Categories
NASIONAL

BERSIH : Polis Diminta Keluarkan Senarai Nama 120 Individu Dijejaki

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Polis diminta mengeluarkan senarai nama kepada pihak media sekiranya mereka benar-benar ingin menjejaki peserta yang didakwa mencetuskan keganasan pada hari perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, perkara ini perlu bagi mengelakkan kesilapan tangkapan meskipun ada beberapa perserta yang menyerah diri setelah melihat gambar yang dipaparkan oleh polis.

“Apa yang penting adalah kalau ada 100 orang yang diburu oleh polis senarai mesti dikeluarkan. Kalau saya tidak tahu saya ada dalam senarai bagaimana saya ingin menyerahkan diri kepada pihak polis,” katanya.

Maria Chin berkata awal minggu ini, seorang individu bernama Mohd Safuan Mamat @ Nordin, 25 telah menyerahkan diri kepada pihak polis di Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Mohd Safuan mendakwa dia dipukul oleh seorang aggota berpakaian biasa ketika dibawa ke lokap dan dipaksa untuk mengaku merosakkan kereta peronda polis.

Apabila beliau tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan itu Mohd Safuan mendakwa dia telah dipukul menggunakan batang paip hitam di bahagian badan dan ditendang.

Setelah dia dimasukkan ke dalam lokap, beliau mendakwa tahanan lain di dalam bilik tersebut menampar beliau sebanyak empat kali namun pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan.

Beliau dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 440 dan 174 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen  Jenayah (5), Jalan Duta Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.

Maria turut memaklumkan, setakat ini pihaknya sedang mengumpul segala maklumat berhubung mangsa kekasaran polis pada perhimpunan berkenaan dan akan berbincang bersama pihak guaman bagi menentukan tindakan seterusnya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Maria Chin: Jangan Layan 120 Orang Peserta BERSIH Macam Penjenayah

SHAH ALAM, 15 MEI : Polis perlu menghantar surat pemberitahuan lebih awal kepada 120 orang peserta BERSIH 3.0 sebelum bertindak menahan atas dakwaan menimbulkan kekacauan semasa himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Maria Chin yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 3.0 mengesa agar polis tidak melayan kesemua peserta ini sebagai penjenayah kerana banyak kaedah lain untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka ini.

Menurutnya, jika polis ingin meminta kerjasama peserta BERSIH 3.0, polis perlu bertindak secara professional dengan tidak hanya menggertak dan menakut-nakutkan mereka supaya hadir ke balai polis sebelum tindakan diambil.

“Jika benar polis mempunyai nama mereka, kenapa tidak menghantar surat pemberitahuan kepada mereka yang terlibat dan bukannya hanya menyiarkan gambar mereka di dada akhbar-akhbar,” katanya ketika dihubungi  hari ini.

Katanya, penangkapan 120 orang ini merupakan salah satu bentuk gangguan dan  tidak seharusnya berlaku kerana polismempunyai data yang diperlukan untuk mengetahui alamat peserta-peserta BERSIH 3.0 ini.

Sementara itu, mulai esok polis akan mencari 120 orang baki individu-individu yang disyaki terlibat mencetuskan rusuhan pada himpunan bantah terhadap keengganan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) menunaikan lapan tuntutan bagi membaiki sistem pilihanraya di Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar sebelum ini dipetik berkata, polis tidak memerlukan waran tangkap untuk menahan mereka kerana terlibat dengan kesalahan lazim seperti merusuh dan polis berhak menahan sesiapa sahaja untuk siasatan.

Maria Chin juga menasihati mana-mana individu yang akan dipanggil polis tidak perlu panik dan jangan melawan polis tetapi perlu mendapatkan nama pegawai, balai polis serta nombor pegawai yang menghubunginya.

“Individu-individu terbabit akan diberi khidmat guaman atau boleh terus menghubungi pihak SUARAM atau Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0 dan jangan menghadirkan diri ke balai polis seorang diri,” jelasnya lagi.

Nombor yang boleh dihubungi adalah 03-77723275 atau 016-9670921 bagi mendapatkan khidmat nasihat atau bantuan guaman yang telah disediakan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PDRM dan Media UMNO-BN Berat Sebelah Berkaitan Peserta BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 5 MEI : Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan media pro Umno-BN menunjukkan sikap berat sebelah dengan hanya menyiarkan gambar-gambar peserta BERSIH 3.0 yang disyaki menimbulkan kekacauan pada himpunan itu.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah, pihak polis cuba menyembunyikan kekerasan yang dilakukan mereka terhadap orang awam serta petugas media pada himpunan itu.

“Jika PDRM adil, kenapa mereka tidak siarkan gambar-gambar anggota polis yang terbukti menggunakan kekerasan pada himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu?,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Akhbar-akhbar milik Umno-BN hari ini menyiarkan 42 gambar orang awam yang disyaki mencetuskan keadaan huru-hara serta mengkasari anggota polis yang ditugaskan mengawal himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu.

Perhimpunan menyaksikan sekitar 250,000 orang berhimpun sekitar kawasan Dataran Merdeka bagi menuntut agar kerajaan pusat memperbaiki kelemahan sistem pilihanraya.

