Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Murid tiada seragam sekolah boleh pakai baju biasa hingga 26 Mac

PUTRAJAYA, 24 FEB: Murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata kebenaran itu diberi mulai 1 Mac sehingga 26 Mac, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.

KPM berkata berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah, murid perlu memakai pakaian seragam sekolah untuk hadir ke sekolah, namun mengambil kira keadaan semasa kebenaran itu diberikan.

Menurutnya perkara itu diputuskan susulan banyak pertanyaan daripada ibu bapa mengenai peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

“KPM berharap kebenaran ini akan membolehkan semua murid kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Pada 19 Februari lepas, KPM mengumumkan tarikh pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Mac.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN, KPM bincang kelonggaran rentas daerah, negeri hantar anak ke sekolah

KUALA LUMPUR 23 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan perbincangan esok mengenai kelonggaran kepada ibu bapa merentas daerah dan negeri bagi menghantar anak ke sekolah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan perbincangan itu akan diumumkan Khamis ini dengan mengambil kira sekolah bakal dibuka secara berperingkat bermula 1 Mac.

“Jika pekerja boleh merentas daerah hanya dengan (menunjukkan) surat majikan tanpa (surat) kebenaran (daripada) polis, saya akan berbincang dengan KPM mengenai ini. Khamis ini kita umum.

“Kalau boleh, surat kemasukan asrama dan sebagainya serta surat daripada guru disediakan (oleh KPM) sebagai surat kebenaran khas kepada ibu bapa yang akan menghantar anak mereka ke sekolah atau asrama di luar daerah atau negeri,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Jumaat lepas, KPM menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 manakala murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pula bermula pada 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.

Mengulas sama ada kerajaan akan membenarkan perkhidmatan merias dan merawat kuku beroperasi di dalam kawasan PKP, Ismail Sabri berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke mesyuarat teknikal esok sebelum membuat pengumuman Khamis ini.

“Saya faham rungutan ini, saya juga menerima permohonan hampir setiap hari. Di kawasan PKPB dan PKPP telah pun dibenarkan beroperasi dan yang memohon ini di kawasan PKP di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor,” katanya.

Beliau juga berkata setakat ini, kerajaan masih belum memberi kebenaran merentas negeri bagi yang berstatus PKPB namun dibolehkan dengan kebenaran polis sekiranya ada keperluan mendesak.

“… tetapi seperti yang kita tahu, status PKP, PKPB dan PKPP ini akan kita ketahui selepas tamatnya ketiga-tiga PKP ini pada 4 Mac dan dua hari sebelum itu, saya akan umumkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru risiko tinggi diutama terima vaksin Covid-19

SABAK BERNAM, 22 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengutamakan guru yang berisiko tinggi untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sekiranya permintaan agar golongan itu dimasukkan dalam kelompok penerima fasa pertama yang bermula Rabu ini, diluluskan.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata KPM sedang berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi agar guru dipertimbang sebagai penerima vaksin fasa pertama memandangkan sesi persekolahan bermula Mac ini.

“Sekiranya permohonan ini diluluskan, kementerian akan memberi keutamaan kepada guru-guru yang berisiko tinggi untuk mendapat suntikan vaksin itu,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata pihaknya menerima banyak permohonan daripada pihak yang mahu mereka dipertimbang sebagai penerima vaksin fasa pertama termasuk golongan pendidik.

Permohonan berkenaan katanya dilihat munasabah memandangkan sekolah akan dibuka semula pada Mac ini.

Bagaimanapun Khairy yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata pihaknya berdepan kekangan kerana bekalan vaksin bagi fasa pertama hanya berjumlah kira-kira satu juta dos dengan sebahagian pendaftaran membabitkan 500,000 barisan hadapan dalam sektor kesihatan dan bukan kesihatan.

Oleh itu, Khairy meminta agar KPM menyenaraikan guru-guru berisiko tinggi supaya mereka menerima vaksin menjelang pembukaan sekolah Mac ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM bantu guru sampaikan PdP dengan baik melalui DidikTV

PUTRAJAYA, 18 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memantau kualiti dan membantu guru yang terlibat dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi saluran DidikTV KPM, yang merupakan saluran khusus TV pendidikan secara terestrial.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata kementerian boleh melatih dan membimbing guru terlibat untuk menambah baik bukan sahaja dari segi kualiti kandungan tetapi penyampaian di kaca televisyen.

“Jadi bagi saya, semua pihak termasuk kementerian boleh ambil pengajaran di sini. Bagaimana kita boleh menentukan kualiti PdP yang disampaikan melalui saluran itu. Kita perlu mempunyai kawalan kualiti (QC) yang lebih ketat dan melakukan saringan terhadap video atau program yang akan disiarkan melalui televisyen itu.

