Categories
AGENDA NASIONAL

Kes kanak-kanak maut, masuk ICU akibat Covid-19 meningkat ketara

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Kes kritikal dan kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun dilaporkan meningkatkan pada tahun ini berbanding tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memaklumkan tiga kes kematian bagi golongan itu dilaporkan sepanjang tahun lepas namun bilangan sama direkodkan dalam tempoh lebih singkat pada tahun ini iaitu dalam tempoh lima bulan pertama.

“Selain itu, kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara. Pada tahun 2020, jumlah keseluruhan kes pediatrik yang menerima rawatan di ICU ialah lapan kes dengan enam daripadanya berumur bawah lima tahun.

“Bagi tahun 2021 (sehingga Mei 2021), sebanyak 27 kes memerlukan rawatan di ICU dan 19 daripadanya adalah kanak-kanak berumur bawah lima tahun,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Justeru Dr Noor Hisham menasihati semua pihak terutama ibu bapa dan penjaga untuk memainkan peranan penting bagi melindungi golongan yang mempunyai imuniti rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar terhindar daripada wabak itu.

Beliau sekali lagi mengajak orang ramai membina persekitaran selamat bagi kelompok itu dengan mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai dan segera mendapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Insiden LRT: Tiga mangsa alami pendarahan otak, dirawat di ICU

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Tiga penumpang yang terlibat dalam pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC, mengalami pendarahan otak dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pengarah HKL Datuk Dr Heric Corray berkata pihaknya melakukan pembedahan terhadap pesakit berkenaan dan mereka kini berada dalam keadaan stabil manakala seorang lagi penumpang perlu menjalani rawatan resusitasi serebrum.

“Tiga lagi penumpang dirawat di wad biasa kerana mengalami patah tulang, kecederaan di dada dan di hati,” katanya pada sidang media khas di HKL hari ini.

Dalam pada itu, Dr Heric memaklumkan pihaknya mula menerima 67 penumpang yang cedera akibat kemalangan itu pada 9.30 malam tadi dan seramai 61 penumpang dibenarkan pulang.

“Daripada jumlah itu, 61 penumpang merupakan warga tempatan manakala lima adalah warga asing manakala seorang tidak dapat dipastikan kewarganegaraannya,” katanya.

Dr Heric berkata seramai 300 petugas HKL terlibat dalam kerja-kerja merawat mangsa kemalangan itu sejak semalam dan kesemua mereka mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya.

“Kami juga menjalankan ujian Covid-19 terhadap semua penumpang yang menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata semua kakitangan yang terlibat pada kejadian semalam diarahkan untuk tidak terlibat dalam pengendalian pengoperasian.

“Kami akan siasat kes ini daripada pelbagai sudut dan pasukan panel penyiasat khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan siasatan dan laporan siasatan perlu dikemukakan kepada saya dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Semalam, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji bertembung kira-kira jam 8.45 malam.

Berikutan itu, MOT menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca kejadian itu.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Kisah wanita positif virus, sesak nafas walau guna tiub pernafasan

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 24 MEI: “Sepanjang hidup saya takkan lupakan malam 1 Mei lalu. Malam itu saya bertarung nyawa dengan virus Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU). Degupan jantung saya jatuh sehingga 40 denyutan seminit setiap 30 minit ketika diberi bantuan pernafasan. Itu kiranya paras bahaya. Paras normal 60-100 degupan seminit.”

Begitulah pengalaman yang disifatkan sebagai ‘ngeri’ oleh Eksekutif Jualan Toh Sharon, 48, sepanjang beliau menjalani rawatan intensif Covid-19 selama 20 hari di Hospital Melaka.

Ibu kepada dua orang anak berusia 22 dan 25 tahun itu, tidak sesekali pun menyangka begitu hebat penangan virus Covid-19 yang menyerang dirinya sehingga terpaksa bertarung nyawa dengan bantuan mesin pernafasan sebagai pesakit tahap empat.

“Saya masih ingat lagi apa yang berlaku pada malam itu. Walaupun badan saya penuh dipasang dengan tiub bantuan pernafasan yang disambung ke tangki oksigen, antara sedar dan tidak sedar saya masih berasa sangat sukar untuk bernafas seolah-olah hampir putus nyawa.

