Categories
NASIONAL SELANGOR

Polis Shah Alam pantau kilang, tapak bina dan pengangkutan awam

SHAH ALAM, 25 MEI: Polis Shah Alam memperluas pemantauan di kawasan perkilangan, tapak pembinaan dan pengangkutan awam susulan langkah mengetatkan tatacara operasi piawai (SOP) PKP 3.0 bermula hari ini.

Ketua polis daerah ACP Baharuddin Mat Taib berkata pihaknya memberi tumpuan di kawasan tersebut bagi memastikan SOP terkini dipatuhi.

“Tumpuan kami di tapak pembinaan dan kilang berikutan SOP terkini kena ada peratusan kehadiran yang boleh bekerja.

“Kami juga memberi tumpuan kepada pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) serta bas awam,” katanya ditemui media selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Bukit Jelutong dekat sini hari ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

PKP 3.0: Dua minggu jadi penentu

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Tempoh dua minggu bagi rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengehadkan pergerakan kendiri atau self lockdown sangat signifikan, yang akan menentukan di mana kedudukan negara dalam statistik kebolehjangkitan wabak yang semakin mengganas ini.

Ia susulan kes harian yang terus mencatatkan jumlah melebihi 6,000 kes sejak 19 Mei lepas dengan kes tertinggi sebanyak 6,976 direkodkan pada Ahad, baru-baru ini.

Kebimbangan terhadap penyebaran virus yang berasal dari Wuhan, China itu semakin memuncak apabila keseluruhan mangsa yang maut akibat Covid-19 kini telah melebihi 2,300 orang dengan jumlah kematian tertinggi, sebanyak 61 kes direkodkan semalam (24 Mei).

Tidak mustahil angka kematian akan terus meningkat terutama dengan situasi kritikal penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi atau ICU di seluruh negara telah mencapai 91 peratus, setakat Jumaat lepas.

Keadaan lalu lintas agak lengang berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan Media Selangor di Jalan Cheras – Kajang pada 15 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Susulan situasi semasa sistem kesihatan yang sedang berhadapan dengan krisis yang amat besar ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah terus berulang kali merayu masyarakat untuk bersama-sama berperanan memutuskan rangkaian jangkitan dengan ‘duduk di rumah’ sekiranya tiada urusan penting di luar.

Namun, ‘rayuan’ sama oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan meminta rakyat mengehadkan pergerakan ternyata mengundang perasaan kurang senang netizen terutama langkah ‘tidak ‘popular’ kerajaan yang dikatakan memihak kepada sektor ekonomi berbanding nyawa rakyat.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang diharapkan banyak pihak bagi mengekang penularan wabak ini meleset apabila kerajaan hanya mengambil langkah mengetatkan tatacara operasi piawai (SOP) PKP 3.0 yang bermula hari ini.

Persoalannya, adakah langkah yang diambil ini berupaya melandaikan lengkung sekali gus mengawal penularan virus Covid-19 menerusi SOP PKP 3.0 yang lebih ketat sepanjang tempoh dua minggu ini?.

Menyentuh perkara ini, Pakar Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun yakin Malaysia mampu menurunkan kes Covid-19 sehingga 20 peratus dalam tempoh dua minggu sekiranya masyarakat mengambil tanggungjawab dengan melakukan sekatan pergerakan kendiri.

Malah, langkah kerajaan memperketatkan SOP PKP 3.0 juga merupakan tindakan paling tepat bagi mengimbangi isu kesihatan dan ekonomi.

“Pada PKP 1.0 Mac 2020, kita berjaya melandaikan kes sehingga satu digit dalam tempoh enam minggu untuk kes Covid-19 yang ketika itu hanyalah sekitar 300 lebih.

“Tetapi apabila kes harian mencecah 6,000 setiap hari, berapa lama pula kerajaan perlu mengambil tempoh untuk lockdown? Adakah memadai dua minggu atau perlu dilanjutkan sebulan?,” katanya kepada Bernama.

