Categories
SELANGOR

MBSA-Bandaraya Hanam erat kerjasama dua hala

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya menarik minat Delegasi Bandaraya Hanam, Korea Selatan bagi memperkasa kerjasama dua hala.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, beberapa perkara dibincangkan antaranya membabitkan cadangan pertukaran kakitangan antara kedua-dua bandar raya serta kerjasama dari aspek kebudayaan dan sukan.

“Pihak MBSA dan Bandaraya Hanam juga turut menyatakan hasrat menyertai aktiviti yang akan dianjurkan kedua-dua bandar raya pada masa akan datang,” katanya.

Seramai sembilan delegasi dari Bandaraya Hanam menyertai lawatan diketuai Pengarah Biro Keselamatan dan Pentadbiran Bandaraya Hanam, Kim Jaeyoun.

img 1001Shahrin berkata, sebelum ini, MBSA dan Bandaraya Hanam telah mula mengadakan kerjasama melalui perjanjian yang dimeterai pada 2013.

“Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui adalah sektor pembangunan, teknologi maklumat dan komunikasi, ekonomi dan pelaburan, serta pendidikan dan pelancongan.

“Ia merupakan kesinambungan jalinan kerjasama antarabangsa yang bermula sejak 2013 sebagai salah satu inisiatif pihak MBSA menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya bertaraf dunia,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Korea Utara uji bom hidrogen, gegaran 5.1 skala dikesan

SHAH ALAM 6 JAN: Gegaran gempa bumi pada kekuatan 5.1 skala magnitud yang dikesan berhampiran tapak kawasan ujian nuklear di Korea Utara awal pagi ini dipercayai berpunca daripada ‘gegaran buatan’.

Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat berkata, lokasi kejadian dalam jarak 30 kilometer dari tapak ujian nuklear Korea Utara.

BN-LZ206_NKNUKE_M_20160105223843Kerajaan Korea Utara dalam laporan media negara itu menyatakan ‘kejayaan’ negara itu melaksanakan ujian bom hidrogen.

Ekoran ujian senjata itu, Kerajaan Korea Selatan mengadakan mesyuarat tergempar susulan ujian senjata negara jirannya itu.

Menurut agensi Associated Press pengesahan ujian senjata oleh Korea Utara itu langkah besar Pyongyang untuk mencapai sasaran memperkukuhkan simpanan senjata pemusnah negara itu.

Amerika Syarikat dan sekutunya menyatakan kebimbangan ujian itu meningkatkan ketegangan dan konflik di semenanjung Korea.

EZY

Categories
NASIONAL

TPPA: Anwar kecam pemimpin Umno tunduk kepada arahan AS

Anwar PC 2

KUALA LUMPUR 11 OKT: Sikap pemimpin Umno BN yang taat dengan arahan Amerika Syarikat (AS apabila bersetuju dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menyebabkan masa hadapan negara tergadai.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia menjadi semakin bermasalah apabila Datuk Seri Najib Razak bertemu dengan Presiden Barack Obama tahun lalu dan memberikan pengakuan menyokong TPPA.

“TPPA menunjukkan AS dan negara kaya tidak konsisten dalam rundingan, apabila dengan Eropah lebih telus dan terbuka dengan semua isi perjanjian dikemukakan, tetapi dengan Malaysia dilarang untuk umum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pidatonya semasa Program Bantah TPPA di Padang Kelab Sultan Sulaiman Shah di sini.

Kira-kira 500 orang hadir dalam program itu yang disertai ramai pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Pakatan Rakyat bukan seperti Ahli Parlimen Umno, apabila naik harga minyak, tetap menyokong. Naik harga gula tetap sokong. TPPA pun mereka (Umno) sokong walaupun tidak baca peruntukan itu.

“Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa besar seperti Amerika Syarikat,” katanya,” katanya.

Kata Anwar, sudah muncul suara bantahan daripada Negara seperti Korea Selatan, Jepun dan negara-negara yang berkembang terhadap ketidakadilan TPPA.

Katanya, Australia kini menerima beban kesan perjanjian bersama AS walaupun mempunyai sistem ekonomi dan pengaruh besar untuk menentukan hala tuju perjanjian.

“Perjanjian TPPA akan merugikan negara kerana dirangka sebegitu rupa supaya mendapat pulangan besar kepada AS

“Orang Malaysia yang sokong TPPA memang parah, yang bantah TPPA tapi perkenal TPPA bentuk Malaysia untuk rakyat Malaysia sama parahnya.

“Kita menolak golongan kapitalis yang tidak berhati perut baik orang Amerika Syarikat atau Cina, Melayu dan India,” kata Anwar.

Kira-kira 500 orang hadir dalam program itu yang disertai ramai pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Categories
NASIONAL

Bayar RM 2 Juta Kepada Psy Bertentangan Usaha Najib Didik Rakyat Berjimat Cermat

Johari-PSY(a)

SHAH ALAM, 8 FEB : Tindakan Kerajaan BN mengundang artis popular Korea Selatan, Psy sempena Tahun Baru Cina di Pulau Pinang  bukan sahaja membazir malah bertentangan dengan usaha kerajaan yang ingin mendidik rakyat hidup berjimat cermat.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul berkata kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, di satu sisi mengesa rakyat  hidup berjimat, di satu sisi yang lain kerajaan sendiri berbelanja besar.

Menurut Johari, tindakan itu juga jelas mencerminkan percanggahan terhadap cara kerajaan mendidik rakyat.

Johari menambah, Pakatan Rakyat tidak berhasrat menghalang BN untuk membuat sebarang program sempena tahun baru berkenaan, bagaimanapun ia tidak perlu membazir.

“Ia tetap bercanggah dengan seruan kerajaan khususnya Datuk Seri Najib Razak yang mengesa rakyat untuk berjimat cermat dalam menghadapi masa-masa yang sukar, itu sahaja bukannya kita menghalang sekadar memberi pandangan.

“Kerajaan menghulurkan bantuan BR1M dan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada pelajar dengan tujuan menampung kos kehidupan rakyat.

“Dalam masa yang sama kerajaan juga belanja RM2 juta untuk persembahan PSY 30 minit, itu jelas satu pembaziran walaupun kerajaan mendakwa itu adalah duit parti, bukannya duit rakyat, tetapi pada saya ia tetap suatu pembaziran,”ujarnya.

Johari berkata demikian sebagai mengulas hasrat BN Pulau Pinang menjemput Psy yang terkenal dengan tarian gangnam style untuk membuat persembahan di Pulau Pinang.

Perkara ini turut mendapat reaksi daripada ketua Menteri Pulang Pinang, Lim Guan Eng yang menggesa rakyat Pulau Pinang agar memakai baju berwarna kuning, hijau dan merah ketika menghadiri majlis sambutan tersebut.

Menurut Lim, mengenakan baju kuning sebagai tanda sokongan kepada Bersih, hijau untuk alam sekitar dan merah untuk Pulau Pinang.

Majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran BN negeri Pulau Pinang akan diadakan pada 11 Februari  di padang Sekolah Han Chiang.

Selain Psy, majlis tersebut turut menampilkan persembahan penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah serta pertunjukan Chingay, badut, nyanyian dan tarian masyarakat Cina.

Categories
NASIONAL

Kepincangan Ekonomi Malaysia Berpunca Dari Pengurusan Umno-BN

KUALA LUMPUR, 1 OKT : Masalah ekonomi di negara boleh diatasi dengan cekap dan berkesan sekiranya dasar-dasar yang digubal merombak kepincangan struktur ekonomi sedia ada.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegagalan Kerajaan Umno-BN menamatkan defisit belanjawan selama 15 tahun berturut-turut membuktikan Malaysia mempunyai masalah struktur ekonomi yang serius.

Beliau berkata, sekiranya potensi ekonomi negara yang berasaskan sumber kekayaan dan tenaga kerja sedia maka Malaysia sepatutnya berada di depan negara-negara yang dulunya lebih mundur dari Malaysia tetapi kini menjadi contoh kepada dunia.

“Malaysia bermula pada garisan yang sama dengan negara-negara seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Malah, Malaysia berada di hadapan berbanding dengan Turki.

“Dalam tahun 1970an, Pendapatan Negara Kasar per kapita Malaysia sebanyak US $400 adalah jauh lebih tinggi berbanding Korea Selatan pada jumlah US $270 sahaja.

“Kelebihan ekonomi ini semakin terhakis dan merudum sejak tahun 1980, seperti yang dibuktikan oleh angka-angka perbandingan pendapatan negara kasar per kapita pada 2010 iaitu Korea Selatan (US$19,720) manakala Malaysia (US$7,760),” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Negara 2013 di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Keadaan itu membuktikan bahawa pendekatan ekonomi Kerajaan Umno-BN telah merosotkan daya saing negara dalam tempoh 30 tahun lalu hingga Malaysia jauh ditinggalkan Korea Selatan, walaupun kedua-dua negara bermula pada garis yang sama pada tahun 1980.

Tambahnya, Malaysia juga berhadapan risiko ditinggalkan oleh negara-negara Asia lain ekoran kegagalan Umno-BN merancang ekonomi negara dengan berhemah serta membanteras rasuah.

Tegasnya lagi, perubahan dan penambahbaikan ekonomi negara tidak boleh berlaku sekiranya tiada reformasi politik dan pentadbiran.

“Buku Jingga adalah dokumen jelas yang menggariskan bahawa matlamat pertumbuhan ekonomi perlu didokong oleh proses islah politik dan pentadbiran yang menyeluruh,” ujarnya.