Categories
NASIONAL

Cagar Harta Keluarga Shahrizat Untuk Bayar Balik Pinjaman NFC

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: PKR mendesak Kerajaan Malaysia agar mencagarkan harta keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai timbal balik pembayaran bagi pinjaman RM 250 juta untuk Projek Fidlot Nasional (NFC).

Cara tersebut adalah yang paling berkesan bagi memastikan yang NFC Corp, syarikat yang mengendalikan NFC, dapat membayar balik pinjaman tersebut mengikut jadual yang ditetapkan.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata tanggungjawab bagi mendapatkan semula wang tersebut terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Menurut beliau, memandangkan operasi dan prestasi kewangan NFCorp tidak memungkinkan syarikat itu membayar balik pinjaman, maka tindakan paling wajar ialah mengenakan syarat ‘jaminan peribadi’ ke atas keluarga beliau.

“Jika NFCorp gagal membayar jumlah pinjaman pertama dalam tempoh dua minggu maka Najib perlulah mengambil tindakan melelong harta-harta tersebut untuk mendapatkan kembali dana rakyat,” katanya.

Tegas Rafizi, jika cagaran harta peribadi tidak berlaku dalam seminggu, PKR akan mendedahkan harta-harta lain yang telah diperoleh keluarga Shahrizat dan penyelewengan lain yang bersabit NFCorp.

Sebelum ini, skandal NFC Corp, syarikat yang dikendalikan oleh suami dan anak lelaki Shahrizat, memaksa beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kommuniti.

Pada March 12, suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke mahkamah sesyen Kuala Lumpur di atas dua caj pecah amanah bersabit pembelian dua unit condo bernilai    RM 49.7 juta.

Mohammad Salleh mengaku tidak bersalah.

Categories
NASIONAL

PKR Dakwa NFC Cuba Lupus Harta

KUALA LUMPUR, 5 APR : PKR menggesa Kerajaan Persekutuan membekukan semua transaksi aset dan kepentingan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kerana kemungkinan besar perolehan harta oleh syarikat tersebut menggunakan dana awam RM250 juta yang diselewengkan dari tujuan asalnya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata tanpa kesungguhan kerajaan pimpinan Umno-BN menyiasat penyelewengan ini dikuatiri NFC dan pemiliknya didakwa sedang dalam usaha melupuskan harta dan aset dipercayai dibeli menggunakan dana tersebut.

Menurutnya, isu ini tidak harus dipinggirkan hanya kerana tindakan mahkamah yang mendakwa Pengarah Urusan NFCorp, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan perletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkuatkuasa pada 8 April ini.

“Setakat ini telah terbukti bahawa pemilik NFC iaitu keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil telah menggunakan sebahagian dari dana awam berjumlah RM250 juta untuk tujuan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu terutamanya pelbagai pelaburan di dalam bidang hartanah.

“Persoalannya yang paling kritikal ialah bagaimana semua RM250 juta ini akan dapat dipulangkan kembali kepada rakyat,” katanya.

Pembekuan harta dan aset dimaksudkan itu menurutnya adalah semua pegangan syarikat, saham dan pelaburan di dalam apa-apa entiti yang dibuat selepas 2007 iaitu selepas NFCorp dianugerahkan kontrak RM250 juta untuk mengusahakan NFC.

“Selain itu semua hartanah, plot tanah dan pelaburan di dalam bidang hartanah yang dibuat selepas 2007 sama ada pembelian di buat atas nama NFC, syarikat yang dikuasai pemilik NFC ataupun atas nama mereka sendiri.” kata Rafizi ketika mengadakan sidang media di Lobi parlimen petang tadi.

Selanjutnya beliau berkata, ia juga termasuk sebarang pemindahan wang kepada syarikat atau individu selain dari bayaran operasi biasa NFC dan sebarang pertukaran kepentingan melibatkan aset lain termasuklah kereta, dana, kelengkapan dan yang lainnya.

“Oleh sebab itulah PKR telah mendesak berkali-kali supaya kerajaan mengambil langkah segera dan tegas untuk membekukan semua harta dan transaksi melibatkan NFC dan pemiliknya termasuklah harta-harta peribadi tetapi perkara ini tidak berlaku.

“Hari ini saya nak mendedahkan bagaimana dalam ruang masa sebulan di antara masa Datuk Seri Shahrizat meletak jawatan sehingga sekarang telah digunakan pada pendapat saya untuk mengalihkan pandangan rakyat dari skandal NFC dan membolehkan pihak terbabit iaitu keluarganya mengatur urusniaga yang melupuskan hartanah yang sepatutnya dibekukan,” katanya.

