Categories
NASIONAL

Tony Pua : Hentikan Ganggu Suaram

SHAH ALAM 6 SEPT : Kerajaan digesa untuk menghentikan tindakan ‘mengganggu’ dan melaksanakan pertuduhan terpilih terhadap Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan segera.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua berkata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) diharap untuk menjauhkan diri daripada tindakan bermotifkan politik yang hanya akan mencemarkan imejnya.

“Jika SSM bertindak terhadap Suaram, maka sesungguhnya tindakan mesti diambil terhadap syarikat-syarikat milk pemimpin Umno, ahli keluarga dan kroni yang melanggar undang-undang,” kata Tony dalam kenyataan medianya.

Tambahnya, sepanjang tahun lepas, beliau banyak mendedahkan syarikat yang melanggar Akta Syarikat 1965.

“Ia termasuk syarikat-syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil yang memiliki Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

“Sebagai contoh,pinjaman peribadi NFC dianggap unik yang diberikan kepada pengarah syarikat yang melanggar Seksyen 133 dan 133A Akta Syarikat, di mana pinjaman itu jelas dilarang,” katannya.

Sebagai contoh Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan (AGM) yang dimiliki oleh Pemuda Umno dengan Khairy Jamaluddin dan Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai pengarah, tidak pernah memfailkan akaun mereka sejak 2009.

“Kenapa sehingga ke hari ini, walaupun dibuat pendedahan itu sekurang-kurangnya enam bulan yang lalu, SSM gagal untuk bertindak walaupun pelanggaran terbukti oleh syarikat-syarikat itu,” katanya.

Adalah jelas bahawa tindakan terhadap Suaram itu dipercayai ekoran Suaram secara konsisten membuat pendedahan terhadap skandal Kapal Selam Scorpene yang menelan berbilion ringgit Malaysia.

“Kami berharap Suaram akan terus dan menggandakan usaha dalam memastikan pemimpin yang rasuah terus ditolak,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pameran Peluang Zunar Berinteraksi Lebih Dekat Dengan Peminat

SHAH ALAM 28 OGOS : Pameran solo kartunis Zunar yang akan diadakan di Galeri Shah Alam bulan depan memberi peluang kepada peminat melihat karyanya dengan lebih dekat.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anuar Ulhaq berkata sebelum ini, beliau banyak menghadapi kekangan dalam menghasilkan karya.

“Kebanyakkan masalah yang dihadapi ialah cara untuk berinteraktif dengan peminat. Ada buku yang dirampas, pencetak buku diugut malah buku juga diharamkan.

“Oleh kerana banyak larangan dan masalah yang berlaku jadi tiada peluang untuk peminat melihat dan terbatas untuk memiliki karya saya,” katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, persediaan untuk mengadakan pameran yang akan bermula pada 1 September hingga 9 September depan memerlukan persediaan rapi dan teliti.

Pameran kartun solo bertajuk “Zunar” akan bertempat di ruang pameran 1, Galeri Shah Alam dan ia akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Zunar menambah pameran kali ini menampilkan perbezaan berbanding pamerannya di London, Februari lalu.

“Pameran ini lebih kepada diri saya sendiri. Ia lebih menyeluruh berbanding di London yang hanya menekankan isu kebebasan bersuara,” katanya.

Katanya, sebanyak 150 buah karya ditampilkan yang menyentuh senario politik tanah air bermula dari 1999 hingga kini.

Ia berkisar mengenai isu National Feedlot Corporation (NFC), BERSIH, pemberian IC dan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu.

“Ini adalah pameran pertama saya di tanahair. Sebelum ini saya tidak diberi peluang untuk membuat pameran sebegini walaupun sudah mencuba beberapa kali.

“Dengan pameran ini, diharapkan peminat dan orang ramai akan dapat melihat lukisan saya dengan lebih dekat dan memahami maksud dan mesej yang disampaikan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memberi peluang yang terbaik untuk saya,” katanya.

Zunar memberitahu beliau kini dalam perancangan untuk mengadakan pameran solonya di Pulau Pinang dan negeri Pakatan Rakyat yang lain selepas ini.

