Categories
SELANGOR

Pengalaman 10 tahun mematangkan Juwairiya dalam politik

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Strategi Pakatan Harapan (PAKATAN) meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jelas menunjukkan parti itu menghargai kewibawaan calon muda sebagai pelapis kepimpinan negara.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pemilihan dirinya sebagai calon adalah satu penghargaan daripada parti setelah hampir 10 tahun beliau membabitkan diri dalam politik.

“Walaupun dicalonkan pada saat akhir, ia bukan halangan untuk mendekati pengundi kerana saya sudah mula turun padang sejak dua tahun lalu.

“Malahan saya diamanahkan Presiden KEADILAN untuk bertanding dan memikul tanggungjawab memenangi kerusi N.10,” katanya kepada Selangor Kini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sistem UKM itu yakin dengan pengalamanya selama 10 tahun berkhidmat dengan pemimpin-pemimpin besar dalam PAKATAN mematangkan dirinya.

Katanya lagi, meletakkan calon muda juga mampu memberikan impak positif terhadap transformasi politik negara.

“Pada 2008, saya adalah pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Kuantan iaitu Fuziah Salleh dan selepas itu saya juga pernah berkhidmat sebagai pembantu dan penyelidik kepada Dato’ Seri Mohammad Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

“Proses selama 10 tahun itu juga mematangkan saya walau kini baru berumur 33 tahun, namun PAKATAN telah memberi peluang kepada ahli politik muda untuk meneruskan perjuangan mereka,” katanya.

Selain Juwairiya, calon muda yang turut bertanding adalah di Najwan Halimi (Kota Anggerik), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Hilman Idham (Gombak Setia), Michelle Eng (Subang Jaya) dan ramai lagi.

Categories
NASIONAL

Zuraida: Lawan sukar gugat PAKATAN di Ampang

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 3 MEI: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, optimis dengan sokongan rakyat di Parlimen Ampang yang akan memihak kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu, pelbagai masalah setempat berjaya diatasi dan masyarakat setempat berpuas hati kerana ia dilakukan dari semasa ke semasa.

“Saya amat yakin dengan peluang mengekalkan Parlimen Ampang terutamanya sokongan rakyat di DUN Bukit Antarabangsa kerana tiada isu besar berlaku di sini.

“Untuk PRU kali ini , saya memberi tumpuan kepada isu nasional antaranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kos sara hidup dan pendidikan,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sememangnya isu dinyatakan itu mendatangkan beban kepada majoriti rakyat dan sokongan perlu diberikan kepada PAKATAN bagi mengantikan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan.

“Kita ingin melaksanakan perubahan dan apa dijanjikan akan ditunaikan sekiranya rakyat memberi mandat bagi mengambialih Putrajaya,” katanya.

Pada PRU kali ini, Zuraida akan berdepan cabaran tiga calon iaitu, Leong Kim Soon (BN), Nurul Islam Mohamed Yusoff (PAS) dan Tan Hua Meng (PRM).

Beliau mula memenangi Parlimen Ampang pada 2008 mengalahkan Azman Wahid (BN) dengan majoriti 3,676 undi apabila mendapat 26,995 undi berbanding lawannya (23,319).

Pada PRU13, majoriti lebih besar diperolehnya (13,278) apabila mendapat 41,969 undi berbanding Dr Rozaidah Talib (BN) (28,691).

Categories
SELANGOR

Azmin yakin pertahan Bukit Antarabangsa dengan majoriti besar

 

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 3 MEI: Komuniti di kawasan baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa memberikan reaksi positif dan menyambut baik kehadiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Calon PAKATAN bagi DUN itu yakin Pakatan Harapan (PAKATAN) terus menjadi pilihan komuniti disitu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Saya yakin mampu mempertahankan Bukit Antarabangsa dengan majoriti besar setelah melihat mood pengundi yang amat baik hari ini.

“Saya tidak bimbang dengan saingan daripada calon lain kerana kebiasaannya masyarakat di sini sebagai pengundi mereka tahu menilai dan membuat keputusan dalam PRU berpandukan rekod Kerajaan Negeri yang cemerlang,” katanya semasa berkunjung kawasan sekitar Ampang dan kawasan baharu, Taman Dagang, di sini.

