Categories
NASIONAL SELANGOR

PR : Naik Gaji Polis Jika Tadbir Putrajaya

KUALA LUMPUR 4 SEPT: Pakatan Rakyat(PR) menawarkan kenaikan gaji kepada anggota polis sebagai inisiatif pemangkin sekiranya berjaya mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ini merupakan antara tiga tawaran penambahbaikkan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat bertindak lebih efisyen dalam menjaga keselamatan awam.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tawaran ini menjadi antara agenda PR dalam menifesto pilihan raya akan datang.

Menurutnya, jumlah kenaikkan yang dicadangkan akan diumumkan kelak “Kita bersetuju dengan suasana yang ada dan pemerhatian yang diberikan kepada bahagian ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Dua tawaran kerangka utama lain adalah pembahagian semula sumber manusia dan meningkatkan teknologi siasatan.

“Strategi utama adalah pembahagian semula kakitangan PDRM.

“Bukan kita nak tambah tapi tempat yang tidak kritikal kita tambah ke tempat yang lebih kritikal.

“Yang kritikal adalah untuk melawan jenayah. Kalau mengikut standard ukuran yang betul-betul efektif dari segi IO (investigating officer) sebulan kena ada 5 sahaja.

“Sekarang ada 20. Ini tidak baik sebab itu banyak kes yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa munasabah,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata PR tidak bercadang untuk menambah kepada 80,000 anggota polis menjelang 2015 seperti yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, langkah ini dapat menguruskan kewangan negara dengan lebih baik dan memberikan banyak manfaat kepada negara.

Sementara itu, PR turut bersedia menghadapi PRU-13 sekiranya diadakan pada November meskipun angka 11 mempunyai signifikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mustafa berkata, perkara utama kini adalah PR sudah bersedia untuk berhadapan Umno-BN.

“Nombor magik ’11’ mungkin boleh diterima pakai, namun belum tentu nasib mereka baik (Umno-BN)

“Pernah PRU pada November tapi mereka kalah,” katanya.

Pada PRU ke-10 pada tahun 1999, PR yang pada ketika itu dikenali sebagai Barisan Alternatif berjaya menawan Terengganu dan mengekalkan Kelantan yang terus dipimpin oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Categories
NASIONAL

Satu Tema Kemerdekaan Bagi Semua Negeri Pakatan Rakyat

PETALING JAYA, 10 OGOS :Kesemua negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat menyatakan pendirian mereka untuk terus menggunakan logo dan tema yang sama pada sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Kesepakatan itu diraih bersama seperti mana yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat Pusat menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

“Dalam konteks kita (Pakatan Rakyat), kita bukan sahaja menyambut Ulangtahun Hari Kemerdekaan malah turut meraikan Hari Malaysia yang akan diraikan di Semananjung, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut berhubung sambutan kedua-dua hari bersejarah itu, Mustafa menjelaskan sambutan Kemerdekaan akan diadakan di Selangor pada 30 Ogos manakala untuk sambutan Hari Malaysia pula akan disambut di Sabah pada 15 September dan Sarawak pada 16 September.

Dalam sidang media yang sama, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa menolak dakwaan kononnya Pakatan Rakyat sebelum ini berbeza pendapat apabila dilihat mengguna pelbagai tema kemerdekaan di negeri masing-masing.

“Negeri-negeri (Pakatan Rakyat) memiliki temanya sendiri, kita ada dua tema iaitu tema negeri dan tema kebangsaan.

“Tema negeri dikekalkan manakala tema pakatan rakyat (Sebangsa, Senegara, Sejiwa) digunapakai sebagai tema kebangsaan (mengantikan tema kerajaan – Janji ditepati),”ujarnya.

Pakatan Rakyat mengumumkan tema alternatif sambutan Hari Kemerdekaan “Sebangsa, Senagara, Sejiwa” sebagai menggantikan tema kerajaan menerusi slogan BN, ?Janji Ditepati?.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan logo dan tema sambutan Hari Kemerdekaan bagi Pakatan Rakyat.

Categories
NASIONAL

Pakatan Guna Tema, Logo, Lagu Kemerdekaan Berbeza

PETALING JAYA, 7 OGOS: Pakatan Rakyat (Pakatan) akan menggunakan tema, logo dan lagu sambutan Merdeka ke 55 yang tersendiri dan berbeza dari Kerajaan Pusat.

Keputusan itu diambil apabila tema Hari Kebangsaan ‘Janji Ditepati’ yang diumumkan Kerajaan Pusat bersifat kepartian kerana ia mirip tema kempen pilihan raya BN.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini, kepimpinan Pakatan telah bersetuju untuk mengangkat ‘Sebangsa Senegara Sejiwa’ sebagai tema Hari Kemerdekaan.

Bagaimanapun menurut beliau, logo dan lagu akan diumumkan pada hari Khamis nanti.

“Kita dah kenal pasti, nanti hari Khamis ini kita akan umumkan secara rasmi di sini juga,” kata Mustafa dalam sidang media Pakatan yang diadakan di Ibu Pejabat PKR tadi.

Mustafa juga memberitahu, lagu gubahan seorang komposer terkenal dipilih sebagai lagu tema Hari Kemerdekaan tahun ini.

Dalam isu sama, Mustafa memberitahu negeri Kedah dan Kelantan akan menggunakan tema yang berbeza.

“Exco Kelantan dan Kedah akan guna tema lain kerana mereka terlebih dahulu buat keputusan dalam mesyuarat mereka, malah dah dicetak,” katanya lagi.

Menurutnya, keputusan itu diambil bagi mengelakan pembaziran berlaku dalam negeri-negeri yang diterajui Pakatan.

Sebelum ini, tema Merdeka Kerajaan Pusat Umno-BN yang diumumkan Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim, ?55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’, mendapat tentangan dari pelbagai pihak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PRU-13: Tak Kira Sept Atau Nov, Pakatan Bersedia

PETALING JAYA, 7 OGOS: Pakatan Rakyat (Pakatan) telah bersedia sepenuhnya sekiranya jangkaan Pilihan Raya Umum ke 13  akan diadakan pada bulan September atau November menjadi kenyataan.

Demikian menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang media bersama pemimpin PR di Ibu Pejabat PKR, di sini.

“Kemungkinan BN akan mengambil kesempatan daripada perayaan kemerdekaan ini untuk naikkan dia punya imej barangkali, berjaya atau tidak itu soal lain.

“Sebab itu kita jangka kemungkinan paling dekat PRU ini akan diadakan pada bulan September atau kalau tidak, pada November selepas Raya Haji.

“Apa pun, September atau November kita telah mengambil langkah sewajarnya dan kita telah bersedia untuk hadapi PRU-13 walau apa pun tarikh yang ditentukan oleh Kerajaan.

Ketika menjawab satu soalan, Mustafa berkata pemilihan calon-calon telah pun diselesaikan kecuali satu atau dua kawasan di beberapa negeri.

Beliau turut menambah, pembahagian di kawasan tersebut sedang berjalan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

Sementara itu dalam sidang yang sama Timbalan Pengarah Pilihan Raya DAP, Anthony Loke sekali lagi mengingatkan agar rakyat tidak termakan hasutan pemimpin BN.

“Dikalangan orang Melayu mereka burukan DAP supaya menjejaskan sokongan terhadap PAS.

“Di kalangan pengundi Cina pula mereka takutkan orang Cina dengan Hukum Hudud yang mahu dilaksanakan PAS supaya orang Cina tak berani sokong PAS,” kata Anthony.

Selain Mustafa dan Anthony turut hadip dalam sidang media PR itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Categories
SELANGOR

MB: Jika Gagal Dapat Lesen, Jangan Beri Rasuah

SHAH ALAM, 12 JUN : Jika gagal mendapatkan lesen, permit atau kelulusan daripada Kerajaan Tempatan, jangan beri rasuah.

Berikut adalah pesanan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu mereka yang gagal dalam urusan berikut untuk mengajukan masalah kepada Kerajaan Selangor.

“Kita mempunyai rekod, dan jika mereka tidak layak untuk memiliki lesen, maka kita akan sedaya upaya membantu mereka,” katanya di sidang media di Persidangan Pembangunan Integriti Di Sektor Awam dan Swasta di sini hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Selangor komited untuk membanteras rasuah sehingga ke peringkat bawahan dengan menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan bagi mencegah amalan rasuah.

“Rasuah bermula dengan adanya pemberi dan penerima. Jadi mekanisma yang terbaik untuk mengekang aktiviti ini adalah jangan memulakan pemberian rasuah dan ajukan perkara ini kepada kerajaan negeri,” katanya lagi.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapan perasmiannya menyatakan rasuah hanya menyebabkan kejatuhan sesebuah syarikat kesan daripada kegagalan menguruskan aset dengan sempurna.

“Syarikat tidak boleh maju jika pengurusnya mengamalkan rasuah serta tidak pandai menguruskan aset. Ini melambangkan kelemahan etika pengurusan dan integriti syarikat tersebut,” katanya.

Turut hadir di persidangan sehari ini adalah Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, Pengerusi Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam serta Pengarah ASLI, Tan Sri Dr. Michael Yeoh.

Persidangan di Shah Alam Convention Centre ini bertujuan membincangkan kaedah terbaik mengenai etika dan pengurusan integriti dalam menjalankan perniagaan. Ia dihadiri wakil-wakil pekerja daripada sektor awam dan swasta di Selangor.

Antara tokoh-tokoh yang menjadi panel adalah Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Abu Kassim Mohamed, Pengerusi Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali, Pengerusi Transparency International (TI), Datuk Paul Low.