Categories
NASIONAL

Bomba: Percikan api dipercayai punca kebakaran bangunan KWSP

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mengesahkan kebakaran Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya melibatkan bahagian luar yang dipasang lapisan pelindung mudah terbakar atau ‘cladding’.

Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, kebakaran berpunca dari percikan api ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan yang mengakibatkan keseluruhan lapisan luar bangunan terbakar.

“Disebabkan cuaca panas dan angin kuat api cepat merebak keseluruhan keliling bangunan. Berdasarkan semakan, tiada kebakaran dalaman berlaku kecuali di tingkat enam dan melibatkan fail-fail yang difahamkan tidak penting.

“Kerja-kerja pemadaman luar dan dalam dilakukan. Difahamkan tiada mangsa terperangkap dan 527 kakitangan berjaya keluar dengan selamat,” katanya.

Dalam sidang media beliau berkata ‘cladding’ yang digunakan di Bangunan KWSP adalah jenis Poly-Foam yang tidak sepatutnya digunakan di bangunan Kerajaan atau swasta kerana ia mudah terbakar.

Katanya, pemilik bangunan perlu mendapatkan nasihat penggunaan ‘cladding’ yang sesuai daripada pihak bomba bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di masa hadapan.

“Kita akan melakukan pemeriksaan penguatkuasaan khususnya yang melibatkan sijil-sijil bomba. Bagi bangunan menggunakan bahan mudah terbakar, untuk pembaharuan sijil bomba, kita tidak akan keluarkan sijil pembaharuan sehingga mereka menukarkannya kepada bahan tidak mudah terbakar,” katanya.

Terdahulu, JPBM dalam laporan awal berkata, kebakaran yang berlaku itu melibatkan bangunan KWSP setinggi enam tingkat sekitar 40 peratus dan dipercayai berpunca daripada tingkat satu.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya, Damansara, Pelabuhan Klang, Hang Tuah dan Pantai bergegas ke tempat kejadian untuk membantu proses pemadaman api dengan kekuatan 43 anggota termasuk pegawai yang selesai dalam tempoh setengah jam.

Kejadian itu dikongsikan orang awam menerusi satu video berdurasi sembilan saat yang dimuatnaik di laman sosial ketika melalui Lebuhraya Persekutuan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Suka lengah punca pencarum tidak letak penama

SHAH ALAM, 24 DIS: Sikap gemar berlengah dipercayai salah satu faktor menyebabkan hanya empat juta dari 14 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pada masa ini meletakkan penama bagi caruman mereka.

Perancang harta Prudential Assurance Malaysia Bhd, Nor Liza Ahmad berkata, kesedaran masyarakat Malaysia berkenaan pengurusan harta yang rendah dan kurangnya sikap melakukan segera untuk menguruskan aset menyebabkan hanya empat juta pencarum KWSP meletakkan penama masing- masing.

“Semua individu termasuk pencarum KWSP perlu menganggap soal ke mana harta dan wang masing-masing disalurkan apabila mereka tiada kelak sebagai satu perkara penting.

“Semua pihak perlu sedar apabila berlaku kematian, keseluruhan harta milik seseorang individu akan dibekukan sebelum dicairkan semula bagi proses pembahagian harta.

“Masyarakat Islam khususnya mempunyai banyak alternatif untuk menguruskan harta seperti wasiat, faraid, hibah, sedekah dan wakaf,” katanya kepada BERNAMA.

Katanya, dalam hal itu terdapat hadis Nabi Muhammad SAW diriwayatkan Bukhari dan Muslim yang berbunyi: “Tinggalkan orang yang tersayang dalam kesenangan adalah lebih baik daripada tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.”

Sebagai makluman, bagi yang bukan Islam, penama adalah benefisiari atau penerima mutlak simpanan ahli yang sudah meninggal dunia.

 

Categories
NASIONAL

Ramai rakyat Malaysia tak cukup simpanan KWSP

NASIONAL 25 OKT: Kalangan penggubal dasar perlu menimbang untuk mewujudkan satu skim pencen sosial yang universal berikutan kebimbangan bahawa rakyat Malaysia tidak memiliki simpanan secukupnya untuk menampung tempoh persaraan mereka.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial (SSRC) Universiti Malaya, Profesor Norma Mansor berkata ini terutamanya ketara bagi golongan pekerja berpendapatan rendah yang kekurangan wang bagi persaraan biarpun membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang usia bekerja.

