Categories
EXCO SELANGOR

RM750,000 kos naik taraf pasar Pasir Penambang, ruang niaga selesa

KUALA SELANGOR, 5 OKT: Kerja menaik taraf Pasar Awam Pasir Penambang di sini, memberi manfaat kepada 95 peniaga selepas projek itu siap pada Mac lalu.

EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han berkata projek menelan belanja RM750,000 itu turut memberi keselesaan kepada lebih 1,000 pengunjung harian.

“Kerja menaik taraf ini merangkumi sistem bekalan air, lantai pasar, meja jualan dan longkang selain pembaikan bumbung, gerai, tandas dan pembinaan laluan penjalan kaki.

“Kos keseluruhan sebanyak RM750,000 dengan RM600,000 diperuntuk Kerajaan Negeri dan baki ditanggung MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di pasar hari ini.

Sze Han berkata kerja menaik taraf mula dijalankan pada November 2019 dengan semua 95 lot gerai pasar itu dipenuhi peniaga.

Katanya, kos sewaan lot gerai berkenaan bermula serendah RM100 hingga RM1,500 sebulan mengikut tender.

Beliau kemudian meneruskan lawatan kerja di Kuala Selangor dengan meninjau kerja pembangunan Dewan Serbaguna Hillpark dan melihat cadangan projek persimpangan persiaran Eco Grandeur 2.

Categories
EXCO SELANGOR

MDHS, pejabat tanah serbu gudang gagal urus sisa berjadual

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebuah gudang yang menjalankan aktiviti pembuangan sisa industri tanpa kebenaran dekat Batang Kali diserbu Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han berkata pemeriksaan bersama Pejabat Tanah Selangor turut mendapati sisa berjadual juga tidak diurus mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri menerima maklumat dan aduan orang awam mengenai pembuangan sisa berjadual dan industri di sebuah gudang berdekatan Batang Kali. Serbuan dilakukan mendapati aduan tersebut benar.

“Penilaian awal kami mendapati sisa-sisa ini tidak diuruskan mengikut piawaian yang ditetapkan dan premis juga tidak didaftarkan sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti menguruskan sisa berjadual,” katanya di Facebook.

Susulan itu, Sze Han berkata Jabatan Alam Sekitar dimaklumkan mengenai perkara tersebut untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Categories
ADN EXCO SELANGOR

Subsidi 1,000 kit ujian kendiri khas buat penduduk DUN Kinrara

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pusat Khidmat Dewan Negeri (DUN) Kinrara menyediakan 1,000 kit ujian air liur bersubsidi bagi mengesan status jangkitan dengan cepat.

Kit kendiri bernilai RM10 setiap satu dikhususkan untuk penduduk setempat dan terhad 10 set bagi setiap keluarga, kata wakil rakyatnya Ng Sze Han.

“Jika permintaan tinggi, kita akan menambah lagi bilangan kit. Ini memudahkan dan meringan beban penduduk,” katanya menambah kit boleh didapati di pusat khidmat atau hubungi talian 011-25816296.

Pada 9 September, sebanyak 1,000 kit ujian kendiri sumbangan Kerajaan Selangor disediakan untuk pesakit Covid-19 sekitar DUN itu.

Selain kit ujian air liur, pek itu turut mengandungi penyedut oksigen, paracetamol, vitamin C 500mg, kit sanitasi, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 60,000 kit ujian kendiri akan diagihkan secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan alatan tersebut diagihkan melalui pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.

Categories
EXCO SELANGOR

MPAJ kesan tapak sesuai untuk bina krematorium

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenal pasti satu lokasi sesuai untuk dijadikan tapak krematorium atau pusat pembakaran mayat.

EXCO kerajaan tempatan berkata bagaimanapun lokasi seluas 9.8 ekar di Lot 208, Mukim Hulu Kelang itu dalam proses penambahan kelas guna tanah memandangkan tapak terbabit untuk jirat Cina atau Buddha.

“MPAJ dalam proses mengemukakan permohonan penambahan fungsi tapak kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan krematorium dibina di kawasan itu.

“Selepas mendapat kelulusan kerja pembinaan akan dilaksanakan segera,” kata Ng Sze Han selepas melawat tapak berkenaan bersama Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sze Han berkata setakat ini hanya empat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

“Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menetapkan semua PBT menyediakan sekurang-kurangnya satu krematorium dalam kawasan masing-masing selain perlu mengenakan harga berpatutan untuk perkhidmatan,” katanya.

Pada 30 Ogos ketika sidang Dewan Negeri Selangor, Sze Han mengarahkan semua PBT mengambil tindakan segera berhubung tapak kompleks tersebut khususnya membabitkan kematian akibat Covid-19.

Categories
EXCO SELANGOR

RM7 juta diperuntuk jaya dua projek atasi sesak di Ampang

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM7 juta bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sekitar Pandan Mewah, Ampang.

