Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Sabah meningkat, dua negeri semakin pulih

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Jumlah mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan kembali meningkat pagi ini, sementara mangsa di Johor kekal manakala di Pahang dan Sarawak banjir terus beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa, sejak semalam.

Di SABAH, daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran dan Papar menjadi daerah terbaharu dilanda banjir pagi ini, selain Pitas, Beaufort dan Paitan yang dilanda banjir sebelum ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat 8 pagi ini jumlah mangsa banjir meningkat kepada 176 orang berbanding 122 orang malam tadi yang dipindahkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.

Di lima daerah terbaharu dilanda banjir itu, 39 mangsa banjir dipindahkan di Kota Kinabalu, Penampang (11) dan Putatan (4) manakala tiada mangsa banjir dipindahkan di Tuaran dan Papar.

“Hujan lebat di beberapa kawasan menyebabkan paras air mula meningkat di daerah terbabit, walaupun tiada mangsa banjir dipindahkan air banjir didapati sedalam 3.03 meter di Tuaran dan 4.89 meter di Papar pada tahap berjaga-jaga dan waspada,” katanya.

Di PAHANG, banjir yang semakin surut menyaksikan jumlah mangsa turut berkurangan menjadi 4,219 orang daripada 1,192 keluarga di 52 PPS melibatkan lima daerah.

Setakat 7.30 pagi ini, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan daerah Pekan masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,620 orang diikuti Kuantan (777), Maran (766), Bera (54) dan Temerloh (dua).

Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan air Sungai Pahang @Paloh Inai, Pekan masih melebihi paras bahaya.

Sementara di SARAWAK, susulan cuaca bertambah baik, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus berkurangan dengan 1,870 orang pagi ini berbanding 3,780 mangsa petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya memaklumkan sebanyak 16 PPS masih lagi beroperasi di tiga daerah dengan Serian terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 1,088 orang di 10 PPS, diikuti Kuching (775 orang di lima PPS) dan Miri (tujuh orang di satu PPS)

Banjir di JOHOR bagaimanapun tidak berubah pagi ini, dengan jumlah mangsa banjir kekal 93 orang melibatkan 23 keluarga yang ditempatkan di dua PSS, masing-masing di Segamat dan Batu Pahat.

Keadaan itu berikutan terdapat banjir termenung di dua kawasan di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata 76 orang daripada 20 keluarga melibatkan penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Segamat berada di PPS Sekolah Agama Gemereh.

Di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Bunut, Parit Raja, Batu Pahat pula menempatkan 17 orang daripada tiga keluarga yang merupakan penduduk Kampung Talang Bunut, Parit Raja.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir tiga negeri menurun, semakin pulih

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Keadaan banjir di Sarawak, Pahang dan Sabah semakin pulih pagi ini apabila jumlah mangsa di ketiga-tiga negeri itu kian menurun, namun mangsa di Johor kekal sejak semalam.

Di SARAWAK, Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan sedikit kepada 4,247 orang pagi ini berbanding 4,343 orang, malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya memaklumkan sebanyak 51 PPS masih beroperasi di enam daerah yang dilanda banjir sejak Rabu lepas.

Bahagian Kuching masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 2,853 orang di 33 PPS, diikuti Serian (1,068 orang di 10 PPS), Samarahan (319 orang di tujuh PPS) dan Miri (tujuh orang di satu PPS).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir pada pagi ini ialah seramai 5,913 orang daripada 1,632 keluarga yang masih berada di 77 PPS.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan Pekan masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,928 orang diikuti Maran (1,487 orang), Kuantan (849 orang), Temerloh (392 orang) dan Bera (257 orang).

Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my melaporkan selepas lebih seminggu berada pada paras bahaya, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran akhirnya turun ke paras amaran pada pagi ini dan Serambi di Pekan kini merupakan satu-satunya lokasi di sungai itu yang masih berada pada paras bahaya.

Turut mencatat paras bahaya ialah Sungai Jelai di Lipis yang mula merekodkan bacaan demikian sejak banjir mula melanda Pahang pada 3 Jan lepas.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi ini, berkurangan kepada 183 orang daripada 51 keluarga berbanding 313 orang daripada 84 keluarga, petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan memberitahu semua mangsa banjir itu ditempatkan di lima pusat PPS di tiga daerah negeri ini iaitu Pitas (dua), Beaufort (satu) dan Paitan (dua).

“Dua PPS ditutup pagi ini iaitu Dewan Kolej Vokasional Pertanian, satu-satunya PPS di Lahad Datu , manakala satu lagi Sekolah Kebangsaan Salimpodon di daerah Pitas.

