Categories
GLOBAL

23 maut, berpuluh cedera kereta api tergelincir di India

NEW DELHI 20 OGOS: Seramai 23 terbunuh dan lebih 80 lagi cedera selepas sebuah kereta api ekspres tergelincir di Uttar Pradesh India semalam, kata pihak berkuasa.

Petugas kecemasan berusaha mengeluarkan mangsa yang terselamat dan menghantar mereka yang tercedera ke hospital selepas lima gerabak tergelincir awal petang semalam, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Sepuluh orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera. Kebanyakan yang cedera sudah dibawa ke hospital,” kata ketua pegawai perubatan P S Mishra melalui telefon.

Polis berkata mayat mangsa turut dibawa ke hospital, tetapi angka korban masih tidak dapat disahkan.

Menurut pegawai kanan polis, Jitender Kumar kepada AFP, fokus mereka sekarang adalah untuk memindahkan mangsa yang terselamat.

Kemalangan itu adalah bencana terbaru yang melanda negeri paling padat penduduk di India.

Ia berlaku hanya seminggu selepas berpuluh-puluh kanak-kanak mati di sebuah hospital yang kehabisan bekalan oksigen.

Laporan kerajaan pada 2012 menyebut hampir 15,000 orang terbunuh setiap tahun akibat kemalangan kereta api di India dan menyifatkan kehilangan nyawa itu sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’ tahunan.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Tentera India dan China terus berbalah isu sempadan

NEW DELHI 16 OGOS: Tentera India dan China terbabit dalam perbalahan di barat Himalaya semalam, kata sumber India.

Keadaan itu dengan sendirinya meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara yang terbabit dalam kebuntuan selama dua bulan di bahagian lain sempadan menjadi pertikaian itu.

Sumber di New Delhi yang diberi taklimat mengenai keadaan ketenteraan di sempadan berkata, tentera menggagalkan usaha tentera China memasuki wilayah India di Ladakh, berhampiran tasik Pangong, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Sebahagian tentera China membawa batang besi dan batu, manakala kecederaan dilaporkan pada kedua-dua pihak, kata sumber.

china-india-border-disputeKedua-dua pihak kerap saling menuduh menceroboh wilayah masing-masing, namun pertempuran jarang berlaku.

“Berlaku perbalahan berhampiran tasik Pangong,” kata pegawai polis di Srinagar, ibu negeri Jammu Kashmir yang ditadbir India.

Sumber tentera di Srinagar turut bercakap mengenai perkara itu berikutan apa yang disifatkan pencerobohan tentera China di kawasan tasik Pangong.

Tentera kedua-dua negara turut terbabit dalam ketegangan di kawasan Doklam di timur wilayah itu, satu lagi bahagian daripada sempadan pergunungan tidak ditandakan sepanjang 3,500 kilometer.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Korban banjir India cecah 120

NEW DELHI, 27 JULAI: 25 mayat termasuk 17 ahli sebuah keluarga ditarik keluar dari lumpur, kelmarin, sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat banjir yang disebabkan hujan lebat berterusan sejak minggu lalu di India mencecah sekurang-kurangnya 120 orang.

banjirindiaJurucakap polis, Aksharaj Makwana berkata, semua mayat itu ditemui di tebing sungai dua perkampungan yang teruk terjejas di daerah Banaskantha, di Gujerat.

“Pasukan penyelamat sudah menyelamatkan kira-kira 2,655 penduduk kampung yang terperangkap di daerah Banaskantha dengan 260 daripada mereka diselamatkan helikopter,” katanya dipetil Sinar Harian Online.

Media tempatan melaporkan, ribuan askar dan anggota separa tentera dibantu helikopter menyertai pasukan polis melakukan operasi menyelamat ribuan penduduk yang terperangkap dalam kejadian banjir terburuk itu, lapor Agensi.

Categories
SELANGOR

Sokongan masyarakat India kepada Kerajaan Negeri kekal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 17 OKT: Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yakin sokongan pengundi India di Parlimen Subang khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras kekal pada tahap 70 peratus pada pilihan raya umum akan datang.

sivarasaUjar beliau, keyakinannya itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat akar umbi kaum itu dalam pelbagai aspek seperti culaan rambang dan sambutan terhadap program yang diadakan Kerajaan Negeri.

