Categories
AGENDA SUKANKINI

10 atlet para negara layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan seramai 10 atlet para negara sudah melayakkan diri ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ia melibatkan sukan renang, memanah, olahraga, boccia dan powerlifting.

Pengarah Bahagian Paralimpik MSN Mohd Sofian Hamzah berkata sasaran sebenar jumlah atlet untuk dihantar ke Tokyo adalah seramai 31 orang dan pihaknya masih dalam proses pemantauan dan penilaian sebelum membuat sebarang ketetapan.

“Kami masih memantau perkembangan mereka (atlet) sebelum mengumumkan senarai penuh kerana ada yang mengalami kecederaan dan ada masih belum mencapai tahap prestasi terbaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan kasut Bata kepada Kontinjen Sukan Paralimpik negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, Pengurus Pemasaran Bata Malaysia Diana Wong dan Konsultan Bata Malaysia Datuk James Selvaraj.

Sepuluh atlet Para yang sudah mengesahkan slot ke Tokyo 2020 adalah Muhd Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia (renang); S Suresh dan Wiro Julin (memanah); Muhammad Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).

Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan Kerajaan Jepun bersetuju untuk meminda tarikh penganjuran Sukan Paralimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 September 2020 kepada 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Megat D Shariman berkata cadangan untuk membina sebuah sekolah sukan khas untuk atlet para di negara ini sedang dibincangkan bersama Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan MSN.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN bincang siapa latih dua jaguh pecut negara

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Soal sama ada dua jaguh pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan akan terus kekal berlatih di bawah kendalian Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwayne Miller akan dibincangkan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata perbincangan itu bakal melibatkan jurulatih mereka Mohd Poad Md Kassim dan Miller.

Kata Ahmad Shapawi, perkara tersebut perlu dibincangkan dalam suasana semangat kekeluargaan.

“Soal untuk kita tetapkan masa depan Haiqal dan Hafiz (Khairul Hafiz) itu akan dibincangkan bersama jurulatih terlibat. Kita akan lihat perkembangan latihan dan laporan daripada Miller untuk apa rancangan seterusnya.

Kedua-dua jurulatih mempunyai peranan dan tugas masing-masing yang perlu dipenuhi. Sebaiknya perkara ini kita bincang sebagai keluarga jurulatih dalam kita memberi yang terbaik kepada atlet,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Atlet Negara sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di MSN, hari ini.

Kedua-dua pemenang pingat emas acara 100m Sukan SEA, Khairul Hafiz (KL 2017) dan Muhammad Haiqal (Filipina 2019) itu kini berlatih bersama Miller susulan perancangan KOM untuk menempatkan secara berpusat kesemua atlet pecut elit kebangsaan di bawah kendalian jurulatih berasal dari Amerika Syarikat itu.

KOM sebelum ini menjelaskan keputusan meletakkan kedua-dua atlet itu di bawah kendalian Miller bukan berniat ‘merampas’, sebaliknya hanya ingin memberikan yang terbaik.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata keputusan itu antara lain bagi memberi fokus terhadap usaha memperkukuhkan kuartet 4x100m negara.

“Dalam memastikan mereka dapat tampil cemerlang sebagai satu pasukan, berlatih bersama dalam satu kumpulan merupakan satu kaedah yang baik,” katanya.

Berasal dari Amerika Syarikat, Miller mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejurulatihan dan pernah membantu atlet Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x400m dengan memecahkan rekod Olimpik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

KOM sedia lunas bayaran insentif rekod baharu kebangsaan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi jaminan untuk menjelaskan bayaran insentif rekod baharu kepada beberapa atlet kebangsaan yang masih belum diselesaikan oleh kepimpinan terdahulu badan sukan itu.

Presiden KOM, Datuk S.M Muthu berkata, badan induk sukan itu sedang mengumpul segala dokumen berhubung catatan rekod baharu kebangsaan yang dilakar oleh atlet kebangsaan sebelum bayaran dapat dijelaskan dalam tempoh terdekat.

