Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: Wakil rakyat kerajaan, pembangkang senada mahu data kemiskinan disemak

SHAH ALAM, 30 SEPT: Wakil rakyat kerajaan dan pembangkang senada supaya data kemiskinan negara dikaji semula susulan penularan Covid-19 yang menyebabkan ramai kehilangan pendapatan.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata pandemik itu mengubah keadaan dan masyarakat menghadapi tekanan kewangan sehingga ada segelintirnya tidak mampu membeli makanan asas.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan garis kemiskinan negara dikaji semula bagi merangka bantuan dan membantu memulihkan golongan terjejas menerusi latihan kemahiran supaya boleh kembali bekerja.

“Saya juga meminta kerajaan mendaftarkan lima juta pekerja sektor tidak rasmi yang beralih susulan pandemik dan menyediakan skim insurans kepada mereka,” katanya berbahas RMK-12 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Gesaan Charles itu disokong Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin yang menjelaskan data kemiskinan negara tidak lagi relevan pada masa kini.

“Saya setuju dan berharap pandangan rakan saya dari Klang itu diambil kira oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) demi kebaikan bersama.

“Kumpulan B40 yang kita selalu sebut kini sudah berubah menjadi B50 manakala kumpulan M40 pula terjerumus jadi M30,” katanya yang turut mencadangkan gaji minimum dikaji semula.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembangkang kecewa jawapan menteri, timbalan tidak jelas

SHAH ALAM, 30 SEPT: Wakil rakyat pembangkang menegur menteri dan timbalan yang memberi jawapan tidak jelas berhubung beberapa isu dalam sidang Parlimen hari ini.

Kecewa dengan perkara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berkata menteri sepatutnya memberi jawapan bertulis jika tidak boleh menerangkan secara lisan.

Teguran itu diberikan ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas-PAS) berhubung ekonomi digital.

“Kami habiskan masa berpuluh-puluh minit mendengar dan melihat tetapi tidak faham jawapan,” katanya yang bangun mencelah.

Sebelum itu, Maszlee juga kecewa dengan jawapan Menteri di JPM (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berhubung Perjanjian Malaysia 1963 yang dibangkitkan beberapa wakil rakyat.

Teguran mantan menteri pendidikan itu dipersetujui Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta semua menteri dan timbalan memberi jawapan jelas serta mudah difahami.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor pembinaan rugi RM42 bilion sepanjang PKP

SHAH ALAM, 30 SEPTEMBER: Sektor pembinaan merekodkan kerugian sebanyak RM42 bilion susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu, kata menteri kanan kerja raya.

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebanyak RM24 bilion kerugian dicatat pada PKP 1.0 bermula Mac hingga Julai tahun lalu manakala RM18 bilion sepanjang PKP 3.0 berkuat kuasa 1 Jun hingga September.

Menurutnya, antara punca kerugian peningkatan kos bahan binaan dan kekurangan tenaga kerja apabila pekerja asing tidak dapat kembali ke Malaysia serta keperluan pekerja dilengkapi vaksin Covid-19 sebelum dibenarkan bekerja semula.

Selain itu, katanya, syarat baharu kepada kontraktor seperti keperluan menyediakan penginapan juga memberi kesan kepada jumlah kerugian besar itu.

“Sehubungan itu, kita mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri bagi mencari jalan penyelesaian.

“Antara penyelesaian dicapai adalah kelulusan syarat perubahan harga sehingga 31 Disember oleh Kementerian Kewangan dan kelonggaran penyediaan penginapan pekerja berpusat,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan (Jerantut-BN) berhubung jumlah kerugian bagi sektor pembinaan sepanjang penularan Covid-19 dan langkah mengatasinya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar cadang jawatankuasa Parlimen pantau projek kerajaan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi memantau pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua pembangkang berkata jawatankuasa terdiri ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu bertanggungjawab meneliti kemajuan serta ketelusan projek.

“Saya harap cadangan ini dapat pertimbangan perdana menteri untuk tunjuk kesediaan dan keterbukaan untuk mendengar, bukan sekadar retorik apabila penilaian tidak dapat dilakukan.

“Bentang secara terperinci semua perkara termasuk kontrak dan bahas di Parlimen, tiada guna transformasi dan memorandum persefahaman (MoU), kita tidak mahu bersekongkol apabila berbilion duit hilang,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata jawatankuasa tersebut juga perlu diberi kuasa memantau projek RMK-12 yang dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Jawatankuasa ini penting supaya individu yang mentadbir GLC tidak fikir mereka boleh buat apa saja kerana GLC adalah korporat yang tidak perlu membentangkan laporan di Parlimen.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Jangan bebankan rakyat dengan cukai baharu

SHAH ALAM, 28 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan persekutuan jangan membebankan rakyat dengan mengenakan cukai baharu bagi meningkatkan hasil negara.

Ketua pembangkang berkata pelbagai cara boleh dilakukan antaranya memperkenalkan cukai tambahan kepada golongan korporat yang masih mencatat keuntungan ketika ekonomi meleset.

“Dalam keadaan sekarang jangan bebankan rakyat dengan cukai baharu, kurangkan beban rakyat…bentuk cukai progresif terhadap golongan kaya.

“Walaupun ekonomi negara kita dilihat meleset ataupun tidak memberansangkan, peningkatan keuntungan sektor korporat adalah lebih tinggi berbanding pertumbuhan pampasan pekerja,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata rekod menunjukkan keuntungan sektor korporat dalam RMK-11 adalah RM583 bilion.

“Jumlah keuntungan ini tidak setimpal upah pekerja…di Korea dan negara lain (upah) hampir setimpal. Kalau ada kesenjangan pendapatan, upah masih rendah tetapi untung lonjak tinggi, perkara ini tidak meningkatkan produktiviti,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tangguh projek besar, guna dana bantu rakyat susah

SHAH ALAM, 28 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menangguh atau meneliti semula projek besar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025.

Ketua pembangkang berkata peruntukan projek seperti lapangan terbang, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.

“Apa faedah nak teruskan projek mega dalam keadaan orang kelaparan, menganggur, tidak cukup makan, tidak cukup mutu pendidikan.

“Tidak ada gunanya kerajaan kerajaan meneruskan projek besar sedangkan majoriti rakyat hidup dalam kesempitan,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata tumpuan perlu diberikan untuk membantu golongan Bumiputera.

“Apa salahnya tumpukan latihan, mutu pendidikan, mutu kesihatan awam kepada golongan miskin desa dan bandar yang majoritinya Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Tetapi tidak…apa yang ditekan kedudukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kontrak bagaimana hendak lahirkan ramai jutawan lagi sedangkan berjuta-juta Bumiputera yang harus diberi perhartian,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk meningkat kemudahan asas di sekolah yang terlalu daif.

“Kemudahan asas di sekolah tidak cukup, tandas sekolah…sepatutnya RMK-12 beri tumpuan kepada isu ini, utamakan perbelanjaan peringkat bawahan,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kaji semula sasar pendapatan isi rumah RM10,000, pengangguran tinggi

SHAH ALAM, 28 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kerajaan persekutuan mengkaji semula sasaran purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025.

Ketua pembangkang berkata sasaran itu tidak realistik jika dilihat kepada situasi terkini kadar kemiskinan, pengangguran dan pertumbuhan lembap ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.

“Sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bunyinya lunak tetapi kita bimbang sasaran tidak realisitik dan tidak mampu dicapai.

“Saya lebih setuju Unit Perancang Ekonomi tekankan keadaan kemiskinan yang sebenar daripada membuat rumusan secara menyeluruh,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata perdana menteri perlu memberi perhatian berhubung isu 46 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Saya ingin bertanya adakah simpanan kurang RM10,000 dalam KWSP akan naik secara mengejut empat tahun akan datang? Saya harap kenyataan ini diberi perhatian lebih,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri semalam, bahawa seramai 10,317 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis pada Mac 2020 hingga Julai 2021.

Malah katanya, dalam tempoh sama kira-kira 1,246 perniagaan ditutup sepenuhnya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
AGENDA NASIONAL

16 menteri dijangka gulung perbahasan titah diraja hari ini

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Seramai 16 menteri dijangka menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja berkaitan kementerian masing-masing pada persidangan Parlimen hari ini, setelah berakhirnya sesi perbahasan semalam yang berlangsung sejak 14 Sept lepas.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, isu kajian semula gaji minimum, kes pelanggaran status makanan dan produk halal serta situasi pekerjaan belia ketika pandemik Covid-19 antara yang bakal dikupas semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Semasa sesi soal jawab lisan itu, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanyakan Menteri Sumber Manusia mengenai tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha dalam kajian semula gaji minimum.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan langkah mengatasi dan jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada yang diimport atau keluaran dalam negara.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Junjung titah Agong, laksana usul undi percaya terhadap PM

OLEH IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL

SHAH ALAM, 21 SEPT: Semua pihak perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu supaya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dibuat di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin membuat gesaan berkenaan berikutan usul itu penting bagi mengesahkan sama ada Ismail mendapat majoriti di Dewan Rakyat atau tidak.

“Saya minta supaya kalau kita semua menjunjung titah Seri Paduka Baginda supaya adakan usul undi percaya.

“Tiada masalah untuk terima kenyataan peguam negara, ini bukan isu undang-undang semata, tapi juga amalan yang baik. Lepas lantikan hendaklah ada undi percaya, tidak salah untuk adakan,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 18 Ogos, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya perdana menteri yang dilantik perlu mengemukakan segera usul undi di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan jawatan beliau.

Pada 4 September, peguam negara Tan Sri Idrus Harun berkata tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan perdana menteri baharu atau kerajaan pimpinannya kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tubuh majlis tindakan khas, rangka rancangan pendidikan pasca Covid-19

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan dicadang menubuhkan majlis tindakan khas yang berperanan merangka rancangan pendidikan untuk pasca Covid-19.

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berkata pasukan itu harus dianggotai tokoh berpengalaman dan pakar dalam bidang pendidikan, teknologi dan ekonomi.

Beliau yang juga bekas menteri pendidikan menggesa kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kecerdasan buatan (AI) dan data raya dalam memulihkan semula sektor pelajaran yang terjejas teruk akibat penularan wabak.

“Bagi mengembalikan kecemerlangan pengajian tinggi pula, pengurusannya harus diletak di bawah ahli akademik dan profesional tanpa campur tangan agenda politik.

“Ini boleh dilakukan melalui Majlis Pendidikan Tinggi Negara selaras Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996, pasukan berkenaan ditubuh semula pada 2019 namun nampak terbantut bila perubahan kerajaan,” kata wakil rakyat Bebas itu ketika berbahas pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dr Maszlee turut membangkitkan usaha memartabatkan bahasa Melayu yang dilihat semakin pudar sepanjang 18 bulan pemerintahan Perikatan Nasional dan kini kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya hendak tanya apa berlaku kepada Dekad Bahasa Kebangsaan yang dilancar pada 2019? Kita hendak bertanya juga di mana taring Dewan Bahasa dan Pustaka?.

“Bagaimana nasib sasterawan? Apakah sumbangan kepada mereka secara bulanan tetap diberi? Bagaimana program mereka di universiti dan adakah karya mereka dicetak dalam edisi mampu milik?,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tegas atasi balak haram, punca hilang harta benda, nyawa

SHAH ALAM, 20 SEPT: Ketua pembangkang meminta kerajaan tegas mengatasi pembalakan haram yang menjejaskan alam sekitar termasuk menjadi punca banjir sehingga merosakkan harta benda serta kehilangan nyawa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak berkuasa perlu mempunyai keazaman politik bagi memastikan isu berlarutan sejak sekian lama itu diatasi.

Menurut ahli Parlimen Port Dickson itu, isu pembalakan haram terus berlaku di sebalik pelbagai jawapan kerajaan pada sidang Dewan Rakyat mengenai usahanya membanteras amalan berkenaan.

“Jawapan itu bunyinya meyakinkan tetapi kenyataan pembalakan haram dan kelulusan tidak mengikut kaedah persetujuan masih berlaku,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meminta penjelasan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai usaha kerajaan mengatasi isu pembalakan haram.

Takiyuddin menyambut baik saranan Anwar itu dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk pengusaha hasil hutan dan kontraktor bagi mengelakkan pencerobohan hutan simpan.

Beliau turut menjelaskan tidak pernah berlaku pelanggaran Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang dilaksana bagi meneroka hutan simpan dalam kategori pengeluaran.

“Pada 2019 CTT diluluskan 43,299 hektar tetapi yang diusaha hasil hanya 10,949 hektar, 2020 lulus lebih rendah iaitu 39,354 hektar tetapi hanya 22,931 diusaha hasil,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor kontrak, sijil vaksin antara fokus Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Perancangan masa depan untuk doktor-doktor kontrak, maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri serta tindakan terhadap golongan yang memalsukan sijil vaksin, antara isu yang bakal dikupas dalam persidangan Parlimen hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat yang bermula 10 pagi itu, persoalan mengenai rancangan untuk menjamin masa depan doktor kontrak akan diajukan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) kepada Menteri Kesihatan, dalam sesi jawab lisan.

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tindakan proaktif kerajaan terhadap maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri, terutamanya di Sarawak dan tindakan terhadap isu individu tanpa pengenalan diri.

Turut bertanya kepada kementerian yang sama, Shaharizukirnain Abd. Kadir (PAS-Setiu) mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin.

Selain itu, antara isu lain yang bakal diketengahkan adalah langkah dilakukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sebelum menyambung semula perbahasan Titah Diraja.

Turut dijadual dibentangkan bagi bacaan kali kedua ialah Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020, Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Rabu adalah mesyuarat hari kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt.

– BERNAMA