“Saya percaya 70 peratus sokongan kaum India yang kita terima pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu akan kekal, malahan tidak mustahil akan bertambah khususnya bagi pengundi bagi DUN Paya Jaras ini,” katanya kepada SelangorKini pada Program Jom Shopping Perayaan Deepavali DUN Paya Jaras di kawasan letak kenderaan Econsave di sini, pada 15 Oktober lalu.

Katanya, ketika ini sokongan masyarakat India terhadap program di DUN dalam Parlimen Subang meningkat berbanding sebelum PRU-13 lalu disebabkan wujudnya imej sebuah kerajaan yang boleh dipercayai yang ada pada Kerajaan Negeri hari ini di mata masyarakat kaum itu.

“Sebelum PRU-13, memang kita berjaya perolehi sokongan tinggi tetapi dapat lihat sambutan selepas itu meningkat dengan agak ketara,” katanya.

Katanya, sokongan yang diterima itu diperoleh apabila timbul kesedaran kaum India terhadap usaha gigih Kerajaan Negeri membela nasib kaum terbabit di Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Wanita india terus diberdaya

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Seramai 60 wanita India menyertai kursus kecantikan dan dandanan rambut wanita kaum berkenaan di DUN Sementa.

image-38-225x300Menerusi laman rasmi Exco Kesihatan,Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, kursus itu mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Anak Muda Malaysia bagi membantu wanita di Selangor khususnya bagi mendapat ilmu yang bermanfaat.

“Secara tidak langsung kursus ini akan membantu wanita mencari pendapatan tambahan membuat rambut,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Daroyah juga hadir merasmikan premis baru untuk Persatuan Pembangunan Ekonomi Wanita Kapar di Taman Sungai Kapar Indah, Sementa yang dihadiri pemimpin dan ahli persatuan.

“Semoga segala program pembedayaan wanita di Kapar dapat dijalankan dengan lancar dengan adanya premis baru ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kerajaan perlu turun harga bahan api ikut pasaran dunia

ron95

KUALA LUMPUR 31 OKT – Pakatan Rakyat (PR) mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan subsidi bahan api sebanyak RM2.326 bilion dalam pembentangan Belanjawan Negara 2014 kerana kerajaan mensasarkan penjimatan sebanyak RM3.3 bilion tahun hadapan.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, berkata pertambahan subsidi menjadikan jumlah perbelanjaan meningkat kepada RM22.341 bilion, namun hanya RM20.015 diperuntukkan dalam Belanjawan Negara 2013.

“Subsidi minyak untuk tahun depan akan meningkat sebanyak 11.62 peratus iaitu daripada RM20 bilion ditingkatkan kepada RM22 bilion. Harga subsidi minyak perlu ditingkatkan bukan dikurangkan.

“Jadi kita ada persoalan besar, kenapa subsidi perlu meningkat secara mendadak kerana pengumuman Perdana Menteri menjelaskan bahawa RON95 dan Diesel ditingkatkan 20 sen membolehkan penjimatan RM3.3 bilion dicatat tahun 2014, pada September lalu,” katanya pada sidnag media, di Parlimen, di sini, hari ini.

Wei Aik berkata, harga minyak semasa dunia menurun berikutan keredaan krisis di Syria dan Iran ke paras USD102 satu tong dan beliau turut mendesak kerajaan menurunkan harga bahan api selaras dengan penurunan harga pasaran dunia.

“Harga bahan api adalah masalah besar yang membebankan rakyat kerana mereka ingin harga diturunkan bukan semakin bertambah,” katanya.

Antara negara yang mengurangkan harga minyak adalah India, Taiwan, Ghana, Vietnam, Bermuda, Afrika Selatan, Georgia dan China, dalam tempoh hampir tiga bulan lalu. -NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Cemerlang SPM DUN Sementa terima hadiah istimewa

Dr Daroyah Alwi pelajar cemerlang

SHAH ALAM 22 OKT : Pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa bakal menerima hadiah istimewa.

ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi, berkata ganjaran yang dijanjikan itu sebagai peransang kepada calon SPM untuk berusaha dan fokus dalam menghadapi peperiksaan yang akan berlangsung, pada November ini.

Katanya, ganjaran itu akan diberikan kepada pelajar seluruh DUN berkenaan yang berjaya mendapatk keputusan A untuk semua mata pelajaran.

“Sesiapa pelajar SPM dari DUN Sementa tidak kira bangsa Melayu, India atau Cina yang berjaya mendapatkan keputusan A untuk semua mata pelajaran, perlu berjumpa saya untuk mendapatkan hadiah istimewa yang dijanjikan itu.

“Selepas keputusan SPM dikeluarkan nanti, mereka boleh terus pergi ke Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sementa untuk memberi butiran terbabit dan kejayaan mereka akan diraikan.

“Sebagai ADUN, kejayaan yang mereka kecapi adalah kebahagiaan saya dan dorongan ini diharap bakal memotivasikan mereka serta membakar keazaman yang tinggi untuk terus berusaha demi mencapai apa dicita-citakan,? katanya dalam ucapan penutup bagi program Seminar Fastrack SPM 2013 di Dewan Kuliah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), baru-baru ini.

Seminar satu hari anjuran Biro pendidikan dan PKM DUN Sementa itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan dan berjaya mengumpulkan kira-kira 120 calon SPM dari seluruh sekolah kawasan berkenaan di bawah Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Daroyah yang juga Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata inisiatif kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi melaksanakan PTRS terbabit dilihat sangat relaven dan bijak.

“Bukan semua keluarga mampu menghantar anak mereka mendapatkan kelas tuisyen. Dengan adanya PTRS, kita dapat membantu mengurangkan beban mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pendidikan generasi muda pelapis negara adalah keutamaan kepada kerajaan negeri demi melahirkan modal insan cemerlang yang akan menyambung legasi kejayaan di Selangor,? katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng – Pentas Selangor fokus pembangunan kesenian

teng pc stripe tie 01SHAH ALAM 1 OKT : Kerajaan Negeri akan menitikberatkan pembangunan bidang kebudayaan dan kesenian seiring dengan kemajuan bidang lain.

Sehubungan itu, satu penganjuran persembahan pelbagai kebudayaan dikenali Pentas Selangor akan diadakan di Klang pada 26 Oktober ini bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Perempuan) Klang.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, persembahan itu adalah kali kedua selepas persembahan pertama di tempat sama pada 15 September lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya penduduk setempat.

Beliau berkata, ia adalah usahasama antara Kerajaan Negeri dan pihak korporat bagi mengembangkan lagi kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Selangor.

Ia juga akan menjadi satu tarikan bagi peminat seni dan pelancongan serta akan dimasukkan sebagai salah satu acara dalam kalendar pelancongan Selangor pada tahun depan.

“Kita mengadakan persembahan kedua ini selepas kejayaan persembahan pertama. Seterusnya kita merancang membuat 12 persembahan iaitu sebulan sekali dengan Klang sebagai permulaan kerana bandar ini dikenali sebagai bandar atau pusat kebudayaan.

“Selepas ini kita berharap untuk membuat persembahan di luar Klang khususnya di Shah Alam dan Petaling Jaya kerana bandar raya ini mempunyai lebih kemudahan seperti auditorium dan pentas teater,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Teng berkata, buat permulaan persembahan itu disertai dan dijayakan enam pasukan kesenian antaranya  terdiri daripada Orkestra Cina serta pasukan gendang, tarian dan nyanyian.

Katanya, Kerajaan Negeri berharap ia akan mendapat sambutan dan sokongan rakyat Selangor ke arah pengukuhan dan perkembangan pasukan itu untuk menjadi lebih besar.

Pihaknya mengharapkan penyertaan lebih banyak syarikat korporat dalam program itu sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan berkenaan.

“Ia adalah persembahan pelbagai kebudayaan dan ia menjadi satu cabaran bagi mengembangkannya. Buat permulaan kita ketengahkan kumpulan Cina.

“Apabila ia sukses, perancangan seterusnya membesarkannya dengan Pentas Selangor mungkin bertukar menjadi Pentas Utama atau Pentas Perdana dengan pembabitan kaum lain seperti Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, Dayak dan sebagainya termasuk tajaan daripada pihak korporat lebih besar,” katanya.