Rafizi berkata, pemilik NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya, Wan Shahinur Izran kini dalam proses memuktamadkan penjualan tiga aset hartanah kepada sebuah syarikat, Insun Development Sdn Bhd.

Menurutnya, tiga hartanah dimaksudkan dibiayai bank yang sama sebelum ini membiayai pembelian lapan unit hartanah mewah di KL Eco City lalu menimbulkan persoalan sama ada pembiayaan ketiga aset hartanah itu juga adalah berasaskan simpanan deposit dana NFC yang ditempatkan di bank tersebut.

Beliau berkata, ketiga-tiga hartanah dinyatakan adalah di No B-00-22, B-01-22 dan B-02-22 di Plaza Damas 3, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur yang dilupuskan kepada Insun Development Sdn Bhd dengan nilai RM1.5 juta, RM759,000 dan RM741,000 yang kesemuanya berjumlah RM3 juta.

“Cuma saya nak sebut bahawa harga pasaran bagi ketiga-tiga hartanah ini dianggarkan  berjumlah RM4 juta maka pelupusan ini dibuat pada diskaun sebanyak 25 peratus.

“Saya membidas sekeras-kerasnya kecuaian pihak berkuasa sebab dari awal tahun ini mereka janji untuk lantik pihak audit dan kemudian dikatakan semua harta dibekukan. Kalau kedua-dua ini berlaku sudah tentu urusniaga aset-aset pada harga yang murah ini tidak berlaku,” katanya.

Maka dengan itu katanya, jika perkara sebegini boleh terlaksana tanpa sebarang pengawasan, bermakna perkara sama boleh juga berlaku dengan aset lain dimiliki oleh keluarga Shahrizat tetapi dibeli menggunakan dana awam seperti didedahkan sebelum ini.

“Iniseperti Kondominium One Menerong (RM14 juta), dua plot tanah di Putrajaya (RM3 juta, Kondominium di Orchard Scotts (RM10 juta), dua kondominium di Marina Bay Suites (RM34 juta) dan lapan unit rumah kedai pejabat di KL Eco City (RM12 juta).

“Urusniaga yang melupuskan harta milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti ini membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbohong. Bila dia umumkan  pada 14 Januari lalu bahawa harta dan operasi telah dibekukan tetapi tiada apa yang berlaku. Ia hanya satu pengumuman,” katanya.

Rafizi menambah, arahan dikeluarkan Najib tidak diendahkan dan dihormati keluarga Shahrizad.

Katanya, pihaknya menegaskan segala urusniaga dan operasi NFC perlu dihentikan segera kecuali melibatkan kos pendapatan pekerja dan keperluan asas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Prestasi “Reformasi” Lebih Tinggi Dari “Transformasi”

SHAH ALAM 04 APRIL : Agenda ?transformasi? yang dicanang Umno-BN adalah sesuatu yang diciplak daripada ?reformasi? Pakatan Rakyat, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Meskipun ?transformasi? indah dengan slogan dan akronim seperti ?ETP?, ?GTP? dan ?korridor ekonomi?, ia masih membenarkan penyelewengan wang rakyat seperti dalam skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), katanya.

Tambahnya, dalam pengurusan wang rakyat, paras prestasi Kerajaan Negeri Umno-BN lebih parah berbanding negeri yang ditadbir Pakatan.

?Hakikatnya, rakyat khususnya generasi muda, terus tertindas dengan kekangan kos sara hidup, disebalik agenda ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ yang dicanang-canangkan oleh Umno-BN,? Shamsul Iskandar berkata di dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Naib President Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu laporan media baru-baru ini.

Dalam laporan media yang bertajuk ‘Choose To Safeguard Your Freedom’ itu, Zahid menyeru rakyat untuk memilih antara ‘transformasi’ atau ‘reformasi’ untuk menjaga hak dan kebebasan mereka.

Categories
NASIONAL

Hasrat SPRM Siasat Tanpa Laporan, Tidak Releven- Rafizi

SHAH ALAM 2 APRIL : Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini kononnya mampu mengambil siasatan terhadap kes tanpa laporan dan aduan rasmi dianggap sebagai tidak releven oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, kenyataan seumpama itu sama sekali tidak terpakai dalam kes pembongkaran penyelewengan skandal lembah daging National Feedlot Corporation (NFC), sedangkan ia disertakan dengan pelbagai bukti dan dokumen berkaitan.

“SPRM sekarang sedang berdepan dengan persoalan imej di mata rakyat.