“Kami akan bayar dan atlet yang terlibat jangan risau, cuma saya minta mereka kemukakan dokumen secara hitam putih.Mungkin dalam tempoh dua bulan kami akan selesaikan bayaran kepada atlet terlibat,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, beberapa atlet olahraga kebangsaan termasuk pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh, Andre Anura Anuar dan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin mendakwa KOM masih belum melunaskan bayaran insentif hasil kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Bernama difahamkan KOM memberi bayaran insentif sebanyak RM1,000 bagi rekod baharu kebangsaan yang berjaya dicipta atlet negara dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Muthu mengesahkan beberapa atlet elit kebangsaan akan dibenarkan menjalani latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau menjelaskan latihan penuh akan dibuka kepada semua atlet kebangsaan pada 5 Julai ini sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) MSN dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Beberapa atlet olahraga kebangsaan sebelum ini melahirkan kebimbangan berhubung persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa tahun depan selepas KOM dikatakan gagal mendapat kata putus daripada MSN berhubung tarikh sebenar mereka dibenarkan memulakan latihan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Tarikh Sukma 2021 bertindih peperiksaan 11 atlet Selangor

SHAH ALAM, 19 JUN: Tarikh Sukma tahun depan dijangka bertindih dengan peperiksaan atlet Selangor yang menuntut di luar negara, menurut Majlis Sukan Negeri (MSN).

Pemangku Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata seramai 11 atlet menuntut di luar negara iaitu lapan atlet renang dan tiga atlet golf.

“Sukma Johor dijadualkan pada Mac 2021 dan kebetulan pula ada atlet kita yang akan menduduki peperiksaan pada bulan sama.

“Masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana tarikh Sukma bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan kita akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya kepada SelangorKini.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai ini ditunda pada 6 hingga 14 Mac 2021 manakala Para Sukma dijadualkan pada 5 hingga 10 April tahun depan.

Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan tarikh berkenaan akan dibincangkan sekali lagi pada Oktober jika ada perubahan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN: Kontrak jurulatih Sukma Selangor disambung hingga Disember

SHAH ALAM, 18 JUN: Kontrak 92 jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) Selangor yang tamat bulan depan akan disambung sehingga Disember ini, kata pemangku pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN).

Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya turut memohon peruntukan tambahan bagi memastikan khidmat mereka dikekalkan sehingga kejohanan Sukma Johor tahun depan.

“MSN Selangor akan mohon peruntukan baharu bagi mengekalkan semua jurulatih demi memastikan prestasi serta persiapan atlet tidak terjejas,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohamad Nizam berkata elaun bulanan jurulatih dan atlet dibayar seperti biasa walaupun Sukma Johor 2020 ditunda.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai ini ditunda pada 6 hingga 14 Mac 2021 manakala Para Sukma dijadualkan pada 5 hingga 10 April tahun depan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor ucap terima kasih sumbangan Adi Faizal

SHAH ALAM, 17 JUN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor merakamkan penghargaan atas sumbangan Adi Faizal Ahmad Tarmizi kepada pembangunan sukan di negeri itu selepas mengakhiri perkhidmatan sebagai Pengarah Eksekutif.

Selepas setahun berkhidmat, beliau kini memulakan tugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian di Kementerian Kewangan sejak 1 Jun lalu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada semua,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pelantikan Adi Faizal sebagai Pengarah Eksekutif MSN Selangor berkuat kuasa 10 Mei 2019 selepas menerima surat lantikan yang diserahkan sendiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya Majlis Penyampaian Amanat dan Surat Pelantikan kepada pegawai-pegawai kanan di Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, 14 Mei tahun lalu.

Sebelum ini, beliau sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Perumahan) Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Tanah Petaling.

Categories
AGENDA SUKANKINI

KRM, MSN sasar pingat sulung ragbi di Sukan Asia 2026

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mempunyai misi melakar sejarah baharu apabila menyasarkan untuk membawa pulang kilauan pingat pada temasya Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

Malaysia belum pernah meraih sebarang pingat di pentas Sukan Asia, namun ia tidak lagi mustahil selepas KRM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi tujuh sepasukan (7’s) lelaki dan wanita negara.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata perkembangan terbaharu itu bertujuan mewujudkan satu mekanisme latihan bersepadu untuk membantu memastikan kejayaan kedua-dua skuad 7’s negara meraih kilauan pingat yang dinanti-nantikan.

“Kita nak menang pingat Sukan Asia 2026. Kita perlu ada satu program yang sangat teliti, sangat bersepadu dan sangat menyeluruh untuk cuba memenangi pingat di Jepun yang kita tahu bukan mudah. Tetapi kita ingin mencuba, sampai bila kita hanya mahu bercakap pasal Sukan SEA.

“Program ataupun projek khas ini sepatutnya bermula antara Mac hingga Mei, namun disebabkan pandemik Covid-19 ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke satu tarikh baharu,” katanya kepada Bernama, semalam.

Shahrul Zaman berkata pelaksanaan program berkenaan akan menyaksikan tumpuan diberikan lebih kepada barisan pemain ragbi berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun untuk diserapkan ke dalam program.

Namun, beliau menegaskan KRM tetap mengekalkan pemain senior sedia ada untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa sementara pemain daripada program bersama MSN itu akan diserap ke dalam skuad kebangsaan secara berperingkat.

“Kita fikirkan pemain lingkungan 22 tahun sebab lagi enam tahun mereka berusia 28. Program ini tidak bermaksud mereka sahaja akan mewakili negara selepas ini, tidak. Kita masih menaruh kepercayaan terhadap barisan pemain sedia ada tetapi kita harus mempunyai perancangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MSN: Semua atlet, jurulatih negatif Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Kesemua 107 atlet, jurulatih dan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) disahkan negatif Covid-19, kata ketua pengarahnya.

Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata jumlah itu termasuk kontak rapat dan kontak sekunder atlet baling tukul besi negara Jackie Wong yang disahkan positif dan kini sedang dirawat di Hospital Sibu, Sarawak.

Katanya, ia turut merangkumi beberapa atlet yang baru pulang dari luar negara sama ada menyertai kejohanan atau menjalani program latihan.

“Sehingga 30 Mac, daripada 107 yang dikuarantin, 86 orang menjalani ujian sama ada melalui pejabat kesihatan daerah ataupun swasta dan keputusan ujian yang diperoleh adalah negatif.

“Sementara baki 21 orang yang tidak perlu melakukan ujian juga bebas daripada proses kuarantin di rumah apabila tidak menunjukkan sebarang gejala setelah tamat proses kuarantin selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berhubung status kesihatan Jackie, Ahmad Shapawi berkata keputusan sampel ujian kali ketiga pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu yang diambil pada Sabtu lalu menunjukkan keputusan negatif.

“Namun, beliau masih perlu melalui ujian kali terakhir yang dibuat pada 30 Mac untuk memastikannya
benar-benar bebas daripada jangkitan dan keadaan beliau ketika ini sihat,” tambahnya.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata MSN bersama Institut Sukan Negara (ISN) melalui Jawatankuasa Bertindak Covid-19 sudah melaksanakan beberapa tindakan serta-merta.

Beliau berkata bagi tujuan pencegahan, MSN dan ISN melakukan proses sanitasi sebanyak dua kali pada 17 Mac dan 24 Mac melibatkan kawasan yang dikunjungi Jackie dalam tempoh 1 hingga 10 Mac sebelum proses sama di keseluruhan Kompleks MSN, ISN dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 25 Mac.

“Sememangnya harapan kita agar tiada lagi jangkitan melibatkan atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara dan mereka dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan terus di hospital atau pejabat kesihatan berdekatan bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut jika terdapat simptom.