Ini kerana mengikut R-Naught terkini, apabila PKP sepenuhnya dilaksanakan kemungkinan hanya mampu mengurangkan kes daripada 6,000 kepada 4,000 kes sahaja sedangkan langkah tersebut akan memberi lebih bebanan kepada sektor ekonomi dan sekali gus mewujudkan pelbagai masalah termasuk kesihatan mental.

Paling membimbangkan banyak sektor ekonomi akan terjejas terutama perkilangan yang tidak dapat beroperasi dan dijangka memberi kesan kehilangan pekerjaan serta pendapatan kepada mereka yang terkesan.

Pembantu Jualan, Puteri Rahayu Samadris mengantung kod QR MySejahtera di hadapan gerainya di Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika tinjauan sempena cuti Hari Pekerja pada 1 Mei 2021. Foto: BERNAMA

“Ini akan meningkatkan pula kes seperti kemurungan, bunuh diri, penderaan dan gangguan seksual. Apabila kerajaan membuat keputusan memberi sedikit kelonggaran (dengan tidak melaksanakan PKP penuh), negara boleh menyelamatkan kedua-duanya sekali iaitu kesihatan dan ekonomi,’’ jelas beliau.

Usaha mengehadkan pergerakan adalah langkah paling berkesan mengurangkan jumlah jangkitan namun usaha ini menjadi sukar sekiranya masyarakat masih memandang enteng pematuhan SOP.

Keadaan ini boleh dilihat apabila setiap hari, ratusan individu ditahan dan dikompaun pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan ingkar SOP. Untuk semalam sahaja, 800 kesalahan direkodkan antaranya tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, tidak mematuhi kawalan pergerakan dan membawa penumpang berlebihan.

“Mengambil contoh sambutan Aidilfitri baru-baru ini, apabila ada yang ingkar dengan melakukan ziarah sehingga menyumbang kepada peningkatan kes yang dilaporkan di dalam komuniti.

“Di mana silapnya, adakah kerajaan atau diri sendiri? Kalau kita perbetulkan keadaan dengan cara ‘self lockdown’ termasuk jangan keluar tanpa urusan penting atau jangan benarkan orang datang ke rumah, kita boleh landaikan wabak ini,’’ tegasnya.

Oleh itu, usahlah kita asyik bertelagah menyalahkan pihak lain apabila jumlah kes terus meningkat, sebaliknya nilailah kembali sejauh mana usaha yang telah sama-sama dilakukan bagi memastikan virus maut ini dapat dilandaikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kawalan lebih ketat di 13 sekatan jalan KL mulai esok

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Polis Kuala Lumpur akan mengetatkan kawalan di 13 sekatan jalan raya (SJR) sedia ada bermula esok, seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata antara yang akan dilaksanakan ialah pemeriksaan lebih terperinci ke atas dokumen kebenaran rentas negeri atau daerah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan majikan.

“Polis akan mengekalkan 13 SJR sedia ada di Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun dengan pemeriksaan lebih terperinci,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya bersedia untuk mengatur gerak anggota bagi memantau dan membantu agensi berkaitan jika ada lokaliti lain dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) selain dua lokaliti semasa iaitu Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau.

Buat masa ini, polis membantu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengagihkan bekalan makanan kering selain melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan di dua lokaliti berkenaan, katanya.

Dua lokaliti itu diletakkan di bawah PKPD bermula semalam hingga 5 Jun ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

PKP: Bas Smart Selangor, PJ City Bus angkut penumpang hanya 50 peratus

SHAH ALAM, 24 MEI: Hanya 50 peratus penumpang dibenar menaiki Bas Smart Selangor dan PJ City Bus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula esok.

EXCO pengangkutan awam berkata perkara itu selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani peningkatan mendadak kes Covid-19 ketika ini.

