumah menyala. Dari luar terdengar suara cucu-cucunya.

“Abang yakin mahu memakainya ke sekolah?”

“Ya. Duit membantu Wak Karjo di kedai tak cukup, dik! Sekolah takkan benarkan kita ke sekolah dengan baju tu,” ucap si abang sambil menuding ke arah kemeja T bercorak kartun Upin dan Ipin.

“Tapi, nenek?”

Mata Tok Mail terbelalak lagi. Dia membuka kain serban yang terlilit di kepala. Kain pelikatnya yang terlondeh digulung ke atas semula. Dia menepuk dahi sekuatnya.

“Jadi, kain kafan Mak Minah?” Lebai Manap kebingungan.

“Tok! Mak Minah datang!”

Balai raya sekarang taufan. Mak Minah menunggu di depan balai. Telanjang bulat – menunggu dipulangkan kain kafannya yang hilang.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Sonderisme

tiba
maragelora tiba
mencakar muka
beban resah injakan
ke bahu ke dada
sonder
mata malam
tutupkan
tubuh kita patah
remuk
retak
longlai
langsai
kembali kita ke dalam kata
asalmula dari kata
sastrawala tercipta dari kata
terajang bulan
terpelanting gelita
sonder bayang-bayang
kota impian di tangan
tanggalkan tinggalkan
peta kembara di genggam
koyakkan lepaskan
genggam kembali
tuliskan
ucapkan bahawa (meski menakutinya):
terlalu sibuk untuk cinta
terlalu muda untuk swasida
dunia deritaneka hidup
komediwata
amarika: bukan mekah kita
sonder gaji sonder kerja
sonder ingin sonder asmara
hanya satu kata: sastra
kamar mencekik menghindar nyawa
segala memudar jadi sepia
kota tak ada makna selain
samsara
dalam desakan enggan
berundur kita ke dalam derita
melahap
mungkin

 

Karim Mohd

Categories
BUDAYA RENCANA

Pujangga harus cipta masa depan dunia

Oleh Syazreen Abdullah

LEWAT bukunya Waqt bayn al-ramad wa al-ward, Adonis atau nama sebenar Ali Ahmad Asbar menganggap peranan sasterawan, penyair mahupun pujangga adalah membuang kebodohan massa dan menekuni pembaharuan bertunjangkan prinsip kebebasan.

Beliau yang terkenal sebagai simbol moden syair Arab menggesa golongan tersebut supaya memiliki kesedaran dan mengupayakan diri bagi menyelamatkan peradaban dan kebudayaan.

Calon penerima Hadiah Nobel kategori kesusasteraaan pada 2016 berpendapat pujangga harus menciptakan dunia baharu masa depan sekali gus menolak nilai-nilai statik yang membungkus tradisi sastera dan budaya. Peranan mereka penting dalam mencipta peradaban. Ia harus dilontarkan dengan nilai kebebasan dan kejujuran tanpa dibelenggu atau disekat dengan apa-apa pun.

Kata Adonis, sastera bukan sekadar politik kebahasaan yang melahirkan berbagai-bagai ekspresi sebaliknya praktik yang terarah kepada meningkatkan darjat kemanusiaan. Justeru, karyanya banyak seputar persoalan humanisme, kebebasan dan politik sebagaimana penelitiannya terhadap sisi at-tsabit (mapan) dan mutahawwil (dinamik) dalam kebudayaan Islam-Arab.

Cabarannya tidak mudah. Adonis sendiri terpaksa mengharungi kehidupan terasing sebelum berhijrah ke Lubnan dan Paris. Beliau berdepan masyarakat agama yang disadur budaya dan politik konservatif. Akibat kemunduran pemikiran masyarakat yang mengepung sastera dengan tembok agama, akhirnya sastera terbatas dan sempit. Kebebasan sastera dihadkan dalam ruang lingkup norma agama.

Dogma mundur

Adonis tegas mahu sastera dibebaskan dan tidak jumud, bukan menjadi perisai kekuasaan yang zalim atas nama agama. Beliau memandang hina sastera yang bertenggek di dahan kekuasaan yang korup. Bagi beliau, mereka yang bungkam terhadap kezaliman sebagai tidak bermoral. Pujangga sebaliknya harus menginterpretasi agama dan kebudayaan secara rasional, bukan mendukung despotisme.

Pasca Perang Enam Hari, Adonis menyeru bangsa Arab menolak kejumudan dengan merombak dasar pemikiran agama sebaliknya menggunakan wadah sastera. Beliau berpendapat sesebuah bangsa tidak akan maju sekadar kembali kepada kitab suci – tanpa sikap kritis. Sekadar meratapi kesan kezaliman dengan menyerah kepada slogan muluk agama – kembali kepada Quran dan sunnah.

Beliau percaya sesebuah bangsa tidak akan maju sekadar menyalin pemikiran yang bukan diterokainya sendiri. Di sinilah peranan pujangga, harus berani menggali dan keluar dari keselesaan kepompong masa lampau. Wacana masa depan yang dinamik tidak akan muncul tanpa kreativiti pemikiran hari ini. Bak kata Adonis, wa laysa al-fikr aba’ah bal huwa al-jasad dzatah yakni pemikiran bukan jubah, melainkan tubuh itu sendiri. Ia harus dibangunkan melalui ikhtiar kecerdasan akal rasional.

Ternyata, Adonis mahu menganjakkan sastera menuju ke dunia transformatif – mengubat krisis kemanusiaan yang tidak kunjung selesai, seterusnya mencipta pengetahuan baharu dan dinamik.

Justeru, karya Waqt bayn al-ramad wa al-ward tajam mengkritik kebudayaan Arab. Beliau memilih untuk mengubah kemerosotan budaya dan nalar pemikiran melalui lensa sastera dan pendekatan fenomenologi.

Adonis melaungkan betapa pemikiran Arab Islam tidak akan maju tanpa didekontruksi hingga perubahan terjadi. Justeru, beliau mengkritik sastera yang disalut dengan adab Islamik. Beliau juga menyebut sastera tidak akan pernah mencapai kesempurnaan melainkan pencarian tanpa pernah henti.

Beliau tidak mahu sastera tergoda dengan dogma agama yang mundur. Malah, Adonis yakin pembaharuan dalam sastera termasuk penulisan inovatif yang membuka pemaknaan baharu mampu memberi sinar kepada peradaban dan kebudayaan.

Justeru, beliau selalu mengingatkan masyarakat sastera agar jangan mudah terbuai dengan sejarah lampau. Jangan terikat dengan acuan lapuk yang tidak seiring peredaran zaman. Sastera perlu bersifat inovatif, membuka pemaknaan baharu; harus ada pembaharuan mengiringi ruang dan masa.

Dinamik

Adonis percaya sastera yang dinamik bukan muncul daripada wahyu tetapi hubungannya sesama manusia dan perubahan sosial. Yang mencipta budaya bukan wahyu tetapi manusia. Maka, manusialah yang harus menggerakkan perubahan, bukan menunggu wahyu turun.

Pandangan Adonis ada benarnya. Pujangga ialah pemikir. Mereka dikurnia akal dan kreativiti untuk melawan kebodohan mahupun kezaliman. Mereka harus berani menerobos kebodohan dan kejumudan massa.

Pujangga besar ialah pengubah masa depan. Bukan hanyut dengan keheningan kesusasteraan bersifat politik. Bukan juga tunduk beradab dengan menunggang slogan nilai murni agama. Tiap ekspresi sastera mesti membela kemanusiaan.

Demikian gerakan Adonis dalam mengeluti rejim konservatif dan penyakit sosial masyarakat Arab. Justeru, beliau digelar penyair revolusioner yang lantang melawan keterpurukan bangsa berkenaan.

Categories
BUDAYA RENCANA

Terali

Oleh Lokman Hakim

 

TUHAN, hari ini ada seorang bayi ditinggalkan di beranda. Aku pergi memanjat beranda itu, dengan sepuntung rokok di bibirku. Dia tidak menangis. Cuma merangkak-rangkak, sesekali cuba menyelit di antara lubang-lubang pada terali beranda, cuba menggapai sesuatu yang tidak pasti.

Aku tidak memahami mengapa aku terus menyedut rokok itu, diiringi tindakan persis pelagak ngeri dan juga teriakan jiran-jiran yang mengharap bayi itu tidak jatuh dari celah terali beranda. Fokus, aku terus memanjat, melupakan yang aku gayat. Mencari tempat berpaut itu sukar juga, tetapi aku gagahkan.

Bagaimana bayi itu boleh berada dalam keadaan itu, tidaklah aku tahu. Ketika aku tiba di beranda, bayi itu elok sahaja berbaring dan tidak lagi berusaha hendak keluar melalui terali. Sebaik sahaja aku mendukung bayi itu, seseorang dari dalam rumah berteriak, lalu meluru ke arah kami.

Barangkali ibu kepada bayi itu, tetapi dia agak androgini. Sikapnya macam ibu-ibu, perwatakan agak jantan. Tuhan, aku yakin, itu bukan urusan aku untuk tahu. Dia agak cuai, tapi aku enggan menegur apatah lagi memaki. Puntung rokok sudah jatuh ketika aku menyambar bayi, mengotori sedikit pasu di beranda.

Tuhan, aku amat pentingkan jumlah rokok yang aku hisap setiap hari. Ia mengiringi doaku. Ia mengingatkan aku pada apa yang berlaku dalam suatu hari. Aku menyelamatkan bayi itu ketika menyedut rokok yang keempat hari ini. Dan aku menyedut puntung rokok yang kelima ketika aku dipelawa tuan rumah untuk duduk menenangkan diri setelah menyelamatkan bayinya.

Aku tidak berkata apa-apa. Sekadar isyarat tangan menandakan “Tidak apa.” Orang bersorak ketika aku berjaya menyelamatkan bayi itu, tetapi ia pantas berakhir. Di atas meja terhidang kopi. Aku terhidu sesuatu yang wangi. Rumah ini, berselerak. Tidak menghairankan kerana rumah yang ada budak kecil memang begitu kebiasaannya. Aku hanya mahu meneguk kopi ini dan balik.

“Terima kasih sebab selamatkan anak saya!”

Aku angguk. Kelelahan, aku enggan berkata. Aku teguk kopi itu lalu bangkit, menuju ke pintu. Hati aku masih panas ketika itu, mengenangkan kecuaian tuan rumah menguruskan bayinya. Pintu berkunci.

“Saya harap kamu boleh maafkan saya atas kecuaian itu. Saya dah susahkan kamu.”

“Lagi susah kalau saya tak boleh balik dengan segera.”

Aku tuding ke arah pintu yang berkunci. Menyedari hal itu, lekas-lekas tuan rumah mencapai kunci lalu memohon maaf. Ia tidak berakhir di situ. Tuan rumah bergerak ke beranda lalu mencampakkan kunci itu ke bawah. Bayi menangis.

Tuhan, aku keluarkan rokok yang keenam. Aku tenung muka tuan rumah lama-lama. Aku pergi ke beranda lalu cengkam terali. Aku fikir nak panjat terali itu dan turun ke bawah. Tapi gayat pula.

“Kamu fikir kenapa baby ada di beranda?”

Perlahan-lahan tuan rumah meletakkan bayinya ke atas lantai. Dibiarkan menangis begitu saja. Aku sedar tuan rumah mungkin gila. Dan aku enggan menyuap kegilaannya itu lagi. Provokasi mungkin menyelamatkan situasi. Atau membuatkan ia lebih parah.

“Sebab ada Tuhan di luar sini, bukan begitu?”

“Eh, jadi dalam rumah ini tiada Tuhan?”

Aku terpaksa melangkah masuk ke dalam rumah. Tuan rumah sekadar berpeluk tubuh melihatku mendukung kembali bayi tersebut. Aku bawa bayi itu ke beranda. Aku cucuh rokok yang aku hisap separuh ke dalam pasu bunga di beranda. Aku tarik pintu gelangsar. Tuan rumah menyeringai. Dia sedang berkata sesuatu tetapi aku tak dapat mendengarnya. Aku enggan mendengarnya.

Kenapa aku harus berdepan dengan orang gila sesudah menyelamatkan bayi ini? Perlahan-lahan tuan rumah menarik langsir menutupi pandanganku daripada melihat apa yang berlaku dalam rumah.

Tuhan, seingatku, tuan rumah ini jelas warasnya pada awal dia mendepaniku. Barangkali dia didepani masalah terutamanya tohmahan masyarakat ke atas golongan sepertinya. Dia androgynous – tidak diketahui sama ada lelaki ataupun perempuan. Membesarkan seorang anak dalam keadaan sebegitu mungkin agak payah. Siapa bapa, siapa ibu? Dia hanya seorang manusia yang mahu membesarkan anaknya, biarpun sekarang aku tidak pasti mengenai hal itu.

Dia mengunci pintu gelangsar dari dalam. Langsir sudah diselak ke tepi lalu diikat. Aku nampak apa yang dia mahu lakukan. Dia sedang mengikat tali rafia pada kipas siling. Bangku tempatnya berpijak pula tidak rapuh. Aku ketuk berulang-kali pada pintu gelangsar. Aku capai poketku dan teringat aku tidak membawa telefon bimbit.

Aku berpaling lalu menghadap setiap unit apartmen yang mendepani unit rumah ini. Aku mengharap mereka yang menyaksi tahu apa yang terjadi dan menghubungi pihak berkuasa.

Tiada respons. Aku berteriak meminta orang memanggilkan bomba ataupun polis. Tuan rumah mahu membunuh diri. Dia sudah melilitkan tali pada lehernya. Bayi terus menangis seolah-olah mengerti dirinya bakal ditinggalkan penjaganya.

Aku tendang pintu gelangsar sekuat hati, tetapi tidak berjaya. Hendak dirempuh jarak tak mencukupi untukku kumpul tenaga memecahkannya.

Tuhan, ketika pintu masuk ke rumahnya dipecahkan, aku sekadar berdiri dengan bayi di pangkuanku, melihat bagaimana pihak bomba menurunkan mayat tuan rumah yang terkulai layu di ruang tamu. Cengkamanku pada terali amat kuat, sehinggakan tanganku kebas.

Kerana itu Tuhan, aku enggan menghisap rokok seterusnya. Aku harap bayi itu kenal gendernya kemudian hari dan tidak merokok.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Cinta yang tersimpan di dalam laci

Kau buka dan tutup takdirku
di atas renyukkan silam
bahagia adalah kisah si pari-pari
lalu kesakitan menjadi abadi.

Bertahun imaginasiku tersesat di dalam laci
terhimpit di antara timbunan prasangka
seperti gelap yang merindui cahaya
kau adalah udara yang memberiku nafas.

Kudengari derap kaki datang menghampiri
namun tiada siapa yang dapat mencari
seberkas kunci atau wujudku di ruang
yang salah selama ini.

Ingatanku padamu tetap kekal, mati.

Kamal Sujak

Categories
BUDAYA RENCANA

Tingkap dalam Parasite

Oleh Adam Taufiq Suharto

SAYA menyelak majalah Mastika terbitan Ogos 1976. Selepas beberapa selakan, muncul gambar seorang figura yang tidak asing – Tun Dr. Mahathir Mohamad. Rencana pada halaman tersebut rupa-rupanya adalah karangannya. Dalam rencana bertajuk Asas Kapitalisme dan Sosialisme itu, Dr. Mahathir bercerita tentang masalah sistem kapitalisme di Barat hingga memunculkan dua orang ahli falsafah, Engel (1820-1895) dan Karl Marx (1818-1883) yang merenungi pergelutan kelas bawahan yang hidup di bawah cengkaman dan bedilan kapitalis.

Tun kemudian menulis tentang contoh sebuah cukai semasa era kapitalisme Eropah yakni:

‘…kezaliman cukai yang biasa dikenakan ialah cukai tingkap; lebih besar tingkap di rumah, lebih besar cukai yang dikenakan. Sudah tentu cukai ini memaksa orang miskin tinggal dalam gelap, walaupun di siang hari. Sudahlah miskin, cukai ini menentukan supaya golongan ini menghidap berbagai penyakit dalam rumah mereka yang gelap dan kotor.’

Saya terdiam. Imej ‘tingkap besar’ dan ‘tingkap kecil’ mula terprojek di minda – mengingatkan saya kepada sebuah filem pemenang anugerah Palme D’Or di Festival Filem Cannes 2019, Parasite (2019) arahan Bong Joon Ho.

Tingkap adalah set produksi yang mustahak dalam filem tersebut. Pada babak awal lagi, filem itu telah mempertemukan penonton dengan tingkap kecil yang menghidangkan pemandangan jalan sempit dari aras pandang yang rendah. Kamera kemudiannya bergerak ke bawah, dan kita mula sedar bahawa tingkap yang diperlihatkan tadi adalah tingkap bagi sebuah rumah semi-bawah tanah.

Perlahan-lahan, kita diberikan eksposisi, ini adalah rumah keluarga Kim yang agak papa. Pada tingkap itu juga, tiada yang enak dengan pemandangannya. Seorang gila yang membuang air kecil di tingkap, juga seseorang meletakkan kenderaan di hadapan tingkap kecil-sempit itu hingga menutup terus pemandangan si keluarga papa.

Sekarang, mari kita ziarahi satu lagi rumah; rumah keluarga Park yang kaya-raya. Di rumah keluarga itu, ukuran tingkapnya berbeza. Hampir sebesar dinding. Jendela-tingkap telah menjadi dinding rumah mereka. Pemandangannya juga berbeza, saujana mata memandang. Sebuah anjung berumput yang menenangkan. Ini ternyata kontra dengan pemandangan dari tingkap kecil rumah keluarga Kim nan papa.

Rumah keluarga Kim yang papa berteman kotoran, lumut, hamis dengan kehadiran serangga-serangga perosak manakala rumah keluarga Park yang mewah dipaparkan bersih, suci lagi mulus. Malah, objek-objek kotor pula sangat abject (hina) untuk wujud dalam pandangan mata mereka.

Dari alergik itulah, keluarga si papa, Kim, mengeksploitasi kotoran-penyakit untuk ‘menghumban’ keluar semua pekerja di dalam rumah keluarga kaya itu lalu berparasit dalam rumah si kaya, menunggangi kemewahan. Seluruh ahli keluarga Kim bekerja di dalam rumah keluarga Park melalui penipuan. Di situlah bermulanya satu momen, si kaya dan si papa berkongsi ruang yang sama lalu bau kaya dan miskin pun bercampur-aduk.

Berbalik semula kepada hal tingkap dalam Parasite. Tingkap kecil di rumah keluarga papa dan tingkap besar di rumah si kaya sebenarnya boleh ditafsir dengan pemaknaan yang lain. Barangkali menggambarkan tentang masa hadapan atau untung nasib kedua-dua keluarga. Untuk keluarga Kim yang papa, tingkap kecil mereka itu adalah gambaran masa hadapannya selaku si miskin. Sempit, sesempit-sempitnya. Dan ini terbukti pada pengakhiran filem yang menunjukkan mereka akhirnya kembali semula ke rumah semi bawah tanah mereka dengan tingkap sempit itu. Masa hadapan tidak memihak kepada mereka.

Ini berbeza dengan keluarga si kaya, Park. Tingkap besar di rumah mereka itu adalah gambaran peluang yang terbentang buat si kaya. Mereka bebas melakukan apa sahaja dengan wang dan kekayaan yang dimiliki. Ini terbukti pada pengakhiran filem. Selepas kematian si bapa dari keluarga Park, keluarga kaya itu masih sahaja dapat berpindah dan memulakan hidup baru.

Di sinilah barangkali hubung kaitnya hujahan Dr. Mahathir tentang masalah cukai pada era kapitalisme Eropah yang telah memusnahkan peluang hidup orang-orang miskin. Tinggal lagi, esei Dr. Mahathir berkontradik dengan segala rungutannya atas kekejaman kapitalisme dengan perenggan ini:

“Pada permulaan rencana ini ada diterangkan bahawa kapitalisme dan sosialisme adalah sistem barat yang berasas kebendaan dan tamak harta benda. Asas inilah yang salah. Selagi irihati kerana pemilikan harta-benda menguasai jiwa masyarakat, selama itulah kebahagiaan tidak akan wujud.”

Membaca perenggan hujung itu membuatkan saya terdiam. Ada sesuatu yang seakan tidak selesai dari dalam kalbu. Tiba-tiba, sebuah babak terprojek. Babak keluarga si papa bersenang-senang di rumah si kaya sambil menghadap tingkap besar rumah mewah itu. Dialog yang dilafazkan keluarga Kim itulah yang sangat terkesan dan meninggalkan beribu persoalan. Dialog itu adalah:

“Dia kaya, tapi masih baik”

“Bukan. Dia kaya, kerana itulah dia baik. Kalau saya kaya, saya juga akan baik, malah lebih baik.”

Ingatan saya terhadap dialog itu membuat saya termenung seorang diri. Dari gambaran cukai tingkap era kapitalisme Eropah yang diceritakan Mahathir, kepada tingkap kecil dan besar yang divisualkan Bong Joon Ho, kini saya perhatikan tingkap kamar saya, kecil dan kurang pencahayaan. Persoalannya kini bermain lebih jauh. Adakah ini bermakna, kapitalisme dengan senyap-senyap membinasakan manusia hingga hari ini atau manusia yang membiarkan kapitalisme membinasakan mereka?

Dalam keheningan itu, cahaya mentari perlahan-lahan masuk menerusi tingkap kamar. Saya pun bangun, lalu mengarang esei ini.

 

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Dikoyak waktu

Aku ingin mematahkan sepi
dan berteriak menghalau mimpi
semua kata-kata
adalah kelaknatan semata
dan semalam adalah dongengan
– dikoyak waktu
bertebar menjadi debu.

Aku ini hiba yang tiada berumah
bila kau tanyakan pada angin
“Kenapa tak kau padamkan api rindu?”
debar ini; dan api yang bersembunyi
membakar kepingan jiwa
yang terlantar kaku; kering
meraba cahaya dalam pekatnya gelita.

 

Hana Samali

Categories
BUDAYA RENCANA

Ditikam ilusi

Kita ini bagai karya
di dinding galeri alam
ada waktunya, api menjadi nanar
tangan -tangan fitnah hidup kembali
sewaktu rembulan menjadi buta
dan matahari turun ke dalam jiwa.
Bila usia merdeka dinafirikan
telinga momentum dikupas
dimensi menjadi kotak
dan roh menjadi bunga.

Siapa lagi yang berani
memuntahkan dendam ke dalam kaca
lalu dihirup oleh warga
yang cemerlang bersandiwara.

Jerit menjerit dalam diam yang bisu
rohanipun terbenam
dan lihatlah, otak menjadi gaung
mengalir sampah hayat
bersama lintah yang miskin
dari sungai nasib
ke laut takdir.

Inikah karya kita,
tanpa nama tetapi merbahaya
sesekali menikam
jantung bahagia.

 

Solihin Osman

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Gua dan pelupa

 

Suaramu memutih, jernih
mahukah kau hantarkannya ke gua
yang belum mendengar desir api
tidak pernah ditiduri kelawar

lekuk musim mulai kusut di sekitar
hanya malam berpangkal di sana

Gelapnya mengkal merasuki kenangan
kau, seorang pelupa: cuba memedihkan ingatan
tapi kau akan berjalan dalam silam yang lurus warnanya.

 

Qurratul ‘Ain