Categories
SELANGOR

Gendang PRU dipalu, ini kalilah undi PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi detik terpenting kepada masyarakat Malaysia untuk melakukan perubahan dengan memilih komponen Pakatan menerajui pentadbiran Putrajaya.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Ng Suee Lim berkata, rakyat Malaysia harus merujuk kejayaan Kerajaan Pakatan yang berjaya mengurus tadbir Selangor dengan baik dan berjaya.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi penanda aras terbaik Pakatan mampu mengurus Kerajaan Persekutuan, di Putrajaya.

“Kejayaan Selangor harus dijadikan pengukur dan petunjuk bahawa kejayaan pentadbiran Selangor adalah cerminan kepada wajah Malaysia yang lebih baik.

“Justeru, rakyat harus bijak memilih Pakatan demi mempertahankan kemajuan Selangor yang lebih makmur dan adil.

“Tidak dilupa, rakyat perlu memilih Pakatan untuk menerajui kepimpinan Putrajaya dan menewaskan kerajaan kleptokrat Umno Barisan Nasional,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 7 April ini.

Pembubaran dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkenan itu juga bakal memberi laluan kepada PRU14.

Categories
SELANGOR

Pilih kredibiliti pemimpin terbaik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR: Rakyat perlu memilih pimpinan berkredibiliti yang mampu mengangkat martabat kebajikan masyarakat berbilang kaum, di Selangor.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, keutamaannya adalah dengan memilih wakil rakyat telus dan memahami penderitaan rakyat sebenar.

“Selepas pembubaran ini, masa depan negara dan negeri berada, pada pilihan rakyat dengan membuat pilihan terbaik serta meneliti semua tawaran juga kredibiliti parti bertanding.

“Pimpinan itu juga perlu diyakini mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat,berkuat kuasa 7 April ini.

Categories
SELANGOR

Bubar DNS: MB bakal hadap DYMM Sultan Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tarikh yang diperkenan baginda untuk pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mohamed Azmin dalam kenyataan media memaklumkan, hal itu supaya proses Pilihan Raya Negeri Selangor ke-14 dapat diadakan.

“Saya mengambil maklum pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa 7 April (esok).

“Selaras dengan Perkara LV Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibaca bersama Perkara LXX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya akan menghadap DYMM Sultan Selangor bagi menyampaikan nasihat untuk mendapat perkenan Tuanku bagi pembubaran DNS,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 7 April selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau membuat pengumuman itu secara langsung, pada jam 12 tengah hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, pagi tadi.

Berikutan itu, Perdana Menteri menasihatkan ketua Kerajaan Negeri untuk menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya umum dapat diadakan secara serentak.

Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung. Undang-undang menetapkan ia mesti dibuat dalam tempoh 60 hari.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Parlimen bubar berkuat kuasa esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa esok, pada 7 April selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau membuat pengumuman itu secara langsung, pada jam 12 tengah hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, pagi tadi.

Berikutan itu, Perdana Menteri menasihatkan ketua Kerajaan Negeri untuk menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya umum dapat diadakan secara serentak.

Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung.

Undang-undang menetapkan ia mesti dibuat dalam tempoh 60 hari.

Mandat kerajaan semasa akan berakhir, pada 28 April 2018.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Najib membuat pengumuman itu hari ini selepas ulang tahun kesembilan sebagai Perdana Menteri, selepas mengambil alih pentadbiran daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 3 April 2009.

Categories
SELANGOR

67% pengundi baru Selangor nilai prestasi Kerajaan Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Prestasi Kerajaan Negeri dan calon dijangka menjadi faktor yang diambil kira pengundi di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Penganalisis politik bebas, Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, kesan ini lebih terasa dalam kalangan kira-kira 67 peratus pengundi baru yang bakal mengundi.

“Kalau kita tengok di Selangor, pertandingan tiga penjuru akan berlaku, jadi pengundi akan mengundi berdasarkan kepada prestasi kerajaan sedia ada dan kedua, prestasi calon.

“Rakyat tidak lagi memilih berdasarkan pilihan tradisional kerana semakin banyak parti seperti Umno berpecah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS berpecah kepada Parti Amanah Negara (Amanah),” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Jelasnya, keadaan ini memberi kelebihan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor apabila berdasarkan dapatan kajian beliau di Selangor sebelum ini mendapati 70 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Negeri.

Katanya, kajian yang pernah dibentangkan dalam satu seminar politik tidak berapa lama itu melibatkan 1,000 responden di serata Selangor khususnya di Bangi yang dianggap mempunyai demografi hampir sama dengan Selangor keseluruhan.

“Dalam kajian yang kita buat enam bulan lepas di Selangor menunjukkan wujudnya apa yang dikatakan ‘sentimen Selangor’.

“Sentimen Selangor ini bermaksud rakyat Selangor hari ini lebih 70 peratus berpuas hati dengan Kerajaan PAKATAN hari ini dan ini memberi isyarat dengan kepimpinan sedia ada, Selangor akan kekal kepada PAKATAN,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

PRU14: SPR dicadang undang pemerhati berwibawa

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mengundang pemerhati antarabangsa dari negara berwibawa untuk memantau Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya ia tidak dipertikaikan.

Justeru, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah bagi mengundang pemerhati antarabangsa dari negara Komanwel dan Asean untuk tujuan itu dialu-alukan supaya kesilapan, pada PRU13 tidak berulang.

Bagaimanapun, beliau tetap melahirkan kebimbangan terhadap kelemahan SPR mengundang pihak berkaitan dari negara dipertikaikan kewibaannya sepertu Myanmar dan Kemboja.

“Ini kerana Myanmar pada saat ini mempunyai rekod buruk dengan isu berkaitan hak asasi manusia dan pendemokrasian serta Kemboja dipimpin Hung Sen menindas pembangkang juga mencengkam demokrasi.

“Saya menggesa undangan dipanjangkan kepada pemantau pilihan raya antarabangsa dari negara berwibawa,” katanya ketika berbahas menyokong titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut meminta SPR mewujudkan “caretaker government” selepas pembubaran Parlimen, bersesuaian Perkara 55(3) dengan kerajaan sementara mengambil alih pentadbiran negara seperti yang pernah dipraktikkan Tunku Abdul Rahman.

Katanya, SPR perlu memikul amanah itu dengan kewujudan “caretaker government” bersifat neutral dan berkecuali.

“Berbanding beberapa PRU lalu dengan tempoh kempen singkat, pada PRU14 nanti saya mencadangkan SPR mempertimbangkan ia diadakan tidak kurang 21 hari untuk tujuan itu,” katanya.

Categories
NASIONAL RENCANA

Sia-sia merungut jika tidak mengundi

Teras paling utama dalam sistem demokrasi ialah rakyat. Abraham Lincoln mengekspresikan demokrasi sebagai pembentukan sebuah kerajaan rakyat, dari rakyat, untuk rakyat.

Sheikh Yusuf al-Qaradawi pula menyikapi demokrasi sebagai sebuah sistem yang berfungsi demi menjaga kepentingan umum (maslahah ammah) mengatasi kepentingan individu.

Dalam konteks Malaysia, kedua-dua definisi ini terpakai, namun definisi al-Qaradawi lebih dekat dan tepat dalam menggambarkan sikap kita terhadap demokrasi. Kerana, konsep kepentingan umum bukan semata-mata meraikan pandangan majoriti dan menafikan secara mutlak pandangan minoriti.

Sebaliknya, keputusan yang dibuat dalam rangka kebebasan bersuara adalah keputusan yang memberikan manfaat yang bersifat mapan dan berpanjangan.

Inilah semangat yang terkandung didalam Perlembagaan Persekutuan yang dizahirkan dalam peruntukan-peruntukan berkaitan kebebasan asasi, pembangunan dan pengurusan negara.

Oleh yang demikian, perkara yang mesti diberikan perhatian oleh rakyat Malaysia demi menunjukkan rasa penghargaan dan hormat kepada demokrasi yang telah kita bina bersama seawal Pilihanraya Umum Pertama Persekutuan 1955, ialah kesedaran bahawa rakyatlah; kitalah, yang mengisi serta menjayakan demokrasi ini.

Tanpa suara rakyat maka Malayan Union mungkin akan dilaksanakan, tanpa suara rakyat mungkin kita tidak dapat merdeka. Terkini, gagasan Transformasi Nasional 2050 mungkin tidak berjaya tanpa suara dan aspirasi rakyat Malaysia.

