Categories
NASIONAL

Samseng Umno Terbabit Serang Ceramah ABU-Hindraf

KUALA LUMPUR, 24 JAN : Kumpulan Aktivis ABU (Asal Bukan Umno) dan Hindraf hari ini tampil membuat laporan polis berhubung serangan ganas terhadap orang ramai pada satu ceramah di Jalan Kebun baru-baru ini.

Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata serangan tersebut dipercayai didalangi oleh Umno selain mengesyaki terdapat anggota polis bersekongkol dalam serangan tersebut.

Badrul menambah, pihaknya akan menyerahkan salinan gambar, CD rakaman video insiden itu untuk disiasat pihak polis berhubung campur tangan dan kerja jahat penyokong Umno dalam kejadian tersebut.

“Serangan tersebut secara jelas dilihat oleh pagawai polis tidak berpakaian serangam dan apabila polis berpakaian seragam datang, pihak kita menunjukkan orang-orang yang terlibat menyerang, malanganya langsung tidak ada apa-apa tindakan yang diambil.

“Malah dalam laporan ini, kita menamakan beberapa pimpinan Umno tempatan termasuk diperingkat bahagian yang dikenal pasti oleh penduduk tempatan hadir pada malam tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian sejurus selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini hari ini.

Ceramah Umum ABU di Dewan MBSA seksyen 30, Jalan Kebun,Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Samseng yang dipercayai penyokong tegar Umno itu bertindak ganas dengan mensasarkan kaum India sahaja apabila dilihat hanya menyerang kaum India tanpa memperdulikan kaum Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah (gambar) apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Badrul menambah, sekiranya benar ianya didalangi Umno, maka parti itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan bersifat perkauman itu.

Sementara itu, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan berkata pihak polis tidak memainkan peranan ketika serangan tersebut berlaku sekaligus memperlihatkan peranan pihak berkuasa itu seolah-olah seperti bersekongkol dengan penjenayah.

“Polis tidak memainkan peranan sedangkan mereka ada dikawasan kejadian, Sekirannya polis tahu kebarangkalian akan berlakunya kekacauan, polis seharusnya menggembeling seluruh kekuatan polis yang ada disitu untuk menghindar serangan.

“Serangan ini terlalu jelas dan kita berpendapat bahawa pihak polis bersengkongkol dengan pihak yang menyerang, lebih memalangkan lagi polis berjaya datang selepas kejadian serangan,”katanya kepada pemberita.

Dalam perkembangan yang sama, Koordinator Kebangsaan Hindraf, W.Sambulinggam menzahirkan rasa kesal diatas provokasi dan serangan keras disetiap kali gerakan itu melakukan aktiviti.

Lebih memalangkan lagi, Sambulinggam berkata bukan sahaja pihaknya menerima provokasi malah mereka juga akan dituduh sebagai punca berlakunya kekacauan.

“Perkara ini telah membuka mata rakyat untuk melihat siapa sebenarnya punca kekacauan disetiap kali penganjuran program secara aman.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa Hindraf sememangnya kenal akan kaum Melayu dan mereka yang beragama Islam, kami tidak bermusuh dengan mereka, sebaliknya kami hanya tidak bersetuju dengan sebuah parti politik yang digelar sebagai ‘UMNO’,”jelas Sambulinggam.

Categories
NASIONAL

SAMM Kecam MB Kedah Guna AUKU

SHAH ALAM, 23 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM) segmentasi mahasiswa mengecam tindakan pimpinan PAS Kedah pimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yang menggunakan akta zalim, AUKU ke atas lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Penyelaras SAMM Segmentasi Mahasiswa, Wan Farel dalam kenyataan medianya berkata tindakan Azizan tersebut bercanggah dengan janji Pakatan Rakyat yang termaktub dalam Buku Jingga.

