Categories
NASIONAL

Zahid Hamidi digesa hormati tugas wartawan

zahid-malaysiakiniSHAH ALAM 6 OKT : Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi digesa menghormati tugas wartawan menanyakan soalan berkepentingan awam.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, Zahid selaku Menteri pula perlu memberikan jawapan tepat berkaitan kehilangan senjata milik Polis yang dilaporkan dalam Laporan Audit Ketua Negara 2012.

“Soalan yang dikemukan wartawan itu bukanlah suatu tuduhan tetapi perkara yang sudah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012,” katanya.

Tian Chua berkata, Zahid Hamidi perlu memastikan kejadian kehilangan senjata milik pihak Polis tidak berulang dengan membuat penambahbaikan pasukan itu di masa hadapan.

“Kalau berani sepatutnya Zahid Hamidi memberikan ‘amaran’ itu kepada Ketua Audit Negara dan bukannya wartawan Malaysiakini,” kata Tian Chua ketika dihubungi TVSelangor.

Pengasas bersama Malaysiakini, Premesh Chandran dan Steven Gan menegaskan wartawan mempunyai tugas asas menanyakan soalan berkenaan kepentingan awam kepada pihak menteri yang bertanggungjawab untuk memberikan jawapan.

“Jika Menteri Dalam Negeri percaya bahawa Malaysiakini salah dalam melaporkan berita, beliau boleh menghubungi kami untuk pembetulan.

“”Jika dia merasakan kita tidak adil kepada beliau, kami sentiasa bersedia untuk bertemu dengannya atau mana-mana Menteri lain untuk membincangkan laporan kami.

Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan dari beliau atau pejabat beliau,” kata Premesh dan Gan dalam kenyataan medianya yang dipetik dari portal Malaysiakini.

Sebelum ini, Zahid Hamidi memberikan amaran kepada wartawan Malaysiakini berhubung soalan integriti pasukan polis dan berkenaan kehilangan senjata polis dalam Laporan Audit Ketua Negara.

Beliau kemudian melarang perbincangan lanjut mengenai perkara itu dan berkata “tiada lagi” soalan dari Malaysiakini.

Zahid memberi amaran kepada Malaysiakini supaya melaporkan dengan tepat apa yang dicakapkannya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Industri Air Dimulakan Kembali – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 31052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan Selangor.

2. Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata beliau berhak untuk menolak kempen mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Menurut beliau, rakyat Sarawak memberi mandat yang jelas kepada beliau dan kerajaan pimpinannya untuk terus memerintah Sarawak sehingga pilihanraya negeri seterusnya.

3. Mahkamah Rayuan pada semalam mengekalkan keputusan bersalah terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo atas tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam semasa menjadi penjawat awam, lapor portal Malaysiakini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Menteri Bohong, JAS Tidak Pernah Sokong Projek Kondo 29 Tingkat Batu Caves

SHAH ALAM, 29 NOV: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berbohong apabila mendakwa projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves mendapat sokongan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sebaliknya JAS, melalui satu kenyataan bertarikh 24 Januari 2007, jelas tidak menyokong projek yang dimajukan oleh Dolomite Industries Company Sdn Bhd itu.

Bagaimanapun pemaju projek tersebut tetap berdegil meneruskan pembangunan tanpa mengambil kira pendirian JAS.

Demikian menurut Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dalam sidang medianya di lobi bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

“JAS tidak pernah keluarkan surat sokongan seperti yang didakwa Menteri Perumahan dalam laporan Malaysiakini bertajuk “Chor: Dolomite kemuka penyelesaian kejuruteraan” 19 November 2012 lalu,” kata Elizabeth.

Elizabeth turut menunjukkan laporan JAS yang ditandatangani Pengarah JAS Negeri Selangor, Rosli Zul yang jelas tidak menyokong pembangunan tersebut memandangkan ianya boleh menimbulkan masalah tanah runtuh.

Elizabeth juga memberitahu sehingga kini, sembilan blok bangunan komersil projek itu telah disiapkan tetapi belum diduduki kerana masih belum mendapat Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

Terdahulu, Majlis Perbandaran Selanyang ketika era pentadbiran Umno-BN telah memberi kebenaran merancang kepada projek yang terletak di kira-kira 180 meter dari Kuil Mahamariamman, Batu Caves.

Bagaimanapun projek itu menerima tentangan masyarakat Hindu yang bimbang ia akan menjejaskan struktur tanah Batu Caves yang merupakan tempat ibadat mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pengamal Media Mahu Polis Kembalikan Rakaman Video dan Gambar

BANGSAR, 3 MEI: Pengamal media berkumpul di hadapan pejabat Malaysiakini hari sebagai tanda solidariti meluahkan bantahan diatas kekerasan luar jangkaan yang ditunjukkan pihak polis terhadap beberapa wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0  yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Himpunan aman ini mengemukakan tiga tuntutan terutama menggesa pihak polis mengembalikan bahan akhbar seperti gambar dan semua footages yang disita tanpa sebarang perubahan kepada wartawan berkenaan atau organisasi serta membayar ganti rugi sebarang kecederaan dan kerosakkan.

Selain itu juga di tuntut semua pesalah dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan selepas penubuhan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 serta diharapkan tindakan tersebut tidak berulang dimasa depan.

Kekasaran yang berlaku pada himpunan berkenaan menyaksikan pelbagai peralatan dan footage media dirampas dan dimusnahkan selain mengakibatkan kecederaan beberapa petugas yang membuat liputan.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar berkata, himpunan wartawan pada hari ini diatas dasar keyakinan serta kepercayaan pengamal media dalam kebebasan akhbar di negara ini dan seharusnya semua pihak menghormati hak wartawan terutama ketika mereka sedang menjalankan tugas.

“Hari ini juga merupakan hari yang hitam untuk kebebasan akhbar di Malaysia kerana serangan terhadap wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada Sabtu lalu, tidaknpernah dilakukan sebelum ini.

“Ramai wartawan, jurukamera dan jurugambar diserang, ditahan dan ditakut-takutkan oleh pihak polis, sesetengah penunjuk perasaan juga menyerang wartawan. Kita perlu menghentikan piawai kebebasan akhbar di Malaysia daripada jatuh ke paras yang lebih rendah,” katanya.

Himpunan aman tersebut menyaksikan kehadiran hampir 50 orang pengamal media daripada pelbagai agensi tempatan bersempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diikhtiraf oleh Unesco dan disambut serentak oleh pengamal media seluruh dunia.

Dengan tema berbaju hitam dan riben kuning disusuli laungan ‘Hidup Wartawan’ dan ‘Free Media’ bergema sebagai tanda semangat menuntut hak pengamal media.

Pengguna jalan raya turut memberikan sokongan dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing.