Categories
AGENDA NASIONAL

PPV IDCC: 204 petugas positif, individu hadir 9 hingga 12 Julai diminta kuarantin

PUTRAJAYA, 13 JULAI: Pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam ditutup hari ini setelah 204 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Susulan penutupan sehari PPV itu bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 6,000 janji temu dijadualkan semula, katanya.

Menurutnya, kesemua 453 petugas PPV berkenaan menjalani ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) secara beramai-ramai pada 10 Julai lepas dan keputusan ujian saringan menunjukkan kesemua yang positif mempunyai nilai kitaran ambang (CT) lebih daripada 35 iaitu beban virus (viral load) yang rendah.

Menurut Khairy, 88 peratus atau kira-kira 400 petugas di PPV itu telah divaksinasi, manakala baki 12 peratus sukarelawan belum divaksin mungkin disebabkan penggiliran petugas baharu, dan kemungkinan mereka yang positif itu mempunyai beban virus yang rendah kerana kebanyakan mereka telah divaksinasi.

“Jangkitan di PPV IDCC merupakan kes pertama melibatkan PPV. Berikutan kes Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang, sukar untuk kami pastikan sama ada sesuatu jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini berkenaan situasi PPV IDCC.

Khairy menyarankan individu yang hadir janji temu vaksin di PPV berkenaan dari 9 Julai hingga semalam (12 Julai) untuk melakukan kawalan kendiri selama sepuluh hari dan menjalani ujian saringan Covid-19 sekiranya bergejala.

Menurutnya Petugas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) telah diarahkan untuk ke PPV IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari akan penutupan PPV berkenaan yang pemaklumannya dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.

Beliau berkata semua petugas PPV IDCC sebelum ini akan ditukarkan dengan pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi jangkitan dapat dikurangkan.

“CITF akan terus meningkatkan semua usaha untuk memastikan PPV IDCC adalah selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin pada hari-hari seterusnya,” katanya.

Tambah beliau Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah diminta untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV itu.

Khairy mengingatkan PPV lain untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi.

“PPV yang mengalami masalah, terutamanya mengenai kesesakan disaran memaklumkan kepada CITF Pusat agar kami dapat membantu dengan segera,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kuarantin kendiri jika positif atau kontak rapat

Sebahagian individu yang disahkan positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat perlu menjalani kuarantin di rumah berikutan gejala mereka tidak serius. Mereka akan dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau hospital jika perlu.

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia menggariskan panduan untuk orang awam iaitu:

    • Boleh dihubungi pada setiap masa
    • Berada di rumah sepanjang tempoh pengawasan
    • Hadkan pelawat atau tetamu ke rumah
    • Senaraikan semua orang yang ziarah
    • Amalkan adab batuk yang baik
    • Jika bergejala, pakai pelitup muka
    • Jika tidak berpelitup muka, tutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk atau bersin
    • Buang tisu yang digunakan ke tong sampah dan cuci tangan serta-merta dengan sabun atau cecair pembasmi kuman
    • Hadkan jarak dengan mereka yang sihat sekurang-kurangnya satu meter
    • Pakai pelitup muka jika keluar bilik dan elakkan bergaul dengan orang lain
    • Pastikan pengudaraan rumah dalam keadaan baik dengan membuka tingkap
    • Elak berkongsi peralatan makanan dan penjagaan diri

KONTAK RAPAT

Kategori 1

Bagi pesakit bawah siasatan (PUI) yang ada gejala saluran pernafasan tetapi tidak ditahan wad, hubungi pejabat kesihatan daerah (PKD) jika kesihatan bertambah buruk antaranya:

  • Sukar bernafas
  • Demam lebih dua hari

Kategori 2

Kepada kontak rapat kes yang berpotensi dijangkiti Covid-19, hubungi PKD jika mengalami salah satu gejala berikut:

  • Demam
  • Dedar
  • Menggigil
  • Sakit otot
  • Sakit kepala
  • Sakit tekak
  • Mual
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Lesu
  • Selesema
  • Batuk
  • Sukar bernafas
  • Hilang deria bau
  • Hilang deria rasa