“Sebanyak 120 kampung masih terjejas dan pihak berkaitan sedang memantau keadaan paras air di semua kawasan. Keadaan cuaca masih pada tahap waspada dengan ramalan ribut petir pada pagi dan petang manakala hujan pada sebelah malam di beberapa tempat,” kata sekretariat itu.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal 93 orang melibatkan 23 keluarga di dua PPS, masing-masing di Segamat dan Batu Pahat, setakat 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata 76 orang daripada 20 keluarga merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Segamat manakala 17 orang melibatkan tiga keluarga yang merupakan penduduk Kampung Talang Bunut, Batu Pahat.

Mangsa banjir di Segamat ditempatkan di PPS Sekolah Agama Gemereh manakala di Batu Pahat ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Bunut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Mangsa banjir Sarawak meningkat, Sabah, Johor, Pahang kian pulih

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus menyaksikan peningkatan setakat petang ini, dengan 12 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Bagaimanapun, keadaan banjir di Sabah, Pahang dan Johor semakin pulih apabila jumlah mangsa di PPS berkurangan berbanding pagi tadi, manakala mangsa banjir di jajahan Pasir Mas, Kelantan kekal sama.

Setakat ini, jumlah penduduk di beberapa daerah di Sarawak yang dipindahkan meningkat kepada 1,826 orang, dengan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi adalah 33.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Bau menjadi daerah terbaharu dilanda banjir yang memaksa 71 orang penduduknya dipindahkan ke 11 PPS, manakala Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,179 mangsa yang kini ditempatkan di 12 PPS.

Sementara itu jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Serian meningkat kepada 452 orang dan kini berada di enam PPS, diikuti daerah Kota Samarahan (51 orang di sebuah PPS), Simunjan (44 orang di sebuah PPS) dan Miri (29 orang di dua PPS).

Di SABAH, mangsa banjir berkurangan kepada 712 orang daripada 173 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 935 orang daripada 336 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan menyatakan, mangsa terbabit ditempatkan di lapan PPS yang dibuka di lima daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Beaufort, Lahad Datu dan Paitan.

Menurutnya, sebuah pusat pemindahan di Kudat iaitu Arena Belia dan Sukan telah dibuka bagi menempatkan 73 orang daripada 13 keluarga di dua buah kampung yang terjejas, akibat fenomena air pasang besar.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 9,050 orang di 112 PPS, berbanding 11,422 orang di 126 PPS yang direkodkan pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, Pekan mempunyai jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,311 orang diikuti Maran (2,075), Temerloh (1,618), Kuantan (853) Bera (780), Lipis (353), Jerantut (34) dan Raub (26).

Paras Sungai Pahang di dua lokasi pula masih melebihi paras bahaya iaitu Lubuk Paku, Maran dan Serambi, Pekan serta di Sungai Jelai di Lipis.

Di JOHOR, banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa terjejas berkurangan kepada 892 orang melibatkan 276 keluarga setakat 3.30 petang ini, berbanding 2,943 orang melibatkan 812 keluarga, pagi tadi, dengan kesemuanya berada di 10 PPS di lima daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa terjejas yang tinggi dengan 612 orang melibatkan 165 keluarga di lima PPS, diikuti Johor Bahru (118 orang, 72 keluarga di dua PPS), Kluang (74 orang, 17 keluarga di satu PPS), Segamat (76 orang, 20 keluarga di satu PPS) serta Batu Pahat (12 orang, dua keluarga di satu PPS).

Di KELANTAN pula, jumlah mangsa banjir membabitkan Pasir Mas kekal 32 mangsa setakat 3 petang dan berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, kesemua mangsa banjir berkenaan termasuk seorang bayi lelaki, ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.

Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan setakat petang ini Sungai Golok di Kuala Jambu masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 2.52 meter.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sarawak dilanda banjir, mangsa di tiga negeri turun

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Sarawak menjadi negeri terbaru dilanda banjir manakala keadaan di Kelantan, Pahang dan Sabah beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa yang dipindahkan, namun terdapat pertambahan mangsa di Johor.

Semakan di infobanjir.water.gov.my pagi ini mendapati paras air Sungai Golok, Kuala Jambu di Kelantan dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Serambi di Pekan serta Sungai Jelai, Lipis masih melebihi paras bahaya.

Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini turut mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Sarawak, sehingga esok (14 Jan) manakala amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Sabah sehingga hari ini (13 Jan).

