Categories
NASIONAL

Dr Nasir : PAS dan PSM Tidak Bercanggah

KLSCAH 01

KUALA LUMPUR 27 JUN : Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PAS dilihat mempunyai persamaan dalam perjuangan apabila menitikberatkan kebajikan rakyat dan membela pihak yang tertindas akibat kerakusan pemerintah mengekalkan kuasa.

Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim berkata, parti tersebut yang berteraskan fahaman sosialis bergerak demi menegakkan nasib rakyat yang dinafikan hak yang sepatutnya menjadi milik mereka.

“Kita sebagai sosialis memperjuangkan hak dan keadilan. Kita tidak membenarkan sesiapa menindas sesiapa. Asas kami adalah kasih sayang.

KLSCAH 02“Dari situ kita dapat keadilan, keharmonian dan atasi pelbagai perkara lagi. Bermakna kita hormati rakyat dan maju ke depan selain memperkasakan mereka,” katanya sebagai panelis dalam wacana “Islam, Sosialis, Liberal! PAS Di Mana? anjuran Free Public Forum Malaysia (FPF) di sini semalam.

Panelis lain ialah Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Pengarah Eksekutif Middle Eastern Graduate Center (MEGC), Al-Mustaqeem Mahmod Radhi dan aktivis politik, Hishamuddin Rais.

Dr Nasir berkata, apa yang berlaku dewasa ini adalah rakyat sering menjadi mangsa kepada kerajaan yang memerintah dengan berpihak kepada golongan kapitalis.

Menurutnya, PSM boleh bersama dalam perjuangan seandainya terdapat parti politik atau pihak lain turut menyuarakan perkara sama.

“Kalau ada pihak yang memperjuangkan penindasan, mengapa tidak kita turut serta. Kalau kita dalam pergerakan sama, mengapa tidak boleh bersama,?” soalnya.

Bagi Dr Mujahid, agenda negara berkebajikan diperjuangkan PAS sejak 1960an adalah gambaran jelas parti itu mementingkan pembelaan terhadap rakyat serta menegakkan syiar Islam di negara ini.

Tambahnya, biarpun berfahaman atau berideologi berbeza namun PAS boleh berganding tenaga dengan parti politik seperti DAP dan PKR menerusi persamaan yang wujud.

“Kita turut bersama menentang penindasan yang terjadi. Jika dilihat ada banyak pemimpin PAS yang turut ditahan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika memperjuangkan golongan tertindas.

“PAS masuk politik sebab apa? Ada yang kata kita gila kuasa. Ya. Apa guna masuk politik dan bertanding kalau tidak mahu menang.

“Apa guna satu ideologi kalau ideologi itu tidak mampu mengubah keadaan. Bagi kami parti Islam, kami yakin Islam boleh membawa perubahan dengan maksudnya yang sama sepertimana dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Isu PSM dan PAS menjadi hangat dalam pilihanraya lalu apabila berlaku pertandingan antara calon kedua parti itu seperti di DUN Kota Damansara yang menyebabkan Pakatan Rakyat gagal mempertahankan kawasan berkenaan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Calon PKR Selangor Terbaik Dalam Sejarah

nik nazmi 2

PETALING JAYA, 16 APRIL : Calon PKR yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) merupakan calon yang berpontensi menang khususnya di Selangor.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata calon yang dipertandingkan itu terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang berpengalaman.

Manakala, PKR turut berjaya menyenaraikan 30 peratus calon wanita di DUN Selangor.

“Contohnya di DUN Kuang dan Sementa. Manakala muka baru di Batang Kali dan Kapar.

“Malah, kita juga tampilkan calon berkebolehan seperti Dr Aziz Bari, Khalid Jaafar, Wong Chen dan Rafizi Ramli,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Nik Nazmi turut menyifatkan percalonan itu merupakan yang terbaik dalam sejarah PKR.

“Ini akan memberikan tentangan yang hebat kepada Umno-BN. Saya yakin PAS dan DAP juga mempunyai calon seperti itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Selangor akan menjadi negeri paling sengit dalam PRU13 depan.

Ia kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik dirinya sendiri sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri.

” Ia bertujuan untuk mereka mengekalkan kuasa di Putrajaya sekaligus mendapatkan Selangor dalam apa jua keadaan,” katanya.

Bagaimanapun, PKR percaya kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuatkan Najib hilang idea untuk menggugat kestabilan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Categories
NASIONAL

Jayathas Pilih PKR Untuk Bela Rakyat

DAMANSARA 9 OKT : Pemimpin tertinggi Hindraf (Hindu Rights Action Force), S Jayathas hari ini dengan rasminya menyerahkan borang keahlian PKR kepada Nurul Izzah Anwar.

Beliau yang juga aktif dalam Human Rights Party Malaysia memberitahu, PKR merupakan landasan dan platform terbaik untuknya terus berjuang menegakkan keadilan dan hak kesaksamaan rakyat.

“Matlamat saya adalah untuk menamatkan riwayat Umno-BN di Putrajaya yang selama 55 tahun pemerintahan ini begitu angkuh menindas hak dan harta rakyat.

“Saya berharap dapat bersama-sama PKR dan Pakatan Rakyat, berganding bahu untuk merealisasikan impian ini demi masa depan Malaysia yang lebih harmoni,” jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Tropicana pagi tadi.

