Categories
SELANGOR SUKANKINI

Adi Faizal mulakan tugas di MSN Selangor

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUN: Adi Faizal Ahmad Tarmizi secara rasminya memulakan tugas sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor hari ini.

Beliau yang tiba di Pejabat MSN Selangor di Seksyen 7 sekitar jam 7.30 pagi dan disambut Timbalan Pengarah Pengurusan dan Kewangan, Muhamad Taufeq Shah Rawi.

Adi Faizal ketika dihubungi SelangorKini berkata, beliau sedang meneliti beberapa perkara berkaitan MSN khususnya dari segi carta organisasi, fungsi dan tugas.

“Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar. Untuk masa ini, saya perlu dapatkan lebih banyak informasi berkaitan pembangunan sukan dan pembangunan belia.

“Insya-Allah kita akan adakan perhimpunan bersama semua pegawai dan anggota MSN dalam tempoh terdekat,” katanya.

Pelantikan Adi Faizal berkuat kuasa 10 Mei lalu selepas menerima surat lantikan yang diserahkan sendiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya Majlis Penyampaian Amanat dan Surat Pelantikan kepada pegawai-pegawai kanan di Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, 14 Mei lalu.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Perumahan) Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Tanah Petaling.

Categories
SELANGOR

Setiausaha MPK mula berkhidmat di MSN 1 Jun ini

 

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 29 MEI : Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adi Faizal Ahmad Tarmizi bakal memulakan tugas sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkuat kuasa 1 Jun ini.

Adi Faizal ketika ditemui berkata, pengalaman selama tiga tahun berkhidmat di MPK akan menjadi satu jambatan perubahan yang boleh diaplikasikan di tempat baharu akan datang.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada Yang Dipertua, Ahli Majlis, ketua jabatan dan rakan agensi kerajaan lain, wargakerja MPK dan media yang banyak membantu dalam memberi input menjadikan Klang maju serta makmur.

“Mudah-mudahan pengalaman sepanjang berkhidmat di MPK ini dapat diaplikasikan di tempat baharu yang saya akan mula lapor diri pada 1 Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Bulanan Bil 5/2019 MPK, di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Ahli Majlis MPK.

Mengulas berkenaan pengalaman mencabar sepanjang berkhidmat di MPK, Adi Faizal berkata, antara perkara tidak boleh dilupakan adalah menangani kes bunga api pada malam tahun baharu 2016.

“Banyak perkara yang saya pelajari ketika itu dan ia menjadi iktibar bukan setakat kepada saya sebaliknya mungkin Dato’ YDP serta seluruh warga kerja MPK.

“Ia berkenaan betapa pentingnya pengurusan bagi memastikan sesuatu perkara itu berjalan secara efektif dan baik tanpa ada sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.

Manakala, katanya, perkara manis sepanjang berkhidmat di MPK tidak terkira namun paling menggembirakan apabila MPK berjaya menjadi juara keseluruhan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia pada 2017 dan naib juara bagi tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Hutang lapuk sukarkan MSN Selangor berdiri sendiri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri berpandangan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) masih tidak mampu berdiri sendiri sebaliknya memerlukan pembiayaan dana daripada kerajaan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, MSN yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri sejak 2009-2010 kini masih menanggung hutang lapuk hampir RM20 juta.

“Ketika ini saya katakan tidak mampu. Malah, sebelum ini di zaman Barisan Nasional juga dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri.

“Dari rekod yang diperolehi agak menakutkan. Bukan sahaja ada aset malah terpaksa menampung hutang lapuk. Lebih RM20 juta ditanggung dari RM40 juta hasil daripada pembangunan kepada aset MSN yang dibuat dahulu

“Seharusnya, pembangunan yang dibuat mendatangkan hasil akhirnya kita terpaksa tanggung hutang. Ini satu beban besar yang terpaksa ditanggung MSN,” katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri Permatang, Sulaiman Razak.

Katanya, tanah yang seharusnya diberikan kepada MSN untuk membayar hutang dan dibangunkan kawasan perumahan tetapi hutang tidak dibayar dan lebih menggemparkan data berkenaan turut hilang berdasarkan maklumat yang diperoleh.

