Categories
NASIONAL SELANGOR

Hanya Kerajaan Selangor Boleh Beri Kelulusan Pembinaan Langat 2

 

PELABUHAN KLANG 28 JULAI : Kerajaan Pusat boleh mengeluarkan tender projek Loji Rawatan Air Langat 2 tetapi kelulusan mengenai pelaksaannya hanya boleh diberikan oleh Kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri juga tidak akan terlibat dengan proses tender tersebut kerana beranggapan ia tidak relevan dengan masalah air yang didakwa wujud di Selangor.

Setakat ini, menurutnya, Kerajaan Negeri hanya bersetuju dan ingin berbincang dengan Kerajaan Pusat mengenai proses penstrukturan semula air di negeri itu.

Katanya, pihak tenaga kerja profesional dilantik bagi membuat kajian dan menyiapkan laporan mengenai isu air tersebut dan dakwaan Menteri Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Kah Fui yang mengatakan laporan Kerajaan Negeri tidak betul tidak boleh diterima.

“Jika laporan itu tidak betul, mari kita jumpa dan berbincang. Mengapa gunakan media untuk bertanya? Ia bukan laporan yang saya buat tetapi laporan disiapkan oleh pihak professional yang dilantik Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti berkaitan isu masalah air ini.

“Jika anda fikir ia tidak betul, bukan Peter Chin yang patut buat kenyataan tetapi itu tanggungjawab Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas). Ini kerana beliau dibayar melebihi harga pihak profesional. Peter Chin patut menilai perkara ini kerana pembayaran diluluskan lebih RM400,000 sebulan untuknya. Mengapa beliau tidak berbincang dengan kita (Kerajaan Negeri)? soalnya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian surat kelulusan pemberimilikan tanah kerajaan dan notis 5A di Kampung Sungai Sireh Tambahan di sini hari ini.

Menteri Besar selanjutnya berkata, Peter Chin tidak memikirkan tentang perihal rakyat Selangor dan mempersoalkan apa dilakukan menteri itu terhadap rakyat Sarawak.

Beliau berkata, Peter Chin seharusnya memberikan teguran terhadap Pengerusi Eksekutif Syabas berhubung perkara itu.

“Kita akan ingatkan dia kerana perkara ini sangat penting kepada kita. Jika anda fikirkan tentang rakyat maka rakyat akan fikir tentang diri kita tetapi jika anda fikir RM400,000 (gaji bulanan Pengerusi Eksekutif Syabas) adalah lebih penting maka tidak akan memikirkan tentang anda,” katanya lagi.

Dalam laporan media semalam, Kerajaan Pusat akan melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2 secara tender terbuka kepada semua syarikat yang berkelayakan.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Selangor Sedia Beri Pandangan Dalam Jawatankuasa Kabinet

SHAH ALAM, 20 JUL : Kerajaan Negeri Selangor hari ini menyatakan kesediaannya untuk memberi pandangan berhubung penyelesaian krisis air yang didakwa berlaku kini sekiranya perlu menerusi Jawatankuasa Kabinet Khas yang dibentuk Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menghormati keputusan Kerajaan Pusat sekiranya jawatankuasa itu benar-benar berkebolehan menyelesaikan isu air.

Sebaliknya jika jawatankuasa itu gagal mencapai sebarang keputusan, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk meneruskan usaha mengambil alih pengurusan air di Selangor.

“Sesiapun yang mereka sediakan, Kerajaan Negeri merasakan tiba masanya untuk penyusunan semula industri air di Selangor dibuat. Jadi kalau kabinet berfungi atas dasar tersebut, kita boleh terima. Kalau tidak kita akan teruskan usaha untuk menguruskan penyusunan semula industri air.

“Kerajaan Negeri tiada masalah untuk berjumpa dengan mereka, malah kita boleh bawa jawatankuasa ini ke Dewan Negeri(Selangor) supaya rakyat boleh tahu isu sebenar,” katanya.

Bernama semalam melaporkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet Khas untuk memantau dan menangani krisis air di Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, jawatankuasa itu akan mengkaji semua isu, termasuk permintaan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan cadangan Syabas untuk melaksanakan catuan air.

Jawatankuasa itu terdiri daripada dirinya sendiri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik.

Ia akan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai tindakan KeTTHA yang seolah-olah mengenepikan peranan Kerajaan Negeri dalam isu pengurusan air, Abdul Khalid dengan sinis berkata, ia adalah ‘karektor’ semula jadi Kerajaan Pusat.

Menurutnya, sehingga hari ini tindakan dan keputusan Kerajaan Pusat masih belum memihak kepada rakyat.

