Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MBSA, MPAJ kenal pasti lokasi pasang cas kenderaan elektrik

SHAH ALAM, 1 DIS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sedang mengenal pasti lokasi sesuai bagi pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV).

Merujuk kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han berkata pemilihan kawasan dibuat bersama pihak swasta industri itu.

“Buat masa ini kita terima beberapa cadangan, namun kita alu-alukan lebih banyak (cadangan) agar Selangor mampu menjadi perintis projek stesen EV di Malaysia,” kata beliau ketika ditemui di luar sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Sze Han memberitahu Kerajaan Negeri turut menyasar pemasangan 1,000 pengecas di parkir milik PBT tahun depan manakala 10,000 unit menjelang 2025.

Beliau berkata inisiatif itu perlu dibuat segera bagi memastikan Selangor terus mengorak langkah sekali gus membantu mengurangkan pencemaran karbon.

“Sekarang stesen EV semakin popular di luar negara. Bukan sahaja untuk kereta malah kenderaan lain seperti van, bas, trak dan lori sampah,” katanya.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada Jumaat lalu mengumumkan projek pemasangan stesen pengecas EV dengan nilai pelaburan RM10 juta di seluruh negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut bercadang memberi insentif kepada perniagaan dan industri yang
melabur dalam infrastruktur EV termasuk pengurangan fi lesen dan cukai taksiran.

Beliau berkata pengguna EV juga diberi keistimewaan parkir percuma bawah pentadbiran PBT menjelang tahun depan.

Categories
EXCO SELANGOR

MPK teliti laluan baharu Bas Smart Selangor di Pandamaran, Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 30 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu meneliti beberapa perkara sebelum memperluas perkhidmatan Bas Smart Selangor ke kawasan Pandamaran dan Pelabuhan Klang.

EXCO pengangkutan awam berkata kekerapan penumpang menggunakan perkhidmatan dan kos penyelenggaraan perlu diperhalusi memandangkan ia dibiaya sepenuhnya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Berdasarkan kajian MPK mengenai laluan sedia ada dari semasa ke semasa bergantung kepada penggunaannya seperti jumlah hentian dan bas perlu disediakan dan jarak laluan.

“(Ia termasuk) kekerapan jumlah perkhidmatan setiap jam perjalanan dan jangkaan kekerapan penumpang,” kata Ng Sze Han dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berhubung bila perkhidmatan Bas Smart Selangor akan memasuki kedua-dua kawasan terbabit.

Sze Han berkata ketika ini, laluan sedia ada melibatkan kawasan Pelabuhan Klang adalah laluan KLG1 yang beroperasi dari Bandar Klang sehingga Kompleks Sukan Pandamaran.

Jelasnya, perkhidmatan itu tidak boleh memasuki laluan ditentukan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengikut zon kepada operasi bas sedia ada.

“Keperluan bas awam atau bas henti-henti adalah di bawah tanggungjawab APAD. Bas Smart Selangor disediakan hanya menampung kekosongan laluan dengan mengutamakan laluan sosial tidak dilalui bas sedia ada selain perlu mendapat kelulusan APAD,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM gerakkan 12 lori bersih kawasan banjir kilat

SHAH ALAM, 24 NOV: KDEB Waste Management (KDEBWM) menggerakkan 12 lori arm roll sekitar Ampang bagi membersihkan kawasan yang dilanda banjir kilat Isnin lalu.

Lori berkenaan digerakkan semalam bersama 12 pegawai dan 12 subkontraktor untuk mengutip sampah pukal antaranya perabot, kata EXCO kerajaan tempatan.

“Mangsa banjir diminta bertenang dan menjaga kebersihan. Kita minta sampah pukal diletakkan di kawasan luar rumah supaya kutipan berjalan lancar,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut menghulur bantuan logistik, menyediakan pusat pemindahan sementara, membekalkan air bersih, menjaga keselamatan dan mengalihkan pokok tumbang.

Selain Ampang, daerah Gombak dan Hulu Langat turut dilanda banjir kilat selepas hujan lebat melebihi tiga jam di Lembah Klang kelmarin.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar mengarahkan pihak berkuasa tempatan, KDEBWM bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta perpindahan.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menggerakkan Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu mangsa membersihkan rumah dan persekitaran.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Denda lewat bayar cukai taksiran dikecualikan ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri mengecualikan bayaran denda lewat cukai taksiran bagi penggal kedua tahun ini untuk mengurangkan beban rakyat susulan pandemik.

Keputusan yang diluluskan pada 17 November melibatkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM13.8 juta, kata EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

“Keputusan ini selaras inisiatif dan ketetapan Kerajaan Negeri untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat dalam berhadapan penularan wabak Covid-19.

