Categories
EKONOMI NASIONAL

Misi MITI ke Korea Selatan jana jualan berpotensi RM1 bilion

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Misi perdagangan dan pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Seoul, Korea Selatan dari 18-20 Oktober telah menjana jualan berpotensi bernilai RM1 bilion.

MITI berkata misi perdagangan itu yang diketuai menterinya Datuk Darell Leiking disertai 54 delegasi yang terdiri daripada ahli exco kerajaan negeri Johor, Terengganu, Melaka dan Pulau Pinang serta agensi pelaburan/kerajaan negeri dari Johor, Melaka, Terengganu, Sabah, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

“Sejumlah 137 mesyuarat perniagaan individu telah diaturkan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini,

Misi itu juga berjaya memperoleh pelaburan berpotensi bernilai RM711.4 juta daripada empat syarikat yang kebanyakannya tertumpu dalam kepakaran kimia, elektrik dan elektronik dan perkakas rumah.

Syarikat-syarikat itu termasuklah Dongjin Semichem yang merancang melabur RM499.2 juta, Cuckoo Homesys Co. Ltd (RM104 juta), CORE Tech Co. Ltd (RM74.9 juta) dan YoungReem Tech Co. Ltd. (RM33.3 juta).

Menurut MITI, semasa misi itu, Leiking juga bertemu dengan Naib Menteri bagi Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga, Cheong Seung-il dan membincangkan pelbagai kerjasama ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.

Mereka juga membincangkan potensi kerjasama di bawah Dasar Pandang Ke Timur 2.0 dan bidang industri halal serta sektor teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan perkakas perubatan, kata kementerian itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

WC2018: Korea Selatan ‘bungkus’, Mexico mara

ROSTOV, Rusia 24 JUN: Pasukan Mexico meletakkan sebelah kaki ke pusingan 16 terbaik selepas mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 pada aksi Kumpulan F di Arena Rostov.

Keputusan tersebut menyaksikan wakil daripada Amerika Utara itu selesa mendahului peringkat kumpulan dengan enam mata selepas turut menewaskan juara bertahan, Jerman minggu lalu.

Nasib Korea Selatan pula berbeza apabila sah tersingkir daripada pentas Piala Dunia 2018 selepas gagal mengutip sebarang mata pada dalam dua perlawanan.

Pada saingan tersebut, Mexico yang memiliki momentum luar biasa hasil kemenangan ke atas Jerman bermula cemerlang dengan meraih beberapa peluang keemasan menerusi trio serangan mereka, Javier Hernandez, Carlos Vela dan Hirving Lozano.

Pasukan yang dikenali dengan jolokan El Tri itu akhirnya meraih gol pembukaan menerusi Vela yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27 selepas bola terkena tangan Jang Hyun-soo.

Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan berusaha memperkemaskan jentera serangan dan meraih peluang terbaik menerusi ketua pasukan, Ki Seung-yeung pada minit ke-56 tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Guillermo Ochoa.

Mexico kemudian melebarkan kedudukan selepas Hernandez menjaringkan gol kedua dan ke-50 peribadinya di pentas antarabangsa dengan menyudahkan hantaran Lozano pada minit ke-66.

Korea Selatan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Son Hyeun-min pada masa kecederaan tetapi keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER: KOSMO!

Categories
SUKANKINI

WC2018: Penalti Andreas Granqvist beri tiga mata buat Sweden

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 18 JUN: Sweden memulakan kempen Piala Dunia 2018 dengan langkah kanan apabila menewaskan wakil asia, Korea Selatan 1-0 dalam aksi Kumpulan F.

Aksi babak pertama yang berakhir tanpa jaringan menyaksikan penjaga gol Korea Selatan, Hyun-Woo Cho mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menafikan beberapa percubaan Sweden.

 

Tetapi kekebalan Woo Cho akhirnya lebur pada minit ke-66 selepas Andreas Granqvist menyempurnakan sepakan penalti bagi memastikan Sweden mendahului 1-0.

Min-Woo Kim melakukan kesilapan dua minit sebelum itu apabila mengasari Viktor Claesson dalam kotak penalti.

Selepas menyaksikan ulang tayang menerusi sistem VAR, pengadil Joel Aguilar mengubah keputusan untuk menghadiahkan sepakan penalti yang membolehkan Sweden mendahului permainan.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
GLOBAL

Korea Utara sedia bantu AS tamatkan program nuklear

WASHINGTON 29 APR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo berkata, beliau ‘berbual mesra’ dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un ketika kunjungannya ke Pyongyang, baru-baru ini.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan tambahnya, Kim sudah ‘bersedia membentangkan peta yang akan membantu AS mencapai penamatan program senjata nuklear’ negara itu.

