Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiada halangan skuad boling kebangsaaan jalani latihan

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kementerian Belia dan Sukan tiada halangan bagi atlet berprestasi tinggi dan elit di peringkat kebangsaan termasuk skuad tenpin boling negara menjalani latihan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada masa ini.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata skuad boling negara diberi pengecualian untuk menjalani latihan di bawah konsep gelembung sukan atau secara kuarantin walaupun pusat-pusat boling tidak dibenarkan beroperasi ketika ini.

“Bagi atlet elit di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN), tiada masalah untuk mereka meneruskan latihan. Untuk orang ramai, sudah tentu masih tidak dibenarkan kerana ia masih terkait dengan kecenderungan masyarakat bermain boling untuk hiburan atau riadah apatah lagi kebanyakan pusat boling berada dalam pusat beli-belah yang menjadi kunjungan orang ramai.

“Kita membuka sukan yang memberi impak kepada orang ramai serta kehidupan, dan memberi kesan langsung kepada kecergasan dan kesihatan. Sukan yang berkaitan dengan riadah boleh menyusul dalam fasa berikutnya,” katanya ketika di temui Bernama semalam.

Media sebelum ini melaporkan latihan skuad boling kebangsaan kembali terjejas berikutan pusat boling, termasuk venue latihan yang berada dalam pusat membeli belah ditutup susulan pelaksanaan PKP 2.0 bermula 13 Jan lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan skuad boling negara membuat pilihan untuk keluar daripada kem latihan secara kuarantin ketika PKP 2.0 dilaksanakan bulan lepas.

“Pasukan boling minta keluar daripada kem dengan andaian bahawa PKP akan tamat dalam tempoh dua minggu, tetapi ia dilanjutkan. Kita akan tunggu sehingga 18 Februari untuk mengetahui sama ada PKP dilanjutkan atau tidak.

“Sekiranya PKP diteruskan, kita akan berbincang semula dengan MTBC (Kongres Tenpin Bowling Malaysia) dan akan memulakan latihan semula dalam gelembung sukan. Atlet wajib tinggal di penginapan MSN, dan kita akan sediakan kenderaan khas buat mereka untuk pergi dan balik ke pusat latihan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara selama dua minggu bermula 5 hingga 18 Februari ini.

PKP 2.0 mula diwartakan pada 13 Januari lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KBS komited bantu gerakan belia diterajui MBM

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan komitmen untuk membantu gerakan belia yang diterajui Majlis Belia Malaysia (MBM) ketika sesi dialog dalam talian bersama ahli dewan tertinggi majlis itu semalam.

KBS dalam satu kenyataan memaklumkan sesi dialog yang dipengerusikan Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menyaksikan pengumuman pemberian dana bantuan pentadbiran kepada MBM dan Badan Induk Gabungan Kebangsaan masing-masing sebanyak RM1 juta.

“Saya dan KBS akan meneruskan komitmen yang tidak berbelah-bahagi dalam memperkasa gerakan belia yang diterajui oleh MBM,” kata Reezal Merican.

Menurut KBS, dalam sesi dialog itu Reezal Merican membincangkan usaha dan peranan dewan tertinggi MBM yang terdiri daripada 19 badan induk Gabungan Belia Kebangsaan dalam pembangunan golongan tersebut di negara ini.

Turut menyertai dialog itu ialah Presiden MBM Jufitri Joha.

Reezal Merican turut menjelaskan senario semasa perkembangan belia di peringkat global yang terkesan akibat Covid-19 termasuk di Malaysia.

Beliau turut menekankan usaha semasa kerajaan dan KBS khususnya melalui Belanjawan 2021 yang antara lain menyentuh soal peluang pekerjaan, penciptaan pekerjaan, peningkatan latihan dan kemahiran serta akses belia terhadap dana dan kemudahan yang disediakan kerajaan, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Reezal Merican turut membuka keterlibatan MBM dalam merangka Model Baharu Pembangunan Belia sebagai pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia 2015-2035.

Ini bagi membolehkan Dasar Belia sedia ada diperkasa dengan agenda mutakhir yang menyentuh hala tuju negara, peluang baharu untuk belia dalam suasana ekonomi dan teknologi baharu serta pembentukan masyarakat yang dipandu oleh belia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah dalam sukan boleh rencat pembangunan atlet

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Isu rasuah bukanlah masalah baharu di Malaysia, sebaliknya sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara.

