Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Air : Umno Selangor Jangan Jadi Orang Suruhan Rozali

 

SHAH ALAM, 31 MEI: Umno Selangor dinasihatkan jangan terus menjadi ?orang suruhan? kepada Tan Sri Rozali Ismail iaitu Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor(SYABAS) dan Puncak Niaga, kata Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Nasihat ini ditujukan kepada Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Setiausaha Perhubungan Umno Selangor, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed dan mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

Sebelum ini, Khir menerusi laman blog peribadinya secara angkuh mengatakan bahawa segala kos Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang Ke Selangor (PPAMPS) dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA 2) yang dianggarkan menelan kos RM6 bilion adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak langsung mengambil wang Kerajaan Negeri.

Kenyataan yang disifatkan begitu korup selain mementingkan diri sendiri jelas menunjukkan Umno-BN lupa rakyat Selangor juga turut menyumbang kepada kewangan negara.

“Yang jelas dan nyata ialah pemimpin-pemimpin Umno-BN sebenarnya tidak peduli samada berlakunya krisis air menjelang 2014 atau tidak tetapi yang sangat penting bagi mereka ialah memastikan syarikat Puncak Niaga dan Syabas milik bekas Bendahari Umno Selangor, Tan Sri Rozali Ismail dapat terus menjalankan ‘perniagaan air’ di Negeri Selangor,” katanya.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk menyelesaikan isu air ini secara holistik sekiranya semua pihak termasuk Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dapat duduk berbincang secara muafakat.

Sekiranya semua pihak bersetuju, Kerajaan Negeri begitu yakin bahawa dalam tempoh 48 jam semua masalah berbangkit dapat diselesaikan.

Pemimpin Umno-BN diingatkan supaya tidak terus memperbodohkan rakyat Selangor dalam isu penyaluran air mentah dari Pahang Ke Selangor dan pembinaan Langat 2 yang bernilai RM6 bilion demi menjaga kepentingan kroni semata-mata.

Jelas Xavier, rakyat Malaysia khususnya warga Selangor harus sedar bahawa pelaburan RM6 bilion bagi projek tersebut harus dibayar balik oleh warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam bentuk kenaikan tarif air yang tinggi dalam masa terdekat. 

Dakwanya, Kerajaan Negeri sedar bahawa pemberi pinjaman dari negara Jepun dan perunding kejuruteraan serta kontraktor utama terowong penyaluran air yang juga dari Jepun menekan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk meneruskan projek tersebut memandangkan kerja-kerja menggerudi di bawah gunung ganang sejauh 44.6 km bermula dari Karak, Pahang hingga Hulu Langat telah 50 peratus siap.

 

Categories
NASIONAL

Faekah: Khir Toyo, Tak Tahu Tanya, Jangan Bodoh Sombong

SHAH ALAM, 8 April: Tindakan Mantan Menteri Besar Selangor, Khir Toyo menuduh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berbohong berhubung perlaksanaan Geran Selangorku mendapat reaksi Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Berikut adalah petikan penuh kenyataan Faekah.

Tindakan Khir Toyo yang menuduh Tan Sri Khalid berbohong benar-benar tidak melambangkan sifat seorang mantan Menteri Besar. Beliau yang mengulas berkenaan pelaksanaan Geran Selangorku kononnya beliau hairan mengapa geran digunakan untuk projek infrastruktur bukan bantuan kepada peniaga kecil.

Khir Toyo sepatutnya menjadi orang terakhir yang boleh komen pasal Geran Selangorku. Dua sebab saya katakan sedemikian;

Geran Selangorku adalah wang yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat hasil dari kutipan hutang yang gagal beliau kutip semasa pentadbirannya. Hutang Talam yang kesemuanya lebih 400 juta berjaya dikutip kerajaan hari ini melalui pembayaran tunai dan perolehan aset.

Wang itu jugalah yang kita salurkan semula kepada rakyat melalui 17 program utama. Kegagalan Khir yang dengan sengaja tidak mengutip hutang tersebut sepatutnya menjadikan beliau malu untuk menyebut apa-apa yang berkenaan Geran ini, apatah lagi mencela pelaksanaannya.

Sebab kedua ialah kerana Khir gagal menghadirkan diri semasa Dewan bersidang. Malah upacara pembukaan Dewan oleh DYMM Tuanku juga sanggup di kesampingkannya. Khir Toyo tidak ubah umpama orang buta takutkan tongkat. Lebih tepat lagi, bodoh sombong.

Lain kali elok bertanya jika rasa ragu bukan sekonyong-konyong menuduh orang lain menipu.  Sikap Khir yang suka ponteng Dewan, menjadikannya begitu naÔf dengan program-program yang berada dalam ruang lingkup Geran Selangorku.

Sepanjang yang saya lihat hanya separuh hari sahaja Khir datang ke Dewan itupun bagi menutup malu kerana ditempelak Adun Sekinchan beliau memohon cuti sakit tetapi aktif mengeluarkan kenyataan di blog; laman sosialnya.

Meskipun hebat di dalam Blog namun semasa hadir selama separuh hari tersebut, tidak ada satu patah perkataanpun yang dikeluarkannya di dalam Dewan, jauh sekali untuk berbahas ataupun memberi pandangan bernas. Malang sekali rakyat Sungai Panjang bila Adunnya hanya mampu bermonolog di blog.

Untuk pengetahuan Khir, infrastruktur adalah sebahagian dari program Geran Selangorku dan hanya melibatkan 50 juta, selebihnya adalah untuk belia, wanita termasuklah program keusahawanan.

Kalau Khir boleh memaparkan carta geran, ini bermakna Khir boleh mendapat maklumat tepat  tentang Geran. Nampaknya Khir sengaja menulis di blog sekadar untuk mengadu domba dan berniat jahat.

Geran Selangorku mempunyai Jawatan Kuasa Pemandu yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan golongan professional termasuk Timbalan Pengarah JKR, Jurutera JKR dan QS JKR. Mengatakan ianya diterajui pegawai MB memang tersimpang sekali. Apatah lagi, Datoí Menteri Besar langsung tidak terlibat di dalam pemilihan projek mahupun pemilihan kontraktor.

Perlaksanaan geran ini pula dikendalikan oleh Pejabat Tanah Dan Daerah dan PBT yang menjalankan proses tender. Tidak ada satupun projek yang dilakukan secara runding terus. Sekali lagi Khir cuba memperlekeh kewibawaan pegawai kerajaan yang cuba menjalankan tugas dengan telus.

Nampaknya Khir sukar mempercayainya dan begitu janggal sekali. Masakan tidak, semasa pentadbirannya ratusan juta projek dilaksanakan secara runding terus dan lebih hebat lagi projek diberikan kepada pemaju dan kontraktor yang sama. Inilah yang dikatakan orang, jika seseorang itu biasa mencuri, maka dia selalu menyangka orang lain juga akan mencuri sepertinya.

Khir juga sanggup berbohong apabila berkata semasa menjadi MB,  tiada projek kerajaan yang tidak melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan.

Baru 4 tahun tidak menjadi MB, beliau lupa bahawa projek di bawah ICU langsung tiada jawatankuasa. Semua projek dilaksana setelah mendapat unjuran dari Adun melalui Pengarah Pembangunan Negeri untuk disampaikan kepada ICU untuk dipilih dan pengeluaran waran peruntukan. Ianya langsung tidak melibatkan Pegawai Kewangan mahupun Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kerajaan Selangor terpaksa menyediakan Geran untuk infra kerana setelah PR mengambil alih negeri, banyak peruntukan untuk infra tidak disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan. Malah tuntutan Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS ) bagi Rancangan Malaysia Ke-10, sejumlah 1 bilion juga tidak diutamakan.

Apabila banjir berlaku semua pemimpin UMNO-BN Selangor bertempik kononnya pegawai kerajaan tidak cekap mengawal banjir. Bagaimana JPS mahu melaksanakan tugas mereka dengan berkesan jika wang peruntukan penyelenggaraan sungai dan tebatan banjir tidak disalurkan.

Butiran Geran Selangorku telah dibentang pada Exco dan semua data diberikan kepada ADUN semasa Dewan. Hanya ADUN yang benar-benar prihatin kepada kebajikan rakyat akan ambil pusing perkara ini. Bagi ADUN yang suka ponteng, pasti tiada maklumat. Barang pasti golongan ini akan malu bertanya tetapi mahu menunjuk pandai. Golongan inilah yang dikatakan sebagai bodoh sombong, umpama si buta bencikan tongkat.