Dalam program itu, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar itu turut menyantuni masyarakat dalam program ‘walkabout’ di Ampang dan sarapan pagi di Flat Taman Dagang dalam DUN Bukit Antarabangsa, hari ini.

Beliau berkata, hasil persempadanan semula kawasan PRU menyaksikan Taman Dagang dan Taman Cahaya berpindah masuk ke DUN itu daripada Chempaka (kini Pandan Indah).

Katanya, Taman Dagang adalah kawasan campuran dengan kira-kira 50 peratus Melayu dan bukan Melayu dengan majoriti pengundi adalah penghuni rumah kos sederhana dan rendah.

“Terdapat beberapa isu perlu diselesaikan dan saya mengambil maklum daripada wakil penduduk berkaitan isu pemilikan atau Memorandum of Transfer (MOT) kerana pemaju sudah tiada atau ‘gulung tikar’.

“Kita akan menumpukan perkara ini selepas PRU dan ia bukan tidak boleh diselesaikan kerana saya telah buktikan di AU1, Hulu Klang dan pinggiran Batu Caves yang dapat diatasi,” katanya.

Categories
NASIONAL

Azmin: Siasat Tun M, BN terdesak

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 3 MEI: Tindakan polis menjalankan siasatan ke atas Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad, dianggap usaha terdesak Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia jelas satu bentuk gangguan dan intimidasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN terhadap Dr Mahathir juga PAKATAN.

“Sebenarnya mereka dalam keadaan terdesak dan tindakan ini akan memperkukuhkan lagi sokongan rakyat terhadap pembangkang.

“Ia akan lebih menguatkan azam kita untuk menentang BN dalam PRU ini,” katanya kepada media selepas program sarapan pagi bersama rakyat di Flat Taman Dagang, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, tindakan terdesak itu juga terlihat apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memotong dan membuang gambar Dr Mahathir dan Ketua Umum PAKATAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada poster kempen PRU PAKATAN.

Katanya, perkara seperti itu tidak pernah berlaku dalam PRU lalu sejak zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri hingga ke zaman Najib dengan banyak gambar beliau terpapar.

“Ia berlaku sekarang dan apa yang Najib nak takutkan?

“Namun biarkan mereka (BN) lakukan (perkara berkaitan) tetapi saya yakin rakyat bertambah marah kepada BN dan ia akan membantu kita dalam PRU nanti,” katanya.

Menurut laporan media, Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 ekoran dakwaan dibuatnya mengenai pesawat dijadual membawa beliau ke Langkawi disabotaj pihak tertentu.

Categories
SELANGOR

Lagi kubu Umno ditembusi, kali ini Sungai Pelong

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 2 MEI: Satu lagi kawasan yang disifatkan sebagai kubu kuat Umno berikutan kemenangan besar parti teras Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu berjaya ditembusi.

Calon kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, hal ini berikutan sambutan baik diterimanya ketika menyantuni golongan ibu bapa di luar Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong, hari ini.

“Semasa saya edarkan risalah tadi, sambutan yang diberikan jauh berbeza di mana ini menunjukkan mood pengundi khususnya pengundi Melayu ketika ini yang semakin menerima kita.

“Saya yakin kali ini kita boleh menang di kawasan dikuasai Melayu seperti Sungai Pelong yang dahulunya kita kalah,” katanya selepas menghadiri program mengedar risalah kepada para ibu bapa yang mengambil anak masing-masing di Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong di sini, hari ini.

Jelasnya, pengundi Melayu menguasai kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan pengundi di Sungai Pelong.

Katanya, pada PRU12 dan PRU13 KEADILAN tewas di kesemua saluran mengundi di Sungai Pelong dengan memperolehi antara 40 hingga 45 peratus undi di kawasan itu berbanding Barisan Nasional (BN) kira-kira 55 hingga 60 peratus undi.

“Pagi tadi juga, saya mengadakan ‘walkabout’ di Bandar Baru Sungai Buloh. Kebanyakkannya penduduk ditemui adalah Melayu di mana sambutan mereka sangat baik dan saya sempat bercakap dan bersalaman dengan mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman turut diberikan sambutan hangat masyarakat Kampung Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Hulu dan Taman Saujana Utama di mana sebelum ini dikuasai Umno.

Categories
NASIONAL

Cukuplah BN, kamu akan direhatkan – Azmin

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru rakyat memilih parti yang mempunyai potensi membentuk kerajaan baru yang boleh memenuhi aspirasi rakyat.

Mohamed Azmin berkata, menjadi satu kerugian besar jika rakyat terus menyokong Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan pelbagai masalah kepimpinan.

“Saya nak bagi tahu Najib dan calon-calon Barisan Nasional (BN) termasuk parti bersengkokol dengannya ‘enough is enough’, cukuplah zaman kamu akan direhatkan, pada 10 Mei ini.

“Sebab kita akan membentuk sebuah kerajaan baru yang berkebajikan dan boleh memenuhi aspirasi rakyat.

“Saya tidak ada dendam kesumat dengna ahli umno, saya juga tidak bermusuh dengan PAS tetapi saya berdiri di sini untuk memilih kerajaan bukan memilih penceramah atau pun kawan,” katanya ketika Ceramah Mega Pakatan Harapan di Seksyen 23, malam tadi.

Difahamkan itu adalah ceramah kesembilan beliau selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 28 April lalu.

“Saya bersedia untuk tinggalkan sekejap Gombak dan Bukit Antarabangsa kerana ingin bersama pimpinan tertinggi PAKATAN di kawasan lain untuk memberikan sokongan padu kepada calon kita di Parlimen Shah Alam, khalid Samad, Batu Tiga, Rodziah Ismail dan Kota Anggerik, Najwan Halimi.

“Waktu ini adalah untuk kita membuat keputusan tepat. 9 Mei ini bukan sahaja kita nak kekalkan Selangor tetapi kita nak maju sampai Putrajaya bagi selamatkan negara dan ekonomi Malaysia,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pangkah logo Mata, lawan kleptokrat

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengajak rakyat memangkah logo mata (KEADILAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

Katanya, hal itu bagi menguburkan Barisan Nasional (BN) selama-lamanya selepas 60 tahun menakluk pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Ada dua sahaja parti serius. Satu, gambar dacing yang kini sudah jadi dacing senget. Kedua, gambar mata, ini Pakatan Harapan (PAKATAN), jadi pangkah.

“Yang lain-lain itu, tak payah menyibuklah. Jangan kira, itu kacau saja. Ingat masuk sorang-sorang boleh menang ke? Sokong PAKATAN, kerana kita mahu lawan kleptokrat.

“Masuk sorang-sorang tidak boleh bentuk kerajaan. Jadi buat apa rakyat nak pilih parti ini. Jangan bagi undi pada parti yang mahu merosakkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, di sini.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Mohamed Azmin berkata, tindakan rakyat memangkah parti yang tepat adalah bagi menyelamatkan diri sendiri dan generasi akan datang supaya lebih terbela.

Categories
NASIONAL

Keberanian PAKATAN angkat calon Mahasiswa dipuji

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 30 APR: Pencalonan Mahasiswa dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) oleh Pakatan Harapan (PAKATAN) membuktikan gagasan itu menghargai dan mempercayai peranan Mahasiswa sebagai salah satu ejen perubahan.

Mahasiswa PAKATAN dalam kenyataanya berkata, Exco Mahasiswa Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Abdul Hannan Khairy yang diketengahkan sebagai calon PAKATAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayangan (N10), Perlis itu menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa di negara ini.

“Pencalonan itu boleh dijadikan sumber inspirasi kepada mahasiswa yang mempunyai keinginan bertempur di medan politik negara secara serius pada PRU akan datang.

“Pencalonan ini juga menunjukkan komitmen tinggi PAKATAN dalam usaha mereka membentuk keupayaan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa,” kata gerakan mahasiswa itu dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Na’im Brundage; Mahasiswa Amanah Nasional, Khuzairi Mazlan; Exco Mahasiswa Pemuda Bersatu, Abdul Hannaan Khairy dan DAPSY Biro Hal Ehwal Varsiti, Leong Yu Sheng.