Pelbagai sektor sebenarnya terkait dengan isu berkenaan walaupun tindakan tegas telah diambil pihak berkuasa dalam menangani penyakit sosial itu, termasuklah dalam industri sukan yang boleh merencatkan pembangunan atlet negara sekiranya masalah tersebut tidak dibanteras sepenuhnya.

Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah.

Menurut laman rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Rasuah (SPRM) www.sprm.gov.my, suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam jawapan bertulis kepada Bernama, bagaimanapun berkata jika dilihat daripada konteks perkembangan atlet negara, isu rasuah dalam sukan masih berada pada tahap terkawal.

Namun, KBS menegaskan langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memastikan ia tidak menjadi ‘barah’ kepada pembangunan sukan negara.

Menurut KBS, sebagai usaha berterusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhasrat meneruskan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memastikan semua badan sukan kebangsaan bebas daripada budaya tidak sihat itu dan menyebarkan lagi semangat bebas rasuah kepada semua ahli gabungannya.

Melihat kepada trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia, kebanyakannya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan, yang biasanya berlaku apabila pertaruhan dalam sukan semakin berleluasa.

Misalnya, pada 2018, dua pemain badminton profesional negara Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang digantung daripada menyertai sebarang kejohanan masing-masing selama 20 dan 15 tahun oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati bersalah terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendenda 17 pemain pasukan Kuala Lumpur sebanyak RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Kesemua pemain terbabit hanya dikenakan denda selepas FAM mengambil kira faktor bahawa mereka menjadi ‘mangsa keadaan’ penaja yang mendesak mereka supaya terlibat dengan skandal tersebut.

Sementara itu, bekas Pesuruhjaya Sukan Dr Wirdati Mohd Radzi yang juga pengamal undang-undang, turut senada dengan KBS dan berpendapat lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membanteras rasuah dalam sukan.

“Banyak kes (rasuah dalam sukan) yang mungkin tidak dilaporkan.

“Jadi, tidak dapat mengetahui secara tepat betapa besarnya kesan ini kerana tidak ada laporan. Persatuan tidak lapor mungkin ada banyak sebab. Jadi saya minta ahli persatuan tampil untuk membantu mengurangkan atau buang terus gejala ini dalam sukan di Malaysia.

“Apa yang membimbangkan, ia boleh menutup peluang pembangunan sukan kerana wang yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan sukan tidak sampai kepada atlet,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Jelasnya, badan sukan tidak sepatutnya terlepas daripada dikenakan tindakan jika disabitkan kesalahan, dan jika kesalahan itu membabitkan persatuan, hanya ahli persatuan boleh membuat laporan kerana mereka terikat dengan perlembagaan persatuan sukan masing-masing.

Melainkan jika kesalahan yang dilakukan berkait dengan orang awam maka orang awam berhak untuk melaporkan salah laku berkenaan bersama dengan bukti yang kukuh, katanya.

Wirdati turut memaklumkan antara faktor gejala rasuah dalam sukan kurang dilaporkan disebabkan kurangnya kesedaran atau pendedahan mengenai hal tersebut dalam komuniti sukan.

“Bila kita dapat mendidik sepenuhnya khalayak sukan, insya-Allah kita akan dapat lihat perubahan. Persatuan pun kena dibantu oleh peguam atau pengamal undang-undang untuk membantu mereka bawa kes kepada pihak berwajib.

“Rasuah bukan benda main-main. Sukan juga tidak terlepas daripada akta rasuah,” kata Wirdati.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bola sepak Piala Malaysia dibenar mulai Januari tahun depan

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Penantian peminat sukan bola sepak tanah air berakhir apabila kerajaan memutuskan untuk membenarkan penganjuran sukan nombor satu negara itu temasuk Piala Malaysia bermula Januari tahun hadapan.

Pengumuman itu dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas meneliti cadangan tatacara operasi piawai (SOP) yang dibentangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada jawatankuasa teknikal semalam.

“Perlawanan bola sepak Piala Malaysia dibenarkan bermula Januari 2021,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan berkata pihaknya membentangkan SOP gelembung sukan sebagai usaha ‘menghidupkan’ semula perlawanan bola sepak di negara ini yang terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kehadiran penonton adalah tertakluk kepada status negeri sama ada dikenakan PKPP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, negeri yang dikenakan PKPP, jumlah kehadiran penonton dihadkan 10 peratus daripada kapasiti tempat duduk atau maksimum 4,000 orang.