Di KELANTAN, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 84 orang pada 8 pagi ini berbanding 275 orang, petang semalam.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa banjir berkenaan membabitkan jajahan Pasir Mas yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh (58 orang) dan SK Bakong (26 orang).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang masih berada di 147 PPS di lapan daerah adalah seramai 16,292 orang daripada 4,483 keluarga.

Daerah Temerloh masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 7,989 orang diikuti Pekan (3,172 orang), Maran (2,059), Bera (1,636), Kuantan (749), di Lipis (460), Jerantut (154 ) dan Raub (73).

Di SABAH, keadaan sama turut dilaporkan dengan penurunan mangsa banjir kepada 951 orang pagi ini berbanding 1,765 orang semalam. Setakat ini, empat daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Tongod dan Beaufort melibatkan 84 kampung terjejas akibat banjir, namun belum ada mangsa banjir dipindahkan di Tongod.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, semua mangsa terbabit ditempatkan di lapan PPS yang dibuka Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.

Seramai 782 penduduk Kota Marudu ditempatkan di Dewan Kampung Asin-Asin, SK Taritipan, SK Advent Damai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, manakala mangsa di Pitas ditempatkan di SK Salimpodon (41 orang), Dewan Kampung Kusilad (42 orang) dan SK Pekan II (62 orang). Di Beaufort, mangsa banjir ditempatkan di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir melibatkan 24 orang.

Di JOHOR, bilangan mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,314 orang setakat 8 pagi ini berbanding 3,274 orang pada 7.30 malam tadi, ekoran cuaca hujan dan mendung yang silih berganti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata mangsa dari Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat ditempatkan di 33 PPS, dengan Kota Tinggi masih merupakan daerah paling terjejas dengan 2,202 mangsa ditempatkan di 22 PPS, diikuti Johor Bahru dengan 922 orang, Kluang (97 orang), Segamat (76 orang) dan Pontian dengan 17 orang.

Di SARAWAK, seramai 53 penduduk terdiri daripada 32 orang di Kuching dan 21 orang di Serian dipindahkan selepas hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan kediaman mereka dinaiki air.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memaklumkan PPS di Balai Raya Taman Desa Wira mula dibuka 2.30 pagi tadi bagi menempatkan penduduk terjejas banjir di taman perumahan itu.

“PPS Dewan Kampung Betong Kenawit di Serian dibuka 10.30 malam tadi selepas hujan lebat di sekitar Sungai Betong Kenawit menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan rendah,” kata Ketua Sekretariat JPBN Sarawak, Mej (PA) Ismail Mahedin.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak memaklumkan setakat ini 12 kawasan di negeri itu telah dinaiki air sejak malam tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat di Pantai Timur, Sabah

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan serta beberapa kawasan di Terengganu, Pahang dan Sabah sehingga hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 7.25 pagi ini memaklumkan di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang manakala di Pahang pula melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Jerantut.

Sementara itu, bagi Sabah pula, daerah yang terjejas melibatkan Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) serta Kudat.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Tempat kerja tambah kluster, Malaysia lepasi 100,000 kes

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Bermula dengan tiga kes pertama pada 25 Januari 2020 membabitkan tiga warga China yang masuk ke negara ini melalui Johor dari Singapura, Malaysia kini memecah rekod dengan 100,318 kes positif Covid-19.

Ini berikutan tambahan 1,581 kes baharu dilaporkan pada Khamis 24 Disember. Daripada jumlah itu, kes penularan tempatan sebanyak 1,579 sementara dua (2) lagi kes import.

Malaysia kini menduduki tangga ke-75 dalam senarai 219 negara global yang dilanda pandemik Covid-19. Untuk rekod, Malaysia adalah negara terkini menyertai negara yang mencatat 100 ribu kes ke atas di samping Paraguay (103,329 kes).

China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga ke-80 dengan 86,913 kes. Negara jiran Singapura di tangga ke-86 dengan 58,495 kes.

Kemunculan berterusan kluster tempat kerja termasuk tapak binaan di samping kluster aktif sedia ada terus melonjakkan kes harian baharu di negara ini yang berterusan mencatat empat angka sepanjang rangkuman mingguan (19 Dis hingga 24 Dis).

Tempoh rangkuman ini turut melihat negara mencatat kes positif Covid-19 melepasi angka dua ribu iaitu pada 21 Disember (2,018 kes) dan 22 Disember (2,062 kes). Negara setakat ini mencatat angka kes harian tertinggi pada 10 Disember iaitu 2,234 kes. Pertama kali Malaysia mencatat angka dua ribu kes positif Covid-19 pada 24 November iaitu 2,188 kes.

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman mingguan (19-24 Dis) iaitu 1,153 kes (19 Dis), 1,340 kes (20 Dis), 2,018 kes (21 Dis), 2,062 kes (22 Dis), 1,348 kes (23 Dis), 1,581 kes (24 Dis)

Penduduk sekitar Klang hadir menjalani saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana, Klang pada 23 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pertambahan kes positif Covid-19 ini hasil saringan bersasar yang dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta majikan di lokaliti zon merah, melibatkan enam buah negeri, bermula 1 Disember lepas. Arahan wajib ini melibatkan pekerja warga asing di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial.

Enam buah negeri terlibat adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah serta dua wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur (WPKL) dan Labuan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan dalam sidang akhbar pada Khamis 24 Disember, setakat ini seramai 49,248 orang pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19, melibatkan 1,990 orang majikan.

Bagaimanapun, menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, masih ada ramai majikan yang gagal memberi kerjasama mematuhi arahan tersebut.

Oleh yang demikian, kata beliau, kerajaan akan menguatkuasakan arahan tersebut bermula 1 Januari 2021di bawah Akta 342 di mana majikan yang gagal mematuhi arahan berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti.

Kluster Tempat Kerja

Sehingga Khamis 24 Disember 2020, Malaysia merekod sebanyak 468 kluster termasuk empat (4) kluster baharu yang diumumkan pada hari tersebut, dan daripada jumlah itu, 262 kluster dilaporkan tamat.

Daripada 206 kluster masih aktif dan dipantau, 53 kluster mencatat pertambahan kes. Kluster yang dikesan merekod pertambahan tinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Kluster Tapak Bina Permai (138 kes) dan Kluster Kebun Baru (95 kes).

Kluster Penjara Jalan Harapan diumumkan pada 21 November 2020, melibatkan Penjara Sungai Buloh, Selangor. Kes bagi kluster ini dikesan positif hasil saringan kemasukan tahanan ke penjara pada 17 November 2020. Keseluruhan kes setakat ini, sebanyak 1,777 kes.

Kluster Tapak Bina Permai diumumkan pada 16 Disember 2020, melibatkan daerah Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL). Kes positif dikesan selepas saringan bersasar dijalankan di tapak binaan. Keseluruhan kes 230.

Kluster Kebun baru diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis 24 Disember 2020. Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuala Langat, Selangor dan kes positif dikesan bermula 24 Disember melalui saringan bersasar di sebuah kilang. Sehingga 24 Disember 2020, sejumlah 580 individu telah disaring, di mana 95 kes dikesan positif Covid-19.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, kluster tempat kerja begitu ketara dan sebahagian besarnya dikesan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Daripada 33 kluster baharu yang diisytiharkan sepanjang 19 Dis hingga 24 Dis, sebanyak 23 kluster melibatkan kluster tempat kerja termasuk tapak binaan.

Antara kluster tempat kerja yang mencatat rekod kes yang banyak adalah Kluster Tapak Bina Metropolis yang diumumkan pada 20 Disember, melibatkan daerah Kepong (WPKL) dengan 147 kes dikesan positif pada tarikh tersebut.

Satu lagi kluster tempat kerja yang mencatat kes yang banyak iaitu 294 kes pada hari dilaporkan iaitu 22 Disember ialah Kluster Tapak Bina Residen di Lembah Pantai (WPKL).

Pecahan kluster baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, lima – 3 kluster tempat kerja (19 Dis), 3 – semua tempat kerja (20 Dis), 8 – 6 kluster tempat kerja (21 Dis), 8 – 6 kluster tempat kerja (22 Dis), 5 – 2 kluster tempat kerja (23 Dis) dan 4 – 3 kluster tempat kerja (24 Dis).

Kes Pulih Dan Kematian

Kes pulih harian sepanjang rangkuman mingguan masih tinggi, dan pada Khamis 24 Disember, sebanyak 1,085 lagi kes pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 81,099 kes (80.8 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

Untuk rekod, kes pulih untuk sepanjang rangkuman mingguan – (19-24Dis) iaitu 998 kes (19 Dis), 1,067 kes (20 Dis), 1,084 kes (21 Dis), 911 kes (22 Dis), 710 kes (23 Dis), 1,085 kes (24 Dis).

Cuma dua kes kematian dilaporkan semalam, kedua-duanya di Sabah melibatkan warganegara di mana satu kes melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun. Jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 446 (0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang19 Dis hingga 24 Dis, iaitu 1 kes – Pulau Pinang (19), 4 kes – 1 Selangor, 1 Pulau Pinang dan 2 Sabah kes (20 Dis), 1 kes – Sabah (21 Dis), 1 kes – WP Labuan (22 Dis), 5 kes – 2 Selangor, 1 Sabah, 1 WP Kuala Lumpur, 1 Negeri Sembilan (23 Dis), 2 kes – kedua-dua di Sabah (24 Dis).

Sementara itu, sehingga Khamis 24 Disember, seramai 102 orang pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dan 45 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Perincian Terkini Kes Covid-19 di Malaysia

Untuk perincian kes positif Covid-19, Selangor masih mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dengan kes positif Covid-19 terbanyak sepanjang tempoh rangkuman mingguan (19 Dis-24 Dis), iaitu 401 kes (19 Dis), 441 kes (20 Dis), 1,204 kes (21 Dis), 1,014 kes (22 Dis), 535 kes (23 Dis) dan 491 kes (24 Dis).

Dua kluster baharu dilaporkan untuk Selangor bagi Khamis 24 Disember, iaitu Kluster Kebun Baru dan Kluster Sungai Burung.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 379 kes dan 285 kes daripadanya disumbang kluster termasuk 34 daripada kluster baharu, Kluster Tapak Bina Jalan Tun dan Kluster Jalan Pandan.

Sabah mencatat 249 kes; Negeri Sembilan 144 kes; Johor 115 kes; Melaka 76 kes; Pulau Pinang 37 kes; Perak 26 kes; Wilayah Persekutuan Labuan 26 kes; Pahang 12 kes; Kelantan sembilan (9) kes; Terengganu tujuh (7 kes), Kedah empat (4 kes), Wilayah Persekutuan Putrajaya empat (4) dan Sarawak dua (2 kes).

Sementara itu, KKM melaporkan sedang memantau mutasi baharu Covid-19 “A701B” yang dikesan di Sabah sewaktu melaksanakan ujian ke atas 60 sampel dalam Kluster Benteng LD di Sabah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, KKM sebelum ini mengenal pasti mutasi koronavirus ini iaitu D614G di Kedah yang melibatkan Kluster Sivagangga.

Mengulas laporan penyelidik di United Kingdom (UK) menemui varian baru Covid-19 yang dipanggil “VUI-202012/01” yang 70 peratus lebih mudah merebak, Dr Noor Hisham berkata pelawat asing dari 23 negara termasuk UK masih disekat daripada memasuki Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boost perkenal dua inisiatif bantu warga Malaysia tangani pandemik

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Aplikasi e-dompet tempatan, Boost memperkenalkan dua inisiatif untuk memastikan rakyat Malaysia dapat dibantu dalam menangani kesan pandemik Covid-19.

Menurut Boost kedua-dua itu bertujuan melindungi dan membantu rakyat Malaysia dalam mengharungi gelombang pandemik.

“Inisiatif pertama adalah menumpukan komuniti dengan pengguna boleh menempah ujian swab Covid-19 untuk dilakukan di kediaman mereka yang selesa, yang kedua ialah menerajui dan menyelaras kutipan bantuan di seluruh negara menerusi pengenalan semula ‘Tabung Covid-19 by Boost’,” menurutnya dalam kenyatan hari ini.

Menurutnya, dana itu bertujuan membantu mengurangkan beban penduduk di Sabah yang secara langsung dan tidak langsung terjejas ekoran pandemik.

Boost telah memperkenalkan ‘Tabung Covid-19 by Boost’ pada Mac dan berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM1 juta untuk Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA dan berkaitan organisasi bukan kerajaan.

Boost, anak syarikat Axiata Digital Services dan sebahagian daripada Axiata Group Bhd, melancarkan tabung sumbangan itu sebagai sebahagian kempen #BoostGotYou.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata orang ramai semakin mengambil langkah berhati-hati untuk memastikan mereka kekal sihat, selamat dan dilindungi dalam tempoh pandemik ini.

“Ini mendorong kami untuk memperkenalkan ciri tempahan dalam aplikasi ujian swab Covid-19 di rumah,” katanya.

Beliau berkata pengguna boleh memilih daripada tiga pakej — ‘Gold’, ‘Platinum’ dan ‘Diamond’ — pada harga bermula serendah RM199.

Bagi mereka yang memerlukan keputusan ujian dengan segera, pakej ‘Diamond’ menawarkan keputusan ujian dalam tempoh 12 jam.

“Ujian swab di kediaman ini merupakan sebahagian Program Saringan Prihatin (PSP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosal (PERKESO) yang menjadikan ia layak mendapat subsidi RM150 yang boleh dituntut oleh semua pencarum, termasuk warga asing.

“Permohonan subsidi mesti dilakukan oleh majikan melalui portal web PSP PERKESO selepas membuat ujian itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso hasil PPE untuk petugas kesihatan Sabah

KOTA KINABALU, 28 NOV: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyerahkan 280 set peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan di negeri ini.

Penyerahan dibuat oleh Pengarah Perkeso Negeri Sabah Dr Mohd Ali Hindia kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi pada satu majlis ringkas hari ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam ucapannya yang ditayangkan melalui rakaman video semasa majlis itu berkata Perkeso mengambil inisiatif untuk menghasilkan PPE bagi menampung keperluan petugas barisan hadapan kesihatan di Sabah ekoran bilangan kes yang masih tinggi.

“Kesemua 280 set PPE dihasilkan di Bengkel Jahitan Vokasional, Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka dalam tempoh lima hari. Set PPE tersebut dihasilkan oleh 15 orang termasuk pelatih vokasional dan Orang Berinsurans Perkeso yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat ini.

“Perkeso bukan sahaja menyediakan faedah kepada pekerja yang ditimpa bencana, malah kami juga mengutamakan keselamatan petugas barisan hadapan terutama dalam menangani keperluan bekalan PPE di hospital-hospital,” katanya.

Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat membantu mengurangkan risiko yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan yang sentiasa bertungkus lumus melawan penularan Covid-19 dan menyumbang kepada usaha kerajaan pusat dan negeri memerangi wabak Covid-19.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Fikirlah: Genggam erat ‘kita jaga kita’ juga untuk bekas pesakit Covid-19

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 19 NOV: Slogan ‘Kita Jaga Kita’ sering diucap dan dikongsi masyarakat terutama di media sosial bagi mengukuhkan kebersatuan kita memerangi Covid-19.

Namun, sejauh mana ia terpakai dalam usaha masyarakat membantu bekas pesakit Covid-19 terutama daripada segi mental?

Ketika slogan ‘Kita Jaga Kita’ bergema dengan peringatan memakai pelitup muka, menggunakan cecair pencuci tangan atau lakukan penjarakan sosial, masyarakat seharusnya juga sedar bahawa ‘Kita Jaga Kita’ perlu diamalkan untuk memberi sokongan kepada bekas pesakit Covid-19 meneruskan kehidupan mereka.

Masyarakat perlu faham, mereka yang sudah disahkan bebas daripada virus Covid-19 dalam tubuh mereka tidak menjangkiti penyakit itu kepada orang lain, justeru, mengapa masih takut? Mengapa masih menyisihkan mereka?

“Stigma negatif masyarakat sekeliling terhadap bekas pesakit Covid-19 lebih memeritkan daripada kesakitan dibawa Covid-19 itu sendiri.” Demikian luahan hati bekas pesakit Covid-19, yang hanya ingin dikenali sebagai Zulaika, 37.

Sebenarnya bukan mudah untuk saya menemu bual beliau yang bertugas sebagai seorang pensyarah di Kota Kinabalu. Pelbagai janji perlu saya tunaikan termasuk tidak mengambil gambar, tidak menyiarkan nama sebenar dan tidak memberitahu lokasi kediamannya.

Stigma tidak bernoktah

Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS

Setelah dipujuk dengan bantuan rakan saya, Zulaika setuju ditemubual serta mengundang saya ke kediamannya yang terletak sekitar sejam jam daripada pejabat saya. Beliau tinggal di sebuah pekan kecil dan saya ke sana dengan menunggang motorsikal.

Semuanya bermula sekitar awal bulan Oktober, apabila beliau disahkan positif Covid-19. Beliau ada mengalami simptom demam, kehilangan selera makan mendadak dan dipercayai dijangkiti salah seorang pelajarnya. Tinggal dalam komuniti pekan kecil, memudahkan masyarakat mengetahui siapa yang dijangkiti Covid-19.

“Mulanya ada perkongsian dalam Whatsapp group pekan ini kata ada beberapa dijangkiti, tidak sampai sehari ramai sudah tahu siapa. Saya faham mereka ambil langkah berjaga-jaga apabila saya dijangkiti tetapi layanan mereka masih juga sama walaupun saya disahkan pulih dan pulang ke rumah.

“Suami dan anak-anak yang bebas Covid-19 juga terima layanan sama. Keluarga kami disisihkan dan dipandang serong bila ke pekan kerana dalam komuniti kecil ini semua kenal antara satu sama lain. Masuk kedai beli barang jangan cerita lah, ada pelanggan cepat-cepat keluar bila nampak kami masuk,” katanya.

Zulaika juga menghadapi situasi sama di tempat kerja, antaranya ada ibu bapa meluahkan kerisauan beliau mengajar anak mereka selain sikap segelintir rakan petugas yang masih memandang serong terhadapnya.

Cerita Zulaika ini bukan asing kepada saya yang membuat liputan berita dalam keadaan Covid-19 merobek negara. Saya pernah melihat sendiri seorang bekas pesakit yang secara ikhlas berkongsi pengalamannya dalam media sosial tetapi disambut komen-komen yang menyindir.

Zulaika mengakui terguris membaca satu komen yang tular dalam media sosial memperlekeh golongan guru dengan menyuruh mereka melakukan ujian saringan bersama petugas barisan hadapan apabila sekolah ditutup.

Sedarkah mereka siapa yang mereka sindir itu? Sedarkah mereka bahawa warga pendidik seperti Zulaika sendiri berjasa besar memberikan ilmu kepada anak bangsa walau berdepan apa sahaja cabaran dan melakukan pelbagai cara dalam kekangan Covid-19 bagi memastikan pelajarnya tidak ketinggalan.

Tidak mengenal siapa

Saya sempat bertanya kepada Zulaika tentang pelajar yang menjangkiti beliau.

Pertanyaan saya ini dijawab dengan nada agak marah kerana sebagai seorang pendidik, beliau tidak akan sama sekali menyalahkan pelajarnya walaupun diri serta keluarganya berdepan stigma masyarakat tidak bernoktah itu.

Khemah didirikan diluar bangunan Hospital Queen Elizabeth bagi menampung jumlah peningkatan kes Covid-19 di Sabah yang mencatatkan peningkatan mendadak. Selain Hospital Queen Elizabeth, terdapat enam lagi hospital diperuntuk merawat pesakit Covid-19 iaitu Hospital Kota Marudu; Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kota Kinabalu; Hospital Duchess of Kent di Sandakan; Hospital Tawau; Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau. FOTO: BERNAMA

“Sampai bila kita mahu salahkan orang lain. Jika kita menyalahkan dan menuding jari, semua ini tidak membantu. Sepatutnya pada masa sukar ini, semua orang perlu bersatu sebagai sebuah keluarga,” katanya.

Zulaika bertanya kepada saya adakah Covid-19 ini pandai memilih mereka untuk dijangkiti?.

Mengakui ketika berada di pusat kuarantin, beliau pernah menyoal mengapa dia, bukan orang lain yang dijangkiti. Namun, pantas beliau menyedari bahawa melayan perasaan sebegitu tidak akan membantu dirinya untuk segera pulih.

Suatu perkara yang perlu masyarakat sedar ialah Covid-19 boleh menjangkiti sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang, status kehidupan, warna kulit mahu pun agama yang dianuti. Covid-19 tidak memilih mangsanya!

Masyarakat perlu sedar bahawa mereka yang dijangkiti Covid-19 ini bukan secara sukarela apatah lagi mahu membahayakan keluarga mereka, justeru, tidak adil bagi kita ‘menjatuhkan hukuman’ kepada mereka dengan ‘kaca mata stigma’.

Sabah jaga Sabah

Sebagai seorang yang berasal dari Batu Pahat, Johor, semangat jati diri ‘Bangsa Johor’ bermaksud rakyat Johor sentiasa menjaga rakan senegeri mereka tanpa mengira latarbelakang sentiasa tersemat dalam hati saya. Perasaan sama saya rasai apabila berada di Negeri di Bawah Bayu ini.

Zulaika bersyukur apabila beberapa anggota masyarakat terdiri daripada warga emas dan dewasa sekitar umur 30-an dan 40-an, sentiasa memberikan sokongan dan membantu keluarganya seperti semangat ‘Sabah Jaga Sabah’ yang diterap masyarakat negeri ini sejak sekian lama.

Pernah juga Zulaika terfikir untuk berpindah keluar daripada pekan kecil itu kerana kecewa dengan sikap segelintir anggota masyarakat terhadap diri serta keluarganya. Syukurlah, masih ada yang memberi sokongan untuk beliau tidak meneruskan hasratnya itu.

“Walaupun kamu orang Johor tetap kami jaga juga kerana sudah tinggal sini, jadi orang Sabah sudah. Tetapi saya kesal melihat generasi muda kita sudah lupa dengan budaya kita warisi turun temurun ini apabila ramai yang masih mempunyai stigma terhadap bekas pesakit Covid-19 di negeri ini.

“Lihat saja di media sosial, ramai yang menyindir dan memandang mudah isu ini. Majoritinya terdiri daripada golongan muda, tetapi kita tidak boleh berkeras dengan anak muda ini, kena nasihat dan dekati dengan cara lembut seperti cara orang Sabah juga,” katanya.

Petugas kesihatan yang lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) berada di dalam khemah pengambilan sampel bagi proses ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai yang hadir membuat ujian saringan bersasar ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan, pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Mengakhiri temu bual dengan Zulaika, saya sempat mendoakan beliau dan keluarganya bebas daripada stigma orang di sekelilingnya disambut rasa syukur serta ucapan terima kasih daripadanya, tanpa saya sedari air mata saya tumpah mengenang cabaran yang terpaksa dihadapi beliau.

Menunggang motorsikal untuk pulang ke pejabat selepas temu bual itu, sekali lagi hati kecil saya berbisik, kita sebagai sebuah bangsa Malaysia telah menempuh pelbagai cabaran bersama, jangan sampai kita tumbang dalam menghadapi cabaran Covid-19 ini.

Genggam erat ‘Kita Jaga Kita’ dengan bukan hanya kita sendiri menjaga diri sendiri, tetapi kita menjaga semua rakyat Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu kluster baharu dikesan di Sabah

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Satu kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Matambai dikesan di dua daerah di Kota Kinabalu dan Penampang, Sabah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kluster Matambai yang dikesan membabitkan kes indeks (ke-22,962) hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober lepas dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Matambai di Penampang.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 23 lagi kes positif. Kesemua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Penjara Wanita Kepayan serta Hospital Queen Elizabeth.

“Sehingga 16 November 2020 12 tengah hari, sejumlah 333 individu telah disaring, 306 individu dikesan negatif manakala tiga individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan Kluster Jeram melibatkan daerah Kubang Pasu di Kedah diisytiharkan tamat hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM61.32 bilion bayaran hasil petroleum kepada empat negeri

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Jumlah hasil petroleum yang dibayar kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan dari 2008 hingga 2020 adalah RM61.32 bilion, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Beliau berkata jumlah bayaran tunai hasil petroleum yang disalurkan kepada Sarawak dan Sabah bagi tempoh 2008 hingga Ogos 2020 adalah masing-masing RM25.3 bilion dan RM13.2 bilion.

Bayaran khas petroleum kepada Terengganu dan Kelantan bagi tempoh yang sama masing-masing sebanyak RM22.4 bilion dan RM418.9 juta, katanya dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai jumlah bayaran royalti minyak dan gas yang diterima kerajaan Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu mulai 2008 sehingga 2020.

Mustapa berkata Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membuat bayaran tunai hasil petroleum sebanyak lima peratus secara terus masing-masing kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Bagi kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu pula, Petronas menyalurkan bayaran kepada Kementerian Kewangan yang seterusnya membuat bayaran kepada kedua-dua negeri tersebut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM164 juta diperuntuk bendung Covid-19 di Sabah

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan telah memperuntukkan RM164.6 juta untuk mempertingkatkan usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 di Sabah, dari September hingga Oktober tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM103.8 juta adalah daripada peruntukan mengurus dan telah digunakan bagi menyediakan keperluan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE), barangan guna habis, bahan uji selain aset mudah alih, termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan.

Beliau berkata baki jumlah tersebut iaitu RM60.8 juta adalah daripada peruntukan pembangunan dan digunakan oleh Jabatan Kesihatan Sabah untuk menambah baik fasiliti kesihatan seperti makmal dan bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital dan juga perolehan kenderaan serta peralatan perubatan.

“Pagi ini (semalam) Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah meninjau sendiri persiapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang untuk menerbangkan segera sebahagian peralatan berkenaan ke Sabah.

“Penerbangan itu turut membawa peralatan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO (badan bukan kerajaan) dan swasta,’’ katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kerajaan telah memberikan komitmen yang tinggi dalam membantu menangani wabak Covid-19 dengan menyalurkan segera peruntukan itu sebagai langkah melindungi keselamatan rakyat di Sabah.

Dalam pada itu, Dr Adham menyeru semua pihak untuk bekerjasama dengan kementeriannya selaras dengan pendekatan “whole of government approach” dan “whole of society approach” yang dilihat berkesan bagi menyekat penularan wabak berkenaan secara bersepadu.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menasihatkan semua pihak untuk mengamalkan norma baharu dan terus mematuhi garis panduan atau tatacara operasi piawai (SOP) yang dikuatkuasakan bagi memastikan rakyat sentiasa selamat dan terpelihara daripada penularan wabak Covid-19 ini.

Dr Adham berkata kerajaan dan seluruh warga KKM akan terus berusaha dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk membendung wabak Covid-19, sehingga Sabah kembali menjadi Zon Hijau.

– BERNAMA