Malah, masalah sedemikian juga tidak terkecuali bagi pekerja tidak rasmi atau yang bekerja sendiri.

“Hasil kaji selidik ‘Kecukupan Simpanan Dalam Kalangan Ahli KWSP’ oleh SSRC menunjukkan 40% daripada mereka (responden) lebih memilih untuk melakukan pengeluaran sekali gus dan hanya peratusan kecil menimbang pengeluaran secara bulanan atau anuiti,” katanya.

 

Kaji selidik itu membabitkan sebanyak 2,635 pencarum daripada 19 cawangan KWSP di seluruh negara.

Hasil dapatan kaji selidik itu juga menunjukkan sebahagian besar pengeluaran KWSP (sebelum 55 tahun) digunakan bagi tujuan pembelian rumah, pengubahsuaian kediaman, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan lain.

Susulan pengeluaran itu, kata Norma, majoriti responden yang berusia 55 tahun dan ke atas, memiliki baki simpanan KWSP kurang RM50,000, sebilangan kecil memiliki lebih RM400,000 dan segelintir lain tiada lagi baki simpanan.

“Ini membimbangkan kerana Malaysia tidak mempunyai satu (skim) pencen yang universal dan dapat menyediakan golongan warga tua dengan dana mencukupi bagi persaraan mereka,” katanya.

Norma berkata, selain itu, kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa 79% responden dengan baki simpanan KWSP yang sedikit atau bertindak mengeluarkan wang itu, memilih untuk menyimpan wang berkenaan di dalam skim simpanan alternatif atau pun melabur bagi mendapatkan pulangan lebih baik.

Majoriti responden itu memiliki hartanah/ kediaman sendiri manakala lebih separuh mempunyai pelaburan dalam skim simpanan yang dijamin, unit amanah atau Tabung Haji.

“Oleh itu, tidak hairanlah responden terbabit dengan simpanan KWSP kurang RM50,000 menyatakan bahawa mereka memiliki jumlah aset bernilai antara RM100,000 dan RM500,000 manakala sebilangan kecil memiliki aset bernilai lebih RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata analisis selanjutnya menunjukkan hampir separuh daripada responden berusia 60 tahun dan ke atas, memilih untuk bekerja walaupun mempunyai simpanan atau pelaburan.

Ini menunjukkan kesediaan mereka untuk terus bekerja setakat termampu selagi diberi menikmati kesihatan yang baik.

“Kebanyakan mereka terpaksa mencari kerja di tempat lain kerana berasakan simpanan yang ada tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka selagi hayat ada.

“Malah, akibat ketidaktentuan ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup serta penjagaan kesihatan, ini bermakna ramai yang akan kehabisan apa juga sumber kewangan yang ada dalam tempoh singkat,” katanya.

Menurut Norma, walaupun KWSP yang ditubuhkan sebagai simpanan ‘paksa’ pekerja, terus menguruskan dana itu secara paling berhemat, namun caruman atau sumbangan semasa sebenarnya mampu dipertingkatkan lagi dengan memperkenalkan produk-produk yang dapat dikembangkan sebagai skim pencen penuh atau separa pencen, secara wajib atau pun sebaliknya.

“Namun, persoalannya adalah sama ada pencarum itu sendiri sanggup menukar simpanan KWSP mereka kepada bentuk pendapatan masa depan yang menyamai pencen?

“Mengikut kaji selidik kami, ini memerlukan pulangan lebih menarik daripada simpanan KWSP untuk memastikan mereka akan terus kekal dengan pilihan itu,” katanya.

Beliau berkata tumpuan khusus perlu diberi terhadap mereka yang mempunyai simpanan KWSP kurang RM50,000 dengan jumlah asetnya kurang daripada RM100,000.

Mengikut kaji selidik itu, 14% responden mewakili kumpulan berkenaan yang lemah dari segi kewangan dan berdepan masalah sekiranya mereka ditimpa masalah atau kecemasan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hampir 80% rakyat Malaysia tiada simpanan hari tua

Trend ekonomi yang tidak seimbang, pendapatan yang tidak selaras dengan kos sara hidup kini, terpaksa menjelaskan pelbagai bil, pinjaman dan cukai merupakan punca rakyat Malaysia tidak mempunyai baki wang untuk simpanan masa hadapan.