Berhubung peruntukan, beliau berkata, Kerajaan Negeri menganggarkan perbelanjaan kira-kira RM500,000 untuk penganjuran 12 persembahan itu nanti.

“Kita berharap mampu untuk membina satu model pembangunan kesenian di Selangor kerana selalunya kita menghadapi kekangan peruntukan untuk mengiatkan aktiviti kesenian di Malaysia.

“Kita berbangga dengan pembangunan fizikal, ada menara kembar Petronas, ada lapangan terbang terbesar, ada pelabuhan yang besar, ada salah satu rangkaian sistem pengangkutan terbaik di rantau ini tetapi apabila memperkatakan mengenai kebudyaan, kita mempunyai ruang yang besar untuk ditingkatkan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor fokus kepada pembangunan akal dan jiwa – Halimah

Halimah Ali Hijau Tudung Pink 01

(SOAL JAWAB) Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor melangkah bergaya selepas PRU 13 lalu apabila buat kali kedua terus diberi kepercayaan mengemudi negeri. Berbekal ketelusan yang menjadi prinsip Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau juga sudah pasti dibantu barisan exco berkaliber.

Salah seorangnya, Dr Halimah Ali yang memegang portfolio Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Ketika usianya kini 53 tahun, semangat beliau tetap membara untuk menterjemahkan maksud Surah Saba’, ayat ke-15 sebagai intipati dalam proses “mengehsankan insan” penduduk di negeri paling maju itu.

Berikut temu bual wartawan Harakah, ARIF ATAN dan SAIDAH HAIRAN bersama beliau di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, baru-baru ini.

HARAKAH: Cabaran Dr hadapi sewaktu pertama kali memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri selepas PRU12 (2008) lalu?

DR HALIMAH ALI: Penggal pertama dulu antara yang terpaksa untuk dilalui ialah saya perlu menganalisa bagaimana keadaan insan di Selangor. Maknanya, saya perlu mendidik insan di Selangor ini supaya kemudiannya dapat mencapai status “Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.

Bagi menjadikan matlamat dalam halatuju rangka tindakan Kerajaan Selangor 2025 itu jadi nyata pastilah memacu pembangunan modal insan menjadi antara teras utama selain pembangunan fizikal. Jadi, fokus kita ialah bagaimana hendak membangunkan akal dan jiwa penduduknya supaya kualiti insan di Selangor memungkinkan tercapainya visi kerajaan negeri.

Itu terjemah daripada apa yang saya ambil daripada Surah Saba’ ayat ke-15 (antaranya bermaksud, “Makanlah olehmu rezeki yang dianugerahkan oleh Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya) hingga sampai satu tahap memungkinkan Selangor jadi negeri terbaik dan diampuni Allah. Kita tidak mahu kemajuan fizikal mencakar kemajuan insan sehingga akhirnya terjerumus menuju kemusnahan. Moga Allah jauhkan.

“Kembali menjiwai” itu makna di sebalik nama Darul Ehsan?

Itu sudah pasti. Darul itu maksudnya negeri. Ehsan dalam konteks masyarakat majmuk kita ada orang Islam dan bukan Islam. Ehsan secara asasnya bermaksud cemerlang. Jadi, ini negeri yang serba-serbinya menjanjikan kecemerlangan. Kita tidak mahu sekadar ungkapan tapi kita menyiapkan insan-insan Selangor yang cemerlang barulah negeri ini darul cemerlang.

Oleh itu, model SPIES (Spiritual, Physical, Intelellectual, Emotional, Social) kita jadikan rujukan dalam program pembangunan modal insan di Selangor. Kita mahu laksanakan pembangunan insan yang berjadual dan secara sedar dipandu nilai spiritualnya dari rumah sampai liang lahad.

Rakyat di Selangor jadi insan yang baik hati, spiritualnya kuat dan sentiasa sedar Allah sentiasa melihat. Jadi, dia akan malu buat jahat dengan adanya ehsan. Itu soal rohani atau spiritual.