Faekah Husin.
Setiausaha Politik
Menteri Besar Selangor

Categories
NASIONAL SELANGOR

YS Akan Buka Tender Lantik Audit Bebas

SHAH ALAM 06 APRIL : Yayasan Selangor (YS) sedang mengadakan persiapan akhir untuk membuat tender terbuka bagi melantik Audit forensik bebas menyiasat ketirisan yayasan tersebut berjumlah RM500 juta ketika pentadbiran kerajaan Umno-BN di negeri ini.

Pengurus Besar YS, Ilham Marzuki bagaimanapun memberitahu pihaknya tidak akan membuat sebarang spekulasi sebelum siasatan lengkap berserta audit bebas selesai.

“Bagaimanapun, dokumen tender itu hampir siap kerana YS tidak mahu ianya mengambil masa yang terlalu lama.

“Kita tidak akan membuat sebarang spekulasi. Kita wajib berhati2 kerana melibatkan bekas Menteri Besar Selangor dan soal tanggung jawab dan amanah keatas harta-harta YS,”katanya kepada Selangorku.

Sebelum ini, YS membuat kajian dari tahun 1991 hingga Mac 2008 dan mendapati ketirisan aset Yayasan Selangor adalah tidak kurang daripada RM500 juta dibawah pentadbiran UMNO-BN.

Ilham sebelum ini mendakwa akan mengheret tiga bekas pengerusi YS yang juga bekas Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan tiga lagi bekas pengurus besar yayasan itu ke Mahkamah Sivil jika terdapat bukti penyelewengan aset yayasan itu.

Malah, YS turut menuntut enam pihak terbabit membayar balik kerugian seperti yang dilaporkan dalam Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) baru-baru ini.

Jelasnya, YS akan memastikan hak YS yang dilesapkan itu dapat dituntut semula agar YS dapat mengagihkannya kepada mereka yang berhak iaitu pelajar-pelajar miskin negeri Selangor yang layak.

“Apa yang paling penting ialah penentuan sebenar ketirisan oleh Forensik Audit di susuli dengan tindakan mahkamah untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin hak YS.

“Jumlah ketirisan sebenar hanya akan di ketahui dan di umumkan setelah Audit Forensik Bebas melengkapkan siasatannya,” tambahnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Sedia Selesaikan Kes 20 Tahun “Railway Lines”.

SHAH ALAM 19 MAC : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad bersedia untuk turun menemui bekas penghuni ‘Railway Lines’ Sungai Buloh bagi mencari penyelesaian kepada kes mereka yang berlarutan hampir 20 tahun.

“Saya yang mengalas Exco Perumahan sentiasa bersedia untuk berjumpa dengan penduduk.

“Apa yang mereka tuntut itu adalah tanah dan sekirannya mereka ada cadangan ataupun alternatif lain sebagai gantian kepada lot tanah mereka itu, saya sentiasa bersedia untuk mendengar dan teliti perkara tersebut,” ujar Iskandar.

Beliau ditemui TVSelangor selepas sekumpulan bekas penduduk ?Railway Lines? atau Kampung Keretapi, Sungai Buloh berkumpul dilobi Ibu Pejabat Kerajaan Selangor di sini pagi tadi untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar.

Mereka menuntut pertolongan pentadbiran Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan kemelut perumahan mereka yang tidak dapat diselesaikan sejak pemerintahan Umno-BN.

Kes mereka bermula pada Januari 1992 apabila mereka diusir dari kampung itu oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) kerana tanah mereka akan digunakan untuk projek landasan berkembar KTM.

Seramai 299 keluarga ditawarkan lot tanah daripada Pejabat Tanah Daerah Gombak di Matang Pagar sebagai gantian bagi tapak rumah mereka.

Apa yang dikesalkan, setelah menunggu hampir 20 tahun, mereka masih tidak mendapat tanah-tanah lot yang dijanjikan.

Kumpulan itu telah mengambil beberapa langkah untuk menuntut hak tanah mereka seperti menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar era pemerintahan Umno-BN, selain menulis surat bantahan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Mereka juga telah berjumpa dengan Mantan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Velu.

Malangnya segala usaha tersebut tidak mendatangkan sebarang hasil.