“Kerajaan Negeri berharap semua pihak bekerjasama dengan menitikberatkan langkah pencegahan, menjaga kebersihan diri dan mematuhi arahan kerajaan dari semasa ke semasa di dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan kedua-dua bas itu beroperasi mulai 6 pagi hingga 9 malam termasuk penyusunan semula jadual operasi dan perjalanan akan dilaksana pihak berkuasa tempatan serta operator berkaitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara kes jenayah di mahkamah terbuka, kes sivil secara dalam talian

PUTRAJAYA, 24 MEI: Prosiding perbicaraan kes jenayah akan terus dijalankan di mahkamah terbuka di Semenanjung dan Labuan dengan kehadiran pihak terbabit dihadkan bermula Selasa ini apabila peraturan tambahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diperketat.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), semua kes pertuduhan baharu dan permohonan perintah serta kes yang telah ditetapkan untuk perbicaraan akan dijalankan di mahkamah terbuka manakala kes yang ditetapkan untuk hukuman dan perintah serta pengurusan kes secara fizikal ditangguhkan.

Bagi kes jenayah yang ditetapkan untuk perbicaraan di mahkamah terbuka, pihak yang hanya dibenarkan hadir ialah tertuduh serta dua ahli keluarga atau rakannya, seorang timbalan pendakwa raya dan seorang peguam, atau bilangan yang dibenarkan oleh mahkamah.

Saksi yang terlibat dibenarkan menunggu di bilik saksi dengan pematuhan kepada keperluan penjarakan fizikal dan dihadkan kepada dua orang pada satu-satu masa.

Menurut PKPMP, pihak terbabit dikehendaki hadir di mahkamah mengikut masa yang ditetapkan dan tidak dibenarkan berada dalam mahkamah terbuka kecuali apabila kes mereka dipanggil.

Permohonan penangguhan kes pada saat akhir juga hendaklah dielakkan.

Prosiding perbicaraan kes jenayah di mahkamah terbuka akan dijalankan dengan keutamaan kepada kes sebelum tahun 2020 yang membabitkan prosiding sambung bicara melibatkan pesalah kanak-kanak, kes kepentingan awam merangkumi rasuah, jenayah komersial, alam sekitar, habeas corpus, keganasan rumah tangga serta pelanggaran peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pengendalian prosiding kes sivil pula akan dikendali melalui teknologi komunikasi jarak jauh berpandukan Arahan Ketua Hakim Negara bertarikh 7 Januari 2021.

Prosiding rayuan jenayah di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi juga akan dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Menurut PKPMP, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuat kuasa, perbicaraan kes jenayah akan ditangguh dan prosiding kes sivil akan diteruskan melalui e-Kehakiman.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat di talian 03-8880 4051/03-8880 4607 atau [email protected].

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peraturan tambahan dalam tempoh PKP 3.0 diperketat di Semenanjung dan Labuan berkuat kuasa 25 Mei ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Sektor ekonomi, sosial dalam PKP 3.0 diperketat, perincian diumum esok

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 hari ini memutuskan untuk mengetatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan perincian mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 pada petang ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan Covid-19.

Mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung status terkini kes Covid-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada 10 Mei lepas, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara berkuat kuasa 12 Mei hingga 7 Jun sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Kenyataan itu memaklumkan sidang khas berkenaan turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

Menurut kenyataan itu, tatacara operasi piawai (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

“Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang,” katanya lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka lemah 4.1170/1220 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Ringgit gagal mempertahankan perolehan yang dicatatkan semalam untuk dibuka lemah sedikit pagi ini berbanding dolar AS dengan para peniaga dilihat mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, kata seorang peniaga.

Pada pukul 9 pagi, unit tempatan itu lega kepada 4.1170/1220 berbanding mata wang dolar 4.1150/1200 pada penutupan urus niaga petang Rabu.

Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management Stephen Innes berkata penyusutan harga minyak berikutan kegiatan pengambilan untung selepas stok produk minyak AS turun turut mempengaruhi prestasi ringgit.

“Selain itu, terdapatnya kebimbangan India beralih untuk melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya sementara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum pula mungkin akan mengurangkan tekanan mereka terhadap pasaran,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, minyak mentah diniagakan pada US$68.41 setong, menyusut 0.80 peratus.

Dalam pada itu, kerajaan pada Rabu telah mengeluarkan perintah pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur dan beberapa daerah di Terengganu, Johor dan Perak mulai 7 hingga 20 Mei.

Mengulas mengenai perkara ini, Innes berkata para peniaga akan terus mengambil sikap berhati-hati sambil mengharapkan PKP dapat meratakan lengkung pandemik sebelum bertaruh semula ke atas unit tempatan.

Dalam perkembangan lain, pelabur juga akan menantikan keputusan Bank Negara Malaysia terhadap kadar dasar semalaman pada mesyuarat dasar ketiganya lewat hari ini serta penilaian terkini bank pusat ke atas ekonomi domestik.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit menyusut kepada 3.0816/0856 daripada 3.0799/0848 dan lebih rendah berbanding yen kepada 3.7646/7702 daripada 3.7628/7677 pada Rabu.

Ringgit lebih lemah berbanding pound Britain kepada 5.7226/7300 daripada 5.7174/7256 dan lega berbanding euro kepada 4.9396/9468 daripada 4.9392/9461.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1170/1220 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Ringgit meneruskan kenaikannya berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut berikutan harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh, kata peniaga.

Ini telah menampan kesan penyusutan unit tempatan yang selanjutnya di tengah-tengah meningkatnya kebimbangan terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Selangor.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.1170/1220 berbanding dolar AS daripada 4.1200/1260 sewaktu ditutup pada Selasa.

Setakat ini, minyak mentah diniagakan pada US$69.47 setong, meningkat sebanyak 0.86 peratus.

Rakan Kongsi Urusan Global, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata lonjakan harga minyak akan menawarkan garis hayat kepada kejatuhan ringgit apabila PKP dikuatkuasakan.

PKP 3.0 akan dilaksanakan di enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Sepang, Klang, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat bermula 6 hingga 17 Mei 2021.

“Keyakinan turut ada mengenai peningkatan semula permintaan minyak susulan pembukaan semula sebahagian ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Stephen berkata kenaikan semula kes Covid-19 meningkatkan risiko kepada sekatan sosial yang lebih ketat yang secara umumnya menyaksikan pelabur mengurangkan aset risiko mereka di negara-negara yang merekodkan peningkatan kes pandemik itu.

Dalam perkembangan lain, pelabur juga akan memantau mesyuarat dasar monetari ketiga Bank Negara Malaysia yang mana bank pusat itu dijangka mengekalkan kadar faedah pada 1.75 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang pesat membangun yang lain dengan unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0839/0879 daripada 3.0852/0902 dan tinggi berbanding yen kepada 3.7650/7699 daripada 3.7653/7711.

Bagaimanapun, berbanding pound Britain, ringgit susut kepada 5.7222/7296 daripada 5.7181/7273 dan turun berbanding euro kepada 4.9486/9551 daripada 4.9473/9549 sebelum ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan tidak menentu

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan yang tidak menentu hari ini berikutan keseluruhan sentimen pelabur kekal berhati-hati berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.18 mata kepada 1,588.43 daripada 1,588.25 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks barometer itu dibuka 3.73 lebih tinggi kepada 1,591.98.

Bagaimanapun, di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 245 berbanding 202, manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,416 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 359.92 juta saham bernilai RM172.87 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata Bursa Malaysia dijangka kekal lemah berikutan peningkatan semula kes Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan membabitkan enam daerah di Selangor.

“Sementara itu, sektor teknologi akan menyaksikan penurunan berikutan penyusutan semalaman Nasdaq di Wall Street.

“Mengenai komoditi, harga minyak mentah Brent telah menokok kepada paras tertinggi dua bulan susulan keyakinan permintaan, manakala niaga hadapan kayu-kayan ke arah paras tertinggi sepanjang masa di rantau ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, untuk hari ini, sektor itu akan menumpukan kepada kaunter berkaitan pembungkusan ketika pelaksanaan PKP 3.0.

“Selain itu, harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi serta hasil yang lebih tinggi daripada jangkaan daripada gergasi minyak Saudi Aramco boleh merangsang minat belian, manakala minat dagangan boleh dilihat pada saham berkaitan kayu-kayan,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan iaitu di Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang yang dikenakan PKP bermula 6 Mei sehingga 17 Mei akibat lonjakan kes baharu Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti sosial tidak dibenarkan, namun kebanyakan aktiviti ekonomi tidak akan terjejas.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank tidak berubah masing-masing pada RM8.24 dan RM4.12. Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM8.12, TNB jatuh dua sen kepada RM9.95 dan IHH menokok tiga sen kepada RM5.29.

Bagi saham aktif, KNM meningkat setengah sen kepada 19 sen, TA Win menambah 3.5 sen kepada 17 sen, Tanco tidak berubah pada enam sen dan Velesto Energy berkurangan setengah sen kepada 15.5 sen.

Saham paling untung termasuk Transocean yang meningkat 43 sen kepada RM6.63, Gopeng naik 22 sen kepada RM1.35 dan HengYuan menambah 15 sen kepada RM5.75.

Antara saham rugi, MPI turun 50 sen kepada RM38, Nestle susut 30 sen kepada RM135.50 dan Unisem berkurangan 19 sen kepada RM7.71.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 2.59 mata kepada 11,698.59, Indeks FBM Emas Syariah turun 12.92 mata kepada 13,121.40, Indeks FBMT 100 jatuh 7.38 mata kepada 11,341.18, Indeks FBM 70 turun 43.53 mata kepada 15,372.05, dan Indeks FBM ACE susut 36.06 mata kepada 8,591.34.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.36 mata kepada 198.87, Indeks Perladangan lemah 16.03 mata kepada 6,975.98, namun Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 21.02 mata kepada 14,860.24.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1000/1050 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1000/1050 berbanding dolar AS daripada 4.1030/1055 ketika ditutup pada Isnin.

Ketika laporan ini ditulis, minyak mentah Brent diniagakan pada US$67.68 setong, meningkat 0.18 peratus.

Ringgit juga disokong oleh data Indeks Pengurus Pembelian Malaysia yang kukuh, seperti dilaporkan IHS Markit Ltd, selepas meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun iaitu 53.9 pada April 2021 — yang tertinggi sejak Julai 2012 — daripada 49.9 pada Mac 2021.

Ringgit sebelum ini diniagakan tidak menentu berbanding dolar AS disebabkan peningkatan jumlah kes Covid-19 harian di Malaysia.

Selain itu penganalisis turut bimbang mengenai kemampuan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani gelombang baharu penularan virus itu.

Rakan Kongsi Urusan Global, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata sentimen terhadap ringgit dipengaruhi oleh cadangan KKM supaya PKP dilaksanakan kembali di negeri yang mencatatkan jumlah kes yang tinggi untuk mengekang penularannya.

“Di Asia, lengkungan pandemik terus menjejaskan mata wang serantau susulan kemunculan kluster jangkitan dan varian India baharu,” katanya.

Pandangan itu disokong oleh peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, yang berkata pasaran mendatar sejak beberapa hari lepas ekoran ketidaktentuan yang disebabkan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Malaysia.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.9417/9494 daripada 4.9441/9479 ketika ditutup pada Isnin namun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0820/0874 daripada 3.0803/0831.

Ringgit turut susut berbanding pound Britain kepada 5.6974/7060 daripada 5.6835/6882 dan lemah berbanding yen kepada 3.7566/7619 daripada 3.7463/7490.

– BERNAMA