Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Malaysia di Singapura boleh pulang berperingkat

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerajaan menerima secara berperingkat kemasukan warga Malaysia yang bekerja di Singapura bagi membolehkan persediaan rapi dilakukan, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu ditetapkan menerusi rundingan antara Kementerian Sumber Manusia kedua-dua negara.

“Katakan sekarang ini ada 20,000 pekerja kita hendak balik, jadi akan uruskan mereka dari segi kemasukan secara berperingkat, mungkin 250 hingga 300 orang satu hari supaya kita boleh bersedia dari segi pusat kuarantin.

“Setakat hari ini tidak ada lagi kemasukan besar-besaran kerana kita percaya mereka masih lagi bekerja di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan PKP di Putrajaya hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lapor polis jika majikan bukan perkhidmatan perlu paksa kerja

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Laporan polis boleh dibuat terhadap majikan yang tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu yang masih beroperasi dan mengarahkan pekerja hadir bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam soalan lazim melibatkan kementerian itu berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan berkata jika majikan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan itu, ia adalah satu kesalahan jenayah.

“(Kesalahan) di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” menurut KSM.

Sementara itu, KSM berkata majikan dalam perkhidmatan perlu pula harus mengurangkan bilangan petugas yang hadir bekerja kepada tahap paling minimum atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah semasa, dalam tempoh itu.

Menurut kementerian itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac dalam usaha menangani wabak Covid-19, majikan juga perlu memastikan pergerakan pekerja terbabit dihadkan.

Perkara ini berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Tambah KSM, majikan juga perlu menyediakan alat saringan suhu badan, mengambil bacaan suhu badan pekerja setiap hari serta memastikan pekerja mematuhi prosedur pencegahan Covid-19.

Selain itu, majikan hendaklah menyediakan cecair pembasmi kuman, melaksanakan proses sanitasi dan pembersihan perlu serta memastikan garis panduan amalan terbaik penjarakan sosial disediakan dan dilaksanakan.

Tegas KSM, majikan tersenarai dalam perkhidmatan perlu, berhak untuk tidak membayar gaji pekerjanya jika didapati enggan bertugas sepanjang tempoh ini.

KSM menyatakan majikan wajib membayar gaji penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan pekerja bergaji harian dibayar mengikut kadar upahan yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja di dalam surat tawaran atau kontrak perkhidmatan atau surat kenaikan gaji terkini.

“Untuk pekerja yang upahnya tidak tetap maka kadar hariannya hendaklah tidak kurang daripada kadar gaji minimum seperti dalam Perintah Gaji Minimum 2020,” kata KSM.

Dalam tempoh itu juga, majikan boleh meminta pekerjanya untuk menjalankan kerja bersesuaian dari rumah, dan perlu membayar gaji pekerja berserta elaun yang berkaitan hendaklah dibayar.

KSM berkata sekiranya majikan enggan membayar gaji dalam tempoh tersebut, pekerja boleh mengemukakan aduan secara dalam talian melalui e-mel rasmi Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Majikan juga wajib membayar upah atau gaji pekerja di luar skop Akta Kerja 1955 / Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) / Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) kerana perkara ini telah termaktub dalam kontrak perkhidmatan yang dipersetujui antara majikan dan pekerja,” kata KSM.

Jelas KSM, majikan tidak boleh memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji pekerja sepanjang tempoh ini kerana perintah telah dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sebarang pertanyaan berhubung isu majikan dan pekerja boleh berurusan dengan Bilik Gerakan Pemantauan Pekerjaan COVID-19 KSM, menghubungi talian 03-8889 2359 / 8886 2409 / 8890 3404 atau e-mel [email protected] ; [email protected] ; [email protected]

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurangan caruman beri kesan ahli berumur bawah 60 tahun – KWSP

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Keputusan kerajaan mengurangkan kadar caruman minimum berkanun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja sebanyak empat peratus memberi kesan kepada ahli  berumur di bawah 60 tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata untuk mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, bahagian caruman pekerja kekal pada kadar sifar peratus.

“Pekerja boleh memilih untuk mengekalkan kadar caruman bahagian pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun KWSP 17A (Khas) yang boleh diperoleh melalui laman sesawang kwsp.gov.my.

Notis itu perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada KWSP,” katanya.

Pengurangan kadar caruman daripada 11 peratus kepada tujuh peratus adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan bertujuan mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan global Covid-19. Kadar baharu itu akan berkuat kuasa 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini.

Pakej rangsangan ekonomi itu dilancarkan Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rasa ditindas, pekerja disaran lapor Jabatan Tenaga Kerja

PELABUHAN KLANG, 14 FEB: Pekerja yang berasa ditindas, tidak dijaga kebajikan atau menerima gaji tidak setimpal, boleh membuat laporan mengenainya kepada pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab berkata ini kerana menjadi tanggungjawab majikan mewujudkan persekitaran selesa selain menjaga kebajikan warga kerjanya.

Beliau berkata majikan yang gagal menjaga kebajikan pekerja juga boleh dikategorikan sebagai menggaji ‘buruh paksa’.

“Majikan yang menggajikan pekerja asing dan tempatan ini perlu memastikan wujudnya keselesaan kepada golongan itu selepas seharian bekerja.

“Kita juga mahu mengingatkan orang awam menjadi mata dan telinga JTKSM sekiranya mengetahui ada majikan melanggar peraturan pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas operasi khas penguatkuasaan jabatan itu di sebuah kilang perabot di sini, semalam.

Mohd Asri berkata majikan kilang perabot di Telok Gong itu didapati melanggar Garis Panduan Standard Minimum Penyediaan Penginapan Pekerja Asing.

Katanya majikan berkenaan menyedia penginapan dalam persekitaran kotor, daif dan sistem perparitan tidak diselenggara yang berkemungkinan boleh menjejaskan kesihatan pekerja.

“Kita juga mendapati majikan di kilang ini melanggar beberapa elemen Akta Kerja 1955 berkaitan gaji pekerja. Kita akan menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut dan sekiranya didapati bersalah, kertas siasatan terhadap mereka akan dibuka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pekerja tempatan tidak terkesan pemansuhan Akta Pampasan Pekerja 1952

KULIM, 2 DIS: Pekerja tempatan tidak akan terkesan dengan pemansuhan Akta Pampasan Pekerja 1952, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

Beliau berkata timbul salah faham apabila perkara itu diumumkan pihaknya Jumaat lepas sedangkan ia sebenarnya tidak ada kena mengena dengan pekerja tempatan.

“Saya pastikan pekerja tempatan tidak akan menghadapi sebarang kekurangan, sebaliknya akan dapat lebih daripada apa yang akan dilaksanakan ini,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja ke Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kulim di sini, hari ini.

Beliau berkata pemansuhan akta itu adalah bagi menjaga kebajikan warga asing yang bekerja di negara ini dari segi perlindungan insurans di samping menunjukkan kerajaan tiada sebarang diskriminasi terhadap mereka.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan Konvensyen Kesamaan Rawatan (Pampasan Kemalangan) 1925 (No 19) dan Jawatankuasa Persidangan Penggunaan Piawaian di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Kulasegaran berkata, tidak seperti pekerja tempatan, mereka dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak mencarum untuk pekerja mereka.

“Misalnya, baru-baru ini wakil kerajaan Jepun ada bertemu saya dan meminta rakyat kita untuk bekerja di sana kerana populasi mereka semakin berusia. Jadi, kita mesti mahu pekerja kita yang pergi ke sana dilindungi insurans.

“Kita tidak mahu jadi seperti kejadian di Bukit Kukus, banyak melibatkan pekerja asing, mereka mati begitu sahaja sedangkan mereka juga manusia, jadi kita kena bersifat adil,” katanya merujuk kepada kejadian tanah runtuh yang mengorbankan sembilan nyawa di Bukit Kukus, Paya Terubong, Pulau Pinang, Oktober lepas.

Mengenai lawatan ke Adtec, Kulasegaran berkata kerajaan perlu mengambil inisiatif lebih berkesan untuk menonjolkan institusi berkaitan kemahiran bagi menarik lebih ramai golongan muda mempelajari bidang Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET).

Katanya, pada masa ini tahap kebolehpasaran graduan TVET sangat tinggi dan stigma masyarakat terhadap bidang itu juga sudah berubah.

“Ramai anak muda menganggur sebab tidak ada kemahiran, mereka perlu pelajari bidang ini dan kita akan lihat semula institusi-institusi kemahiran ini agar dapat menarik lebih pelajar pada masa hadapan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Desakan pertimbang semula gaji minimum dibawa ke Kabinet

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Desakan kajian semula gaji minimum RM1,050 yang diputuskan Kerajaan Persekutuan sebelum ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet akan datang untuk dibincangkan semula.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, pihaknya mendengar dan akan meneliti memorandum dihantar Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta beberapa NGO hari ini untuk tindakan susulan.

“Ia akan dibawa semula ke Kabinet untuk mencari tindakan susulan. Pandangan mereka akan kita pertimbangkan.

“Saya setuju ada beberapa faktor menyebabkan penetapan nilai sedemikian (RM1,050) iaitu kegawatan ekonomi negara dan terlampau banyak hutang.

“Apabila kita ambil alih Kerajaan pada 9 Mei lau, tidak sangka jumlah hutang berkenaan. Untuk sementara waktu kita putuskan RM1,050,” katanya.

Beliau berkara demikian kepada media selepas mempengerusikan pertemuan hampir satu jam di Bangunan Sementara Parlimen.

Sebelum itu, lebih 100 terdiri daripada kumpulan pekerja berarak dari Padang Merbok ke Parlimen bagi membantah gaji minimum RM1,050.

Demonstrasi aman itu digerakkan MTUC bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan sokongan beberapa NGO lain.

Categories
NASIONAL

Majikan boleh bantu pekerja tangani stres

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Majikan boleh memainkan peranan penting membantu pekerja mereka menangani stres di tempat kerja dengan memperbaiki kandungan kerja dan menyusun semula waktu bekerja, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata penekanan di peringkat organisasi adalah perlu untuk mengubah amalan bekerja termasuk mengkaji serta mempraktikkan amalan terbaik untuk mengurangkan tekanan pekerja.

Menurutnya, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dikendalikan kementerian itu pada 2015 mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam adalah 24.6 peratus, lebih rendah berbanding pekerja swasta iaitu 29.3 peratus.

“Masalah kesihatan mental berlaku apabila seseorang individu mengalami gangguan emosi atau perasaan yang boleh menyebabkan fungsi kehidupan sehari-hari terganggu tetapi tidak sampai kepada tahap penyakit mental seperti stres, keresahan dan kemurungan harian.

“Pekerja juga digalakkan meningkatkan interaksi dan perhubungan sesama rakan sekerja untuk mengurangkan risiko tekanan semasa bekerja,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Dr Lee berkata kementerian itu melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menangani masalah tekanan mental dalam kalangan penjawat awam antaranya program Akrab atau Rakan Pembimbing dan membangunkan modul menangani stres di tempat kerja selain menyediakan latihan menangani stres serta kemahiran menangani kesihatan mental.

“Bagi menjaga kebajikan penjawat awam wanita, kerajaan telah menambah tempoh cuti bersalin bergaji penuh daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan. Pegawai juga diberi fleksibiliti untuk menentukan tempoh cuti bersalin antara 60 hari hingga 90 hari bagi setiap kelahiran,” jelasnya.

Katanya 958 klinik disediakan untuk kemudahan akses di peringkat kesihatan premier bagi perkhidmatan saringan kesihatan mental untuk mengenali tahap stres, keresahan dan kemurungan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN tekad naikkan gaji minimum, sejuta peluang kerja berkualiti

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) bertekad untuk meningkatkan gaji minimum bagi semua jenis pekerjaan kepada RM1,500 jika berjaya ke Putrajaya, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, bersempena hari pekerja 2018 seharusnya menjadi tanda ingatan penting peranannya dalam memacu pembangunan namun keadaan ekonomi negara semakin gawat masih ramai rakyat bergelut dengan krisis kos sara hidup dan gaji yang rendah.

“Gaji minimum masih pada tahap tidak realistik sebanyak RM1,000 dan separuh daripada pekerja di Malaysia bergaji di bawah RM1,700.

“Dengan gaji sebegini, sudah tentu mereka tidak dapat menghadapi cabaran GST dan harga barang yang semakin naik.

“Berbeza di Selangor, di mana gaji minimum penjawat awam negeri adalah pada kadar RM1,500, kerana saya percaya jika para pekerja mempunyai gaji lebih tinggi, mereka dapat menyumbang lebih kepada ekonomi,” katanya dalam kenyataan perutusan hari pekerja.

Mohamed Azmin berkata, Selangor menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 23 peratus kerana pekerja menjadi tulang belakang ekonomi negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri jauh ke depan menggunakan strategi pembangunan berinovasi serta ekonomi berasaskan pengetahuan atau “Knowledge Economy”.

“Ini selaras dengan tawaran Pakatan Harapan untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk anak muda yang bergaji tinggi, sebanyak RM2,500 ke atas.

“Saya menyeru para pekerja supaya menggembleng tenaga, berganding bahu membuat pilihan betul dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Pilihlah parti yang akan membela dan memelihara kebajikan, mengiktiraf hak dan kesatuan pekerja. Hantarlah kita ke Putrajaya, dan kita dapat memartabatkan hak dan kebajikan semua pekerja Malaysia,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tinjauan: 77% pekerja mahu bonus tahun ini, 1/3 mahu tukar kerja

KUALA LUMPUR 7 MAC: Tinjauan Randstad Malaysia Bonus Survey bagi 2017 dan 2018 menunjukkan lebih 1/3 tenaga kerja di negara ini berhasrat menukar pekerjaan jika tidak dibayar bonus tahun ini.

Tinjauan yang dipetik The Edge itu berkata, 77 peratus pekerja mahu dibayar bonus tahun ini berbanding 66 peratus tahun lepas menunjukkan sentimen positif sekitar prestasi ekonomi dan organisasi.

Menurut laporan global terbaru Workmonitor oleh Randstad, tahap keyakinan pekerja mendapat bonus dan kenaikan gaji lebih tinggi berbanding purata global iaitu 51.3 peratus.

“Tertinggi di rantau ini dan sejajar dengan tinjauan bonus tempatan, 8 daripada setiap 10 rakyat menjangka bayaran bonus pada akhir tahun fiskal ini,” kata Randstad dalam kenyataan.

Walaupun ramai berharap dibayar bonus yang tinggi, 62 peratus responden berkata ia bukanlah faktor paling penting dalam hubungan mereka dengan sesebuah organisasi secara keseluruhan, kata Randstad.

Katanya, bonus dan insentif lain seperti kenaikan gaji dan faedah fleksibel, sebelum ini menjadi faktor utama membantu organisasi mengekalkan pekerja tetapi trend semakin berubah.

The Edge memetik Pengurus Randstad Malaysia, Ryan Carroll sebagai mengatakan, rakyat mula meletakkan nilai lebih besar terhadap apa yang sebelum ini dianggap sebagai faktor “lembut”.

“Keseimbangan kerja dan hidup faktor ke-2 terpenting dalam jenama majikan pada 2017, iaitu peningkatan sebanyak 2 tangga daripada 2016.

“Majikan perlu memahami apa yang menyumbang kepada tenaga kerja yang mahu terlibat dan produktif untuk menarik bakat dan mengekalkan pekerja,” kata Carroll.

Randstad mengkhusus kepada industri perkhidmatan sumber manusia dan penyelesaian dalam bidang kerja fleksibel dan perkhidmatan sumber manusia.

Lebih 700 profesional mengambil bahagian dalam tinjauan diadakan pada Januari 2018.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Pindaan Akta Kerja 1955 dibentang sidang Dewan Rakyat akan datang

NASIONAL 28 JAN: Cadangan pindaan Akta Kerja 1955 bagi menangani diskriminasi di tempat kerja susulan isu larangan bertudung dalam sektor perhotelan, dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata kementerian sedang meneruskan perbincangan ‘tripartite’ melibatkan pihak majikan, pekerja dan kerajaan untuk memperhalusi cadangan pindaan akta itu.

“Kementerian Sumber Manusia memandang serius isu diskriminasi yang didakwa berlaku dalam kalangan beberapa majikan sektor perhotelan di negara ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Persidangan Dewan Rakyat dijadual berlangsung dari 5 Mac hingga 5 April ini.

Riot berkata pemeriksaan yang dilakukan kementerian ke atas 88 hotel di Semenanjung Malaysia sejak Disember 2017 hingga semalam mendapati 13 daripadanya menetapkan polisi dan mempunyai ‘standard grooming’ yang melarang pekerja wanita bertudung, khususnya bagi ‘frontliners’ dan mereka yang bertugas di bahagian ‘food and beverages’.

“Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah menasihatkan 13 hotel berkenaan mengambil tindakan pembetulan untuk tidak melaksanakan polisi itu,” katanya.

Riot seterusnya berkata Persatuan Hotel Malaysia (MAH) telah memberi komitmen untuk menggesa anggotanya supaya tidak menetapkan sebarang polisi atau dasar melarang pemakaian tudung dalam kalangan pekerja wanita di tempat kerja.

“MAH juga menggalakkan semua anggotanya memasukkan pemakaian​​​​​​​ tudung sebagai pakaian seragam di dalam kod etika berpakaian yang diamalkan pihak pengurusan hotel di negara ini,” katanya.

Riot berkata ini berdasarkan perbincangan antara kementerian dan MAH pada 17 Januari lalu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kegagalan polisi pekerja dan penguatkuasaan punca kebanjiran PATI

OLEH Dato’ Abdullah Sani

Baru-baru, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menyatakan hanya sejumlah 85,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didaftarkan melalui program e-Kad sementara pekerja asing.

Angka tersebut jauh daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu sekitar 400,000 hingga 600,000 PATI.

Statistik yang dilaporkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula menunjukkan realiti kebanjiran PATI telah mencecah 5 juta orang.

Meskipun Kementerian Sumber Manusia secara tidak langsung menyatakan bahawa hanya 4 juta sahaja PATI di negara ini (merujuk pada kenyataan berkaitan 7 dari 10 orang pekerja asing adalah tidak sah, bersama-sama disertakan bilangan sah hanya sekitar 1.9 juta orang).

1. Memperlihatkan keadaan semakin kritikal, saya berpandangan program e-Kad sementara pekerja asing hanyalah satu usaha yang sia-sia jika tidak melaksanakan terlebih dahulu reformasi polisi pekerja dan penguatkuasaan kerajaan.

Kedua-dua aspek ini saling berkaitan dalam menangani masalah lambakan PATI, dalam masa yang sama memperkasakan kebajikan pekerja dan rakyat.

2. Reformasi polisi pekerja adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Majikan dan Kesatuan Sekerja. Masalah utama polisi kerja di negara ini adalah kelemahan penguatkuasaan gaji minima.

Banyak majikan hanya ingat bahawa gaji minima hanya perlu diimplimentasikan kepada pekerja tempatan, manakala pekerja asing dibiarkan untuk memperoleh gaji lebih rendah.

Keadaan ini, menyebabkan majikan lebih gemar mengambil pekerja asing atas sebab kos buruh yang lebih rendah. Lebih teruk lagi, pekerja asing tidak dibiayai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan SOCSO menyebabkan kerajaan begitu sukar untuk menyemak hasil pendapatan yang diberikan oleh majikan kepada mereka.

3. Sistem polisi pekerja di negara-negara maju, misalnya Australia menitikberatkan gaji minimum bukan sahaja kepada pekerja tempatan tetapi juga kepada pekerja asing.

Kesamarataan daripada segi gaji dan juga kebajikan antara pekerja tempatan dan asing menentukan persaingan yang lebih sihat, sama ada majikan memilih pekerja tempatan atas dasar nasionalisme atau pekerja asing kerana reputasi kerja – tanpa melibatkan isu kos buruh yang rendah.

4. Hakikatnya, polisi ini gagal diadaptasikan di Malaysia yang menyebabkan majikan lebih gemar mengambil pekerja asing sekalipun mereka ini di kalangan pendatang asing tanpa izin, atas sebab kos murah dan juga kesenangan memperoleh kesetiaan untuk bekerja (jika enggan bekerja, majikan mengugut akan membocorkan status pekerja tidak sah kepada pihak berkuasa dan berkemungkinan mereka akan dihantar pulang ke negara asal, meskipun majikan membayar gaji rendah dan mengabaikan kebajikan pekerja).

Bagaimana pekerja asing mahu melepaskan diri, sedangkan mereka tidak berlindung di bawah kesatuan sekerja?

5. Tambahan pula, kerajaan Umno BN agak lemah dalam penguatkuasaan undang-undang. Sudahlah pintu masuk negara dikatakan bolos sehinggakan 5 juta PATI dibiarkan masuk begitu sahaja, inikan pula terpaksa membuat satu program untuk mendaftarkan mereka sebagai pekerja sah sementara.

Apa sebenarnya matlamat dan hala tuju industri pekerja di Malaysia? Adakah kerajaan sebenarnya mengalu-alukan kedatangan PATI yang bersangkut paut dengan amalan rasuah dan kronisme? Bagaimana pula dikatakan kerajaan sedang melaksanakan program ‘pemutihan’ PATI, sedangkan kerajaan tidak mencegah terlebih dahulu gejala kemasukan PATI di negara ini?

Saya berpendapat bahawa program ‘pemutihan’ tidak akan mencapai sasaran. Majikan tidak gemar untuk melaksanakannya demi memanipulasi keuntungan atas pekerja bertaraf tidak sah.

Pekerja asing tidak akan berdaftar secara sukarela kerana ugutan daripada majikan dan tidak akan ada kesatuan sekerja yang membela mereka. Saya merasakan tarikh akhir 30 Jun untuk program ini hanyalah sia-sia andai kerajaan tidak tegas dalam penguatkuasaan undang-undang.

Barangkali selepas tarikh ini, kerajaan Umno BN tetap akan ‘kitar semula’ program yang sama tanpa tindakan untuk cegah kemasukan PATI, memulangkan pendatang tidak sah ke negara masing-masing, melaksanakan reformasi pekerja dan menghukum majikan yang tidak mematuhi undang-undang.

 

* Dato’ Abdullah Sani adalah Ahli Parlimen Kuala Langat
Pengerusi Biro Pekerja
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
KENYATAAN MEDIA

Merealitikan evolusi pengurusan sumber manusia

OLEH RODZIAH ISMAIL

Sambutan Hari Pekerja 1 Mei, 2017 ini adalah tanda penghargaan tidak terhingga untuk semua angkatan para pekerja Malaysia dan tenaga kerja warga asing di Malaysia.

Mereka telah bertungkus lumus dan berkorban demi membangunkan Malaysia dan penduduknya.

Para pekerja yang aktif dan berterusan menyumbang dalam berbagai sektor – keselamatan, pembuatan, perladangan, perkhidmatan, pembinaan, ketenteraan, kepolisan, pengangkutan, perundangan dan banyak lagi – telah memastikan rakyat memperoleh kemajuan dan menikmati kualiti hidup yang bertambah baik dari masa ke semasa.

Kemajuan negara dan rakyat jelata amat bergantung kepada kualiti perkhidmatan dan kemahiran para pekerja.

Justeru, kerajaan yang amanah dan bertanggungjawab sentiasa menitikberatkan kesejahteraan para pekerja dan keluarga mereka.

Kebajikan mereka menjadi isu utama yang perlu dicernakan dalam bentuk-bentuk advokasi, skim-skim perlindungan, akta-akta yang merefleksi tuntutan semasa bidang pekerjaan, penguatkuasaan yang jitu, adil dan berkesan (khususnya terhadap para majikan) dan program-program berkualiti dan berkesan ke arah meningkatkan kemahiran dan profesionalisme para pekerja.

Dalam konteks sedemikian, para pekerja adalah beramanah untuk menjamin beberapa perkara yang mengesani secara langsung kehidupan rakyat, iaitu memastikan:

• Jaminan keselamatan fizikal di sektor pembangunan fizikal
• Jaminan kualiti perkhidmatan yang efisien, berkesan dan mesra rakyat
• Jaminan sistem yang bebas korupsi
• Mengutamakan kepentingan rakyat dan keperluan mereka mengatasi kepentigan peribadi dan keluarga
• Memberi maklumbalas yang benar, berintegriti dan komprehensif kepada barisan legislatif, eksekutif dan kawasan di tiga tahap utama: Parlimen, Dewan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan

Tidak lupa kepada para wanita khususnya yang berjuang dalam sektor tidak formal seperti para suri rumah yang tugasan mereka berligar selama 24 jam, terutamanya kepada para ibu muda dengan anak-anak kecil mereka.

Sudah sampai masanya para wanita ini diiktraf dalam belanjawan negara secara tepat dan bersesuaian.

Selamat menyambut Hari Pekerja Sedunia 2017

* Rodziah Ismail adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat / ADUN Batu Tiga
Parti KEADILAN Rakyat