“Selaku MB Kedah beliau harus sedar bahawa tindakkanya menggunakan AUKU ini telah menyebabkan janji Pakatan Rakyat untuk menghapuskan AUKU di dalam Buku Jingga dianggap retorik dikalangan mahasiswa.

“Pakatan Rakyat secara jelas dalam Buku Jingga ingin memansuhkan terus AUKU tetapi tindakan MB Kedah Azizan Razak secara jelas telah bertindak menggunakan AUKU terhadap mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) ternyata membelakangkan akur janji pakatan Rakyat tersebut.

“Walaupun memerima banyak kecaman dari pelbagai pihak termasuk dari pimpinan PR sendiri dan gerakan-gerakan mahasiswa Azizan masih bersikap ofensif dalam menghadapi serangan-serangan tersebut Azizan telah menunjukkan sikap bebal dan sombong apabila berhadapan dengan mahasiswa.” jelas beliau.

Menurutnya, golongan mahasiswa adalah kumpulan yang amat sensitif dengan isu-isu semasa yang melibatkan perjuangan golongan muda di masa depan.

“Suara mahasiswa jangan dipandang sebelah mata, peranan mereka harus diiktiraf suara mereka hendaklah di dengar oleh pihak pemerintah.

“SAMM berangapan mahasiswa adalah golongan yang tiada kepentingan politik mereka berjuang atas kebenaran dan kebebasan.” tegas beliau.

Katanya, jika Azizan terus dengan sikap egonya untuk tidak menyelesaikan masalah KUIN ini secara berhemah jangan terkejut sekiranya kuasa mahasiswa akan digunakan untuk menyingkirkan beliau nanti.

Sebelum ini Ketua, Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan Tantawi dalam kenyataan medianya mempersoalkan tindakan Azizan tersebut.

Kenyataan Nasaruddin tersebut ekoran kenyataan Azizan pada 19 Januari lalu dilapor berkata AUKU tetap dikenakan terhadap mahasiswa KUIN yang melakukan kesalahan.

Kata Azizan, penggantungan lima mahasiswa KUIN tahun lalu adalah mengikut peruntukan bawah kesalahan AUKU serta pentadbiran berbuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Categories
NASIONAL

Video Aib Fitnah Anwar Disebarkan ke Ahli Majlis PBT

PETALING JAYA, 20 JAN : Pengedaran video aib yang memfitnah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini disasarkan kepada ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

Yang peliknya, VCD tersebut diposkan di dalam satu sampul bersama surat yang memaparkan ajaran Islam tentang dosa orang yang mengumpat.

Terkini, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya oleh dua orang ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Mahharul Ismail dan Halimey Abu Bakar.

Mereka mendakwa menerima salinan VCD video aksi seks lelaki dikatakan mirip Anwar dengan seorang perempuan iras bangsa Cina dua hari lepas di alamat kediaman dan pejabat mereka.

VCD tersebut diposkan di dalam sampul beserta surat itu.

Antara kandungan surat tersebut adalah :

“Islam mewajibkan umatnya menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang tidak baik antaranya ialah mengumpat. Mengumpat ialah menyebarkan keaiban atau memburukkan orang melalui lidah.”

“Kami membuat laporan ini supaya pihak polis dapat menyiasat siapa yang menghantarnya tanpa penama dan diharap dapat juga menyiasat motif penghantaran VCD ini.

“VCD ini bukan sahaja diedarkan kepada ahli majlis MBPJ tetapi juga ahli-ahli majlis seluruh negeri Selangor ujar Halimey.”

Maharrul berkata laporan itu juga dibuat sebagai tanda kekesalan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan VCD lucah tersebut.

“Ini juga merupakan satu kesalahan mengikut akta kesalahan jenayah atas kesalahan memiliki atau mengedar bahan lucah terutama diedarkan kepada penjawat awam,” tegas Maharrul yang menerima salinan VCD itu di pejabatnya Rabu lalu.