SESUAI DI RUMAH

Pesakit Covid-19 sesuai duduk rumah berdasarkan kriteria berikut:

  • Tiada gejala atau bergejala ringan
  • Bukan golongan berisiko tinggi
  • Mempunyai penjaga sesuai
  • Rumah sesuai untuk pengasingan diri
  • Boleh dihubungi sepanjang masa menerusi telefon

TINGGAL DENGAN PESAKIT

  • Duduk serumah dengan individu positif Covid-19
  • Kekal duduk di rumah selama 10 hari
  • Tidak berkongsi bilik dengan kes positif
  • Sentiasa berpelitup muka dan pastikan penjarakan fizikal satu hingga dua meter daripada pesakit
  • Letak makanan dan minuman di luar pintu bilik untuk diambil sendiri pesakit
  • Pakai sarung sangan semasa mengendalikan perkakas digunakan individu kes positif
  • Kerap cuci tangan dengan air, sabun atau cecair pembasmi kuman
  • Pantau diri setiap hari untuk gejala menggunakan aplikasi penjejak kontak (MySejahtera)
  • Tunggu panggilan PKD untuk ujian calitan dan pemberian notis perintah pengawasan dan pemerhatian serta gelang kuarantin

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Positif Covid-19: 20 guru, kakitangan sekolah di Kajang dikuarantin

SHAH ALAM, 3 MAC: Seramai 20 guru dan kakitangan sebuah sekolah kebangsaan di Kajang diarah menjalani kuarantin sehingga 8 Mac selepas seorang guru diuji positif Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata guru berkenaan disahkan positif wabak selepas mendapat jangkitan daripada abangnya Isnin lalu, lapor Harian Metro.

“Pada hari sama, beliau menjalani saringan dan dikuarantin sehingga mendapat keputusan positif pada 1 Mac,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menjelaskan kali terakhir guru terbabit berada di sekolah pada 23 Februari bagi membuat persiapan persekolahan.

Tambahnya, 20 kontak guru berkenaan di sekolah sudah menjalani ujian calitan dan diarah kuarantin.

“Tiada murid yang terdedah kepada kes berkenaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KP kesihatan: Kuarantin tiga hari menteri tertakluk syarat ketat

PUTRAJAYA, 9 FEB: Jemaah menteri yang mengadakan lawatan rasmi ke luar negara perlu mematuhi syarat ketat bagi mendapatkan pengecualian memendekkan tempoh kuarantin kepada tiga hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jika gagal mematuhi syarat ditetapkan mengikut Seksyen 29 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021, mereka perlu melengkapkan tempoh kuarantin selama 10 hari.

Dr Noor Hisham berkata syarat itu termasuk mengemukakan permohonan kepada Kabinet sebelum membuat perjalanan.

“Apabila Kabinet luluskan, kami akan melihat jadual (lawatan), tatacara operasi piawai (SOP) dan (perjalanan) untuk urusan rasmi sahaja serta jadual dikemukakan untuk kedua-dua pihak (dari Malaysia dan negara dilawati).

“Kita juga akan melihat kepada aktiviti-aktiviti yang ringkas, padat dan tidak libatkan orang ramai seperti di tempat awam,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pemohon juga perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum dan selepas pulang dari lawatan rasmi serta menggunakan pesawat peribadi untuk lawatan berkenaan, manakala penggunaan pesawat komersial tidak akan dipertimbangkan.

“Mereka (jemaah menteri) akan menjalani perintah pemerhatian sekurang-kurangnya tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang lain. ‘Atau’ itu mungkin tujuh hari, 14 hari atau mungkin dilanjutkan sampai 21 hari,” katanya.

Mengenai lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Jakarta, Jumaat lalu, Dr Noor Hisham berkata Perdana Menteri telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum bertolak pada 3 Februari iaitu sebelum berlepas pada keesokan harinya, sebaik tiba di Jakarta dan pulang ke tanah air.

Menurutnya, beliau juga telah mengeluarkan Perintah Pengawasan Di Rumah (HSO) terhadap Perdana Menteri.