Di dalam blog-blog serta klip pendek di youtube jelas memaparkan tindakan ganas polis memukul peserta himpunan yang juga dihadiri oleh warga tua serta kaum wanita dan ini bercanggah dengan konsep negara demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

“Pihak polis juga mengambil bukti daripada paparan di youtube dan kenapa pihak polis yang memukul peserta himpunan tidak dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya lagi.

Maria menambah, polis juga membuka tanda nama mereka ketika menangkap dan menyuraikan peserta himpunan itu dengan kekarasan. Ini membuktikan PDRM tidak telus dalam menjalankan tugas serta takut dibawa ke muka pengadilan.

“Polis memakai tanda nama sewaktu perhimpunan berlangsung dan mengapa tanda nama mereka dibuka sewaktu mereka melakukan kekerasan dan tangkapan?,” soalnya lagi.

Selain itu, beliau menegaskan ahli Panel Penasihat Bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat perhimpunan BERSIH 3.0 mestilah dijalankan secara adil demi mencari keadilan dan pembelaan terhadap pelbagai insiden yang terjadi.

“Sewaktu BERSIH 2.0 ditubuhkan panel bebas namun tiada keputusan berjaya dicapai walaupun terbukti berlaku insiden kasar dan provokasi waktu itu,” jelasnya.

Dalam isu yang berkaitan, Maria berkata sehingga kini Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) masih berdiam diri berkaitan lapan tuntutan yang dibawa BERSIH 3.0 untuk penambahbaikan sistem pilihanraya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

BERSIH 3.0 Tetap Diadakan Di Dataran Merdeka

SHAH ALAM, 20 APR : Bersih 3.0 akan tetap diteruskan di Dataran Merdeka pada 28 April nanti walaupun tanpa kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah ketika dihubungi TVSelangor berkata pihaknya akan meneruskan program itu kerana ia telah dirancang untuk diadakan di lokasi tersebut.

Malah, katanya, Dataran Merdeka adalah lokasi sesuai dengan program itu yang bertemakan “Duduk, Bantah”.

“Kita akan tetap pergi ke Dataran Merdeka. Ia tidak memberi kesan kepada kita bagi penganjuran Bersih 3.0. Kita akan teruskan dengan program sebagaimana dirancang,” katanya.

Menurutnya, DBKL tidak seharusnya menolak permohonan untuk Bersih 3.0 diadakan di Dataran Merdeka kerana ianya adalah hak rakyat untuk berbuat demikian.

“Tempat itu (Dataran Merdeka) macam Pak Samad (Datuk A Samad Said) cakap ia bukan kepunyaan DBKL. Ia kepunyaan rakyat. DBKL hanya menguruskan sahaja. Mereka tidak berhak untuk menolak kami,” katanya.

Maria berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menjayakan Bersih 3.0 seperti menghebahkan kepada orang ramai supaya turut serta dan hadir di Dataran Merdeka pada hari tersebut.

Hari ini, DBKL mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan untuk lokasi himpunan BERSIH 3.0 dengan alasan lokasi tersebut dikhaskan untuk majlis diperingkat nasional.

Categories
NASIONAL

Penganjur BERSIH 3.0 Akan Berunding Dengan Polis

SHAH ALAM, 10 APRIL : Penganjur Perhimpunan BERSIH 3.0 akan menyertakan 200 Unit Amal PAS dan 100 peguam yang akan berkhidmat secara sukarela ketika berlangsungnya himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata jaminan keselamatan kepada peserta himpunan akan terus diperkemaskan  bagi memastikan himpunan yang dijangka dihadiri lebih setengah juta itu berjalan lancar.

Maria menambah, pihaknya mengharapkan kerjasama baik daripada pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan hasrat rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil secara ‘duduk dan bantah’.

“Pihak kami akan melakukan rundingan dengan pihak PRDM berhubung dengan perhimpunan rakyat secara duduk dan bantah.

“Diharapkan satu kerjasama yang baik dapat dizahirkan oleh PDRM kerana ia telah termaktub dalam perlembagaan untuk rakyat berhimpun.

“Pihak kami juga akan mendapatkan kepastian bahawa pihak polis akan mengawal lalu lintas ketika perhimpunan dan bukannya menyediakan gas pemedih mata dan gerombolan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),”jelasnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menjelaskan perhimpunan BERSIH 3.0 yang akan berlangsung pada penghujung bulan ini bukan satu isu ancaman keselamatan.

Sebaliknya, Hishammuddin memberi laluan dengan meminta satu rundingan dilakukan antara pihak penganjur dengan PDRM.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini, Maria berharap kenyataan itu disusuli dengan penuh tanggungjawab kerana ia adalah hak rakyat Malaysia untuk berhimpun.

“Apa yang kami harapkan, mereka lakukan seperti mana yang mereka gambarkan, sekiranya tidak mereka perlu menjawab kepada rakyat,”ujarnya.

Sebuah portal web berita melaporkan, pihak polis masih enggan membuat apa-apa kenyataan berhubung  persiapan untuk perhimpunan itu.