Daripada segi fizikal pula, kalau di Selangor sekarang sudah ada 5.8 juta penduduk sebab ramai mahu jadi rakyat negeri ini. Jadi, kita mahu rakyat Selangor jadi sihat dan kuat. Dia mampu dari hujung rambut sampai hujung kaki melakukan kebaikan tadi.

Sekarang ini Kementerian Kesihatan uar-uarkan satu pertiga rakyat Malaysia sudah menghidap kencing manis, darah tinggi. Itu nanti sangkut pula dengan sakit buah pinggang, katarak, sakit jantung dan sebagainya. Maksudnya, aspek fizikal kita tidak dilatih membudayakan kesihatan.

Iya. Cara hidup kita hari ini kita seolah-olah menempah deretan penyakit itu 20, 30 tahun akan datang. Akibatnya? Produktiviti jatuh walaupun individu itu baik rohaninya tapi tidak sihat. Susah. Pak imam umur awal 30-an pun sekarang ini ada sakit jantung, strok. Tak mampulah buat kerja pada tahap maksimum.

Selain itu, apa lagi?

Ciri kedua, fizikal juga ialah kita tidak mahu orang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmu. Tahu hal itu tak baik tapi buat. Sungai Klang contohnya wajar jadi sumber air untuk orang Selangor. Tak perlu sebenarnya Selangor beli air dari Pahang sebab Selangor ada tiga sungai – Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor.

Kenapa kita tidak boleh guna Sungai Klang untuk kegunaan rakyat di Selangor? Sebab pencemaran. Siapa cemarkan? Adakah monyet di hutan? (ketawa). Kita tahu sungai ini ciri fizikal. Buang minyak ke sungai macam baru-baru ini diesel ke Sungai Selangor. Itu tidak bertindak dengan ilmu.

Baik hati kita juga dinilai melalui tindakan fizikal. Niat saja mahu tolong orang tapi tidak, itu kita tidak mahu. Fizikal ini maknanya tangan, kaki dan seluruh pancaindera digunakan sebagai seorang insan. Niat dan arahkan. Baru kita boleh jadi sejahtera. Apa yang hendak dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat anggota tubuh kita.

Bagaimana ciri ketiga dalam formula SPIES?

Kalau ikutkan dasar kerajaan sejak merdeka, asas intelek itu ialah membaca, menulis, mengira. Tapi kita tambah fungsi fikir. Baru kita dapat selesaikan banyak masalah. Contohnya, kenapa Melayu selepas 56 tahun merdeka masih dialah juara kemiskinan? Kenapa Terengganu ada minyak tetapi jadi negeri miskin?

Jadi, kita mahu latih rakyat negeri Selangor berfikir secara analitikal dan kritikal supaya boleh memilih dengan bijaksana. Contoh, kita tengok pilihanraya. Itu tugas besar. Kalau pilih salah, tidak analisa orang atau parti yang hendak dipilih maka dia akan terima akibat kerana tak buat pilihan tepat.

Malangnya, selama ini rakyat tidak dilatih berfikir analitikal dan kritikal.
Lagi contoh. Kenapa Melayu, Cina, India masih bergaduh? Ada semangat perkauman sempit. Kenapa? Sekali lagi sebab tidak mampu berfikir. Tiada sikap saling menghormati keperluan orang yang berbeza kaum dan agama.

Bukan maknanya kita mesti liberal. Tidak. Pasal mazhab, syiah. Tidak habis-habis bergaduh pada 20 rakaat atau 8 rakaat. Bergaduh hal yang sunat tetapi yang fardu dan wajib tidak dibuat. Macam mana tu?

Kita gaduh benda kecil sebabnya kita tak mampu berfikir. Akibatnya, tidak mampu selesaikan masalah. Bahkan kita pula yang cipta, tambah lagi masalah. Nak jadi Selangor yang sejahtera mesti rakyatnya mampu berfikir holistik.

Categories
NASIONAL

NGO Anjur Jelajah Countdown, Flash Mob Besar-besaran Sebelum #Blackout505

himpunan suara rakyat kelana jaya black 505 03

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Gabungan lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan program ?countdown? (mengira detik) sebelum berlangsungnya perhimpunan aman #Blackout505 yang akan diadakan di Kuala Lumpur, 22 Jun nanti.

Program tersebut dimulakan dengan aksi ‘flash mob’ yang melibatkan rakyat dari pelbagai kaum dan latar belakang di sepanjang jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur bermula jam 2.00 petang Sabtu ini.

Dalam acara flash mob itu nanti, orang ramai juga diseru agar hadir dengan membawa pelbagai plakad berdasarkan kretiviti masing-masing.

Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, selain flash mob di Jalan Tunku Abd Rahman acara countdown ini juga diadakan di beberapa tempat di seluruh negara.

“Bagi memastikan mobilisasi terbesar dan sebagai aksi akhir membangkitkan kesedaran rakyat tentang penipuan Pilihan Raya Umum ke-13, Gabungan Suara Rakyat 505 mengkordinasi sebuah jelajah mengira detik menuju 22 Jun.”

Badrul Hisham berkata demikian dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.

Pada 17 Jun pula, program Pidato Perdana akan diadakan dengan melibatkan beberapa pemimpin NGO dan aktivis mahasiswa bertempat di Padang Awam, Halaman Meru Permai, Meru Raya, Ipoh.

Program countdown itu diteruskan pada 18 Jun di Dataran Tonggak 10, Sg Besar, Selangor dengan satu lagi program Pidato Perdana.

‘Flash mob’ kembali beraksi bagi fasa ke dua bertempat di Jalan Tun Perak, berhampiran Pudu Raya bermula jam 6.00 petang pada 19 Jun.

Pada 20 Jun pula, Pidato Perdana kembali mengambil tempat pada 20 Jun bertempat di Taman Muhibbah, Temerloh Pahang.

Manakala acara ‘Malam Kemuncak Kira Detik’ pula akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada sebelah malam 21 Jun nanti.

Selain SAMM, antara NGO lain terlibat termasuklah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jerit, Radio Bangsar, Kill The Bill, Universiti Bangsar Utama (UBU) dan lain-lain.

Acara-acara countdown tersebut turut melibatkan nama besar Pakatan Rakyat seperti MP Batu, Tian Chua, Timbalan PAS, Mohamad Sabu, aktivis mahasiswa, Adam Adli dan Safwan Anang, aktivis Hishamuddin Rais, Badrul Hisham sendiri dan lain-lain.

Sementara itu, mengulas Perhimpunan Blackout505 pada Jun 22 nanti, Badrul Hisham menjangkakan perhimpunan tersebut akan mengumpulkan lebih 200,000 perserta perhimpunan.

Turut sama dalam sidang media tersebut Hishamuddin dan wakil-wakil dari beberapa NGO lain.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tinggalkan Politik Rasis Dan Gender

EXCOSELANGOR

ULASAN: Saya terasa teringin untuk menulis sesuatu hari ini. Agak lama tidak menyatakan pandangan, mungkin kerana terpaksa menahan diri dari melakukannya kerana ada tugas penting yang perlu diselesaikan tanpa memberi peluang kepada mana-mana pihak mentelaah secara negatif. Hari ini setelah semuanya selesai maka sementara duduk di rumah elok dituliskan sesuatu agar mampu memberi sedikit pencerahan.

Ramai melihat agenda melantik menteri besar di Selangor dan barisan Exco dengan kanta pandang dekat. Ramai mungkin yang mahu memberi pandangan walaupun dalam banyak masa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat tepat untuk membuat komen.

Maka wujudlah beberapa siri perbincangan panas antaranya Istana campurtangan dalam pemilihan Exco, politik kuno berpaksikan kaum, politik order lama yang tidak sensitif gender dan bermacam lagi.

Bila ada ura-ura kononnya istana atau lebih khusus lagi DYMM Sultan cuba memberi nasihat dan pandangan dalam pelantikan Exco maka terus sahaja kita membuat kesimpulan bahawa Tuanku mahu campurtangan dalam pentadbiran negeri, baginda seorang yang rasis dan hanya memihak kepada orang Melayu.

Tidak sedikit yang menyatakan rasa marah dan tersinggung serta kesedihan mereka dengan berita tersebut. Ramai kita terlupa bahawa politik Pakatan Rakyat yang kita bawa adalah politik baru dengan semangat politik inklusif, yakni ruang bersuara dan memberi pandangan terbuka luas kepada semua pihak dan saya berpandangan ianya tidak terkecuali kepada pihak istana.

Lebih malang apabila timbul cerita bahawa pihak istana mahu formula 6:4 (Melayu: Bukan Melayu) digunapakai dan isu kaum terus dimainkan tanpa cuba melihat mungkin ada sudut lain yang lebih positif dan membina yang boleh dilihat. Bila kita lihat keputusan 15:15:14 PAS DAP dan PKR, ini bermakna keputusan tersebut telah melonjakkan kerusi PAS yang dahulunya hanya lapan kepada 15 kerusi.

Sedar atau tidak dengan lonjakan tersebut telah sekaligus membenamkan tohmahan Umno-Najib bahawa PRU 3 adalah Tsunami Cina hingga membawa kepada keceluparan melampau apabila mereka mengatakan ?Apa Lagi Cina Mahu?. Kawasan majoriti Melayu di Sepang dan Sabak yang dimenangi oleh PAS telah memusnahkan ego Najib dan kuncu utamanya Md Zin.

Justeru, dengan memperolehi 15 kerusi amat wajar PAS diberikan penghargaan kerana bukan sahaja memang mereka telah melonjakkan kerusi Pakatan Rakyat hingga mendapat 3/4 majoriti di dalam Dewan, malahan telah menafikan jolokan Tsunami Cina yang cuba dimainkan oleh Umno. Ianya saya lihat telah menggagalkan usaha Umno untuk memalukan masyarakat Melayu di Selangor hingga boleh mewujudkan ketegangan kaum.

Saya berpendapat inilah yang cuba dibayangkan oleh Tuanku semasa membuat keputusan untuk tetap memberi pandangan kepada MB bahawa rayuan MB di saat akhir dengan tujuan memberi 4 kerusi Exco kepada DAP tidak boleh dirai. Namun, benar percakapan umum bahawa politik terbaca atas persepsi dan bukan dari niat sebenar. Maka persepsi menggambarkan Tuanku seperti anti-Cina dan hanya mementingkan politik orang Melayu.

Bagaimana pula hari ini? Setelah melihat pentadbiran PR Selangor dengan berani mencipta sejarah melantik YB Puan Hannah Yeoh sebagai Speaker lantas menjadi Wanita (Cina) pertama yang menduduki kerusi tersebut adakah persepsi di atas masih terpakai? Terbukti hari ini politik Selangor telah menjangkau ke hadapan – meninggalkan politik rasis dan gender ke belakang. Tidak terfikirkah kita bahawa DYMM Tuanku juga memainkan peranan besar di dalam sejarah yang kita cipta ini?

Barisan Exco Profesional Bela Rakyat

Sejarah mampu dicipta di Selangor ekoran dari proses konsultasi, tawar menawar, tikaman lidah hingga mewujudkan kerjasama erat dan kebijaksanaan Menteri Besar, pemimpin Pakatan Rakyat hatta dari keperihatinan DYMM Tuanku sendiri.

Sebenarnya saya tidak hadir pada majlis angkat sumpah Exco yang penuh istidat dan bersejarah hari ini kerana khuatir kokokan batuk yang saya alami sejak PRU dahulu akan mengganggu keharmonian upacara. Meskipun saya dijemput sendiri oleh Dato Pengelola Istana tapi saya terpaksa menolaknya walau dengan hati yang berat.

Biarlah acara gemilang berlangsung cemerlang tanpa ada bunyi atau suara sumbang-garau yang mencemar majlis. Cukup sekadar menyediakan teks sembah ucapan Dato Menteri Besar kepada Tuanku menjadikan saya seolah-olah berada di sana merai hari bahagia rakyat Selangor.

Memandangkan saya ada kelapangan berada di rumah, saya mengambil kesempatan membuat catatan ini dengan hasrat mahu mengimbangi keghairahan kita memberi pendapat dengan harapan dapat mengecapi politik ideal. Ghairah mengetengahkan harapan agar tiada campurtangan istana dalam pentadbiran negeri.

Harapan agar politik tidak diukur dengan ras dan kaum. Harapan agar politik kita terkeluar dari kekangan gender. Saya akui semua harapan itu memang baik dan ideal; tidak keterlaluan jika saya katakana itulah suasana politik yang didambakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Namun pada saya, apa yang lebih penting ialah natijah dan hasil dari proses yang kita ambil dalam berpolitik. Maksud saya, apa yang kita lihat di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang. Pentadbiran Selangor membariskan barisan Exco yang mempunyai cukup representasi dari Melayu, Cina dan India. Selangor lengkap dengan reprentasi Wanita dalam Exco yakni sebanyak 40 peratus.

Selangor mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya melantik seorang Speaker wanita berbangsa Cina dan timbalan speaker termuda di dalam sejarah politik negara. Pakatan Rakyat Selangor berjaya membariskan barisan Exco profesional pelbagai bidang dan jurusan; Peguam, doktor, arkitek, dentis hatta seorang ilmuan agama seperti Ustaz Solehin Muhyi.

Rakyat Selangor pula semuanya berbangga menjadi rakyat di negeri Selangor yang telah memilih pimpinan mereka yang pelbagai bidang. Cuma satu perkara yang ingin saya ketengahkan, di sebalik kegembiraan dan kebanggaan yang kita semua rasai ketika ini, harus diketahui juga ianya bukan datang dengan sendiri.

Bukan juga dengan campurtangan mana-mana pihak. Ianya adalah hasil dari proses bertikam lidah, konsultasi, perbincangan serta tawar menawar yang dilakukan semua pihak; parti-parti politik, pegawai eksekutif di pejabat Menteri Besar dan pegawai di istana.

Malah yang lebih besar lagi apabila DYMM Tuanku sendiri yang ada ketika pada siri menghasilkan barisan Exco dan speaker, telah sanggup mencemar duli. Pada saya, sejarah hari ini telah dicipta semua orang baik dari keturunan raja hinggalah pacal rakyat marhaen dan budak suruhan pejabat serta para bentara di istana.

Syabas rakyat Selangor dan tahniah kepada pimpinan yang dilantik menerajui pentadbiran negeri. Selamat menjalankan tugas – bekerja demi rakyat tanpa memihak kepada sesiapa dan tanpa rasa takut kepada manusia. Sesungguhnya rakyat hakim negara dan Allah pemilik sekalian alam.

Faekah Husin 

(Penulis ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor)

Categories
NASIONAL

PAS Umum Bertanding 76 Parlimen, 237 DUN

PAS Umum Bertanding 01

KUALA LUMPUR, 2 APR: PAS akan bertanding 76 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekaligus menyaksikan pertambahan 10 kerusi berbanding tahun 2008.

Di samping itu, PAS turut bertanding di 237 kerusi DUN seluruh Malaysia.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media sempena pelancaran Pusat Media PAS sempena PRU-13.

Menurut Abdul Hadi, PAS turut bertanding di kerusi campuran memandangkan sambutan positif terutama dalam kalangan kaum Cina dan India.

“Kita memecahkan benteng pemisah perkauman sehingga rakyat menolak MCA dan MIC,” katanya.

Antara calon PAS yang menang pada PRU-12 di kerusi campuran adalah Dr Siti Mariah Mahmood, kawasan Parlimen Kota Raja.

Selain itu, PAS turut mengumumkan calon yang bakal bertanding di tiga kerusi Parlimen.

Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi akan bertanding di Parlimen Temerloh sekaligus menyaksikan pertukaran semula kerusi bersama PKR yang bertanding pada PRU-12.

Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Juham), Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi diletakkan sebagai calon Parlimen Titiwangsa yang dahulunya diwakili Allahyarhamah Dr Lo’ Lo Ghazali.

Sementara itu, bekas Pengarah Kor Agama, Angkatan Tentera Malaysia, Briged Jeneral (B), Datuk Najmi Ahmad akan bertanding di Parlimen Baling.

Jelas Abdul Hadi, Datuk Taib Azamuddeen Taib selaku penyandang kerusi Baling tidak akan bertanding kerana mengalami masalah kesihatan