Categories
AGENDA NASIONAL

Selvax: 9,500 dos kedua disuntik di PPV Hotel De Palma

SHAH ALAM, 1 SEPT: Sebanyak 9,500 dos suntikan kedua diberikan kepada rakyat Selangor di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma Seksyen 19 di sini setakat semalam.

Penyelarasnya Ahmad Afendi Adham berkata jumlah itu membabitkan pemberian suntikan sejak 13 Ogos lalu bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

“Alhamdulillah, kita telah mula beri dos kedua sejak 13 Ogos lalu dan perlu menghabiskan peruntukan kira-kira 3,500 dos lagi sehingga 3 September ini.

“Penyertaan masyarakat amat menggalakkan dan berharap dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi,
mereka yang diberi tarikh janji temu dapat menghadirkan diri,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata individu yang gagal berbuat demikian selepas tarikh tersebut diminta menghubungi Klinik Selcare untuk membuat penjadualan semula, namun perlu mengemukakan alasan munasabah.

“Hanya kes tertentu dipertimbangkan antaranya positif Covid-19 atau kontak rapat kepada pesakit dan mereka perlu sertakan surat kuarantin yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi individu yang sengaja tidak hadir melengkapkan dos kedua mereka di PPV seperti yang ditetapkan, mereka perlu menyertakan surat tunjuk sebab,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anak Aziz Desa bangga pakai baju tradisional bertugas di PPV

SHAH ALAM, 31 OGOS: Anak pengacara dan personaliti televisyen terkenal, Allahyarham Aziz Desa bangga diberi peluang mengenakan busana tradisional ketika bertugas sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Segak dan kemas berbaju Melayu hitam lengkap dengan samping bersulam benang emas, Mas Zhiddin Zhiddan menyifatkan penampilan itu sebagai cara menzahirkan rasa cinta terhadap negara.

Pemuda berusia 19 tahun itu berkata semangat patriotik membara dalam diri apabila menggayakan pakaian yang menjadi identiti masyarakat Melayu di hadapan khalayak.

Sukarelawan selvax, Mas Zhiddin Zhiddanmemakai pakaian tradisional Malaysia sempena Hari Kebangsaan yang ke – 64 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hari ini adalah kali pertama saya berkesempatan memakai baju Melayu sejak bertugas sebagai sukarelawan Julai lalu memandangkan sebelum ini sekadar pakaian kasual.

“Saya rasa cukup teruja, seperti betul-betul merdeka sebab kita (sukarelawan) bebas memakai pakaian tradisi rakyat pelbagai kaum di negara ini sama ada Melayu, Cina atau India,” katanya ketika ditemui di PPV Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini.

Penuntut tahun pertama Diploma Penulisan Kreatif dan Filem di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkata program vaksinasi yang giat dijalankan ketika ini membuktikan kerajaan serius ‘memerdekakan’ negara daripada ancaman wabak.

Mas mengakui, minda rakyat juga semakin terbuka menerima suntikan pelalian bagi mengurangkan risiko penularan virus.

“Mereka yang enggan ambil vaksin mungkin ada pendirian tersendiri tetapi saya merasakan bahawa mereka (antivaksin) belum cukup merdeka walaupun dari segi fakta, vaksin bagus untuk kita memutuskan rantaian virus.

“Sempena sambutan kemerdekaan tahun ini yang diraikan dalam suasana pandemik, saya berharap rakyat Malaysia bersatu-padu dan bekerjasama supaya program vaksinasi mampu diselesaikan,” katanya.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada enam beradik berkata dia menyertai aktiviti tersebut bagi mengisi masa terluang sementara sedang cuti semester selain menimba pengalaman baharu.

Petugas kesihatan selvax, memberi suntikan pelalian Covid – 19 kepada penerima dos kedua vaksin dengan memakai pakaian tradisional Malaysia sempena Hari Kebangsaan yang ke – 64 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ditempatkan di ruang pemerhatian PPV, Mas mengakui seronok dapat menyumbang khidmat kepada masyarakat apatah lagi dirinya gemar berinteraksi dengan orang ramai.

“Banyak pengalaman dilalui antaranya dapat berjumpa kenalan baharu, melihat ragam dan menolong peserta vaksin namun ada juga kenangan pahit apabila pernah beberapa kali ditengking orang ramai disebabkan berlaku kesesakan,” katanya.

Allahyarham Aziz Desa atau nama lengkapnya Abdul Aziz Desa meninggal dunia pada 27 Disember 2015 akibat komplikasi buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung.