Pameran ini terbuka kepada setiap hari kepada orang ramai dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Categories
SELANGOR

Noh Perlu Struktur Semula RM250 Juta NFC Baru Bicara Soal Air, kata Menteri Besar

SHAH ALAM 15 OGOS : Datuk Seri Noh Omar perlu menyelesaikan terlebih dahulu kemelut Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang bernilai RM250 juta sebelum bercakap mengenai tempoh akhir penyelesaian penstrukturan semula air Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas sidang media Mesyuarat Exco Selangor berkata, cabaran yang dilontarkan oleh Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor itu bukan sesuatu yang perlu dipandang serius kerana Umno-BN sebelum ini gagal melakukan banyak perkara ketika mentadbir Selangor.

Noh yang juga Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani sebelum ini memberi masa sehingga September kepada Abdul Khalid untuk menyelesaikan masalah air di Selangor atau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

“Saya rasa lebih baik dia (Noh) menyelesaikan isu NFC daripada isu air. Kalau dapat selesaikan isu NFC pada September ini, maka rakyat Selangor akan memandang tinggi kebolehan beliau,” katanya.

Tegas Abdul Khalid, apa yang penting kemelut penstrukturan ini dapat diselesaikan demi kepentingan hak rakyat yang selama ini dinafikan oleh kerajaan Umno-BN.

“Noh hanyalah manusia biasa, cabaran itu tidak menjadi kesan kepada kita. Apa yang penting bagi saya, perkara yang belum berjaya dilakukan oleh kerajaan BN sebelum 2008 adalah menyusun semula struktur air.

“Oleh itu usaha saya adalah supaya dapat menyusun semula industri air Selangor seperti yang kita dapati SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) juga bersetuju supaya air Selangor perlu distruktur semula,” sambung beliau.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Penahanan Untuk Lindungi Skandal Projek LRT Ampang

 

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pendakwaan terhadap Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli berhubung pendedahan tiga akaun kewangan berkaitan National Fidlot Corporation (NFC) hari ini dibuat bertujuan untuk melindungi skandal projek LRT Ampang diketahui umum.

Demikian beritahu Rafizi kepada media selepas menjelaskan bayaran ikat jamin, RM15,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada jam 2.20 petang tadi.

Seorang lagi tertuduh, bekas kerani Public Bank, Johari Muhammad turut dikenakan jumlah ikat jamin yang sama.

Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana mendedahkan tiga akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail.

“Harapan Datuk Seri Najib, beliau sanggup mengorbankan Datuk Seri Sharizat supaya semua tumpuan kepada NFC, supaya rakyat marah kepada NFC.

“Juga supaya saya sendiri tiada masa untuk beri tumpuan kepada kes George Kent dan rakyat juga beralih dari isu George Kent kepada NFC semula,” kata Rafizi.

Tindakan pendakwaan yang secara tiba-tiba dan tergesa-gesa itu turut membuktikan tindakan pendakwaan terhadap Rafizi mempunyai agenda tersembunyi.

“Ini seratus peratus bermotif politik kerana saya tahu siasatan telah dibuat lama.

“Saya juga dah disoal siasat lama sebelum ini, tetapi baru hari ini pendakwaan dibuat dengan tergesa-gesa menunjukan ini ada kaitan dengan penganugerahan kontrak George Kent,” katanya lagi.

Bagaimanapun menurut Rafizi lagi, beliau tetap meneruskan pendedahan skandal projek pembinaan LRT Ampang itu.

Selain itu Rafizi turut menganggap tindakan polis yang menyerbu ke rumah beliau dan Johari pada awal pagi ini merupakan tindakan tidak perlu.

Johari merupakan kakitangan bank yang dikatakan membekalkan maklumat berhubung akaun NFC di bank itu.

“Saya nak tegur, tak perlu pihak polis dan Bank Negara bertindak datang dan tahan kami pagi-pagi sebab kalau diberikan notis awal-awal kami akan datang.

“Sebelum ini pun dah berapa kali saya dipanggil, saya datang dan berikan kerjasama.

“Dalam kes saya hari ini, mereka datang jerkah, menjerit dan ugut nak pecahkan pintu,” katanya lagi.

Selain Rafizi, kenderaan milik Johari juga di hadang dengan kenderaan polis bagi memastikan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan itu untuk melarikan diri.

