Categories
SELANGOR

Zuraida kekal Parlimen Ampang untuk PAKATAN

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 10 MEI: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Ampang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila memperoleh 54,307 undi.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) itu mengatasi tiga lawannya dengan mendapat undi majoriti besar iaitu 41,956.

Ketiga-tiga mereka ialah Leong Kim Soon mewakili BN dengan 12,351 undi, Nurul Islam Mohamed Yusoff (PAS) (9598) dan Tan Hua Meng (PRM) (294).

Peratusan keluar mengundi direkodkan bagi Parlimen Ampang adalah sebanyak 84.5 peratus manakala undi rosak 608.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus, Abdul Hamid Hussein di Dewan Datuk Ahmad Razali di sini, malam tadi.

Categories
NASIONAL

Warkah Wan Azizah buat pengundi

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 8 MEI: Pengundi perlu membulatkan tekad dengan memangkah Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi membolehkan sebuah kerajaan yang adil dan benar memerintah negara.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin tsunami rakyat akan melanda negara dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), esok.

“Tepat jam 8 pagi esok, pusat-pusat pengundian akan dibuka di seluruh negara dan proses PRU14 akan dijalankan sehingga jam 5 petang, sesungguhnya pada waktu itu kita berada di persimpangan masa depan negara yang tercinta.

“Tiada siapa dapat menafikan lima tahun kebelakangan ini amat memeritkan sekali. Walaupun kita didendangkan bahawa ekonomi negara berkembang dengan pesat, namun rakyat menderita memikul bebanan kenaikan kos sara hidup dan pelbagai cukai,” katanya.

Tegas Calon P100 Pandan itu, rakyat sudah muak dengan pelbagai skandal yang wujud dari sikap tidak telus pemimpin negara.

Katanya, negara jiran pula telah menggelar Malaysia sebagai ‘Negara Kleptokrat’ yang jelas telah memalukan negara.

“Saya merayu supaya saudara dan saudari menggunakan peluang ini untuk memastikan segala harapan kita menjadi kenyataan.

“Gunakanlah peluang yang diberikan supaya 9 Mei ini terpahat di dalam sejarah sebagai Hari Kemenangan Rakyat,” katanya.

Categories
SELANGOR

‘Bunyi hon kereta’, Amirudin raih sokongan masyarakat Sungai Tua

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 8 MEI: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengadakan Flashmob jalanan menyeru pengundi N16 Sungai Tua kekal memilih calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Amirudin Shari sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Flashmob berkenaan menyaksikan pelbagai sepanduk dan plakad ditunjukkan kepada umum dengan siri kempen berkenaan disertai anggota dan sukarelawan parti.

Ia diadakan di Jalan Pekan Lama Batu Caves Sungai Tua sebagai inisiatif berterusan memastikan sokongan pengundi kekal kepada calon PAKATAN.

Dalam pada itu, pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan turut membunyikan hon, sebagai tanda sokongan terhadap Amirudin, yang juga Exco Kerajaan Negeri.

Amirudin diletakkan sebagai calon PAKATAN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang berpotensi menang mengekalkan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.

DUN Sungai Tua merupakan kerusi baru yang diperkenalkan di bawah penstrukturan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), baru-baru ini.

Nama lama bagi kerusi berkenaan adalah, DUN Batu Caves yang menyaksikan populasi pecahan kaum terbesar di kawasan itu.

Bagi persaingan PRU14 ini, Amirudin berdepan saingan Datuk N Rawisandran (BN), Mohammad Ibrahim (PAS) dan Badrul Hisam (Bebas) yang melengkapkan saingan empat penjuru di DUN berkenaan.

Categories
NASIONAL

Mengundi, anda dapat ganjaran!

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 MEI: Hanya tinggal satu hari saja lagi rakyat negara ini akan turun mengundi.

Menariknya, menjelang 9 Mei itu, pelbagai syarikat mengambil kesempatan mempromosikan produk mereka dengan cara yang unik.

Melalui laman web ‘Contest and Events Malaysia’ memberitahu, mana-mana pengundi yang sudah selesai membuang undi layak menebus pelbagai ganjaran disediakan syarikat terlibat.

“Tunjuk sahaja jari anda yang sudah mempunyai dakwat, anda boleh menebus pelbagai ganjaran menarik,” demikian menurut kenyataan laman web berkenaan.

Antara ganjaran disediakan termasuk teh tarik dan nasi lemak percuma oleh Restoran terkemuka, Plan B.

Pengundi boleh menebus kedua-dua menu berkenaan di Plan B Publika, Mid Valley dan Ipoh, turut tidak ketinggalan, Bens Pavilion, KLCC, Gardens dan Bens Publika.

Sementara itu Restoran Dave Deli’s pula menyediakan 100 kek brownies percuma kepada pengundi di semua cawangannya di seluruh Malaysia.

Lebih menarik, ada juga syarikat membaiki kenderaan menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kereta secara percuma bagi membolehkan pengundi pulang dengan selamat.

Kedai yang dinamakan Lim Tayar itu menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bermula semalam sehingga harini ini.

Melalui kenyataan di facebook, bengkel tersebut menawarkan pemeriksaan tayar, minyak hitam dan brek.

Untuk maklumat lanjut, pengundi boleh melayari laman web http://bit.ly/GE14FreeChecks.

Sementara itu syarikat kecantikan, POSH Nail Spa pula menawarkan perkhidmatan membersihkan kuku secara percuma kepada semua pengundi.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan sukar sekiranya jari anda tidak bersih, jadi kami menawarkan khidmat membersihkan kuku secara percuma, anda hanya perlu hubungi POSH Nail Spa di talian 03 77241890 atau 0378770815,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Menurut statistik SPR, daftar pemilih suku keempat tahun 2017, menyenaraikan 14,940,624 pengundi melibatkan 7,557,187 pengundi wanita (50.58%) dan 7,383,437 pengundi lelaki (49.42%).

Sementara itu Selangor merekodkan jumlah pemilih berdaftar paling tinggi iaitu 2,415,074 orang yang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-14.

Categories
NASIONAL

Saksikan pesanan Tun M sebelum menjelang PRU14

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI : Pesanan Perdana oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan secara langsung pada jam 10 malam ini.

Ia diadakan istimewa menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), esok.

Siaran langsung itu akan disiarkan menerusi layar putih di 222 Parlimen, Facebook Dr Mahathir Mohamad dan Ubah.tv.

Jangan lupa saksikan amanat berkenaan sebelum menjelang tsunami PRU14.

Categories
SELANGOR

Daroyah tambat hati penduduk Bukit Kapar

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 8 MEI: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Sementa, Dr Daroyah Alwi menerima sokongan kuat penduduk Bukit Kapar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Daroyah berkata, ia berdasarkan reaksi amat baik penduduk kawasan itu sepanjang tempoh beliau berkempen di sana.

“Sepanjang tempoh berkempen saya dan jentera kempen mempergiatkan usaha mengadakan pelbagai aktiviti demi menyantuni masyarakat di sini.

“Malah, saya amat bangga apabila ada beberapa masyarakat di sini mengenali ibu bapa saya memandangkan Bukit Kapar merupakan tempat kelahiran saya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika sesi program Sembang Santai dan Santuni Mangsa Banjir di Bilik Gerakan, Jalan Iskandar, semalam.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga itu berkata, beliau dan jentera kempennya berusaha keras bagi memastikan kubu kuat PAS yang sebelum ini di bawah DUN Meru ditadbir oleh Dr Abdul Rani Osman itu akan dimenanginya.

Terdahulu, Daroyah menghulurkan sumbang Kerajaan Negeri kepada 110 mangsa banjir di Bukit Kapar.

Categories
NASIONAL

KEADILAN tembusi kubu kuat lawan, tanda peralihan kuasa

OLEH HAFIZAN TAIB

SEREMBAN, 8 MEI: Kemasukan sekumpulan ahli Umno dan PAS ke dalam KEADILAN di Taman Paroi Jaya, memberi isyarat terhadap peralihan kuasa di negeri itu kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Pengerusi KEADILAN Negeri, Aminuddin Harun berkata, sokongan dinyatakan membuktikan gelombang perubahan rakyat kawasan berkenaan yang sebelumnya dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Sokongan dengan kemasukan ahli baharu ini menunjukkan kita mampu bertapak di sini yang mana sebelumnya ia tidak berlaku.

“Ia perubahan baik dan permulaan untuk kita mengambilalih Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum (PRU) ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas program Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di sini, malam tadi.

Dalam program itu, seorang penduduk mewakili 256 ahli baharu lain menyerahkan borang keahlian KEADILAN kepada Timbalan Presiden parti, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, katanya, kehadiran ramai pada majlis itu juga di luar jangkaan kerana beberapa program diadakan sebelumnya kurang mendapat sambutan.

“Perubahan pengundi dapat dirasai dengan kehadiran bertambah ramai dalam program dijalankan dengan malam ini (tadi) adalah yang teramai dan ia petanda jelas ditunjukkan rakyat,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, Aminuddin turut optimis mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dalam PRU14.

“Dengan pihak lawan sendiri dikatakan goyah maka kita yakin untuk mempertahankannya buat kali ketiga,” katanya mendakwa jentera BN kurang yakin memenangi DUN berkenaan.

Aminuddin akan ditentang personaliti keagamaan, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat (BN) dan Rahim Yusof (PAS) pada PRU kali ini.

Categories
SELANGOR

Najwan mahu tingkat taraf hidup golongan belia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SAHAH ALAM, 8 MEI: Calon Kota Anggerik, Najwan Halimi bersedia membawa suara anak muda ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya menang kawasan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Najwan berkata, suara anak muda penting untuk didengar kerana mereka adalah pemangkin yang akan membangunkan masa depan negara.

“Ini adalah hasrat saya untuk Kerajaan Negeri dengar aspirasi anak muda antaranya melibatkan bidang pendidikan kerana masih ramai anak muda di Kota Anggerik yang masih tercicir dari sudut akademik dan kerjaya.

“Peluang pekerjaan terhad juga antara faktor ramai masih mengangur, sebab itu perlu ada inisiatif atau dasar baru untuk kita bantu memberdayakan ekonomi.

“Kita akan rangka pelbagai inisiatif sebagai dorongan membantu anak muda mengembangkan kreativiti mereka di negeri ini agar dapat meningkatkan taraf hidup yang sering dibelenggu akibat kos yang semakin meningkat namun pendapatan yang kecil,” katanya kepada Selangor kini.

Dalam pada itu, Najwan berkata, hasratnya tidak terhenti disitu, beliau juga akan memfokuskan isu-isu pembangunan wanita dan kemasyarakatan.

“Saya akan meneruskan legasi penyandang di sini iaitu Yaakob Sapari yang cemerlang. Beliau banyak membantu saya untuk lebih mengenali masyarakat di Kota Anggerik dan berkongsi ilmu pembangunan serta program yang perlu di pandang serius,” katanya.

Categories
NASIONAL

PAKATAN ikrar bela nasib semua kaum & agama

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 6 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) berikrar akan membela nasib semua kaum dan agama di seluruh negara sekiranya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masyarakat tidak perlu gusar memilih gabungan itu walaupun ditekan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mahu rakyat melihat contoh negeri ditadbir PAKATAN, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

“Bagi pihak PAKATAN, saya ingin menyatakan bahawa PAKATAN akan membela nasib semua kaum dan agama di seluruh negara.

“Lihat contoh apabila PAKATAN mentadbir Selangor, jadi insyaallah di Putrajaya juga kita akan lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Pada masa sama, Timbalan Presiden KEADILAN itu juga memberi jaminan hak kepentingan Melayu tidak akan tegugat.

“Kita faham sebelah sana sentiasa mainkan isu perkauman, namun saya memberi jaminan kaum Melayu jangan takut, kita akan jaga semua kaum dan agama,” katanya.

Himpunan malam itu juga turut dihadiri Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir.

 

Categories
NASIONAL

Corat-coret PRU-14

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOMENTAR: Pejam celik sudah pun masuk hari kelapan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berlangsung.

Ini juga bermakna hanya tinggal tiga hari sahaja lagi tempoh untuk calon meneruskan kempen masing-masing sebelum menjelangnya hari pengundian, pada 9 Mei nanti.

Dalam tempoh lapan hari ini, kita dapat saksikan pelbagai perkembangan menarik dan tidak kurang juga adegan yang tak berapa ingin dilihat.

