Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Peniaga, penternak ayam segar digesa elak caj harga tidak munasabah

SHAH ALAM, 17 SEPT: Penternak, peniaga dan pemborong ayam segar disaran tidak mengambil kesempatan menaikkan harga bahan mentah tersebut ketika pandemik Covid-19, kata EXCO hal ehwal pengguna dan industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan kerap melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kenaikan harga luar jangka berlaku.

“Saya telah berjumpa dengan pengarah KPDNHEP Selangor dan dimaklumkan pihak berkaitan menaikkan harga ayam kerana mahu menampung kerugian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Namun, saya harap penternak, peniaga dan pemborong tidak ambil kesempatan sehingga mengenakan caj tidak munasabah dan kurang sesuai ketika ramai orang sedang dalam kesempitan akibat Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jelajah Hari Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di pusat khidmat masyarakatnya semalam.

Baru-baru ini KPDNHEP mengesan kenaikan harga ayam segar di peringkat nasional daripada RM8.39 sekilogram (kg) kepada RM8.47 berdasarkan laporan Price Alert Harian pada 6 September lalu.

KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya di 605 premis yang menjual ayam bersih di seluruh negara mendapati 47 premis atau lapan peratus daripadanya menaikkan harga manakala 0.5 peratus menurunkan harga.

Pada 13 September, Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementerian itu akan melaksanakan kawalan harga ayam jika ia terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapat kartel memanipulasi harga di semua peringkat rantaian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga diberi seminggu patuhi harga maksimum kit ujian kendiri

KUCHING, 5 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memberi masa seminggu bermula hari ini kepada para peniaga untuk mematuhi harga maksimum RM19.90 untuk kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri).

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pasukan penguat kuasa akan melakukan pemantauan namun tidak akan mengeluarkan denda tetapi sebaliknya akan memberi peringatan kepada peniaga supaya mengikut arahan penjualan harga maksimum itu yang berkuat kuasa hari ini.

“KPDNHEP akan beri tempoh seminggu untuk peniaga membuat penyesuaian harga kit ujian tersebut.

“Ini bermakna kita juga prihatin terhadap peniaga tetapi penjualan itu harus mematuhi harga maksimum ditetapkan yang bermula hari ini,” katanya selepas membuat pemeriksaan harga kit tersebut di sebuah farmasi di sini, hari ini.

Selain itu, Nanta berkata KPDNHEP juga akan membuat pemeriksaan terhadap pemborong untuk memastikan harga maksimum RM16 dipatuhi kerana ia turut diwartakan.

Kegagalan peniaga dan pemborong untuk mematuhi harga maksimum itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Bagi individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala untuk syarikat, boleh didenda maksimum RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Sementara itu, berhubung harga maksimum ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang dilakukan di klinik, Nanta berkata KPDNHEP sedang menunggu nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia serta akan melakukan perbincangan dengan wakil industri untuk pelaksanaan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP pertimbang kawal harga kit ujian Covid-19

KUALA BERANG, 3 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengawal harga kit ujian Covid-19.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata berdasarkan maklum balas orang ramai ketika ini, harga kit ujian tersebut agak membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan keluarga memiliki ramai anak.

“Kita dapat maklumat harganya RM39.90 seunit, tidak ramai yang mampu membelinya pada harga tersebut. Jadi, kita sedang buat advokasi dengan pengilang, pengimport dan penjual untuk dapatkannya pada harga yang munasabah agar tidak merugikan peniaga dan tidak bebankan rakyat.

“Kita harap harganya nanti akan mampu dibeli oleh semua orang selain itu peranan kita juga adalah untuk pastikan kit ujian ini tidak ada yang tiruan. Kita bimbang ada yang cuba hasilkan barang tiruan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Bading hari ini.

Seramai 360 penduduk Felda tersebut menerima vaksin Covid-19 mereka melalui program itu, yang pertama diadakan di daerah Hulu Terengganu setakat ini.

