Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat nelayan ditemui selepas empat hari, ADN ucap takziah

SHAH ALAM, 11 OKT: Mayat seorang nelayan yang hilang sejak empat hari lalu selepas bot dinaiki karam ditemui di perairan Pantai Kelanang, Kuala Langat hari ini.

Wakil rakyat Tanjung Sepat Borhan Aman Shah memaklumkan mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10 pagi dan dibawa ke Hospital Banting bagi proses bedah siasat.

Borhan Aman Shah (tengah) bersama penduduk setempat dan pasukan penyelamat ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang dipercayai lemas di Pantai Batu Laut pada 11 Oktober 2020. Foto ihsan Borhan Aman Shah

“Awalnya pagi tadi saya bersama pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hendak meneruskan operasi mencari dan menyelamat, namun dimaklumkan mayat mangsa sudah ditemui.

“Sejurus selepas itu, saya membawa anak mangsa ke lokasi untuk pengecaman. Saya berharap proses bedah siasat berjalan lancar dan pengebumian akan dilakukan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berterima kasih kepada pasukan penyelamat, persatuan nelayan serta penduduk setempat yang turut membantu.

Semalam, SelangorKini melaporkan Borhan menyertai misi mencari nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki karam pada 8 Oktober.

Kejadian malang itu berlaku apabila nelayan yang juga warga emas merawai ikan bersama anaknya di Pantai Batu Laut, namun anak mangsa terselamat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Tanjung Sepat sertai misi cari mangsa bot karam

SHAH ALAM, 10 OKT: Wakil rakyat Tanjung Sepat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki karam ketika merawai ikan di Pantai Batu Laut, kelmarin.

Borhan Aman Shah berkata operasi itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Balai Polis Tanjung Sepat serta nelayan setempat.

“Saya menerima taklimat bermula jam 7.30 pagi dan menyertai operasi SAR sehingga jam 12.30 tengah hari semalam. Pada operasi berkenaan, pasukan penyelam bomba melakukan pencarian sehingga 20 meter ke dasar laut, namun masih gagal menemui sebarang petunjuk.

“Oleh itu, kita akan minta bantuan daripada Tentera Diraja Laut Malaysia kerana mereka mempunyai kepakaran. Berdasarkan maklumat, kawasan dasar laut tempat dipercayai hilang itu agak dalam dan airnya lebih keruh,” katanya ketika dihubungi.

Borhan berkata kejadian malang itu berlaku apabila nelayan yang juga warga emas berusia 66 tahun merawai ikan di Pantai Batu Laut bersama anaknya.

Bagaimanapun, beliau berkata anak mangsa terselamat selepas sempat berpaut pada pelampung sebelum jeritannya meminta tolong didengari pemancing berhampiran.

“Operasi akan diteruskan sehingga jam 6 petang ini (semalam), sekiranya masih gagal ditemui, kita akan sambung pencarian esok (hari ini),” katanya memaklumkan anak mangsa kini dirawat di Hospital Banting.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Nelayan diminta salur maklumat, jangan jadi tali barut penyeludup

SHAH ALAM, 24 OGOS: Masyarakat terutama nelayan di Sekinchan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membendung pendaratan pendatang asing di kawasan itu, kata Ahli Dewan Negerinya.

Ng Suee Lim berkata pihaknya kesal apabila perairan atau jeti nelayan menjadi tempat pendaratan sekaligus mencemarkan imej Sekinchan sebagai lokasi pelancongan utama.

“Saya berharap orang ramai dan nelayan di Sekinchan, Sabak Bernam dan Sungai Besar bekerjasama menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan kepada pihak berkuasa.

“Saya ingatkan nelayan supaya tidak terlibat, bersubahat atau menjadi tali barut sindiket penyeludupan.

Saya gesa pihak berkuasa segera ambil tindakan jika ada nelayan terlibat, kita tidak boleh bertolak ansur,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex, di sini semalam.

Beliau mengulas berhubung tujuh bot nelayan tempatan membawa 28 pendatang asing termasuk tujuh tekong ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di perairan Sekinchan pada Rabu dan Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata hasil risikan mendapati sindiket penyeludupan menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar sebagai taktik terbaharu untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

42,000 nelayan boleh carum Perkeso mulai 15 Ogos

TAIPING, 9 OGOS: Seramai 42,000 nelayan buat julung kalinya dibenarkan mencarum dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengikut Akta Perkeso Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu bagi menggantikan caruman insurans nelayan kelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), yang akan dilaksanakan mulai Sabtu depan (15 Ogos).