“Ujian calitan juga dijalankan hari ini iaitu hari kelima dan (beliau) akan lengkapkan jadual kuarantin untuk tempoh tujuh hari, jadi tiga campur tujuh bermakna 10 hari,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata jika terdapat perjanjian laluan hijau timbal balik(RGL), ujian saringan tetap akan dilakukan.

“Contohnya dengan negara jiran, ujian calitan tetap dilakukan tetapi tidak perlu jalani kuarantin. Tetapi sekarang ini jemaah menteri mesti dikuarantin minimum tiga hari atau diletakkan di bawah pengawasan sehingga dilepaskan tanpa membahayakan orang lain,” katanya.

Ditanya sama ada Seksyen 29 Akta 342 berkenaan terpakai kepada orang awam, Dr Noor Hisham berkata, ia boleh dipertimbangkan dengan syarat ketat.

“Tempoh kuarantin akan dilanjutkan kepada 10 hingga 14 hari sekiranya negara tersebut berisiko tinggi seperti Afrika Selatan dan sebagainya,” katanya.

Pada Isnin, warta kerajaan persekutuan yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba disiarkan menerusi laman sesawang Jabatan Peguam Negara memberi pengecualian kepada jemaah menteri untuk tidak menjalani kuarantin wajib 10 hari berkuat kuasa pada Selasa sehingga 1 Ogos.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kuarantin menteri pulang dari lawatan rasmi dilonggar

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Jemaah Menteri yang pulang dari mana-mana lawatan rasmi luar negara dikecualikan daripada menjalani pemerhatian atau pengawasan selama 10 hari.

Perkara itu dinyatakan dalam warta kerajaan persekutuan terbaharu di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara semalam.

“Tertakluk kepada perenggan 3, menteri mengecualikan Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta.

“Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai,” menurut warta itu.

Warta itu yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, menyatakan peraturan itu berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 1 Ogos ini.

Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) memperuntukkan seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Kerajaan sebelum ini memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas tatacara pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif Covid-19 daripada 14 kepada 10 hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas pesakit Covid-19 giat bantu individu dikuarantin

KUALA TERENGGANU, 27 JAN: Pengalaman dikuarantin selama 14 hari ketika menjalani rawatan Covid-19, telah memberi inspirasi kepada seorang bekas pesakit untuk turut sama membantu mereka yang dijangkiti wabak itu.

Badrol Hisham Zaki, 52, yang pernah dikuarantin tahun lepas dan disahkan sihat sepenuhnya, kini aktif menyantuni pesakit Covid-19 dengan memberi pelbagai sumbangan barang keperluan, serta berkongsi pengalaman.

Katanya, masih ada stigma negatif dan pandangan serong terhadap pesakit Covid-19 oleh sesetengah pihak, walaupun banyak kempen kesedaran dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Sebab itu setiap kali berhadapan dengan individu yang mempunyai persepsi negatif, saya akan memberitahu fakta sebenar, agar mereka lebih memahami dan memberi sokongan, bukannya kejian kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Saya tidak mahu pengalaman buruk yang menimpa saya sekeluarga ketika disahkan positif Covid-19 pada 25 September tahun lepas, dialami orang lain. Ketika itu perniagaan bakeri isteri turut terjejas. Semoga sedikit usaha ini dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Badrol Hisham yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Terengganu berkata, baru-baru ini pihaknya telah menyampaikan sumbangan berupa barang makanan dan cecair pembasmi kuman, kepada lebih 200 individu di sebuah institusi pengajian pondok yang dikuarantin.

Kesemua barangan tersebut adalah hasil sumbangan yang dikumpul menerusi beberapa rakan-rakan rapatnya dan ‘The International Committee of the Red Cross’ (ICRC) Jepun.

“Hati saya tersentuh kerana dimaklumkan ramai pelajar berusia belasan tahun perlu menjalani tempoh kuarantin, perasaan dan emosi mereka pasti terganggu apabila tidak lagi boleh melakukan aktiviti rutin harian seperti biasa.

“Sumbangan yang disampaikan sekurang-kurangnya dapat menceriakan mereka, malah ia adalah sebagai tanda keprihatinan serta kasih sayang masyarakat kepada warga institusi tersebut, yang sedang dalam kesusahan,” katanya.