“Atlet perlu terus melakukan latihan persendirian berdasarkan program latihan yang dibekalkan oleh jurulatih masing-masing dan semua diminta mematuhi segala arahan dan panduan dikeluarkan pihak kerajaan dari semasa ke semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: MSN larang atlet ke lima negara

SHAH ALAM, 5 MAC: Semua atlet negara termasuk yang sedang membuat persiapan Olimpik Tokyo 2020 dilarang menjalani latihan dan menyertai kejohanan di lima negara susulan Covid-19, kata ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata larangan membabitkan China, Korea, Itali, Iran dan Jepun berkuat kuasa bulan ini dan dipersetujui semua pihak, lapor Berita Harian.

“Kita patuhi nasihat Kementerian Kesihatan untuk elak atau pergi ke lima negara tersebut, malah tidak akan hantar atlet ke sana sepanjang bulan ini,” katanya.

Ahmad Shapawi berkata pihaknya juga tidak akan menyediakan peruntukan kepada mana-mana program utama, sasaran atau persahabatan dengan lima negara itu.

Beliau berkata MSN tidak mahu atlet beraksi dengan separuh hati atau dibelenggu kerisauan, namun akan memutuskan tindakan lanjut berdasarkan perkembangan semasa.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet pekak dan bisu jadi ikon OKU

SHAH ALAM, 10 FEB: Atlet pekak dan bisu diangkat sebagai ikon orang kelainan upaya (OKU) atas kebolehan meletakkan diri pada peringkat lebih tinggi, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata usaha itu menjadi pemangkin kepada OKU lain untuk keluar dari kepompong dan mempamerkan bakat masing-masing.

“Justeru, MSN dan Kerajaan Negeri mahu atlet ini diberi bantuan sewajarnya seperti latihan dan insentif selain menggilap bakat mereka serta membina keyakinan diri.

“Sukan amat istimewa kerana meletakkan manusia sama taraf dan menjadi landasan terbaik untuk OKU melangkah maju,” katanya selepas menyerahkan insentif kepada pemenang pingat kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia 2018 di pejabat MSN hari ini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor tahun lalu, EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman memaklumkan pihaknya komited membangunkan empat pusat sukan dan rekreasi inklusif untuk semua golongan.

Ia merujuk kepada Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Shah Alam, Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam dan Kompleks 3K Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sopma 2020: MSN tawar ganjaran atlet sumbang pingat

SHAH ALAM, 10 FEB: Atlet Selangor yang menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) pada Jun ini dicabar mempamerkan prestasi terbaik dan menyumbang pingat.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata insentif akan diberikan jika atlet berjaya meletakkan pasukan pada kedudukan ketiga kejohanan itu.

Adi Faizal Ahmad Tarmizi menyerahkan insentif kepada pemenang pingat kejohanan Sopma 2018 di pejabat Majlis Sukan Negeri Selangor pada 10 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya lihat pencapaian mereka saban tahun amat baik dan jika berjaya kali ini, MSN akan keluarkan peruntukan lebih untuk menghargai pengorbanan atlet,” katanya selepas menyampaikan insentif kepada pemenang pingat kejohanan Sopma 2018 di pejabat MSN di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sabran Abd Bahar dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor (Seldeaf) Sarkunan Balakrishnan.

Seramai 23 atlet menerima insentif wang tunai RM3,800 daripada Tabung Seldeaf.

Johor bakal menganjurkan Sopma pada 22 hingga 27 Jun ini sebelum berlangsungnya Sukan Malaysia (Sukma) pada 11 hingga 19 Julai 2020 diikuti Para Sukma pada 15 hingga 22 Ogos 2020.

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN bertanggungjawab atas pencapaian skuad negara di Sukan SEA

NEW CLARK CITY, 11 DIS: Majlis Sukan Negara (MSN) bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan atlet negara mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA Ke-30, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“MSN mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan kontinjen kita pada kali ini,” katanya pada sidang media mengenai prestasi atlet Malaysia pada Sukan SEA 2019 di sini, hari ini.

Prestasi sukan yang disasarkan untuk menyumbang pingat emas kepada Kontinjen Malaysia pada Sukan SEA di Filipina juga adalah mengecewakan.

