Jelajah Kasih Ramadan MPSJ 2013 – LENSA

Sinopsis:

Saksikan Lensa setiap hari Isnin dan Khamis jam 12.00 tengah hari hanya di www.selangorkini.net

Majlis Perbandaran Subang Jaya telah mengadakan program amal meraikan seramai 42 orang anak-anak yatim dari Baitul Hidayah. Anak-anak yatim ini turut dibantu membeli belah pakaian raya oleh puspanita MPSJ serta sukarelawan belia MPSJ bagi meringankan beban golongan yang tidak bernasib baik ini.

Sumbangan ini diusahakan oleh MPSJ dan beberapa badan koperat serta swasta.

Program amal yang telah bermula sejak 2007 ini merupakan antara usaha MPSJ ke arah mengujudkan pembangunan masyarakat Madani penduduk setempat.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Bentangkan Perbelanjaan Pembekalan Tambahan Sebanyak RM 761.44 juta

MB DUN 07

SHAH ALAM, 4 JULAI: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membentangkan enakmen perbelanjaan pembekalan tambahan bernilai RM 761.44 juta di Dewan Negeri Selangor.

Perbelanjaan tambahan tersebut antara lainnya sebanyak RM 83 juta bagi membiayai bayaran program air percuma bagi Julai hingga Disember 2013.

Sebanyak RM 22 juta diperuntukan bagi menampung semula peruntukan sedia ada yang digunakan bagi bayaran program air percuma bagi bulan Mei dan Jun 2013.

Selain itu, RM 517.44 juta lagi diperuntukkan bagi menambah siling Tabung Kumpulan Wang Amanah Pinjaman kepada badan-badan berkanun dan badan lain.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM 413.2 juta adalah pemberian pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi tujuan pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB).

“Sejumlah RM 80 juta adalah pinjaman kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi tujuan pengambilalihan tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk projek pembangunan Datum In-City.

“Manakala sejumlah RM 24.24 juta adalah bagi pinjaman kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi projek-projek yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 2/2013 pada 20 Febuari 2013.”

Abdul Khalid berkata demikian ketika membentangkan perbelanjaan pembekalan tambahan petang ini di Sidang Dewan Negeri Selangor petang tadi di sini.

Perbelanjaan lain termasuklah peruntukan untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan/Hutan (RM79 juta) dan perbelanjaan am (RM60 juta) yang digunakan bagi menampung komitmen-komitmen tahun 2013 yang telah digunakan untuk pembayaran program air percuma bagi bulan Januari hingga Mei 2013.

Categories
SELANGOR

Pentadbiran Daerah Besar, Maju, Pendapatan Perkapita Tertinggi Perlu Dipecah Dua

Lau Weng San 01

SHAH ALAM, 2 JULAI: Adun Kampung Tunku, Lau Weng San menyarankan agar daerah yang terlalu besar seperti Petaling dipecahkan kepada dua bagi memudahkan pentadbirannya seperti mengadakan lebih dari dua pejabat daerah dan tanah.

Menurut Weng San, selain menjadi daerah yang besar dengan keluasan 484 km persegi, daerah itu turut mencatatkan populasi sebanyak 1.8 juta orang dengan kepadatan penduduk 3,680 orang bagi setiap km persegi.

Selain itu, Petaling juga merupakan sebuah daerah termaju dan memiliki pendapatan perkapita daerah tertinggi disebabkan aktiviti industri dan komersial yang aktif.

“Kini Daerah Petaling mempunyai tiga buah PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Agensi Kerajaan Persekutuan di Daerah Petaling juga sudah dibahagi kepada dua, contohnya Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana.

“Biarpun begitu sehingga sekarang Daerah Petaling hanya disokong satu pejabat tanah dan daerah sahaja iaitu Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTDP),” kata Weng San ketika berucap di dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Menurut Weng San lagi, jumlah kakitangan di Pejabat Tanah dan Daerah Petaling wajar ditingkatkan selaras dengan peruntukan RM 11 .4 juta yang diterimanya.

“Saranan Kampung Tunku ialah kerajaan harus melakukan sesuatu untuk memastikan PTD mempunyai bilangan kakitangan awam yang sepadan dengan tugas yang dipikul serta hasil yang dikutip,” kata Weng San lagi.