“Mahasiswa PAKATAN juga mengucapkan tahniah kepada pemimpin-pemimpin PAKATAN yang telah diberikan tanggungjawab sebagai calon untuk PRU14 ini,” katanya.

Abdul Hannan, 24 adalah anak jati Kayang yang akan bertanding bagi kawasan itu pada PRU14 ini.

Pemegang ijazah sarjana muda kejuruteraan elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat itu adalah Exco Pemuda BERSATU dan menyertai parti itu sejak 2016.

Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0 tuntut undi pos telus, dipantau agen calon

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 APR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0 menuntut proses pengeluaran undi pos dijalankan secara telus dan dipantau agen calon.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, perkara itu perlu diberi perhatian semua terutama calon dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) bagi memastikan agen mereka hadir menjalankan pemantauannya.

“Jika calon tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi mengenai pengeluaran pengundian pos, mereka diminta menghubungi Pegawai Pengurus (RO) di kawasan masing-masing dengan segera.

“Selain itu, calon harus menuntut senarai rasmi pengundi pos bagi kawasan pilihan raya mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan BERSIH 2.0 itu dikeluarkan ekoran pemakluman berhubung proses pengeluaran undi pos sudah dilakukan di beberapa pusat mengundi mulai hari ini.

Jawatankuasa itu turut menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengumumkan secara terbuka jumlah pengundi pos domestik dan luar negara bagi setiap kawasan kerana setakat ini tiada sebarang pengumuman atau maklumat mengenainya.

Katanya, BERSIH 2.0 menganggarkan terdapat lebih 250,000 pengundi pos domestik yang bakal memberi kesan signifikan terhadap keputusan pilihan raya.

“Kekurangan ketelusan oleh SPR berhubung jumlah pengundi pos menimbulkan kebimbangan serius terhadap perkara ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pengundian pos, boleh menghubungi BERSIH 2.0 melalui emel: [email protected] atau talian 011 2860 5720.

Categories
SELANGOR

Chang Khim tak gentar hadapi pencabar baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 APR : Selepas hampir 20 tahun menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang, calon N.45 Bandar Baru Klang (sebelum ini Sungai Pinang), Dato’ Teng Chang Kim tidak gentar menghadapi pencabar baharunya, calon Barisan Nasional (BN), Teoh Kah Yeong.

Chang Kim berkata, beliau bakal menghadapi persaingan dua penjuru itu amat memahami kawasan Klang berbanding pencabarnya yang bekerja di luar negara sudah 12 tahun dan baru sahaja pulang ke tanah air.

“Saya rasa beliau memerlukan masa panjang untuk memahami masalah rakyat dan pembangunan di Klang ini kerana dikhuatiri nanti akan sesat.

“Namun, tidak dapat dinafikan dengan usianya yang masih muda mungkin beliau mempunyai idea baharu yang perlu dikaji samada boleh diterap untuk membangunkan Bandar Klang ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Chang Khim berkata, selain pencabar baharu beliau menghadapi turut berdepan cabaran geografi persempadanan kerana kawasan bertanding lebih luas dengan jumlah pengundi bertambah dua kali ganda daripada 27,000 kepada 58,000.

“Bagaimanapun, sekiranya diberi mandat saya perlukan usaha keras kerana tugas yang bakal dihadapi sememangnya sedikit berat akibat pertambahan penduduk di kawasan baru ini.

“Jika sebelum ini, saya cuma perlu menjaga Taman Eng Ann dan Kampung Rantau Panjang tetapi kini Kampung Rantau Panjang sudah dikeluarkan namun kini terdapat lima kawasan baharu iaitu Taman Berkeley, Bukit Kuda, Batu Belah, Sungai Bertih dan Taman Klang,” katanya.

Chang Khim berkata, sememangnya memerlukan usaha yang lebih untuk beliau memahami kawasan baru itu namun ia tidak menjadi masalah kerana sudah pelbagai pembangunan pesat dilaksanakannya selama menjadi wakil rakyat di kawasan Klang.

Terdahulu, Chang Khim pernah merangkap jawatan Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) serta Perdagangan dan Pengangkutan Kerajaan Negeri sejak 2014 hingga April 2018.

Manakala, sudah tahun ke-14 Chang Khim memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang (2004-2018), ADN Bandar Klang (1999-2004), ADN Bukit Gasing (1995-1999).

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of London, beliau memulakan kerjaya sebagai peguam bela dan pegam cara di Mahkamah Tinggi Malaya dan mula aktif dalam politik sejak 1995 sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS).

 

Categories
SELANGOR

Terkejut terima Kad KISS depan rumah

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 30 APR: Seorang suri rumah terkejut apabila menerima Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di depan pintu rumahnya.

Beliau, Nordiana Shahril, 35 berkata, beliau lebih terharu kerana bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Lembah Jaya sendiri yang turun padang menyerahkan kad tersebut.

“Memang saya tidak sangka wakil Pakatan Harapan (PAKATAN) yang datang, lagipun saya amat berharap menerima Kad KISS, ibarat bulan jatuh ke riba.

“Terima kasih Kerajaan Selangor kerana ingat pada suri rumah seperti saya, dapatlah kami sekeluarga menggunakan bantuan diberi ini untuk bekalan makanan keluarga pada bulan ini,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Nordiana dikunjungi calon N20 Lembah Jaya, Haniza Talha bagi penyerahan Kad KISS kepada penduduk Taman Sri Raya.

Selain Nordiana, sembilan lagi penerima yang turut menerima kad sama.

Haniza berkata, KISS jauh lebih bermanfaat berbanding pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Jelasnya, KISS memberi bantuan bulanan berjumlah RM200 sebulan kepada penerimanya dalam tempoh setahun.

“Bermaksud dalam tempoh setahun ia berjumlah RM2,400, jelas ia lebih banyak berbanding pemberian BR1M. KISS memfokuskan kepada bantuan barangan keperluan harian buat keluarga kurang mampu di Selangor.

“Misi kami ialah tiada keluarga berlapar dalam dunia serba maju sekarang, dengan adanya bekalan makanan yang baik kepada keluarga ia sekali gus membuatkan mereka lebih baik dan sihat,” katanya.

Melalui Belanjawan 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan program KISS dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan yang akan memberi manfaat kepada 30,000 penerima.

KISS dikhususkan kepada wanita berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah yang melayakkan mereka mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasar raya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti.

Categories
SELANGOR

Rungkai lambakan warga asing antara fokus Haniza

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 30 APR: Isu lambakan warga asing antara fokus utama calon N20, Haniza Talha sekiranya diberi mandat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kali ini.

Haniza yang juga penyandang kerusi DUN Taman Medan itu berkata, pertambahan warga asing di kawasan pasar malam dan juga penempatan penduduk amat merunsingkan.

Katanya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana dibimbangi menimbulkan masalah kelak.

“Sepanjang dua hari berkempen, saya ke pasar malam sekitar Lembah Jaya, bayangkan warganegara kita berniaga di pasar malam tapi warga asing menjalankan perniagaan di kedai, tidakkah ia aneh.

“Siapa yang beri mereka kebenaran berniaga?, sekiranya KEADILAN diberi mandat di Parlimen Ampang, saya bersama Ahli Parlimen akan membawa isu ini ke Sidang Dewan kerana ia adalah masalah nasional,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau ditemui ketika menyantuni penduduk Taman Sri Rakyat pagi tadi bersama jentera KEADILAN.

Haniza yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN berkata, beliau juga berazam memulihkan keceriaan rumah pangsa sekitar Lembah Jaya.

Katanya, penduduk boleh menggunakan Skim Ceria yang disediakan Kerajaan Negeri untuk mengecat semula bangunan usang.

“Lembah Jaya dipenuhi dengan rumah pangsa, kalau dibiarkan saja ia usang sudah tentu kita biarkan penduduk tinggal dalam suasana kurang sihat.

“Jadi saya berazam menceriakan semula rumah pangsa di sini sekiranya mendapat mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Lembah Jaya,” katanya.

Haniza bakal berdepan calon lain iaitu penyandang, Khazim Abdul Aziz (PAS), Muhamad Nizam Shith (BN) dan Norizam Mohamad (PRM).