Katanya, adalah lebih baik MSN memberikan tumpuan memastikan Selangor menyediakan atlet untuk bersaing diperingkat kompetatif atau sukan berprestasi tinggi.

“Biarlah MSN tumpu kepada pembangunan sukan sebaliknya pengurusan harta diuruskan MBI atau Darul Ehsan Facilities secara profesional,” katanya.

Menyentuh soal peruntukan MSN, sejumlah RM5.6 juta diperuntukkan untuk pengurusan dengan pecahan emolumen RM4.2 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM999,000), perolehan aset (RM37,000), pemberian dan kenaan tetap (RM136,000 serta perbelanjaan (RM205,000).

Sehingga kini, MSN mempunyai 78 pegawai berbanding 40 kerana pertambahan tugas untuk menguruskan gerak kerja generasi muda dan belia, pada 2008.

 

Categories
SUKANKINI

MSN Selangor sedia bincang dengan persatuan sukan

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 17 OKT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sedia mengadakan perbincangan dengan persatuan sukan di bawah naungannya ke arah kemajuan sukan di negeri itu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata MSN Selangor akan menilai dan melihat bentuk bantuan diperlu berdasarkan perancangan dirangka sesuatu pertubuhan sukan itu.

“MSN Selangor sedia berbincang mengenai perkara ini.

“Kalau mereka mempunyai rancangan terhadap program pembangunan sukan, sudah pasti kita bersedia membantu dengan keupayaan dimiliki,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap Persatuan Sepak Takraw Selangor dan Persatuan Badminton Selangor yang meminta Kerajaan Negeri melakukan penambahbaikan dalam pembangunan sukannya.

Mengulas lanjut, katanya, setakat ini Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sekitar RM40,000 setahun kepada semua persatuan sukan untuk program pembangunan sukan dan bagi penyertaan dalam beberapa kejohanan.

“Walaupun saya percaya tidak cukup kepada sebahagian persatuan sukan tetapi ia memadai untuk persiapan menyediakan atlet ke kejohanan seperti Sukan Malaysia (Sukma).

“Namun begitu, terdapat persatuan sukan tertentu menyediakan program yang banyak dan tersusun.

“Kalau persatuan sukan itu sudah nampak bergerak aktif maka ia tidak menjadi halangan kepada kita untuk memberikan sokongan,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Pacu pembangunan sukan belia ke peringkat lebih baik

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 APR : Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) menyambut baik inisiatif diwujudkan pelbagai pihak untuk menggalakkan pembangunan sukan menerusi program berteraskan golongan belia di seluruh negeri.

Timbalan Pengarahnya, Mohd Najwan Halimi, berkata komitmen itu perlu diteruskan bagi memacu kepada kemajuan pembangunan sukan negeri di peringkat tertinggi.

MSN SUKAN“Apabila kita dimaklumkan pihak penganjur mengadakan program sebegini, kita memberi sokongan lebih-lebih lagi ia melibatkan golongan belia.

“Jadi tidak salah untuk kita turun padang dan membuat kerjasama dengan UNISEL kerana aspek belia itu juga di bawah pemantauan pihak kami.

“MSN mengalu-alukan sebarang aktiviti mahasiswa atau golongan beliau untuk menjalankan program pembangunan belia,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada program larian Colour Run Universiti Selangor (UNISEL), anjuran Mahasiswa Sarjana Perniagaan Universiti itu.

Kerajaan Negeri melalui Bahagian Pembangunan Belia MSN Selangor konsisten merangka pelbagai inisiatif membangunkan dasar pertumbuhan sukan negeri ke peringkat lebih baik.

Keperluan itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai negeri Smart State mencakupi bidang sukan dan pembangunan belia.

EZY

Categories
EKSKLUSIF

Kembalikan kejaguhan Selangor, turun ke daerah gilap bakat baharu

Kredibiliti dan karisma Mohd Zubir Idrus disegani ramai. Kemunculan semula beliau menerajui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sebagai Pengarah Eksekutif membayangkan kebangkitan semula sukan negeri. Ikuti temu bual wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA mengenai misi dan visi beliau.

Setelah membuat ‘comeback’, apakah perancangan untuk pembangunan sukan di Selangor?

Suatu ketika dulu, Selangor adalah jaguh sukan di negara ini dengan merangkul gelaran juara tujuh kali, enam daripadanya kemenangan berturut-turut dalam Sukan Malaysia (Sukma). Ini menunjukkan pencapaian Selangor sangat cemerlang.

Kejayaan itu bergantung kepada perancangan antara MSN Selangor dengan persatuan sukan kerana mereka memainkan peranan penting dengan dibantu oleh Kerajaan Negeri.

Atlet tidak boleh kekal selamanya, mereka datang dan pergi. Jadi kita memerlukan perancangan berterusan.

SUKMA XVI 01Apabila menerajui MSN Selangor, saya bertekad mencurahkan segala kebolehan bagi mengembalikan kegemilangan sukan di Selangor. Tidak banyak perubahan boleh dirangka, cuma lebih kepada meningkatkan, pemantauan dan memastikan perancangan itu baik.

Untuk mencungkil bakat atau menghasilkan atlet cemerlang, kita perlu ada asas kukuh dan besar iaitu memainkan peranan bersama Majlis Sukan Daerah (MSD). Tugas saya untuk memastikan MSD bergerak dengan lebih berkesan.

MSD tiada organisasi tetap. Jadi kita susah untuk kesan atau gilap apa yang berlaku, sebaliknya hanya tahu bakat atlet bila sampai ke pertandingan peringkat negeri.

Dengan adanya MSD, kita dapat selaraskan dengan persatuan sukan daerah. Paling penting menjalin kerjasama kerana ini asas pencarian bakat.

Bila digerakkan secara berkesan, kita akan dapat data atlet berpotensi yang boleh dibawa ke peringkat seterusnya.

Kategori sukan apakah paling menonjol dalam bakat baharu?

Kejayaan Selangor di Sukma tidak bergantung kepada satu kategori ukan sahaja. Untuk cemerlang dan membawa nama negeri ke peringkat lebih tinggi, ia perlu datang dari pelbagai bidang.

Sukan paling banyak medal ialah sukan individu seperti renang, olahraga dan silat. Tetapi, paling menonjol sukan renang dan gimnastik manakala yang kurang menyerlah ialah olahraga.

sukma akuatik 01Namun, dengan kewujudan sekolah sukan yang dilengkapi pelbagai kemudahan, kita jangka Selangor akan memiliki atlet lebih baik pada masa depan.

Kita ada ‘ready made’ atlet untuk kembangkan bakat mereka ke peringkat tertinggi selain dalam program persatuan. Bila asas itu besar, peranan utama ialah uruskan dengan lebih berkesan.

Apakah penambahbaikan untuk prasarana sukan di negeri ini?

Dari segi itu, kita ada banyak fasiliti, malah menjadi rujukan negeri lain. Sekitar 15 tahun lalu, kita wujudkan pusat rehabilitasi dan fisioterapi di MSN Selangor untuk membolehkan atlet mendapat perkhidmatan ‘up to date’.

Dari segi stadium, Selangor memiliki beberapa antaranya Stadium Malawati Shah Alam yang dulunya tiada di tempat lain. Kita tidak kekurangan dari sudut fasiliti, cuma ia sudah terlalu lama dan perlu penambahbaikan dan lengkapkan dengan teknologi terkini.

Bukan tiada kemudahan tetapi perlu naik taraf. Selangor memang ke hadapan tetapi kita perlu bersaing dari segi teknologi memandangkan negeri lain turut ada kemudahan sama. Itu fokus sekarang.

Apakah nilai tambah yang perlu diberi perhatian dalam struktur MSN Selangor?

Produk kita ialah sukan manakala lain-lain ialah suplemen kepada produk utama. Kita perlu perkukuhkan organisasi sukan supaya ia lebih mantap.

Kita tidak boleh pilih mereka yang ada minat tanpa kelayakan atau kemahiran sesuai. Bila bercakap tentang trend latihan terkini, kita perlu mereka yang berilmu. Jadi, bila kita ambil kakitangan, kelayakan jadi keutamaan.