“Secara peribadi, saya rasa demi pelajar, guru sangat berani untuk muncul di hadapan kamera,” katanya dalam temu bual bersama Bernama, Utusan Malaysia dan The Star mengenai Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 di KPM di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai video tular di media sosial memaparkan seorang guru mengajar subjek Sains di saluran itu yang dikritik kerana penyampaiannya. Saluran itu yang kali pertama diperkenalkan, mula bersiaran semalam, menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV UNIFI, bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Habibah berkata hasrat KPM untuk mengadakan DidikTV ini adalah satu inisiatif yang murni untuk menjangkau semua pelajar apabila terdapat banyak cabaran sepanjang pandemik Covid-19 serta jurang pemilikan peranti dan akses kepada internet.

“Kami tahu 36 peratus pelajar tidak memiliki sebarang peranti. Tapi kita lihat dari segi peratusan isi rumah yang ada televisyen adalah lebih 97 peratus. Jadi program televisyen ini adalah salah satu cara mendekati kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Habibah berkata KPM juga sedang berbincang dengan pihak berkepentingan mengenai pembukaan semula sekolah kepada pelajar bukan kelas peperiksaan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum dimuktamadkan lagi.

Katanya, KPM mengambil kira cabaran yang dihadapi semua pihak apabila melakukan PdP di rumah kerana keadaan atau pengalaman itu tidak sama seperti hadir ke sekolah secara bersemuka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM: TV Pendidikan mula bersiaran Rabu depan

PUTRAJAYA, 12 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Feb ini.

Pelancaran DidikTV KPM akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 8 pagi pada hari pertama hari pertama siarannya.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV Unifi bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Katanya, bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

KPM berkata pewujudan saluran khusus tersebut merupakan usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Katanya, DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

“Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

“Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan,” katanya.

Kementerian itu berkata saluran DidikTV KPM juga merupakan satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” tambahnya.

Sebelum ini, kementerian berkenaan menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Tambahan slot program TV Pendidikan calon SPM bermula esok – KPM

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Bermula esok, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah slot program TV Pendidikan dalam program DidikTV@NTV7, khusus untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 yang akan menduduki peperiksaan, mulai 22 Februari ini.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan slot tambahan itu melibatkan sesi selama dua jam pada hari Isnin hingga Jumaat bermula dari 3 hingga 5 petang di saluran NTV7.

“KPM juga telah menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang,” menurut KPM.

Penambahan slot ini menjadikan keseluruhan waktu siaran TV Pendidikan sebanyak 11 jam setiap hari yang disiarkan di saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV@NTV7.

KPM turut melahirkan keyakinan program TV Pendidikan yang disediakan itu dapat dimanfaatkan oleh pelajar, guru dan ibu bapa sebagai antara kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berkesan.

Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Henti tohmahan guru makan gaji buta – NUTP

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Masyarakat diminta menghentikan tohmahan kononnya guru kurang bekerja apabila melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata sejak pelaksanaan PKP fasa awal lepas, warga pendidik sering dilemparkan dengan pelbagai tuduhan seperti makan gaji buta sedangkan mereka sudah cuba melakukan yang terbaik.

Beliau berkata sepanjang PdPR dilaksanakan, ramai guru sanggup berkorban demi memastikan murid-murid dapat mengikuti sesi pembelajaran, malah apabila kaedah itu dilaksanakan hampir kesemua kos berkaitan ditanggung oleh guru sendiri, terutamanya melibatkan utiliti.

“Ada guru berkorban gunakan wang sendiri untuk melanggan data Internet, malah ada juga guru buat studio sendiri di rumah untuk memastikan sesi pengajaran lebih menarik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Jan ini di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Semua murid sekolah rendah dan murid tingkatan 1 hingga 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mulai 20 Januari.

Mengakui pembelajaran secara bersemuka lebih memberikan impak dan mencapai objektif jika dibandingkan dengan PdPR, Aminuddin berkata dalam keadaan sekarang, semua pihak harus menerima kenyataan bahawa PdPR adalah satu-satunya pilihan yang ada.

“Kami anggap segala permasalahan sebagai cabaran dan guru-guru akan melakukan yang terbaik dalam ruang lingkup kemampuan dan kesesuaian murid. Dalam hal ini, proses pengajaran dan pembelajaran guru adalah berasaskan keupayaan murid dan kesediaan sumber yang ada,” katanya.

Dalam hal ini, kerjasama ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah dapat berlangsung dengan lebih berkesan, tegasnya.

Sebelum ini, KPM menyediakan manual PdPR meliputi pendekatan secara dalam talian, luar talian dan ‘off-site’, sama ada menggunakan modul pembelajaran atau pembelajaran berasaskan projek, selain sentiasa berusaha memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran.

Pada 20 Disember lepas, Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya berkata sebanyak 2.699 juta sesi PdPR dilaksanakan membabitkan guru dan murid sekolah rendah dan menengah di bawah KPM di seluruh negara bagi tempoh 17 hingga 30 November tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 64 peratus merupakan PdPR secara dalam talian, 17 peratus luar talian manakala 19 peratus gabungan kedua-dua kaedah tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Sesi sekolah tetap mula 20 Januari, majoriti dari rumah

SHAH ALAM, 11 JAN: Sesi persekolahan secara bersemuka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama dan setara.

Peperiksaan itu meliputi Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Diploma Vokasional Malaysia.