“Sehubungan itu, semua pemilik premis/ bangunan yang lewat menjelaskan cukai taksiran untuk penggal tersebut tidak akan dikenakan denda lewat bayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk menyemak penyata cukai taksiran masing-masing bagi memastikan bayaran dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Categories
EXCO SELANGOR

Tukar status tanah, pemilik boleh mohon kilang berlesen

SHAH ALAM, 18 NOV: Penukaran syarat tanah pertanian kepada industri perlu dibuat bagi membolehkan pemilik memohon status kilang berlesen.

EXCO kerajaan tempatan berkata mereka masih boleh melakukan proses tersebut meskipun program pemutihan sudah berakhir 31 Disember tahun lalu.

“Pemilik layak menukar status kilang tetapi perlu bayar premium tanah dan kemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata Ng Sze Han menerusi Bual Bicara Selangor TV berjudul #Selangor2022 Langkah Hadapi Endemik malam tadi.

Menurutnya, program pemutihan kilang itu perlu bagi mengelak berlakunya pencemaran di samping mengurangkan kebocoran hasil Kerajaan Negeri dan PBT.

Beliau menjelaskan program itu juga dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dan membuka peluang kerja kepada orang awam.

“Kadar individu tidak bekerja di Selangor pada tahun lalu melonjak 4.4 peratus berbanding 3.3 peratus tahun sebelumnya. Justeru, dengan program pemutihan kilang ia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Sebelum ini, Sze Han berkata Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk meroboh premis serta kilang yang masih berdegil berkaitan perkara itu.

Beliau berkata daripada 3,400 premis yang dikesan gagal berbuat demikian hanya 363 sahaja yang membuat permohonan untuk menukar status tanah.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Putrajaya perlu SOP jelas, konsisten menuju fasa endemik

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan persekutuan perlu menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) yang jelas dan konsisten sebagai persediaan negara ke arah endemik.

Langkah itu juga bagi mendidik rakyat untuk hidup bersama Covid-19 dan kembali kepada kehidupan sebelumnya mengikut norma baharu, kata EXCO kerajaan tempatan.

“Kita harus memastikan rakyat bersedia dan benar-benar faham apa itu endemik dan bagaimana untuk mengatasinya jika mereka ada sebarang simptom.

“SOP sekarang agak ketat dan ia sebenarnya masih dalam fasa pandemik bukan endemik,” kata Ng Sze Han dalam Bual Bicara #Selangor2022 Langkah Hadapi Endemik di Facebook Media Selangor malam ini.

Mengulas Belanjawan Selangor 2022, beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat di samping membantu mereka bangkit semula pascawabak.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November
menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi selepas pandemik Covid-19 reda.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor serta portal.

Maklumat pantas dan infografik isi menarik pula dimuatkan di media sosial dengan tanda #Selangor2022.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

EXCO: Sasar wujud pusat kitar semula di setiap PBT, atasi lambakan sampah

SEPANG, 7 NOV : Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti kawasan bersesuaian di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk dijadikan lokasi pusat kitar semula.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata rancangan masa hadapan itu bertujuan mengurangkan lambakan sampah di pusat pelupusan sekali gus menjimatkan kos ditanggung PBT.

“Kawasan itu perlu berada pada laluan digunakan lori kompaktor KDEB Waste Management supaya memudahkan proses kutipan selain menjimatkan masa.

“Sekarang pusat kitar semula dah ada di Meru, Klang dan Bandar Bukit Puchong, Puchong. Pembinaan dua pusat kitar semula ini dilihat berjaya dan sekarang kita usaha dapatkan tapak sesuai di semua PBT,” katanya.

Beliau ditemui Sze pada program Jom Kembali Ke Sekolah anjuran Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Majlis Perbandaran Sepang Zon Kota Warisan hari ini.

Sementara itu beliau berkata kesedaran masyarakat untuk melaksanakan aktiviti berkaitan penjagaan kebersihan dan amalan 3R (mengurangkan, guna semula, kitar semula) semakin meningkat.

“Penduduk, JPP, MPP (majlis perwakilan penduduk), JKP (jawatankuasa penduduk) dah banyak memulakan program 3R ini walaupun guna nama berbeza namun matlamatnya sama.

“Usaha ini perlu dilaksanakan secara konsisten bagi mendidik masyarakat  yang berdisiplin serta mementingkan penjagaan alam sekitar,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Beri bantuan perubatan, peralatan sekolah ringan beban penduduk

SEPANG, 7 NOV: Ahli majlis digalakkan menyumbang bantuan perubatan dan keperluan sekolah bagi meringankan beban penduduk, kata EXCO Kerajaan Tempatan.

Ng Sze Han berkata inisiatif itu penting memandangkan sesi persekolahan sudah bermula selain permintaan untuk bakul makanan sudah berkurangan.

“Selangor sudah beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ramai individu sudah kembali bekerja. Jadi permintaan bakul makanan berkurang.

“Sekarang perubatan dan alatan sekolah antara keperluan penting untuk membantu keluarga dan mengurangkan beban perbelanjaan,” katanya.