Kedua ahli majlis MBPJ tersebut turut menyatakan kemungkinan pengedaran VCD ini bermotifkan fitnah politik kerana ianya disasarkan kepada penjawat awam dan diedarkan selepas Anwar dibebaskan daripada tuduhan meliwat.

“Fitnah ini semata-mata untuk menggambarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang Malaysia ini tidak bermoral.

Jadi kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana ini merupakan jenayah berat,” kata Maharrul.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Kg Baru: Khalid Rangka Plan baru

KAMPUNG BARU, KUALA LUMPUR, 19 JAN: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan melakukan penyusunan semula Jawatankuasa Lembaga Pengarah Malay Agricultural Settlement (MAS) supaya ianya dapat bergerak dengan lebih tersusun dan lancar demi memastikan hak dan kedudukan penduduk Kampung Baru dapat dipertahankan.

Katanya, masalah Kampung Baru ini perlu diselesaikan dengan cara rundingan bersama supaya kuasa dan undang-undang dapat dimantapkan tanpa membelakangkan penduduk.

Malay Agricultural Settlement (MAS) telah ditubuhkan sejak sekian lama, sebelum kemerdekaan supaya dapat menjaga kepentingan tanah-tanah.

Selain Menteri Besar, MAS dianggotai 11 anggota, termasuk tujuh ketua-ketua kampung di kawasan itu dan empat anggota dilantik.

Jelas Abdul Khalid, beliau telah menyiapkan pelan pembangunan Kampung Baru sejak 20 tahun lalu. Oleh kerana tidak ada ketetapan dari segi undang-undang dan penyatuan pendapat daripada penduduk setempat maka perkara ini berlarutan sehingga sekarang.

“Saya telah diminta oleh beberapa ahli untuk campurtangan dan saya akan selidik kalau betul, kita akan campurtangan supaya diadakan perhimpunan Jawatankuasa Akta MAS. Saya akan buat mengikut lunas undang-undang bukan untuk merugikan tetapi untuk memberi kuasa kepada semua pimilik dan pewaris.

“Kita juga ada peguam termasuk peguam negeri untuk menerangkan mengapa kita mesti ada kuasa tersebut,” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan pengalaman daripada kes projek terbengkalai yang lalu akan dipraktikkan supaya dapat membantu masyarakat di Kampung Baru selain menyediakan khidmat nasihat guaman secara percuma supaya pemilik dapat maklumat yang betul.

“Negeri Selangor akan membantu penduduk Kampung Baru kerana negeri Selangor yang membuat undang-undang MAS dan ianya berkuat kuasa. Tapi bila tanah Kuala Lumpur diserahkan kepada kerajaan persekutuan, maknanya tanah itu dibawah kuasa mereka, tapi idea MAS itu masih lagi dibawah jagaan negeri Selangor. Sebab itu kita bertanggungjawab untuk membantu,” katanya di Majlis Jamuan bersama Pemilik/ pewaris tanah Kampong Bharu, Kuala Lumpur malam tadi

Sementara itu, Pengurus Pembangunan perniagaannya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Fathul Rahman Abu memberi jaminan pelan pembangunan baru dalam tempoh dua minggu daripada sekarang.

Beliau yakin satu-satunya kampung Melayu di Kuala Lumpur itu akan dibangunkan tanpa mengetepikan kepentingan penduduk.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Enam Skop Audit Untuk Siasat NFC

SHAH ALAM, 19 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempertikaikan kesungguhan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melantik firma juru audit untuk menyiasat dan membongkar penyelewengan dana rakyat yang berlaku di dalam NFC.
Menurut kenyataan medianya, Rafizi berkata juru audit yang di pilih tersebut perlulah memenuhi enam (6) skop utama.

1) Menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta penganugerahan projek kepada keluarga menteri. Ini termasuklah menyemak semua minit mesyuarat untuk menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai sama ada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan.