“Itulah karaktor semulajadi Kerajaan Pusat yang tidak boleh diubah. Saya lebih gembira tidak dipilih untuk menyertai jawatankuasa itu. Saya tak perlu bimbang kerana rakyat lebih berhak untuk tahu kedudukan sebenar.

“Kalau betul Kerajaan Pusat perlukan pandangan Kerajaan Negeri, maka saya akan bawa rakyat untuk nilai sendiri keberkesanan jawatankuasa ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Selangor Serah Notis Ambil Alih Syabas

KUALA LANGAT, 19 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor telah menyerahkan notis pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini.

Notis tersebut telah diserahkan oleh delegasi Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Selain itu turut serta dalam delegasi tersebut termasuklah Exco Kerajaan Negeri lain, Iskandar Samad, Ronnie Liu dan Dr Halimah Ali.

Penyerahan notis tersebut merupakan tindakan yang selaras dengan Klausa 32 dalam perjanjian konsesi air antara Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Syabas.

“Kita telah disambut oleh Saudara Nicholas iaitu Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri di kementerian itu, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

“Kita telah menjelaskan isu ini kepada dia, dia pun faham dan dia terima sekali kertas kerja yang kita hantar.

“Dia orang mintak kertas kerja, itu pun kita dah hantar sekali.Dia akan beri kepada menteri, tetapi masa saya dalam perjalanan ke sini tadi ada berita bahawa Menteri KeTTHA umum bahawa sekarang bukan bawah kuasa dia.,” ujar Dr Xavier ketika ditemui TVS dalam Majlis Sesi Dialog Bajet Selangor 2013 Peringkat Daerah Kuala Langat hari ini.

Ekoran kerajaan Selangor bertindak untuk memantau perjalanan operasi Syabas, hari ini kerajaan persekutuan telah membentuk Jawatankuasa Khas kabinet bagi menanganani isu Air di Selangor, Wailayah Persekutuan dan Putrajaya

“Kabinet telah wujudkan satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan beberapa Menteri dalam jawatankuasa itu termasuk dari Selangor,” katanya lagi.

Menurut Dr Xavier lagi, Kerajaan Negeri akan diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

Selain Khusrin, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk menghantar wakil di kalangan Ahli Exco atau Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.

Sementara itu, Majlis Sesi Dialog Bajet Selangor 2013 Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Seri Jugra di sini telah dihadiri kira-kira seratus peserta dari pelbagai latar belakang.

Perbincangan dan rumusan dari dialog tersebut akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk diputuskan sebelum Bajet 2013 Negeri Selangor dibentangkan pada September nanti.

Categories
SELANGOR

Pembentukan J/K Khas Kabinet Isu Air di Ragui

SHAH ALAM 19 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor meragui motif pembentukan sebuah jawatankuasa khas oleh Kabinet (special cabinet committee) untuk meneliti isu air seperti yang diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau (KeTTHA), dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Kerajaan Negeri mempersoalkan kewujudan (?the creation?) jawatankuasa khas itu sedangkan KeTTHA sudah ada.

Katanya, Kementerian KeTTHA seharusnya lebih berfungsi dan bertanggungjawab dimana Menterinya mempunyai bidang kuasa yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).

“Oleh kerana kuasa yang diberi kepada Menteri gagal digunakan untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air di Selangor dan Menteri KeTTHA tidak dimasukkan dalam Jawatankuasa khas cabinet tersebut, Kerajaan Negeri menyeru Menteri KeTTHA untuk meletak jawatan dengan segera, “katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mempertikaikan peranan Datuk Noh Omar dalam Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut, kerana beliau adalah Menteri Kerajaan Pertanian dan Asas Tani yang tidak mempunyai perkaitan berhubung isu serta tidak langsung melibatkan kementerian Noh.

Dilaporkan bahawa Jawatankuasa Khas ini akan meneliti semua isu berkaitan air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Jawatankuasa khas itu, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengarah Pilihanraya BN), Dato Idris Jala, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Datuk Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor).

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Urus Air Terawat Lebih Baik Dari Syabas

SHAH ALAM, 18 JUL : Pengurusan dan pengedaran air terawat akan lebih cekap dan menyeluruh selepas Kerajaan Selangor mengambilalih operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri akan memasukkan sistem dan badan pengurusan yang lebih baik daripada yang sedia ada.

Badan pengurusan ini akan memastikan air di rawat dan sampai ke pengguna di seluruh Selangor supaya tidak timbul lagi rugutan tentang bekalan.

Badan pengurusan ini akan dimasukkan ke dalam Syabas sejurus sahaja Kerajaan Pusat memberi kelulusan untuk Selangor mengambil alih operasi syarikat air itu.

Usaha mengambil-alih operasi Syabas dimulakan selepas Kerajaan Negeri mendapati Syabas tidak mampu menguruskan industri rawatan dan edaran air seperti yang tertakluk di dalam perjanjian konsensi antara Syabas dan Kerajaan Negeri.

Ini kerana Syabas telah meminta supaya catuan air atau water rationing dilakukan untuk kawasan di selatan Selangor kerana mendakwa tidak mampu menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi.

Syabas tidak berupaya menyediakan air terawat yang mencukupi walaupun bekalan air mentah di tujuh empangan Selangor melimpah.

?Kita nak menambahbaik pengurusan Syabas kepada tahap supaya ia boleh memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat seperti mana perjanjian penswastaan pada 2004.

?Ini supaya tiada lagi masalah di dalam pengedaran,? Abdul Khalid berkata pada sidang media selepas mesyuarat exco di ibupejabat Kerajaan Negeri.

Mengikut perjanjian itu, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sistem rawatan dan pengedaran air di Selangor.

Dua Exco Selangor iaitu Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok akan mengetuai delegasi penyerahan surat untuk ‘step in’ ke dalam pengurusan Syabas kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KETTHA) esok pagi.

“Kita berharap Syabas dan Kerajaan Pusat tidak menyalahgunakan isu air untuk menyusahkan rakyat terutama kepada umat Islam yang akan mula berpuasa hujung minggu ini.

Dalam isu yang sama, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sudah menyediakan satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syabas bagi mengenal pasti keadaan semasa air terawat di Selangor.

Menurutnya, kumpulan profesional ini dilantik ekoran Syabas gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi tadi.

“Kumpulan profesional ini dianggotai oleh Suhaimi Kamaruzaman (Ketua Pegawai Eksekutif KDEB), Abbas Abdullah (Pengarah Abbas), Karim Endut (Pengurus Besar Pengurusan Air, Kumpulan Perangsang Selangor) dan Kelvin Lee (Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan, Perangsang Selangor).

“Kerajaan Negeri yakin kumpulan ini akan dapat bekerjasama dengan Syabas kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Categories
NASIONAL

Orang Ramai Resah Bil Elektrik Melambung Tinggi

SHAH ALAM, 15 JUN : TV Selangor menerima beberapa panggilan daripada orang ramai yang mengadu sejak kebelakangan ini mereka menerima jumlah bil elektrik yang tinggi melebihi dari kebiasaan.

Ini kerana mereka memaklumkan kadar penggunaan adalah biasa dan mereka tidak dimaklumkan berkenaan sebarang kenaikan tarif elektrik daripada pihak kerajaan mahupun Tenaga Nasional Berhad(TNB).

Respon kepada masalah ini, wartawan TV Selangor melakukan tinjaun bagi mencari punca keresahan di kalangan orang ramai.

Seorang Guru, Affizee Awang Ramain, 28, dari Subang, menjelaskan bil elektrik diterimanya mengalami kenaikan yang agak tinggi dan ini menimbulkan keraguan.

“Saya dan keluarga menggunakan elektrik seperti biasa tetapi kenapa bacaannya begitu berbeza daripada biasa. Kenaikan dicatatkan begitu mendadak dan ia seharusnya dikaji semula oleh pihak berkuasa.

“Penggunaannya sama dengan perkakas elektrik yang sama tetapi kenaikannya tinggi. Saya harap pengguna seperti kami tidak dibebankan dengan keadaan sebegini yang terpaksa menanggung kos sara hidup tinggi,” katanya.

Menurutnya, bila elektrik terbaru diterima mencatatkan kenaikan kira-kira 25 peratus berbanding sebelumnya.

Mohamad Radzi Ho Abdullah, 54, dari Alam Megah juga sependapat bahawa ketika ini kenaikan tarif elektrik begitu tinggi berbanding kebiasaannya.

“Saya tinggal bersama isteri dan anak seramai enam orang dan penggunaan elektrik di sekitar RM160 sebulan. Namun kini ia telah meningkat melebihi RM200. Kenaikan ini amat membebankan kami sekeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan TNB perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Menurutnya, kenaikan tarif elektrik secara mendadak itu secara tidak langsung mendatangkan beban kepada rakyat sebagai pengguna.

“Saya telah menerima hampir 10 aduan mengenainya dan TNB perlu membuat penjelasan mengapa ianya berlaku. Apa yang boleh dipercayai adalah kerajaan memberikan arahan kepada TNB untuk mengeluarkan bil elektrik dua bulan sekali dan saya fikir apa yang berlaku sekarang terlalu besar sehingga merumitkan orang ramai.

“Saya tidak faham mengapa kos bil elektrik ini naik secara begitu mendadak,” katanya.