Beliau ditemui pada program Jom Kembali Ke Sekolah anjuran Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Majlis Perbandaran Sepang Zon Kota Warisan hari ini.

Dalam majlis itu seramai 100 pelajar termasuk tujuh anak Orang Asli menerima bantuan baucar, kalkulator saintifik dan set geometri membabitkan peruntukan berjumlah RM10,000.

Sementara itu ahli majlis Gun Chee Hui berkata bantuan akan diteruskan lagi sempena pembukaan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Kita lihat bantuan ini antara yang diperlukan. Jika ada permintaan dari pihak sekolah dan penduduk sekitar kita bersedia untuk membantu mereka,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Belanjawan 2022 diharap kekalkan Bas Smart Selangor, dapat sambutan rakyat

PUCHONG, 5 NOV: Belanjawan 2022 diharap dapat mengekalkan peruntukan pengangkutan awam membabitkan Bas Smart Selangor.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata perkhidmatan itu mendapat permintaan dan sambutan baik daripada rakyat.

“Projek ini (Bas Smart Selangor) sangat berjaya dan disambut baik oleh penduduk di Selangor.

“Saya juga berharap belanjawan yang dibekalkan nanti akan menumpukan bagaimana memulihkan ekonomi khususnya golongan B40,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah semalam.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor akan dilaksanakan pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
ADN SELANGOR

700 penduduk Kinrara terima baucar Jom Shopping Deepavali

PUCHONG, 4 NOV: Seramai 700 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima baucar beli belah Jom Shopping Deepavali.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata baucar itu sudah diagihkan untuk mereka membeli keperluan bagi menyambut perayaan itu.

“Bantuan diberikan bukan sahaja mengikut musim perayaan tetapi sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Malah sewaktu PKP juga banyak bantuan diberikan kepada mereka terkesan.

“Namun untuk sambutan Deepavali, sebanyak 700 penerima mendapat baucar Jom Shopping tetapi ia juga tidak cukup kerana penduduk di Kinrara padat,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah hari ini.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.

Categories
ADN SELANGOR

11,412 remaja di Kinrara terima suntikan dos pertama

PUCHONG, 4 NOV: Seramai 11,412 remaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima dos pertama suntikan pelalian Covid-19.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata semua pelajar berusia 12 hingga 17 tahun itu daripada 26 sekolah di daerah Puchong, Subang Jaya dan Seri Kembangan.

“Pemberian dos pertama sudah tamat dan untuk dos kedua bermula hari ini sehingga 24 November depan.

“Saya berharap dengan adanya pusat pemberian vaksin (PPV) ini dapat mempercepatkan vaksinasi kepada golongan remaja selain memudahkan urusan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah hari ini.

Sze Han yang juga EXCO kerajaan tempatan memaklumkan hampir keseluruhan penduduk berusia 18 tahun di DUN Kinrara sudah lengkap divaksin.

“Jumlah pengundi di Kinrara seramai 120,000 dan jika ikut senarai termasuk 18 tahun ke atas saya yakin lebih 90 peratus telah divaksin,” katanya.

Pada 15 Oktober lalu, PPV Puchong Indah kembali dibuka bagi PICK Remaja dengan membekalkan vaksin Pfizer-BioNTech.

PICK Remaja di PPV itu adalah usahasama pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, PPD Petaling Perdana, MBSJ serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

PPV Puchong Indah kembali dibuka, sasar suntik 1,500 pelajar sehari

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 15 OKT: Pusat pemberian vaksin (PPV) Puchong Indah kembali dibuka semalam bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dengan sasaran hingga 1,500 pelajar disuntik sehari.

Wakil rakyat Kinrara Ng Sze Han berkata program berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah itu akan membekalkan vaksin Pfizer-BioNTech.

“Program ini akan berlangsung selama enam minggu sehingga 18 November depan. Sebanyak 25 sekolah dijangka akan terlibat dengan sasaran sekitar 1,000 hingga 1,500 pelajar disuntik setiap hari.

“PICK remaja di PPV ini adalah usahasama pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, PPD Petaling Perdana, MBSJ serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara.

“Buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya membenarkan pengambilan vaksin secara janji temu di PPV ini yang diuruskan pihak sekolah masing-masing,” katanya dalam kenyataan semalam.

Namun beliau yang juga EXCO Kerajaan Tempatan berharap PPV berkenaan akan membenarkan kehadiran tanpa janji temu pada masa akan datang.

“Ini bagi memastikan pemberian pelalian dapat diberikan dengan lebih meluas, termasuk kepada remaja yang mengikuti pembelajaran di rumah atau telah berhenti sekolah,” katanya.

Menurutnya PPV itu diharap dapat memudahkan penduduk Puchong, khususnya ibu bapa tanpa perlu menghantar anak mereka ke pusat pemberian vaksin di luar kawasan kediaman.