Categories
SELANGOR

Pemilik rumah PPR patut bayar kos penyelenggaraan, elak tindakan mahkamah

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 FEB: Pemilik dan penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) diminta bekerjasama melunaskan pembayaran kos penyelenggaraan bagi mengelak tindakan mahkamah dikenakan ke atas mereka.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata tindakan itu sejajar dengan pengenalan akta baharu iaitu Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Beliau berkata, tidak sekadar pemilik malah penyewa juga tidak terkecuali boleh diambil tindakan menerusinya.

“Memang ada lebih kurang 200 kes dibawa ke mahkamah sejak 2013, Kerajaan Negeri akan membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) untuk bawa mereka tidak membayar ke mahkamah,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, Iskandar berkata, Kerajaan Negeri tidak bertujuan mendakwa pihak berkaitan ke mahkamah kerana kebiasaannya apabila notis dikeluarkan, kebanyakan daripada mereka akan tampil untuk melunaskan pembayaran.

Katanya, pemilik dan penyewa sendiri akan menanggung kesannya jika pembayaran tidak dijelaskan seperti mana ditetapkan.

“Bukan kita hendak tangkap mereka dan bawa ke mahkamah. Di bawah akta baru juga ada satu forum untuk mereka berbincang jika tidak bersetuju iaitu Tribunal Perumahan Strata (TPS).

“Kalau dulu mungkin susah mereka nak membantah tetapi dengan adanya tribunal ini, mereka boleh luahkan rasa tidak puas hati dan tribunal akan keluarkan keputusan seperti mahkamah majistret. Diharapkan tribunal dapat selesaikan masalah,” katanya.

Sebelum ini, katanya, memang masalah timbul terutama di kalangan penyewa yang enggan membayar kos penyelenggaraan kerana mereka beranggapan rumah diduduki bukan milik mereka.

Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) adalah undang-undang yang diperuntukkan untuk mengawal selia penyelenggaraan dan pengurusan bangunan bertingkat atau tanah yang dipecah bahagi dan dikeluarkan hakmilik strata bermula dari peringkat penyerahan milikan kosong sehingga ke peringkat selepas perbadanan pengurusan diwujudkan.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya meminta pemilik dan penyewa rumah PPR di Selangor perlu lebih bertanggungjawab serta berdisiplin membayar kos penyelenggaraan bulanan mereka supaya dapat menampung perbelanjaan membaik pulih infrastruktur kediaman.

Katanya, RM15 seunit dianggap terlalu kecil dan mereka juga bertanggungjawab untuk menyumbang kepada kos penyelenggaraan.

EZY

Categories
SELANGOR

PPR: Dulu pusat batal peruntukan, bila ada terkorban baru nak bagi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 FEB: Kerajaan Pusat diingatkan tidak sewenang-wenangnya bermain tarik tali dalam memberi peruntukan membaik pulih pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, perkara itu pernah berlaku di beberapa buah PPR termasuk di Kota Damansara.

ppr kota damansara 01“Pusat ada berjanji nak baik pulih projek PPR di beberapa tempat. Mereka janji nak cat PPR Hicom, Shah Alam tetapi kemudian tarik balik, tak tahu kenapa.

“Begitu juga di PPR Kota Damansara, dulu kata nak beri peruntukan tapi akhirnya tarik balik tetapi bila berlaku satu kes kematian, kini baru umum semula nak beri peruntukan.

“Saya harap kalau dah kata nak bagi peruntukan, bagi sahaja jangan main tarik-tarik tali pula.

“Kenapa dah ada masalah, dah ada yang meninggal baru nak bagi sedangkan dulu tarik balik,” katanya, di sini, baru-baru ini.

iskandarBeliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang bantuan dari Kerajaan Pusat bagi meningkatkan keselamatan dan taraf hidup penduduk PPR.

“Kalau nak bagi, bagi sahaja. Kita sama-sama bantu penduduk PPR ini. Kalau mereka tak bagi kita tetap bagi dan di Subang termasuk Kota Damansara sendiri Kerajaan Negeri dah salur peruntukan RM5 juta.

