JURNAL BERITA – KLIA 2, PM patut bertindak sebelum kos meningkat RM5 bilion.

1. MB: Selangor galak industri berpotensi tinggi berkembang

2. MB: Laksanakan WSIA, pelaburan Selangor tidak terjejas

3. Exco: Wanita berpeluang tambah pendapatan jadi pengasuh dari rumah

4. KLIA 2, PM patut bertindak sebelum kos meningkat kepada RM5 bilion

5. Tawas perkenal Teras, boleh nikmati rebat cukai

6. Perangsang Selangor salur RM14.7 juta laksanakan CSR

7. Perangsang Selangor tandatangani MOU bangun sukan bernilai RM1.8 juta

8. Hadiah RM100 untuk lepasan SPM di Kuala Kubu Bharu

9. Lebih 1000 sertai Kayuhan Malam Earth Hour MBSA

10.Kes Denggi meningkat, orang ramai patut lebih waspada

11.Town Hall Meeting tingkat kefahaman masyarakat hala tuju MPSJ

12.Salimah gesa Kerajaan Pusat sekat hiburan maksiat

Categories
KENYATAAN MEDIA

Nurul Izzah: Rekahan di landasan KLIA, menteri patut bertindak tegas

Saya merujuk kepada laporan The Malaysian Insider yang mendedahkan beberapa gambar rekahan pada beberapa kawasan landasan, termasuk sebuah ruang pesawat di KLIA 2.

Susulan daripada rekahan ini, sekali lagi saya menyeru kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar memberi penjelasan yang terperinci kepada kesemua rakyat Malaysia, apakah tindakan yang akan diambil ke atas kontraktor projek ini, yang pada ketika ini sudah jelas tidak mampu menghasilkan sebuah lapangan terbang yang berkualiti.

Nurul_Izzah KLIA 2Sekiranya kerosakan seperti ini terjadi sebelum lapangan terbang ini dibuka, bagaimana pula keadaannya selepas dibuka?

Saya amat bimbang dengan keselamatan rakyat Malaysia yang menggunakan kemudahan ini apabila ianya dibuka kelak.

Pemangku Menteri juga perlu menjelaskan, adakah kerosakan yang terbaru ini akan menangguhkan lagi pembukaan lapangan terbang ini, yang pada ketika ini dijadualkan akan dibuka pada 2 Mei 2014?

Berapakah kos yang bakal ditanggung oleh pembayar cukai untuk membetulkan kerosakan ini? Dan apakah kerajaan akan memeriksa dengan lebih halus kualiti pembinaan yang telah dijalankan oleh UEMC-Bina Puri, memandangkan pelbagai kelemahan demi kelemahan didedahkan sepanjang projek ini berlangsung?

Sudah tiba masanya kerajaan bertegas mengambil tindakan yang sewajarnya, memandangkan isu rekahan ini melibatkan keselamatan penumpang.

Pemangku Menteri Pengangkutan telah membuat kenyataan, “Pihak yang terlibat dalam pembinaan dan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 diminta meletakkan kepentingan nasional bagi menjayakan permulaan operasinya pada 2 Mei ini.”

Dengan mengambil pendekatan yang sama, saya menggesa kerajaan Malaysia agar meletakkan kepentingan nasional dalam tindakan yang bakal diambil atas pendedahan yang terbaru ini.

Demi kepentingan nasional, kerajaan tidak boleh menyembunyikan atau berdiam diri atas kelemahan dalam pembinaan lapangan terbang ini.

Pada Julai 2013, Pemangku Menteri Pengangkutan telah berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pengangkutan untuk memantau projek KLIA 2 bagi memastikannya siap dalam tempoh ditetapkan, tanpa sebarang kelewatan lagi.

Beliau menambah jawatankuasa itu akan memberi laporan secara mingguan bagi membolehkan beliau memantau pelaksanaan projek itu secara lebih dekat.

Saya ingin menuntut agar laporan-laporan jawatankuasa ini didedahkan untuk penelitian awam.

Pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk orang awam, syarikat penerbangan kos rendah dan ahli politik berhak meneliti laporan-laporan ini untuk menyiasat kepincangan-kepincangan projek dan punca ia berlaku.

Seraya dengan itu, saya telah pun mengutuskan sebuah surat kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, memohon sebuah lawatan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke tapak projek KLIA 2, agar kami dapat memantau sendiri keadaan projek ini.

Saya menyeru Datuk Seri Hishammuddin agar menyambut baik permohonan saya atas nama ketelusan, dan mengaturkan lawatan ini dengan kadar segera.