Kajian Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata bagi negara ini meningkat 6.2 peratus kepada RM6,958 pada 2016 daripada RM6,141 pada 2014.

Namun, secara tuntasnya, itu bukanlah ukurannya apabila jumlah perbelanjaan isu rumah bulanan purata turut meningkat daripada RM3,578 pada 2014 kepada RM4,033 pada 2016 iaitu peningkatan sebanyak 6 peratus.

1. Rakyat Malaysia khususnya yang berpangkat rendah tidak dapat menyimpan wang setiap bulan selepas membelanjakannya untuk keluarga kerana pendapatan mereka tidak seiring dengan kos sara hidup yang meningkat.

Malahan, lebih 76 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menghadapi masa sukar atau ‘kecemasan’ yang mana hanya 6 peratus sahaja mempunyai cukup wang untuk meneruskan hidup lebih 6 bulan pada waktu kecemasan atau tempoh susah. Manakala 18 peratus lagi, wang mereka hanya boleh bertahan untuk lebih 3 bulan sahaja.

2. Kebanyakan rakyat kita tidak membuat persediaan mencukupi untuk menghadapi ‘kecemasan’ seperti diberhentikan kerja dan sakit menyebabkan mereka menghabiskan wang simpanan dalam masa singkat.

Bagi saya, simpanan ini sebenarnya ada kaitan dengan pendapatan dan perbelanjaan. Jika perbelanjaan naik tetapi pendapatan tidak meningkat secara berkadaran, maka ia tidak akan berlaku penyimpanan.

3. Pendapatan purata bagi setiap individu jatuh sebanyak 15 peratus daripada AS$10,345 pada 2013 kepada AS$8,821 pada 2016 telah menunding arah kepada perancangan kewangan yang lemah bukanlah punca utama rendahnya kadar simpanan.

Terdapat faktor lain yang mengundang kepada situasi ini, seperti kenaikan harga barangan termasuk makanan, produk dan perkhidmatan isi rumah.

4. Maka dengan pelbagai masalah kewangan, hari tua yang sepatutnya dinikmati dengan tenang bersama anak cucu, akan menjadi amat memeritkan dan huru-hara kerana dalam usia yang lanjut itu ada yang terpaksa mencari kerja atau berniaga kecil-kecilan untuk meneruskan sisa-sisa hidup. Sedangkan hari tua adalah satu fasa kehidupan untuk berehat.

Ada di kalangan ibubapa juga terpaksa membuat pinjaman tambahan untuk menampung perbelanjaan harian. Apatah lagi anak-anak mereka juga turut terhimpit dengan hutang yang berat seperti pinjaman kenderaan, rumah, pendidikan dan sebagainya.

5. Hanya 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan yang mencukupi sebanyak RM196,800 atau lebih untuk menampung kehidupan mereka sepanjang tempoh persaraan.

Realiti persaraan hari ini agak menyedihkan apabila daripada 6.7 juta pencarum KWSP yang aktif, hanya 65 peratus daripada mereka mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan.

Pesara memerlukan sekurang-kurangnya RM1500 sebulan untuk menampung kehidupan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan amaun ini tidak mencukupi melainkan mereka bebas daripada hutang atau mempunyai simpanan lain.

6. Nampaknya bukan golongan pekerja sahaja menjadi mangsa kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malah kesemua rakyat turut terkesan.

Sudahlah dipaksa membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sepatutnya memberi banyak wang kepada kerajaan tetapi nampaknya sejak dilaksanakan cukai ini, rakyat semakin terbeban dan ditekan.

Dato’ Hj. Abd. Halim Hussain
Mantan Speaker DUN Pulau Pinang
Ketua Cabang Balik Pulau
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
EKONOMI NASIONAL

Malaysia bantu ekonomi AS tak logik, ‘hanya setitis air di lautan’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 OKT: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat (AS) dengan melabur di negara ‘Uncle Sam’ itu menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan sebagai setitis air di lautan.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata hal ini berikutan saiz ekonomi AS sendiri jauh lebih besar, pesat dan maju berbanding Malaysia.

“Ekonomi dan infrastruktur dia jauh lebih besar dan maju daripada kita, jadi mengapa kita nak melabur dan bantu negara yang maju walhal yang sepatutnya AS yang bantu ekonomi kita.

“Saya lihat ini tidak munasabah tetapi laburlah dalam sektor infrastruktur di Malaysia cukuplah. Jumlah wang yang kita nak labur di AS beri kesan besar kepada kita tetapi untuk AS sebenarnya hanyalah setitik air di lautan.

NAJIB TRUMP“Kita ini negara kecil dengan ekonomi kecil tetapi nak bantu negara yang jauh lebih besar dan maju dalam pelbagai aspek, ini memang tak logik tetapi hanyalah satu mainan politik di pihak Malaysia dengan bertujuan politik dan berdiplomasi. Ada udang di sebalik batu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, sepatutnya sebagai negara kuasa ekonomi dunia, AS sepatutnya membantu ekonomi negara kecil seperti Malaysia dengan menambah jumlah pelaburan di sini.

Katanya, walaupun secara prinsipnya melabur di luar negara bagi tujuan memperolehi keuntungan lebih tinggi dianggap sebagai tindakan yang baik namun Kerajaan Persekutuan perlu menilai risiko pelaburan termasuk aspek nilai matawang ringgit yang semakin merudum.

Katanya lagi, Kerajaan Persekutuan sepatutnya menumpukan kepada usaha meningkatkan infrastruktur dalam negara terlebih dahulu apabila masih terdapat banyak kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur sepatutnya.

World Economic Forum pada Mac lalu memetik data Bank Dunia melaporkan AS pada 2017 merupakan negara ekonomi terbesar di dunia dengan mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 18 trilion dolar AS atau 24.32 peratus dan diikuti China dengan nilai 11 trilion dolar AS atau 14.8 peratus berbanding keseluruhan nilai ekonomi dunia.

=EZY=

Categories
NASIONAL

“Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS”

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 13 SEPT: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mahu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat menerima kritikan di media sosial.

Menurut Najib, KWSP saja dijangka melabur antara AS$3 bilion (RM12.57 bilion) hingga AS$4 bilion (RM16.76 bilion) di negara berkenaan.

“Kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan.

“Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS,” kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden AS, Donald Trump.

BantuKetua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata mempersoalkan mengapa Malaysia ingin memperkukuhkan ekonomi Amerika.

“Apakah impak kita jika ada pun dalam perkara ini? Pada masa yang sama adalah aneh untuk kita melabur dalam infrastruktur Amerika tetapi meminta pelaburan untuk projek di negara kita sendiri daripada China,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan media.

Berikut adalah beberapa kritikan dimuat naik di media sosial Twitter:

Mahfuz Omar‏: Nak bantu Trump kukuh eknomi US.hebat. nak urus ekonomi Malaysia pun ambik duit rakayt guna GST. Ini nak bantu US pulak.Maharaja lawak 2017

Nurul Izzah Anwar: Tahniah Najib Razak, RM 42 Bilion untuk membeli kapal terbang dan RM 18 Bilion pelaburan di Amerika Syarikat. Oh mana peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia?

Mukhriz Mahathir‏: Nak bina ECRL, pinjam RM55bilion. Rakyat tanggung melalui GST. Ni nak beli pesawat RM42bil & suruh KWSP labur saham di AS lagi!

Nurul Nazirah: Sedih denham PM Sekarang.Trump Bukan Bodoh. Adakah Melabur Dekat AA Sana Bantu Ekonomi Kita. Habislah KWSP.

eatimeMY‏: NEGARAKU mahu perkukuh ekonomi AMERIKA. Tapi pakai duit KWSP aku jugak. Jom tuntut 15% Bonus + Dividen.

PENGHASUT RAKYAT‏: Menambah pelaburan KWSP kedalam pelaburan di Amerika yang tidak di ketahui urusniaganya hanya akan mendatangkan risiko kerugian mendatang.

Hazlan Jamaludin: Subsidi rakyat kau tarik ,lagi kau guna ayat nak Bantu perkukuhkan ekonomi America ,duit siapa kau pakai beli pesawat Boeing Kali ni.

https://selangorkini.my/2017/09/pertemuan-najib-trump-pelik-misteri-mengejutkan-kenapa/

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus.

Pertama, katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli Malaysia Airlines Bhd (MAB).

“Kami komited membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.

KWSP“Dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga berkenaan akan bernilai melebihi AS$10 bilion (RM41.9 bilion),” katanya.

Pesawat 737 MAX 10 bakal menjadi pesawat satu lorong paling menguntungkan bagi syarikat penerbangan itu, menawarkan kos tempat duduk paling rendah, manakala 787 Dreamliner adalah pesawat enjin berkembar dengan kerangka sederhana bagi perjalanan jarak jauh.

Perdana Menteri kemudian menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Malaysia Airlines dan Boeing Aircraft Corporation bagi pembelian pesawat serta membuka kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di Sepang bernilai AS$3.9 bilion (RM16.34 bilion).

Najib berkata, kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.

“Kedua, kami memiliki KWSP, yang juga dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir US$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan berhasrat melabur tambahan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan sudah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tempoh mohon e-Pengeluaran KWSP dikurangkan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 MAC: Tempoh permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi e-Pengeluaran akan dikurangkan bagi menjimatkan masa pemohon.

Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran KWSP, Zalikar Yusoff berkata, pihaknya berusaha meningkatkan bilangan pihak ketiga seperti bank menyertai e-Pengeluaran bagi menyediakan perkhidmatan lebih cepat, mudah dan menjimatkan kos.

Katanya, e-Pengeluaran dijangka mengambil masa dua hari untuk disiapkan, tertakluk kepada permohonan pinjaman perumahan dalam talian disahkan bank dan ahli mengesahkan cap jari mereka di kaunter KWSP.

“Pengeluaran secara konvensional lazimnya mengambil masa lebih sembilan hari untuk diselesaikan, bermula daripada permintaan penyata bank sehingga permohonan itu diluluskan.

“Melalui e-Pengeluaran, permintaan untuk penyata penebusan bank dilakukan secara elektronik oleh KWSP, manakala maklumat pinjaman perumahan diperoleh secara dalam talian terus dari bank.

“Dengan ini, ahli dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata, permohonan biasa yang tidak memerlukan proses khas seperti pembiayaan semula akaun diproses serta-merta selepas jawapan diterima.

kwsp-logo “Ahli akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas dan makluman akan dihantar ke peti masuk mesej i-Akaun mereka untuk pergi ke kaunter KWSP terdekat bagi pengesahan cap ibu jari.

“Dalam senario ini, jika ahli sudah melakukan pengesahan cap ibu jari sebaik menerima pemberitahuan, tempoh masa proses boleh diselesaikan dalam tempoh tiga hari selepas tarikh penyerahan,” katanya.

Pada 2016, daripada 264,000 aplikasi e-Pengeluaran diterima, 132,772 membabitkan pengeluaran perumahan dan 130,613 pengeluaran pendidikan.

Daripada jumlah itu, 120,411 permohonan diluluskan melalui e-Pengeluaran, dengan 33,364 membabitkan pengeluaran perumahan dan 87,613 untuk pendidikan.

Antara bank yang mengambil bahagian dalam e-Pengeluaran ialah RHB Bank, Maybank, Bank Islam, OCBC Bank, Bank Simpanan Nasional, Ambank, UOB Bank dan CIMB Bank.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA

PAKATAN sokong gesaan MTUC naikkan dividen KWSP

Pakatan Harapan menyokong gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa kadar dividen pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinaikkan lebih tinggi pada 2016.

Bagi Pakatan Harapan kenaikan tersebut selaras dengan masalah kenaikan kos sara hidup, kenaikan kos pengangkutan awam serta kenaikan kadar gaji yang perlahan dan ditambah pula dengan kesan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Keseluruhan 10 juta pekerja sektor swasta mengharapkan dividen lebih baik daripada dana itu kerana ia satu-satunya sumber simpanan mereka.

Kami juga berpendapat tindakan KWSP mengisytiharkan kadar dividen 5.70% bagi 2016, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion berbanding pada tahun 2015 sebanyak 6.4% aadalah tersasar dengan hasrat kerajaan yang mahu rakyat mempunyai nilai simpanan yang tinggi pada hari tua.

Pakatan Harapan juga melihat bahawa penurunan dividen ini berpunca daripada pelaburan KWSP di dalam syarikat sarat hutang, iaitu 1Malaysia Development Berhad(1MDB) sebanyak RM1.72bilion.

Oleh itu, Pakatan Harapan menggesa supaya KWSP segera melupuskan pegangan dan pelaburan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terutamanya dalam bon-bon bagi melindungi kepentingan pencarum. KWSP kini berdepan masalah kewangan yang akhirnya memberi kesan kepada pencarum dan pendepositnya. Pelaburan KWSP sebanyak RM1.72 bilion adalah satu jumlah yang besar, apatah lagi bila dana ini adalah simpanan wang rakyat yang diuruskan oleh KWSP.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani menyatakan bahawa pelaburan KWSP di dalam 1MDB tidak memberi sebarang risiko. Namun bon 1MDB yang dipegang oleh KWSP melibatkan kadar faedah yang jauh lebih tinggi dari bon-bon institusi kerajaan sehingga mencecah dua kali ganda lebih tinggi iaitu 9.85 peratus.

Masalah kewangan 1MDB telah menjadi satu risiko kewangan besar bukan sahaja kepada syarikat itu, malah kepada keseluruhan Perbendaharaan Negara. Lebih-lebih lagi 1MDB berhadapan dengan risiko “cross default” (kegagalan berturut-turut membayar hutang apabila 1MDB gagal membayar satu hutang) yang boleh membawa kesan besar kepada sistem kewangan negara.

Selain KWSP, Pakatan Harapan menyeru agensi kerajaan seperti Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) juga melupuskan pegangan dan pelaburan di dalam 1MDB bagi melindungi kepentingan pencarum.

PAKATAN HARAPAN:

Dr. Dzulkefly Ahmad
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Wong Chen
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

YB Teresa Kok
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)

Categories
EKONOMI

KWSP isytihar dividen 2016 5.70 peratus

KUALA LUMPUR 19 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 5.70 peratus bagi 2016, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata KWSP gembira kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.

“Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, KWSP sentiasa memberi penekanan terhadap pulangan yang mampan untuk jangka panjang berbanding pulangan jangka pendek.

“Ini merupakan satu pencapaian yang baik walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar.

Bagi 2016, dividen sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Semasa tahun itu, Samsudin berkata KWSP berhadapan dengan persekitaran pelaburan yang mencabar berikutan berlakunya peristiwa yang membimbangkan seperti Brexit dan pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat.

Sepanjang 2016, KWSP beroperasi dalam suasana pertumbuhan global yang kurang memberangsangkan selain berhadapan dengan perubahan polisi kewangan oleh ekonomi utama dunia, kejatuhan harga minyak, nilai mata wang domestik yang lemah serta aliran keluar modal yang tinggi dari pasaran negara membangun kepada pasaran negara maju dan kepada mata wang yang lebih selamat.

“Majoriti pasaran dunia mengalami penyusutan pada awal 2016, sekali gus menjejaskan prestasi KWSP. Bagaimanapun, kami telah menggiatkan aktiviti pengambilan untung bermula suku tahun kedua (S2 2016) agar dapat mencapai sasaran strategik kami,” katanya.

Bagi 2016, amaun pendapatan yang diagihkan sebagai dividen adalah lebih tinggi daripada amaun yang diagihkan pada 2014 walaupun kadar dividen pada 2014 lebih tinggi pada 6.75 peratus.

Beliau berkata, ini berikutan jumlah pengagihan untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2016 adalah RM6.51 bilion berbanding RM5.43 bilion pada 2014.

Jumlah yang diperlukan untuk pengagihan setiap satu peratus kadar dividen terus meningkat sebanyak 9.5 peratus setahun sejak 2001 selaras dengan pertumbuhan baki simpanan ahli untuk tempoh yang sama.

“Sejak krisis kewangan global pada 2008, KWSP telah mengagihkan RM236.07 bilion dividen kepada ahlinya,” katanya.

Mengulas tentang keadaan ekonomi pada 2017, Samsudin berkata ketidaktentuan pasaran akan terus menjadi kebimbangan kerana implikasi sebenar daripada Brexit dan hala tuju polisi yang jelas di bawah pentadbiran Trump masih belum terungkai.

Bermula 2017, prestasi KWSP akan dilaporkan mengikut Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi pengumuman prestasi suku tahun dan tahunan.

Sehingga 23 Disember 2016, sebanyak 635,037 ahli telah bertukar ke Simpanan Syariah, dengan penggunaan peruntukan sebanyak RM59.03 bilion daripada peruntukan RM100 bilion yang ditawarkan.