Pompeo membuat kenyataan terbabit dalam satu temuramah ekslusif dengan ABC News, yang disiarkan semalam.

Pompeo yang ketika ini berada di Asia Barat dalam kunjungan pertamanya sebagai ketua diplomat Washington menyifatkan Kim sebagai ‘sudah bersedia’ ketika pertemuan rahsia itu pada minggu pertama April lalu.

“Kami melakukan perbualan yang intensif mengenai isu rumit yang dihadapi kedua-dua negara.

“Saya mempunyai satu misi jelas dari Presiden Trump dan Kim memahami misi sama seperti saya jelaskan hari ini,” katanya.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Pemimpin Semenanjung Korea ikrar akhiri program nuklear

SEOUL 28 APR: Pemimpin Korea Utara dan Korea Selatan berikrar untuk bekerjasama ke arah misi menghentikan program nuklear di Semenanjung Korea, semalam tetapi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau akan mengekalkan tekanan ke atas Pyongyang menerusi sekatan sebelum pertemuan tidak dijangka dengan ketua Korea Utara, Kim Jong Un, beberapa minggu lagi.

Pertemuan antara Jong Un dan presiden Korea Selatan, Moon Jae In berjaya melahirkan imej dramatik dan deklarasi kebaikan namun masih kekurangan dalam beberapa komitmen spesifik serta gagal menjelaskan persoalan utama sama ada Pyongyang benar-benar bersedia menghentikan peluru berpandu nuklear yang kini menjadi ancaman terhadap AS.

Pada pertemuan di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara Semenanjung Korea itu selama lebih enam dekad, Jong Un dan Jae In mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan AS dan China tahun ini untuk menamatkan secara rasmi Perang Korea bagi memeterai perjanjian damai.

Dalam acara yang dihiasi dengan senyuman, saling bersalaman dan berpelukan, kedua-dua pemimpin itu turut berjanji meneruskan pengurangan senjata secara berperingkat, menghentikan tindakan keganasan, mengubah sempadan kepada zon damai dan mengadakan lebih banyak pertemuan bersama negara luar termasuk AS.

“Kami berikrar di hadapan 80 juta rakyat dan seluruh dunia bahawa tiada lagi peperangan di Semenanjung Korea dan era baru keamanan telah muncul,” kata kedua pemimpin terbabit.

Walaupun mereka saling sepakat dalam meneruskan misi semenanjung bebas nuklear, kedua-duanya masih tidak menjelaskan kaedah pelaksanaan atau maksud sebenar misi berkenaan.

Sementara itu di Washington, Trump ketika bercakap pada sidang media bersama Canselor Jerman Angela Merkel berkata, pertemuan bersama Jong Un nanti diharapkan mampu memberi keputusan produktif.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Parlimen Korea Utara panggil mesyuarat luar biasa

SEOUL 22 MAC: Parlimen Korea Utara, akan mengadakan Perhimpunan Agungnya pada 11 April ini, kata media negara Utara, beberapa minggu sebelum sidang kemuncak bersejarah antara Korea Utara dan Korea Selatan berlangsung.

Keputusan mengadakan pertemuan yang jarang berlaku buat pertama kali tahun ini diambil oleh jawatankuasa perhimpunan pada 15 Mac lalu, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) tanpa mengulas lanjut.

Parlimen Utara lazimnya berperanan meluluskan keputusan isu berkaitan struktur pentadbiran dan belanjawan yang diwujudkan oleh Parti Pekerja.

Sidang kemuncak itu akan mendahului kemungkinan pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang dijadualkan pada bulan berikutnya.

“Perhimpunan April ini adalah pertemuan rutin di mana Korea Utara membuat keputusan mengenai projek-projek utama negara,” kata Profesor Pengajian Korea Utara, Koh Yu-hwan, dari Universiti Dongguk di Seoul.

Jong-Un dan Trump dijangka bertemu pada Mei ini selepas pegawai Korea Selatan menyampaikan hasrat pemimpin Korea Utara itu untuk berbincang mengenai penamatan ujian peluru berpandu dan nuklear.

Perhimpunan Agung Rakyat diadakan sekali atau dua kali setahun. Pertemuan sebelumnya adalah pada April tahun lalu, apabila ia mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya diplomatik yang menyasarkan untuk meningkatkan hubungan antarabangsa.