Beliau mendedahkan hanya 18 daripada 26 jenis sukan yang disasarkan untuk memenangi emas, berjaya menyumbang kutipan 50 emas kepada kontinjen negara pada temasya sukan dwitahunan itu kali ini.

Kegagalan beberapa sukan seperti pelayaran, memanah, tenpin boling, luncur ais dan sukan berhalangan meraih emas, telah menjejaskan kutipan keseluruhan pingat emas kontinjen negara, katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi memuji beberapa sukan yang mempamerkan aksi memberangsangkan dengan menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara pada kali ini.

Sukan-sukan berkenaan adalah gimnastik artistik dan berirama yang menjadi penyumbang tertinggi dengan kutipan sembilan emas, olahraga (lima emas), terjun, karate dan boling padang (masing-masing empat emas), badminton (tiga emas), selain e-sukan yang menyumbang satu emas dalam permainan ‘Hearthstone’ walaupun membuat penampilan sulung pada Sukan SEA kali ini,

Beliau mengakui empat jenis sukan yang kurang diberi perhatian, iaitu snuker dan billiard, dancesport, catur, papan selaju telah menyumbang satu emas, selain wushu dengan kutipan dua emas walaupun tidak disenaraikan dalam sasaran awal kontinjen negara.

“Sebanyak enam pingat emas telah diperoleh dari sukan-sukan yang tidak ditetapkan sasaran awal. Kemampuan sukan-sukan ini untuk menyumbang pingat emas adalah membanggakan kontinjen negara,” katanya,

Pada masa sama, Ahmad Shapawi memuji prestasi luar biasa yang ditampilkan beberapa atlet negara pada kali ini, termasuk Muhammad Haiqal Hanafi, Andre Anura Anuar, Farah Ann Abdul Hadi dan Loh Choon How yang menjadi antara penyumbang kutipan emas tertinggi untuk kontinjen negara.

Muhammad Haiqal ditabalkan selaku Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu selepas mengungguli acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.35 saat, manakala Andre Anura pula mencatat rekod baharu kebangsaan acara lompat jauh dengan catatan 8.02 meter, sekali gus memadam rekod terdahulu, 7.88 meter yang dilakar Josbert Tinus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand.

Farah Ann Abdul Hadi menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara All Round Wanita Akhir pada Sukan SEA Manila 2019 di Rizal Memorial Sports Complex pada 2 Disember 2019. Foto BERNAMA

Farah Ann pula menepati status beliau selaku ratu gimnastik Asia Tenggara selepas memperolehi tiga emas dalam gimnastik artistik, manakala Loh membawa pulang dua emas dalam acara wushu walaupun tidak diletakkan sebagai sasaran emas.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shapawi berkata, tumpuan akan terus diberikan untuk memperkasakan program pembangunan atlet pelapis menerusi sistem latihan yang lebih sistematik untuk persiapan jangka panjang menghadapi beberapa temasya sukan pada masa akan datang.

“Oleh itu, pengurusan MSN akan mempergiatkan program pelapis di pelbagai peringkat dan semua persatuan sukan yang terlibat, diminta untuk merangka program latihan yang lebih baik dan berstruktur,” kata Ahmad Shapawi.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Timbalannya, Nurul Huda Abdullah, serta Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nazifuddin Mohd Najib.

Malaysia sekadar menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 56 emas, 58 perak dan 72 gangsa untuk berada di tangga kelima keseluruhan.

Tuan rumah, Filipina muncul juara buat kali kedua selepas edisi 2005 di Manila setelah mengumpul 149 pingat emas, 117 perak dan 121 gangsa, diikuti Vietnam (98-85-105), manakala Thailand menduduki tangga ketiga (92-103-123).

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 773 atlet dan 339 pegawai menyertai 52 daripada 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Sukan SEA 2019 yang bermula sejak 24 November, melabuhkan tirai dengan upacara penutupan rasmi di Stadium Olahraga New Clark City malam ini.

Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2021.