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk pertama kalinya pekerja sendiri dalam sektor perikanan dibolehkan oleh Akta Perkeso untuk mencarum dalam Perkeso.

“Ini akan memberi perlindungan kepada para nelayan (dan keluarga) dengan caruman akan diambil (dibayar) daripada elaun sara hidup nelayan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Caruman Perkeso Nelayan dan merasmikan Mini Karnival Industri Makanan Bukit Gantang 2020 di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di Bukit Gantang, hari ini.

Katanya, cadangan caruman adalah RM157.20 setahun bagi semua nelayan berdaftar dengan LKIM dan layak menerima Elaun Sara Hidup Nelayan.

“Potongan caruman ini akan dilaksanakan secara terus melalui Sistem Program Insentif Nelayan (FIP) secara berperingkat. Untuk peringkat permulaan, potongan bermula 15 Ogos ini melibatkan sejumlah 3,879 nelayan di seluruh negara,” katanya.

Kiandee juga yakin bahawa Perkeso akan mengorak langkah untuk meluaskan perlindungan pada mereka yang bekerja sendiri dalam sektor-sektor lain dalam industri agromakanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohamed dalam kenyataannya berkata SKSPS menyediakan faedah tunai kepada pencarum di samping rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

“Di bawah skim ini, orang tanggungan atau waris mereka layak mendapat Faedah Orang Tanggungan jika pencarum meninggal dunia akibat bencana kerja.

“Pinjaman pendidikan juga disediakan kepada anak-anak pencarum sekiranya pencarum meninggal dunia atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal berkala,” katanya.

Katanya, jalinan kerjasama antara LKIM dan Perkeso bakal memberi manfaat perlindungan keselamatan sosial kepada golongan nelayan serta berharap untuk memperluas perlindungan SKSPS kepada sektor lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan seperti pertanian dan penternakan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

801 nelayan Selangor terima baucar petrol RM300

SHAH ALAM, 23 APRIL: Seramai 801 nelayan di negeri ini menikmati bantuan baucar petrol bernilai RM300 yang diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Dua, kata EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata inisiatif berjumlah RM240,300 membolehkan nelayan membuat pembelian bahan bakar berkenaan di stesen minyak Petronas serta Shell.

“Penyaluran bantuan akan dilaksanakan melalui Persatuan Nelayan Kawasan di seluruh Selangor. Semoga bantuan diselaraskan Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani sedikit sebanyak membantu mereka mengharungi tempoh sukar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bantuan kepada nelayan disampaikan Ir Izham kepada Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor Norazian Safian di pejabat EXCO di sini.

Categories
AGENDA NASIONAL

LKIM kaji skim bantu nelayan uzur

PASIR PUTEH, 24 NOV: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan skim pencen atau bantuan bagi membantu meringankan beban kira-kira 60,000 nelayan yang terpaksa berhenti turun ke laut disebabkan faktor usia atau sakit.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata kajian itu membabitkan beberapa faktor terutama dari aspek undang-undang dan kekangan kewangan negara.

“Ketika turun padang, saya melihat sendiri bagaimana mereka menderita kesempitan hidup terutama yang masih menanggung keluarga,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Ramah Mesra dengan penduduk Skim Penempatan Semula Nelayan Tok Bali di sini, hari ini.

Lebih 100 nelayan kawasan itu menyertai majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengarah LKIM Kelantan, Zarina Abd Latiff.

Muhammad Faiz berkata, bantuan itu perlu memandangkan mereka terutama nelayan tradisional tidak berupaya menghadapi risiko meredah ombak dan ribut dalam keadaan uzur dan lanjut usia.

Beliau berkata, golongan nelayan yang hidup seharian mereka ibarat ‘kais pagi makan pagi’ agak ketinggalan berbanding petani dan pekebun kecil yang mempunyai pelbagai sumber pendapatan lain.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Kelantan turut membantu menyelesaikan isu status pemilikan 300 buah rumah nelayan Tok Bali yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri.