“Mujurlah saya cekal untuk melawan dan terus kuat meneruskan perjuangan untuk hidup sehinggalah paras oksigen dalam badan saya semakin pulih dengan bantuan barisan petugas hadapan,” kongsi Toh dengan Bernama baru-baru ini.

Semuanya bermula apabila beliau makan malam dengan seorang rakan di sebuah restoran di Melaka pada 18 April lalu, dan kemudiannya dimaklumkan statusnya sebagai kontak rapat kepada rakannya yang disahkan positif Covid-19 tiga hari selepas itu.

“Pada malam itu saya berkongsi makanan bersama dengan rakan saya. Pada 21 April saya dimaklumkan bahawa dia positif Covid-19 dan saya pula kontak rapat dia.

“Saya kuarantin kendiri di rumah dan mengasingkan diri daripada anak lelaki saya meskipun saya belum lagi membuat ujian calitan Covid-19 di mana-mana klinik,” katanya.

Toh, yang berasal dari Bandaraya Melaka itu kemudiannya hadir ke klinik kesihatan untuk membuat ujian calit Covid-19 bersama-sama dengan anak lelakinya pada 22 April lalu dan kemudiannya disahkan positif.

“Syukur pada ketika itu anak lelaki saya disahkan negatif. Sebenarnya sehari sebelum ujian calitan itu, saya mula mengalami gejala demam, sakit tekak, selesema, cirit birit dan sakit-sakit sengal sehingga sukar untuk bangun dari tidur.

“Saya dipakai gelang merah jambu, diarah untuk terus berkuarantin di rumah dan menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke pusat kuarantin MAEPS di Serdang, Selangor,” katanya.

MALANG TIDAK BERBAU

Ketika Toh sedang menunggu giliran untuk dipindahkan ke pusat kuarantin di Hospital Melaka pada 25 April lalu, beliau dimaklumkan oleh petugas kesihatan bahawa kandungan oksigen dalam badannya kurang daripada 88 peratus dan terpaksa dimasukkan ke ICU untuk pemantauan setelah menjalani pemeriksaan.

“Kandungan oksigen normal adalah 95 peratus ke atas, ketika itu saya pun terpinga-pinga dan mengikut sahaja arahan petugas kesihatan untuk ke ICU Hospital Melaka, namun pada malam itu suhu badan saya naik mendadak sehingga 39.6 darjah celsius dan terus tidak sedarkan diri.

“Keesokan harinya baru saya sedar dan ketika itu, badan saya penuh dengan tiub bantuan pernafasan, dalam keadaan terpinga-pinga doktor memberitahu saya bahawa seluruh paru-paru saya dijangkiti virus berdasarkan laporan X-ray,” katanya.

Menurut Toh, beliau diberi pilihan untuk mengambil ubat antiviral Favipiravir selama lima hari bagi membantu memulihkan keadaan paru-parunya. Beliau turut diberitahu akan kesan sampingannya serta pengambilannya masih dalam fasa klinikal.

Namun, tanpa berasa ragu, beliau terus bersetuju untuk mengambil ubat antiviral berkenaan dan keadaannya dipantau dari masa ke semasa.

“Sepanjang pengambilan ubat itu, saya tidak boleh mengambil ubat fever dan perlu mandi air sejuk setiap hari bagi menurunkan suhu badan saya, sehinggalah pada satu tahap suhu badan semakin tinggi dan terpaksa dicucuk steroid untuk merawat paru-paru saya,” katanya.

Setelah sembilan hari berada di ICU, keadaannya semakin pulih dan dibenarkan untuk berpindah ke wad biasa namun masih di bawah pemantauan dari masa ke semasa.

“Syukur selepas 20 hari berada di hospital, akhirnya pada 14 Mei lalu saya dibenarkan discaj namun doktor menasihatkan saya supaya tidak lagi menjalankan aktiviti lasak seperti sebelum ini kerana bila-bila masa sahaja virus itu akan menyerang jika saya tidak menjaga tatacara operasi piawai (SOP) dengan baik.

“Walaupun dibenarkan discaj namun keadaan kesihatan saya tidak lagi seperti dulu. Saya mudah letih dan perlu berjaga-jaga dari segi kehidupan seharian kerana saya masih lagi dalam fasa pemulihan,” katanya.

Menurut Toh, ramai yang memandang ringan akan jangkitan Covid-19 dan masih menganggap ia hanya demam biasa dan hilang deria rasa serta bau.