“Bagi negeri PKPB, perlawanan adalah tanpa kehadiran penonton manakala bagi kawasan PKPD perlawanan tidak dibenarkan,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai penganjuran kejohanan atau pertandingan peringkat antarabangsa, Ismail Sabri berkata ia tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, penyertaan bagi negara-negara berisiko tinggi tidak dibenarkan, kecuali mendapat kebenaran JIM.

“Penyertaan atlet negara ke kejohanan antarabangsa khususnya ke negara berisiko tinggi juga perlu mendapat kebenaran JIM.

“Bagi aktiviti sukan bersentuhan, peserta perlu menjalani ujian saringan dan disahkan negatif sebelum dibenarkan menyertai aktiviti dan acara tersebut,” katanya menambah SOP terperinci boleh dirujuk menerusi laman sesawang KBS dan juga MKN.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

KBS beri sumbangan peribadi, bukan tajaan kepada Kasma Daniel

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Bantuan kewangan RM52,000 yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Kasma Daniel Kasmayudin adalah sumbangan peribadi kementerian kepada pelumba itu untuk menampung tiket penerbangan dan kos penginapan bagi menyertai Kejuaraan Dunia Moto2 musim ini.

Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dalam kenyataan memaklumkan badan induk itu tidak pernah mencampuri urusan melibatkan pelumba berusia 20 tahun itu dengan pasukannya, OneXOX TKKR SAG Team yang bersaing dalam Kejuaraan Dunia Moto2.

Badan induk itu menegaskan mereka menerima surat kelulusan berhubung bantuan berkenaan, yang bukan merupakan satu bentuk penajaan dan ia dimaklumkan kepada Kasma Daniel serta ayahnya.

“Mengikut surat kelulusan dari KBS, pihak MAM hanya perlu memaklumkan kepada Kasma Daniel sebagai penerima dana itu dan tidak diwajibkan untuk memberitahu mana-mana pihak ketiga,” jelas MAM menjawab persoalan dibangkitkan pasukan penaja pelumba itu.

Pasukan OneXOX TKKR SAG Team menerusi hantaran dalam laman Facebooknya semalam mendedahkan pasukan berkenaan tidak dimaklumkan berhubung bantuan penajaan itu.

Mengulas lanjut, MAM mendedahkan Kasma Daniel serta ayahnya membuat permohonan rasmi kepada KBS bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk menampung tiket penerbangan serta kos penginapan untuk menyertai saingan Moto2 pada awal tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

PKPB: Fasiliti sukan komersial dibenar operasi 19 Okt, patuhi SOP – KBS

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan garis panduan tatacara operasi piawai (SOP), membabitkan fasiliti sukan komersial dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dibenarkan beroperasi semula bermula Isnin ini.

KBS dalam kenyataan media menyatakan, fasiliti tersebut perlu mematuhi arahan termasuk tiada sentuhan badan dengan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik, manakala tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

Menurut kenyataan itu, aktiviti di padang bola sepak dan gelanggang futsal hanya untuk tujuan latihan sahaja dan terhad kepada maksimum 10 peserta pada satu-satu masa, dan setiap pengusaha perlu menjadualkan pelaksanaan latihan sekiranya terdapat ramai peserta, dengan mengehadkan jumlah tidak melebihi jumlah maksimum itu.

KBS memaklumkan bahawa pelaksanaan operasi di gimnasium dan dewan badminton pula, perlu mengikut SOP sebelum ini khususnya mengenai larangan perkongsian peralatan, sanitasi peralatan yang kerap dan penjadualan slot untuk memastikan kawalan bilangan pengguna pada satu-satu masa.

Sementara permainan dan kejohanan yang melibatkan sentuhan badan masih dilarang buat masa ini.

“Bagi memastikan pematuhan terhadap SOP ini tidak diambil mudah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri akan sentiasa melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara semalam memutuskan pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal, termasuk dewan badminton komersial, dibenar beroperasi semula mulai 19 Oktober.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian arah kemudahan sukan dan rekreasi ditutup

SHAH ALAM, 13 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengarahkan semua kemudahan sukan dan rekreasi ditutup sementara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok.

KBS berkata arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membabitkan Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu dipatuhi bagi membantu memutuskan rantaian Covid-19.

“Penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik dan operator fasiliti seperti padang bola sepak, kompleks sukan, dewan badminton, gimnasium, kolam renang, pusat rekreasi dan sebagainya dalam negeri dan kawasan PKPB perlu mematuhi arahan yang ditetapkan MKN untuk menangguh serta menjadualkan semula semua aktiviti sukan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian menjelaskan program latihan pusat atlet sedia ada di bawah kendalian Majlis Sukan Negera (MSN) dan Majlis Sukan Negeri yang terlibat PKPB boleh diteruskan secara tertutup serta terkawal seperti dilaksanakan di Kompleks MSN Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara serta Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan.

Berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan MKN, aktiviti sukan tidak bersentuhan dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang serta di kawasan terbuka dibenarkan dalam tempoh PKPB.

Antara aktiviti termasuklah e-sukan, berjalan, jogging, berbasikal dan senam robik kendiri.

Bagaimanapun aktiviti di kawasan tertutup, kolam renang, bersentuhan fizikal, perlawanan sukan berpasukan dan penganjuran pertandingan tidak dibenarkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Teroka ruang baharu atasi pengangguran belia

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus meneroka ruang baharu untuk dimanfaatkan golongan belia khususnya bagi mengatasi isu pengangguran belia secara efektif dan holistik, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata KBS melalui inisiatif kolaborasi rentas kementerian akan bekerjasama dengan kementerian lain untuk memastikan kebajikan golongan belia di negara ini terjaga.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PAKATAN-Tebrau) yang ingin tahu situasi pekerjaan belia ketika penularan wabak Covid-19 dan apakah inisiatif kerajaan bagi membantu belia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 terutamanya isu pekerjaan.

Bagi mengatasi isu pengangguran dalam kalangan belia pasca-Covid-19, Wan Ahmad Fayhsal berkata antara insiatif dilaksana KBS adalah melancarkan Skim Perantisan Nasional (SPN) pada 23 Julai lepas.

“Sehingga 3 Ogos lepas, seramai 903 belia telah berdaftar untuk SPN,” katanya sambil menambah skim itu akan memberi pengalaman bekerja kepada golongan belia melalui jaminan pekerjaan oleh syarikat atau organisasi yang terlibat serta membantu melonjakkan kebolehpasaran belia pasca-Covid-19.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata inisiatif lain yang dilaksanakan KBS adalah menerajui pembangunan Single Landing Page atau pusat sehenti yang dinamakan Sistem MyBelia.

“Sistem ini menyediakan maklumat bersepadu mengenai inisiatif-inisiatif disediakan kerajaan dan bukan kerajaan yang merangkumi peluang pekerjaan, penciptaan pekerjaan, latihan dan kemahiran serta dana dan kemudahan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu juga telah melaksanakan Program myGIG dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Jun lepas untuk meningkatkan keterlibatan belia dalam ekonomi gig atau ekonomi perkongsian bagi menjana pendapatan, sama ada secara sambilan atau kekal.

“Program itu terdiri daripada myGIG Servis yang menggunakan platform e-Rezeki, dengan sokongan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai rakan strategik. Program ini dijangka memberi manfaat kepada 1,000 orang (578 belia sudah berdaftar).

“myGIG Digital Freelance menerusi platform Global Online Workforce (GLOW) dijangka memberi manfaat kepada 1,000 orang (632 orang sudah berdaftar). Program ini memperkenalkan peluang pekerjaan baharu secara digital dengan kemahiran tertentu seperti ‘programming’, pereka grafik dan lain-lain perkhidmatan bernilai tambah tinggi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan Hari Belia Negara ditangguh susulan Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Sambutan Hari Belia Negara yang dijadualkan pada 15 Mei ini terpaksa ditangguhkan kepada satu tarikh baharu susulan penularan wabak Covid-19.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan sambutan berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 12 Mei, yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memerangi wabak berkenaan.

“Ketetapan tarikh baharu berdasarkan situasi wabak Covid-19 pada masa itu.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM), Badan Gabungan Induk Kebangsaan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah yang bernaung di bawah MBM,” menurut kenyataan tersebut.

KBS menegaskan keselamatan dan kesihatan setiap lapisan masyarakat khususnya golongan belia menjadi kepentingan paling utama kepada kerajaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik 2020: Pindaan tarikh buka ruang atasi cabaran Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditunda memberi ruang dan masa secukupnya kepada semua pihak untuk mengatasi pelbagai cabaran yang sedang dihadapi susulan pandemik Covid-19.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya tarikh baharu sukan itu memberi ruang selesa buat semua pihak mengatur semula perancangan program latihan dan pertandingan termasuk proses kelayakan atlet yang tertangguh.

