Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih RM110 juta bangunkan fizikal pangsapuri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OKT: Lebih RM110 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program pembangunan fizikal bagi pangsapuri di seluruh Selangor, sejak 2012.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aini berkata, ia termasuk RM88.9 juta diberikan menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Caring Government For Residents Improvement Aid-Ceria) dengan 248 projek.

Katanya, sejumlah RM30 juta pula diperuntuk bagi Program Smart Life (Smart Lift Improvement for Quality Life), bagi tahun ini.

“Menerusi Smart Life, setakat ini, kita meluluskan perbelanjaan untuk membaik pulih 112 unit lif di 24 pangsapuri.

Kerja Kosong Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)“Selain itu, kita juga membuat bayaran fee kepada firma kompeten bagi kontrak penyenggaraan lif komprehensif di 88 unit lif di 21 pangsapuri,” katanya.

Skim Ceria merupakan skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri kos rendah dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri.

Menerusi Ceria, Kerajaan Negeri membiayai 80 peratus kos kerja dan selebihnya ditanggung penduduk.

Ia bertujuan menyemai rasa kepunyaan kepada setiap penduduk dalam menjaga dan menjamin harta bersama bagi tempoh masa panjang.

Smart Life diperkenal bagi menyediakan kemudahan lif berkualiti kepada pangsapuri kos rendah.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ilmu, Usahawan, Kediaman, Tiga Tujahan Utama Belanjawan Selangor 2014

MB belanjawan

SUBANG JAYA 24 SEPT : Tiga perkara utama iaitu pendidikan, pembangunan usahawan dan perumahan mampu milik akan diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2014 yang akan dibentangkan pada bulan November depan.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin masyarakat dalam Dialog Belanjawan 2014 dua hari ini, kita dapat menilai sejauh mana mereka memikirkan mengenai manifesto yang kita janji.

“Jadi selepas ini, kita akan mengadakan perbincangan dengan semua Exco tentang bagaimana ia dapat dilaksanakannya dengan menekankan kepada tiga perkara itu,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid IbrahimĀ  dalam sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, di sini.

Tujahan perumahan itu termasuk pembinaan sekurang-kurangnya 20,000 unit rumah mampu milik melalui penglibatan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju.

Program rumah mampu milik ini juga akan diperhebatkan dan dipercepatkan pembinaannya, disamping memberi keutamaan kepada pemohon yang berumur 40 tahun ke bawah, serta keluarga yang belum berpeluang mempunyai kediaman sendiri.

Manakala tujahan pembangunan usahawan pula bakal menyaksikan penumpuan khusus mendorong golongan miskin menceburi bidang keusahawan kecil dan sederhana.

“Kali ini kita akan bergerak dari pembangunan usahawan yang tertumpu kepada masyarakat miskin kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana, ia kerana kita rasa Selangor bergerak maju kerana adanya pengusahawanan yang dinamik,” katanya.

Bagi pendidikan pula, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri mahu menggemblengkan program mempertingkatkan mutu pendidikan di Selangor, termasuk bidang kemahiran.

“Dalam masa yang sama, kita juga mahu memberdayakan kaum wanita yang mana kita rasa ekonomi negeri akan bertambah rancak jika kaum wanita memperhebatkan penglibatan mereka dalam pembangunan negeri,” katanya.