Walaupun telah terlibat dengan PBSM Terengganu sejak 10 tahun lalu, Badrol Hisham mengakui semangatnya ketika melakukan program sukarelawan berkaitan Covid-19 lebih ‘membara’, terutama dalam menyangkal tanggapan negatif masyarakat terhadap bekas pesakit itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Pesakit Covid-19 tahap satu, dua dirawat dan kuarantin di rumah

PUTRAJAYA, 12 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua menjalani rawatan serta kuarantin di rumah dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan berkuatkuasa 1 Jan lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pasukan khas diwujudkan di peringkat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) peringkat negeri dan daerah bagi memantau pesakit yang dirawat di rumah.

Bagaimanapun, katanya, pesakit yang bergejala akan dirawat di hospital serta menjalani proses pemantauan seperti biasa.

“Tindakan ini dilaksanakan kerana kita perlu cepat untuk buat rawatan dan pengasingan terhadap kes positif dan dengan ini, KKM akan terus buat pengesanan kontak bagi melandaikan lengkuk Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 KKM hari ini.

Dr Adham berkata pesakit tahap satu dan dua itu akan diberikan tempoh selama 10 hari untuk berada di rumah sebelum perlu menjalani ujian saringan pada hari terakhir.

“Ujian saringan akan dibuat pada hari ke-10 di rumah masing-masing dan jika mereka negatif, ini bermaksud mereka telah bebas dari Covid-19,” katanya.

Dr Adham berkata pihaknya akan menilai keluasan rumah serta bilangan isi rumah yang ada, sebelum membenarkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua terbabit menjalani rawatan di rumah masing-masing.

“Pasukan penilai telah diwujudkan bagi meneliti kesiapsiagaan isi rumah serta keadaan rumah, kerana jika rumah kecil, pesakit akan dibawa ke hospital.

“Sekiranya fasiliti rumah mencukupi dan ada bilik untuk diasingkan, serta keluarga memahami isu kuarantin dan pengasingan, selain memahami tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan KKM, mereka akan dirawat di rumah,” katanya.

Ditanya bilangan pesakit yang menjalani rawatan dan kuarantin di rumah setakat ini, Dr Adham berkata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan mengeluarkan perincian berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.

Dr Noor Hisham pada 4 Jan lepas dilaporkan berkata, KKM mempertimbangkan untuk mengasing dan mengkuarantin pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan di rumah memandangkan kemudahan kesihatan sedia ada semakin terhad susulan peningkatan kes harian yang tinggi.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Pantau ketat individu kuarantin, kawal penularan wabak

SHAH ALAM, 11 JAN: Sistem pemantauan ketat terhadap individu dikuaratin perlu dilaksana segera bagi memastikan golongan terlibat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

EXCO kerajaan tempatan berkata langkah alternatif selain pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diyakini mampu memutuskan rantaian Covid-19.

“Jika boleh elakkan PKP 2.0 yang boleh menjejaskan ekonomi dan gantikan dengan kaedah lain termasuk saringan bersasar secara meluas,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk lebih serius mematuhi SOP berikutan peningkatan kes yang semakin membimbangkan terutama di Selangor.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas berhubung pelaksanaan PKP di semua saluran stesen televisyen tempatan pada jam 6 petang ini.

PKP seluruh negara pertama kali dikuat kuasa pada 18 Mac tahun lalu susulan peningkatan kes Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong selamat pulang dari lawatan Abu Dhabi

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada pagi ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka dan delegasi selamat mendarat pada 11 pagi.

Sejurus keberangkatan tiba, Al-Sultan Abdullah menjalani ujian saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, KLIA mengikut ketetapan tatacara operasi piawai oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Usai saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti ditetapkan KKM. Foto: Facebook Istana Negara

“Selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari,” demikian menurut kenyataan itu.

Anggota delegasi Seri Paduka pula akan menjalani kuarantin diri di lokasi ditetapkan oleh KKM.

Terdahulu, sebelum berangkat pulang ke tanah air, Seri Paduka turut menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.

