Categories
NASIONAL SELANGOR

Dolomite Boleh Menjelaskan Kontroversi Projek Batu Caves

kondo-batu-caves-color

SHAH ALAM 13 FEB : Kerajaan Negeri Selangor tidak menghalang pihak pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd untuk memberi penjelasan berhubung kontroversi pembinaan kondominium Park Avenue di hadapan Batu Caves.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemaju kondominium itu boleh bertemu pihak berkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk memberi penjelasan.

“Dolomite mempunyai inisiatif sendiri kerana untuk mendapat kelulusan dan perancangan perlu dibuat melalui Pihak Berkuasa Tempatan Selayang.

?Jadi apa yang perunding Dolomite nak terangkan dia boleh berikan kepada MPS.

“Dan jika perlu, MPS akan kemukakan pandangan mereka untuk dibincangkan di mesyuarat perancang negeri,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN), di Bangunan SUK, di sini.

Beliau berkata demikian selepas pemaju itu sebelum ini mendakwa projek kontroversi pembinaan kondominium Park Anenue itu adalah selamat dan tidak akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

Pada 24 Januari, Abdul Khalid mengumumkan pembatalan projek kondominium tersebut.

Manakala keesokannya, (25 Januari), pemaju mendakwa mereka sebelum ini cuba bertemu menteri besar dan pihak berkuasa berkaitan tetapi tidak diberi peluang untuk mengemukakan penjelasan mereka.

Kontroversi berhubung pembinaan kondominium itu timbul susulan bantahan daripada masyarakat Hindu yang mahu projek tersebut dihentikan.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Dolomite Properties mendapat kelulusan untuk membangunkan projek mereka pada 2007 oleh MPS.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tanah Kompleks Sukan Dijadikan Pangsapuri Mewah

PC Ng Suee Lim SAT1M Taman Seri Muda 02

SHAH ALAM 24 JAN : Dahulu, masyarakat sekitar Seksyen 25, Taman Sri Muda sepatutnya mendapat sebuah Kompleks Sukan Rekreasi dan Pusat Komuniti bagi tujuan riadah dan majlis keramaian mereka.

Tetapi akibat daripada campurtangan politik pada zaman pentadbiran Umno-BN, tanah tujuh ekar untuk projek-projek tersebut telah digunakkan untuk mendirikan sebuah projek pangsapuri mewah dengan 691 unit.

Projek pembangunan lima blok pangsapuri tujuh hingga 14 tingkat dengan itu dimulakan selepas mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) pada 2007.

Timbalan Setiausaha DAP negeri, Ng Suee Lim mendakwa, tanah itu diberikan milik kepada Umno Bahagian Kota Raja dengan bayaran harga nominal iaitu sebanyak RM1,000 sahaja berbanding harga pasaran sebanyak kira-kira RM 10 juta.

Katanya, tanah terbabit merupakan salah satu daripada 24 keping tanah di seluruh negeri yang dibeli pada harga yang begitu murah, iaitu premium RM 1 setiap metre persegi, oleh parti Umno-BN.

Beliau yang juga Adun Sekinchan mendakwa tanah di Taman Sri Muda itu sepatutnya dibahagikan antara Umno Bahagian Kota Raja dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Dalam jawatankuasa tanah Pejabat Tanah daerah Klang menetapkan sebanyak 4 ekar diberikan kepada MBSA dana tiga ekar lagi kepada Umno bahagian Kota Raja dengan bayaran mengikut harga semasa.

“Bagaimanapun selepas MKKN, 4 ekar diberikan kepada Umno dan 3 ekar diberikan kepada MBSA dengan harga nominal sebanyak RM1,000 sahaja.

“Bagaimanapun, apa yang kita lihat dan mengikut pelan pembangunan yang diperolehi, hampir kesemua tanah tujuh ekar itu dimiliki oleh Umno bahagian Kota Raja.

?MBSA hanya mendapat sebuah dewan yang keluasannya tidak sampai satu ekar,” katanya dalam sidang media di tapak projek pembangunan itu.

Hadir sama Ketua Penerangan PKR negeri, Shuhaimi Shafei.

Suee Lim menambah pada tahun 2005, sebanyak 11 permohonan dari syarikat swasta untuk membina bangunan kediaman atau perniagaan.

Tetapi permohon juga diterima untuk membina kompleks sukan itu, iaitu daripada bekas Adun Seri Muda ketika itu Datuk Amzah Omar.

“Oleh kerana kroninya, mereka memberikan kepada beliau yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Kota Raja,” katanya.

Sementara itu, Shuhaimi berkata skandal yang dinamakannya ?Sapu Tanah 1 Malaysia? (SaT1M) itu merupakan satu lagi bukti penyelewengan yang dilakukan Umno-BN.

“Menjadi pertikaian skandal SaT1M ini apabila kita dapat lihat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipergunakan oleh parti politik mereka (Umno-BN).

“Hasil kerjasama Umno-BN dan pemaju membolehkan parti itu mendapat keuntungan berjuta ringgit. Harga seunit pangsapuri ini kini mencecah lebih RM250,000,” katanya.

Sehubungan itu, mereka mengesyorkan pihak yang terlibat dalam perkara terbabit membayar sejumlah wang kepada MBSA berikutan tanah milik MBSA yang turut diambil bagi kegunaan pembangunan itu.

PC Ng Suee Lim SAT1M Taman Seri Muda 01 PC Ng Suee Lim SAT1M Taman Seri Muda 03

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Sumbang Tanah Komersial RM17 juta kepada SJK (C) Khe Beng

sumbangan tanah sekolah cina kota kemuning 01

SHAH ALAM 06 JAN : Pelajar dan guru SJK (C) Khe Beng kini tidak perlu lagi bersesak di ruang belajar yang sempit setelah Kerajaan Negeri memperuntukkan tanah komersil bernilai RM 17 juta untuk pembinaan sekolah baru di Kemuning Utama.

Sebelum ini, 1,400 pelajar terpaksa belajar dalam ruang yang terhad dan sempit manakala guru-guru di sekolah itu terpaksa berkongsi kerusi dan meja sejak beberapa tahun yang lalu.

Tanah yang berkeluasan empat ekar itu diluluskan oleh mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) pada 18 Mei 2012 hasil laporan daripada Adun Sri Muda, Suhaimi Shafei.

Sekolah itu ditubuhkan pada 1929 di Jalan Bukit Kemuning dengan tanah tapak sekolah seluas 0.95 ekar didermakan oleh seseorang.

Namun, tapak tanah sekolah itu masih belum digazetkan oleh kerajaan negeri Umno-BN dahulu sedangkan bangunannya sudah didirikan berpuluh tahun lalu.

Setelah populasi pelajar bertambah setiap tahun pengurusan sekolah meminta tapak tanah baru namun ini ditolak oleh Kerajaan Selangor Umno-BN dahulu.

Suhaimi berkata proses permohanan tapak tanah sekolah yang baru itu mengambil masa kira-kira setahun setengah yang lalu.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana berjaya mendapatkan hak mereka yang sebelum ini dinafikan oleh pentadbiran sebelum ini.

?Mereka bersungguh-sungguh memperjuangkan hak mereka walaupun terpaksa menghadapi pelbagai karenah birokrasi,” katanya dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Surat Pengesahan Tapak Sekolah itu.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud ; Pengerusi Lembaga Pengarah SRJK (C) Khe Beng, Datuk Ng Tiong Seng ; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam Zon 12, Tan Ah Kow dan Pengarah Urusan Paramount Property, Datuk Ricque Liew.

Turut hadir Pengerusi dan Lembaga Pengarah SJK (C) Chung Hwa dan Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.

Suhaimi menambah Pakatan Rakyat (PR) sangat mementingkan pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat. Oleh itu, bagi PR, perkara sedemikian tidak harus dipolitikkan.

“Kita yakin dengan kemudahan yang baik dan selesa ia akan dapat melahirkan generasi yang baik pada masa akan datang.

“Saya menyeru Kementerian Pendidikan meluluskan permit dan memberi peruntukkan sebanyak RM 8 juta daripada kos keseluruhan yang dianggarkan RM 12 juta bagi pembinaan sekolah baru ini,” katanya.

Sementara itu, Ng mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Kerajaan Negeri.

Dalam majlis yang sama Suhaimi dan Dr Mariah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 20,000 kepada SJK (C) Tun Tan Sie Lin, Putra Height dan SJK (C) Chung Hwa, Kota Kemuning.

Dalam belanjawan 2012, Kerajaan Negeri sudah memberi peruntukkan sebanyak RM100,000 kepada SJK (C) Chung Hwa, Kota Kemuning, RM20,000 kepada SJK (C) Khe Beng dan SJK (C) Tun Tan Siew Sin.

sumbangan tanah sekolah cina kota kemuning 02