Kita perlu tambah nilai untuk maju supaya kita tidak ketinggalan. Kita perlu berbelanja untuk atlet, latihan dan lebih pendedahan.

Apakah program terbesar MSN Selangor sepanjang tahun ini?

Kita sudah kategorikan pembangunan sukan di Selangor. Pertama, persedian Sukma dua tahun sekali. Yang perlu latihan segera. Contoh, apabila Sukma habis dalam masa dua bulan, atlet perlu buat latihan semula.

SukanIni kita panggil program khas untuk sukan individu. Dalam Sukma kita ada beberapa fasa, antaranya kenal pasti sukan individu yang atlet sudah dipilih dan kita lantik jurulatih khas.

Fasa kedua pula lebih kepada sukan yang boleh bawa medal banyak contohnya sepak takraw. Ketiga, atlet yang ‘almost there to go’.

Kita juga ada projek khas iaitu membawa bakat baharu yang layak ke sekolah sukan seperti di Seksyen 11, Shah Alam. Kita bantu dan latihan diuruskan persatuan.

Cadangan kontrak sehingga lima tahun untuk atlet Selangor seperti sukan bola sepak. Komen?

Ia langkah baik tetapi kita perlu lihat dari segi prosedur kerana bila bercakap tentang atlet remaja, mereka bergantung kepada kebenaran ibu bapa, pihak berkuasa tertentu dan sebagainya untuk dapat kebenaran.

Sebenarnya, atlet yang dibiayai mesti mewakili Selangor. Pemain profesional boleh diadakan kontrak tetapi atlet (tanpa tandatangan atas kertas kerja) juga dianggap kontrak.

Kalau kita keluarkan banyak belanja untuk atlet itu, apabila mereka dapat tawaran lain dan bersetuju untuk pergi, itu dianggap tidak beretika.

MSN ada prosedur. Jika atlet itu datangnya dari Selangor, dia mesti mewakili Selangor. Kontrak tidak bermaksud kena ada kertas kerja.

Cuma konsepnya bila kita tanggung anak yang datang dari rumah kita, takkan hendak beri kepada orang lain? Bila mereka sampai satu tahap umur, itu cerita lain.

Harapan terhadap kemajuan sukan di Selangor?

Kemasukan saya buat kali ketiga untuk mengembalikan Selangor ke tahap lebih baik dari sebelumnya supaya dikenali sebagai negeri yang melahirkan atlet yang mengharumkan nama negara.

sukan3Saya berharap kita sampai ke tahap itu semula dan disegani. ‘Benchmark’ adalah Sukma kerana kalau kita boleh hasilkan atlet berkualiti dalam Sukma, kita mampu sediakan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Saya berharap MSN Selangor kembali disegani seperti dulu. Sebab di negeri lain, mereka sudah ada entiti sendiri. Dulunya mereka datang sini untuk belajar tetapi kita sudah kehilangan semua itu.

Kita mahu kembalikan kegemilangan sukan. Selangor adalah antara negeri yang pemimpinnya sangat prihatin dengan sukan. Saya berharap dapat meletakkan Selangor ke tahap seperti dulu atau lebih dari itu.

Categories
SELANGOR

MSN: Peruntukan sukan patut ditambah, RM5 juta tak cukup

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM 26 SEPT: Peruntukan bagi pembangunan sukan perlu ditambah bagi membolehkan program sukan diperluas dan dipergiatkan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata peruntukan RM5 juta setahun adalah jumlah yang rendah jika dibandingkan dengan negeri lain.

Sukan SelangorKatanya, kepimpinan Menteri Besar dan exco baru diharap dapat mempertimbangkan hasrat MSN untuk memiliki pejabat, asrama dan tempat latihan sendiri.

“Program pembangunan sukan negeri perlu diperhalusi dan dijalankan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Selangor Kini.

Katanya pembangunan sukan dengan membina serta membaik pulih kemudahan sukan di Shah Alam dan daerah-daerah perlu diberi perhatian untuk menaikkan prestasi sukan negeri.