Muhammad Faiz berkata, ini disebabkan kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh terhadap tapak rumah berkenaan yang telah didiami hampir 280 nelayan dari Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sejak enam tahun lepas.

Katanya, akibat ketiadaan kelulusan, kadar bayaran balik hutang rumah yang sepatutnya RM150 sebulan kepada kerajaan tidak dapat dilaksanan sebaliknya mereka hanya dikenakan caj penyelenggaraan RM20 sebulan.

“Ini merugikan nelayan kerana mereka terpaksa mengambil masa lebih lama untuk melunaskan hutang tidak sebagaimana yang ditetapkan dalam tempoh 35 tahun,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, LKIM terpaksa menanggung kos hampir RM200,000 setahun bagi penyelenggaraan termasuk bekalan elektrik dan air.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nelayan diugut diminta buat laporan polis

 

ISKANDAR PUTERI, 20 Mei: Nelayan yang mendakwa menerima ugutan dan sengaja ditahan pihak berkuasa setelah mengemukakan bukti pencerobohan bot pukat tunda haram, diminta membuat laporan polis bagi memastikan tindakan lanjut dapat diambil.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai dakwaan nelayan-nelayan di kawasan Muar itu.

“Itu saya perlu lihat dengan lebih teliti dan lihat laporan polis. Kalau betul dia diugut penguatkuasa, saya nasihatkan nelayan buat laporan polis, lepas tu barulah kita boleh bertindak,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tuzra Marketing, di sini hari ini.

Salahuddin berkata pihaknya tidak boleh membuat sebarang tindakan berdasarkan “cakap-cakap orang” sebaliknya memerlukan laporan yang lengkap.

“(Bagaimanapun), perkara itu telah dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan saya ambil maklum,” kata beliau.

Semalam, Syed Saddiq dilaporkan berkata nelayan di kawasan Muar diminta menyalurkan maklumat serta bukti kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan mereka diugut dan sengaja ditahan pihak berkuasa laut setelah mengemukakan bukti mengenai pencerobohan bot pukat tunda haram. -BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Nelayan teruja lawatan Tengku Permaisuri Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli melawat dan melihat aktiviti pendaratan ikan di Jeti Ah Hee, Kampung Bagan, yang menceriakan nelayan di kawasan itu.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia, Chia Tian Hee tidak menyangka Tengku Permaisuri Selangor sudi melihat aktiviti pendaratan ikan yang menjadi rutin harian nelayan mencari pendapatan.

Malah, katanya, mereka sungguh teruja dengan keberangkatan baginda itu.

“Kami sangat gembira apabila Tengku sudi ke tempat kami bagi melihat aktiviti nelayan.

“Di sini kami berpeluang menceritakan kepada Tengku bagaimana gerak kerja harian yang menjadi rutin nelayan di sini selepas menangkap ikan,” katanya kepada SelangorKini.

Tian Hee berkata, pihaknya mengalukan kedatangan baginda sambil berharap ia bukan kali terakhir.

“Saya sangat berharap Tengku berkenan mengadakan lawatan ke sini lagi,” katanya.

Terdahulu, baginda meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat pelbagai jenis ikan antaranya siakap, tenggiri, kembong, bawal, jenahak dan sebagainya di bawa ke jeti.

Baginda diiringi Speaker Dewan Negeri yang juga Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Selain itu, baginda turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar dengan penduduk sekitar.

Lawatan ke jeti itu adalah antara program dalam lawatan mesra baginda ke Sekinchan.

Lawatan selama satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawat beberapa tempat menarik di sini.

Antara kawasan lain yang turut dilawati adalah kedai barangan antik, Ah Ma House; kilang padi PLS Marketing Sdn Bhd dan Wisma Masri, Parit 7, perusahaan Industri Kecil Tempatan yang cukup terkenal menjual kerepek serta pelbagai jenis kuih.

