Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 3,000 petani terima manfaat RM2 juta

SHAH ALAM, 19 FEB: Seramai 3,160 penternak, petani dan nelayan mendapat manfaat Pakej Kita Selangor melalui lima program Bantuan Warga Tani.

Dalam laporan kemajuan 20 inisiatif pakej tersebut, Unit Perancangan Ekonomi Negeri memaklumkan semua manfaat dirancang melalui peruntukan RM2 juta iaitu:

– Baja kompos (tinja ayam) kepada 910 penerima
– Makanan ternakan ruminan dan bukan ruminan kepada 250 penerima
– Makanan ternakan akuakultur kepada 150 pengusaha
– Baucar petrol kepada 1,350 nelayan
– Bahan mentah untuk pengeluaran hasil siap kepada 500 pengusaha industri asas tani

Pengagihan baja kompos membabitkan kos RM455,000 dijadual pada minggu ke-tiga Februari.

Bagi makanan ternakan termasuk akuakultur, Jabatan Perikanan Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Vetrerinar negeri telah menyerahkan senarai penerima.

Proses sebut harga sedang dibuat bagi mendapatkan bekalan membabitkan kos RM400,000.

Baucar petrol pula akan diagih Jabatan Perikanan Selangor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum akhir Februari melalui peruntukan RM405,000.

Pengagihan bahan mentah bernilai RM250,000 pula akan dibuat Fama Selangor sekitar minggu depan secara berperingkat.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Bantuan makanan kepada 7,000 petani, nelayan dan penternak dipercepat

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri bakal menyalurkan bantuan bakul makanan kepada 7,000 petani, nelayan dan penternak dalam tempoh terdekat, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata inisiatif melibatkan peruntukan sejumlah RM500,000 disalurkan secepat mungkin untuk mengurangkan beban golongan tersebut sejak penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat dan kita tidak mahu ada golongan tercicir menerima bantuan.

“Insya-Allah selepas ini pelbagai bentuk bantuan akan disalurkan kepada warga agro untuk menangani kesan pendemik,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban golongan tersebut.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif diberikan antaranya baucar petrol (nelayan), barangan pertanian (petani), makanan ternakan (penternak) dan bahan mentah (pengusaha industri asas tani).

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
BERITA UTAMA

PKPS: Ubah persepsi pertanian bidang orang kampung

SHAH ALAM, 16 OKT: Golongan muda diminta mengubah persepsi bahawa pertanian merupakan bidang orang kampung serta tidak menguntungkan.

Ketua pegawai operasi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata tanggapan tersebut menyebabkan kerjaya petani bukan pilihan utama sedangkan bidang tersebut berpotensi besar untuk berjaya.

“Kita kena buang persepsi kononnya bidang pertanian perlu diusahakan orang kampung sahaja, perkara ini kena ubah kerana bidang ini sama taraf dengan bidang lain malah mempunyai skop lebih meluas.

“Teknologi pintar membolehkan pertanian dilakukan di mana sahaja, jadi anak muda perlu sahut cabaran dan hubungi PKPS untuk mendapatkan nasihat serta peluang yang ditawarkan,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menerusi program Assalamualaikum terbitan TV Alhijrah hari ini.

Beliau berkata agensi menerajui transformasi pertanian menjadi sektor moden dan kompetitif yang memberi pulangan lumayan kepada pengusaha.

“Hakikatnya bekalan makanan negara tidak cukup untuk keperluan domestik dan kita perlu memberi tumpuan kepada bidang ini demi kelangsungan bekalan.

“Ketika awal penularan Covid-19 memberi pengajaran kepada kita kepentingan bidang pertanian bagi menjamin bekalan makanan apabila kita tidak dapat import makanan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

540 petani terima 1,600 beg baja kompos

SHAH ALAM, 21 OGOS: Seramai 540 petani di Selangor menerima 1,600 beg baja kompos bagi meningkatkan kesuburan tanah dan tanaman, kata EXCO asas tani.

Ir Izham Hashim berkata bantuan bertujuan meringan beban golongan tersebut yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 sejak Mac lalu.

“Kerajaan Negeri akan terus menyalurkan insentif pertanian seperti benih, baja dan pelbagai keperluan pertanian dari semasa ke semasa.

“Pada setiap tahun Kerajaan Negeri menyalurkan sebanyak RM6 juta kepada agensi berkaitan untuk membantu golongan petani,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Input Pertanian di Pusat Pertanian Jabatan Pertanian Sungai Besar hari ini.

Izham menambah pengalaman sepanjang PKP memberi pengajaran kepada semua pihak berhubung kepentingan mempunyai pusat simpanan makanan.

“Ketika awal PKP, bekalan luar tidak dapat masuk ke dalam negara dan kita hanya bergantung kepada bekalan atau hasil pertanian dalam negara sahaja sehingga menimbulkan kegusaran kepada kita semua.

“Sehubungan itu, Selangor menyasarkan untuk menjadi pusat simpanan makanan negara pada masa depan kerana kita sedar betapa penting memastikan bekalan sentiasa pada paras selamat serta mengurangkan kebergantungan makanan import.”

Categories
AGENDA NASIONAL

Pastikan insentif petani sampai kepada golongan sasar

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu membincangkan kaedah pengagihan bantuan yang lebih berkesan bagi pekebun kecil getah supaya bantuan yang ada sampai kepada golongan sasar.

Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) Kedah, Mohd Taufik Yaacob berkata, ini kerana ada bantuan sebelum ini tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya kerana beberapa isu.

“Ada pekebun kecil getah yang berdaftar iaitu pemilik kebun getah di Kedah, mereka tidak menoreh sendiri, mereka upah orang lain menoreh getah.

“Mereka bekerja tetap tetapi bantuan ini akan dapat kepada mereka…tidak kepada golongan sasar sebenar iaitu penoreh yang menghadapi hari hujan dan harga getah jatuh,” katanya.

Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun kecil getah yang layak di bawah RISDA dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) serta RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada 2020 untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang menghadapi harga getah rendah.

Bagi Pengerusi Pergetak Tanah Merah, Kelantan Izani Zakaria, kerajaan perlu memperluaskan bantuan itu kepada penoreh getah bagi membolehkan golongan terbabit mengimbangi kehidupan dalam kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Katanya setidak-tidaknya kerajaan mengumumkan harga lantai getah RM3 ke atas bagi membantu penoreh getah menguruskan kewangan mereka dalam jangka masa panjang.

Izani berkata, bantuan secara menyeluruh itu perlu dilakukan berikutan pendapatan golongan penoreh tidak menentu bagi menyara kehidupan harian.

“Peruntukan RM200 juta merupakan salah satu bantuan bagi membantu penoreh, namun ia bersifat sementara kepada penoreh yang mengalami situasi sukar akibat harga getah rendah. Harga barang terlalu mahal sedangkan harga komoditi getah rendah RM2.30 sekilogram… oleh itu bantuan jangka panjang perlu dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Abdul Hamid Bahari berkata tambahan RM50 bantuan sara hidup nelayan daripada RM200 kepada RM250 dapat menggembirakan hati kira-kira 40,000 nelayan seluruh negara.

Abdul Hamid berkata, pengumuman itu menunjukkan usaha dan komitmen kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) menghargai perit jerih nelayan yang turun ke laut mencari rezeki, sekali gus mengiktiraf kerja keras golongan berkenaan.

“Ini memberikan semangat dan galakan kepada golongan nelayan untuk turun ke laut. Meskipun naik RM50 sahaja tetapi ia cukup membuatkan nelayan rasa dihargai yang sedikit sebanyak boleh bantu meringankan beban kos sara hidup termasuk kos membeli pukat dan tali untuk mereka turun ke laut,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU), Mat Yassin Mohamed berkata, kenaikan elaun itu walau tidak banyak tetapi ia petanda positif di mana kerajaan mendengar suara mereka.

“Cukuplah, alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada juga kenaikan RM50 elaun sara hidup berbanding tahun lepas,” katanya.

Bagi Pengerusi Persatuan Nelayan Bachok, Kelantan Saripudin Ishak pula, penambahan itu sedikit sebanyak meringankan beban nelayan yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat, selain kebanyakan peralatan menangkap ikan naik berkali ganda berikutan kejatuhan ringgit Malaysia berbanding dengan negara-negara jiran terutama Thailand.

“Ini juga disebabkan kebanyakan peralatan menangkap ikan seperti pukat, jaring dan enjin turut naik di pasaran Thailand,” katanya yang turut mencadangkan supaya dihapuskan duti import terhadap barang-barang keperluan itu.

Satu lagi aspek membabitkan kepentingan golongan nelayan dan petani dalam Belanjawan 2020 adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada 18 kumpulan termasuk nelayan dan petani.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petani rugi ribuan ringgit sawah diserang tikus

POKOK SENA, 19 OGOS: Lebih 60 pesawah di Kampung Kolam, Mukim Tualang, di sini menanggung kerugian ratusan ribu ringgit apabila hampir 90 peratus sawah yang diusahakan mereka musnah diserang tikus dan haiwan perosak lain sejak dua bulan lalu.

Salah seorang pesawah, Zulkifli Ramli, 42, berkata masalah itu berpunca daripada sistem saliran yang sering tersumbat pada musim hujan menjadikan kerja mengawal pembiakan haiwan perosak itu sukar dilakukan.

“Kami menggunakan racun yang dituang ke dalam sawah untuk mengawal tikus dan haiwan perosak lain, tapi apabila sistem saliran rosak, air dari bendang tidak dapat mengalir apabila hujan.

“Takungan air yang banyak ini menjadikan racun yang dituang dalam sawah tidak berkesan mengawal tikus dan menyebabkan ia membiak dengan banyak dan menyerang tanaman,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, sebelum ini banyak haiwan pemangsa seperti burung hantu yang memakan tikus tersebut, namun kini tiada lagi kerana mati akibat makan tikus yang terkena racun.

Zulkifli berkata, kira-kira 30 hektar sawah di kampung tersebut musnah disebabkan oleh tikus dan haiwan perosak lain seperti Siput Gondang Emas dan burung.

“Saya sendiri turut kerugian kira-kira RM6,000 apabila keseluruhan sawah rosak dan tidak membuahkan hasil,” katanya.

Seorang lagi petani yang turut terjejas, Sharul Sham Ramli, 36, berkata jika masalah itu tidak diselesaikan segera ia mungkin akan merebak ke kawasan yang lebih luas dan melibatkan kerugian lebih besar.

Katanya, pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) perlu bertindak segera dengan membantu membersihkan dan mendalamkan parit di kawasan itu.

“Pihak berkaitan perlu bantu supaya dapat kami buat bendang mengikut jadual seperti orang lain sekali gus mengurangkan risiko di serang haiwan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahmad Shukri Ishak, 51, berkata masalah tersebut telah dimaklumkan kepada MADA dan LPP untuk tindakan lanjut.

“Saya juga sudah memaklumkan perkara itu kepada Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Dzaher Ahmad untuk membawa masalah ini kepada pihak bertanggungjawab supaya tidak menjejaskan industri padi dan bekalan makanan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Petani dan nelayan disaran mencarum Perkeso

 

KOTA MARUDU, 27 Mei: Golongan petani dan nelayan di daerah ini disarankan agar mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menjamin kebajikan mereka pada masa hadapan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Tandek Datuk Anita Baranting berkata ini dengan adanya peraturan baharu yang membolehkan golongan petani dan nelayan mencarum di bawah Perkeso.

Katanya sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, pencarum atau waris akan mendapat manfaat selain wang pampasan yang dapat meringan beban dan mengurangkan penderitaan hidup.

“Kita galakkan agar mereka (petani dan nelayan) mengambil peluang yang disediakan kerajaan melalui Perkeso,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan cek feadah dan bayaran pengurusan jenazah kepada 30 penerima di Pejabat Perkeso di sini, hari ini.

Ini antaranya membabitkan tujuh penerima cek pampasan ketidakupayaan dan khairat kematian yang keseluruhannya berjumlah RM11,873.

Sembilan belas lagi menerima pampasan gaji sejumlah RM19,621 dan selebihnya adalah penerima bantuan berupa peralatan sokongan dan keperluan harian.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Cawangan Kota Marudu David Kimon berkata sehingga kini seramai 100,000 pencarum telah berdaftar kepada Perkeso di daerah ini.

Salah seorang penerima adalah Suainey Mohd Rashid, 50, ibu kepada Mohd Sharmizal Perkasa yang maut dalam kemalangan semasa balik kerja menerima pampasan tunai RM3,033.

Suainey menyifatkankan wang pampasan itu dapat membantu meringankan penderitaan dan kos pengkebumian anaknya.

Seorang lagi penerima Willentoh Matangin, 35, pekerja kilang di Kota Belud yang menerima pampasan gaji berkata sumbangan itu sedikit sebanyak membantu bagi menampung menyara keluarganya sementara mencari pekerjaan lain. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Petani tetap terima bantuan, subsidi

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub memberi jaminan golongan petani akan tetap menerima bantuan dan subsidi meskipun peruntukan kementeriannya agak terhad.

Beliau berkata dengan strategi yang akan dilaksanakan kementeriannya, peruntukan itu akan sampai kepada setiap golongan sasaran.

Malah, katanya, langkah pemutihan yang sedang dijalankan membolehkan hanya mereka yang benar-benar layak menerima peruntukan itu.

“Sekiranya kerja pemutihan tidak dilaksanakan, ketirisan akan tetap berlaku,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, proses pemutihan itu dibuat antaranya terhadap golongan petani yang tidak lagi mengusahakan sawah selain tanah-tanah mereka dibangunkan sebagai projek perumahan.

Salahuddin turut menegaskan jumlah peruntukan kementerian itu sebelum ini berbeza setiap tahun dan tidak timbul persoalan bahawa kerajaan mengetepikan nasib golongan petani.

“Ada masa bajet itu tinggi, ada masa bajet itu direndahkan sebab faktor-faktor ekonomi…sebagai menteri pada hari ini saya akan pastikan subsidi itu dapat disampaikan,” katanya.

Sidang dewan bersambung pada Rabu ini.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Sistem saliran bendang Sabak Bernam perlu perhatian serius

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 5 NOV: Masalah sistem saliran bendang yang membelenggu pengusaha padi sejak sekian lama diharap mendapat perhatian serius agensi kerajaan dan pihak berwajib, di daerah itu.

Pegawai Daerahnya, Nasir Mamat berkata, usul itu antara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah supaya dapat memanjangkan masalah berkenaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya, sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap masalah yang timbul, khususnya kepada petani di kawasan terbabit.

“Sistem saliran air di terusan utama tidak dapat disalurkan ke seluruh kawasan bendang dan ia memberi kesan kepada sesetengah petani yang tidak dapat menanam padi seperti dijadualkan.

“Keadaan bertambah sukar apabila pengusaha padi terpaksa mengepam saliran air sendiri daripada parit lebih besar untuk disalurkan ke sawah mereka.

“Perkara itu turut membebankan mereka untuk menanggung kos pam yang begitu besar,” katanya kepada SelangorKini, baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, mekanisme baharu yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan segera oleh JPS termasuk agensi Integrated Agriculture Development Authority (IADA).

“Kemungkinan mereka masih menghadapi kekurangan daripada segi teknikal, perincian tanah, pam air dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kita berharap masalah ini akan dapat diselesaikan bersama JPS nanti,” katanya.