Hasil perkahwinan bersama Raden Norazlina Raden Jumari, pasangan terbabit dikurniakan enam cahaya mata Mas Zharif Zhafri, Mas Zahiah Zafirah, Mas Zhafir Zhikri, Mas Zhamir Zhakwan, Mas Zhaeim Zhiddin dan Mas Zhiddin Zhiddan.

Categories
AGENDA NASIONAL

NUTP cadang buka pusat vaksin khas untuk murid sekolah

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan kerajaan menyediakan pusat pemberian vaksin (PPV) khas untuk murid sekolah dan tidak bersekali dengan PPV umum.

Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan berkata langkah itu bagi mengurangkan risiko murid sekolah daripada dijangkiti wabak Covid-19.

“NUTP merayu agar Kementerian Pelajaran (KPM) mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) beberapa buah sekolah dijadikan sebagai PPV mengikut daerah atau zon bagi membolehkan murid sekolah mendapat vaksinasi.

“Langkah ini akan lebih memudahkan pengurusan murid sekolah mendapatkan vaksinasi masing-masing secara berperingkat dan boleh mengenal pasti murid yang tidak mendapat sebarang vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut berharap pihak berwajib dapat memastikan guru diberi keutamaan melengkapkan vaksinasi kerana mereka merupakan kumpulan barisan hadapan.

Beliau berkata NUTP turut menyarankan kerajaan memastikan pekerja di sekolah seperti petugas kantin, pembersihan sekolah dan pengawal keselamatan turut mendapat vaksinasi lengkap sebelum sekolah mula dibuka secara berperingkat pada 3 Oktober ini.

Mengenai pembukaan sekolah itu, Wang berharap KPM dapat mempertingkatkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan keselamatan murid, guru dan masyarakat setempat terjamin dan terhindar daripada jangkitan Covid-19.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Oktober iaitu dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.

Radzi berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN dan bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pemuzik jalanan teruja dapat buat persembahan di PPV

AMPANG, 22 OGOS: Pemuzik jalanan Sang Hitam Band teruja kerana diberi peluang menghiburkan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini selepas tiga bulan tidak membuat penampilan di hadapan khalayak.

Vokalisnya Mohd Ezuwan Mazlan, 32, berkata kemunculan sulung di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Serbaguna MPAJ AU5 di sini membolehkan kumpulannya menjana pendapatan ketika pandemik Covid-19.

“Apabila Kerajaan Negeri melalui Selvax panggil untuk busking, kami lega dan bersyukur. Setidak-tidaknya beri peluang bernafas memandangkan ketika ini tengah terdesak akibat Covid-19.

“Peluang ini harus dimanfaatkan sebaiknya dengan menghiburkan peserta yang menunggu giliran untuk divaksin. Pada masa sama, kumpul dana daripada orang ramai di PPV,” katanya kepada Selangorkini.

Kumpulan terbabit mempersembahkan 20 lagu pelbagai genre sepanjang dua sesi mulai 9 pagi hingga 3 petang.

Sementara itu, Mohd Ezuwan berharap kerajaan mempertimbang kelonggaran kepada penggiat industri berkenaan untuk menjalankan rutin yang menjadi sumber rezeki.

“Kami meletakkan harapan tinggi untuk buat persembahan semula, jadi sekiranya sektor ini dibuka kami dapat kembali bekerja seperti biasa misalnya di kafe dan kedai makan,” katanya menambah akan muncul di PPV Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok.

Ditubuhkan enam tahun lalu, Sang Hitam Band turut dianggotai Abrar sebagai pemain gitar, Haris (pemain keyboard), Azizul (bass) dan Azim (drum).

Sepanjang tempoh berkenaan, bazar larut malam Kota Damansara menjadi lokasi kumpulan itu untuk mencari pendapatan.

Pada 7 Ogos, EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata Kerajaan Negeri membela nasib busker dengan menempatkan mereka di PPV terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.

Setakat ini, seramai 720 pemuzik jalanan dibantu melalui Projek Kita Buskers dengan peserta menerima sejumlah wang sagu hati selain kutipan awam bagi meneruskan kehidupan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Suntikan tanpa janji temu hanya untuk warganegara di 13 PPV mulai esok

PUTRAJAYA, 22 OGOS: Suntikan vaksin secara jumpa terus atau ‘walk-in’ untuk semua warganegara Malaysia di Lembah Klang akan diteruskan namun ia hanya boleh dilakukan di 13 pusat pemberian vaksin (PPV) tertentu.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu berikutan bilangan jumpa terus untuk warganegara Malaysia didapati semakin berkurangan dari hari ke hari sejak inisiatif itu dimulakan 2 Ogos lepas.