Baginda dan rombongan meneruskan lawatan mencemar duli ke Kilang Khind, kilang menghasil dan membekalkan barangan eletrik ke seluruh Malaysia.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

 

Categories
NASIONAL

Pencemaran sisa kimia jejas pendapatan nelayan

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Insiden pencemaran sisa bahan kimia di Pasir Gudang, sejak 7 Mac lalu, bukan sahaja menjejaskan kesihatan penduduk sekitar malah menyebabkan tangkapan dan hasil jualan nelayan merosot.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, seramai 650 anggota persatuan itu dari beberapa perkampungan sekitar mendakwa hasil jualan mereka berkurangan sehingga 50 peratus sejak 10 hari kejadian.

“Pencemaran ini menyebabkan 250 nelayan dari empat kampung di sekitar Sungai Kim Kim iaitu nelayan Orang Asli Telok Kabung, Kampung Perigi Aceh, Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir Gudang Baru, yang menjadikan sungai itu sebagai punca rezeki, terjejas,” katanya yang ditemui di Pasar Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru, di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 400 nelayan sekitar turut menerima tempias pencemaran itu termasuk nelayan Tanjung Langsat, Kong Kong, Kampung Sungai Tiram dan Bakar Batu apabila hasil jualan merosot kerana orang ramai takut untuk membeli hasil tangkapan laut mereka.

“Kejadian ini turut menyebabkan berlakunya lambakan ikan di kalangan nelayan termasuk yang didaratkan di Pasar Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru kerana orang ramai tidak datang membeli ekoran dikhuatiri tercemar,” katanya yang menjadi nelayan sejak 35 tahun lepas.

Beliau berkata, kebiasaannya jualan nelayan di Pasar Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru dianggarkan sebanyak 100 kilogram hingga 150 kilogram sehari dengan nilai jualan RM3,000 hingga RM4,000 namun, ia menurun kepada 18 kilogram hingga 30 kilogram sehari sejak 10 hari ini dengan nilai jualan antara RM300 dan RM600.

Katanya, sejak empat hari lalu, sebanyak dua tan ikan dan hasil laut terkumpul terpaksa disimpan di peti sejuk di pasar itu kerana ketiadaan pembeli, yang dianggar kesemuanya bernilai RM5,000.

“Permintaan terhadap kupang juga merosot. Biasanya saya mampu menjual 500 kilogram hingga 1 tan sehari kepada peraih di sekitar bandaraya ini dan Batu Pahat, namun, ia kini berkurangan kepada 100 kilogram hingga 300 kilogram sahaja sehari,” katanya.

Azli berkata, orang ramai tidak perlu bimbang terhadap kesemua ikan dan hasil laut yang dijual di Pasar Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru kerana kebanyakan ikan berkenaan bukannya dari Sungai Kim Kim sebaliknya dari laut Selat Tebrau timur dan kawasan nelayan lain seperti Sedili, Endau, Mersing serta Batu Pahat.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak bertanggungjawab berkaitan dengan industri perikanan dapat memberikan penjelasan bahawa hasil laut itu selamat untuk dimakan sekali gus dapat memberi kelegaan bukan sahaja kepada nelayan tetapi juga pembeli.

Berhubung pencemaran di Sungai Kim Kim yang kaya dengan ikan kitang, selangat, belanak, belukang dan siput, beliau difahamkan lebih 40 laporan polis dibuat nelayan Orang Asli Teluk Kabung sejak 6 Mac, yang melaporkan terhidu bau busuk selain air sungai terlibat bertukar keruh dan menyebabkan ikan mati. -BERNAMA

 

Kapsyen foto: JOHOR BAHRU, 16 Mac — Amin Aszizi, 20, memakai penutup hidung dan mulut ketika berniaga di Pasar Nelayan Persatuan Nelayan Johor Selatan sebagai langkah pencegahan ekoran pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim ketika tinjauan di Kampung Pasir Gudang Baru, hari ini.
Jualan hasil tangkapan laut di pasar tersebut merosot kerana pelanggan bimbang dengan bahan kimia yang mencemari sungai itu.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Categories
NASIONAL

Lebih 300 nelayan terima manfaat Skim Insurans LKIM

KUALA PERLIS, 12 JAN: Seramai 353 nelayan di seluruh negara menerima manfaat Skim Insurans Nelayan Berkelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjumlah RM1.52 juta, sehingga Ogos tahun lalu.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, nelayan yang berdaftar dengan LKIM di bawah Program Elaun Sara Hidup (ESHN) berumur 18 hingga 75 tahun sahaja layak menyertai skim itu.