2) Menyiasat proses pemberian dana kepada NFC oleh Kementerian Kewangan untuk menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik (best practices). Ini termasuklah menyemak setiap pengeluaran dana (loan drawdown) untuk menentukan bahawa ia menepati syarat perjanjian dan tidak ada penipuan dokumen semasa permohonan mengeluarkan wang dibuat;

3) Menyiasat setiap perbelanjaan oleh NFC untuk memastikan ia benar dan tepat (true and fair) dengan matlamat penubuhan NFC. Ini termasuklah memastikan bahawa setiap perbelanjaan adalah berpatutan, berpada-pada, diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu seperti yang dimandatkan kepada NFC;

4) Menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tidak ada unsur penyelewengan. Ini termasuklah menyiasat segala pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC;

5) Menyiasat setiap pembelian aset oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga sekarang, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan sama ada dana NFC telah digunakan bagi tujuan peribadi; dan

6) Menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala oleh NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC. Ini bertujuan memastikan dana NFC tidak digunakan bagi membiayai kegiatan politik Dato’ Seri Shahrizat Jalil atau mana-mana individu lain.

Menurut Rafizi, selain itu firma juru audit tersebut juga perlu membentangkan keputusan siasatan ketika sidang dewan Rakyat akan datang.

Dalam pada itu beliau juga bersetuju supaya sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk sebagaimana cadangan PAS dan DAP bagi menyiasat penyelewengan projek membabitkan RM250 juta wang rakyat tersebut.

Categories
NASIONAL

NFC : Polis Tak Faham Prosidur Siasatan

SHAH ALAM, 19 JAN: Tindakan Jabatan Peguam Negara (AG) memulangkan semula kertas siasatan berhubung penyelewengan syarikat penternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) membuktikan pihak polis tidak berintegriti serta tidak memahami prosidur siasatan.
Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata walaupun AG mempunyai hak untuk memulangkan semula kertas siasatan kepada pihak polis namun tindakan ini memberikan persepsi buruk dimata rakyat.
“Pemulangan semula kertas siasatan kepada polis membuktikan pihak polis tidak profesional, lemah dan seolah-olah sengaja untuk melewat-lewatkan siasatan selain tidak faham prosiding siasatan.
“Ini juga bukti selama ini siasatan polis tidak menyeluruh dan mempunyai banyak kepincangan sehingga bila diserah kepada pihak yang lebih memahami prosidur siasatan seperti AG akan menolak kertas siasatan polis.
“Maka tak hairanlah sekiranya Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar (gambar) pada 30 November lalu berkata siasatan awal menunjukkan tiada unsur pecah amanah.” jelas beliau yang juga bekas Setiausaha Agung PAS.

Menurut Idris, rakyat berhak mempertikai siasatan polis selama ini kerana pemulangan kertas siasatan tersebut memperjelaskan institusi keselamatan tersebut tidak profesional serta boleh dipertikaikan tindakan siasatan polis selama ini.
“Sebagai rakyat saya merasa amat kesal dan bimbang dengan masa depan rakyat negara ini yang diadili berdasarkan kelemahan siasatan polis.
“Kalaulah polis yang profesional setentunya siasatan mereka lengkap untuk di serahkan kepada AG sedangkan sememangnya polis ditugaskan untuk menyiasat.
“Kerja polis adalah untuk siasat sejak polis ditubuhkan lagi. Tak kan lebih 54 tahun buat kerja masih tak faham kaedah siasatan.” kata beliau.
Jelasnya, Polis telah hilang kredibiliti disebabkan oleh kekangan pihak kerajaan Umno/BN terhadap institusi keselamatan negara tersebut
“Polis ni kalau kes pembangkang memang pantas dan lengkap dengan siasatan cara mereka tetapi kalau kes-kes libatkan pemimpin Umno seperti kes libatkan Sharizat ini buat siasatan sambil lewa sahaja.
“Bayangkan kalau kita terima sahaja kenyataan Khalid dahulu, saya anggap tak akan ada siasatan pada NFC lagi. Tetapi bila pakatan kemukan bukti tambahan baru nak mula kelam kabut nak siasat sampai siasatan pun sambil lewa dan di tolak AG.
“Begitu juga kes libatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu pun macam-macam lapuran dari pihak polis yang dianggap tidak relevan dengan kes tetapi sengaja dilakukan untuk aniaya Anwar.” jelas beliau ketika di hubungi TVSelangor

Categories
NASIONAL

NFC: Rafizi, Zuraidah Sedia ke Mahkamah

SHAH ALAM, 19 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin sedia ke Mahkamah untuk membuktikan segala pendedahan yang dilakukan berhubung skandal NFC adalah benar dan bukan bermotif politik.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi, Rafizi berkata berdasarkan laporan berita internet hari ini bahawa Shahrizat Jalil telah mengemukakan saman menuntut pampasan RM100 juta terhadap beliau dan Zuraidah.

“Saya yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.

“Sebelum memulakan siri pendedahan skandal, pasukan kami telah pun berbincang dengan peguam-peguam KEADILAN mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman.

“Oleh yang demikian, saya dan YB Zuraida Kamaruddin bersedia untuk berdepan dengan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak.” jelas beliau.

Katanya peluang ini memang telah ditunggu-tunggu supaya kuasa mahkamah boleh digunakan untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini.

“Dato’ Seri Shahrizat Jalil juga perlu berdepan dengan mahkamah rakyat yang mual dengan pelbagai keborosan dan salahguna wang yang didedahkan setakat ini.

“Jika pimpinan Umno seperti Dato’ Seri Shahrizat Jalil beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar.

“Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat.” kata beliau.

 

Categories
NASIONAL

Pemimpin BN Terlibat Bawa RM1.07 Trilion Keluar Negara?

SHAH ALAM, 18 JAN: Ahli Parlimen Selayang, William Leong mempertikaikan samaada ada dikalangan pemimpin BN terlibat dalam pengaliran wang haram keluar negara berjumlah USD291 bilion (RM1.07 trilion) sejak 10 tahun lalu.

Katanya berdasarkan pendedahan Bank Negara bahawa pengaliran wang haram tersebut membuktikan tiada usaha dilakukan oleh kerajaan BN untuk menangani isu tersebut.

“Pengaliran wang haram ke luar negara dalam tempoh 10 tahun berjumlah USD291 bilion (RM1.07 trilion) membuktikan amalan rasuah dan aktiviti haram di negara ini berlaku secara berleluasa.

“Saya pertikai ketelusan kerajaan BN yang tidak mengambil sebarang tindakan drustik berhubung hal ini.

“Apakah hal ini tidak diambil tindakan disebabkan oleh ramai pemimpin BN terlibat. Inilah persepsi rakyat sekiranya kerajaan bersikap lepas tangan dan tidak mengambil sebarang usaha untuk menghentikan kegiatan yang merugikan negara ini.

Kata William, Pakatan Rakyat merasa amat kesal dan bimbang dengan pengaliran aset negara tersebut.

“Amat membimbangkan apabila Malaysia di istihar sebagai negara ke lima di dunia menjadi pusat pengaliran wang haram.

“Jumlah ini bukan sedikit tetapi amat besar serta memberikan imej buruk kepada negara dimata antarabangsa.

“Secara tidak langsung menjadikan negara ini sebagai pusat kegitan haram antarabangsa yang gagal ditangani oleh kerajaan.” kata beliau ketika di hubungi TV Selangor.

Beliau yang juga seorang ahli ekonomi berkata masalah pengeluaran wang haram yang telah berlaku sekian lama dinegara ini tidak ditangani oleh kerajaan BN.

“Mengapa isu ini tidak ada pemimpin BN yang bersuara untuk mengatasinya kerana sudak 10 tahun negara berhadapan masalah ini.” ujar beliau

Katanya, tidak sukar untuk mengenal pasti isu tersebut kerana transaksi pengaliran wang haram tersebut boleh dilakukan oleh pihak Bank Negara dan Kementerian Kewangan.

“Saya bimbang ada komplot yang besar yang beroperasi di negara ini dan saya menyeru supaya kerajaan segera bertindak menghalang kegiatan ini.” tegas beliau

Dalam pada itu beliau berkata sekiranya Pakatan Rakyat di pilih menerajui negara dalam pilihanraya akan datang, usaha untuk memburu dan mengatasi masalah ini akan diberi perhatian utama.

“Kita tidak mahu wang negara dan aset negara dikhianati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.” katanya

Categories
NASIONAL

Isu Lynas: Debat Fuziah – Adnan Yaakob Pada Februari

SHAH ALAM, 18 JAN – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersedia untuk berdebat dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai isu kilang Lynas yang mendapat perhatian umum khususnya masyarakat di Kuantan, Pahang.

Ketika dihubungi TVSelangor hari ini, Fuziah berkata, beliau sememangnya bersetuju dan menyambut baik saranan Adnan untuk bersemuka dalam satu sesi perbincangan atau debat secara ilmiah berhubung perkara itu.

Menurutnya, pasti ia adalah medan terbaik bagi orang ramai membuat pernilaian terhadap persoalan Lynas tersebut.

Katanya, pihaknya kini menunggu kata putus dari Kerajaan Negeri Pahang berhubung perkara itu.

“Saya menyatakan persetujuan untuk berdebat apabila diajukan Sinar Harian dan menyambut baik persetujuan Adnan dalam perkara ini. Sinar Harian yang mempunyai pengalaman dalam mengadakan sesi perbahasan seperti Wacana Sinar Harian juga bersetuju untuk bertindak sebagai penganjur.

“Program ini dijangka diadakan di Kuantan pada minggu pertama atau kedua Februari ini,” katanya.

Difahamkan sesi perdebatan itu akan menyentuh mengenai soal sama ada wajar atau tidak Lynas diberikan kelulusan untuk memulakan operasinya di Kuantan.

Fuziah berkata, program tersebut akan mempertemukan dua pihak iaitu pihak yang bersetuju serta menentang dan pihaknya akan mengemukakan hujah selain fakta termasuk bukti kukuh yang disokong pakar luar.

“Perdebatan itu juga akan memberi kesempatan kepada rakyat Kuantan untuk memahami isu Lynas dengan lebih lanjut.

“Apa yang kita perkatakan selama ini adalah untuk kebaikan rakyat Kuantan,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh mengenai keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang tidak melanjutkan tempoh meneliti dokumen permohonan lesen peringkat pengendalian sementara syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd sebagai tidak relevan.

Tegasnya, dokumen lebih 100 muka surat yang penuh aspek teknikal itu perlu dikaji secara teliti dan tidak boleh semudahnya diputuskan dalam tempoh singkat.

Categories
NASIONAL

P.Pinang Mohon Pilihan Raya PBT

PULAU PINANG, 18 JAN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan Penasihat Undang-undang Negeri untuk mengeluarkan pemberitahuan warta yang mengecualikan pihak-pihak berkuasa tempatan Pulau Pinang daripada Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Ini merupakan antara langkah awal kerajaan sebelum permohonan pengisytiharan mahkamah dilakukan bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah beberapa kali menghantar usul untuk berunding dengan Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan (NCLG) berkenaan dengan hasrat memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan namun segala usaha itu tidak dilayan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow pernah menulis surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selaku sekretariat NCLG pada Julai dan Ogos 2009 namun pihak kementerian enggan melanjutkan perbincangan mengenai perkara ini.

“Ekoran daripada itu, Kerajaan Negeri telah melantik panel peguam yang terdiri daripada Dato’ Yeo Yang Poh, En Tommy Thomas dan En Malik Imtiaz.