Menurut CITF, bermula esok sembilan PPV secara jumpa terus dibuka iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Axiata Arena Bukit Jalil, Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Hotel Wyndham Acmar Klang, Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Stadium Tertutup Kuala Selangor, Dewan Seri Bernam dan Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Bermula 25 dan 26 Ogos, empat PPV turut dibuka iaitu Le Pavilion Gamuda Garden Gombak, Bukit Beruntung Golf Resort, Galaxy Mall Ampang dan Universiti Multimedia Cyberjaya.

CITF memaklumkan individu yang terlepas suntikan dos kedua boleh mengunjungi mana-mana 13 PPV disenaraikan yang berhampiran dengan kediaman.

CITF menjelaskan individu akan dirujuk ke PPV yang lain sekiranya PPV tersebut tidak menawarkan vaksin daripada jenis yang sama dengan dos pertama mereka.

Menurut CITF, kaedah jumpa terus juga adalah berdasarkan siapa yang cepat bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV, yang individu jumpa terus akan diletakkan di bawah satu senarai untuk diminta hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari tersebut sudah habis digunakan.

Bagi bukan warganegara Malaysia di Lembah Klang, CITF memaklumkan kaedah jumpa terus yang dikhususkan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga hari ini akan digantikan dengan vaksinasi melalui kaedah janji temu.

Ini bermakna, PPV tersebut tidak lagi menggunakan kaedah jumpa terus bukan warganegara bermula esok bagi memastikan proses pemvaksinan dapat berjalan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa.

Bukan warganegara yang masih belum mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan perlu berbuat demikian sama ada melalui MySejahtera, talian PICK di 1800-888-828 atau laman web www.vaksincovid.gov.my agar janji temu dapat diberikan.

CITF menjelaskan setiap warganegara yang hadir secara jumpa terus di PPV dan bukan warganegara yang pergi ke PPV mengikut janji temu perlu membuktikan bahawa mereka adalah pemastautin di Lembah Klang dengan membawa surat atau dokumen yang berkenaan seperti kad kerja, bil utiliti atau sebarang dokumen lain yang berkaitan.

Menurut CITF kaedah jumpa terus untuk penduduk Malaysia di negeri lain selain di Lembah Klang adalah diteruskan seperti biasa dan bergantung kepada negeri masing-masing.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 40,000 pekerja industri dan komuniti terima Vaksin Selangor

PETALING JAYA, 20 OGOS: Hampir 40,000 dos Vaksin Selangor (Selvax) sudah disuntik sejak pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini, bermula 26 Jun hingga hari ini.

Ketua PPV Selgate Shazana Aimi Kamarudin berkata hampir 30,000 peserta menerima suntikan dos pertama dan kedua di bawah program Selvax Industri manakala selebihnya Selvax Komuniti.

“Kami juga terima penyertaan Selvax Industri daripada pekerja luar Selangor antaranya Affin Bank, Celcom dan Maxis. Permohonan mereka dibuat menerusi ibu pejabat mereka di Selangor.

“Manakala sejumlah 10,000 peserta Selvax Komuniti pula melibatkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Kampung Tunku, Bukit Gasing dan Bukit Lanjan,” katanya ketika ditemui.

Shazana berkata pihaknya menjangkakan seramai 5,900 individu lagi akan hadir menerima vaksin esok.

“PPV Tropicana Gardens Mall akan ditutup sepenuhnya pada 3 September depan. Setakat ini proses berjalan lancar biarpun menerima kehadiran ramai,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelarian UNHCR antara penerima Vaksin Selangor di PPV UIAM

GOMBAK, 18 OGOS: Sebanyak 10,000 dos disediakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Pengarah PPV Dr Muhammad Faris Abdullah berkata 5,000 daripada jumlah itu digunakan untuk suntikan dos pertama bermula semalam dan hari ini manakala selebihnya dos kedua.

“Suntikan dos pertama dijalankan selama dua hari dengan semalam kita berjaya memberi vaksin kepada lebih 1,000 pelajar dan kakitangan yang belum menerima janji temu melalui MySejahtera.

“Kita menjangkakan hari ini jumlah peserta bertambah mengambil kira jumlah pendaftaran di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) melebihi 2,500 peserta,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau menjelaskan pemberian vaksin di PPV terbabit mengutamakan penuntut dan kakitangan UIAM termasuk komuniti sekitar serta pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Walaupun keutamaan kepada pelajar dan kakitangan, namun golongan pelarian serta penduduk setempat tidak dipinggirkan memandangkan kebanyakan mereka menghadapi masalah untuk mendapat vaksin.

“Kita patut menjalankan tanggungjawab sebagai komuniti serta mengambil berat isu masyarakat. Sebelum ini, kita pernah bekerjasama dengan UNHCR dalam pelbagai bidang dan kali ini cuba bantu pelarian dapat vaksin,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB tinjau suntikan dos pertama Vaksin Selangor di PPV UIAM

GOMBAK, 18 OGOS: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa meninjau proses suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba pada jam 8.15 pagi meninjau operasi PPV bermula dengan stesen saringan gejala dan suhu, pendaftaran, konsultasi dan persetujuan, suntikan serta pemerhatian.

Lawatan ke PPV itu yang beroperasi mulai semalam, diiringi Rektor UIAM Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Pengarah PPV UIAM Dr Muhammad Faris Abdullah dan Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) Dr Mohammad Farhan.

Turut serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohd Yazid Sairi dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi.

Dalam lawatan itu, Amirudin diberi senaskhah al-Quran dan plak oleh Dr Dzulkifli sebagai tanda penghargaan.

Beliau kemudian merakam foto kenangan di replika picagari sebagai simbolik kerjasama program Vaksin Selangor (Selvax) dengan institusi pengajian tinggi terbabit.

Terdahulu, tinjauan Selangorkini mendapati orang ramai yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengimbas kod bar Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan MySejahtera, menyukat suhu badan serta menjaga penjarakan fizikal.

Lokasi PPV turut dikawal ketat oleh polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penguat kuasa MPS.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) membabitkan 500,000 dos.

Program Selvax merupakan pelengkap kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

Categories
RENCANA WAWANCARA

Penuntut universiti korbankan masa dengan keluarga jadi sukarelawan di PPV

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Jika ramai rakan seuniversiti memilih untuk bersama keluarga di rumah sepanjang cuti semester, apatah lagi ketika penularan pandemik Covid-19 semakin parah, Sara Wajiha Azman memutuskan untuk memanfaatkan masa luang tersebut dengan menyumbang kepada negara.

Gadis berusia 21 tahun itu memilih menjadi sukarelawan MyVac bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan dia beruntung kerana terpilih bertugas di pusat pemberian vaksin (PPV) Galaxy Mall di Ampang yang terletak berhampiran kediaman keluarganya.

Menyifatkan pengalaman itu sebagai “satu dalam sejuta”, penuntut tahun dua di Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia tersebut berkata dia juga bertuah kerana terpilih mengetuai pasukan MyVac di PPV berkenaan.

“Banyak cabaran yang dilalui, khususnya dalam memastikan kita mempunyai sukarelawan mencukupi untuk bertugas setiap hari.

“Seperti kita sedia maklum, bukan semua boleh datang setiap hari kerana masing-masing ada komitmen lain. Justeru, apabila keadaan itu berlaku, saya perlu bijak menyusun tenaga kerja sedia ada seperti mengurangkan orang di stesen tertentu dan meletakkan mereka bertugas di stesen yang memerlukan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Orang ramai hadir untuk mendapatkan vaksin Covid-19 tanpa janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 7 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Cabaran urus warga asing

Menurutnya, cabaran lain ialah berurusan dengan warga asing yang kebanyakannya tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris sekalipun ada pasukan penterjemah untuk membantu mereka mengisi borang persetujuan vaksinasi dan maklumat diri.

“Jadi, tugas saya sebagai ketua ialah perlu segera fikirkan cara untuk mengatasi masalah sedia ada, sebagai contoh menghentikan sementara sistem nombor giliran dan menggunakan kaedah yang berbeza untuk melancarkan semula proses vaksinasi.

“Selain itu, kita ahli sukarelawan juga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 secara langsung kerana ada ahli masyarakat yang masih tidak faham bahawa jika mereka merupakan kontak rapat, kes suspek, positif Covid-19, mereka tidak boleh datang ke PPV untuk mengambil vaksin. Malah, ada banyak kes menipu surat sokongan doktor dan mengatakan dia negatif jangkitan, walhal surat itu adalah surat palsu,” keluhnya.

PPV Ampang yang beroperasi sejak 26 Julai lepas, bertujuan mempercepat pemvaksinan penduduk di sekitar Lembah Klang dengan kapasiti harian kira-kira 1,800 dos dan terbuka kepada orang ramai, warga tua serta rakyat asing yang terpilih secara janji temu melalui MySejahtera.