 

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0 Sekiranya PSC Tidak Penuhi Tuntutan BERSIH 2.0


PETALING JAYA, 18 MAC : BERSIH 3.0 kemungkinan besar akan diadakan sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) yang akan dibincangkan Minggu depan di Parlimen tidak meluluskan sebahagian besar tuntutan BERSIH 2.0 lalu.

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya komited dengan perancangan itu dan kejayaan mengadakan perhimpunan BERSIH 2.0 adalah bukti jelas majoriti rakyat inginkan perubahan di dalam pengendalian pilhanraya di negara ini.

Tambahan pula, katanya, penubuhan PSC juga memberi petanda suara rakyat kini tidak boleh dipertikaikan lagi oleh pihak berkuasa di negara ini.

“Kalau kita tidak dapat tuntutan kita, ya mungkin ada kemungkinan yang tinggi. Datuk Ambiga pun dah cakap ada kemungkinan kita akan adakan BERSIH 3.0,” katanya kepada TVSelangor ketika ditemui di majlis perhimpunan Wanita Suara Perubahan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Padang Astaka di sini hari ini.

Antara tuntutan dibuat BERSIH 2.0 bagi merealisasikan piliharaya berish dan adil di negara ini khususnya bagi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) nanti adalah bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil dan kukuhkan institusi awam.

Maria Chin berkata, pihaknya kini sedang menanti keputusan yang akan dibuat PSC berhubung tuntutan dibuat Bersih 2.0.

Berhubung Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), beliau mendakwa, pihak berkuasa itu tidak menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan adil dan saksama.

“Saya rasa SPR tidak menjalankan tugasnya dengan baik. Kalau mereka terus begini tidak menunaikan tuntutan Bersih 2.0, saya rasa mereka lebih bagus letak jawatan,” katanya.

Maria Chin juga mengulas tindakan SPR yang melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya menyebabkan pengundi berpindah tempat mengundi tanpa pengetahuan mereka yang turut melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, pendekatan itu adalah tidak berasas dan pengundi boleh mengambil tindakan dari segi undang-undang terhadap SPR.

“Saya rasa itu salah dan harap pengundi yang telah ditukar kawasan boleh mengambil tindakan undang-undang.

“Mereka mesti buat laporan kepada SPR dan bantahan kalau pindaan itu tidak adil dan mereka tidak diberitahu oleh SPR. Macam Tan Sri Khalid yang ditukar tetapi dia tidak tahu dan SPR tidak boleh kata ini “administrative error”,” ujarnya.

Maria Chin berkata, perhimpuan Wanita Suara Perubahan yang diadakan pada hari ini adalah satu lagi petanda jelas kebangkitan kaum wanita di dalam menuntut perubahan di dalam pentadbiran kerajaan di negara ini. Lebih 2 ribu hadirin menyertai perhimpunan berkenaan.

Katanya, kerajaan harus memberikan perhatian dan beralku adil dalam perkara ini dan tidak meminggirkan suara mereka.

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 : Perjelas Pemindahan Mengundi MB

SHAH ALAM 16 MAC : Pemindahan tempat mengundi tanpa penjelasan kepada pengundi seperti yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan bagaimana Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sudah hilang kredibiliti.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang memantau pilihanraya berpendapat SPR perlu menghantar notis kepada setiap pengundi berkenaan apa-apa pertukaran terhadap status mereka.

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah mendesak SPR supaya menjelaskan status kes Abdul Khalid dan memastikan yang ia melaksanakan tugasnya dengan professional dan adil.

Maria berkata pemindahan itu satu indikasi jelas yang Kerajaan Umno-BN masih tidak dapat memastikan pilihanraya akan datang bersih dan adil, dan kerana itu, satu lagi perhimpunan besar-besaran mungkin akan diadakan bagi memaksa kerajaan melaksanakan tuntutn Bersih 2.0.

Semalam, media melaporkan kawasan mengundi Abdul Khalid telah ditukar tanpa pengetahuannya. Semakan di laman web SPR mendapati Abdul Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai.

Abdul Khalid sebelum ini mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Pengerusi Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata SPR perlu memberi notis kepada pengundi berkenaan pemindahan kawasan mengundi untuk mengelakkan kekeliruan.

“Jadi saya percaya perkara ini boleh diatasi jika pihak SPR bukan sahaja membuat pameran notis tentang perubahan-perubahan ini tetapi juga menghantar notis terus kepada pengundi berhubung pertukaran tempat mengundi atau jika nama mereka telah dikeluarkan.

“Tidak kira siapa pun samada Menteri Besar atau masyarakat awam, sepatutnya beliau perlu dimaklumkan sebab apa pemindahan.?

Syed Ibrahim berkata SPR hanya mempamerkan beberapa pemindahan pengundi tetapi tidak mengambil langkah selanjutnya untuk memberitahu mereka.

“Tindakan SPR yang dilihat meragukan khususnya dalam konteks ini melibatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri, jadi ia menimbulkan pelbagai keraguan dan kemudian pihak SPR nanti akan dihujani dengan pelbagai kritikan,” kata beliau.