Categories
SELANGOR

Keberkesanan Kontraktor Pembersihan Swasta PBT Dikaji

teng chang kim mpsj

SUBANG JAYA 24 JUN : Kerajaan Negeri akan mengkaji keberkesanan kontraktor pembersihan swasta yang dilantik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bagi mempastikan kecekapan dalam melaksanakan kerja diberi perhatian serius.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata, khidmat nasihat dan rundingan sedang dijalankan untuk meningkatkan kecekapan PBT di Selangor dalam menguruskan kerja pembersihan di negeri ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengurangkan kontraktor swasta jika kualiti yang diberikan masih gagal mencapai tahap memuaskan.

“Usaha ini akan kita kaji, kita sekarang dalam peringkat untuk mendapatkan khidmat nasihat bagaimana kita nak meningkatkan kecekapan dan persembahan PBT di Selangor dengan mengurangkan bilangan kontraktor dan menggaji lebih ramai pekerja PBT itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Sehingga kini, PBT di Selangor melantik hampir 90 peratus kontraktor swasta bagi membantu melaksanakan kerja-kerja pembersihan seperti memungut sampah dan memotong rumput.

Teng berkata, beliau dimaklumkan bahawa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mempunyai pekerja seramai 3,000 orang dan mampu memberi perkhidmatan yang memuaskan.

Ini berbeza dengan PBT di Selangor yang mempunyai pekerja lebih sedikit berbanding penduduknya yang lebih ramai.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempunyai jumlah pekerja seramai 1,300 orang, sementara itu di MPSJ 1,400 orang, belum sampai separuh pun bilangan pekerja yang digaji oleh MPPP.

“Usaha ini di Pulau Pinang nampak berkesan, tapi kita tak pasti sama ada keadaan itu sama di Selangor, sebab itu kita memerlukan kajian, tapi sudah tentu sekiranya apabila kita memutuskan untuk mengurangkan kontraktor dan menambah pekerja dalaman, sudah tentu kontraktor yang tak beri persembahan yang baik akan dihentikan kontraknya,” jelasnya lagi.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa mementingkan aspek kualiti perkhidmatan berbanding penjimatan kos jika ia ingin dilaksanakan kelak.

“Penjimatan kos juga merupakan satu aspek, tapi aspek utama adalah kerana PBT bertujuan memberikan perkhidmatan, bukan mencari keuntungan, jika dapat untung, akan dikembalikan kepada pembayar cukai,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penjenamaan Kompleks 3C MPSJ Untuk Semua Lapisan Masyarakat

MPSJ

SUBANG JAYA, 16 JUN : Selaras dengan keperluan dan kehendak penduduk di sekitar kawasan Subang Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif memperluaskan fungsi kompleks 3C menjadi pusat pembangunan modal insan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Kompleks 3C yang dulunya dikenali sebagai ‘Children Creativity Centre’ yang dikhaskan untuk kanak-kanak kini dijenamakan semula menjadi ‘Children & Community Creativity Centre’, di mana ia terbuka kepada semua peringkat umur termasuk dewasa,warga emas dan remaja serta kanak-kanak istimewa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kompleks ini bukan hanya menggalakkan orang ramai untuk memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan, namun turut berfungsi sebagai medan untuk menghasilkan bakat di kalangan masyarakat.

Menurutnya, setiap program yang dilaksanakan adalah mengikut kesesuaian kepada golongan sasaran dan diterajui oleh tenaga pengajar yang mempunyai kelayakan serta kepakaran.

“Idea menggunakan lima ekar tanah ini (pembinaan kompleks) adalah berdasarkan kreativiti pihak MPSJ dengan sasaran menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan masyarakat.

“Tujuannya adalah supaya ia akan menjadi pusat untuk menghidupkan kreativiti masyarakat terutama anak-anak muda dari yang kecil hingga ke dewasa.

“Kita membangunkan Subang Jaya sebagai satu perbandaran masa hadapan (bersifat futuristik) supaya ia akan membina satu kekuatan masyarakat di sini,” katanya sempena Majlis Perasmian dan Penjenamaan Kompleks 3C, di Jalan PJS11/2, di sini semalam.

Hadir sama, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail serta Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi.

Melalui penjenamaan semula kompleks ini, ia dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu pembangunan kanak-kanak, pembangunan komuniti, rakan sinergi serta sewaan dan kemudahan.

Antara aktiviti yang ditawarkan ialah kelas ballet, bengkel catur dan sains (golongan kanak-kanak), kelas mencanting batik dan kulinari (golongan belia), kelas sulaman manik (golongan wanita) dan kelas jahitan serta masakan (golongan ibu tunggal).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Tuntut Prasarana Bentang Pelan Pejalan Kaki Projek BRT Sunway Line

Hannah Gotong Royong

SUBANG JAYA 15 JUN : Pemaju projek Bas Rapid Transit (BRT) Sunway Line, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) digesa segera membentangkan pelan laluan pejalan kaki kepada penduduk di PJS 7 dan PJS 9.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, penduduk terlibat sudah menunggu sejak daripada tahun lalu bagi melihat cadangan pelan laluan pejalan kaki tersebut kerana meragui aspek keselamatan.