Tenaga belia perlu digembleng

Sara Wajiha yang aktif dalam aktiviti kesukarelawanan di universitinya juga menyangkal dakwaan belia negara ini lemah dan gagal membantu kerajaan dalam mengharungi pandemik Covid-19.

“… sebenarnya ramai yang tidak dapat duduk diam memikirkan bagaimana hendak memberi sumbangan tenaga dan masa mereka. Saya difahamkan ada kira-kira 60,000 orang yang masih menunggu giliran dan peluang untuk menjadi sukarelawan MyVac, dan ini merupakan jumlah yang besar,” katanya.

Mengenai masa yang dihabiskan di PPV itu, wanita muda berkenaan berkata hampir setiap hari dia akan berada di situ hingga malam kerana ada masanya mereka tidak mempunyai petugas yang mencukupi.

Dia juga bersyukur kerana mendapat restu ibu bapa untuk bertugas di PPV.

Menurutnya, dia memanfaatkan sepenuhnya peluang menjadi sukarelawan MyVac untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada generasi lebih tua.

“Di universiti, kebiasaannya saya bekerja dengan mereka yang hampir sebaya, namun apabila ditugaskan sebagai ketua sukarelawan di sini, saya berpeluang bekerjasama dengan mereka yang datang daripada pelbagai lapisan umur dan pengalaman kerja. Apabila tiba waktu rehat, saya sering duduk berbual dengan mereka dan mencedok banyak nasihat dan teguran daripada mereka,” katanya.

Orang ramai bergambar selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Belia dan kerajaan

Sementara itu, Ketua Projek Belia Mahir Mohammad Rizan Hassan berkata anak muda di negara ini harus sedar pada masa ini seluruh ahli masyarakat memerlukan tenaga mereka.

“Hidup tanpa berkhidmat kepada masyarakat tidak ubah sebagaimana pencuri besar dalam negara. Kehidupan biarlah sentiasa bekerja dan berdamping dengan masyarakat dan negara.

“Selain itu, para belia juga hendaklah menjadi lidah penyambung suara kerajaan kepada rakyat. Semoga jentera pembangunan kerajaan dapat disalurkan kepada seluruh rakyat di negara ini secara holistik,” katanya.

Pada masa sama, Tokoh Belia Negara 2011 itu turut menggesa belia meningkatkan pengetahuan dalam teknologi maklumat kerana pembangunan bandar berteknologi yang dirancang oleh kerajaan adalah untuk “menyelamatkan” golongan tersebut dalam mengharungi era yang mencabar, khususnya pasca-Covid-19.

Katanya, kegagalan meningkatkan pengetahuan secara berterusan dalam bidang teknologi maklumat termasuk cara memanfaatkannya akan menyebabkan mereka bukan sahaja ketinggalan dalam bidang itu tetapi juga terdedah kepada “serangan” ke atas cara hidup, agama dan amalan budaya.

“Memang benar ancaman teknologi akan sentiasa berlaku dan menimbulkan perkara-perkara tidak diingini. Tetapi, jika golongan belia sendiri tidak tahu tentang teknologi dan pengurusan multimedia, mereka mungkin tidak dapat mengawal gejala buruk yang akan berlaku kepada masyarakat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemuda ada sakit kronik lega lengkap dua dos vaksin Selangor

GOMBAK, 15 OGOS: Seorang pemuda yang menghidap penyakit kencing manis lega apabila lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini.

Lau Wing Hoh, 25, berdaftar di bawah Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang menerima suntikan pelalian pertama pada 26 Julai lalu.

Lau Wing Hoh, 25. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Abangnya, Lau Wing Kit, 26, berkata adiknya menghidap penyakit kronik itu sejak tiga tahun lalu dan kini tidak mampu bekerja kerana sukar bergerak selepas penglihatan turut terjejas.

“Adik menguatkan semangat untuk hadir hari ini walaupun tidak sihat, dia lega kerana dapat lengkapkan dua dos vaksin,” katanya ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan di sini.

Nor Azmin Derhaman, 57. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Perasaan lega turut dirasai bekas pesakit Covid-19, Nor Azmi Derahman, 57, yang mahu melengkapkan dua dos suntikan secepat mungkin bagi menguatkan sistem ketahanan diri.

“Vaksin dapat membantu mengelakkan jangkitan atau mengurangkan kesan, saya gesa seluruh masyarakat jangan bertangguh ambil vaksin,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Seorang guru tadika, N Jayasri, 32, hadir jam 5.30 pagi ke Dewan Seri Siantan bagi memastikan dirinya menerima suntikan sebagai persiapan sekiranya sesi persekolahan kembali dibuka.

N Jayasari, 32, guru tadika. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya datang semalam tetapi diberitahu kuota suntikan vaksin secara tanpa janji temu telah penuh, jadi saya datang seawal jam 5.30 pagi hari ini walapun pagar hanya dibuka jam 9 pagi,” katanya.

“Saya mengambil vaksin sebagai persediaan sekiranya tadika kembali dibuka, menguruskan kanak-kanak memerlukan saya bebas Covid-19 untuk mengelakkan jangkitan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PPV perlu maklum polis jangkaan kehadiran, elak langgar SOP

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Pusat pemberian vaksin (PPV) perlu memaklumkan kepada polis mengenai jangkaan kehadiran orang awam untuk mengambil vaksin lebih awal, agar polis dapat membuat persediaan dan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata makluman itu bagi mengelakkan ketidakpatuhan SOP sehingga kawasan itu menjadi sesak dengan orang ramai.

“Sebagai contoh kejadian sebelum ini, di PPV KLCC yang tular dengan ketidakpatuhan SOP termasuklah kejadian terbaru Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini, yang berlaku salah faham, (sehingga) orang ramai menganggapnya sebagai PPV.

“Seelok-eloknya orang ramai yang nampak dengan kejadian seumpama ini terus melaporkan dan janganlah terlalu asyik merakam sesuatu kejadian itu hingga terlupa untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kejadian tular PPV KLCC dan Rumah Prihatin @ Grand Seasons berhubung ketidakpatuhan SOP.

Selain itu, Zainal berkata orang ramai diminta untuk tidak menularkan sesuatu kejadian ketidakpatuhan SOP hingga menimbulkan ketidaktenteraman awam.

Beliau berkata sekiranya orang ramai tidak mempunyai sebarang nombor telefon mana-mana bilik gerakan polis mereka boleh berbuat demikian dengan hanya menghubungi talian 999.

“Setidak-tidaknya mereka boleh menghubungi talian 999, pihak saya kalau dapat maklumat, mustahil polis tidak ambil tindakan berhubung kejadian ketidakpatuhan SOP,” katanya

Selain itu, Zainal juga menolak alasan ketidakpatuhan SOP di PVV disebabkan orang awam datang awal sebelum waktu janji temu vaksinasi.

“Tidak mungkin juga, biasanya paling awal pun (orang awam) hadir dua jam sebelum waktu janji temu melainkan ‘jumpa terus (walk-in) . Bila sebut jumpa terus, kalau beri maklumat awal (jangkaan kehadiran) kepada polis, maka polis bersedia lebih awal untuk menjaga kawasan,” katanya.

Pada 28 Julai lepas, polis mengesahkan berlaku kesesakan warga asing di PPV KLCC seperti tular di media sosial, dan dua hari lepas kesesakan turut berlaku di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini berpunca daripada salah faham dan berita kononnya premis itu menyediakan perkhidmatan vaksinasi tanpa janji temu untuk bukan warganegara.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sementa sedia kenderaan, kos minyak bantu penduduk ke PPV

SHAH ALAM, 11 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa menyediakan kenderaan serta kos minyak untuk mudahkan penduduk hadir ke Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Hotel De Palma Seksyen 19.

Penyelarasnya Mohd Saadon Muah berkata bantuan ditawarkan kepada individu yang berdepan masalah pengangkutan memandangkan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) itu agak jauh dari DUN terbabit.

“Penduduk yang perlukan bantuan ini boleh maklumkan kepada ketua kampung. Kita pernah bercadang lakukan proses suntikan dalam DUN sahaja namun ada kekangan dari aspek lokasi serta petugas.

“Begitu juga dengan penyediaan bas, kita kena fikirkan proses sanitasi. Sebab itu kita rasa PPV ini sesuai walaupun jauh cuma kita perlu sediakan sejumlah kos sebagai bantuan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Saadon berkata lebih 1,000 penduduk Sementa dijangka menerima manfaat program percuma anjuran Kerajaan Selangor itu.

“Pada mulanya kita terima pendaftaran seramai 2,600 individu tetapi jumlahnya berkurang kerana ramai dah terima pelalian PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) sebelum program ini berlangsung,” katanya.

Kerajaan Negeri melancarkan Selvax pada Jun bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos RM200 juta dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK.