Categories
AGENDA NASIONAL

Lantik tokoh baharu ketuai Majlis Pemulihan Negara, bukan individu gagal  

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan seharusnya melantik tokoh lebih berpengalaman mengetuai Majlis Pemulihan Negara bukannya seorang yang telah gagal, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sudah memaklumkan supaya seorang tokoh baharu dilantik ke jawatan itu.

“Sebaiknya ambil tokoh baharu, ya dari kerajaan kita tidak cadang pembangkang. Ambil yang ada pengalaman dan mampu mengendali.

“Jangan ambil individu sama dan harapkan cadangan baharu yang boleh menyelesaikan isu Covid-19,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam perbahasan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada 4 September lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

Anwar berkata Muhyiddin ternyata gagal mengurus penularan Covid-19 ketika menjadi perdana menteri walaupun berkuasa penuh dengan mengisytiharkan darurat.

“Jumlah kes semakin tinggi dan lebih merunsingkan jumlah kematian negara kita di antara paling tinggi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua ahli parlimen, sembilan pengiring positif ketika sidang Julai

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Lima lagi kes Covid-19 dikesan berkaitan Mesyuarat Khas Parlimen dari 26 hingga 29 Julai lepas, menjadikan jumlah keseluruhan ialah 102 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu itu dimaklumkan pada 13 Ogos melibatkan lima sekeluarga dengan kes pertama bergejala adalah individu yang menghadiri sidang Parlimen tersebut.

“Tiga kes mempunyai nilai kitaran ambang atau ‘CT value’ RT PCR di antara 16.98 sehingga 22.76 (kebolehjangkitan yang tinggi) manakala dua lagi adalah di antara 28.98 sehingga 33.98,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka telah lengkap mendapat dua dos vaksin dan hanya bergejala ringan serta menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Katanya penambahan lima kes itu menjadikan 30 kes jangkitan semasa persidangan Dewan Rakyat.

“Daripada 30 kes ini, dua kes melibatkan Ahli Parlimen, sembilan kes terdiri daripada pengiring, sembilan kes pegawai agensi kerajaan, tujuh kes lain-lain iaitu ahli keluarga, dua kes kontraktor dan satu kes daripada kakitangan Parlimen,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan 56 kes pula dikenal pasti hasil saringan pra-Dewan Rakyat, lapan kes kontak rapat dan lapan kes saringan pra-Dewan Negara.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan bersama dengan pihak Parlimen dan Majlis Keselamatan Negara telah berbincang mengenai beberapa penambahbaikan yang diperlukan sebagai persediaan pembukaan semula Parlimen bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan sebelum dan semasa persidangan.

Katanya kesiapsiagaan itu meliputi tindakan memastikan individu yang hadir ke Parlimen sihat dan tidak dijangkiti Covid-19 pada masa tersebut dan keadaan persekitaran serta bahagian dalaman Parlimen dikaji serta ditambah baik supaya selamat, kurang risiko dan tidak menjadi tempat penularan wabak berkenaan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

85 dikesan positif dalam sidang khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Sejumlah 85 kes Covid-19 dikenal pasti sehingga kini melibatkan Mesyuarat Khas Parlimen baru-baru ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataannya hari ini, beliau berkata kes yang dilaporkan itu merupakan hasil ujian RT-PCR, dengan 56 kes dikenal pasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat kes kontak rapat serta 17 kes berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat, manakala lapan kes lagi saringan Pra-Dewan Negara.

“Setakat ini, enam sampel yang berkemungkinan besar adalah varian Delta telah dikesan, melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

“Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh dan masih menunggu keputusan akhir,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata daripada lapan kes yang baharu yang dilaporkan antara 30 Julai hingga semalam, lima daripadanya mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) RT-PCR antara 18.00 hingga 27.68, dan tiga kes dengan CT value antara 35.14 sehingga 37.59.

Selain itu, daripada lapan kes tersebut, empat kes mempunyai gejala ringan dan selebihnya tidak bergejala.

Katanya tujuh kes positif telah mendapat vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya satu dos manakala satu lagi kes melibatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun (hasil daripada kontak rapat) yang belum layak mendapat vaksin.

“Hasil siasatan Kementerian Kesihatan setakat ini mendapati bahawa besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu telah memberi risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen,” katanya.

Justeru, beliau menasihati individu yang telah hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan mendapatkan rawatan segera serta menjalani ujian saringan Covid-19 sekiranya bergejala.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA RENCANA

ANALISIS: Kes meningkat darurat gagal, timbul pula isu dengan Istana

SHAH ALAM, 3 OGOS: Hasrat Putrajaya menguat kuasa Proklamasi Darurat, konon untuk membendung Covid-19, ternyata gagal apabila kes terus meningkat hingga lima kali ganda.

Selain jumlah jangkitan tidak terkawal, perisytiharan darurat juga menimbulkan ketegangan antara pentadbiran pusat dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong apabila titah Baginda agar ia dibahaskan tidak dilaksanakan segera.

Keadaan ini meletakkan rakyat dan pemimpin politik dalam keadaan serba salah sama ada enam Ordinan Darurat yang dibuat semasa perintah darurat wajar dibahas atau tidak di Parlimen.

Sewaktu darurat dikuat kuasa pada 11 Januari, jumlah jangkitan hanya 2,232 kes dan meningkat sedikit kepada 3,309 kes pada keesokannya. Namun mulai April, kes kembali kepada awal darurat setelah menurun sedikit bulan sebelumnya.

Darurat semakin dipertikaikan apabila jumlah jangkitan terus meningkat sehingga melepasi paras 9,000 kes pada hujung Mei. Setelah tujuh bulan perintah darurat, kes melonjak kepada 17,786 kes pada 31 Julai, sehari sebelum darurat tamat.

Tidak hanya menjual retorik kawalan Covid-19, Proklamasi Darurat juga menggantung sidang Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri, selain menangguhkan semua pilihan raya.

Keputusan ini mencetuskan perdebatan sejak awal sehingga Yang di-Pertuan Agong bertitah persidangan Parlimen masih boleh dijalankan walaupun negara dalam darurat. Namun tiada persidangan diadakan pada Mac lalu seperti lazim.

Susulan itu, setelah kes tidak turun-turun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada pertengahan Jun lalu.

Baginda bertitah sidang Parlimen perlu diadakan “secepat mungkin” untuk membahas Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Raja-Raja Pemerintah pula menzahirkan pandangan darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Al-Sultan Abdullah bertitah sekali lagi peri pentingnya perbahasan topik-topik tersebut ketika menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim pada akhir Jun.

Namun titah Baginda tidak dituruti sehingga Baginda menzahirkan rasa “amat dukacita” terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan dan juga Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun yang menghadap Baginda pada 24 Julai, dua hari sebelum sidang khas Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa “amat dukacita” pada 29 Julai setelah Takiyuddin tiba-tiba memaklumkan pada hari pertama sidang khas Dewan Rakyat bahawa semua enam Ordinan Darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai.

Terkejut dengan kenyataan tersebut, ahli-ahli parlimen mendesak usul pembatalan dibentang dan dibahaskan dalam persidangan minggu lalu. Namun kerajaan pula menegaskan sidang khas itu hanya sekadar penerangan menteri, bukannya usul mengungkai Ordinan Darurat.

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan kerajaan untuk membawa usul membahas dan mengungkai ordinan tersebut pada persidangan September ini.

Bagaimana boleh muncul kontroversi ini? Berikut tarikh-tarikh penting isu darurat sejak ia dimasyhurkan pada Januari lalu:

Barisan pemimpin semua parti pembangkang termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum berarak ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos 2021. Foto YUISRIAH YUSOF

23 Oktober 2020: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin persembah permohonan pelaksanaan darurat di Istana Abdul Aziz, Kuantan

25 Oktober: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu tidak perkenan cadangan darurat

11 Januari 2021: Perdana menteri ke Istana Negara menyembah maklum cadangan baharu pelaksanaan Pengisytiharan Darurat untuk bendung Covid-19

* Darurat diisytihar di seluruh negara hingga 1 Ogos. Sebanyak 2,232 kes positif Covid-19 dikesan pada hari pertama darurat

12 Januari: Muhyiddin umum darurat secara langsung, maklumkan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri tidak boleh bersidang sepanjang tempoh darurat

* Semua pilihan raya termasuk kecil bagi menggantikan wakil rakyat yang meninggal dunia tidak akan diadakan ketika darurat

* Kuasa masih di tangan eksekutif untuk gubal Ordinan Darurat dan perintah berkurung tidak akan diperkenalkan

13 Januari: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 diperkenalkan di enam negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur

14 Januari: Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 setebal 12 halaman yang berkuat kuasa mulai 11 Januari dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong

24 Februari: Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang walau dalam tempoh darurat ketika majlis menghadap yang dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara

21 April: Jumlah jangkitan mula kembali ke paras awal darurat dengan 2,551 kes setelah menurun kepada lebih 1,000 kes sepanjang Mac

29 Mei: Jumlah jangkitan 9,020 kes, lebih kurang empat kali ganda daripada jumlah pada hari pertama darurat berkuat kuasa

16 Jun: Al-Sultan Abdullah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan “secepat mungkin” untuk bahas Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu

* Raja-Raja Pemerintah turut menzahirkan pandangan tiada keperluan negara berada dalam keadaan darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos

29 Jun: Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan Parlimen perlu bersidang “secepat mungkin” ketika menerima menghadap yang dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara

5 Julai: Kerajaan umum sidang Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai hingga 2 Ogos

26 Julai: Parlimen hanya mengadakan sidang khas bagi taklimat beberapa menteri. Sidang ini tidak membolehkan perbahasan, usul dan undi

* Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan maklum Ordinan Darurat sudah dimansuhkan berkuatkuasa 21 Julai

* Ahli parlimen pembangkang persoalkan tindakan itu dan Takiyuddin akan beri penjelasan pada hari akhir sidang khas 2 Ogos

29 Julai: Yang di-Pertuan Agong “amat dukacita” pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda, ulang kali keempat ia harus dibentang dan dibahaskan di Parlimen seperti dititahkan semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai

* Pejabat Perdana Menteri jelaskan sidang khas hanya “penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai Ordinan Darurat”

* Ia juga jelaskan kabinet putuskan untuk nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk batalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas Parlimen 26 Julai

* Sidang khas Parlimen ditunda beberapa kali termasuk untuk mengadakan saringan selepas dimaklumkan ada dua kes Covid-19 dikesan dalam saringan

30 Julai: Warkah Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri tersebar di media sosial walau tiada pengesahan atau penafian daripada Istana Negara

* Kandungannya jelaskan asas-asas Baginda tidak perkenan batalkan Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen seperti diputus oleh jemaah menteri sendiri

* Sembilan lagi kes positif Covid-19 dikesan dalam saringan sebelum persidangan Dewan Negara seperti dimaklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dua hari kemudian

31 Julai: Jumlah jangkitan tertinggi di seluruh negara dengan 17,786 kes, membuktikan alasan mengadakan darurat gagal sepenuhnya setelah  peningkatan dikesan sejak April dan memuncak semula pada Mei

* Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon arahkan tiada sidang khas pada 2 Ogos yang dijadual membincangkan isu darurat

1 Ogos: KKM cadang semua sesi pertemuan termasuk sidang khas dan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas ditangguh selama dua minggu mulai 29 Julai

2 Ogos: Parlimen ditutup dengan semua laluan ke bangunan tersebut dalam kawalan ketat polis

* Lebih 100 ahli parlimen semua parti pembangkang berarak dari Dataran Merdeka ke arah Parlimen tetapi dihalang oleh polis, termasuk pasukan cegah rusuhan

3 Ogos: Perdana menteri menyatakan kesediaan kerajaan bawa usul bahas dan ungkai ordinan tersebut pada sidang September ini

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham gesa semua mesyuarat di bangunan Parlimen ditunda dua minggu

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat di Parlimen, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen, ditangguhkan selama dua minggu bermula 29 Julai lalu.

Ketua pengarah kesihatan berkata cadangan itu mengambilkira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di Parlimen.

“Penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

“Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai dinasihat memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan jika mengalami gejala perlu jalani pemeriksaan serta rawatan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau hasil penilaian risiko berdasarkan faktor epidemiologi dan persekitaran mendapati Parlimen adalah satu perhimpunan berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19 walaupun jumlah kes positif 0.8 peratus.

Mengulas lanjut mengenai risiko jangkitan Covid-19 di Parlimen, beliau menjelaskan terdapat beberapa faktor yang boleh menjadi punca penularan wabak berkenaan.

“Keadaan dewan Parlimen yang bertutup, meningkatkan risiko jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar atau menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam,” katanya.

Faktor lain termasuk:

– Tempoh berada dalam dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang.

– Perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau, kafe dan sebagainya oleh ramai individu termasuk kes.

– Penjarakan fizikal dalam Dewan kurang dari satu meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja.

– Perkumpulan kecil kerap berlaku di dalam dan di luar dewan.