“Kerajaan Persekutuan dan negeri seharusnya boleh bekerjasama dalam memberikan kehidupan lebih baik kepada penduduk PPR di Selangor,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PPR patut diselenggara & diperiksa berkala

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 3 FEB: Penyelenggaraan dan pemeriksaan tahunan semua bangunan sama ada milik kerajaan atau bukan, perlu dikuatkuasakan Kerajaan Negeri.

Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, hukuman denda juga perlu dikenakan terhadap pihak berwajib yang gagal berbuat demikian.

YB Daroyah sampaikan sumbangan mangsa jatuh PPR Kota Damansara (6)“Tindakan ini lebih praktis berbanding kita bertindak hanya bila terdapat kes baru.

“Kejadian serupa pernah berlaku di kawasan saya di flat Seksyen 24 apabila seorang kanak-kanak tiga tahun jatuh dan mati akibat palang besi tercabut,” katnya kepada Selangor Kini.

Beliau diminta mengulas kejadian seorang kanak-kanak, Muhammad Hazriq Danish Ain Alden, 5, yang maut selepas terjatuh dari tingkat 6, flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kota Damansara pada 29 Januari lalu.

Terdahulu, Exco Perumahan, Datuk Iskandar Abdul Samad mahu Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd (PHSSB) melaksanakan kerja membaikpulih di seluruh PPR Selangor segera.

Categories
SELANGOR

PPR perlu kerap diselenggara elak kejadian buruk

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 FEB: Projek Perumahan Rakyat (PPR) patut mempunyai kemudahan yang sempurna bagi mengelakkan kejadian kanak-kanak jatuh dari bangunan berulang.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat seharusnya memberi fokus membantu rakyat khususnya berpendapatan rendah.

10953205_956415284377469_5055241060548059557_nBeliau berkata demikian bagi mengulas langkah Kerajaan Negeri yang mahu Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menjalankan pemeriksaan ke atas semua PPR di negeri itu ekoran kes kanak-kanak jatuh dari tingkat 6 PPr Kota Damansara baru-baru ini.

“Saya menyokong penuh langkah dan inisiatif diambil Kerajaan Negeri memastikan PPR mempunyai kemudahan sempurna.

“Kita sedia maklum sejak sekian lama memang keadaan dan kemudahan rakyat di PPR agak daif. Oleh itu, seharusnya Kerajaan Negeri membantu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Sementara itu, Adun Morib, Hasnul Baharuddin berkata langkah pembaikan kemudahan yang akan dijalankan itu merupakan langkah yang baik dan sepatutnya diambil perhatian.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan budaya alpa dan tidak kisah yang mengundang bahaya.

“Namun untuk mengelakkan kejadian berulang, langkah ini amat baik untuk semua negeri laksanakan,” katanya.

Hasnul berkata Kerajaan Negeri juga perlu meletakkan syarat yang ketat dan munasabah kepada pemaju supaya menyediakan perumahan mempunyai ciri keselamatan dan mesra rakyat demi keselamatan penduduk.

“Bagaimanapun ia jangan sampai terlalu menyusahkan pemaju,” katanya.

Sebelum ini, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata kerja baik pulih itu dilaksanakan dengan segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Iskandar berkata sebelum ini, dalam 2012 sebanyak 12 buah lif dan 8 buah pam air telah dibaikpulih atau diganti dengan kos lebih RM 1.16 juta di PPR Kota Damansara.

EZY

 

Categories
SELANGOR

MB: Jawatankuasa khas beri wajah baru projek perumahan rakyat

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 30 APRIL : Kerajaan Negeri bercadang menubuhkan satu jawatankuasa khas dalam usaha memberi wajah baru kepada projek perumahan rakyat (PPR) di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jawatankuasa itu akan diletakkan di bawah seliaan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad.

PPRTAntara lain, katanya, Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa ditubuhkan akan membuat kajian dan mengenal pasti cara terbaik menaik taraf PPR yang kebanyakannya didiami golongan berpendapatan rendah.

“Usaha ini termasuk membaik pulih dan menyelenggara bangunan, kemudahan awam seperti lif, dewan serbaguna, taman permainan, pusat kutipan sampah dan sebagainya.

“Selain itu, kita juga mahu memastikan kawasan persekitaran PPR ini adalah terpelihara,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Exco hari ini.

Sempena Sambutan Hari Pekerja esok, Abdul Khalid juga mengulangi janji Kerajaan Negeri untuk memperkasa golongan berpendapatan rendah di negeri ini yang terus terhimpit dengan pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Selain bantuan menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kita juga memperkenalkan program latihan khusus bagi belia luar bandar.

“Antaranya program latihan perpaipan dan elektrikal yang kini menerima permintaan tinggi dari dalam dan luar negara,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

MBPJ adakan seminar pertingkat daya JMB, MC

MBPJ adakan seminar 2

PETALING JAYA, 7 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengadakan Seminar Akta 757 Pengurusan Strata 2013 bagi membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) di Petaling Jaya memberi khidmat terbaik kepada warga pangsapuri.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata Akta 757 ini memansuhkan Akta 663 yang sebelum ini menyebabkan kekeliruan dan ketidakseragaman dalam pengurusan pembangunan strata. Beliau berharap JMB dan MC dapat memanfaatkan Akta 757 untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit sebelum ini.

“Sebelum ini Akta 663 yang digubal pada 2007 banyak kelemahan, terdapat bahagian yang tidak berhubung dengan sesuatu akta lain untuk menyelesaikan masalah penduduk rumah bertingkat. Akta 757 ini diwartakan pada Febuari lalu digubal bagi melicinkan JMB dan MC menyelesaikan masalah penduduk rumah bertingkat,” kata Alinah dalam ucapan perasmian seminar di Dewan Sivik MBPJ hari ini.

Akta 757 membenarkan JMB, MC dan COB melantik ejen pengurusan bangunan menyenggara dan mengurus pembangunan berstrata sebagai ejen pengurusan. Mekanisma penyelesaian konflik juga diperkenalkan untuk pihak berkepentingan menyuarakan ketidakpuasan hati, serta bilangan pegawai dan kakitangan di pejabat COB juga ditambah dari lima orang kepada 16 orang supaya ia dapat menyampaikan khidmat dengan proaktif.

Beberapa kaedah penambahbaikan diperuntukan untuk menyelesaikan masalah kutipan caj penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas (sinking fund). Sebelum ini di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang, beribu-ribu penghuni atau pemilik petak tidak membuat bayaran menyebabkan keadaan bangunan di pangsapuri perumahan rakyat (PPR) tidak terurus dan tambahan berjuta ringgit perlu disediakan utuk membaiki kerosakan dan kemunduran bangunan.

Akta juga memperincikan agihan tanggungjawab dan tempoh penguatkuasaan peralihan kuasa daripada pemaju, JMB, MC dan jawatankuasa MC, serta tindakan-tindakan yang boleh dikenakan keatas pemilik petak/penghuni ?free rider? yang tidak membuat bayaran caj dan tidak menghormati undang-undang.

Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, MBPJ turut mengadakan pelbagai seminar bagi membantu masyarakan di Petaling Jaya meningkatkan kualiti hidup masing-masing.

Seminar Akta Pengurusan Strata 2013 hari ini berjaya menarik kehadiran kira-kira seratus wakil JMB dan MC dari seluruh pelusuk Petaling Jaya.

Seminar itu disampaikan peguamcara dan peguambela, Andrew Wong merupakan konsultan yang terlibat dengan kerja mendraf Akta 757.

MBPJ adakan seminar 1

Categories
SELANGOR

PPR Damansara Tak Perlu Risau, MBPJ Jamin Baiki Kerosakan Tangki Air

PETALING JAYA 10 OGOS: Penduduk Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara tidak perlu lagi bimbang berikutan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) hari ini memberi jaminan akan membaiki kerosakan tangki air yang berlaku di pangsapuri empat blok itu.

Kerosakan tersebut berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pengumpul barangan lusuh mencuri kurungan besi (braket) pada tangki air di empat blok A,B,C dan D pangsapuri tersebut untuk dijual sebagai besi buruk.

Dianggarkan sejumlah 250 keping braket dicuri dari tangki-tangki air yang digunakan oleh 1152 unit kediaman di situ.

Kehilangan braket yang dipercayai berlaku sebelum pintu ke tangki air dikunci dan dipasang ‘grill’ pada Mei tahun ini menyebabkan berlaku kebocoran air di pangsapuri setinggi 18 tingkat setiap satu blok itu.

Setiausaha Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Kamarulzaman Ahmad Noh memberitahu nilai sebenar kerosakan hanya akan diketahui apabil Jabatan Penilaian membuat penilaian terhadap kerosakan yang berlaku ini.

“Jabatan Penilaian akan nilaikan terlebih dahulu, tetapi anggaran kasar untuk mengikat braket baru dijangka melebihi RM100 ribu.

“Sebelum ini MBPJ dan baiki blok A dan selepas ini blok B,C dan D pula.

Menurut jurutera di Jabatan Jurutera MBPJ, Azhar Zakaria, beberapa langkah tambahan sebagai langkah berjaga-jaga juga telah diambil.

“Untuk mengelakan dari dicuri, kita bukan sahaja ikat dengan skru tetapi ia akan dipatri sekali.

“Jadi bila dah dipatri ia memang susah nak dicuri,” kata Azhar.

Sementara itu, menurut Eksekutif Bangunan dari Nilsham Resources, Noraslina Abd Hamid, pada masa ini seramai lima orang anggota keselamatan ditempatkan selama 24 jam sehari di blok-blok terbabit bagi mengelakkan kejadian sama berlaku lagi.

“Dua anggota bertugas malam dan tiga lagi pada waktu siang untuk cegah kecurian dan kejadian jenayah lain,” kata Noraslina.

Noraslina turut mengesa penduduk pangsapuri terbabit agar segera melaporkan kepada pejabat pengurusan harta di blok C atau pengawal bertugas dan polis sekirannya mengesyaki mana-mana pihak yang terlibat dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Categories
NASIONAL

Janji MB Tertunai, MBPJ Baiki Lif, Pam Air Di Kota Damansara dan Putra Damai

KOTA DAMANSARA 5 JUN : ‘Janji’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditunaikan apabila lif dan pam air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara dan Putra Damai di sini berjaya dibaiki.

Oktober tahun lalu Menteri Besar melawat kawasan berkenaan dan berjanji menyelesaikan masalah penduduk terbabit.

Sejumlah RM3.2 juta diperuntukkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membaiki kemudahan ini dan bermula pertengahan November tahun lalu melibatkan 12 unit lif bagi PPR Kota Damansara, sementara 17 unit lif untuk PPR Putra Damai.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, kerja-kerja baikpulih itu siap sepenuhnya pada April lalu selepas mendapat arahan daripada Menteri Besar.

“Lawatan hari ini adalah susulan daripada lawatan yang dilakukan Menteri Besar semasa melawat kedua-dua PPR ini untuk meninjau masalah utama iaitu lif.

“Beliau kemudiannya mengarahkan MBPJ untuk segera melakukan kerja-kerja baikpulih di mana kos bagi kesemua lif untuk kedua-dua PPR adalah RM2.9 juta, sementara kos membaiki pam air adalah lebih RM285,000,” katanya.

Iskandar berkata, demikian semasa mengadakan lawatan di PPR Seksyen 8, Kota Damansara di sini bagi meninjau keadaan lif dan pam air yang siap dibaikpulih.

Lawatan itu turut disertai Adun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPJ, Cheremi Tarman serta Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kota Damansara, Johari Nander.

Selain baikpulih, tambahnya, MBPJ turut menyediakan penghadang di bilik motor lif supaya insiden kecurian kabel tidak lagi berlaku seperti sebelum ini.

Beliau berkata, penempatan dua orang pengawal keselamatan juga dilaksanakan sebagai langkah keselamatan di kawasan pangsapuri berkenaan.

Dalam pada itu, Iskandar turut mengingatkan penduduk supaya menjaga kemudahan yang diberikan dengan baik kerana ia dibaiki dengan kos yang tinggi.

“Untuk atasi vandalisme, saya berharap Adun di kawasan ini dapat menganjurkan program komuniti untuk menanam sifat tanggungjawab di kalangan penduduk bagi menjaga kemudahan yang ada.

“Penduduk jangan merasakan bahawa lif ini adalah hak milik kerajaan dan tidak perlu dijaga. Sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini, penduduk boleh sama-sama menghalang atau ambil tindakan,” ujarnya.