Rosol berkata enam lagi program Movak menggunakan bas akan diadakan secara berperingkat di daerah Hulu Terengganu selepas ini iaitu di SK Bukit Tadok, SK Tapah, SK Tok Randok, SK Getang, SK Kua dan SK Binjai Kertas dengan lebih 3,500 penduduk dijangka akan menerima vaksin tersebut.

Dalam perkembangan lain, Rosol yang juga ahli parlimen Hulu Terengganu berkata KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) terhadap 689,876 premis di seluruh negara sejak 13 Mei 2020 hingga semalam.

“Sebanyak 653 kesalahan dikesan menerusi pemeriksaan itu iaitu 254 kes kerana gagal mendaftar masuk menggunakan buku atau aplikasi MySejahtera, menjalankan aktiviti tidak dibenarkan (127), gagal menyediakan penanda jarak satu meter (56), gagal memakai pelitup muka (40), gagal mempamer had bilangan maksimum pelanggan (18), gagal mematuhi waktu operasi (empat) dan lain-lain kesalahan (154).

“Nilai kompaun yang telah dikeluarkan pula adalah sebanyak RM4.45 juta setakat ini namun kompaun adalah tindakan terakhir yang terpaksa diambil kementerian selepas memberi nasihat dan amaran kepada pemilik premis,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 100,000 warga sektor runcit divaksin sebelum 31 Ogos

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Seramai 105,000 pekerja sektor peruncitan dijangka dapat divaksin sebelum 31 Ogos ini dengan pembukaan empat lagi pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di bawah Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC), kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat PPVIN RiVAC tambahan itu terletak di IOI City Tower, Putrajaya yang akan beroperasi pada 26 Julai hingga 13 Sept, Petaling Jaya Performing Art Center di Bandar Utama, Selangor (27 Julai hingga 20 Sept), Centro Mall di Klang, Selangor (26 Julai hingga 16 Sept) dan AEON Mall di Nilai, Negeri Sembilan yang tarikh operasinya akan diberitahu kelak.

Kenyataan itu menyebut PPVIN RiVAC pertama iaitu di Mid Valley Exhibition Center, Kuala Lumpur boleh menampung 31,500 orang untuk divaksinasi sepanjang ia beroperasi iaitu dari 26 Julai hingga 6 Sept.

Keempat-empat PPVIN tambahan masing-masing mempunyai kapasiti maksimum 21,000 orang sepanjang tempoh operasi.

“Melalui RiVAC, semua pekerja yang menyantuni pengguna dan menyediakan persiapan logistik dalam premis perniagaan sekurang-kurangnya telah membina imuniti diperlukan yang sekali gus mengurangkan risiko penularan termasuk pengguna dan ahli keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.

KPDNHEP juga meminta semua syarikat sektor peruncitan termasuk pasar raya, kedai runcit, stesen minyak, restoran, bengkel, kedai perkakasan serta kedai gunting rambut menyertai RiVAC dan mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi untuk pekerja dengan segera.

“Kementerian sedang menimbangkan untuk menjadikan vaksinasi semua pekerja sesebuah syarikat sebagai antara prasyarat untuk kelulusan beroperasi syarikat itu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutama bagi aktiviti ekonomi yang melibatkan sentuhan dan interaksi bersemuka secara berdekatan,” katanya.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui portal KPDNHEP https://rov.kpdnhep.gov.my/rov atau berhubung terus dengan Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian 03- 8882 5881/ 5905 atau e-mel kepada [email protected].

Program (RiVAC) dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi serta pemain industri peruncitan dan pengedaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pematuhan SOP sektor perdagangan, pegedaran pada tahap memuaskan

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan pemeriksaan ke atas 615, 996 premis dari 13 Mei lepas sehingga semalam bagi menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurut kenyataan KPDNHEP semalam, daripada jumlah keseluruhan premis yang diperiksa sejumlah 574 kes tidak patuh SOP atau kompaun telah dikenakan.

“Berdasarkan statistik tersebut, pematuhan sektor perdagangan pengedaran boleh dikatakan berada pada tahap yang memuaskan di mana 98.54 peratus premis patuh kepada SOP yang ditetapkan manakala 0.1 peratus premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.27 peratus premis diberi nasihat dan amaran,” katanya.