Sebelum itu dalam isu sama, peguam, N Surendran pula menganggap nasib Pengerusi NFC, Salleh Ismail bernasib baik apabila menerima layanan baik dari polis semasa proses penahanan berbanding Rafizi yang bertindak mendedahkan penyelewengan dana kerajaan.

“Orang yang buat pendedahan penyelewengan dana awam nampaknya menerima layanan lebih buruk dari orang yang melakukan penyelewengan,” kata Surendran yang juga merupakan Naib Presiden PKR itu.

Categories
NASIONAL

Najib Campurtangan, Tidak Telus Dalam Projek LRT Ampang

PETALING JAYA, 25 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa campur tangan di dalam pemberian kontrak kepada sebuah konsortium diketuai George Kent bagi pembinaan projek tambahan sistem LRT Ampang bernilai hampir RM1 bilion.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, sedangkan laporan mendedahkan kontrak tersebut telah diberikan kepada konsortium lain, iaitu Konsortium PDA.

Menurutnya, sebelum ini Najib pernah berjanji untuk berlaku adil dan telus serta memastikan semua kontrak besar akan dijalankan secara tender terbuka.

“PKR boleh mendedahkan bahawa George Kent bukanlah konsortium yang telah terpilih bagi projek tersebut setelah melalui proses tender terbuka dijalankan Prasarana.

Ini disahkan surat Prasarana bertarikh 22 Jun lalu kepada Kementerian Kewangan memaklumkan Konsortium PDA terpilih sebagai kontraktor terbaik bagi pojek itu.

“Malah Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar sendiri menulis surat kepada Najib untuk mendapatkan kelulusan mengeluarkan Surat Tuju Terima kepada Konsortium PDA,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rafizi menjelaskan campurtangan Perdana Menteri dalam isu itu tidak disenangi oleh pengurusan Prasarana kerana bertentangan dengan penilaian bidaan yang telah dijalankan Prasarana sebelum ini.

Akan tetapi, menurut satu laporan akhbar Business Times pada 22 Jun konsortium George Kent akan dianugerahkan kontrak bernilai RM960 juta bagi kerja projek tambahan itu.

Tambahnya, laporan itu dibuat selepas Najib mengumumkan sendiri kepada pimpinan kerajaan hasrat beliau menganugerahkan projek tersebut kepada George Kent.

Perkembangan terbaru itu, Rafizi berkata, mengesahkan Najib bertindak menukar keputusan Prasarana dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibatkan berbilion wang rakyat.

Berikutan itu, beliau berkata, PKR akan melakukan pendedahan berterusan dalam isu tersebut setiap dua hari sekali bermula hari ini bagi menguji komitmen Najib kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

“Saya betul-betul menasihatkan Najib supaya menangani skandal ini dengan baik demi menjaga imej pentadbiran beliau.

“Soal NFC dia tak sebut tak apa, soal ajak debat dia tak sebut tak apa, soal Scorpene dia tak sebut tak apa.

“Dia hanya beri reaksi apabila saya letak jawatan, saya rasa terharu sangat. Jadi sekarang saya nasihatkan Najib supaya memberi respon terhadap isu ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Keputusan SPRM Lepaskan Shahrizat Timbul Banyak Tanda Tanya

KUALA LUMPUR 31 MEI : Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) untuk membuka kembali kes siasatan rasuah tahun 1995 terhadap Azmin Ali dikesali kerana dalam masa yang sama melepaskan Shahrizat Jalil berhubung kes projek Pusat Fidlot Nasional(NFC).

Kekesalan ini dinyatakan dalam kenyataan bersama Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Kenyataan itu menyebut, sungguh pun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Ketua Wanita Umno Malaysia itu dari tuduhan rasuah bersabit NFC tetapi keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.

“Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Azmin walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR, pada ketika itu) menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Shahrizat, walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau,”kenyataan itu dipetik.

Dalam kenyataan itu juga turut dibentangkan fakta-fakta kedua-dua kes berkenaan tindak tanduk SPRM dan meminta rakyat menilai perkara ini.

Fakta yang pertama ialah kenyataan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafee Yahaya yang menegaskan bahawa berdasarkan kepada siasatannya mendapati tidak ada unsur rasuah yang mewajarkan terhadap Azmin pada tahun 1995.