Pada 29 Julai lalu, dua kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kalangan petugas. Susulan itu saringan menggunakan sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) saliva dilakukan terhadap 1,183 individu dan mendapati sembilan lagi kes positif Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

11 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen semalam

PUTRAJAYA, 30 JULAI: Sebanyak 11 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen semalam ketika berlangsungnya Sidang Khas Dewan Rakyat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata 10 kes positif dikesan melalui Kit Ujian Rapid Antigen (RTK Ag) melalui air liur, manakala satu lagi menerusi ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR).

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dimaklumkan mengenai dua kes positif Covid-19 di Parlimen semalam, dengan kes pertama melibatkan seorang petugas yang hadir di Parlimen pada 26 Julai hingga 28 Julai, dan pengesahan dibuat selepas ujian RT-PCR dilakukan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan setelah petugas itu mengalami gejala batuk dan selesema.

Menurutnya kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Ag air liur setelah individu berkenaan mengalami gejala batuk.

“Siasatan mendapati kedua-dua kes ini tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum sidang khas Parlimen bermula,” katanya, serta menambah kedua-duanya juga negatif Covid-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes, kedua-dua kes berkenaan dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa Sidang Khas Dewan Rakyat berlangsung.

Sidang Khas Dewan Rakyat berlangsung lima hari bermula 26 Julai.

Susulan dua kes positif itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 1,183 individu menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag air liur di Parlimen semalam.

Menurutnya, dua daripada 10 kes positif hasil ujian RTK Ag air liur itu mengalami gejala ringan tetapi stabil manakala lapan kes tidak bergejala.

“Pejabat Kesihatan akan membuat susulan lanjut ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan Covid-19 itu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata berikutan pengesanan kes-kes positif Covid-19 berkenaan, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan, termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

Beliau berkata semua yang akan hadir pada sesi Sidang Khas Dewan Rakyat minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis Peguam: Bentang, bahas Ordinan Darurat di Parlimen

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Majlis Peguam Malaysia hari ini berkata Ordinan Darurat hendaklah dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Presidennya AG Kalidas berkata Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ‘Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu…’

Beliau berkata peranan Parlimen mendasari nilai-nilai yang diperlukan bagi fungsi demokrasi dan oleh itu, ia harus mematuhi standard integriti yang tinggi apabila melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh Kabinet, Ahli Parlimen dan Speaker Parlimen.

“Justeru adalah mustahak untuk Kabinet menyalurkan maklumat tepat semasa sidang Parlimen bagi memastikan Parlimen dapat mengadakan perbahasan yang berkesan dan bermakna. Dalam apa keadaan sekali pun, Parlimen tidak boleh dikelirukan lebih-lebih lagi semasa pandemik global yang telah menjejaskan kehidupan semua orang di Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin iaitu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda.

Katanya Majlis Peguam berkongsi rasa amat dukacita Seri Paduka berhubung kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen semasa persidangan baru-baru ini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selepas Agong ‘amat dukacita’ isu darurat, Dr Mahathir dakwa PM ‘tipu’ Parlimen

SHAH ALAM, 29 JULAI: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa perdana menteri “menipu” Parlimen setelah Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita isu pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

“Titah Yang di-Pertuan Agong hari ini menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sengaja berbohong kepada Parlimen berhubung pembatalan Ordinan-ordinan Darurat,” kata ahli parlimen Langkawi dalam kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri berkata Muhyiddin tidak cuba membetulkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung pembatalan darurat pada sidang khas Isnin lalu.

“(Muhyiddin juga) tidak menahan Takiyuddin daripada terus berucap walau duduk di depannya. Muhyiddin juga tidak membuat penjelasan pada hari-hari persidangan berikutnya,” kata Dr Mahathir lagi.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan pembatalan tersebut yang diumumkan oleh menteri itu tanpa perkenan Baginda seperti ditetapkan Perlembagaan.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan Istana Negara hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pad 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.”

Baginda turut menzahirkan rasa “amat dukacita” berhubung titah pembatalan semua ordinan berkenaan mestilah dibentang dan dibahaskan di Parlimen seperti persetujuan dalam majlis menghadap secara maya pada 24 Julai.

Menurut kenyataan istana lagi, majlis menghadap dua hari sebelum sidang khas Dewan Rakyat awal minggu ini disertai Takiyuddin, yang mengendali hal-ehwal Parlimen dan perundangan, bersama Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Ketika sidang khas itu bermula, Takiyuddin tiba-tiba memaklumkan semua ordinan tersebut telah dibatalkan pada 21 Julai. Namun semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen terkejut dengan kenyataan tersebut yang dibuat tanpa warta atau hebahan umum.

Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir juga mendesak perdana menteri bersama seluruh anggota kabinet bertanggungjawab atas tindakan mereka di Parlimen yang disifatkannya “memalukan” dan meletakkan jawatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sidang Parlimen ditangguh lagi, dua didapati positif Covid-19

SHAH ALAM, 29 JULAI: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini sekali lagi ditangguhkan sehingga 5.15 petang bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan majlis ketika itu memaklumkan ia susulan terdapat dua kes positif terbaharu dikesan seperti pemakluman terkini oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Speaker Dewan Rakyat.

“Kes pertama ialah seorang petugas yang hadir sejak 26 Julai hingga 28 Julai manakala kes kedua dikesan positif hari ini semasa ujian saringan kendiri di Parlimen menggunakan RTK-Ag Saliva.

“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal mendapati kedua-dua kes itu dikhuatiri telah berada di sekitar Parlimen,” katanya.

Mohd Rashid berkata semua yang berada di bangunan Parlimen termasuk Ahli Parlimen, pegawai dan pekerja perlu menjalani ujian saringan dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu sehingga keputusan ujian diperoleh.

Penangguhan itu adalah yang keempat untuk hari ini selepas Mesyuarat Khas itu ditempohkan kali pertama pada 12.30 tengah hari susulan kenyataan Istana Negara berkenaan Proklamasi Darurat.

Malaysia hari ini mencatatkan 17,170 kes baharu positif COVID-19 menjadikannya dua hari berturut-turut negara merekodkan kes melebihi 17,000.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM cadang sidang Parlimen dipendek, had kehadiran fizikal

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan.

Saranan itu dikemukakan ketua pengarah kesihatan semasa mesyuarat penyelarasan bagi urusan berkaitan sidang khas Dewan Rakyat berikutan penularan Covid-19 pada 26 Julai lalu.

Maklum Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan, langkah itu bagi memastikan sidang khas terus berjalan lancar dan semua individu dikehendaki mematuhi tatacara operasi standard (SOP) serta peraturan sedia ada.

“KKM akan terus memantau situasi yang mana pasukan dari Jabatan Kesihatan bersama Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah ditempatkan di bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan gejala,” katanya.

Beliau berkata sehingga 28 Julai, seramai 104 individu telah menjalani ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) menggunakan sampel saliva dan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

“Sekiranya terdapat kes positif dalam kalangan individu yang hadir Parlimen, siasatan akan dijalankan termasuk pengesanan kontak dan punca jangkitan.

“Penilaian risiko turut dijalankan untuk mengetahui sama ada terdapat penularan jangkitan dalam kalangan mereka yang hadir ke Parlimen selain keperluan penutupan sementara untuk langkah pencegahan dan kawalan,” katanya.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan, tiada penularan jangkitan Covid-19 dikesan di Parlimen tetapi pemantauan diteruskan sehingga sidang khas tamat.

Katanya, sehingga 28 Julai lalu, 56 kes positif telah dikesan melibatkan dua ahli parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru, kumpulan sokongan terima vaksin sebelum buka sekolah

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Semua warga pendidik dan kumpulan sokongan akan menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula secara berperingkat yang dijadual pada 1 Sept.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti bilangan guru, anggota pelaksana dan perkhidmatan kontrak untuk penjadualan janji temu dos pertama vaksin.

Setakat semalam katanya, sejumlah 303,682 atau 73.5 peratus guru di seluruh negara menerima suntikan satu dos vaksin.

“Seramai 45,197 anggota kumpulan pelaksana (67 peratus) dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak (38 peratus) (sekolah kerajaan) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala bagi sekolah swasta 12,894 guru (66.4 peratus) sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Saya bersama menteri pendidikan beri jaminan bahawa semua warga pendidikan akan diberi vaksinasi sebelum sekolah bermula,” katanya ketika menggulung pertanyaan Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy hari ini membentangkan penerangan berhubung pelaksanaan PICK dan seramai 23 Ahli Parlimen mengajukan pertanyaan dan cadangan yang antara lain turut menyentuh isu vaksin bagi sektor pendidikan, kelewatan perolehan vaksin serta masalah logistik dan pengagihan vaksin.

Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) membangkitkan soal vaksinasi bagi sektor pendidikan yang turut mencadangkan agar semua warga Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diberikan vaksin.

Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan vaksin dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS) yang berada dalam ujian klinikal fasa tiga di negara ini sejak Januari lepas mungkin akan dapat diketahui keputusannya hujung tahun ini.

“Ada syarikat yang dah mula proses pendaftaran vaksin ini dengan NPRA (Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara), bila NPRA dah puas hati dengan dossier atau maklumat terkandung dalam permohonan itu maka kita akan beri kelulusan.

“Saya juga maklum bahawa vaksin ini telah terima Emergency Use Authorisation di China… jadi vaksin ini mungkin kita akan luluskan dalam masa terdekat,” katanya menjawab persoalan yang dibangkitan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu).

Dalam perkembangan lain, Khairy sekali lagi memaklumkan isu berhubung penetapan harga siling vaksin Covid-19 untuk pasaran swasta akan ditentukan dalam mesyuarat JKJAV minggu hadapan.

“Perkara ini telah dimaklumkan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan disyor jawatankuasa itu semalam,” katanya sambil memberitahu rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin untuk memuktamadkan pemerolehan vaksin bagi 2022 sedang dilakukan.

Menjawab soalan Dr Kelvin Yii (DAP-Bandar Kuching) mengenai ujian antibodi untuk menilai imuniti selepas divaksin, Khairy berkata buat masa ini Malaysia tidak menyarankan ujian itu dibuat selaras garis panduan oleh United States Food and Drug Administration (FDA) dan Centers for Disease Control and Prevention (CDC).

Malaysia, katanya, sedang membangunkan satu dasar untuk ujian antibodi itu dan memperuntukkan RM15 juta bagi ‘antibody immunosurveillance program’ di bawah Institut Penyelidikan Perubatan Kementerian Kesihatan (IMR).

“Kajian ini penting untuk melihat tahap antibodi dan neutralizing antibody dalam kalangan penerima-penerima vaksin di Malaysia dan dapat ditentukan meliputi beberapa perkara spesifik.

“…ini adalah penyelidikan perubatan yang sedang dijalankan dan bagi ujian antibodi… kita masih belum ada garis panduan dan saya harap boleh dilaksanakan,” katanya.

Khairy juga bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) agar kerajaan melihat ke hadapan berhubung kajian vaksin generasi kedua pelbagai varian bagi persiapan melawan varian baharu atau penyakit zoonosis (penyakit bawaan haiwan).

Berhubung cadangan melanjutkan selang masa antara dos pertama dan kedua Pfizer, Khairy berkata kerajaan pada awalnya sudah bersetuju, namun disebabkan penularan varian Delta COVID-19 tempoh selang masa tiga minggu itu dikekalkan.

“Kita dapati keberkesanan satu dos Pfizer melawan varian Delta hanya 30 peratus, oleh sebab itu kita kekalkan dengan tempoh selang masa itu,” katanya.

Sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersambung esok dengan pembentangan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan Pakej Bantuan Ekonomi.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Enam Ordinan Darurat dibatal kuat kuasa 21 Julai

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pelanjutan darurat, yang dijadual tamat pada 1 Ogos ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa.

“Saya ingin sahkan hari ini, dan saya tertakluk (pada peraturan) kalau saya bercakap tidak benar, bahawa kerajaan Persekutuaan memutuskan untuk tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baharu apabila (ia) tamat pada 1 Ogos nanti.

“Kerajaan juga telah buat keputusan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembangaan Persekutuan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat yang telah dibuat semasa proklamasi darurat, maka isu ungkai atau annulment tidak lagi relevan… enam ordinan direvoke (batal) berkuat kuasa 21 Julai 2021,” katanya tanpa menyatakan enam ordinan terlibat.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai hala tuju mesyuarat khas Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini.

Terdahulu, sebelum penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula, Anwar mempersoal keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menolak usulnya yang memohon agar Parlimen membolehkan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinannya serta hal berkaitan pandemik, vaksinasi, perbelanjaan dan PPN dibahaskan.

Anwar turut mempersoal jaminan kerajaan sama ada darurat akan ditamatkan mengikut tarikh yang ditetapkan atau dilanjutkan.

Pengumuman pemansuhan enam ordinan itu mencetuskan situasi tegang apabila beberapa Ahli Parlimen daripada blok pembangkang, antaranya Lim Guang Eng (PH-Bagan) dan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) mempersoalkan keputusan berkenaan.

Gobind berkata pemansuhan itu sepatutnya dibawa ke Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Proklamasi Darurat atau apa-apa ordinan yang dimasyurkan hendaklah dibentang kepada kedua-dua Majlis.

-BERNAMA