Katanya, isu lain yang juga perlu diberi perhatian khusus adalah kemudahan infrastruktur seperti masalah jalan raya yang berlubang sehingga menjejaskan keselamatan pengguna.

Categories
SELANGOR

Tingkat hasil pertanian guna teknologi moden

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JULAI: Sebanyak RM107,750 diperuntukkan melalui Program Penyampaian Insentif Penerima Sijil MyGap (Malaysia Goods Agricultural Practices) kepada petani sekitar Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, ia bagi menggalakkan petani menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan hasil pertanian.

“Diharap bantuan peralatan dan insentif yang diberikan ini dapat membantu meningkatkan pendapatan petani terbabit.

“Melalui insentif ini juga, ia menggalakkan amalan pertanian supaya persekitaran kita terpelihara dan hasil meningkat menggunakan teknologi moden,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Raya Jabatan Pertanian di Kompleks Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor dan penyerahan Program Penyampaian Insentif Penerima Sijil MyGap kepada 90 petani.

Juwairiya berkata, MyGap adalah penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM), Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM).

“MyGAP adalah skim pensijilan komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan.

“Persijilan itu penting supaya produk pertanian dihasilkan diiktiraf sebagai selamat untuk dimakan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Khabar gembira buat petani Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JAN: Kerajaan Selangor bakal memperkenalkan inisiatif berkebajikan baru kepada golongan petani, di seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bakal dilaksanakan menerusi sistem takaful sebagai inisiatif memastikan golongan petani negeri dibantu.

“Kerajaan Negeri akan melaksanakan skim pelindungan takaful kepada 10,000 pesawah untuk melindungi perjuangan hidup golongan ini yang membanting tulang menjamin bekalan hasil tani negeri terus mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran KISS, di Padang Awam Kampung Permatang, Kuala Selangor, semalam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM26 juta bagi tujuan pembiayaan industri pertanian negeri dengan RM12.94 juta diperuntukkan bagi tujuan peningkatan produk tani.

Ia termasuk penambahan pengeluaran tanaman padi, kelapa, buah-buahan, sayuran, herba, florikultur, akuakultur dan ternakan.

Jumlah berkenaan meliputi nilai perbelanjaan Belanjawan Negeri bagi tempoh 2018.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberdayaan nelayan, petani, penternak dan pesawah melalui program latihan dan bantuan peralatan dengan peruntukan RM 7.1 juta setahun.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2018: Skim khusus angkat martabat petani, pesawah

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Nasib pesawah dan petani di Selangor sentiasa mendapat perhatian Kerajaan Negeri apabila satu skim khusus bakal diumumkan bagi mengangkat martabat golongan itu dalam Belanjawan 2018 Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri juga akan memastikan keselesaan penduduk dengan memberi perhatian terhadap isu jalan raya walaupun sebahagiannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Pada tahun lepas mereka menghadapi masalah penyakit hawar daun bakteria (BLB), kita segera turun memberikan bantuan dan pada tahun ini pesawah menghadapi masalah penurunan hasil pendapatan kerana masalah yang sedang dihadapi mereka.

“Saya dimaklumkan jalan kampung, jalan PLB, jalan ladang masih memerlukan perhatian walaupun sebahagiannya dalam bidang kuasa Persekutuan tetapi saya akan bincang dengan Pegawai Daerah dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), bagaimana kita dapat salurkan peruntukan untuk memberikan keselesaan kepada penduduk kampung berkenaan,” katanya.

BANGUNAN SUKBeliau berkata demikian pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

Jelasnya, sebelum itu beliau ada menerima emel panjang daripada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Rozana Zainal Abidin yang memberitahu beberapa isu membabitkan pesawah dan petani dengan panjang lebar yang memerlukan pembelaan.

Katanya, selain skim khusus untuk golongan petani dan pesawah, Kerajaan Negeri juga akan mengumumkan bantuan kepada beberapa sekolah agama di negeri itu dalam belanjawan nanti.

=EZY=