Kata KPDNHEP, sejumlah 44,903 premis diperiksa oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dari 1 Jun hingga semalam menerusi penguatkuasaan pematuhan SOP PKP .

Dalam tempoh tersebut sejumlah 388 kes gagal mematuhi SOP yang berkuat kuasa di bawah Akta 342 dikesan melibatkan syarikat atau individu dengan jumlah keseluruhan nilai kompaun mencecah RM2,141,500, katanya.

“Antara jenis kesalahan yang banyak direkodkan ialah gagal mendaftar masuk menggunakan buku atau aplikasi MySejahtera dan menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan. Kesalahan banyak dikesan di pelbagai premis termasuk kedai runcit, pasar mini, pasar raya dan pasar raya besar,” kata kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak 132 aduan diterima daripada orang awam mulai 1 Jun hingga semalam dan kesemuanya telah disiasat.

Bagi memastikan SOP PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran semasa dilaksanakan dengan efektif, KPDNHEP telah menggerakkan seramai 2,262 orang pegawai penguat kuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran.

“KPDNHEP menyarankan agar semua pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran khususnya untuk memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya oleh pekerja dan pelanggan masing-masing.

Pemilik premis perniagaan hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada ditahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara di samping tidak mewujudkan kluster baharu Covid-19 di bawah sektor perdagangan pengedaran,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP serbu premis seleweng minyak masak lebih 1 juta kg

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Sebuah premis pemborong minyak masak di Bandar Tun Razak di sini diserbu selepas disyaki menyeleweng minyak masak dianggarkan berjumlah 1.6 juta kilogram sejak April lepas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata serbuan dilakukan pada 12 tengah hari semalam menerusi Operasi Penyelewengan Bekalan Minyak Masak susulan laporan dan maklumat yang diterima berhubung kegiatan itu.

Beliau berkata premis berlesen itu beroperasi sejak Mac lepas dengan mendapatkan sumber bekalan minyak masak dari pengilang dan pembungkus di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pahang serta dipercayai dijual kepada sebuah syarikat tidak berlesen di Johor Bahru, Johor.

“Jumlah bekalan yang dibekalkan kepada syarikat tidak berlesen berkenaan sejak April lepas sehingga sekarang dianggarkan sebanyak 1.6 juta kilogram melibatkan nilai subsidi RM960,000,” katanya dalam sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP KL di sini hari ini.

Beliau berkata pemilik premis terbabit yang juga seorang warga tempatan berusia 40 tahun telah diambil keterangan manakala beberapa dokumen disita untuk siasatan lanjut.

Nurul Syarina berkata bekalan minyak masak bersubsidi berkenaan juga dipercayai dieksport ke luar negara dan kegiatan itu menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan di pasaran tempatan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 9(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana membekalkan barang kawalan iaitu minyak masak kepada pihak yang tidak berlesen.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan ke atas semua rangkaian pengedaran minyak masak bagi memastikan bahan itu sentiasa ada di pasaran dan tidak diseleweng pihak tidak bertangggungjawab.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

11 peniaga diberi notis naikkan harga minyak masak botol 5kg

SHAH ALAM, 8 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan 11 notis kepada peniaga yang menaikkan harga minyak masak botol lima kilogram (kg).

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata notis diberi supaya peruncit dapat mengemukakan perincian jumlah pembelian dan harga jualan yang diperoleh daripada pembekal, lapor Harian Metro.

“Hasil maklumat itu akan disiasat segera dan jika terdapat unsur kenaikan harga melampau akan dikenakan tindakan.