EXCO kerajaan tempatan berkata jumlah itu merangkumi kos pembinaan jambatan dua hala di Persimpangan Jalan Pandan Utama dan Pandan Mewah serta pelebaran jalan sekitar Hospital Ampang.

“Kerajaan Selangor dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memandang serius isu lalu lintas di kawasan ini. Kepadatan penduduk menyebabkan masalah berlaku dan perlu diurus segera.

“Projek jambatan menelan kos RM6.4 juta manakala pelebaran jalan di bahagian belakang dan sisi Hopital Ampang melibatkan belanja RM500,000. Dua projek ini bakal memanfaatkan kira-kira 10,000 penduduk,” kata Ng Sze Han.

Terdahulu beliau membuat lawatan di dua lokasi terbabit bersama Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sze Han berkata kontraktor bertanggungjawab bagi projek itu sudah dilantik dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Pelebaran jalan di Hospital Ampang itu untuk dijadikan 200 tapak letak kereta memandangkan tempat terhad. Dimaklumkan hospital menerima 600 pesakit dan pelawat setiap hari.

“Bagaimanapun hanya 591 tapak parkir yang ada dengan separuh darinya dikhaskan kepada petugas hospital. Ini tidak mencukupi,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Permudah lesen niaga sementara, bantu golongan hilang pendapatan

SELAYANG, 21 SEPT: Kerajaan Selangor mempermudah permohonan permit berniaga sementara kepada penjaja termasuk proses kelulusan singkat, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata langkah itu sebagai inisiatif Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu peniaga baharu terutama yang hilang pendapatan akibat Covid-19.

“Komitmen Kerajaan Negeri dibuktikan apabila lebih 8,300 lesen sementara dikeluarkan seluruh PBT negeri ini sejak dilancarkan pada Ogos tahun lalu hingga sekarang.

“PBT akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk peniaga menjalankan operasi mereka, kita tidak mahu tapak bermasalah atau menganggu lalu lintas,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan 17 permit sementara kepada peniaga di Taman Selayang Mutiara dan Kampung Selayang Indah dekat sini.

Sementara itu Sze Han berkata pihaknya akan membincangkan sama ada tempoh sah lesen sementara yang berakhir pada 31 Disember ini dilanjutkan atau sebaliknya.

“Kita akan bincangkannya, apabila mendapat kelulusan MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) saya akan umumkan,” katanya.

Bermula Ogos tahun lalu, PBT di Selangor memberi permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

17 penjaja sekitar Selayang dapat lesen niaga sementara

SELAYANG, 21 SEPT: Seramai 17 penjaja di Taman Selayang Mutiara dan Kampung Selayang Indah dekat sini menerima permit berniaga sementara daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata permit tersebut ditawarkan sendiri oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berikutan semua peniaga tidak pernah membuat permohonan.

“Terdapat 40 peniaga di dua lokasi namun hari ini hanya 17 peniaga menerima permit. Untuk peniaga lain, permit mereka masih diproses kerana dokumen tidak lengkap.

Ng Sze Han

“Pemberian ini hasil usaha proaktif MPS dalam memastikan operasi perniagaan mereka berjalan lancar tanpa ada gangguan dari pihak berkepentingan selain mengelakkan masalah lalu lintas,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau dua lokasi terbabit bersama Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan serta Yang Dipertua MPS Mohd Yazid Sairi.

Sze Han berkata sebanyak 1,121 permit sementara dikeluarkan MPS sejak Ogos tahun lalu bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menjana pendapatan.

“Semua PBT akan meneruskan usaha ini bagi membantu lebih ramai individu menjana sumber pendapatan. Kita seru supaya semua peniaga mengambil manfaat memohon lesen ini di PBT masing-masing,” katanya.

Awal bulan ini, Sze Han menyerahkan 120 lesen sementara kepada penjaja di Taman Puncak Jalil yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Categories
ADN SELANGOR

1,000 kit ujian kendiri percuma buat penduduk DUN Kinrara

SHAH ALAM, 9 SEPT: Sebanyak 1,000 kit ujian kendiri secara percuma disediakan untuk pesakit Covid-19 sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.

Wakil rakyatnya berkata kit sumbangan Kerajaan Selangor turut diagihkan kepada keluarga pesakit bagi memantau tahap kesihatan sepanjang menjalani kuarantin di rumah

“Sayangi Kinrara Covid-19 Care Pack ini mengandungi kit ujian air liur, penyedut oksigen, Paracetamal, vitamin C 500mg, kit sanitasi, pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

“Ini merupakan inisiatif melawan virus Covid-19 selepas kita memfokuskan program vaksinasi penduduk,” kata Ng Sze Han di Facebook.

Beliau berkata individu yang memerlukan kit tersebut boleh menghubungi pusat khidmat di talian 03-80821661 atau 01125816296.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma akan diagihkan kepada keluarga mangsa dijangkiti virus itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kit tersebut akan diserahkan melalui 56 pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.

