Categories
SELANGOR

MDKL: Pasang bendera, bahan kempen PRU14 pada tempoh ditetapkan

OLEH SABIRAH AZIZ

BANTING, 27 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memohon semua pihak supaya tidak memasang bendera parti dan bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebelum tempoh ditetapkan.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka berhak mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak dipatuhi.

“Walaupun tempoh bagi pemasangan bendera dan bahan kempen belum bermula, namun kami mendapati terdapat beberapa kawasan yang sudah mula memasang bendera tanpa kebenaran.

“Oleh itu, saya minta kerjasama semua pihak yang terbabit supaya membuka semula segala bentuk pemasangan bendera dan bahan kempen.

“Ia bagi membolehkan semua pihak dapat mematuhi segala syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan pemasangan bendera dan bahan kempen sebelum bermulanya PRU14.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat MDKL Bilangan 2, tahun 2018 di sini, hari ini.

Mohamad Zain berkata, pihak Majlis turut mengambil pendekatan secara harmoni dan efektif dengan menghubungi pihak terbabit untuk menurunkan semula semua bentuk bendera dan bahan kempen.

Terdahulu, SPR memaklumkan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak dengan mengarahkan poster atau bendera diturunkan kerana kuasa diperuntukkan boleh dikuatkuasa ketika tempoh rasmi kempen pilihan raya, selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ia kerana pemasangan bendera dan bahan kempen sebelum bermulanya PRU14 terletak di bawah bidang kuasa PBT dan bukannya SPR.

Categories
SELANGOR

Peniaga angkuh, 8 premis disita

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memberi amaran keras kepada peniaga supaya tidak meletakkan kerusi dan meja di petak parkir.

Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi mengingatkan semua peniaga di daerah itu agar mematuhi syarat dan peraturan seperti ditetapkan.

“Orang ramai juga disaran agar tidak duduk di kerusi meja sekiranya kerusi dan meja diletakkan di petak letak kenderaan.

“Aktiviti itu boleh mengundang padah buat pengunjung yang sedang menikmati makanan di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Terbaru, MDKL menyita peralatan seperti 67 meja, 238 kerusi, enam tong gas dan tiga tong ikan membabitkan lapan buah premis perniagaan.

Peniaga turut dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 46 (1)(d), Akta 133 yang boleh
dikenakan tindakan kompaun maksimum RM500.

Sekiranya kesalahan sama berulang, peniaga boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM1,000.

Dalam operasi sama, Mohd Yasin berkata, MDKL turut mengeluarkan dua Notis Kesalahan terhadap peniaga yang menjalankan perniagaan menjual makanan segera ditempat tidak dibenarkan.

“Situasi ini dilihat mampu memberikan kesan negatif kepada MDKL jika perkara sebegini tidak diambil tindakan dan peniaga yang terlibat tetap bermaharajalela menjalankan perniagaan.

“Ia jelas melanggar peraturan dan syarat ditetapkan sehingga terdapat beberapa peniaga yang menyalahkan MDKL yang menyita peralatan perniagaan mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKL galak guna semula banner dan gegantung

OLEH SHEEDA FATHIL

BANTING, 1 FEB : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersama Showa Denko Carbon (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Kolej Komuniti Kuala Langat menganjurkan program “Guna Semula Saya” di Giant Banting, pada 10 Februari ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, program itu bertujuan memperkasakan sikap mengamalkan konsep guna semula dalam kehidupan seharian sekali gus meminimakan pembuangan banner dan gegantung terpakai di kawasan pelupusan sampah.

“Program “Guna Saya Semula” adalah sebuah aktiviti yang menggunakan banner dan gegantung terpakai dengan menghasilkan beg guna semula.