Lawatan khas selama lima hari Seri Paduka ke Abu Dhabi yang berakhir semalam adalah atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM timbang tempoh 10 hari individu jalani kuarantin

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian selama 10 hari akan dipertimbang bagi mereka yang sedang menjalani kuarantin pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan ujian saringan ke atas mereka pada hari kelapan dan kesembilan kuaratin.

“Mereka yang sedang menjalani kuarantin akan juga dipertimbangkan untuk kita kuarantin selama 10 hari sahaja. Kita juga akan menjalankan ujian (saringan) pada hari kelapan dan kesembilan. (Sekiranya) ujian negatif, baru (kita) lepas (mereka) pada hari ke-10,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengurangan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta tempoh pengurusan kontak rapat di Malaysia daripada 14 hari kepada 10 hari yang berkuat kuasa hari ini, turut terpakai bagi mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata nilai kadar kebolehjangkitan atau r-naught bagi tempoh 12 September sehingga 15 Disember berjaya diturunkan kepada nilai 1.1, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita mula dengan r-naught 2.2. Kalau tidak ada PKPB, (seramai) empat juta penduduk akan dijangkiti. Tetapi PKPB berjaya turunkan kadar kebolehjangkitan kepada nilai 1.1,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata definisi ‘kontak rapat’ yang digunakan ketika ini adalah berdasarkan kepada definisi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun menurutnya Kementerian Kesihatan akan mengkaji definisi itu dari semasa ke semasa.

“Kontak rapat ditakrifkan di Malaysia sebagai pendedahan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan tanpa perlindungan PPE, termasuk membekalkan penjagaan terus bagi pesakit Covid-19, bekerja dengan petugas penjagaan kesihatan yang dijangkiti virus Covid-19, melawat pesakit atau tinggal dalam persekitaran tertutup yang sama dengan pesakit, bekerja bersama dalam kedudukan yang hampir atau berkongsi persekitaran bilik yang sama dengan pesakit Covid-19.

“Namun begitu, pihak kementerian akan menyemak definisi itu daripada masa ke semasa. Ini adalah definisi yang kita guna pakai daripada WHO,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen dikuarantin perlu pakai PPE jika hadir Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Tiga ahli parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) boleh hadir ke persidangan Dewan Rakyat dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat termasuk mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata ahli parlimen berkenaan akan dibawa menaiki ambulans dan sejurus tiba di Parlimen akan ditempatkan di bilik khas.

“Saya difahamkan pagi ini terdapat tiga orang meminta kebenaran datang (Parlimen). Kalau mereka ingin mengundi perlu memakai PPE dan akan masuk melalui pintu Galeri Awam Dewan Rakyat.

“Undi akan diambil daripada mereka dan penghitung serta pemerhati terpaksa memakai pelindung muka,” katanya selepas Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) membangkitkan isu kehadiran ahli parlimen yang sedang menjalani kuarantin ke Dewan Rakyat.

Beliau berkata selepas mengundi, ahli parlimen terlibat perlu meninggalkan Galeri Awam bagi mengehadkan pendedahan dengan semua orang di Parlimen.

Azhar berkata beliau tidak mengubah SOP tetapi pematuhan itu ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya perlu minta kebenaran ketua pengarah kesihatan iaitu kalau dibenarkan, mereka (ahli parlimen) perlu mengikut SOP ditetapkan beliau, bukan daripada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar berpendapat perkara itu perlu ditetapkan supaya ahli parlimen mematuhi perintah yang dibuat.

Media hari ini melaporkan tiga ahli parlimen berkenaan ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan; dan P Prabakaran (PH-Batu).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh kuarantin pengembara, kontak rapat dipendekkan kepada 10 hari

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Berkuat kuasa esok, tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman.

“Semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.

“Kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, beberapa negara menyemak semula tempoh kuarantin wajib masing-masing.

“United Kingdom, Jerman dan Belgium menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari manakala Perancis pula mengambil tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sidang media pada 4 Disember lepas mengumumkan untuk mengkaji langkah memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes disahkan positif Covid-19.

Katanya ini adalah selaras dengan situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.

-BERNAMA