Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun Teluk Datuk Bantu Mangsa Rumah Terbakar

Adun Teluk Datuk Bantu Mangsa Rumah Terbakar 01

TELUK DATUK 5 JAN : Tiga buah keluarga yang menjadi mangsa kejadian rumah terbakar di Kampung Sungai Cheeding di sini masing-masing menerima sumbangan kilat berjumlah RM1,000 setiap keluarga daripada Adun Teluk Datok, Philip Tan pagi semalam.

Kebakaran awal pagi semalam memusnahkan dua buah rumah sewa di Lot 6694 Jalan Enggang.

Sehubungan itu, Philip Tan yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian kira-kira 10 pagi semalam bertindak menyalurkan bantuan kewangan segera untuk setiap keluarga yang terlibat.

“Mereka bukan sahaja kehilangan harta benda, malah lebih malang ada antara mereka kehilangan punca rezeki kerana semua terbakar.

Adun Teluk Datuk Bantu Mangsa Rumah Terbakar 02“Sejam selepas lawatan, saya bawa mereka ke pejabat untuk mengambil sumbangan wang. Saya harap wang tersebut dapat sedikit sebanyak meringankan beban mangsa,” ujar Philip.

Mereka yang menerima sumbangan ialah Normahzurah Mohammad dan Tukmia Ahmad yang merupakan penyewa kedua-dua rumah tersebut.

Turut menerima sumbangan ialah tuan rumah tersebut iaitu Mohamad Hanif Samani.

“Beliau tidak mempunyai pendapatan lain selain rumah sewa tersebut, maka saya percaya beliau juga layak menerima bantuan kewangan,” jelas Philip.

Tambah beliau, kesemua mangsa kini menumpang buat sementara di rumah saudara mara.

Selain bantuan kewangan, Philip turut menyalurkan bantuan lain seperti selimut, bantal dan tikar.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Angkat Martabat Seni Budaya Bangsa

KUALA LANGAT 8 DIS : Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) sentiasa terus berusaha mengangkat kedudukan seni dan warisan budaya selain memperkasa ekonomi negeri.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata walaupun Selangor sebuah negeri yang maju dan terbaik di Malaysia tetapi Kerajaan Negeri tidak sesekali akan melupakan elemen kebudayaan.

Katanya, kebudayaan berperanan penting dalam proses pembangunan negara di mana keperibadian rakyat harus dipupuk ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik.

Sehubungan itu, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri itu, pelbagai program kebudayaan dirangka dan dijalankan di seluruh negeri itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena dengan penutupan Festival Jalanan Daerah Kuala Langat 2012 yang diadakan di Kanchong Darat, di sini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohd Azhar Mohamed Ali dan Adun Teluk Datok, Philip Tan.

“Kita tidak mahu budaya kita ‘dimuziumkan’, apa yang kita mahu ia ‘dihidupkan’ oleh masyarat setempat. Masyarakat seharusnya melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini tanpa mengira bangsa, kerana ia memperlihatkan identiti negara.

“Banyak program yang dijalankan sudah pasti ia perlu dilaksanakan berterusan bagi menimbulkan kesedaran memelihara seni dan budaya dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Rodziah menambah tiga elemen yang terdiri daripada agama, budaya dan teknologi perlu diterapkan kepada generasi muda masa kini.

“Ketiga-tiga elemen itu perlu diamik perhatian oleh anak muda sekiranya mahu memajukan sesuatu masyarakat. Walaubagaimana maju sekalipun, ketiga-tiga elemen itu perlu kita gabungkan.

“Saya percaya, Festival Jalanan yang kita anjurkan ini bukanlah semata-mata untuk mendapatkan nama daripada mana-mana pihak, tetapi adalah bertujuan untuk tatapan dan wadah kepada generasi akan datang mengenai peninggalan budaya dan warisan negara yang tidak ternilai,” katanya.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor dengan kerjasama MDKL itu mula diadakan pada pukul 8.30 pagi.

Pelbagai program yang disusun seperti Pameran Seni Budaya Selangor, Demonstrasi membuat gasing, Pertandingan Congkak, Galah Panjang, Batu Seremban, Dam Harimau, Baling Buah Kelapa, Sepak Raga Pelikat dan Gasing.

Program itu merupakan pusingan ketiga selepas Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

PBT Perlu Pantau Akaun Kutipan Tapak Pasar

PANDAN INDAH, 7 NOV : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor disaran membuat pemantauan secara berkala terhadap akaun kutipan tapak pasar pagi dan pasar malam di kawasan masing-masing bagi memastikan pengurusannya berjalan lancar.

Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai PBT (JPK-PBT), Haniza Talha semasa mengadakan pendengaran tertutup bersama Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) di Menara MPAJ, semalam.

Menurut Haniza, PBT bertanggungjawab memaklumkan kepada JPK-PBT berkaitan pengurusan kedua-dua pasar serta menerangkan bagaimana pengagihan kutipan bagi setiap tapak pasar dibelanjakan.

Seperti MPAJ, katanya, peniaga dikenakan bayaran RM4 untuk setiap petak di mana RM1 diberikan kepada Majlis manakala selebihnya kepada JKP untuk kerja-kerja pembersihan, keselamatan serta program kemasyarakatan.

“Tujuan kami membuat pendengaran tertutup ini adalah untuk memastikan sama ada pengambil alihan pengurusan pasar malam dan pasar pagi dijalankan atau tidak. Kedua untuk melihat bagaimana akaun kutipan itu dibuat.

“Berdasarkan laporan yang diterima, hanya sembilan daripada 18 JKP menghantar laporan akaun kepada pihak Majlis untuk disemak. Oleh itu, kita tegaskan dalam minggu ini mereka perlu serahkan kesemua laporan atau kebenaran menguruskan pasar akan ditarik semula,” katanya.

Hadir sama, Adun Teratai, Jenice Lee, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari dan Adun Teluk Datuk, Philip Tan.

Difahamkan, MPAJ di bawah pengurusan JKP mengendalikan 30 lokasi pasar malam di sekitar kawasan itu, manakala 10 petak pasar pagi diuruskan oleh persatuan peniaga.

Dalam sidang media sama, Haniza turut mengingatkan MPAJ supaya mengambil alih sepenuhnya pengurusan pasar pagi di kawasan itu selewat-lewatnya awal tahun depan.

Katanya, ia bagi memastikan supaya peniaga tidak dikenakan caj melampau ke atas sewaan petak.

“Tanggungjawab mengurus pasar pagi perlu diuruskan oleh PBT. Setakat ini, pihak persatuan agak keberatan untuk menyerahkannya semula kepada PBT kerana mereka menerima pendapatan lumayan.

“Persatuan tidak berhak untuk kutip sewa tapak. PBT perlu ambil alih semua tapak itu selewat-lewatnya tahun depan. Arahan ini dikeluarkan Exco dalam Mesyuarat Tertinggi Exco Selangor (MTES) pada Mei lalu,” katanya lagi.