“Panel tersebut telah menasihati bahawa pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan berada dalam bidang kuasa Negeri mengikut Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 yang telah disemak semula pada tahun 1991,” ulas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kerajaan tempatan merupakan perkara Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 1(4) Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mengecualikan mana-mana kawasan kerajaan tempatan daripada peruntukan-peruntukan Akta tersebut.

“Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang telah diarahkan untuk mengeluarkan pemberitahuan warta ini dan juga untuk mengeluarkan fiat melantik Tommy Thomas untuk mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mahkamah,” beritahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dijangka akan merujuk perkara ini kepada Mahkamah sekiranya pemberitahuan warta dilakukan.

 

Categories
NASIONAL

Bersihkan Malaysia dengan Serbuk Cucian Pakatan

SHAH ALAM 15 JAN : Sebuah klip video yang menyifatkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah serbuk cucian peluntur rasuah telah mencuri perhatian pelaman web dengan mesejnya yang lucu tetapi berisi.

Klip video Bahasa Malaysia yang dihasilkan pasukan publisiti DAP sehingga kini telah mendapat lebih 257,000 layaran sejak ia dimuatnaik ke dalam laman perkongsian video “youtube”.

Saksikan video klip tersebut.

Categories
NASIONAL

Negara Bebas Apabila SPR, Media Dan Kehakiman Bebas

ALOR SETAR, 14 JAN : Malaysia akan menjadi sebuah negara demokrasi yang bebas sepenuhnya dari krisis yang membelenggu rakyat selama ini sekirannya peranan media, SPR dan institusi kehakiman negara dibebaskan sepenuhnya tanpa pengaruh mana-mana kuasa politik.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan fitnah liwat baharu-baharu ini tidak seharusnya dilihat sebagai kemuncak pembebasan krisis politik negara.

Namun, Hadi mengingatkan bahawa keutamaan perjuangan Pakatan Rakyat ialah membebaskan mahkamah rakyat dalam menentukan pemimpin yang bakal mentadbir negara selepas PRU-13.

“Kita mengaharapkan pembebasan Anwar Ibrahim sebahgai titik perubahan baharu dalam pembebasan badan kehakiman yang mana ia perlu diikuti dengan pembebasan kehakiman rakyat dalam pilihanraya.

“Mana mungkin rakyat mampu menjadi hakim yang adil sekirannya mahkamah yang sistematik dan adil, seiring dengan peranan media yang bebas, selagi peranan media tidak bebas selagi itulah mahkamah rakyat tidak,” jelas Hadi dalam satu sidang media sejurus selepas tamat sesi pagi Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 di sini hari ini.

Presiden PKR, Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, detik pembebasan Anwar memberi satu lagi lonjakkan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus membawa rakyat bersama-sama hidup di dalam sebuah negara yang merdeka sepenuhnya.

“Sekarang ini adalah masa yang tepat untuk rakyat dapat kemerdekaan yang sebenarnya apabila Pakatan hari ini menjadi lebih mantap apabila Anwar terbebas dari tuduhannya.

“Ini bukan sahaja bukti kekuatan kita kepada BN, malah dorongan kepada rakyat untuk terus berani membuat perubahan dengan menolak kepimpinan BN,” jelas Azizah.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula berkata, penganjuran Konvensyen pada hari ini bukan sahaja meraikan keputusan pembebasan Anwar, malah ia lebih kepada persiapan dan peringatan penting bagi rakyat menghadapi pilihanraya yang dijangka terkotor pernah diadakan.

“Saya rasa tema konvensyen ‘Bersihkan Malaysia’ adalah amat bertepatan dalam usaha menyelamatkan rakyat Malaysia dari kerakusan kuasa pemerintah Umno-BN.

“Pada saya, krisis politik kotor ini bakal menjadi lebih kritikal melanda Malaysia sekirannya Pakatan Rakyat tidak berjaya pada PRU-13 akan datang,”jelasnya.