“Justeru, pelajar sekolah berasrama penuh dan harian yang akan menduduki peperiksaan boleh pulang ke asrama mulai 16 Januari dengan surat kebenaran dikeluarkan oleh pihak sekolah,” menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu memaklumkan murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga empat pula mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mulai 20 Januari.

Kelihatan seorang pelajar keluar dari pintu pagar sekolah setelah tamat sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa pada 7 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Sementara itu, bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus ke tingkatan satu, calon berdaftar yang belum mengambil penilaian tersebut akan mengikutinya antara 20 hingga 29 Januari.

“Bagi kemasukan ke tingkatan empat, pentaksiran antara 15 hingga 25 Februari dan surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh KPM bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah,” maklum KPM.

Kementerian menjelaskan semua guru perlu kembali ke stesen bertugas sebelum 20 Januari dan yang terlibat dengan peperiksaan utama perlu melaksana pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

Menurutnya, pelajar kolej matrikulasi pula perlu kekal di kampus masing-masing untuk mengikuti pembelajaran secara hibrid sementara pelajar Institut Pendidikan Guru secara maya mulai 17 Januari.

Di samping itu, menurut kementerian, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus
beroperasi secara bersemuka.

Bagi kawasan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan, kementerian berkata operasi institusi pendidikan bawah KPM dan swasta adalah berdasarkan takwim masing-masing.

Kerajaan melaksanakan PKP meliputi tiga peringkat di seluruh negara selama 14 hari bermula Rabu.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM: Institusi pendidikan di Seremban ditutup mulai esok

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di Seremban, Negeri Sembilan ditutup bermula Khamis ini (5 Nov) hingga 18 Nov.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan itu merangkumi tadika, sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Kenyataan itu menyebut senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan dimuat naik dalam portal KPM, www.moe.gov.my dan platform media sosial rasmi KPM.

Menurut KPM, sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di daerah Seremban bermula Khamis ini hingga 18 Nov.

Pelaksanaan PKPB itu meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Institusi pendidikan di Lembah Klang tutup sehingga 9 November

SHAH ALAM, 26 OKT: Penutupan institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjut sehingga 9 November.

KPM berkata penutupan tersebut susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijadual berakhir esok diteruskan dua minggu lagi.

“Penutupan institusi pendidikan berkenaan termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Pentadbir sekolah serta institusi pendidikan diarah memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah manakala manualnya boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my,” katanya menerusi kenyataan.

PKPB dikuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

Hari ini Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lanjutan PKPB di tiga kawasan itu selepas mengambil kira penilaian risiko penularan pandemik berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 177 instituti pendidikan di Seremban tutup 16 hari mulai esok – KPM

SEREMBAN, 24 OKT: Sebanyak 177 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Seremban ditutup selama 16 hari mulai esok sehingga 9 November ini susulan daerah itu disahkan sebagai zon merah.

KPM dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu merangkumi sekolah rendah, sekolah menengah, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan sekolah swasta serta institusi pendidikan yang mempunyai asrama.

“Keputusan ini selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lepas berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Senarai kesemua 177 institusi pendidikan yang ditutup boleh didapati di portal rasmi KPM dan senarai berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

Selain itu, katanya keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan.

Sementara itu, murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, semua pentadbir sekolah dan institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah dengan manual PdP boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” katanya.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan 96 kes baharu Covid-19 yang kesemuanya di Seremban, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,290 kes.

Seremban mempunyai 179 kes aktif Covid-19, diikuti Rembau (10), Port Dickson (lima), Tampin (empat), manakala Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol masing-masing tiada kes direkodkan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM: Semua institusi pendidikan ditutup sepanjang PKPB

SHAH ALAM, 12 OKT: Semua 1,088 institusi pendidikan yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Selangor ditutup mulai 14 hingga 27 Oktober berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

KPM dalam kenyataan memaklumkan penutupan membabitkan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika), sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG).

“Penutupan ini membabitkan 935,984 pelajar di Selangor termasuk sekolah di mukim Klang dan Petaling yang ditutup lebih awal,” katanya yang menambah penutupan turut membabitkan Putrajaya dan Kuala Lumpur.

KPM menjelaskan penutupan juga membabitkan institusi pendidikan yang mempunyai asrama dan ibu bapa atau penjaga boleh mengambil pelajar untuk dibawa pulang.

Katanya, bagi pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau ingin terus kekal berada di asrama akan berada di bawah jagaan warden dan pihak institusi bertanggungjawab menyediakan keperluan makanan sepanjang tempoh tersebut.

“Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil pelajar dari asrama semasa tempoh PKPB, mereka perlu memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya pentadbir akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa atau penjaga.

“Ini adalah sebagai rujukan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mahu merentas daerah untuk mengambil pelajar pulang dari asrama,” katanya.

Bagi pelajar yang menduduki peperiksaan antarabangsa seperti dijadualkan sepanjang tempoh PKPB, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah untuk menghadiri peperiksaan.

Hari ini, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenakan PKPB bermula jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober.

Katanya, arahan dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan di Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat juga daerah lain.