Beliau juga menyatakan bahawa BPR mengesyorkan agar tindakan disiplin dikenakan terhadap Azmin bertepatan dengan peraturan jabatan kerajaan dan ketiga insiden dan fakta kes ini telah dinyatakan secara jelas di dalam bukunya ?The Shafee Yahaya Story? mukasurat 306, 326 dan 356.

Manakala bagi kes NFC yang membabitkan Shahrizat pula menyebut Datuk Seri Noh Omar menyatakan di Parlimen bahawa tender NFC dibuat secara tertutup dengan menjemput hanya enam buah syarikat, antaranya NFCorp dan Felda Farm Products Sdn Bhd.

Hanya Felda Farm Products Sdn Bhd yang mempunyai pengalaman dalam industri penternakan, sedangkan NFCorp hanya baru ditubuhkan.

“Berdasarkan peraturan umum perolehan dan tender mana-mana badan (apatah lagi projek besar kerajaan), tindakan menganugerahkan tender kepada sebuah syarikat yang tidak berkemampuan untuk melaksanakannya adalah satu tindakan rasuah.

“Ini bermakna, Jawatankuasa Tender Berimpak Tinggi yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak sendiri melakukan perbuatan rasuah dengan menganugerahkan projek bernilai RM250 juta kepada NFCorp yang langsung tidak mempunyai pengalaman mengendalikannya,” terang kenyataan itu lagi

Dalam kes NFC ini, Najib adalah pengerusi Jawatankuasa Tender dan NFCorp mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Shahrizat. Manakala Shahrizat mempunyai hubungan politik dengan Najib di bawah kabinetnya.

Kenyataan itu juga kecewa apabila SPRM sekarang bertugas menjadi kuda tunggangan BN untuk membuka fail menyiasat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di kala pilihan raya begitu dekat.

Rafizi dan Zuraida juga yakin SPRM tidak akan memanggil Najib untuk disoalsiasat walaupun beliau saksi utama yang perlu ditemuramah untuk memahami kenapa tender RM250 juta dianugerahkan kepada NFC.

Malah, kami sendiri pelik kenapa kami tidak dipanggil untuk disoalsiasat sedangkan kamilah yang paling ke depan membongkarkan penyelewengan NFC?

Categories
NASIONAL

Disoal Siasat, Rafizi Persoal Tindakan Bank Negara

PETALING JAYA, 30 MEI: Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli hari ini hairan mengapa Bank Negara memanggil beliau memberi keterangan berhubung pendedahan transaksi yang melibatkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Beliau yang menerima notis secara peribadi disoal siasat di bawah Seksyen 87 (1) (a), Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

“Saya hairan mengapa Bank Negara tidak pula menyiasat hatta mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Salleh Ismail dan keluarga kerana beliau terang-terangan memindahkan wang rakyat secara tidak sah ke syarikat milik milik keluarga beliau di Singapura dan Khazakhstan.

“Perkara ini diakui oleh mereka (NFC) dan bukankah ini perlu disiasat juga oleh Bank Negara di bawah Akta Penggubahan Wang Haram?” soal rafizi.

Jelas beliau, tindakan soal siasat ini memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) tidak mengalu-alukan tindakan proaktif rakyat biasa untuk mendedahkan penyelewengan yang semakin berleluasa.

Rafizi juga menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa pentadbiran beliau tidak memangsakan pemberi maklumat dan melindungi perasuah.

Rafizi sebelum ini mendedahkan pelbagai maklumat berkaitan NFC khuatir jika tekanan yang berterusan dikenakan terhadap beliau dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad bertujuan untuk menutup skandal NFC.

Katanya, meskipun berhadapan pelbagai tekanan, semakin ramai individu dan kumpulan tampil memberikan maklumat mengenai rasuah dan penyelewengan.

Noh Tiada Kepakaran Dalam Pengurusan Air, Patut Selesaikan Isu NFC

SABAK BERNAM 26 MEI : Masalah utama Noh Omar ialah beliau tidak faham dan tidak tahu menyelesaikan masalah air yang berlaku kini, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tambahnya, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani tidak mempunyai kefahaman yang begitu baik untuk mencampuri urusan itu.

Noh sepatutnya menjaga kementeriannya dan mengkaji semula isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) kerana ia melibatkan nilai yang tinggi.

“Saya rasa dia tidak faham. Nanti saya akan ajar dia..Nanti saya akan buat penjelasan berapa jumlah air mentah, bagaimana air mentah jadi terawat, apakah masalah pengurusan yang berlaku dan bagaimana pilihan untuk mendapatkannya dengan harga yang terendah.

“Oleh kerana dia tidak mempunyai kepakaran dalam perkara ini, saya merasakan tidak perlu diendahkan kerana dia punya kementerian pun tidak begitu baik. Banyak perkara dalam kementerian yang dia tidak jaga, jadi lebih baik dia memberi perhatian. Contohnya kes NFC,,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Peringkat Negeri Selangor di sini.

Justeru, jika Noh berjaya selesikan isu NFC, kita bagi penghormatan kepadanya.

Menteri Besar memberitahu penjelasan berkenaan masalah air ini nanti akan diperincikan Rabu depan, selepaas mesyuarat Exco.

“Saya akan terangkan satu demi satu supaya semua pihak dan masyarakat akan memahami tentang perkara ini, ” katanya.

Noh dalam satu kenyataannya cuba menyangkal fakta yang diberikan oleh Abdul Khalid bahawa tujuh empangan yang ada di Selangor pada ketika ini mampu menampung keperluan air di Lembah Klang, sekaligus menafikan tomahan Umno-BN bahawa akan berlaku krisis air menjelang 2014.

Categories
SELANGOR

Zuraida : NFC Cuba Alihkan Perhatian Dengan Menyaman Bank

SHAH ALAM, 23 MEI: Tindakan National Fidlot Corporation (NFC) memfailkan saman terhadap Public Bank dilihat sebagai cubaan untuk mengelakkan diri daripada menjawab isu penyelewengan bernilai RM250 juta yang didedahkan sebelum ini.
Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara pokok yang perlu diatasi adalah penyelewengan yang dilakukan NFC yang sehingga kini masih belum dijawab.

“Itu hak NFC untuk mengemukakan saman kepada Public Bank dan sebagainya. Tetapi perkara pokok ialah NFC sendiri telah menyeleweng.

?Itu perkara pokok yang perlu ditangani oleh kerajaan. Kita atasi itu dahulu kemudian tepulang kepada tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Jelas beliau, NFC tidak dapat lari daripada hakikat bahawa mereka telah menyeleweng amanah rakyat yang bernilai jutaan ringgit.

NFC semalam memfailkan saman kepada Public Bank di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia).

Public Bank didakwa bersikap cuai dan mengakibatkan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memperoleh maklumat berhubung syarikat berkenaan.

Zuraida menambah, dalam zaman serba canggih ini semua maklumat boleh dikeluarkan melalui pelbagai cara dan pihak Public Bank sendiri tidak mengetahui siapakah kakitangan mereka yang terlibat.

Sebelum ini, seorang bekas kerani Public Bank cawangan Jinjang, Johari Mohammad menerima sepucuk surat daripada pihak Public Bank kerana didakwa melanggar tatacara disiplin tempat kerja berikutan satu aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail.

Johari yang telah melalui proses perbicaraan disiplin di Public Bank turut disiasat dibawah peruntukkan sama oleh Bank Negara.

Categories
NASIONAL

PKR Bongkar 4 Lagi Hartanah Milik NFC


SHAH ALAM 24 APRIL : PKR berjaya membongkar satu lagi aset Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang didakwa menggunakan dana rakyat untuk membeli dua unit hartanah di Mont Kiara.

Berdasarkan carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata dua premis utama itu ialah pejabat di alamat L-3A, No. 2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Month Kiara.

Difahamkan, empat unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Izanur Izran.

Manakala salah satu unit iaitu Unit L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta di JPPH atas nama Mohamad Salleh yang dibeli pada harga RM814,550.

Jelasnya, semakan pembayaran dari rekod kewangan NFC menunjukkan bahawa setiap bulan NFC akan membuat dua pembayaran sewa pejabat itu sebanyak RM28,000 kepada Wan Shahinur Izran dan RM8,240 kepada Mohamad Salleh.

Tambah Rafizi, hal ini menimbulkan beberapa kesimpulan dan persoalan besar.

Antaranya dua orang pengarah NFC itu menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat.

Bayaran sewa yang dikutip oleh Mohamad Salleh iaitu RM8,240 sebulan bagi ruang pejabat bernilai RM814,550 adalah terlalu tinggi.

“Jika pembelian ini dibiayai dengan pinjaman selama 25 tahun pada kadar faedah semasa, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM4,800 sebulan. Ini bermakna Dato? Seri Salleh Ismail membuat keuntungan 72% setiap bulan iaitu kadar keuntungan yang terlalu tinggi dari wang rakyat.

“Jika ini keadaannya dengan unit L-3A-3A yang dimiliki oleh Mohamad Salleh, sudah tentu kadar keuntungan serupa juga dibayar oleh NFC kepada Wan Shahinur Izran bagi ruang-ruang pejabat lain yang dimiliki beliau,” katanya.

Jelas Rafizi kaedah membeli hartanah atas milikan peribadi dan dibiayai oleh bayaran sewa oleh NFC dan syarikat bersekutu turut digunapakai dalam hartanah-hartanah lain.

“Carian rasmi di JPPH menunjukkan beliau mempunyai dua ruang kedai iaitu unit 2 dan 3. Unit 2 berharga RM8.4 juta sementara unit 2 berharga RM5.7 juta.

“Ruang ini disewakan kepada NFC yang membayar sewa bulanan kepada Wan Shahinur Izran menggunakan dana RM250 juta yang dibiayai oleh rakyat.

“Adakah urusniaga pembelian hartanah atas nama peribadi tetapi dibayar menggunakan kutipan sewa dari NFC dan syarikat bersekutu ini mendapat kelulusan Lembaga Pengarah? Jika tidak, Mohamad Salleh dan Wan Shahinur Izran perlu disiasat atas kemungkinan pecah amanah wang syarikat,” katanya.

Katanya, walaupun beliau tidak mempunyai rekod kewangan terperinci bagi syarikat-syarikat bersekutu yang lain, beliau percaya Wan Shahinur Izran turut mendapat bayaran sewa yang lumayan dari dua ruang restoran yang dimilikinya.

“Di anggarkan  beliau memperolehi pendapatan sewa RM150,000 sebulan dari dua unit hartanah bernilai RM14.1 juta ini, mengambil kira kadar keuntungan sama yang diperolehi Mohamad Salleh,” katanya.

Justeru katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan penyelewengan wang rakyat walaupun pelbagai pendedahan dibuat dalam skandal NFC yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Katanya, Najib hanya berharap dengan pengunduran sementara Shahrizat dari jawatan kabinet, skandal ini akan reda sementara, sedangkan beliau membiarkan keluarga  Shahrizat terus bermewah dengan wang rakyat sebanyak RM250 juta.

“Walaupun Najib mengumumkan bahawa aset NFC dibekukan, hakikatnya keluarga Shahrizat masih lagi mendapat bayaran bulanan yang lumayan dari harta-harta yang dibeli menggunakan dana NFC.

“Selain dari pelbagai kondominium yang didedahkan, kini keluarga Shahrizat juga mendapat kutipan sewa dari hartanah-hartanah yang dibeli dengan dana NFC serta kemudiannya disewakan kembali kepada NFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan membuat laporan polis susulan berikutan pendedahan ini agar Wan Shahinur Izran dan Mohamad Salleh disiasat atas kemungkinan pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanah-hartanah yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Mont Kiara.

Categories
NASIONAL

Zuraida : Mengapa Salleh Dibenarkan Kendali Perniagaan NFC?

KUALA LUMPUR, 17 APR : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak kerajaan pusat memperjelaskan bagaimana Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC),

Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dibenarkan mengadakan lawatan perniagaan ke luar negara.

Ini kerana menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, akaun syarikat bermasalah itu telah dibekukan dan perniagaan dihentikan sementara siasatan dijalankan.

Menurut MP Ampang Zuraida Kamaruddin, Mahkamah Tinggi membenarkan Mohamad Salleh menggunakan pasportnya bagi tujuan perjalanan perniagaan sebelum ia dipulangkan semula kepada mahkamah pada 16 Mei depan.