“Ia selaras dengan Kempen #bebasplastik Selangor dengan matlamat mengurangkan penggunaan beg plastik sekali gus menjayakan hasrat MDKL menjadikan Kuala Langat terpelihara dan mengurangkan kesan pelepasan karbon.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohamad Zain berharap penduduk Kuala Langat hadir beramai-ramai selain berpeluang membawa pulang beg guna semula dengan mengisi borang ikrar #bebasplastik Selangor sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan kempen berkenaan.

Categories
SELANGOR

MDKL: Bayar awal cukai taksiran dapat ‘habuan istimewa’

OLEH NORHAYATI UMOR

BANTING, 10 JAN: Pemilik harta di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bakal membawa pulang hadiah menarik sekiranya menjelaskan bayaran awal cukai taksiran 2018.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, dengan setiap pembayaran cukai taksiran setahun, pembayar cukai berpeluang membawa pulang sebuah bekas makanan menarik selagi stok masih ada.

Katanya, bagi memudahkan orang ramai menyemak dan membuat bayaran, MDKL turut menyediakan perkhidmatan kaunter bayaran pada setiapIsnin hingga Jumaat di Ibu Pejabat MDKL bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

“Manakala bagi hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, kaunter akan dibuka bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.

“Bagi melicinkan lagi urusan pembayaran di Ibu Pejabat MDKL, Kaunter Pandu Bayar juga dibuka bermula 15 Januari hingga 28 Februari 2018.

“Kaunter beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, MDKL turut mengaktifkan kaunter bayaran di Pejabat Cawangan Bandar Saujana Putra dan Dewan Orang Ramai Jenjarum, Telok Panglima Garang sertaTanjung Sepat pada Sabtu dan Ahad.

Selain itu, bayaran cukai taksiran juga boleh dibuat di kaunter bayaran Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Selangor yang lain.

“Kesedaran awam mengenai kepentingan menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai taksiran akan dapat memastikan kelangsungan serta kelancaran penyampaian perkhidmatan perbandaran kepada warga masyarakat.

“Keingkaran pemilik harta menjelaskan bayaran cukai taksiran mengikut tempoh ditetapkan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang diambil di bawah Seksyen 148, akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor hargai 10 anggota PANTAS MDKL

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BANTING, 15 DIS: Seramai 10 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) terima anugerah daripada Kerajaan Negeri.

Penganurerahan itu diberikan atas komitmen mereka menjayakan Misi Selangor Prihatin bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke Pulau Pinang, pada 6 hingga 12 November lalu.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pengiktirafan itu memberikan makna yang cukup mendalam bagi pasukan terlibat dalam misi berkebajikan itu.

“Skuad PANTAS MDKL diketuai Penyelaras Skuad, Miskon Karim dengan disertai 10 anggota yang mempunyai kepakaran bidang masing-masing seperti pokok tumbang, menyelamat serta memindah mangsa banjir dan kebakaran tanah gambut.

“Bagi memudahkan serta melancarkan perjalanan misi tersebut, Skuad PANTAS MDKL diberikan taklimat dan juga digabungkan bersama Majlis Daerah Hulu Selangor dengan tugasan memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan di kawasan yang terlibat dengan bencana banjir,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pasukan terlibat komited membantu mangsa banjir terutamanya di kawasan Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah dan juga Seberang Prai Selatan.

Kesemua mereka menerima anugerah khas yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Malam Apresiasi Hasil dan Belanjawan Negeri Selangor, baru-baru ini.

Terdahulu, atas dasar keprihatinan, beberapa pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Selangor dan PBT tempatan turun padang terlibat sama dalam Misi Kemanusiaan Kerajaan Selangor ke Pulau Pinang, bagi membantu mangsa banjir negeri itu, November lalu.

Misi berkenaan diketuai Dato’ Menteri Besar bersama delegasi badan bukan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan itu, RM1 juta suntikan dana disalurkan Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Pulau Pinang, bagi membantu negeri itu menangani masalah banjir.

Categories
SELANGOR

MDKL: Pembangunan Kuala Langat dikawal ketat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 1 DIS: Setiap permohonan merancang dikemukakan kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) perlu melepasi piawaian sejajar dengan usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengekalkan Kuala Langat sebagai daerah yang mementingkan alam sekitar.

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, MDKL tidak teragak-agak menolak permohonan merancang yang boleh mengganggu kelestarian alam semula jadi di daerah yang kaya dengan flora dan faunanya itu.

“Pada masa ini pembangunan di Kuala Langat stabil. Memang terdapat banyak permohonan pembangunan yang masuk tetapi pada masa ini ada kawalannya.

“Ada juga permohonan pembangunan di tepi pantai kita tolak walaupun itu tanah dia. Kita cuba kekalkan dengan keadaan sedia ada. Mana pembangunan yang tak perlu kita tolak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penanaman Flora Di Kawasan Paya Bakau – Ecosytem Apporch to Fisheries Management Siri 1 di Pantai Kelanang, semalam.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan Rancangan Tempatan 2030 (LA 2030) yang menekankan pembangunan merangkumi semua aspek termasuk pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, masyarakat perlu mengambil tahu setiap rancangan dijalankan Kerajaan Negeri menerusi PBT kerana ia bakal memberi kesan kepada kehidupan mereka.

“Ada yang tak ambil tahu tetapi apabila pembangunan berlaku di kawasan dia, dia bising. Oleh sebab inilah kita rasa rakyat kena faham. Setiap pembangunan perlu ambil kira semua pihak,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Jaga kebersihan Pantai Morib, si pengotor ‘mohon terasa’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 30 NOV: Geram dengan sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berucap panjang ketika merasmikan Program Penanaman Flora Di Kawasan Paya Bakau – Ecosytem Apporch to Fisheries Management Siri 1.

Mohammad Zain turut mengingatkan masyarakat untuk bersama memainkan bertanggungjawab menjaga Kuala Langat dalam semua aspek termasuk kebersihan dan bukannya bergantung kepada MDKL semata-mata.

Katanya, penduduk sekitar dan peniaga sepatutnya merasa malu apabila MDKL menerima banyak permohonan syarikat luar untuk mejalankan kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersihkan Pantai Morib

“Kita buang sampah, orang luar datang kutip, tak rasa malu ke? Saya suka perkara ini, tetapi pada masa sama ia memberi tanggapan negatif kepada MDKL kerana sampai ada pihak luar buat CSR kutip sampah,” katanya.

Jelasnya, pernah pada suatu ketika MDKL menerima permohonan daripada tiga buah syarikat bersama beratus-ratus kakitangan membuat permohonan untuk membersihkan Pantai Morib.

Katanya, MDKL terpaksa mengambil tindakan tegas dengan tidak lagi meluluskan permohonan mana-mana syarikat luar atau organisasi bukan kerajaan (NGO) menjalankan kerja CSR pembersihan pantai untuk ‘mengajar’ penduduk tempatan supaya lebih menjaga kebersihan.

“Kita nak tengok orang Morib nak tak jaga Pantai Morib. Pokok jangan tanam, sampah jangan kutip. Kita nak tengok siapa nak ‘complain’.

“Kalau ada yang ‘complain’, kita nak ajak mereka sama-sama pungut sampah. Kita kena jaga sama-sama,” katanya.

Mohamad Zain turut meluahkan perasaan kecewanya apabila mentaliti masyarakat masih berada di takuk lama dan bukannya mentaliti sebuah negara maju ekoran kejadian vandalisme yang masih berleluasa.

“Bagi peniaga berniaga, dia tak jaga, banyak sampah. Penduduk kata tak cukup kerusi, bila majlis buat kerusi dicontengnya pula.

“Oh gelap, minta pasang lampu, dipecahkannya. Apa nak jadi dengan orang kita ini? Serupa juga hari ini kita tanam pokok bakau, nanti siapa yang rosakkan?,” soalnya lagi.

 

Categories
SELANGOR

Padah tiada lesen, restoran ditutup serta merta

OLEH NAEEM RAFFI

BANTING, 30 NOV: Restoran di Jalan Sultan Abdul Samad, di sini diarah tutup serta merta oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kerana didapati tidak memiliki lesen bagi 2017.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, arahan penutupan serta merta itu dijalankan di bawah UUK 43(1), Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Peridustrian (MDKL) 2007.

“Tindakan drastik juga akan diambil sekiranya didapati mana-mana pemegang lesen perniagaan masih gagal membaharui lesen perniagaan 2018.

“MDKL akan mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan mereka bermula Mac 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Zain mengingatkan peniaga supaya segera membaharui Lesen Perniagaan Tahun 2018 bermula 1 November 2017 hingga 31 Disember 2017.

“MDKL juga akan mengenakan caj lewat 20% daripada fi lesen bermula pada Januari hingga Februari 2018 sekiranya pemegang lesen gagal membaharui lesen perniagaan mereka sebelum 31 Disember 2017,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKL sokong penuh kerjasama pulihara hutan paya laut

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 30 NOV: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sentiasa memberi sokongan penuh terhadap usaha Jabatan Perikanan Negeri Selangor menjalankan kerja penanaman tumbuhan semulajadi di hutan paya laut.

Yang Dipertua MDKL, Mohammad Zain A Hamid berkata, program penanaman tumbuhan semulajadi hutan paya laut itu melibatkan kepentingan semua pihak termasuk nelayan di daerah itu.

“MDKL sentiasa menyokong program penjagaan dan pemuliharaan ekosistem yang dijalankan pagi ini untuk kepentingan bersama dan ini merupakan siri pertama sebelum diikuti dengan siri berikutnya,” katanya.

Mohamad Zain berkata demikian pada Program Penanaman Flora Di Kawasan Paya Bakau – Ecosytem Apporch to Fisheries Management Siri 1, di Pantai Kelanang di sini, hari ini.

Jelasnya, program anjuran Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan MDKL dengan kerjasama Jabatan Perhutanan usaha itu juga selaras dengan Agenda Tempatan 21 (LA 21) yang turut menggariskan pelan usaha pemuliharaan alam sekitar termasuk hutan paya laut.

Pegawai Perhutan Daerah Pantai Klang, Mardiana Salihah Marzuki, pula berkata, program siri pertama yang diadakan hari ini melibatkan kerja penanaman pokok api-api.

“Pokok api-api adalah spesis semulajadi untuk hutan paya laut dan selepas ini diikuti dengan penanaman apesis pokok bakau kurap dan bakau minyak.

“Dalam al-Quran juga ada disebut dalam hutan paya laut ada kehidupan di mana hutan ini juga menjadi habitat haiwan lain seperti ketam dan lain-lain,” katanya.

Jelasnya, hutan paya laut turut bertindak sebagai penampan kepada gelombang tsunami dan mengelakkan hakisan ombak.

Katanya, pada program kali ini Jabatan Perhutanan Selangor menyediakan 200 pokok api-api dalam program melibatkan pelbagai golongan masyarakat khususnya pelajar institusi pengajian tinggi.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Zaki Harun pula menyifatkan langkah ini membantu meningkatkan habitat semulajadi hidupan marin.

“Golongan nelayan juga berharap ada penambahan sumber habitat ikan seperti hutan laut ini bagi memastikan kelangsungan ekosistem.

“Statistik penangkapan ikan boleh dikatakan meningkat tahun ini mungkin disebabkan migrasi dan ditambah pula tiada jerebu pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya menyebabkan nelayan dapat turun ke laut lebih kerap,” katanya.

Jelasnya, hutan laut menjadi habitat semulajadi untuk anak-anak ikan membesar sebelum berpindah ke bahagian laut lebih dalam apabila dewasa.

Categories
SELANGOR

MDKL sita lima premis diusaha warga Bangladesh

SAUJANA PUTRA,, 23 NOV: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyita lima premis perniagaan dikendalikan warganegara Bangladesh selepas dipercayai menjalankan perniagaan tanpa lesen sejak awal 2017, di sini.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, Operasi Khas Sitaan Premis Perniagaan MDKL warganegara asing itu dilaksanakan setelah lima pemantauan dan risikan termasuk mengeluarkan notis, sejak April lalu.

Katanya, operasi dengan kekuatan 20 anggota diketuai Ketua Operasi, Mohd Hairul Nizam Salimin itu turut mengenalpasti pengusaha menjalankan perniagaan jenis jualan makanan dan mengusahakan kedai runcit, pada 21 November lalu.

“Hasil siasatan, anggota kami berjaya merampas peralatan penyediaan makanan dan barangan runcit membabitkan dua premis kedai makan dan tiga buah premis kedai runcit.

“Barang barang sitaan kemudiannya dihantar ke stor Pejabat Cawangan MDKL Bandar Saujana Putra untuk tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zain berkata, tindakan sitaan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil 38(1) Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDKL 2007 (Premis perniagaan runcit) dan Undang-Undang Kecil 57(1) Undang-Undang Kecil Establishment Makanan MDKL 2007 (Premis makanan dan minuman).

Katanya, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana premis perniagaan diusahakan tanpa lesen bagi mengelakkan pelbagai masalah berkaitan.

 

Categories
SELANGOR

Buang sampah haram, MDKL kompaun RM1,000

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LANGAT, 16 NOV : Penduduk di sekitar Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata bagi memastikan kebersihan daerah itu kekal terjamin.

MDKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, pesalah yang melakukan aktiviti pembuangan sampah secara haram boleh dikenakan hukuman maksima sehingga RM2,000.

“MDKL memperhatikan anda. Membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya adalah satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 1994.

“Pesalah boleh dikenakan tindakan kompaun maksimum RM1,000 dan denda maksimum RM2,000,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pemilik tanah persendirian atau penceroboh tanah kerajaan yang bergiat aktif dalam aktiviti pembuangan sampah haram.

Beliau berkata, masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tapak milik kerajaan dan individu hingga mengakibatkan keadaan tanah rosak selain menyusahkan penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri sebelum ini komited memastikan pengurusan sampah negeri dilaksanakan secara berkesan menerusi lantikan perkhidmatan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah mengesahkan pengambilalihan baru itu menunjukkan kesan positif dengan tahap kebersihan meningkat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, di Selangor.

Categories
SELANGOR

MDKL kenalpasti lokasi tempatkan kendera saji

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 NOV: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mempunyai beberapa cadangan lokasi yang sesuai dan selesa bagi menempatkan peniaga kendera saji, di daerah itu.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, setakat ini perniagaan berkonsepkan kendera saji belum popular di Kuala Langat sementara peniaga sedia ada tidak dibenarkan meletakkan kerusi dan meja.

“Kita mempunyai beberapa cadangan lokasi bersesuaian untuk menempatkan kendera saji antaranya di tapak letak kenderaan baru, di Pantai Morib dan tapak letak kenderaan, di Jalan Persiaran Majlis, Pekan Banting.

“Lokasi dicadangkan itu bersesuaian kerana tidak mengganggu lalu lintas dan mempunyai kemudahan tandas awam,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Katanya, buat masa ini MDKL membenarkan peniaga kendera saji menjalankan perniagaan tetapi menggunakan konsep beli dan bawa pulang.

Daripada segi pemantauan, peniaga hanya dikenakan lesen penjaja bergerak bagi memudahkan MDKL membuat penguatkuasaan, ketika ini.

Mohamad Zain menjelaskan, peniaga yang menjalankan perniagaan kendera saji perlu mengikut Garis Panduan Trak Bergerak (makanan, barangan dan perkhidmatan), pada masa akan datang.