Saksi pertama Tribunal Rakyat dedah pengundi hantu dalam satu bas

tribunal1PETALING JAYA 18 SEPTEMBER : Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menjadi saksi pertama prosiding Tribunal Rakyat, sebuah inisiatif Gabungan Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih 2.0) bermula 18 hingga 22 September.

Charles dalam keterangannya mengemukakan aduan berhubung pendaftaran 60 pengundi pada satu alamat di kawasan Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 lepas.

Jelas Charles, beliau turut mengemukakan aduan berkenaan pengundi diragui kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun pihak SPR menyatakan nama pengundi-pengundi ragu itu sudah gazetkan dan tidak boleh dikeluarkan.

Charles juga mendedahkan terdapat pekerja asing yang dibayar oleh pihak tertentu bagi mengundi pada PRU lepas. Beliau juga turut mendedahkan kepada tribunal insiden orang ramai di Pandamaran yang menahan bas dipercayai menjadi pengundi hantu pada 5 Mei lepas.

Kira-kira 100 orang mengikuti perjalanan prosiding tribunal itu yang bertempat di Throne Room, Hotel Empire, Subang Jaya yang bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Ianya turut disiarkan secara langsung di TVSelangor pada pautan www.selangorkini.net dan melalui radio rasmi Tribunal Rakyat di pautan www.radiobangsarutama.com.

Enam individu ternama yang berkelayakan akan menganggotai Tribunal ini, tiga dari luar negara dan tiga dari Malaysia.

Mereka akan duduk bersidang untuk menerima, meneliti dan menyiasat laporan orang ramai dan akhirnya mereka akan mengeluarkan laporan kepada umum.

Tiga individu dari luar negara ialah bekas Wakil Khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Gai, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Ramlan Surbakti dan Kraisak Choonhavan, bekas Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus (AIPMC).

Categories
NASIONAL

Kerjasama dalam Pakatan untungkan PAS, Selangor jadi bukti

pakatanSHAH ALAM 16 SEPT – Kerjasama erat PKR-PAS-DAP dalam Pakatan Rakyat menjadi formula ampuh yang membawa kepada pertambahan kerusi di Selangor, kata Khalid Samad.

“Di Selangor, jelas PAS mendapat keuntungan besar hasil wujudnya Pakatan Rakyat apabila jumlah kemenangan kita meningkat sehingga 15 kerusi,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Kemenangan kerusi PAS di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bertambah kepada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding sembilan pada PRU 12.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib mencadangkan PAS supaya mengkaji semula kerjasama politik (tahaluf siyasi) dalam Pakatan berikutan mendakwa pengaruh parti itu dilihat semakin lemah.

Namun, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpesan supaya kajian itu hanya untuk menambah baik kerjasama, bukannya membawa tujuan yang tidak menguntungkan Pakatan.

Bercakap kepada TV Selangor, Khalid berkata, pihak yang beranggapan sebaliknya mungkin berada dalam realiti lain, dan pastinya bukannya di Selangor.

“Pakatan tidak merugikan PAS dan kajian semula kalau ingin dilakukan adalah untuk menambah baik dan memperkukuhkan lagi Pakatan,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

– FZL

Categories
NASIONAL

MB : Perutusan Pilihanraya Umum (PRU) Ke 13


 

Sinopsis:

Pesanan ikhlas dari Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor, kepada rakyat Selangor dan Malaysia seluruhnya.

“Kita bertekad menggantikan keseluruhan budaya politik feudalisme dan rasuah yang berleluasa. Oleh itu kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana musuh dalam selimut yang mengaku kononnya sekutu kita tetapi masih mengamalkan budaya dan politik yang lama.” – AKI

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN hanya Beri Geran Tanah Kepada Penyokong

william

RAWANG : 26 APRIL : Rakyat di kawasan Batu Arang terpaksa berdepan sentimen ‘politik ugut’ yang diamalkan pimpinan Umno-BN berhubung pemberian milikan geran tanah di kampung itu sejak berpuluh tahun lamanya.

Ini kerana, Umno-BN didakwa hanya akan menyerahkan geran tanah kepada mana-mana pihak yang menyokong parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Menurut Ketua Kampung Batu Arang, Rosli Mohd Sharif, tindakan itu sama sekali berbeza dengan pendirian Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menilai berdasarkan fahaman politik bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Kita dapati banyak geran tidak dikeluarkan sejak tahun 2000 kerana Umno-BN mengamalkan politik ugut di mana geran hanya akan dikeluarkan semasa PRU dan diserahkan kepada sesiapa yang menyokong parti itu sahaja.

“Apabila PR sudah berjaya memerintah Selangor, beratus-ratus geran tanah berjaya dikeluarkan kurang dalam tempoh lima tahun pemerintahan. PR bantu rakyat tanpa kira kaum dan parti,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan PKR Batu Arang, di sini.

Tambahnya, sejak PR mengambil alih tampuk pemerintahan di Selangor, lebih 500 geran tanah berjaya diserahkan kepada penduduk setempat, manakala 600 permohonan lagi bakal selesai dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, penyandang Parlimen Selayang, William Leong berkata, teknik bancian dari rumah ke rumah digunakan bagi mengenalpasti penduduk atau pemilik tanah yang mendiami kawasan itu sebelum diserahkan geran.

Jelasnya, masalah yang berlarutan lebih 20 tahun ini berjaya diselesaikan PR dalam tempoh singkat dan turut membabitkan beberapa kawasan lain di seluruh Selayang.

“Oleh sebab itu, Menteri Besar mengarahkan semua ahli Parlimen dan Adun untuk membuat bancian siapa yang layak menerima geran tanah dan benar-benar menetap di situ,” ujarnya.

Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang ChaiĀ  sebelum ini mendakwa penduduk di kawasan Batu Arang berdepan masalah permohonan geran tanah meskipun lama memohon kepada Kerajaan PR.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kos Sewa Bas Tidak Libatkan Wang Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 30 OGOS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan bahawa kos sewaan bas dua tingkat yang akan digunakan Pakatan Rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak menggunakan wang Kerajaan Negeri Selangor.

“Bas berkenaan yang disewa untuk tempoh enam bulan dibiayai sepenuhnya oleh saya tanpa melibatkan satu sen pun wang rakyat dan wang kerajaan negeri.

“Semua kos melibatkan bayaran kepada pemandu dan bantuan teknikal dimasukkan dalam kos sewaan itu tanpa melibatkan seorang pun kakitangan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, saya menasihatkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab menghentikan fitnah dan tohmahan jahat yang menuduh bas berkenaan disewa menggunakan wang Kerajaan Selangor dan wang rakyat.

Bas dua tingkat ini yang telah diubahsuai dengan dilengkapi platform untuk berceramah dan sistem bunyi akan memulakan siri jelajah ke Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Perlis bermula esok sehingga 2 September diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.