Ahli-ahli boleh menyemak pengkreditan dividen 2016 melalui penyata KWSP mereka bermula Ahad, 19 Februari 2017, melalui i-Akaun di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

Selain itu, ahli juga boleh mendapatkan penyata KWSP melalui Kios KWSP atau hadir ke mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

=EZY=

Categories
NASIONAL

KWSP: Pencarum habis wang simpanan dalam masa 3 – 5 tahun

SHAH ALAM 28 DIS: Rata-rata ahli KWSP yang mencapai usia persaraan menghabiskan wang simpanan mereka dalam tempoh antara 3-5 tahun sedangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat iaitu 75 tahun.

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP Kuala Lumpur, Nornisah Mohd Yusof berkata, lebih membimbangkan apabila terdapat kes pesara mengeluarkan 70 peratus wang simpanan mereka dan tidak sampai 30 hari menghabiskan wang tersebut, keadaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Nornisah menasihati orang ramai khususnya bakal pesara supaya bijak dalam mengurus kewangan dan merancang perbelanjaan dengan sebaiknya bagi meneruskan keberlangsungan hidup di hari tua.

“Bagi ahli yang memerlukan penjelasan atau bantuan khidmat nasihat boleh merujuk kepada pegawai RAS yang bertauliah di cawangan KWSP berhampiran.

“Di sini kami akan memberikan nasihat dan pandangan dalam membantu ahli membuat keputusan terbaik sebelum membuat pengeluaran simpanan KWSP,” katanya, lapor BERNAMA.

RAS juga dapat memberi bimbingan pengurusan simpanan persaraan supaya ahli dapat menjana pendapatan bulanan, bertahan lama, dan berupaya membiayai sara hidup semasa persaraan, katanya.

Nornisah menjelaskan pencarum KWSP perlu mempunyai Simpanan Asas iaitu satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli mempunyai sekurang-kurangnya RM228,000 ketika berumur 55 tahun bagi membiayai keperluan asas persaraan.

Jumlah ini diambil selaras dengan pencen minimum untuk sektor awam iaitu RM950 sebulan untuk jangka masa 20 tahun iaitu dari umur 55 tahun kepada 75 tahun bersamaan dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia iaitu 75 tahun.

Beliau berkata setakat tahun lalu, sebanyak 65 peratus daripada ahli KWSP yang berumur 54 tahun ke bawah mempunyai simpanan RM50,000 ke bawah.

=EZY=

Categories
NASIONAL

KWSP: Viral insentif RM2,500 warga emas palsu

SHAH ALAM 27 DIS: Dakwaan kononnya insentif RM2,500 disediakan kepada warga emas, sekali gus menggesa ahli mengeluarkan wang itu daripada akaun KWSP sebelum 31 Disember ini, adalah palsu.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kenyataan media menyatakan insentif yang didakwa khusus untuk warga emas berusia 55 tahun ke atas itu disebarkan melalui satu mesej audio WhatsApp.

“KWSP ingin menyatakan maklumat ini palsu dan insentif disebut di dalam mesej itu tidak wujud,” kata KWSP.

Menurut KWSP, ia memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab itu yang dilihat sengaja mengelirukan orang ramai.

Ahli KWSP dinasihat tidak terpengaruh dengan maklumat palsu berkenaan dan tidak menyebarkan mesej itu.

Ahli digalakkan mengunjungi laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-89226000 bagi mendapatkan maklumat sahih.

=EZY=

Categories
NASIONAL

MTUC cadang pekerja setuju potong 3% KWSP isi borang

PUTRAJAYA, 18 MAC: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan pekerja yang bersetuju mengurangkan tiga peratus daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mengisi borang khas.

Pemangku Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata peraturan mensyaratkan pekerja mahu mengekalkan caruman sebanyak 11 peratus perlu mengisi borang KWSP17A (Khas2016) menyulitkan golongan pekerja.

KWSPKatanya hasil kajian MTUC mendapati majoriti pekerja tidak bersetuju pengurangan caruman KWSP sebanyak tiga peratus apatah lagi memaksa pekerja mengisi borang khas jika mahu mengekalkan caruman.

Abdullah Sani berkata pengurangan caruman KWSP merugikan pekerja sektor swasta yang hanya mengharapkan wang berkenaan sebagai simpanan tanpa pencen, lapor BERNAMA.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 28 Jan lepas mengumumkan kadar caruman KWSP pekerja dikurangkan sebanyak tiga peratus bermula Mac sehingga Disember 2017. Bagaimanapun, kadar caruman majikan dikekalkan.

EZY