Laporan The Star dan New Straits Times pada Sabtu lalu menyatakan Mohamad Salleh perlu ke luar negara bagi tujuan memastikan perjalanan perniagaan di Singapura berjalan lancar pada 23 hingga 26 Mei depan.

Beliau juga akan mengerjakan umrah (18 April hingga 5 Mei) dan melawat Kazakhtan bagi mencari lokasi untuk membuka ladang baru  (5 hingga 11 Mei).

Mohamad Salleh juga dijangka melawat anak perempuannya, Wan Izzana Fatimah Zabedah yang belajar di Imperial College Business School, London (11 hingga 15 Mei).

“Kita tidak faham kenapa seolah-olah Datuk Seri Mohamad Salleh masih menjalankan perniagaan berurusan dengan projek lembu negara ini di bawah NFC?

Manakala dalam sidang Dewan Rakyat pada 27 Mac lalu, jelas Zuraida, Noh memaklumkan projek itu akan ditender semula bagi memastikannya diteruskan dan akaun syarikat dibekukan.

Zuraida bertanya mengapa pula Mohamad Salleh dibenarkan ke Singapura dan Kazakhtan bagi tujuan lawatan perniagaan bagaikan operasi perniagaan berjalan seperti biasa?

Beliau juga berkata, sasaran projek itu adalah bagi mengurangkan kebergantungan daging import tetapi mengapa NFC meneruskan kerjasama dan pembukaan ladang di Kazahktan.

Seterusnya persoalan yang timbul adakah juga Wan Izzana Fatimah Zabedah yang meneruskan pengajian di London masih menerima bayaran gaji sebagai Pengarah Syarikat di NFC? soalnya.

Categories
NASIONAL

Nizar : Skandal NFC Buah Mulut Orang Kampung

SHAH ALAM, 12 APR : Skandal projek lembu gergasi Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) bukan sahaja mendapat perhatian golongan kelas menengah tetapi sudah menjadi buat mulut orang kampung di Perak.

Menurut bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin isu hutang dan penyalahgunaan dana NFC oleh keluarga bekas menteri Umno telah membuatkan ahli Umno-BN Perak malu untuk berdepan dengan orang kampung.

Tambahnya, Kes lembu NFC begitu mendalam kesannya kepada penduduk kampung seperti di Senggang, Sayong dan Malong di Perak.
Malah, kata Mohammad Nizar, kes NFC dan hubungannya dengan bekas Menteri Kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya akan mempengaruhi sentimen orang Perak di dalam pilihanraya akan datang.

“Kes Shahrizat ini begitu dekat dengan orang kampung kerana melibatkan lembu dan peruntukan yang begitu besar,” ujar beliau di dalam ucapannya di Pidato Wacana Pendidikan Percuma di sini semalam.

Sebelum ini, Shahrizat terpaksa letak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kommuniti ekoran dari skandal NFC yang mula di dedahkan oleh Ketua Audit Negara pada November tahun lepas dan diulas oleh Parti Keadilan Rakyat.

Suami Shahrizat pula, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke mahkamah sesyen Kuala Lumpur pada Mac 12 di atas dua caj pecah amanah bersabit pembelian dua unit condo bernilai RM 49.7 juta.

Nizar turut berseloroh dengan menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak perlu bersusah payah untuk menawan Perak kembali kerana penyelewengan Umno-BN telah diketahui hampir segenap pelusuk rakyat di Perak.

“Kita tidak perlu bersusah payah untuk menawan Perak kerana kita sebut lembu Shahrizat dan cincin Rosmah, Perak kita dapat tawan kembali,” guraunya.

Selain itu, kegusaran Umno-BN terhadap Pakatan di Perak telah membuatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib datang ke Perak enam kali.

?Najib memberikan habuan wang ringgit kerana mereka takut kehilangan negeri ini dalam pilihanraya nanti,” kata Nizar.

Beliau menambah pimpinan Umno sendiri tidak menerima idea 1Malaysia yang dibawa Najib.

“Tunku Razaleigh sendiri memberitahu saya, pemimpin Umno sendiri tidak menerima idea 1Malaysia yang berhempas pulas di lakukan oleh Najib,” jelas Nizar.