Categories
NASIONAL

Pemimpin BN Dicabar Melawat Tapak Skandal Tanah Di Selangor

SHAH ALAM,5 DIS : Ketua Biro Profesional Muda MCA Pusat, Datuk Chua Tee Yong dijemput melawat tapak 24 keping tanah milik Kerajaan Negeri Selangor yang diberikan kepada Umno-BN sekitar tahun 2004 -2008.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataan medianya berkata, Chua yang terlalu obses berkenaan ‘skandal tanah’ khususnya di Selangor perlu menerima tawaran jemputan ini.

Kata Tony, lawatan bersama ke 24 tapak tanah itu bagi mengesahkan samada tanah yang diberikan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan sememangnya digunakan untuk ‘komuniti’ atau untuk keuntungan parti dan kroni.

“Semasa lawatan bersama Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh ke kawasan tapak seluas 87.188 kaki persegi di Ara Damansara yang diberikan kepada Umno Bahagian Subang mendapati tidak wujud tadika atau dewan komuniti.

“Sebaliknya kita mendapati sebuah kondominium 200 unit – Kondominium Suria Damansara bernilai lebih daripada RM500 juta yang mula dilancarkan pada tahun 2006,” kata Tony.

Justeru, lawatan bersama itu juga bagi mengenalpasti keuntungan 23 daripada 24 tapak tanah itu yang diperolehi oleh anggota BN daripada tanah tersebut yang diperolehi pada harga murah daripada Kerajaan Negeri BN sebelum ini.

Ng Suee Lim yang dihubungi berkata, dakwaan Ketua Bahagian Umno Subang, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menafikan pemilikan tanah oleh Umno Subang itu sebagai tindakan untuk melindungi diri semata-mata tanpa hujah kukuh.

Kata Suee Lim, geran tanah tersebut masih di atas nama Umno Bahagian Subang yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat membina dewan serbaguna dan tadika.

“Sepatutnya beliau mengetahui wujudnya tanah ini yang mungkin berlaku sebelum beliau menjadi Ketua Bahagian Umno Subang, sepatutnya beliau mempunyai rekod berkenaan perkara ini,” kata Suee Lim.

Jelas beliau, perkara ini akan di bawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan juga laporan kepada polis akan dibuat dalam masa terdekat.

“Menteri Besar Selangor pun bersetuju perkara mengenai ini di bawa ke Selcat yang kini akan diteliti oleh Jawatankuasa Selcat,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tawaran Pemilikan Tetap Untuk Penghuni Tanah Kampung

SHAH ALAM 28 NOV : Kerajaan Negeri tidak lagi mengeluarkan sebarang Lesen Menduduki Tanah Sementara (TOL) kepada penghuni yang mendirikan penempatan di atas tanah milik kerajaan.

Sebaliknya, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri lebih berminat untuk memberikan status pemilikan kepada mereka.

“Oleh sebab itu kita mengarahkan Pejabat Daerah untuk memastikan jika benar-benar mereka tinggal di situ, maka kita akan beri hak pemilikan.

“Amalan ini dilihat lebih baik untuk jangka masa panjang jika dibandingkan dengan amalan mengeluarkan TOL seperti yang diamalkan sebelum ini,” jelas Abdul Khalid.

Beliau menjawab soalan lisan daripada Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor mengenai status pemilikan tanah Kerajaan Negeri di kampung-kampung tradisional.

Mengulas isu pertindihan pemilikan tanah, Abdul Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri akan menggantikan tanah dalam kes-kes pemilikan bertindih.

Namun, penggantian tanah tersebut adalah tertakluk kepada arahan yang diputuskan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan penggantian dibuat hanya jika kesilapan berlaku di peringkat Kerajaan Negeri.

“Jika pertindihan berlaku kerana ‘fraud’ atau penipuan, maka tanggungjawab tersebut (menggantikan tanah) terlepas daripada Kerajaan Negeri,” tegasnya.

Categories
SELANGOR

Asrama YS Mampu Tempatkan 1,500 Pelajar

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri Selangor menafikan dakwaan merobohkan asrama Yayasan Selangor (YS) di atas Asrama Tun Dr Ismail (ATDI) dan Asrama Toh Puan Norashikin (ATPN) adalah bagi menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan dengan mengkomersial aset-aset sedia ada.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab pertanyaan Adun Paya Jaras (BN), Datuk Muhammad Bushro Mat Johor berkata Kerajaan Negeri juga sedang dalam usaha menempatkan pelajar ke sekolah berasrama penuh di tanah YS di Bestari Jaya.

“Sekolah berasrama penuh itu terletak di sebelah Universiti Selangor (UNISEL) yang berpaya menempatkan lebih 1,500 pelajar. Ibu bapa boleh melihat perkembangan yang kita lakukan.

“Soal tidak prihatin dengan nasib pelajar tidak timbul.Perlu kita lihat bagaimana perancangan masa depan, setiap tahun kita menjemput mereka yang menjadi ahli ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi melihat perkembangan yang dilakukan oleh Yayasan Selangor (YS). Akaun YS juga dibentangkan dan diaudit serta perancangan masa depan untuk YS,” katanya.

Beliau berkata dalam kajian beberapa tahun lalu, Kerajaan Negeri melihat kesusahan pelajar berulang-alik dari asrama ke sekolah-sekolah bestari sekitar Kuala Lumpur yang mengambil masa beberapa jam.

“Kita bukan tidak efisyen,salah satu usaha yang kita lakukan, berjumpa dengan sekolah-sekolah dan menyewakan penempatan bukan turun naik bas setiap hari dalam keadaan yang tidak memuaskan,” katanya.

Tambahnya, keputusan menempatkan pelajar ke kawasan luar bandar itu juga dilihat berdasarkan keputusan penilaian pelajar YS lebih baik contohnya di Sabak Bernam dan Kuala Kubu Bharu.

“Dengan wujudnya cadangan ini, penambahan pelajar akan dapat dilaksanakan berbanding dengan tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menghadkan hanya lima pelajar kerana memberi peluang kepada pelajar bandar sahaja.

“Maka dengan itu, kita mempersoalkan apabila hanya 1,500 pelajar dibantu sedangkan kita patut tingkatkan dua kali ganda jumlah pelajar kerana peluang perlu diberikan kepada ramai pelajar yang memerlukan sokongan dan bantuan,” katanya.

Khalid berkata bagi merealisasikan impian untuk meningkatkan jumlah pelajar yang perlu diberi sokongan dan kajian juga telah dilakukan menunjukkan Kerajaan Negeri perlu membina asrama sendiri.

Jelasnya, pembangunan yang akan dijalankan di atas tanah itu dirancang berasaskan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang dilakukan dalam jangka masa panjang iaitu dengan mengambil kira keuntungan berlipat ganda.

Sebelum ini, Tanah seluas 7.5 ekar yang menempatkan Asrama Tun Dr. Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin akan dibangunkan untuk cadangan pembangunan bercampur (komersial, kediaman dan hotel) di lot 544 dan 545.

Pembangunan itu bertujuan untuk menjana sumber kewangan bagi pembangunan untuk projek jangka masa yang lebih terancang.