“Setakat ini kita masih belum boleh putuskan lagi keputusannya dan menunggu dalam tempoh selama dua hingga lima hari bagi mereka memberi maklumat sebelum tindakan seterusnya boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak dapat mengawal harga jualan minyak masak saiz tersebut namun mengikut undang-undang peniaga masih tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Semalam, hasil pemeriksaan KPDNHEP Selangor terhadap 23 peruncit mendapati mereka menjual minyak masak botol lima kg pada harga RM34.20 sebotol berbanding RM25.50 harga asal.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP saran peniaga bungkus barang keperluan elak jangkitan wabak

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Premis perniagaan dicadangkan agar mengikat atau membungkus barangan keperluan harian dan tidak dilonggok di dalam satu tempat bagi menjimatkan masa pembeli daripada memilih atau membelek dan memegang barangan tersebut seterusnya mengurangkan kadar jangkitan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata ini kerana sekiranya seseorang pembeli itu didapati positif Covid-19, maka barangan yang dipegangnya tadi berkemungkinan mempunyai virus itu seterusnya mendatangkan kemudaratan kepada pembeli lain yang memeriksa barangan sama.

“Saya minta pihak pengurusan premis perniagaan untuk fikirkan bagaimana hendak kurangkan pemilihan barangan. Sebagai contoh ayam, kita tahu orang awam nak pilih yang terbaik…tetapi ayam itu sama sahaja namun mereka tetap nak pilih.

“Akan tetapi sekarang kita berada dalam norma baharu dan setiap barangan mempunyai kualiti yang sama baik, maka pilih (ambil) sahaja,” katanya selepas membuat pemeriksaan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di NSK Kuchai Lama hari ini.

Selain itu, beliau berkata pihak pengurusan juga perlu memberi jaminan bahawa barangan yang diikat itu baik dan tidak mendapat sebarang rungutan atau keluhan orang awam tehadap kualiti barangan keperluan tersebut.

“Maka orang awam akan biasakan situasi begini. Jika tidak, kita pun akan susah sekiranya terdapat kerosakan atau barang tersebut kurang kualitinya,” katanya dan menambah premis perniagaan yang menjual barangan keperluan asas juga perlu mencari pendekatan agar jumlah pembeli di dalam premis bagi satu-satu masa tidak terlalu ramai.

Dalam perkembangan lain, Santhara berkata sebanyak 137 pemeriksaan pematuhan SOP dijalankan di sekitar Kuala Lumpur sejak Selasa lepas hingga semalam dan dua kompaun dikeluarkan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM20,000 kerana premis tidak mematuhi waktu perniagaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Permintaan tinggi pelitup muka, KPDNHEP minta peniaga jangan naik harga

SHAH ALAM, 3 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memberi amaran kepada peniaga tidak menaikkan harga pelitup muka susulan permintaan tinggi di pasaran.

Pengarah Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata pelitup muka tiga lapisan harus dijual di bawah harga siling iaitu 70 sen sekeping dan mereka yang ingkar berdepan tindakan di bawah Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kita tidak mahu berlakunya keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 apabila ada menjual dengan harga mahal disebabkan bekalan tidak mencukupi pada masa itu.

“Berdasarkan pemantauan dua hari pertama PKP Penuh, harga pelitup muka masih di bawah harga siling dan bekalan juga mencukupi kerana kilang memprosesnya dibenarkan beroperasi,” katanya kepada SelangorKini.

Hari ini, The Star melaporkan berlaku peningkatan permintaan alat perlindungan itu disebabkan orang ramai kini mengamalkan pemakaian pelitup muka dua lapis.

Sebelum ini, ketua pengarah kesihatan menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka berganda terutama ketika berada di kawasan berisiko seperti hospital bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan mengenakan pelitup muka kain di atas pelitup muka tiga lapisan dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Barang keperluan cukup, tidak perlu pembelian panik – menteri

PUTRAJAYA, 29 MEI: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini memberi jaminan bekalan makanan keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi bagi menghadapi ‘total lockdown’.

Beliau berkata, seperti mana pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas yang tidak merekodkan sebarang kes bekalan barangan keperluan asas terputus, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin, bekalan barang keperluan di seluruh negara stabil dan mencukupi semasa ‘lockdown’ itu.

“Pengguna diseru tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan, bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan,” katanya dalam kenyataan.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 semalam, memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh atau ‘total lockdown’ sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun.

Nanta berkata, pemantauan akan terus dilaksanakan penguat kuasa kementerian setiap hari, bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di semua negeri.

Nanta dalam pada itu berkata penguatkuasaan Ops Had 2J, yang memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan had masa maksimum dua jam keberadaan pelanggan di premis perniagaan, ditangguhkan serta-merta sehingga ke satu tarikh kelak.