“Bergantung kepada individu, ada yang hanya bergejala ringan namun ada juga yang serius. Baru saya sedar selama ini kerajaan sentiasa menekankan pematuhan SOP dan SOP itu ternyata begitu penting kerana individu yang sihat seperti saya juga boleh menjadi teruk apatah lagi golongan berisiko tinggi.

“Namun demikian, saya sangat berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa kami dan sanggup berkorban cuti Hari Raya Aidilfitri demi menjaga pesakit-pesakit kritikal seperti saya,” katanya.

TIDAK SEDAR DIJANGKITI COVID-19

Sementara itu, jurufoto akhbar berbahasa Mandarin, Soh Teong Kok (he), 35, terkilan apabila masih menunjukkan gejala seolah-olah dijangkiti virus Covid-19 meskipun telah menjalani ujian calitan yang menunjukkan keputusan negatif.

“Pada 21 April lalu, saya tiba-tiba diserang demam panas. Oleh kerana tugas saya sebagai pengamal media dan tinggal dengan keluarga, saya pergi ke hospital swasta untuk membuat ujian saringan dan keputusannya negatif.

“Walaupun lega dengan keputusan itu, saya masih lagi berasa letih dan tercungap-cungap selain batuk teruk pada waktu malam selama seminggu menyebabkan saya insomnia, selain hilang deria rasa dan bau.

“Selepas sembilan hari, saya sudah tidak bermaya lagi dan terpaksa dipapah oleh ahli keluarga untuk ke hospital swasta membuat ujian sekali lagi… Selepas menjalani ujian itu, saya segera diarahkan untuk masuk ke wad ICU kerana keadaan saya ketika itu sudah kritikal dan perlu ditolak dengan kerusi roda,” katanya.

Memandangkan paras oksigen dalam badannya begitu rendah ketika itu, beliau terpaksa dikomakan untuk bantuan pernafasan oleh petugas kesihatan di ICU.

“Saya masih ingat lagi selepas sedar daripada koma selama empat hari, saya sempat ber’video call’ dengan ahli keluarga saya namun tidak dapat bercakap dan hanya boleh memberi respons dengan anggukan kepala… Ketika itu juga saya diberitahu oleh doktor bahawa keadaan saya mencapai ke tahap kelima.

“Perasaan pada ketika itu sangat perit kerana kebiasaannya saya sangat aktif dan tidak boleh duduk diam namun jangkitan ini sangat hebat sehinggakan saya terlantar di atas katil dan hanya mampu merenung ke atas tanpa boleh bergerak kerana badan dipenuhi dengan wayar dan tiub pernafasan.

Selepas lapan hari berada di wad ICU, beliau ditukarkan ke wad biasa namun masih memerlukan pemantauan rapi serta bantuan pernafasan.

“Walaupun sudah boleh bercakap dan berjalan, namun saya masih tercungap-cungap lebih-lebih lagi apabila mahu ke tandas…. bersyukur kerana saya telah melepasi paras berbahaya dan deria bau serta rasa semakin pulih dan dibenarkan discaj sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Bernama.

Meskipun ahli keluarga dan rakan-rakan yang pernah berurusan dengannya disahkan negatif, namun beliau masih berasa serba salah dan sehingga kini masih berehat di rumah dan dalam fasa pemulihan.

“Saya sebenarnya tiada idea dari mana dijangkiti Covid-19… Mungkin dalam kalangan rakan-rakan ataupun orang awam yang tidak bergejala, namun penangan virus ini sangat hebat sehinggakan hampir meragut nyawa.

“Oleh itu, apa yang selalu ditekankan oleh kerajaan untuk mematuhi SOP adalah sangat penting. Mungkin kita rasa sihat dan selalu berkumpul dan berjumpa dengan kawan-kawan namun sebenarnya kita tidak sedar bahawa virus sudah ada dalam komuniti. Bila-bila masa kita boleh dijangkiti sekiranya kita masih memandang ringan dengan keluar dari rumah dan tidak mematuhi SOP,” katanya.

Menurut laporan pada 18 Mei lalu, KKM menjangkakan akan berlaku lonjakan bilangan kes harian Covid-19 seperti yang berlaku di banyak negara lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, ia disebabkan penularan virus SARS-CoV-2 dalam komuniti terutama melibatkan beberapa Variant of Concern (VOC) di negara ini yang amat membimbangkan.

Dr Noor Hisham menjelaskan VOC ini dikaitkan dengan kadar penularan yang lebih cepat dengan kadar kematian yang lebih tinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah kes Covid-19 ke ICU meningkat 94 peratus di Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Jumlah kemasukan kes Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk kes yang disyaki atau kemungkinan dijangkiti di Lembah Klang telah meningkat sebanyak 94 peratus berbanding dua minggu lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata situasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini amat teruk dengan 79 peratus katil ICU di hospital Covid-19 di negeri berkenaan telah digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Hospital Covid-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19, melalui pengubahan semula wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang betul.

“Sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang berada kini berada dalam tekanan yang luar biasa. Petugas barisan hadapan sudah lesu dan kepenatan. Tolonglah kami agar kami masih dapat menolong anda apabila bila tiba masa dan waktunya,” katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan kekal berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes Covid-19 harian tertinggi iaitu 6,075 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 500 kes ICU, tertinggi sejak pandemik menular

SHAH ALAM, 8 MEI: Sebanyak 506 kes kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital dalam negara direkodkan setakat semalam, tertinggi sejak pandemik Covid-19 menular.

Ketua pengarah kesihatan menjelaskan jumlah itu termasuk kes positif, disyaki dan dalam siasatan dengan 295 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kritikal meningkat 44 peratus berbanding dua minggu lalu dengan Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan peningkatan lebih tinggi.

“Sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatat kadar penggunaan katil ICU melebihi 70 peratus dan ada yang mencecah lebih 90 peratus.

“Beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan kerana pesakit tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan ICU,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata musim perayaan, liputan suntikan vaksin yang belum meluas dan kepadatan penduduk meningkatkan kemungkinan hospital berdepan kenaikan kes.

Menurutnya, ia meliputi kes gejala serius iaitu kategori tiga hingga lima membabitkan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang mempunyai lain-lain penyakit (komorbiditi).

Beliau berkata bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukkan sebarang penurunan dalam tempoh terdekat.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: ICU Hospital Queen Elizabeth II masih beroperasi

KOTA KINABALU, 11 OKT: Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di sini masih terus beroperasi, walaupun dua orang jururawatnya didapati positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata seorang jururawat dikesan positif Covid-19 setelah menjalani saringan bergejala pada 6 Oktober lepas, justeru saringan di tempat kerja menggunakan RTK Antigen dan juga RT-PCR telah dijalankan terhadap 92 pegawai perubatan dan jururawat di hospital itu, kelmarin.

“Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks adalah positif Covid-19, manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan PCR. Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah.

“Perkhidmatan di ICU HQE II masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada lapan kepada enam pesakit. Kesemua pesakit di dalam ICU telah disahkan bebas COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Semalam, sebuah portal yang memetik sumber tidak dinamakan mendakwa kononnya ICU hospital itu lumpuh, setelah jururawatnya dijangkiti penyakit itu.

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan itu masih dalam siasatan, bagaimanapun majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di negeri ini setakat ini, adalah berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain.

Katanya, sejak permulaan pandemik itu sehingga semalam 579 orang kakitangan kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan telah dijangkiti Covid-19, dan 198 kakitangan di Sabah telah dijangkiti, yang mana bulan ini mencatat jumlah tertinggi iaitu 85 orang, berbanding bulan lepas 66 orang.

Beliau berkata, semua petugas kesihatan dan perubatan adalah dinasihatkan untuk memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) yang bersesuaian, semasa menjalankan tugas dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sama ada di tempat kerja ataupun semasa di dalam komuniti.

“Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan. Ruang kerja yang sempit dan ruang pantri di tempat kerja, juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja.

“Peperangan dengan Covid-19 ternyata bawa bersama risiko jangkitan dan terkesan kepada petugas kesihatan, sekiranya kita tidak patuh kepada amalan kawalan penyakit. Pastikan kita jaga kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 kembali satu digit, tiada dirawat di ICU

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kes baharu Covid-19 kembali satu angka dengan tujuh kes hari ini selepas merekodkan dua digit kes tiga hari berturut-turut, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat daripada kes baharu mendapat jangkitan di luar negara dan baki penularan tempatan.

“Empat kes import melibatkan mereka yang pulang dari Pakistan, Rusia, Australia dan Indonesia manakala tiga kes penularan melibatkan rakyat Malaysia yang menjalani saringan sebelum pembedahan di Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata tiada kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini dan jumlah kematian kekal 124 kes.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura sahkan 202 kes baharu, keseluruhan 47,655

SINGAPURA, 18 JULAI: Singapura sahkan 202 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan tujuh kes dalam komuniti.

Menurut data ringkas dikeluarkan pada tengah hari ini oleh Kementerian Kesihatan (MOH), daripada tujuh kes komuniti itu, lima daripadanya ialah warganegara Singapura atau penduduk tetap manakala dua lagi pemegang pas kerja.

Selain itu, menurut kementerian, lapan kes merupakan kes import melibatkan mereka yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Bagi kes hari ini, majoritinya masih membabitkan pekerja migran yang tinggal di asrama, katanya.

Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah yang dijangkiti Covid-19 di republik ini kini sebanyak 47,655.

Dalam data penuh dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasi 630 daripada kes itu sebagai kes import, 2,104 kes komuniti dan 44,719 kes penghuni asrama.

Secara keseluruhannya, 43,577 atau kira-kira 92 peratus kes telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan discaj dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat tengah hari semalam, terdapat 165 kes disahkan yang masih dirawat di hospital, dengan kebanyakannya stabil atau semakin pulih, dan tiada pesakit dirawat di unit rawatan rapi.

Sebanyak 3,684 pesakit yang bergejala atau sihat dari segi klinikal tetapi diuji positif Covid-19 diasingkan dan ditempatkan di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan Covid-19 di republik ini.

Satu kluster baharu dikenal pasti semalam iaitu sebuah tapak pembinaan di Paya Lebar Quarter Tower 2, Paya Lebar Link.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bapa Pelajar Koma Rayu Bantuan Kementerian Pelajaran

William Leong 02

SELAYANG 20 DIS : Kementerian Pelajaran diminta prihatin dan bertindak segera bagi mengatasi masalah dihadapi Poh Jia Cheng, 10, yang cedera dan koma sejak lebih setahun lalu.

Insiden berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Desa Jaya kira-kira jam 12 tenghari 6 September tahun lalu ketika Jia Cheng dan murid lain mahu memulakan sesi persekolahan pada sebelah petang apabila dia dilanggar murid yang sedang berlari hingga menyebabkan kepalanya terantuk ke dinding dan cedera.

Bapanya, Poh Beng Joo, 49, berkata, kejadian itu menyebabkan anak keempatnya kini mengalami cedera dan koma serta tidak lagi ke sekolah seperti kanak-kanak lain yang normal.

Menurutnya, keadaan dialami Jia Cheng sangat membimbangkan kerana ia sudah berlarutan lama dan kini dia serta keluarga menghadapi masalah kewangan bagi menanggung kos rawatannya.

Sebagai buruh kasar, katanya, pendapatan bulanannya terhad selain isterinya, Kow Yen Mooi, 40, terpaksa berhenti dari mengambil upah menjahit kerana menjaga Jia Cheng sepenuh masa.

“Saya terpaksa membuat pinjaman semula rumah saya untuk tujuan itu namun keadaan ini hanya sementara kerana dia perlu mendapatkan rawatan secara berterusan.

“Dengan kos rawatan tinggi tentunya ia membebankan saya dan keluarga,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selepas insiden tersebut, Jia Cheng menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) kira-kira empat bulan termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Menteri, Datuk Wee Ka Siong pada 10 Oktober lalu supaya mengambil tindakan segera dalam perkara itu.

Namun, jelasnya sehingga ke saat ini tiada sebarang jawapan atau tindakan dibuat bagi mengatasinya atau membantu keluarga malang tersebut.

“Saya minta tindakan segera diambil dalam perkara ini bagi membantu Jia Cheng dan keluarganya yang kurang mampu tetapi setakat ini tiada jawapan dari kementerian.

“Kes ini sepatutnya diberi perhatian kerana sudah dibawa ke Pejabat Pelajaran Daerah Gombak dan Negeri Selangor. Tanggungan keluarga ini menjadi semakin berat kerana kos perubatannya yang tinggi,” katanya.

Jia Cheng dikatakan mendapat perlindungan insuran Takaful tetapi bantuan masih belum diperolehi disebabkan borang tuntutan diisi bapanya masih dalam simpanan doktor untuk tujuan ulasan.

William Leong 01