Selain Nurul Izzah, turut hadir memberikan sokongan dalam sidang media tadi ialah Naib Presiden PKR, N. Surendran, MP Subang, R. Sivarasa serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Khalid Jaafar.

Ditanya jawatan yang ditawarkan kepada beliau dalam PKR, Jayathas berkata, beliau tidak memikirkan soal itu dan hanya fokus untuk turun padang dan sama-sama berjuang demi keadilan.

Izzah juga Naib Presiden PKR mengesahkan buat masa ini tiada perbincangan mengenai jawatan sebaliknya PKR lebih berminat dengan komitmen yang ditunjukkan Jayathas.

“Perjuangan harus berlandaskan keikhlasan dan kesungguhan dalam menggerakan perjuangan parti demi rakyat,” ujar beliau.

Jayathas merupakan seorang aktivis yang aktif berjuang untuk masyarakat India negara ini selain beliau juga pernah bertanding untuk kerusi DUN Merlimau pada tahun 2004.

Categories
SELANGOR

Keluarga Miskin, Pelajar Cemerlang Terima Bantuan Kerajaan Negeri

HULU SELANGOR 27 APR: Seramai 150 warga miskin terharu dan gembira dengan sumbangan hamper makanan yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor di sini malam tadi.

Salah seorang penerima, Loo Yoo Thai, 73 berkata, kerajaan negeri sekarang dilihat lebih komited bekerja membela semua golongan tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Sememangnya golongan seperti kami gembira dengan kerajaan sekarang ini yang lebih berkebajikan.

“Bukan sekadar hari ini, malah kami menikmati pelbagai program lagi yang berterusan,” kata Yoo Thai yang hadir bersama anak dan cucunya.

Sementara itu, Mahaletchumy Samugam, 49 yang turut menerima sumbangan hamper makanan berpendapat kerajaan negeri yang memerintah sekarang harus dikekalkan.

“Dalam masa empat tahun kami sendiri dapat lihat banyak perubahan positif di Selangor.

“Saya sebagai rakyat Selangor berharap kerajaan negeri akan terus memerintah di masa akan datang bagi menjamin masa depan yang lebih terjamin untuk anak-anak kami,” ujar Mahaletchumy yang merupakan salah seorang daripada 150 warga miskin yang menerima sumbangan.

Dalam majlis yang sama juga, 100 orang pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sumbangan wang saguhati.

Mahaletchumy yang mewakili anaknya, Vishaalini Vasanthan, 18 yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang ternyata bangga dan terharu dengan penghargaan yang diberikan.

“Jika ada tawaran, anak saya juga bakal menikmati Hadiah Anak Masuk Universiti sebanyak RM 1,000.

“Dengan ini,saya ingin mengambil kesempatan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sedikit sebanyak segala bantuan yang dihulurkan meringankan beban golongan berpendapatan kurang seperti kami,” sambung Mahaletchumy sambil menambah anaknya kini sedang bekerja sambilan sebelum menyambung pelajaran.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar, Penyelaras DUN Batang Kali, Khalid Jaafar serta ketua-ketua masyarakat.

Categories
SELANGOR

Asnaf Dan Pelajar Cemerlang SPM Felda Sungai Dusun Diraikan

HULU SELANGOR, 27 APRIL : Pelajar asnaf di Gugusan Felda Sungai Dusun menerima sumbangan bantuan pelajaran daripada Kerajaan Selangor dalam satu majlis di sini hari ini.

Seramai 60 pelajar asnaf daripada empat tanah rancangan Felda di sini menerima sumbangan bantuan berupa wang tunai RM100.

Bapa salah seorang penerima sumbangan pelajar asnaf, Razali Saidin, 58, dari Felda Sungai Tengi Selatan menzahirkan rasa terima kasih diatas sumbangan yang disalurkan.

“Bukan nilai sumbangan yang patut jadi buah mulut rakyat, pada saya walaupun sumbangan itu tidak seberapa, sekurang-kurannya ia meringgankan beban kami dari keluarga yang kurang berkemampuan.

“Majlis hari ini jelas membuktikan kerajaan negeri hari ini ikhlas membantu keluarga pelajar asnaf di kawasan pendalaman,” ujarnnya.

Pelajar tersebut adalah dari Felda Sungai Tengi, Felda Sungai Tengi Selatan, Felda Soeharto dan Felda Gedangsa.

Di majlis yang sama, 40 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia dari kawasan yang sama turut menerima sumbangan RM100 sebagai meraikan kejayaan anak Felda Selangor.

Pelajar 9A SPM, Nur Aini Habibah Rusdi, 18, dari Felda Sungai Tengi ketika ditemui TVSelangor melahirkan rasa terharu diatas sumbangan yang diterimanya hari ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menganjurkan majlis bagi meraikan kejayaan pelajar-pelajar luar bandar seperti hari ini.

“Majlis ini juga akan memberi semangat kepada pelajar-pelajar yang lain di tanah rancangan ini untuk terus memajukan diri dan berjaya di dalam akademik, ia wajar diteruskan untuk tahun-tahun akan datang” ujarnya.

Majlis tersebut berlangung ditapak pasar selasa, Pekan Felda Gedangsa dan dirasmikan oleh Penyelaras DUN Batang Kali, Khalid Jaafar.

Hadir sama Pengerusi Sekateriat Task Force Felda Selangor, Samsul Iskandar Mohd Akin.

ends