Tidak dinyatakan dalam laporan KCNA sama ada Jong-Un akan menghadiri sidang kemuncak itu April ini.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Korea Selatan cadang pinda tempoh pemerintahan presiden

SEOUL 22 MAC: Pejabat Presiden Korea Selatan mencadangkan supaya tempoh menyandang jawatan sedia ada dirombak kepada kepada hanya empat tahun dan dua penggal, bagi mengelak berlakunya masalah pemimpin diktator.

Ketika ini, presiden dibenar menyandang jawatan selama lima tahun dan satu penggal.

Selain itu, Rumah Biru turut bercadang supaya had usia pengundi diturunkan kepada 18 tahun berbanding 19 tahun sebelum ini.

Menurut Rumah Putih, Korea Selatan adalah satu-satu negara di dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), yang menetap had mengundi pada usia 19 tahun.

Pindaan Perlembagaan itu dijangka diserahkan kepada Parlimen Korea Selatan, bagi mendapatkan kelulusan dua pertiga pengamal undang-undang, sebelum dikemukakan untuk pungutan suara peringkat kebangsaan.

SUMBER: REUTERS

Categories
SUKANKINI

Reuters digantung buat liputan Sukan Olimpik Musim Sejuk

 

OLEH AFIX REDZUAN

KOREA, 30 JAN: Jurugambar dan wartawan Reuters digantung daripada membuat liputan majlis pembukaan Olimpik Musim Sejuk di PyeongChang, Korea Selatan, bulan hadapan selepas agensi berita antarabangsa membocorkan gambar sesi latihan.

Agensi Berita Yonhap Korea Selatan melaporkan, Reuters memaparkan beberapa foto kawah Olimpik yang dinyalakan dengan api semasa latihan di Stadium Utama Olimpik, Ahad lalu.

“Untuk menghukum Reuters kerana melanggar embargo dan membocorkan foto-foto itu, IOC ‘menolak penerbitan pas ke Reuters dalam melaporkan dan memotret upacara pembukaan,” katanya lapor petapixel.com

Katanya, terdapat embargo media yang ketat dikuatkuasakan untuk menghalang penerbitan butiran seperti itu dan Reuters melanggarnya dengan menerbitkan foto tanpa izin.

Reuters kemudian dilaporkan mengambil foto itu selepas kedua-dua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan para penganjur PyeongChang membantah penerbitan gambar itu.

Dalam satu kenyataan, PyeongChang turut menegaskan akan mengenakan hukuman keras terhadap agensi media yang gagal mematuhi arahan embargo dari aca pembukaan dan penutup seperti yang diminta IOC dan jawatankuasa penganjur.

 

Categories
GLOBAL

Korea Utara dan Korea Selatan setuju mula inisiatif damai

SEOUL 6 JAN: Korea Utara dan Korea Selatan semalam setuju berunding buat kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun, beberapa jam selepas Seoul serta Washington bersedia menangguhkan latihan tentera bersama yang membangkitkan kemarahan Pyongyang sehingga Sukan Olimpik Musim Sejuk berakhir.

Pertemuan pertama sejak Disember 2015 itu akan diadakan di Panmunjom, sebuah kampung di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Ketegangan di Semenanjung Korea memuncak selepas Pyongyang mengadakan siri ujian misil pada 2017, terma­suk melancarkan peluru berpandu antara benua (ICBM) dan meletupkan bom atom keenam dan paling kuat setakat ini.

Inisiatif keamanan itu muncul selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un memberi amaran semasa ucapan Tahun Baru 2018 bahawa beliau mempunyai butang nuklear di mejanya tetapi pada masa sama, menawarkan pendamaian kepada Seoul dengan berkata, Pyongyang akan menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan, bulan depan.

Seoul membalas dengan tawaran rundingan, manakala awal minggu ini pula, talian telefon utama antara kedua-dua negara kembali beroperasi selepas hampir dua tahun.

Sementara itu kelmarin, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju menangguh latihan tentera Foal Eagle dan Key Resolve sehingga Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang yang bermula pada 9 Februari depan selesai.

Trump menyambut baik perbincangan peringkat tertinggi antara Korea Utara dan Korea Selatan itu walaupun Washington enggan berunding dengan Pyongyang.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan berkata, pihaknya menerima faks daripada Ketua Jawatankuasa Penyatuan Semula Secara Aman Korea Utara, Ri Son-gwon yang memberitahu: “Kami akan hadir ke Rumah Aman di Panmunjom pada 9 Januari ini.”

Rumah Aman ialah sebuah bangunan Korea Selatan di selatan Panmunjom di mana tentera kedua-dua negara menghadap satu sama lain di sebalik tembok pemisah konkrit.

Jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan, Baek Tae-hyun berkata, agenda perbincangan termasuk ‘isu menambah baik hubungan antara kedua-dua Korea.’

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Korea Selatan dan AS laksana latihan perang ‘luar biasa hebat’

GLOBAL 12 NOV: Kapal perang Korea Selatan menyertai tiga kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) dalam latihan ketenteraan bagi mempamerkan ‘kekuaatan luar biasa’ terhadap Korea Utara.

Latihan ketenteraan bersama selama empat hari di barat Pasifik itu melibatkan tiga kapal pengangkut pesawat termasuk USS Ronald Reagan, USS Nimitz dan USS Theodore Roosevelt selain tujuh kapal perang Korea Selatan serta tiga kapal pemusnah, kata Kementerian Pertahanan Seoul.

Latihan ketenteraan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya membabitkan tiga kapal pengangkut pesawat serentak di rantau tersebut dalam tempoh sedekad.

“Latihan ini bertujuan meningkatkan pencegahan terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara serta mempamerkan kesediaan menangkis sebarang tindakan provokasi oleh Korea Utara,” kata seorang jurucakap kementerian, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Korea Utara yang memiliki senjata nuklear sering mengecam latihan ketenteraan sedemikian sebagai latihan untuk melakukan serangan dan kadangkala melakukan tindak balas pergerakan tentera atau ujian peluru berpandu.

Kapal perang AS terbabit akan menyertai latihan pertahanan udara, pengawasan laut, latihan tempur pertahanan udara dan operasi latihan lain, kata Tentera Laut AS.

Latihan itu diadakan sejurus lawatan Presiden AS, Donald Trump ke Seoul dan Beijing minggu ini yang turut memberi tumpuan mengenai bagaimana mahu menangani ancaman senjata nuklear Pyongyang.

Dalam ucapan kepada Parlimen Korea Selatan pada Rabu lalu, Trump memberi amaran kepada Korea Utara agar tidak memandang rendah kepada AS dan menawarkan pemimpin negara itu, Kim Jong-un masa depan yang lebih baik jika beliau meninggalkan impian senjata nuklearnya.

 

Categories
GLOBAL

Kabus tebal sebabkan Trump batal lawatan ke DMZ

SEOUL 8 NOV: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terpaksa membatalkan lawatan mengejut ke zon bebas tentera (DMZ) yang membahagikan dua negara di Semenanjung Korea hari ini, berikutan cuaca buruk.

Rumah Putih melaporkan, Trump agak berdukacita dengan pembatalan berkenaan, lapor AFP.

Terdahulu, pemimpin Korea Selatan, Moon Jae-in yang terbang ke DMZ ketika cuaca masih dalam keadaan baik dibiarkan menunggu di kawasan sempadan yang dipenuhi pagar elektrik, periuk api dan penghalang kereta kebal itu.

Rumah Putih sebelum ini melaporkan, Trump yang memaklumkan tidak akan melawat DMZ sudah berlepas dari pangkalan tentera Yongsan di sini, namun helikopter dinaikinya terpaksa berpatah semula kerana kabus tebal.

Jae-in pula dilaporkan sudah terbang ke sempadan lebih awal dan menunggu Trump di pos kawalan keselamatan sebelum dimaklumkan mengenai pembatalan itu.

Lawatan oleh Presiden Amerika Syarikat ke DMZ adalah satu kebiasaan sebelum ini bagi menyaksikan lebih dekat pasukan tentera kedua-dua negara yang hanya dipisahkan oleh tembok batu di sepanjang sempadan itu.

Pengurusan Trump sebelum ini memaklumkan presiden itu tidak akan mengadakan lawatan ke DMZ kerana mendakwa ia sebagai sesuatu yang klise.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Pesawat pengebom B-1B sertai latihan ketenteraan di Semenanjung Korea

WASHINGTON 3 NOV: Dua pesawat pengebom Amerika Syarikat (AS) terbang melalui ruang udara Korea Selatan dan pusat latihan Pilsung, dalam latihan ketenteraan terbaru, kata jurucakap tentera udara negara itu.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Kapten Victoria Hight berkata, latihan ketenteraan itu membabitkan dua pesawat pengebom jenis B-1B.

Tentera udara dalam kenyataan awal berkata, latihan itu bakal diadakan di sekitar Semenanjung Korea tanpa mendedahkan kedudukan khusus.

Menurut kenyataan itu, pesawat pejuang Jepun dan Korea Selatan turut melakukan misi yang sama bersama dengan pesawat pengebom AS.

=EZY=