SelangorKini senaraikan 10 perkara paling menarik perhatian umum sebaik sahaja gelanggang PRU14 dibuka, pada 28 April lalu.

1. Statistik PRU-14

  •  Pada PRU kali ini seramai 14,940,624 pengundi layak mengundi.
  •  PRU14 kali ini juga menyaksikan seramai 2,333 calon kesemuanya bagi merebut 727 kerusi yang dipertandingkan.
  • Daripada jumlah itu, seramai 687 calon bertanding merebut 222 kerusi Parlimen dan 1,646 calon lagi bertanding di 505 kerusi peringkat DUN.
  • Sebanyak 23 buah parti bertanding peringkat Parlimen dan 22 parti bertanding di peringkat DUN.
  • PRU kali ini menyaksikan seramai 78 calon bebas bertanding dengan 24 calon di peringkat Parlimen dan 54 lagi peringkat DUN.

2. Beberapa pencalonan Pakatan Harapan (PAKATAN) dibatalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di hari penamaan calon.

Antaranya melibatkan penyandang kerusi Parlimen Batu, Tian Chua ekoran sabitan satu kes di mahkamah pada 2013 dan G Sivamalar kerana kegagalan mematuhi peraturan alamat tempat tinggal.

Bagaimanapun ‘baton’ perjuangan PAKATAN di kedua-dua kerusi ini diserahkan kepada calon Bebas di Parlimen Batu, P Prabakaran dan calon ‘bidadari terjun’ yang juga daripada KEADILAN, Juwairiya Zulkifli di DUN Bukit Melawati.

3. Antara perkara paling diperkatakan nitizen di media sosial dan sembang-sembang politik di warung kopi adalah penerimaan masyarakat Melayu terhadap calon dan ceramah PAKATAN yang jauh lebih baik berbanding PRU13 lalu.

Sambutan yang diberikan ini dianggap sebagai petanda tercetusnya tsunami rakyat apabila gelombang baru ini bergabung dengan tsunami Cina dan tsunami India sekali gus meleburkan kelebihan Barisan Nasional (BN) gara-gara persempadanan baru SPR pada PRU-14 nanti.

4. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan sahaja memeningkan rakyat, malah turut menyekat perkembangan demokrasi negara.

Perkara ini dapat dilihat apabila pemasangan bendera dan pemidang PRU kali ini kurang berbanding PRU-13 lalu.

SelangorKini difahamkan hal ini berikutan meningkatnya kos membuat bendera-bendera akibat kesan GST.

5. Bagi petugas media khususnya wartawan politik, tempoh 11 hari berkempen merupakan tempoh paling sibuk dan memenatkan dalam jangka masa lima tahun kebelakangan ini.

Selain itu, dalam tempoh 11 hari ini juga keahlian mereka dalam grup-grup whatsapp meningkat dengan mendadak apabila nombor telefon mereka dimasukkan oleh agen calon bertanding atau parti-parti politik pelbagai peringkat.

6. Selepas lapan hari berkempen didapati masih terdapat sesetengah jentera parti berfikiran kebelakang apabila gagal berkempen secara matang dan tidak mempraktikkan politik idea sebagai senjata tetapi sebaliknya melancarkan serangan peribadi yang terdapat unsur fitnah sekali gus tidak membantu pengundi untuk membuat pilihan.

7. Nitizen menganggap tindakan SPR melarang penggunaan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad pada poster kempen PAKATAN sebagai satu lawak pilihan raya.

Mereka juga melihat tindakan itu sebagai tindakan terdesak untuk mempertahankan BN pada PRU kali ini.

8. Perkembangan terkini, tiga lagi tokoh vateran Umno di pecat ekoran memberikan sokongan terbuka kepada PAKATAN. Mereka adalah Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz.

9. Pada saat ini, tersebar di grup whatsapp – Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan supaya semua parlimen di seluruh negara mengadakan lintas langsung Amanat Khas Bakal Perdana Menteri Ke-7 di Langkawi.

“Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi PAKATAN Pusat telah mengarahkan semua Parlimen untuk menganjurkan ceramah besar-besaran pada malam 8 Mei 2018 di parlimen masing-masing.

“Tepat jam 10.00 malam semua ceramah perlu dihentikan serta merta untuk memberi laluan kepada siaran langsung AMANAT KHAS BAKAL PM KE 7 dari Langkawi,” menurut pesanan itu.

10. Kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati PAKATAN mampu menang besar di Selangor apabila memperolehi peningkatan sokongan 7 peratus daripada 49 peratus pada survei Januari 2018 kepada 56 peratus pada survei hujung April 2018 selepas penamaan calon.

Berdasarkan survei IDE mendapati, sokongan BN merosot 4 peratus iaitu daripada 34 peratus kepada 30 peratus dan manakala PAS pula didapati kekal 12 peratus sokongan sejak Januari 2018.

Kajian ini melibatkan seramai 52 orang enumerator terlatih secara bersemuka dengan lebih 6,800 responden di 56 DUN Selangor.

Categories
NASIONAL

Zuraida ‘gergasi’ Ampang yang sukar dikalahkan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 MEI: Hampir 10 tahun bersama penduduk Ampang, calon P99, Zuraida Kamaruddin pastinya sukar dikalahkan Barisan Nasional (BN) mahupun PAS.

Setiap kali turun padang terutama ketika ceramah umumnya, penduduk akan bersorak memanggil nama Zuraida dengan penuh semangat.

Berbeza dengan calon lain, Zuraida lebih senang bersalaman dengan semua hadirin sebelum naik ke pentas menyampaikan ceramahnya dengan penuh semangat.

Ketika menghadiri Ceramah Umum Pakatan Harapan (PAKATAN) di Bukit Antarabangsa, beberapa warga emas kaum Cina bertepuk tangan apabila melihat kelibat Zuraida.

Zuraida mengakui pada 2008 sewaktu kali pertama bertanding di Ampang, beliau berkempen di Bukit Antarabangsa.

Katanya, di situ adalah kubu kuat UMNO pada waktu itu.

“Pernah dikatakan, siapa mahu menjadi menteri, bertanding di Ampang, memang akan jadi menteri, tetapi itu dulu, sekarang orang UMNO di Ampang pun sudah undi PAKATAN.

“Akibat ada yang takut melihat kekuatan di Ampang, persempadanan semula dilakukan, ramai pengundi Melayu ‘dipindahkan’ ke Gombak selepas proses itu, majoriti di sini pengundi Cina dan India, BN ingat saya takut?, mereka hantar pula MCA ke sini, saya tidak takut.

“Saya tahu masyarakat Ampang berpuas hati dengan kerja saya di sini, 9 Mei akan menyaksikan Ampang sekali lagi milik PAKATAN,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Zuraida menang dengan majoriti 3,676 sekaligus mengalahkan BN pada waktu itu.

Kemudiannya, pada PRU13, Zuraida sekali lagi mengalahkan BN dengan majoriti besar iaitu 13,278 undi.

Zuraida berkata, 2018 menyaksikannya sekali lagi bertanding bagi PRU14.

“Namun penduduk di Ampang perlu tahu, saya bertanding kerana ingin berkhidmat untuk anda, bukannya untuk menang semata-mata,” katanya.

Categories
SELANGOR

Azmin yakin Hulu Kelang milik PAKATAN

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU KELANG, 5 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yakin bahawa PAS gagal dalam meyakinkan rakyat yang mereka benar-benar serius mahu memberi keadilan kepada rakyat.

Mohamed Azmin berkata, perwatakan dan cara calon atau ahli PAS seolah-olah mereka ingin bersama dengan Barisan Nasional (BN) sekali gus kepercayaan rakyat terhadap mereka akan hilang.

“Rakyat bijak memilih, biarkan rakyat membuat keputusan demi masa depan yang cemerlang.

“Rakyat adalah raja, rakyat ada hak memilih siapa yang mereka mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Menyantuni Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, AU4, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah calon N.18 Hulu Kelang, Saari Sungib.

Pada masa sama, Mohamed Azmin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh penduduk AU4 Hulu Kelang kerana hadir dan memberi sokongan tidak terhingga kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Saya harap penduduk di sini pangkah PAKATAN pada 9 Mei nanti, jangan biarkan Barisan Nasional (BN) mahu pun PAS merampas Hulu Kelang,” katanya.