Sekali lagi saya menyeru kerajaan agar menubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan isu KLIA 2, dianggotai oleh wakil-wakil dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Ia bertanggungjawab untuk memastikan pembinaan Lapangan Terbang ini mematuhi spesifikasi piawaian keselamatan antarabangsa dan memberikan lebih kawalan kepada penyeliaan kos pembinaan KLIA 2.

Kerajaan tidak lagi boleh berdolak-dalik dalam isu ini, dan mesti membuat sesuatu yang drastik dengan segera, agar kepentingan nasional dapat dipelihara.

* Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden KEADILAN

Categories
NASIONAL

KLIA 2: Gagal peroleh CCC korban dana awam, keselamatan awam terancam

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 FEB: Kegagalan kontraktor usaha sama UEMC-Bina Puri mendapatkan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) bakal menjadikan keselamatan orang awam yang menggunakan perkhidmatan lapangan terbang itu terancam.

Keadaan itu boleh berlaku jika Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein masih dengan keputusannya untuk membuka KLIA 2, pada 2 Mei ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata perkara seperti itu dapat dielakkan jika tender projek berkenaan dijalankan secara telus dan adil, bukannya melalui rundingan terus dengan syarikat kroni yang tidak mempunyai kelayakan.

tian chua pc pkr 01“Inilah akibatnya bila tender sesuatu projek diuruskan dengan cara salah dan akhirnya bukan sahaja dana awam dijadikan korban, bahkan keselamatan orang awam juga boleh terancam jika KLIA 2 ini dibuka dalam keadaan tergesa-gesa tanpa kelulusan keselamatan pihak berwajib.

“Rakyat sudah mula menanggung kerugian bila projek ini ditangguhkan beberapa kali yang tentunya membabitkan pertambahan daripada kos asal pembinaan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mengikut pelan asal, KLIA 2 dijangka dapat disiapkan pada September 2011 sebelum ditangguhkan beberapa kali, sekali gus dikatakan membabitkan kos tambahan akibat kelewatan kerja pembinaan.

Hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan medianya melaporkan UEMC-Bina Puri gagal memperoleh CCC disebabkan dua pertiga daripada bangunan terminal utama lapangan terbangan itu tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran selepas pemeriksaan dijalankan, akhir Januari lalu.

Selain itu, terdapat keretakan dalam paip pembetungan di luar terminaldan bahagian jalan serta perparitan tidak sesuai untuk digunakan, sekali gus CCC tidak dapat dikeluarkan.

Bagaimanapun Hishamuddin menegaskan tidak ada sebarang tarikh penangguhan untuk tarikh pembukaan KLIA 2 dan bermakna lapangan terbang itu akan tetap dibuka, pada 2 Mei ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kos Bina KLIA2 Naik Dari RM 1.7 ke RM 5 bilion

KLIA 2 grafik

 

PETALING JAYA, 27 MEI: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein digesa menubuhkan satu jawatankuasa audit bebas bagi menyiasat perkembangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Gesaan ini dibuat oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam satu sidang media hari ini.

Menurut Tony, penjelasan berhubung kelewatan dan peningkatan kos dalam menyiapkan projek ini perlu dimaklumkan kepada umum selain menjawab segala persoalan berbangkit sebelum ini.

Pada 14 Mei Pengurus Besar Eraman, Fawzy Ahmad mengadakan satu mesyuarat tertutup berhubung kelewatan penyiapan KLIA2, kata Tony.  Eraman adalah anak syarikat Malaysian Airports Holdings Berhad, yang mengendalikan semua lapangan terbang di Malaysia.

Menurut Tony, kelewatan penyiapan projek ini akan mengakibatkan pertambahan kos daripada RM 1.7 bilion sehingga RM 5 bilion.

Katanya lagi, perkara ini dibangkitkan kerana projek ini bukan melibatkan kelewatan hampir dua minggu atau dua bulan sebaliknya enam bulan.

Mengikut laporan sebelum ini, KLIA2 sepatutnya siap pada September 2011 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Rahim Bakri.

Namun mengikut kenyataan yang dibuat pada 14 Mei lalu oleh Fawzy Ahmad, projek ini dijangka siap pada suku keempat tahun 2013.

Dari segi kos projek KLIA2, jumlah awal yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pada 22 Julai 2007 adalah RM 1.7 bilion.

Namun dalam kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Rahim Bakri pada 10 Oktober, kos projek berkenaan telah meningkat kepada RM 4 billion.

Secara peribadi Tony menyatakan, beliau tidak terkejut sekiranya projek ini disiapkan pada Jun 2014.

Katanya, pihak menteri perlu mengumumkan tarikh baru projek ini bakal disiapkan.

“Saya tidak terkejut projek ini disiapkan pada 28 Jun 2014 bersempena dengan ulangtahun ke-16 KLIA,” katanya lagi.