“Dalam kes NFC sudah cukup menunjukkan bahawa masa yang diambil SPRM untuk bertindak dan membuat siasatan bukan sahaja tidak seperti apa yang dikatakan tetapi memberi tanda tanya dan kemarahan rakyat,”jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM mempunyai kuasa menyiasat mana-mana kes rasuah daripada sumber lain termasuk melalui laporan akhbar mahupun internet, asalkan ia mempunyai unsur-unsur berlakunya kegiatan jenayah.

Mengulas lanjut perkara ini, Rafizi berkata apa yang dilafazkan oleh Abu Kassim adalah satu bentuk cabaran baru kepada SPRM untuk membuktikan segala kenyataannya itu benar-benar dilakukan.’

“Kenyataan itu tidak sama sekali melambangkan tindakan yang diambil terhadap sepanjang penyiasatan kes NFC.

“Sehingga kini kita tidak lihat apa-apa bentuk tindakan terhadap mana-mana invidu dalam NFC sedangkan kes berstatus ‘national’ ini disertakan dengan pelbagai  bukti,”tambahnya lagi.

Categories
NASIONAL

Jingga 13: SPRM Ibarat ‘Lembu Kenyang’

SHAH ALAM 1 APRIL : Ketua Penyelaras Jingga 13, Fariz Musa menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) IBARAT ‘lembu kenyang’ apabila banyak laporan yang dihantar oleh Jingga 13 ke SPRM tiada tindakan sehingga hari ini.

Katanya, laporan-laporan yang dibuat tidak diambil tindakan serius oleh SPRM.

“Banyak laporan yang dibuat oleh Jingga 13 tetapi sehingga sekarang kita tidak tahu statusnya bagaimana, tetapi bila Umno-BN yang melaporkannya cepat sahaja tindakan itu diambil.

“Saya hairan apabila SPRM ini hanya menjaga standard Umno-BN, ini semua gimik Pilihan Raya Umum (PRU-13) akan datang sebab itu SPRM mengamalkan dwi standard,” katanya ketika dihubungi Selangorku.

Fariz berkata pihaknya tidak yakin dengan ketelusan dan kemampuan suruhanjaya tersebut untuk bertindak menyiasat mana-mana kes rasuah daripada sumber lain termasuk melalui laporan akhbar mahupun internet.

“Alasan SPRM, sedangkan mendakwa media ini hanya dianggap mengganggu kerja siasatan dan tidak mahu media melaporkannya.

“SPRM perlu tahu sesuatu isu itu tidak boleh disembunyikan dari umum,”katanya.

Semalam SPRM menegaskan siasatan terhadap kes rasuah tidak tertakluk kepada laporan atau aduan yang dikemukan kepada badan berkuasa itu tetapi juga mempunyai kuasa menyiasat mana-mana kes rasuah daripada sumber lain termasuk melalui laporan akhbar mahupun internet asalkan ia mempunyai unsur-unsur berlakunya kegiatan itu.

Kenyatan itu dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed yang mengulas gesaan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali supaya SPRM menyiasat seorang pegawai kanan kerajaan negeri Selangor kerana didakwa memperoleh imbuhan dan pendapatan yang begitu tinggi setiap bulan.

Fariz berkata pihaknya meragui kenyataan badan berkuasa itu kerana setakat ini banyak pendedahan dibuat tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil oleh SPRM.

“Contohnya kes NFC, kita hantar memorandum tetapi SPRM tidak ambil tindakan serius, tiada kenyataan diambil dari Datuk Salleh kerana mungkin beliau suami kepada Ketua Wanita Umno.

“Malah sekarang terbalik pula, Datuk Saleh pula yang nak bawa kes ini ke mahkamah atas alasan membocorkan akaun bank NFC,”katanya Faris.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Pusat seharusnya membebaskan badan itu untuk berada di bawah Parlimen.

“Selagi ianya dikawal selia oleh Umno-BN, selagi itu SPRM tidak akan membuat apa-apa tindakan,”katanya.

Justeru, pihaknya akan sentiasa memberi tekanan kepada badan berkuasa itu.

“Kita sentiasa memberi tekanan kepada SPRM termasuk hantar memorandum kepada Peguam Negara. Ini kerana kita harus mengikut prosedur dan kemukakan segala bukti yang ada untuk mereka mengambil tindakan,”katanya.

Categories
NASIONAL

Idris Ahmad: NFC Cuba Alih Isu Penyelewengan

SHAH ALAM 1 APRIL : Terkesan dengan pelbagai pembongkaran penyelewengan skandal lembah daging dari  Pakatan Rakyat dan menerima kemarahan rakyat, National Feedlot Corporation (NFC) cuba mengalih perhatian dengan mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat membocorkan rahsia dokumen bank syarikat itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Idris Ahmad berkata sewajarnya negara menyokong usaha pihak yang membongkarkan salah laku dana rakyat dan bukannya berpeluk tubuh melenggahkan skandal yang nyata ini.

“Apa yang jelas, tindakan pemimpin Pakatan Rakyat itu adalah mengemukakan bukti, kerana dakwaan tanpa bukti adalah fitnah.

“Isu pokok sekarang ialah scandal tersebut, kenapa perlu mengalih perhatian rakyat dengan perkara ini,”jelas Idris ketika dihubungi Selangorku hari ini.

Idris menambah, kepincangan kepimpinan negara hari ini adalah punca kepada berlakunya perkara-perkara pelik seumpama ini.

“Lihat sahaja dakwaan yang lengkap dengan pelbagai bukti dan dokumen yang telah disertakan oleh Pakatan Rakyat, adalah sangat malang kes ini masih terus dipandang sepi seakan tiada apa yang berlaku kepada dana rakyat.

“Kalau dibiarkan Polis atau pihak Penguam Negara untuk membongkar kes ini saya rasa tidak mungkin akan terbongkar sebagaimana sekarang.

“Malah Timbalan Ketua Polis Negara pernah menyatakan tidak ada kes yang melibatkan penyelwengaan dana dari wang rakyat oleh NFC.

“Sekarang apabila di bongkar oleh Pakatan Rakyat semua pihak gelabah termasuk polis dan Pejabat Peguam Negera.

Inilah juga puncanya mengapa rakyat tidak menghormati lagi integriti badan-badan kerajaan yang terpaksa tunduk dengan kezaliman kerajaan Umno-BN.

“Ingatlah, dalam kes ini, negara berdepan dengan kemarahan rakyat,”tambah Idris.

Jumaat lalu, NFC tampil membuat satu laporan polis dengan mensabitkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Lembah Pantai,Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin atas kesalahan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM3 juta.

Kesalahan itu didakwa ekoran PKR mendedahkan pembelian 8 unit rumah kedai mewah dan keterlibatan Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarga beliau di dalam pembangunan KL Eco City dalam satu sidang akhbar 7 Mac lalu.

Dalam perkembangan sama, Rafizi di dalam responnya berkata beliau dan pemimpin PKR lain bersedia  memberi sepenuh kerjasama kepada pihak penyiasat sekiranya ada pendakwaan.

“Saya juga yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati,”ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Guna Mahkamah Tutup Penyelewengan

KOMENTAR 31 MAC: Pada 22 Mac lalu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar telah memfailkan saman terhadap akhbar rasmi Kerajaan Selangor, Selangorkini sebanyak RM10 juta.

Turut disaman Adun Skinchan, Ng Suee Lim yang didakwa menfitnah beliau berhubung isu penyelewengan RM110 juta oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani sebagaimana di dedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negera.

Menurut Ng ketika ditemui semasa berlangsung sidang Dun Selangor minggu lalu berkata, beliau gembira dengan saman RM10 juta terhadapnya kerana beliau berpeluang mendedahkan penyelewengan sebenar yang dilakukan Noh.

Noh mengambil tindakan mahkamah tersebut berikutan laporan Selangorkini berhubung Akhbar tersebut menyiarkan demontrasi petani di Sekinchan dan Tanjong Karang.

Petani mendakwa Noh telah melenyapkan RM110 juta wang peruntukan kerajaan untuk subsidi peningkatan hasil padi.

Banner yang digunakan oleh petani tersebut juga mengecam Noh sebagai seorang menteri yang dianggap mengkhianati amanah petani berikutan penyelewengan tersebut yang sepatutnya di terima sejak dua tahun lalu.

Lima hari susulan demontrasi tersebut Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan serta merta sebanyak RM117 juta bagi melunaskan bayaran kepada pesawah diseluruh negara.

 

Namun lesapnya RM110 juta dari kementerian Noh  masih tidak terjawab hingga ke hari ini.

Noh Tiada Fakta

Berdasarkan penilaian fakta, Noh tidak mempunyai isu untuk mengambil sebarang tindakan berhubung laporan yang di siarkan oleh Selangorkini.

Ini disebabkan foto atau gambar yang di siarkan jelas menunjukkan petani tersebut sememangnya mengadakan demontrasi bersama banner yang jelas pada muka belakang Selangorkini keluaran 25 November – 2 Disember 2011.

Begitu juga dengan muka 15 keluran yang sama turut memaparkan  temubual penduduk serta banner yang tertera tulisan “Noh Omar Khianati Petani, Lesap RM110 juta Bantuan Untuk Petani? ……..

Begitu juga dengan isu lesapnya peruntukan kerajaan kepada kementerian dibawah Noh sebanyak RM110 juta. Fakta ini bukan dari kenyataan pihak pembangkang atau musuh politik Noh tetapi didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.

Berdasarkan kenyataan media Noh, beliau menyatakan tindakan saman beliau terhadap Selangorkini dan Ng kerana  menyiarkan tajuk  di muka belakangnya bertajuk ‘Pesawah tuntut Noh Omar Letak Jawatan’.

Andai berdasarkan cubaan Noh menyaman Selangorkini dan Ng disebabkan tidak ada bukti yang menunjukkan para petani yang berdemo pada 22 November 2011 dan menggesa beliau meletak jawatan mungkin ada sedikit asas.

Namun begitu, memang betul tidak terdapat banner yang tertera gambaran menggesa beliau meletak jawatan. Namun pada para keempat, muka 16, Selangorkini menjelaskan hal tersebut.

Pada para ke empat tersebut tercatat…. Bertempat di Site B Sekinchan, petani yang berkumpul memegang kain rentang sambil melaung slogan ‘Hidup Petani’,naik subsidi RM50 seratus kilo’ dan ‘Noh Omar letak jawatan’.

Tindakan Noh membawa isu ini kemahkamah bertujuan untuk menutup isu tersebut dari pengetahuan rakyat.

Menurut Ng Suee Lim, Noh terdesak dan terpaksa menggunakan mahkamah bertujuan supaya segala penyelewengan yang lakukan tidak boleh disiarkan dalam mana-mana penerbitan kerana dianggap kes yang sedang dalam pembicaraan.

Kata Ng, Noh amat bimbang kerana PRU 13 semakin hampir serta takut Pakatan Rakyat akan menggunakan isu penyelewengan beliau dalam kempen-kempen pilihanraya nanti.

Menurut Ng lagi, kes NFC yang melibatkan pemberian projek kepada kroni bernilai RM250 juta yang juga melibatkan kes di bawah kementerian juga digunakan taktik yang sama.

Selain itu kata Ng, Noh juga tidak mahu tembelang penyelewengan beliau diketahui oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuk perdana Menteri kerana takut tidak terpilih menjadi calon dalam PRU 13 nanti.

Noh tertekan

Noh amat tertekan setelah dilantik sebagai Timbalan Perhubungan Umno Selangor. Ini berikutan kesungguhan usaha Umno-BN untuk merampas kembali Selangor.

Bukan setakat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor. Najib juga pernah membuat kenyataan media bahawa Umno akan merampas Selangor walau dengan apa cara sekali pun.

Kenyataan Najib tersebut merupakan suatu bebanan berat dan besar yang terpaksa ditanggung Noh. Hidup dan mati kerjaya Noh dalam politik bergantung kepada PRU 13 ini.

Andai Selangor gagal ditawan, Noh dan Najib akan dihukum oleh Umno-BN Selangor. Dikalangan Umno Selangor pula, Noh bukan seorang yang disukai.

Kenyataan Noh hari ini yang mendakwa BN yakin memenangi 36 Dun dari 56 Dun Selangor tidak ubah sebagai mana laporan yang di terima Najib dari ketua-ketua Bahagian Umno seluruh negara.

Noh yang mendakwa Umno akan memenangi 30 kerusi Dun dari 35 kerusi yang dipertandingkan boleh dianggap sebagai usaha untuk memujuk diri sendiri.

Sebelum ini bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memberikan gambaran bahawa Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan akan kekal ditangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada sebarang asas yang dijadikan rujukan oleh Noh untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Bancian PKR pada November 2011 lalu mendapati Pakatan Rakyat mendapat sokongan 816,000 undi dari sasaran 809,000 undi untuk memperoleh kemenangan mudah.

Noh di pilih menerajui Umno Selangor setelah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo gagal mempertahankan Selangor dalam PRU 12 lalu. Khir akhirnya dikaitkan dengan skandal pembelian harta yang akhirnya di denda penjara setahun oleh mahkamah.

Noh juga dikatakan tidak sebulu dengan Ketua Pembangkang Adun Selangor, Datuk Satim Diman. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid dalam sidang dun tahun lalu mendedahkan Satim didakwa terlibat dengan penjualan tanah milik kerajaan negeri kepada syarikat bukan bumiputra di Cyberjaya.

Menurut Abdul Khalid isu tersebut akan dibongkar setelah segala maklumat lengkap diperoleh dalam masa terdekat.

Lantaran itu Najib terpaksa bertindak mengetuai Umno Selangor kerana menyedari tidak terdapat anak negeri itu yang mampu memimpin Umno di negeri Jugra itu.

Manakala perpecahan Umno yang serius memaksa anak Pahang tersebut menerajui kepimpinan Umno Selangor.

Umno berpecah di Selangor

Noh tidak disenangi beliau dikelilingi oleh musuh-musuh politik dikalangan pemimpin Umno negeri sendiri.

Noh didakwa terlalu menjaga kroni-kroni politik beliau berbanding rakyat dan Umno bahagian lain.

Peruntukan dana rakyat sebanyak RM2,710,000,000 (RM2.71 bilion) kepada Umno Selangor sebagaimana diumumkan Najib pada 19 Disember tahun lalu juga menjadikan Umno Selangor semakin berpecah.

Noh didakwa lebih memihak memberikan projek-projek kepada kroni-kroni beliau berbanding Umno bahagian lain.

Ketika berlangsung Sidang Dun Selangor yang berakhir 27 Mac lalu, Adun Taman Templer, Datuk Subahah Kamal (BN) bertanya kepada Exco Pelaburan, Perindastrian dan Perdagangan, Teresa Kok berhubung peruntukan RM2.71 bilion yang diberikan kepada Selangor.

Soalan Subahah tersebut ternyata membuktikan adun BN tersebut tidak mengetahui bahawa RM2.71 telah diberikan untuk Umno Selangor dan bukan kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Persoalannya, kemanakah wang rakyat yang di kutip dari titik peluh rakyat jelata yang diberikan kepada Umno Selangor tersebut disalurkan Noh serta kroni-kroni beliau?.

Berapa ramaikah lagi Adun-Adun Umno-BN, ketua-ketua Bahahgian, ketua-ketua Cawangan atau ahli-ahli Umno seluruh Selangor yang tidak mengetahui aliran wang tersebut mengalir?.

Sebagai Timbalan Perhubungan Umno Selangor, Noh adalah antara orang yang mengetahui ke poket siapa wang tersebut dipenuhkan.

Mungkin atas alasan tersebut  Noh mengeluarkan kenyataan Umno akan memenangi 30 kerusi Dun. Atau kenyataan tersebut untuk menjadikan Najib gembira dan mampu tersenyum.

Noh juga mungkin telah berpuas hati dengan laba dari wang rakyat tersebut mampu digunakan untuk memastikan kroni-kroni beliau berpuas hati.

Ataupun, apakah dengan wang titik peluh rakyat tersebut dimanfaatkan bagi beliau mengambil tindakan mahkamah terhadap musuh-musuh beliau termasuk Ng Suee Lim dan Selangorkini?.

Categories
NASIONAL

NFC: PKR Tidak Tunduk Ugutan Undang-Undang

PETALING JAYA, 31 MAC: PKR tidak gentar dengan ugutan undang-undang untuk mendakwa tiga pemimpin parti tersebut berhubung pembongkaran penyelewengan skandal lembah daging NFC membabitkan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata beliau yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.

“Saya menghormati hak NFC dan pengurusan kanan mereka menggunakan ruang undang-undang untuk mendakwa kami, saya juga mengingatkan NFC supaya tidak cuba untuk menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang kini semakin aktif mendedahkan penyelewengan di kalangan pimpinan dan golongan elit.

“Maqassid undang-undang di dalam sesebuah masyarakat adalah untuk menjamin keadilan dan mencegah kezaliman, bukannya untuk melindungi penyelewengan dan memberi ruang kepada si pesalah melepaskan diri.” kata beliau melalui sebuah kenyataan media.

Jelas Rafizi beliau dan pemimpin PKR lain bersedia  memberi sepenuh kerjasama kepada pihak penyiasat sekiranya ada pendakwaan.

“Saya juga yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.” ujarnya

Semalam NFC telah membuat satu laporan polis mensabitkan Rafizi, MP Lembah Pantai,Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dengan kesalahan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM3 juta.

Kesalahan itu didakwa ekoran PKR mendedahkan pembelian 8 unit rumah kedai mewah dan keterlibatan Dato? Seri Shahrizat Jalil dan keluarga beliau di dalam pembangunan KL Eco City dalam satu sidang akhbar 7 Mac lalu.

Categories
NASIONAL

Rafizi Tolak Gesaan SPRM Buat Laporan Senyap-senyap

SHAH ALAM, 30 MAC: Hebahan tentang laporan rasuah kepada pihak berkuasa harus dibuat bagi mengelak kes tersebut disenyapkan.

Ini supaya masyarakat didedahkan dengan isu rasuah yang melanda pentadbiran negara, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

“Saya ambil contoh kes NFC, (National Feedlot Corporation) sebab kes itu yang betul-betul saya tahu. Selepas kita dedahkan dokumen, kenyataan yang datang baik dari SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah), baik Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan dan Ketua Polis Negara terus terang sebut tidak ada sebarang masalah.

“Di dalam parlimen contohnya, dua orang pahlawan mempertahankan, seorang Rembau, seorang Kota Belud.

“Sebab itu saya tidak setuju dengan Datuk shukri, Datuk kata jangan bawak gendang dan sebagainya bila buat laporan.

“Isu pasir di Selangor tak sama dengan NFC. Isu NFC kami ada dokumen-dokumen dan gambar yang kita bawa sampai disiasat, didakwa dan dah orang letak jawatan,” ujar beliau di dalam Wacana Sinar Harian semalam.

Hadir bersama Rafizi sebagai ahli panelis  adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdul dan MP Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Rafizi menjawab gesaan Mohd Shukri yang mencadangkan agar laporan SPRM dibuat secara rahsia bagi  memelihara ‘suprise elemen’ dalam sesuatu siasatan badan itu.

Rafizi berpendapat merahsiakan laporan rasuah akan menyebabkan sesuatu kes itu disenyapkan begitu sahaja bagi melindungi kepentingan pihak tertentu.

Dalam masa sama, Rafizi menempelak Umno yang menuduh kononnya terdapat perbuatan rasuah dalam isu penjualan pasir di Selangor, tetapi tidak mempunyai bukti untuk diketengahkan.

“Tetapi Umno cuma cakap sahaja tak ada bukti cuma yang ada adalah laporan akhbar-akhbar perdana setiap hari.

“Mungkin mereka dah lupa SPRM ada meletakkan dua pegawai mereka di pejabat Kumpulan Semesta,” kata beliau lagi.

Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar juga turut diundang sebagai salah seorang panelis dalam wacana yang mengupas isu bertajuk “Rasuah Politik: Realiti atau Persepsi”.

Categories
NASIONAL

Mat Sabu: Noh Dijangkiti Sindrom ‘Flip-Flop’ PM

SHAH ALAM, 29 MAC: Pengumuman Datuk Seri Noh Omar tentang pembukaan tender untuk mengambil alih projek ternakan lembu daging Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) merupakan satu tindakan ?flip-flop?.

Menurut Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu kenyataan terbaru Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu jelas bertentangan dengan kenyataan  beliau sebelum ini bahawa projek berkenaan berjalan lancar.

Pembukaan tender tersebut itu juga bertentangan dengan kenyataan Noh sebelum ini yang NFC hampir memenuhi sasaran pengeluaran yang ditetapkan kementerian terbabit.

“Kerajaan mesti dapatkan semula duit pinjaman RM250 juta atau kalau susah, mereka mesti mengambil tindakan menerusi undang-undang.

“Tak boleh biarkan macam itu sahaja, tetapi dia nak pulangkan balik duit tu macam mana, syarikat itu dah jadi macam tu,? Mohamad berkata apabila dihubungi.

Pembukaan tender itu kata Noh, adalah untuk memastikan projek tersebut mencapai sasaran pembekalan daging lembu tempatan.

Sebelum ini sasaran yang ditetapkan untuk NFC adalah sekurang-kurangnya 60,000 ekor lembu fidlot setahun untuk memenuhi pasaran tempatan.

Tetapi mengikut laporan Ketua Audit Negara, NFC hanya mencapai 8,016 ekor lembu antara tahun 2008 dan 2010, angka yang amat jauh dari sasaran.

NFC, yang diberi pinjaman terus RM250 juta dibelengu berbagai kontroversi termasuk menggunakan dana pinjamannya untuk membeli kondominium mewah, tanah dan membiayai perjalanan ke luar negara.

Isu yang juga menimbulkan persoalan adalah bagaimana projek mega tersebut diberi terus kepada suami menteri yang tidak berpengalaman di dalam industri ternakan lembu.

Mohd Sabu turut menyamakan keputusan Noh dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sering berubah-ubah dalam membuat beberapa keputusan penting kerajaan.

“Tu kira flip-flop lah sebab mula-mula dulu dia ingat tak terbongkar, nak lindungi, tetapi tidak berupaya kerana maklumat dari pembangkang sangat lengkap.

“Samalah juga dengan PM yang dah banyak kali flip-flop dalam banyak isu, kejap-kejap tukar keputusan” ujar beliau.

Categories
NASIONAL

Tender Baru Kendali NFC Cuba Tutup Kesalahan PM

SHAH ALAM,28 MAC : Pengumuman bidaan baru bagi memilih kontraktor untuk mengambil alih operasi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) hanya untuk menutup kesalahan pentabiran Umno-BN.

Ia dilihat sebagai usaha untuk menutup fakta sebelum ini di mana projek yang bernilai RM250 juta itu diberi secara terus kepada seorang ahli perniagaan yang tidak mempunyai pengalaman.

Pengarah Stratagi PKR, Rafizi Ramli menegaskan selagi persoalan bersabit pertanggungjawaban Perdana Menteri dan pegawai-pegawai tertinggi tidak disiasat dan dirungkai, kerajaan tidak boleh membuka bidaan baru.

“Oleh kerana niat Perdana Menteri untuk menutup kesalahan beliau itu adalah jelas, saya tidak ada pilihan lain kecuali menumpukan kembali fokus untuk membongkar penyelewengan-penyelewengan lain yang telah dan masih berlaku di dalam NFC.

“Tindakan itu mencerminkan kecuaian Perdana Menteri dan memungkinkan berlakunya penyelewengan dan pecah amanah,” kata Rafizi dalam satu kenyataan media.

“Pengumuman pembekuan aset oleh Perdana Menteri, tetapi operasi, perbelanjaan dan penstrukturan aset di dalam NFC dan syarikat-syarikat berkaitan terus berjalan seperti biasa, bertujuan untuk menghapuskan bukti penyelewengan.

“Pengumuman perlantikan juruaudit bebas oleh Timbalan Perdana Menteri  tetapi sehingga kini skop audit, kepada siapa juruaudit akan bertanggungjawab dan bilakah laporan audit akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat tidak diketahui rakyat,? kata beliau.

Rafizi berkata beliau khuatir audit yang dijalankan ini hanyalah untuk mengenalpasti segala penyelewengan yang berlaku agar bukti-bukti penyelewengan dapat dihapuskan secepat mungkin.

Justeru menurut beliau, siri pembongkaran skandal NFC itu akan diteruskan bermula minggu depan.

Categories
NASIONAL

Tuduhan Najib Razak Berniat Jahat

SHAH ALAM, 28 MAC : Tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa Kerajaan Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat  menipu kerana gagal menunaikan janji pilihanraya dibuat tanpa kajian, penuh emosi dan berniat jahat, tegas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

“Berdasarkan kajian kita lakukan, rakyat tidak terlalu menekankan pada janji berupa habuan wang ringgit tetapi lebih kepada tuntutan untuk sebuah pentadbiran yang telus, efisien, bertanggungjawab dan melaksanakan amanah rakyat dengan jujur,” kata Faekah dalam kenyataan media.

Menurut Faekah dalam Pilihanraya Umum 2008, Umno-BN banyak menabur janji kepada rakyat yang kini belum dilaksana malah belum ada tanda janji ini akan dilaksanakan.

“Program Transformasi yang dijanjikan beliau kini jauh dari mencapai sasaran. Perbuatan Najib ini seumpama ‘telunjuk lurus kelingking berkait’, hipokrit dan penuh kepura-puraan,” katanya.

Tambah Faekah, rakyat memahami bukan semua janji berupa imbuhan seperti penurunan cukai pintu dapat dilaksanakan dengan serta merta.

Namun apa yang dituntut rakyat tanpa kompromi ialah sebuah kerajaan negeri yang ditadbir dengan baik dengan pemimpin yang tidak merompak harta rakyat.

“Sebuah kerajaan yang menipu ialah apabila pemimpinnya salah guna wang rakyat seperti dana Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM250 juta. Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin mendapat komisen lebih RM500 juta hasil pembelian kapal selam Scorpene.

“Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin memutuskan untuk melupuskan hutang kroni terhadap kerajaan, mengutamakan keuntungan kroni berbanding kebajikan rakyat dalam pemberian kontrak kepada Puncak Niaga,” ujarnya.

Faekah berkata lagi , pemimpin-pemimpin beginilah yang sebenarnya menipu rakyat. Justeru, rakyat Selangor tidak lagi percaya dengan Najib dan pemimpin Umno-BN.

“Sebab sepanjang pemerintahan mereka di Selangor, watak-watak pemimpin hipokrit sebegitulah yang berjaya dipamerkan oleh mereka,” tegas beliau.