Sehingga kini, seramai 52,399 nelayan mendaftar di bawah skim perlindungan itu dengan hanya membayar premium RM100 setahun.

Terdahulu, beliau ditemui semasa menziarahi keluarga pasangan nelayan Allahyarham Mohamad Zaini Panjang Karim dan isterinya, Allahyarhamah Azizah Yatim yang dipercayai mati lemas setelah terjatuh ke dalam laut, semasa memukat ikan di perairan Kuala Perlis, pada 5 Januari lalu.

Dalam kunjungan itu, Muhammad Faiz menyampaikan cek Skim Perlindungan dan Kebajikan Nelayan bernilai RM10,000 kepada anak kedua daripada tiga orang anak pasangan itu, Mohamad Noor Affandy, 25.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

MOA saran nelayan Selangor usaha ternakan akuakultur

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 27 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyarankan nelayan di Selangor untuk mengusahakan ternakan akuakultur secara sendiri bagi mengurangkan sikap kebergantungan bekalan hasil laut dari luar negara.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, selain menangkap ikan, nelayan di Selangor berupaya meningkatkan hasil pendapatan mereka jika mengusahakan ternakan akuakultur itu.

“Pada tahun lalu, Selangor mencatat pengeluar kelima akuakultur terbesar di Malaysia dengan pengeluaran 18,618 tan metrik bernilai RM230 juta.

“Malah, di daerah Klang sahaja pengeluaran hasil akuakultur sejumlah 1,105 tan metrik dengan nilai RM17 juta, sekali gus meningkat 10.6 peratus berbanding 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Ketam, di sini.

Katanya, sistem ternakan utama di daerah Klang adalah sistem sangkar air payau, kultur dasar laut kerang, air tawar tangki simen dan ikan hiasan.

“Bilangan penternak yang mengusahakan ternakan akuakultur di daerah ini adalah 111 orang dengan 92 peratus daripadanya adalah penternak air payau,” katanya.

Pada masa sama, Tze Tzin menegaskan pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada nelayan di negeri ini yang menceburkan diri secara serius dalam sektor akuakultur, sekali gus cuba untuk mengusahakannya.

“Kita akan bantu daripada segi penyediaan mesin atau teknologi yang diperlukan jika mereka ini komited menjana ekonomi menerusi aktiviti akuakultur.

“Malah, kementerian juga merancang untuk mempelbagaikan insentif dan bantuan kepada kumpulan nelayan ini, pada masa akan datang sebagai usaha menjadikan sektor akuakultur lebih maju dan berdaya saing,” katanya.

Categories
NASIONAL

28 bot nelayan Malaysia masih tersadai di Indonesia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 14 OGOS: Sehingga kini, terdapat 28 bot nelayan Malaysia yang masih tersadai, di Indonesia ekoran memasuki sempadan perairan negara itu tanpa sengaja, sejak 2016.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah itu, lima daripadanya adalah milik nelayan Sekinchan.

“Penyelesaian untuk mendapatkan semula bot nelayan milik warga tempatan ini bukanlah mudah, ia membabitkan undang-undang laut, namun begitu rundingan sehingga kini masih diteruskan.

“Kita terpaksa berbincang memandangkan ini bersangkutan dengan hal persempadanan, sebaiknya nasihat saya kepada nelayan, bagi mengelakkan perkara ini terus terjadi, cubalah ikut peraturan sedia ada,” katanya kepada media selepas sesi dialog bersama nelayan Sekinchan, di Pantai Redang.

Pada masa sama, Mohamad turut memberi maklum balas dakwaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung keputusan kerajaan meletakkan aset keselamatan secara berkala, di Beting Patinggi Ali, Sarawak.

Beliau berkata, masalah hutang negara tidak akan menjadi halangan kepada Kementerian Pertahanan untuk terus berusaha memperkasakan aset pertahanan negara.

“Ini kerana kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan, terutama di kawasan perairan negara.

“Selagi berupaya, kita akan cuba perkukuhkan aset pertahanan kita tetapi masalah kekangan kewangan itu realiti.

“Kita akan cuba melaraskan dalam kekangan kewangan ini untuk meningkatkan keupayaan keselamatan, termasuk di perairan negara,” katanya.