Categories
NASIONAL

Penganalisa: Sistem pemilihan umno tidak cerminkan suara akar umbi

Prof Datuk Mohamad Abu BakarSHAH ALAM,  15 OKT: Sistem pemilihan “satu bahagian satu undi” yang dipraktikkan dalam Pemilihan Umno 2013 tidak menzahirkan kehendak majoriti ahli akar umbi parti itu.

Penganalisa politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata melalui sistem seperti itu, pemimpin yang menang perebutan jawatan tidak semestinya menang dari segi undi popular.

Ini berbeza dengan sistem pemilihan “satu ahli satu undi” yang diamalkan PKR dan memberi kuasa kepada setiap ahli untuk memilih pemimpin mereka hingga ke peringkat tertinggi.

“Saya tak begitu pasti sejauh mana sistem ini mampu memberi kesan transformasi pemilihan.

“Cuma yang digembar-gemburkan kononnya suatu suasana yang lebih demokratik sudah menjalar dalam kepimpinan dan pemilihan Umno tetapi apakah perasaan peringkat yang berbagai itu benar-benar dapat disalurkan dari segi pemilihan akhir, itu sukar untuk disukat,” kata pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.

Sebelum ini penulis Blog terkenal pro Umno, Syed Akhbar Ali menganggap kemenangan yang diraih Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita Umno dan Khary Jamaluddin Abu Bakar sebagai Ketua Pemuda Umno bukan kemenangan mutlak kerana undi yang dibuang ahli-ahli Umno akhirnya dianggap satu undi sahaja di peringkat bahagian.

Selain itu beliau turut mempersoalkan ketelusan jawatankuasa Pemilihan Umno yang beliau dakwa merahsiakan jumlah undi popular seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu.

Selain sistem pemilihan yang bercelaru, suasana pemilihan kali ini didakwa dicemari kewujudan pengundi hantu, kertas undi tidak cukup, jumlah undi melebihi perwakilan, insiden melempar mikrofon, kertas undi mengelirukan dan lain-lain.

Categories
NASIONAL SELANGOR

CCRIS dibatalkan setelah terima pelbagai tekanan

ptptn student

SHAH ALAM, 21 OGOS – Kerajaan hari membatalkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam melaksanakan Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjamnya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan di laman facebook beliau hari ini memaklumkan sejurus selesai bermesyuarat bersama Jemaah Menteri.

Keputusan ini dibuat mungkin berdasarkan tekanan dari pelbagai pihak yang tidak bersetuju berikutan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara untuk menyenarai hitam peminjam yang gagal membayar pinjaman PTPTN.

Semalam hampir seluruh portal utama menyiarkan pandangan pelbagai pihak yang menentang tindakan PTPTN tersebut.

CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Putar Belit Kenyataan PKR Mahu Rujuk KJ Ke Mahkamah

azmin ali

SHAH ALAM 17 JAN : Kenyataan susulan yang dikeluarkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin selepas penyelesaian isu saman Anwar-KJ perlu dirujuk semula kepada mahkamah kerana dipercayai mempunyai unsur menghina mahkamah.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata perkara terbabit perlu diberi perhatian serius supaya dapat mengelakkan putar belit yang dilakukan beliau.

Katanya, kenyataan susulan yang angkuh menggambarkan beliau tidak insaf dan tidak jujur.

“Beliau lebih rela berbohong daripada berterus terang kepada rakyat sedangkan beliau sendiri menarik balik fitnah yang dibuatnya.

“Seterusnya, beliau juga cuba memberi gambaran seolah-olah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon perkara itu diselesaikan di luar mahkamah kerana bimbang dengan perbicaraan penuh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Sehubungan itu, pihaknya akan mendapatkan peguam untuk membuka semula kes itu kepada pihak mahkamah.

Semalam, Khairy mendakwa beliau tidak menarik balik kenyataannya berkenaan Anwar tetapi cuma berkata apa yang dipetik itu tidak betul dan tidak tepat.

Kes saman fitnah RM100 juta yang difail Anwar terhadap, Khairy pada 7 September  2007 diselesaikan semalam selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Anwar dalam samannya mendakwa Khairy, yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada satu majlis politik di Kuala Kangsar pada Ogos 2007, yang disiar media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu PTPTN: Kerajaan BN Takut dengan Keberanian, Keupayaan PR

SHAH ALAM, 8 JUN: Terkejut dengan keberanian dan keupayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang bersedia untuk menampung pembiayaan pendidikan pelajar Universiti Selangor (Unisel) selain desakan pelbagai pihak, akhirnya Kerajaan Pusat akur dan menarik semula pembekuan pinjaman Perbadanan Tinggi Pinjaman Tabung Nasional (PTPTN).

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Kim dalam reaksinya berkata, tindakan bolak-balik (flip flop) Kerajaan Pusat ini jelas menunjukkan mereka sebenarnya takut dengan keupayaan Kerajaan Negeri yang akhirnya membuatkan pemimpin Umno-BN menjilat air liur mereka semula.

Tindakan kononnya ingin ‘menguji’ Kerajaan Negeri sebenarnya mampu menjadi ‘senjata makan tuan’ kepada Umno-BN memandangkan sebelum ini mereka begitu mendabik dada mampu merampas kembali Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Mereka menguji sehari dan mendapati kerajaan Pakatan Rakyat adalah serius dalam perkara ini. Ini membuktikan pentadbiran Pakatan Rakyat memang mampu untuk membiayai perbelanjaan di peringkat IPTA ini.

“Atas sebab itu mereka terpaksa membuat keputusan untuk menarik balik keputusan sebelum ini,” katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid dalam satu kenyataan semalam mengumumkan, pencairan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM yang dianggarkan bernilai RM30 juta bagi membantu pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan Umno-BN membekukan PTPTN.

Tidak sampai 24 jam selepas itu, pihak PTPTN mengumumkan penarikan semula pembekuan pinjaman tersebut yang menyaksikan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) turut menerima nasib sama.

Sebelum ini beberapa pimpinan Umno-BN dengan lantang memuji langkah sekatan yang dikenakan terhadap dua IPT milik kerajaan Selangor namun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berpendirian sebaliknya.

Teng turut menegaskan, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk membiayai pendidikan di negeri ini sekiranya pembayar cukai membuat bayaran kepada Kerajaan Negeri dan bukannya kepada Kerajaan Pusat.

Katanya, Pakatan Rakyat tetap realistik dan optimis untuk melaksanakan pendidikan percuma sekiranya berjaya menakluki Putrajaya dalam PRU-13.