Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

3,000 petugas barisan hadapan bakal terima baucar pelancongan RM200

SHAH ALAM, 17 DIS: Sebanyak 3,000 baucar pelancongan bernilai RM200 setiap satu bakal diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Selangor pada awal tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif berjumlah RM600,000 tersebut sebagai menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus bekerja bagi mengekang penularan Covid-19.

“Petugas barisan hadapan antaranya daripada Kementerian Kesihatan, polis serta tentera bekerja siang dan malam tanpa mengenal penat, jadi insiatif ini sedikit sebanyak menggembirakan mereka.

“Kita akan berhubung dengan ketua jabatan masing-masing untuk memilih siapa yang layak menikmati baucar ini,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Pelancongan Domestik ‘Pusing Selangor Dulu’ di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini.

Pada 13 Julai, Kerajaan Negeri mengumumkan subsidi baucar pelancongan bernilai RM2 juta yang boleh ditebus di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Baucar tersebut boleh ditebus menerusi platform e-dompet Touch ‘n Go dan Lazada.

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas barisan hadapan boleh usul lokasi sesuai taska tambahan

SHAH ALAM, 16 OKT: Petugas barisan hadapan boleh mengusul lokasi pusat jagaan sesuai bagi anak-anak mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia sebagai bantuan alternatif kepada golongan itu menguruskan anak masing-masing sehingga 27 Oktober ini.

“Kita mahu mudahkan urusan mereka. Jika ada lokasi sesuai boleh maklum kepada Kerajaan Selangor dan permohonan akan diuruskan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Program Pembekalan Kit Pembasmi Covid-19 dan Inisiatif Penjagaan Anak Frontliners (iPAF) hari ini.

Beliau berkata langkah mengaktifkan semula sembilan taska sementara bertujuan membantu dan meringankan beban petugas terbabit memandangkan ketika ini taska dan pusat asuhan ditutup.

“Taska dibuka dari jam 7 hingga 5.30 petang dan ada lokasi tertentu dibuka pada hujung minggu. Anak mereka akan dijaga sebaik mungkin oleh petugas berpengalaman,” katanya.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Kerajaan Negeri mengaktifkan semula sembilan taska tambahan sebagai tempat penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan sepanjang PKPB.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Jangan bebankan petugas barisan hadapan dengan sikap alpa

SHAH ALAM, 3 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak jangan bebankan petugas barisan depan yang bekerja keras untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan sikap alpa dan tidak bertanggungjawab.

Ketua pembangkang berkata setiap individu perlu mengekalkan disiplin serta patuh tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka, mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Saya amat mengalu-alukan kenyataan oleh Akademi Perubatan Malaysia (AMM) yang mengingatkan kita semua akan tanggungjawab bersama dalam memutus rantaian penyebaran wabak.

“Petugas barisan depan telah bekerja tanpa lelah sejak awal tahun ini dalam melindungi kita semua dan membendung penguncupan ekonomi,” kata Ahli Parlimen Port Dickson menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa pihak berwajib memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan ketat pematuhan SOP dilakukan tanpa pengecualian atau diskriminasi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham mohon rakyat doa keselamatan petugas kesihatan

SHAH ALAM, 6 SEPT: Rakyat diminta berdoa memohon keselamatan petugas barisan hadapan yang membuat saringan Covid-19 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata risiko kakitangan Pejabat Kesihatan KLIA dijangkiti virus itu amat tinggi kerana berurusan dengan individu yang pulang dari pelbagai negara.

“Petugas Kesihatan barisan hadapan dari Pejabat Kesihatan KLIA bekerja 24 jam sehari secara bergilir-gilir untuk saringan Covid- 19. Kes import dari luar negara semakin meningkat dan mereka berurusan dengan individu yang datang dari pelbagai negara.

“Risiko dijangkiti amat tinggi. Sama-sama kita berdoa agar semua petugas kesihatan kita terhindar dari jangkitan Covid-19,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Semalam Malaysia merekodkan empat kes import dari Pakistan, Angola, India dan Bangladesh, melibatkan dua rakyat tempatan dan dua rakyat asing.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Hayati intipati Rukun Negara, elak cetus keresahan

Enam puluh tiga tahun setelah kita merdeka, elok untuk kita mengimbau kembali kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berbunyi, ‘The last thing people in this country want to see is a Malaysia divided into political extremes, for a nation divided against itself can only invite trouble.’

Bapa Kemerdekaan juga menyeru, ‘Kita semua rakyat Malaysia. Ini adalah satu ikatan yang sentiasa menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah asas kekuatan kita sebagai rakyat dan sebagai satu negara.’

Pada ulang tahun ke-63 kemerdekaan Malaysia ini, kita tidak boleh melupakan bahawa negara ini dibina dengan usaha dan jerih perih leluhur kita yang menumpahkan darah dan air mata untuk melihat sebuah negara dan bangsa yang maju jaya, dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia.

Sedari awal lagi negara ini didirikan dengan nilai timbang rasa yang tinggi, saling hormat-menghormati dan ketinggian budi seperti mana yang hayati intipati Rukun Negara digariskan dengan jelas di dalam Rukun Negara.

Namun masih ada kelompok yang tidak mahu memahami nilai-nilai itu dan masih mengamalkan sikap yang boleh menimbulkan kemarahan dan keresahan yang tidak sepatutnya berlaku. Nilai dan ajaran Rukun Negara tidak hanya boleh dijadikan kata-kata tanpa dipraktikkan dan diperhalusi intipatinya.

Perjuangan masih panjang

Pada Bulan Kemerdekaan ini, kita masih lagi tidak merdeka daripada virus Covid-19. Perjuangan ini masih panjang dan ada norma baharu yang perlu kita patuhi untuk kesejahteraan semua pihak. Kita dapat lihat bagaimana sikap mementingkan diri dan degil akhirnya merugikan kita semua. Saya menyeru kepada seluruh rakyat negeri Selangor untuk terus mematuhi penjarakan fizikal dan juga sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam.

Pada kesempatan ini juga saya memberikan tabik hormat kepada setiap petugas barisan hadapan di Selangor dan seluruh negara yang berjuang dan berkhidmat tanpa henti untuk memelihara dan melindungi rakyat Malaysia daripada pandemik global ini. Perjuangan dan pengorbanan anda adalah lambang bakti setia kepada negara yang tercinta ini. Selamat Hari Kebangsaan kepada semua!

*Perutusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63

Categories
AGENDA NASIONAL

PM gesa rakyat anggap diri petugas barisan hadapan perangi Covid-19

MUAR, 8 OGOS: Masyarakat perlu menganggap diri sendiri sebagai “petugas barisan hadapan” dan terus mengamalkan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyeru masyarakat, Perdana Menteri berkata pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang sedia ada perlu diperluaskan lagi.

Katanya ini bagi mengelakkan daripada wujudnya kluster baharu yang menyebabkan peningkatan kes positif Covid-19 di negara kita.

“Justeru, kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah perlu ada dalam diri ahli masyarakat pada setiap masa,” kata ahli parlimen Pagoh itu.

“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian Covid-19, saya menyeru anda semua terus mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau pasti masyarakat tidak mahu kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya jika keadaan ini terjadi, sudah tentu banyak masalah lain timbul termasuklah mengganggu usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Tambahan pula, kerajaan telah memperuntukkan RM295 billion untuk memulihkan ekonomi selepas terkesan akibat Covid-19 dengan sebahagian daripada wang itu sudahpun diagihkan diberi kepada pihak-pihak yang memerlukan,” katanya.

“Kalau kita kembali semula dan terpaksa mengenakan PKP semula seperti asal maka ekonomi kita pastinya menghadapi kesan yang amat buruk dan kesannya itu akan dapat sama-sama dirasakan oleh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat tidak boleh alpa dan perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Bersempena pelancaran berkenaan, Muhyiddin turut memperkenalkan logo dan slogan kempen “Bersama Hentikan Wabak Covid-19” serta menyampaikan hadiah kepada pemenang iaitu Mohd Nor Fakihin Aqsa Mohd Nor Azam.

Mohd Nor Fakihin Aqsa memenangi Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline kempen itu yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bermula 1 hingga 10 Julai lepas.

Selain itu, Perdana Menteri turut melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang diterbitkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengandungi 26 muka surat.

Buku itu antara lain menekankan mengenai strategi kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), komuniti sebagai barisan hadapan, serta tindakan keluarga, institusi pendidikan, masjid dan lain-lain dalam bersama-sama mengekang penularan Covid-19.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Selangor sedia hantar rekod belanja, amal prinsip telus

SHAH ALAM, 15 JULAI: Atas prinsip telus, Kerajaan Selangor bersedia untuk menghantar rekod perbelanjaan hasil sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Perbendaharaan Malaysia, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini akan dibelanjakan secara berhemah.

“Ya, memang sebelum ini kerajaan setuju menyalurkan sebanyak RM130 juta bagi membantu kerajaan negeri menangani krisis wabak Covid-19, tetapi jumlah itu dibahagikan antara negeri, jadi setiap sebuah negeri dapat RM10 juta.

“Sebahagian besar peruntukan berkenaan digunakan untuk membantu petugas barisan hadapan,” katanya ketika sesi penggulungan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ketika Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Amirudin berkata Selangor komited membantu petugas barisan hadapan termasuk menyediakan kemudahan selesa.

“Malah ada kabin yang menempatkan polis dan tentera disediakan dengan penghawa dingin,” katanya.

Pada 23 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi membantu kerajaan negeri menangani krisis wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB, ADN Selangor berdiri hormat hargai petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 13 JULAI: Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan bertungkus-lumus memerangi Covid-19 menerima penghargaan Ahli Dewan Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini, mengetuai Ahli Dewan Negeri (ADN) berdiri memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan.

“Sekalung apresiasi dan tabik hormat saya mewakili seluruh rakyat Selangor untuk didedikasikan buat seluruh penjawat awam pentadbiran Kerajaan Negeri dalam memastikan agenda menggempur Covid-19 dapat direalisasikan ke tahap terbaik.

“Marilah sekalian ahli yang berhormat untuk kita sama-sama bangun berdiri menzahir tanda apresiasi kita kepada semua petugas baris hadapan dan penjawat awam Negeri Selangor,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Petugas hadapan Air Selangor disaring Covid-19, tingkat keselamatan

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Sebagai sebahagian usaha untuk mengekalkan keselamatan dan kesihatan kakitangan serta pelanggan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas petugas barisan hadapannya bermula semalam.

Kenyataan Air Selangor menyebut ujian itu, yang dijalankan dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dilaksanakan apabila perlu dan kira-kira 900 kakitangan dikenal pasti di seluruh Pejabat Serantaunya untuk saringan.

“Petugas barisan hadapan Air Selangor yang perlu menjalani ujian Covid-19 adalah termasuk mereka terlibat dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, membaca meter, keselamatan dan jawatan terpilih lain yang memerlukan mereka menjalankan tugasan berdekatan pelanggan serta orang awam.

“Inisiatif ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun oleh kerajaan yang mungkin meningkatkan penglibatan antara orang awam dengan pekerja Air Selangor,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor turut menubuhkan pasukan petugas khas di bawah Seksyen Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) pada 12 Mac bagi membantu kakitangannya menyediakan maklumat terkini, menjawab pertanyaan mengenai Covid-19 serta menjalankan prosedur nyah cemar di semua premisnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif berkaitan Covid-19 atau sebarang perkara berkaitan Air Selangor, sila hubungi 15300, WhatsApp ke 019-2800 919 or 019-2816 793, Media Sosial (Facebook, Twitter, and Instagram) dan e-mel Air Selangor ([email protected]).

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Suami isteri sibuk kekang Covid-19, dua bulan terpisah dengan anak

TEPAT jam 2 petang tanggal 6 Mei lalu, Nazirul Mubin Ramlan dan Nurhidayatussa’adah Adnan bergegas ke kereta mereka selepas menamatkan syif tugas menjaga pesakit Covid-19 di wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh.

Nazirul menghidupkan enjin lalu memulakan pemanduan. Perjalanan dirasakan cukup jauh walhal jarak sebenar cuma 15 kilometer. Raut wajah mereka tersimpan riak gelisah.

Sempat pasangan suami-isteri itu, kedua-duanya berusia 27 tahun, singgah ke kedai membeli kek dan alat permainan sebelum meneruskan perjalanan. Mereka tiba sebelum waktu berbuka puasa.

Sebaik membuka pintu rumah di Ara Damansara, mereka terus menerpa kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun lantas memeluknya. Erat. Begitu rindunya mereka akan Aleesya Safiyya, satu-satunya anak tunggal.

“Dua bulan tidak jumpa kerana terpaksa hantar ke rumah ibu kerana tiada siapa hendak menjaganya. Kami perlu keluar bertugas.

“Seronok dapat jumpa semula anak dan melepaskan kerinduan. Lihat dia senyum hilang segala penat lelah bertugas lawan Covid-19,” kata Nazirul kepada SelangorKini.

Khuatir jangkiti keluarga

Nazirul dan Nurhidayatussa’adah menyambut hari jadi
ketiga anak mereka, Aleesya pada 6 Mei lalu selepas hampir dua
bulan terpisah

Selepas berbuka puasa, mereka menyambut hari jadi Aleesya Safiyya yang kebetulan jatuh pada hari pertama mereka kembali disatukan itu. Hati mereka juga berbunga-bunga melihatkan Aleesya begitu
seronok dengan pemberian hadiah.

Begitulah pengorbanan Nazirul, penolong pegawai perubatan, dan isterinya, seorang jururawat. Dua bulan tidak bersua si comel kesayangan. Hanya paparan visual pada skrin telefon dan panggilan video buat melepas rindu.

Ketika meluangkan masa bersama di kuarters hospital, pasangan itu tidak penah berhenti meluahkan rasa rindu terhadap kesayangan mereka namun ada halangan walaupun jarak mereka tidak jauh. Bimbang wabak itu menular pula kepada orang lain.

“Bukan tidak boleh ke rumah ibu bapa saya untuk jenguk Aleesya tetapi bimbang berjangkit kepada keluarga kerana kami kontak rapat dengan pesakit,” kata Nazirul, berasal dari Klang.

Nazirul yang bertugas di Klinik Pakar Neurologi di Hospital Sungai Buloh dipinjamkan untuk membantu menangani kes Covid-19 pada sekitar penghujung Mac dengan berkhidmat di wad menempatkan pesakit gejala ringan di asrama Hospital Sungai Buloh.

Kurang 500 meter daripada situ adalah lokasi Nurhidayatussa’adah ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang turut dijadikan wad sedemikian dan mula bertugas di situ sejak awal Mac.

Kerenah warga asing

Sebagai barisan hadapan bagi memutuskan rantaian virus, Nazirul menghadapi banyak cabaran terutama ketika berdepan kerenah warga asing yang ada kalanya mencabar kesabaran mereka.

Suatu pagi, Nazirul dan empat rakan ditugaskan menjalankan ujian swab dan memeriksa pesakit. Mereka diingatkan untuk ke bilik ujian jam 8 pagi, sebaliknya ramai tidak nampak kelibat.

Setelah hampir sejam menunggu, mereka naik ke setiap bilik bagi melihat keadaan pesakit. Hati kecilnya geram melihat ada antara mereka masih berbaring di katil, seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Namun, rasa marah dipendam. Paling penting tugas dilaksanakan terlebih dahulu.

“Kerenah pesakit dalam kalangan kluster warga asing agak memeningkan, ada yang tidak faham arahan kerana masalah komunikasi,” katanya.

Keperluan memakai sut peralatan perlindungan peribadi (PPE) juga cabaran. Baju berlapis yang dipakai lencun menggambarkan bahang dan penatnya mereka terutama pada Ramadan.

Tersenyum puas

Istilah penat tidak asing bagi dirinya serta ahli sepasukan lantaran keperluan bekerja tanpa mengira waktu dan tempat. Tetapi melihat kepada segala pengorbanannya, dia boleh tersenyum puas. Rasa
berbaloi.

Nazirul kembali ke unit lamanya pada 14 Mei lalu manakala isterinya masih dikekalkan, tetapi pengalamannya sebagai barisan hadapan kekal menjadi memori untuk dikenang.

Beliau berasa puas kerana dapat berbakti kepada negara. Dapat menimba pengalaman tak ternilai harganya, bahkan meningkatkan kemahiran serta kecekapannya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KP Kesihatan hargai pengorbanan petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang telah bekerja tanpa henti sehingga Malaysia berjaya meratakan lengkungan Covid-19.

Beliau berkata walaupun Malaysia berjaya sehingga ke tahap ini bagi menghindari bencana nasional yang dilihat berlaku di banyak negara ketika ini, namun perang melawan Covid-19 belum berakhir kerana minggu depan akan menyaksikan negara bertempur di medan perang baharu dengan strategi baharu.

“Ucapan terima kasih saya kepada semua pihak terutamanya di Kementerian Kesihatan (KKM) yang bekerja sebagai satu pasukan ke arah tujuan bersama untuk mengawal penyebaran Covid-19 di negara kita yang tercinta,” kata Dr Noor Hisham dalam catatan Facebooknya.

Memandangkan Malaysia sedang dalam fasa untuk memulihkan ekonomi, Dr Noor Hisham menasihati semua pihak untuk merancang dan mengamalkan disiplin sosial serta kepatuhan sosial terhadap tatacara operasi piawai (SOP) 4 Mei ini serta mengambil semua langkah berjaga-jaga selain menjaga kebersihan diri.

“Ramai yang akan kembali bekerja pada 4 Mei. Minggu pertama harus digunakan untuk menyusun strategi, merancang dan melaksanakan perubahan baharu ini.

“Majikan mesti memastikan semua pekerja mematuhi jarak yang selamat, terutama di tempat yang tertutup. Anda mungkin perlu menyusun semula ruang pejabat agar lebih lapang dan selamat, mensanitasi kawasan yang selalu digunakan seperti bilik makanan atau ruang solat serta hanya membenarkan sebilangan orang berkumpul di satu ruang pada satu-satu masa untuk memastikan jarak sosial yang selamat, ” katanya.

Dr Noor Hisham juga menegaskan panduan Kementerian Kesihatan adalah jelas dan menjadi tanggungjawab majikan untuk melaksanakannya.

“Kita mesti menyesuaikan diri dengan norma baharu ini. Dunia tidak akan sama lagi. Kita semua mesti tahu bahawa setiap tindakan individu memberi kesan kepada bagaimana kita menguruskan Covid-19 dalam komuniti kita,” katanya.

Beliau mengingatkan semua rakyat Malaysia untuk saling membantu bagi memastikan insan yang disayangi terutamanya mereka yang vulnerabel selamat.

Terdahulu, ketika taklimat media mengenai Covid-19, beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan telah membantu meratakan lengkungan Covid-19 terutama setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di 11 lokasi berisiko tinggi.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Petugas hadapan MDHS dihargai, ADN agih ikan keli

SHAH ALAM, 24 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu menyumbang 400 kilogram ikan keli kepada petugas barisan hadapan di Hulu Selangor, sebagai tanda penghargaan kerana menjalankan tugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lee Kee Hiong berkata pihaknya mengagihkan barangan itu untuk kumpulan Bilik Gerakan Keselamatan Daerah dan Bilik Gerakan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang terlibat dengan tugasan tanpa henti sejak 18 Mac lalu bagi membasmi wabak Covid-19.

 

“Kita menghantar semua ikan keli itu kepada mereka menjelang Ramadan. Terima kasih atas khidmat bakti dicurahkan,” katanya menerusi Facebook semalam.

Kelmarin, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu juga berbesar hati menyumbangkan 730 kilogram belimbing kepada Orang Asli, MDHS, pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan sukarelawan di kawasan berkenaan.

Lee berkata pemberian tersebut sekali gus membantu pekebun di Ulu Yam yang kini berdepan masalah eksport ketika PKP.