Categories
PBT SELANGOR

120 penjaja di Taman Puncak Jalil terima lesen sementara

SUBANG JAYA, 7 SEPT: Sebanyak 120 lesen sementara yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diberikan kepada penjaja di Taman Puncak Jalil di sini, hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata angka itu adalah tinggi jika dibandingkan hanya enam peniaga sahaja yang mempunyai lesen sah di kawasan berkenaan sebelum ini.

“Sebelum ini hanya enam daripada 80 pemilik gerai di kawasan ini mempunyai lesen yang didaftarkan dengan MBSJ.

“Bagaimanapun MBSJ memutuskan untuk pertimbang permohonan penjaja terutama dalam situasi ramai terkesan akibat Covid-19,” katanya ditemui pemberita selepas menyerahkan 120 lesen sementara kepada penjaja.

Pada 18 Januari, MBSJ mengeluarkan 850 permit perniagaan sementara bagi membantu golongan terkesan akibat Covid-19.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata langkah tersebut untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana semula pendapatan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PPV Puchong Indah tutup, lebih 50,000 dos vaksin diguna

SHAH ALAM, 7 SEPT: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Puchong Indah tutup sepenuhnya kelmarin selepas beroperasi enam minggu mulai 26 Julai.

Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata sepanjang tempoh itu sebanyak 51,834 dos vaksin diberikan kepada penerima melibatkan 25,190 dos pertama dan 26,644 dos kedua.

“Pembukaan ppv ini merupakan langkah besar menuju imuniti kelompok. Vaksin adalah kaedah terbaik bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kepada sesiapa belum menerimanya, kunjungi mana-mana ppv yang masih dibuka untuk mendapatkan suntikan vaksin anda,” kata Ng Sze Han menerusi Facebook.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata pihaknya melakukan pelbagai usaha dalam menggalakkan penduduk Kinrara termasuk warga asing mengambil pelalian seperti membuat hebahan melalui sosial media serta bergerak rumah ke rumah.

Pada 25 Jun, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mewujudkan PPV berskala kecil di Puchong bagi mempercepatkan proses vaksinasi penduduk setempat.

Berikutan itu bermula 26 Julai ppv yang menggunakan Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah itu dibuka dan mampu menampung antara 1,000 hingga 1,500 orang dalam satu-satu masa.

Categories
EXCO SELANGOR

PBT diarah teliti tapak krematorium sesuai, elak beban kepada waris

SHAH ALAM, 30 OGOS: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengambil tindakan segera berhubung tapak krematorium kawasan masing-masing khususnya membabitkan kematian akibat Covid-19.

EXCO kerajaan tempatan berkata majlis juga diarah mengenal pasti dan meneliti lokasi pembinaan krematorium untuk proses pembakaran mayat.

“Semua PBT perlu merancang dan menelitinya untuk cadangan Belajawan 2022 termasuk penetapan kadar bayaran supaya tidak membebankan waris.

“Ini bagi membantu rakyat dan tidak mahu rakyat jadi terdesak,” kata Ng Sze Han ketika sesi penggulungan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ketika sesi perbahasan minggu lalu, ada Ahli Dewan Negeri mengusulkan supaya setiap PBT menyediakan tempat pembakaran mayat.

Sementara itu Sze Han berkata lebih 8,000 penjaja kecil-kecilan ditawarkan lesen sementara sepanjang penularan Covid-19.

“Akibat pandemik, ramai keluar dari zon selesa dan berniaga termasuk di tepi jalan. Justeru, Kerajaan Negeri memilih untuk bersama dan membela mereka.

“Jadi Kerajaan Negeri mengarahkan PBT mempermudah dan mempercepatkan pemberian lesen selain mengenal pasti tapak sementara yang sesuai dengan kawalan keselamatan serta tiada kacau ganggu,” katanya.

Bermula Ogos tahun lalu, PBT negeri ini bermula dari Majlis Bandaraya Shah Alam memberikan permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri tidak tutup kilang ada kelulusan Miti

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerajaan Negeri tidak menutup kilang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah mendapat kelulusan beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menjelaskan pihak berkuasa tempatan hanya bertanggungjawab dalam memastikan sesebuah kilang mematuhi syarat lesen.

“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri tidak akan menutup kilang sekiranya mendapat kelulusan Miti dan mematuhi semua syarat lesen ditetapkan PBT,” katanya  dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Leong Tuck Chee sama ada Kerajaan Negeri diberi kuasa menutup kilang dan berdepan risiko saman jika tidak mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengenai persoalan itu, Sze Han berkata menurut subseksyen 3(2) Akta 776, MKN adalah pihak berkuasa pusat bagi kerajaan untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dengan keselamatan negara.

“Akta 776 tidak memperuntukkan hukuman atau kesalahan berkaitan kegagalan atau ketidakpatuhan Kerajaan Negeri dalam mematuhi apa-apa arahan dikeluarkan MKN,” katanya.