“Sukan yang memerlukan kemudahan tempat latihan adalah olahraga, hoki, boling padang, memanah, gimnastik dan kanu,” katanya.

EZY

JURNAL BERITA – MB : Perlu patuhi adab, peranan Sultan tentu pemimpin negeri

1. Perlu patuhi adab, peranan Sultan tentu pemimpin negeri

2. Rakyat Selangor dapat manfaat hasil MoU PNSB, Tropicana Corp

3. MH370: Selangor kaji bentuk bantuan untuk keluarga mangsa

4. Catuan air diteruskan, kemarau dijangka berakhir awal April

5. MB hadiri bacaan Yassin dan Tahlil untuk krew, penumpang MH370

6. SUKMA 2014: MSN galas misi utama untuk kekal kejuaraan Selangor

7. Jerebu jejas pendapatan nelayan pesisir pantai

8. Tiada hujan punca catuan air di Selangor, Putrajaya berterusan

9. Klang Parade anjur Children’s Fair hingga 30 Mac

10.Duta Mesir angkuh, enggan terima kunjungan PAS

11.Parlimen: Pertandingan siapa lebih pro-Umno bunuh badan kehakiman

12.Parlimen: Kerajaan harus minta maaf pada keluarga penumpang di China

13.Keluarga penumpang, anak kapal MH370 terima kenyataan jika ada bukti

14.KM baru Sarawak sombong, BN tidak hormat proses pilihan raya

Categories
SELANGOR

SUKMA 2014: MSN galas misi utama untuk kekal kejuaraan Selangor

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 27 MAC: Kejayaan Skuad Bawah 19 Selangor menjulang Piala Belia 2013 antara bukti pelaburan besar Majlis Sukan Negeri (MSN) bersama Kerajaan Negeri dalam melahirkan atlet berbakat membuahkan hasil.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi, berkata kejayaan terbabit mencerminkan komitmen pihaknya menempatkan Selangor sebagai peneraju sukan tanah air.

“Bakat yang kita lahirkan ini sememanganya berkualiti. Jadi, tidak mustahil apabila lebih lapan atlet daripada skuad itu kini diserap masuk bagi membarisi skuad Harimau Muda C.

“Ada juga antara mereka berjaya diserap bawah Skuad Bawah 21 Piala Presiden,” katanya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERASkuad Bawah 19 Selangor bimbingan Adam Adullah muncul juara Piala Belia 2013 selepas berjaya menundukkan Kelantan 2-1 pada aksi final di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jun lalu.

Kejayaan itu menamatkan penantian panjang Selangor selama tujuh tahun selepas kali terakhir bergelar juara Kejohanan B-19 pada 2006 ketika dibawah kendalian Penolong Jurulatih Skuad Liga Super Selangor musim ini, P Maniam.

Pasukan itu juga diangkat sebagai Pasukan Terbaik, manakala, jurulatihnya dianugerahkan Jurulatih Terbaik pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2013, baru-baru ini.

Bercakap kepada Selangor Kini, Nizam juga membayangkan pasukan terbabit juga akan membuat kejutan dengan membawa pulang pingat pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 yang akan berlangsung di Perlis, Mei ini.

“Ini yang dikatakan perkongsian bijak apabila kita akan serapkan Skuad B-21 Piala Presiden untuk mewakili Selangor ke SUKMA di Perlis.

“Mereka pernah buktikan pada Piala Belia dengan memenangi tujuh perlawanan tanpa kalah dan akhirnya muncul juara untuk kejohanan itu. Jadi, tidak mustahil kejayaan yang sama akan diulangi mereka di SUKMA nanti,” katanya.

SUKMA XVI 02Nizam berkata, SUKMA adalah misi utama pihaknya dalam memastikan Selangor terus mara dan kekal juara.

“Tumpuan utama kita buat masa ini adalah SUKMA kerana ia membabitkan semua program pembangunan sukan peringkat negeri. Kalau menang SUKMA, ini bermaksud program pembangunan sukan negeri berada pada landasan yang betul.

“SUKMA tahun ini akan mempertandingkan 24 jenis sukan dan kita memberi komitmen serta tumpuan sama rata kepada semua sukan,” katanya.

-NFN-