Bagaimanapun beliau berkata, SOP PKP 3.0 yang lain masih terus dikuatkuasakan.

“Kementerian berharap pengguna dan pengunjung premis perniagaan, akan terus merancang perbelanjaan dan perjalanan bagi mengurangkan kesesakan di premis perniagaan, yang boleh menyebabkan penularan Covid-19 meningkat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Kompaun jika lebih had dua jam di pusat beli-belah

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Pelanggan yang berada di premis perniagaan melebihi had masa dua jam akan dikompaun sekiranya diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia atau Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihak penguat kuasa akan membuat pemantauan di premis-premis perniagaan di seluruh negara selaras pelaksanaan Ops Had 2J yang dilancarkan Rabu lepas.

“Kita periksa (aplikasi) MySejahtera mereka dan berharap dengan cara itu sekurang-kurangnya dengan omnipresence (kehadiran) pegawai penguat kuasa KPDNHEP memberi kesedaran kepada pengguna mematuhi SOP (tatacara operasi piawai).

“Pegawai penguat kuasa kita akan membuat pemantauan secara rawak sama ada dengan memakai uniform dan tidak beruniform (pakaian biasa) untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan ‘walkabout’ pemantauan Ops Had 2J di sebuah pusat beli-belah di ibu kota hari ini.

Alexander berkata setakat ini, tiada kompaun dikeluarkan terhadap orang ramai atas kesalahan berada di premis perniagaan melebihi had masa ditetapkan.

Beliau berkata pihak pengurusan premis atau kompleks beli-belah dan pelanggan perlu memberikan kerjasama dalam memastikan SOP dipatuhi setiap masa dan seterusnya menyumbang kepada usaha membendung penyebaran Covid-19.

Turut hadir Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam dan Pengarah Eksekutif Mid Valley City Sdn Bhd Antony Patrick Barragry.

Sebelum ini, Alexander telah mengumumkan tempoh pelanggan boleh berada di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam. Ia antara SOP yang dikemas kini bagi sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat.

Sebanyak 144 kompleks perniagaan di seluruh negara diperiksa pegawai penguat kuasa KPDNHEP setakat semalam. Pemeriksaan pada 26 dan 27 Mei itu tertumpu kepada kompleks perniagaan yang besar dan berpotensi menjadi tempat tumpuan orang ramai serta pelanggan berpotensi melebihi had masa itu.

Beliau berkata penguatkuasaan Ops ini akan diteruskan termasuk ke premis-premis lain seperti pasar, premis runcit dan kedai serbaneka untuk memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan dalam pelaksanaan PKP 3.0.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ratusan premis dikompaun gagal patuh skim harga maksimum hari raya

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM64,050 serta menyita barangan bernilai RM52,897.31 sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP HRP 2021) yang bermula dari 21 April hingga 20 Mei lepas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata sebanyak 73 aduan diterima sepanjang tempoh itu yang kesemuanya telah disiasat dan akan diambil tindakan.

Beliau berkata sebanyak 51,138 pemeriksaan ke atas premis di seluruh negara dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

“Sebanyak 454 tindakan undang-undang telah dikenakan iaitu 91 kes kerana menjual melebihi harga maksimum, 186 kes kerana gagal menggunakan tanda harga khas dan 177 kes tiada tanda harga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata secara keseluruhannya, didapati kadar pematuhan dalam kalangan peniaga adalah tinggi pada 99 peratus yang mana barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang telah ditentukan kerajaan.

“Malah, sesetengah barangan harga terkawal didapati dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan. Senario positif ini berlaku kerana persaingan yang sihat selain faktor penawaran dan permintaan yang seimbang di pasaran,” katanya.

Azman berkata kejayaan SHMMP HRP 2021 mendorong KPDNHEP untuk meneruskan pelaksanaan SHMMP bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 yang akan disambut tidak lama lagi.

Pengumuman mengenai senarai barangan yang terlibat dan harga maksimum akan dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Isnin ini (24 Mei), katanya.

-BERNAMA