Mereka juga telah mengambil tindakan mahkamah namun setelah 10 tahun kes ini dibicarakan, mahkamah telah membatalkan kes mereka pada 30 Mac 2011, atas alasan ?tiada balasan?.

“Semasa Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo, tanah penduduk diambil dan dijanjikan rumah kos rendah kepada mereka.

?Namun ianya tidak dilaksanakan dan penduduk membawa kerajaan negeri ke mahkamah dan mahkamah telah membuat keputusan.

“Jadi, semenjak Pakatan Rakyat mengambil alih, Menteri Besar (Abdul Khalid) hanya bertindak diatas keputusan mahkamah tersebut.

?Perkembangan ini berakhir dimahkamah dan sekirannya penduduk ingin jumpa, saya sentiasa bersedia untuk mereka,”jelas Iskandar.

Categories
NASIONAL

Shuhaimi Cabar Noh Omar Berdebat

SHAH ALAM, 8 MAC: Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei mencabar Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ke gelanggang debat menjawab tuduhannya terhadap Pakatan Rakyat.

Shuhaimi kata beliau bersedia berhadapan dengan jeneral Umno Selangor itu di Tanjung Karang sekalipun, kubu kuat kepada menteri persekutuan itu.

“Saya cabar Dato Seri Noh Omar jika benar beliau bukan seperti ayam jantan hanya berkokok, jaguh berkokok. Kalau beliau betul-betul mempunyai bukti betul ada salah laku yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri berhubung dengan apa yang didakwanya di Yayasan Selangor, di Kumpulan Semesta. Dia sediakan gelanggang kita berdebat. Tak perlu panggil Menteri Besar, saya sahut cabaran. Saya sedia berdebat dengan Dato Seri Noh Omar untuk menjawab khususnya daripada segi isu pentadbiran kerajaan semasa di zaman Khir Toyo dan semasa zaman Tan Sri Khalid Ibrahim. Dia sediakan tempat saya hadir. Hantar di Tanjung Karang sekalipun saya akan pergi.”

Noh Omar dibidas kerana takut menjawab soal-siasat Jawantakuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Ketanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

Noh Omar sebelum ini mencabar Tan Sri Khalid Ibrahim mendedahkan sumber simpanan tunai Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang mengejutkan semua pihak kerana mencapai rekod simpanan tunai tertinggi dibawah Pakatan Rakyat.

PKPS sebelum ini mencatatkan peningkatan jumlah simpanan tetap sebanyak 13 kali ganda daripada jumlah empat tahun lalu.

Sepanjang pentadbiran Pakatan Rakyat simpanan tetap PKPS itu meningkat ke RM114 juta pada tahun 2011 berbanding 8.3 juta pada tahun 2008.

“Noh Omar tidak berani datang ke SELCAT kerana bila beliau datang ke SELCAT dengan membawa bukti yang diberikan oleh bekas pekerja Kumpulan Semesta bermakna beliau mempunyai modus operandi ataupun beliau mempunyai satu matlamat hanya untuk memalukan Kumpulan Semesta dan Kerajaan Negeri. Dan jika beliau mempunyai bukti-bukti tersebut beliau sepatutnya hadir semasa pendengaran KSSB diadakan.”

Suhaimi juga menambah beliau juga bersedia berdebat dengan Noh berhubung apa-apa isu berkaitan Selangor termasuk Yayasan Selangor.

Sebelum ini Ketua Audit negara melapurkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani dibawah kelolaan Noh telah menghilangkan peruntukan RM110 juta dana kerajaan yang diperuntukan kepada para Pesawah.

Kesan dari itu para pesawah di Skinchan mengadakan tunjuk perasaan menggesa Noh meletak jawatan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Faekah: Khir Toyo Tinggalkan Beban Besar Di Selangor

SHAH ALAM,7 FEB : Kenyataan bekas Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo bahawa beliau tidak terlibat dalam penyerahan konsesi air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) membuktikan beliau sebenarnya tidak layak dan gagal selaku Menteri Besar Selangor.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin,sebagai bekas pemimpin nombor satu di Negeri Selangor, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Syabas menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

“Sesungguhnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih Khir turut bertanggungjawab di atas kegagalan ini. Sungguh memeranjatkan apabila seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat tiba-tiba menuding jari ke arah orang lain bagi melepaskan dirinya yang kini dianggap sebagai kera sumbang oleh partinya sendiri,” tegas Faekah dalam kenyataan medianya.

Menurut Faekah, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Syabas menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

Khir terlupa perjanjian yang ditandatangani pada 2004 adalah perjanjian tiga pihak dan Kerajaan Negeri turut terlibat dalam perjanjian tersebut bersama Kerajaan Pusat dan Puncak Niaga selaku syarikat induk kepada Syabas.

Khir juga tidak boleh menafikan hakikat bahawa Puncak Niaga mempunyai kaitan rapat dengan Umno; Tan sri Rozali Ismail yang merupakan Bendahari Umno Selangor ketika itu.

“Syabas gagal mematuhi terma-terma perjanjian khususnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bersih kepada pengguna di Lembah Klang termasuk gagal mengurangkan peratusan air tidak berhasil (NRW) tetapi Kerajaan Negeri ketika itu di bawah pimpinan Khir, gagal bertindak sewajarnya,” katanya.

Tambah Faekah, di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), masalah-masalah perkhidmatan air yang gagal ditangani Syabas amat jarang sekali diberi tumpuan biarpun rungutan serta aduan pengguna diterima setiap hari tetapi tidak endahkan hanya kerana Syabas adalah syarikat kroni Umno.

Hal ini membuktikan kegagalan penswastaan; meskipun penswastaan asalnya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan sedikit tanggungan kepada kerajaan negeri namun apabila penswastaan dikhianati dengan memberi kontrak kepada kroni dan syarikat yang tiada kepakaran maka inilah akibatnya. Rakyat terpaksa menanggung beban yang tinggi.

Khir tidak perlu berlagak naïf kerana di bawah pentadbirannya, memberi kontrak kepada syarikat-syarikat kroni telah menjadi budaya dan kemestian; matlamatnya satu- untuk mengkayakan kaum kerabat dan sahabat handai bagi kesinambungan parti kononnya.

Khir tidak boleh menafikan, ketika zamannya sebagai Menteri Besar beliau telah memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat yang berkait rapat dengan dirinya antaranya syarikat Lebar Daun Sdn Bhd (Lebar Daun); syarikat pembangunan hartanah yang kaya raya hasil pemberian kontrak secara terus, perjanjian usahasama dengan syarikat kerajaan negeri yang berat sebelah serta penganugerahan tanah berlokasi strategik.

Kontrak pembinaan asrama Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya adalah contoh nyata hinggakan Unisel berhutang ratusan juta yang terpaksa ditanggung kerajaan hari ini. Lebih malang lagi, sehingga hari ini asrama tersebut masih mempunyai kecacatan akibat dari mutu binaan yang jelek dan tidak mengikut spesifikasi selamat.

Malahan banyak projek perumahan kos rendah terbengkalai kerana syarikat yang mendapat kontrak ini gagal menyiapkan projek dan telah menghilangkan diri.

“Atas nama pembangunan banyak tanah peneroka diserahkan kepada syarikat yang kebanyakannya adalah milik kroni Umno dan BN sedangkan hakikatnya tiada pengalaman dalam projek pembinaan.

Akibatnya tanah-tanah tersebut tergadai kepada bank. Bukan sahaja peneroka kehilangan tanah, malah pembeli juga terpaksa menanggung hutang dan ramai di antara mereka telah diistiharkan muflis,” ujar Faekah.

Faekah turut menjelaskan,beberapa projek sekadar contoh termasuklah projek Alam Perdana di Kuala Selangor, projek Bukit Botak di Selayang, Kampung Berembang di Ampang dan projek perumahan di PJS1 yang kesemuanya berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Rakyat jugs masih menunggu apakah kesudahan kes Khir Toyo menggunakan dana Kerajaan Negeri untuk bercuti bersama keluarga termasuk orang gaji ke Disneyland yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mungkin menjadi amalan di dalam UMNO, tindakan hanya dikenakan ke atas seteru politik dan tindakan Khir menganggkat tangan adalah sebagai tanda tidak akan melawan lagi, namun bagi pembayar cukai dan seluruh rakyat Selangor , Khir harus bertanggungjawab ke atas dosanya yang mengkhianati amanah yang diberikan,” ujar Faekah.