“Saya juga menyambut baik keputusan bahawa atlet yang layak sebelum ini diberi jaminan pengesahan untuk bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut berharap Persekutuan Sukan Antarabangsa dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mencapai kata sepakat bagi memutuskan proses kelayakan adil kepada atlet yang masih belum layak beraksi di temasya sukan berprestij itu.

IOC, IPC, Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan kerajaan Jepun bersetuju untuk menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 pada Julai dan Ogos 2021 selepas satu persidangan telefon pada Isnin.

Tarikh baharu Sukan Olimpik Tokyo 2020 dipinda 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, manakala Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diadakan pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Keputusan Malaysia belum muktamad

SHAH ALAM, 21 MAC: Kementerian Belia dan Sukan belum memuktamadkan keputusan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai ini, kata menterinya.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya mengutamakan keselamatan dan kesihatan atlet, selain menanti pengesahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai penularan wabak Covid-19, lapor Berita Harian.

“Tentu sekali (keputusan) akan berubah dari semasa ke semasa dan kita ada lebih kurang empat bulan lagi daripada tempoh Sukan Olimpik ini dianjurkan.

“Kita akan lihat dan putuskan secara muktamad bila mana melihat perkembangan daripada semasa ke semasa mengenai Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Olimpik Malaysia menyokong keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang mahu temasya itu dibuat mengikut jadual bermula 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah Rukun Negara didik belia politik sihat

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Langkah menurunkan usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun kini disusuli dengan usaha mendidik pengundi muda melalui program Sekolah Rukun Negara (SRN) untuk membolehkan generasi itu melaksanakan kewajipan dengan penuh tanggungjawab.

Program SRN yang bakal dilancarkan adalah hasil cetusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat berada dalam landasan tepat untuk mendedahkan golongan muda kepada amalan demokrasi negara.

“Program SRN khususnya ditujukan kepada belia berumur 18 hingga 25 tahun dalam usaha mewujudkan kesedaran politik yang sihat serta kefahaman akan hak mereka sebagai pengundi baharu,” kata Pegawai Tugas-tugas Khas KBS, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung peranan SRN.

Silibus program SRN yang dirangka khusus masih di peringkat penggubalan dan ia turut menerima input daripada pelbagai pihak berkepentingan antaranya profesor, ahli politik, budayawan dan sejarawan.

Usaha juga sedang ditumpukan bagi melatih fasilitator program supaya mereka mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk mendidik anak muda yang mengikuti program itu sebelum ia dimulakan di peringkat negeri pada bulan ini.

“Mungkin setiap negeri akan latih lebih kurang 200 orang di peringkat awal untuk kita uji sama ada program itu berkesan atau tidak,” katanya ketika ditemu bual Bernama di sini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata program SRN yang akan dilancarkan bulan ini akan dijalankan pada hujung minggu terlebih dahulu dan ia terbuka kepada sesiapa untuk menyertainya.

Jika modul itu sudah lengkap dan sempurna, mereka akan mengadakan jelajah untuk masuk ke sekolah dan universiti melalui Sekretariat Rakan Muda yang juga berada di bawah seliaan KBS, katanya.

Program SRN ini juga selari dengan cadangan beberapa anggota Dewan Rakyat antaranya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) ketika sesi membahaskan rang undang-undang (RUU) untuk menurunkan had umur pengundi itu.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata, usaha kerajaan menurunkan had umur mengundi dan mendidik golongan muda akan hak mereka dilihat bagus dan tepat pada masanya demi pembangunan serta kemajuan demokrasi negara.

Bagi Dr Tunku Mohar, kejayaan kerajaan Pakatan Harapan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi itu walaupun ia tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat merupakan satu pencapaian yang harus dipuji.

Ia juga satu pencapaian mengagumkan kerana sejak tahun 2008 tiada pindaan perlembagaan dapat dibuat kerana parti pemerintah sebelum ini pun iaitu Barisan Nasional juga tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Beliau juga memuji tindakan bijak Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersemuka dengan semua Ahli Parlimen tidak kira daripada blok kerajaan atau pembangkang untuk menjayakan pindaan itu.

“Tindakan Syed Saddiq juga satu strategi yang betul dalam cubaan ‘memenangi’ hati Ahli Parlimen pembangkang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pindaan itu sebenarnya memberi kemenangan politik kepada PH selain memenuhi antara janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 mereka, katanya.

Selepas 10 hari Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga 25 Julai lalu.

Pindaan berkenaan turut memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara, iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Selain pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon, pendaftaran pengundi selepas ini juga akan dilakukan secara automatik.

-BERNAMA