Manakala akan datang, hasrat paling utama Pilihanraya Umum tidak akan tercapai tanpa penyertaan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam semua proses pilihanraya; mendaftar sebagai pemilih, memilih-menilai calon pilihan terbaik, dan turun mengundi pada hari pengundian.

Signifikasi penyertaan rakyat secara menyeluruh didalam proses pilihanraya dibuktikan melalui peristiwa-peristiwa sejarah yang mana sudah cukup memberikan kesedaran kepada kita.

Kesedaran bahawa penyertaan rakyat dalam pilihanraya menentukan jatuh-bangun pemerintahan adil atau zalim; efisien atau lemah; rasuah atau bertanggungjawab; elitis atau benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

Pada 5 Mac 1933, Pilihanraya Persekutuan Jerman diadakan. Ini merupakan pilihanraya terakhir sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama. Hitler yang menjadi pengatur utama pilihanraya ketika itu menjangkakan partinya akan menang dengan majoriti besar.

Keyakinan yang disandarkan kepada segala agenda menuai budaya takut dalam kalangan rakyat; pengharaman, pemenjaraan dan tindakan ganas.
Namun, rakyat membuktikan satu undi mampu membawa perubahan yang besar. Hitler hanya mampu mendapat 43.91% undi, tidak cukup bagi membentuk majoriti.

Walaupun, akhirnya Hitler tetap mampu memutar kekalahan itu dengan bersusah-payah menjadi kelebihan kepada partinya, fakta tetap membuktikan bahawa undi rakyat mampu memberikan mesej yang jelas mengenai aspirasi terdalam rakyat jelata.

Pada 3 Mei 1979, Pilihanraya Umum United Kingdom menyaksikan pertukaran pemerintahan daripada dipegang Parti Buruh kepada Parti Konservatif.
Konservatif memenangi pilihanraya tersebut dengan peningkatan kerusi yang dimenangi sebanyak 62 kerusi; 339 kerusi keseluruhan; daripada 365 kerusi yang dipertandingkan; dengan kelebihan 21 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti.

Sebab rakyat memberikan 43.9% undi popular kepada Margaret Thatcher, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri wanita pertama Britain, adalah kerana kelemahan dan ketidakupayaan kerajaan Parti Buruh dalam menjamin pembangunan negara yang sejahtera untuk rakyat keseluruhan; kemunduran ekonomi, polisi yang tidak efisien dan ketidak adilan sosil yang melarat.

Mungkin kita tidak bersetuju sepenuhnya dengan dasar Konservatif, namun pokok pengajarannya ialah undi rakyat menentukan masa depan negara; sama ada kekal dengan nasib yang tiada manfaat atau memilih parti pemerintah yang mampu memberikan jaminan kesejahteraan untuk rakyat.

Sebagaimana Thatcher yang menjadi Perdana Menteri Britain wanita yang pertama kerana keupayaannya memberikan harapan kepada rakyat.

Begitulah juga, Barack Obama yang memenangi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008. Rakyat memilih untuk menyokong dan mengangkat pemimpin yang memahami keperluan rakyat; antara lain ialah inisiatif Obama Care yang mendapat perhatian rakyat.

Obama menjadi pilihan 52.9% rakyat Amerika pada tahun 2008 dan 51.1% undi popular pada tahun 2012. Nilai kepimpinan dan manifesto yang meyakinkan menjadi sebab rakyat Amerika berjaya melawan stereotaip dan status quo pemilihan presiden dari kalangan orang berkulit putih.

Pilihan ini dibuat oleh rakyat Amerika sendiri dan dimanifestasikan melalui undi dalam pilihanraya. Kerana undi dalam Pilihanraya jugalah Presiden Donald Trump mendapat mandat bagi memimpin Amerika pada tahun 2016.

Di Korea Selatan pula, selepas kekecewaan rakyat terhadap jenayah rasuah yang dilakukan oleh bekas Presiden Park Geun Hye. Rakyat membuat keputusan untuk memberikan mandat presiden kepada Presiden Moon Jae In yang juga merupakan dan dikenali sebagai aktivis mahasiswa dan peguam hak asasi manusia.

Pilihanraya Presiden yang diadakan pada 9 Mei 2017, menyaksikan kemenangan Presiden Moon dengan manifestonya meningkatkan pasaran domestik, ketelusan pentadbiran dan penyatuan Semenanjung Korea.

Kesimpulannya, menjelang Pilihanraya Umum ke-14 ini adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia; tua dan muda, bandar dan luar bandar; pro dan kontra parti politik, untuk turun mengundi.

Kerana mengundi bukan semata-mata mengundi parti politik, lebih daripada itu ialah mengundi manifesto terbaik untuk masa depan negara.

Maka, sekiranya kita tidak turun mengundi dan terlibat dalam proses pilihanraya, kita hilang kelayakan untuk merungut terhadap polisi dan dasar kerajaan yang dipilih laksanakan.

Ini adalah kerana, memandangkan kita sudah memilih untuk terlibat dari awal, maka tidak ada sebab untuk kita terlibat dalam proses yang seterusnya.

Turun mengundi demi hak anda, demi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat kepada negara, demi memilih masa depan Malaysia yang lebih baik dan terjamin.

Melalui instrumen demokrasi inilah rakyat harus tampil dan menzahirkan hasrat yang paling dalam demi Malaysia. Hasrat untuk membangun Malaysia yang lebih terkehadapan dalam pelbagai sektor; ekonomi, infrastruktur, pendidikan, kehakiman dan keadilan sosial yang menyeluruh.

OLEH: IRFAN FARUQI MOHAMAD FAIRUS
Exco Penerangan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sesi 2017/2018.

Categories
NASIONAL

PAKATAN ada strategi hadapi saingan tiga penjuru

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) mempunyai strategi tersendiri andai terpaksa berhadapan saingan tiga penjuru di beberapa kawasan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Sekreteriat PAKATAN, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, berdasarkan keadaan semasa mungkin itu realiti yang perlu dihadapi dalam landskap politik negara.

“Kemungkinan rasanya banyak (pertembungan) tiga penjuru antara Pakatan Harapan-Barisan Nasional-PAS.

“Saya tidak boleh beritahu banyak kerana ia membabitkan strategi kita,” katanya.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan penonton pada Siri Forum Demokrasi: Memerangi Budaya Takut Dalam PRU-14 di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE) semalam, beliau berkata, segalanya terserah kepada pengundi untuk memilih walaupun ramai akan bertanding.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya berharap peratusan rakyat akan keluar mengundi, pada PRU14 meningkat sehingga 90 peratus bagi melakukan perubahan.

Namun, berdasarkan mood semasa kecenderungan itu sukar dilihat berbanding PRU13.

Menyentuh soal budaya takut yang dibincangkan, Maria berkata, perkara itu sudah berlarutan sejak sekian lama termasuk ketika Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan kali pertama, pada 2010.

“Apabila terbabit dengan Bersih, saya masih ingat pada 2010 kita menganjurkan Perhimpunan Bersih 2.0.

“Kta dapat serangan daripada kerajaan menerusi media. Kita dikatakan anti-Islam, nak tumbangkan kerajaan. Setiap hari kita perlu jawab tuduhan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Isu kerusi PRU-14, Pakatan amal prinsip kekeluargaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 4 FEB : Pakatan tidak berdepan sebarang masalah besar membabitkan isu pertikaian pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor.

Pengerusi Harapan Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gabungan itu mengamalkan prinsip dan semangat kekeluargaan semua parti dalam komponen Harapan.

“Perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Ia boleh diselesaikan dengan semangat kekeluargaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita, pada Majlis Sambutan Ponggal Peringkat Negeri Selangor di Tapak Parkir Dewan Serbaguna Batu 14, Puchong malam tadi.

Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor mendedahkan rundingan pembahagian kerusi telah mencapai 80 peratus dan bakal dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan agar isu pembahagian kerusi di Selangor tidak dibangkitkan lagi kepada umum.

Menyambut baik saranan itu kata Mohamed Azmin, semua pucuk pimpinan perlu komited untuk melalui pilihanraya depan.

“Nasihat baik kita patuhi, yang penting sebarang permasalahan ini diselesaikan dalam semangat kekeluargaan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Ambil kira pelbagai perkara sebelum tetapkan calon PRU14

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 29 JAN: Pelbagai perkara perlu diteliti dan diambil kira dalam menetapkan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setakat ini calon-calon yang bertanding bagi setiap parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) belum dimuktamadkan lagi.

“Kita belum muktamadkan lagi calon walaupun secara prinsipnya telah mempunyai senarai akhir nama calon-calon yang akan bertanding.

“Sebelum hari penamaan calon kita akan selesaikan perkara ini. Bagaimanapun, sekiranya pilihan raya dijangka April, kita bersedia dengan calon dan kerusi yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Terdahulu, pengagihan kerusi DUN bagi PAKATAN perlu ditetapkan pada tarikh akhir iaitu 31 Januari ini.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, proses perbincangan pembahagian kerusi telah lama dibuat dengan PAKATAN Selangor.

“Jika tiada perbincangan, bagaimana nak tahu mereka (parti) berminat untuk bertanding? Namun, proses masih berjalan dan kenapa perlu tumpu Selangor saja sedangkan seluruh negara belum selesai lagi pembahagian kerusi di peringkat DUN.

“Di peringkat Parlimen pun, pada prinsipnya telah selesai tetapi masih ada perbincangan dibuat untuk memastikan kemenangan PAKATAN.

“Faktor kemenangan lebih penting daripada menetapkan tempoh tertentu. Kalau kita boleh selesaikan 90 peratus daripada pemilihan, ia adalah sesuatu yang baik bagi PAKATAN,” katanya.

Katanya, PAKATAN mempunyai satu hingga dua kerusi yang masih dalam perbincangan di mana ia perkara biasa dalam perjuangan politik.

“Ini kerana akhirnya kita mahu siapa juga yang mewakili kawasan tersebut bagi pihak PAKATAN mesti menang dan terdapat banyak faktor selain kerusi, seperti penerimaan pengundi, sokongan rakyat dan isu di kawasan itu.

“Maka, sudah tentu proses ini agak rumit tetapi saya melihat perbincangan itu berjalan dengan cukup positif untuk menentukan kemenangan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

PAKATAN selesai agih kerusi akhir Januari

SHAH ALAM, 24 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) menetapkan tempoh hingga akhir Januari ini untuk menyelesaikan isu calon dan pengagihan kerusi dalam kalangan parti gabungan itu juga parti pembangkang lain di Sabah.

Memetik Berita Harian Online, Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh sama turut diberikan kepada PAKATAN, di negeri lain untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita akan minta setiap parti menyenaraikan calon mengikut kawasan dikhususkan dan saya pasti setiap parti sudah kenal pasti bakal calon.

“Begitu juga dengan pembahagian kerusi mesti diselesaikan sebelum akhir bulan ini,” katanya pada sidang media PAKATAN Sabah, hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, pihaknya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain, di Sabah yang berkongsi matlamat sama menumbangkan Barisan Nasional (BN).

 

Categories
NASIONAL

Apa nasib Malaysia jika BN menang dua pertiga?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka melaksanakan persempadanan semula membabitkan pertambahan kerusi untuk meningkatkan penguasaan Umno-Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, pada masa akan datang.

Ketua Penganalisis Politik dan Sosial Penang Institute, Dr Wong Chin Huat berkata, persempadanan yang dijangka bermula hujung tahun ini membolehkan Umno-BN akan terus kekal berkuasa dalam tempoh panjang.

“Kali ini mereka tidak dapat tambah kerusi kerana tiada dua pertiga tetapi jika pilihan raya akan datang kadar mengundi turun hingga 70 peratus dan BN dapat dua pertiga, Najib akan tambah kerusi Parlimen juga negeri.

“Maka, persempadanan (semula) pasti berlaku. Adakah kita akan mempunyai tenaga untuk lawan seperti sekarang? Jika kita tidak mengundi, kita bukan sahaja membantu SPR tetapi membuka pintu untuk persempadanan lebih teruk. Inilah bahaya paling besar yang ramai orang tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata, persempadanan semula membabitkan pertambahan kerusi pasti berlaku jika BN menang dengan majoriti dua pertiga, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Chin Huat berkata, keputusan memboikot undi, pada PRU14 bukan sahaja membantu Umno-BN untuk berkuasa bagi tempoh lima tahun tetapi dalam satu tempoh panjang.

“Kali ini kita lawan hingga ke mahkamah dan berjaya menggagalkan sebahagian usaha SPR tetapi jika semuanya menjadi kosong-kosong semula tiada siapa mampu lawan,” katanya.