Katanya, pada 24 November tahun lalu, Prasarana mengadakan sesi dialog bersama penduduk dan berjanji memberikan pelan laluan kaki tersebut kepada penduduk untuk membuat penilaian sewajarnya.

“Prasarana berjanji untuk memberikan pelan laluan tersebut kepada penduduk untuk dinilai sama ada sesuai atau tidak tetapi sehingga ke hari ini, pelan cadangan tersebut belum dibentangkan kepada para penduduk di PJS 9,” katanya.

Menurut Hannah, penduduk di PJS 9 membantah cadangan laluan tersebut kerana khuatir laluan tersebut melalui belakang kawasan perumahan mereka.

“Saya menggesa Prasarana untuk segera membentangkan pelan berkenaan kepada penduduk, sama ada di buat macam terowong ke, kita tak tahu sebab pelan itu belum dibentangkan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, penduduk PJS 7 menyatakan persetujuan mengenai cadangan laluan pejalan kaki tersebut.

Dalam pada itu, BRT merupakan sistem rapid transit lengkap yang menggabungkan pengangkutan awam lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (LRT).

Projek berkenaan akan dimulakan pada suku kedua tahun 2013 dan dijangka siap pada 2015.

Hannah ditemui dalam satu program gotong-royong bersama penduduk USJ6, Subang Jaya anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bridget Bomba Seksyen 17, Subang Jaya.

Categories
SELANGOR

PBT Bakal Siarkan Mesyuarat Bulanan Secara Langsung

teng lawat MBSA 14 jun 01

SHAH ALAM, 14 JUN : Sebagai usaha mendemokrasikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri memutuskan supaya setiap PBT menyiarkan mesyuarat bulanan mereka secara langsung di laman web masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tindakan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mementingkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, langkah ini akan dilaksanakan oleh lapan buah PBT, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Juga terlibat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

“Tindakan ini diambil memandangkan kita banyak menerima aduan daripada orang ramai yang mengatakan pihak PBT tidak melaksanakan tugas, mereka tidak tahu apa yang pihak Majlis buat.

“Jadi dengan terlaksananya projek ini, pihak Majlis akan menjadi lebih terbuka dan telus dan ia merupakan cara terbaik untuk orang ramai faham tentang pentadbiran PBT,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi pertemuan bersama MBSA, di di sini hari ini.

Beliau berkata, minit mesyuarat PBT juga akan dipaparkan di laman web, sejajar dengan semangat Kerajaan Negeri yang telah meluluskan enakmen kebebasan maklumat dua tahun lalu.

Tambahnya, pihak Majlis diberi masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lengkap bagi memastikan projek ini berjalan lancar apabila sampai waktunya.

“Selangor akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan projek ini apabila ia dilancarkan kelak. Kita harap prosesnya akan berjalan lancar.

Empat PBT lagi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), tidak dapat melaksanakan usaha itu pada waktu ini kerana kekurangan wang.

Projek ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) yang telah diperakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.

Categories
SELANGOR

MPSJ Pupuk Kesedaran Komuniti Mengenai Kebersihan

mpsj 1

PUCHONG 9 JUN : Penyakit merbahaya seperti demam denggi boleh di atasi sekiranya oarang ramai sedar tentang pentingnya menjaga kebersihan kawasan yang didiami.

menyedari tanggungjawab ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Karnival Komuniti dan Gotong Royong Zon Bersih Dua di Pangsa Perdana, Taman Puchong Perdana bagi memupuk semula kepentingan menjaga kebersihan di kalangan penduduk.

mpsj 2Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ, Muhammad Zaki Yusoff, berkata ini merupakan tanggungjawab MPSJ memberi kesedaran dan galakan kepada penduduk di kawasan flat ini supaya tidak terus mengabaikan kebersihan di kawasan ini.

“Kita ingin mengubah persepsi penduduk bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan ini bukan tanggungjawab individu bahkan semua penduduk perlu mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa menjaga kebersihan, khususnya kepada yang tinggal di rumah pangsapuri,” ujarnya.

Menurut Muhammad Zaki, kawasan Puchong Perdana telah dipilih MPSJ sebagai kawasan Zon Bersih Dua bagi tahun ini untuk dipertandingkan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Turut hadir ketika majlis pelancaran kempen ini adalah Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail serta ahli Majlis MPSJ, Sapiyan Mohd Din.

Program sehari ini turut menyediakan kaunter aduan dan cadangan MPSJ, pelbagai pertandingan seperti mewarna dan sukaneka sesuai kepada semua peringkat umur.

mpsj 3Dalam pada itu, Noor Hanim berkata, penduduk Pangsa Perdana diharap untuk meneruskan gotong royong seperti ini di masa hadapan supaya persekitaran yang bersih dapat terus dinikmati.

“Kita berharap supaya penduduk tidak hanya bergantung kepada pihak MPSJ untuk menganjurkan kempen seperti ini tetapi bergerak atas inisiatif komuniti supaya terus bergotong-royong menjaga kebersihan,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk, Zulfadli Alias, 45, berkata aktiviti gotong-royong ini dapat memupuk semangat kejiranan bersama penduduk selain dapat menyihatkan tubuh badan.

“Aktiviti hujung minggu ini penting sebenarnya kepada penduduk untuk terus menjaga kebersihan, selain itu, kita dapat berbual bersama jiran-jiran dan dapat mengeratkan silaturrahim bersama,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tadika Angsana Bukan Dibawah Tanggungjawab MPSJ

Majlis-Perbandaran-Subang-Jaya

SHAH ALAM 7 FEB : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini menyangkal laporan bahawa pihaknya menganiaya murid-murid Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pangsapuri Angsana yang beroperasi di Balai Masyarakat USJ 1 dengan tidak menjelaskan bil air di situ.

Sebaliknya, menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Perancangan Korporat MPSJ, bil tersebut sebenarnya bukanlah berada di bawah tanggungjawab MPSJ sepertimana didakwa beberapa hari lalu.

MPSJ mengakui sebelum ini memutuskan untuk meletakkan pengurusan balai masyarakat di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Penduduk (JKP) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan balai termasuk pembayaran bil-bil utiliti melalui geran yang diperuntukkan MPSJ.

Keputusan itu juga adalah sejajar dengan dasar yang diputuskan Kerajaan Negeri pada tahun 2008 bahawa pengurusan balai masyarakat adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Walaubagaimanapun, terdapat beberapa balai masyarakat yang dikekalkan pengurusannnya di bawah pihak Kemas.

“Dalam kes ini, Balai Masyarakat USJ 1 di mana beroperasinya tadika Kemas Angsana dikekalkan pengurusannya di bawah Kemas termasuk urusan kesemua pembayaran bil-bil utiliti,” menurut kenyataan tersebut.

Justeru, MPSJ menafikan bahawa pihaknya sengaja tidak menjelaskan bil sehingga menyebabkan bekalan air terpaksa dipotong seterusnya mengganggu proses pembelajaran kanak-kanak di tadika tersebut.

“MPSJ juga ingin melahirkan rasa simpati dengan kejadian pemotongan bekalan air itu.

“Namun MPSJ difahamkan bil utiliti tersebut  dijelaskan pihak Kemas pada 5 Februari lalu,” jelas kenyataan itu lagi.

Media perdana sebelum ini menyalahkan MPSJ dalam isu pemotongan bekalan air di tadika dua sesi tersebut dengan mendakwa MPSJ gagal menjelaskan tunggakan bil berjumlah RM 430.16.

Ekoran tunggakan tersebut, petugas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hadir pada Isnin lalu untuk melakukan pemotongan bekalan air.

Bagaimanapun, bil tersebut kemudiannya dijelaskan oleh penduduk yang prihatin dengan nasib kira-kira 100 pelajar di situ.

Categories
SELANGOR

64 Pusat Siber Haram Seluruh Selangor Diserbu

kafe siber raid 04

SUBANG JAYA 29 JAN : Sebanyak 64 pusat siber haram di seluruh Selangor, yang setengahnya menjalankan ?kasino?, diserbu dalam operasi serentak oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hari ini.

Pihak penguatkuasa PBT merampas 1,189 set komputer dan mengeluarkan 10 saman kompaun terhadap pihak yang menguruskan pusat tanpa lesen itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, operasi tersebut adalah yang pertama bagi tahun ini kafe siber raid 011melibatkan semua PBT di Selangor.

Katanya, PBT boleh menjalankan operasi pada bila-bila masa bagi membanteras kegiatan haram itu supaya ia tidak berleluasa.

“Kewujudan pusat siber haram wajar disekat maka sebab itu Kerajaan Negeri menggalakkan PBT menjalankan serbuan ke atas premis yang dipercayai menjalankan operasi haram ini.

“Bagaimanapun Kerajaan Negeri merasakan saman kompaun RM 1,000 ke atas pihak yang melakukan kesalahan serta RM 2,000 apabila sebutan di mahkamah wajar ditingkatkan kerana ia terlalu minima.

“Ini kerana pusat siber haram boleh menjana keuntungan hampir RM 30,000 menerusi perjudian dalam satu-satu masa,” katanya dalam sidang media di pejabat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid.

Mengulas lanjut, katanya, majoriti operator pusat siber tanpa lesen akan kembali menjalankan perniagaan mereka di tempat lain selepas selesai kes mahkamah.

Tegasnya, mengikut peraturan sekarang, PBT tidak boleh bertindak ke atas pemilik premis dan kesukaran juga timbul kerana kebanyakan premis disewakan menggunakan nama pihak ketiga.

kafe siber raid 013“Kita juga menafikan dakwaan dibuat Ketua Polis Selangor bahawa PBT di negeri ini tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa itu apabila menjalankan operasi.

“Malah operasi dilakukan hari ini ada sesetengah PBT melibatkan kehadiran pihak polis,” katanya sambil menambah pihak berkuasa lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga terlibat.

Operasi di kawasan MPSJ diketuai Pengarah Penguatkuasanya, Ahmad Hassan mensasarkan kawasan Subang Jaya dan Puchong dengan rampasan 162 set komputer dari enam pusat siber haram.

Categories
SELANGOR

Ahli Majlis Dinilai melalui Laporan Prestasi Ahli Majlis

SHAH ALAM 23 NOV : Setiap ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor akan dinilai melalui Laporan Prestasi Ahli Majlis yang turut merangkumi prestasi pengurusan perbelanjaan yang diperuntukkan kepada mereka,  kata, Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu.

Ronnie menjawab soalan lisan  Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor berkenaan bagaimana Ahli-Ahli Majlis ini dinilai.

“Memang terdapat ahli majlis yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan, tidak baik dan sebagainya.

“Mereka yang tidak kompeten ini akan diberi amaran dan jika masih tidak menepati kriteria kita, maka mereka akan diganti dengan orang baru,” jelas beliau.

Ronnie berkata, seseorang Ahli Majlis perlu berkebolehan dalam merancang penggunaan peruntukan yang diterima untuk tujuan sosial, program-program pembangunan dan kerja-kerja pembaikan kecil.

“Mereka juga perlu bijak menganggarkan jumlah perbelanjaan bulanan dan tidak menggunakan peruntukan di saat-saat akhir,” tegasnya.

Bagaimanapun, penilaian prestasi ahli majlis adalah berbeza berdasarkan sistem yang ditentukan setiap PBT.

Sebagai contoh, beliau memberitahu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menilai ahli majlis berdasarkan kriteria pengurusan program kemasyarakatan, pengurusan kewangan JKP dan pengurusan kerja-kerja segera.

Manakala bagi Majlis Daerah Kuala Langat pula dinilai berdasarkan kehadiran atau penglibatan orang ramai ke program yang dianjurkan.

Categories
SELANGOR

Lima PBT Selangor Terbaik Di Malaysia

SHAH ALAM 23 NOV : Lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini utuh sebagai antara 11 PBT terbaik daripada 149 PBT seluruh Malaysia.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu memaklumkan sidang dewan hari ini, penilaian tersebut diputuskan melalui Sistem Star Rating Pihak Berkuasa Tempatan (SPR-PBT) di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Lima PBT tersebut adalah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Dalam memastikan PBT sentiasa berada dalam keadaan konsisten dan meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa, pelbagai mesyuarat, taklimat, bengkel dan pertemuan diadakan dengan Kerajaan Negeri.

“Keadaan ini juga menjadi platform kepada Kerajaan Negeri memantau prestasi PBT sepanjang tahun,” jelas Ronnie menjawab soalan lisan daripada Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor mengenai prestasi PBT.

Ronnie turut menjelaskan, buat masa ini tiada keperluan lagi untuk mewujudkan kawasan PBT baru di Selangor.

“Bagaimanapun, PBT baru akan diwujudkan sekiranya mempunyai keperluan selaras dengan pertumbuhan pesat sesuatu kawasan,” jelasnya.

Beliau berkata, sesuatu kawasan itu juga akan dinilai berdasarkan kriteria yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan (MNKT) ke-60 pada 3 Jun 2008.